Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Diantara Kayu Tiga dan Kayu Mati

Keputusan UMNO membenarkan pegawai kerajaan kumpulan 'A' termasuk guru aktif semula dalam politik, sememangnya sudah lama dijangkakan oleh penganalisis politik. Cuma menantikan masanya tindakan itu diumumkan. Ini bererti sekatan yang dikuatkuasakan sejak 1987 itu dan membabitkan sejumlah 80,000 guru kategori DG1, 2 dan 3 akan ditarik-balik. Disebabkan penggantungan ini dulu hanya guru-guru daripada kategori DG4, DG5 dan DG6 yang aktif dalam UMNO. Ciri-ciri memungkinkan penarikan sekatan 1987 itu sudah semakin dirasakan apabila Aziz Shamsuddin dilantik menjadi timbalan menteri pelajaran.

Dengan kebebasan baru ini adalah dijangkakan guru-guru dan pegawai kerajaan kumpulan 'A' itu akan mewarnai pucuk pimpinan kumpulan di akar umbi yang diharapkan membawa pengaruh baru kepada perjuangan UMNO. Nampaknya daun-daun keahlian yang berguguran daripada pokok kayu yang bernama UMNO akan menjadi lebat semula. Cuma ditakutkan, kehijauan yang baru menyerlah dan kelihatan cerah dari jauh itu akan membawa satu illusi apabila pokok itu didekati. Apakah tidak mungkin kehijauan itu akan muncul daripada dedalu yang mewarnai setiap dahan dan cabang batang tubuh parti itu ?

Pucuk Pimpinan Yang Terdesak

Nampak sangat pucuk pimpinan sudah amat terdesak. Ia boleh digambarkan oleh seorang pemimpin ulung parti yang sudah teraba-raba mencari sesuatu untuk menyokongnya ketika berdiri dan mengampunya ketika duduk. Kalau dia sedang berada di air dia seolah-olah tergapai-gapai mencari sabut untuk membantunya terus timbul.

Hanya dua bulan yang lalu beberapa guru telah diarahkan pindah ke tempat lain dalam masa yang singkat. Terkapi-kapailah guru-guru itu mencari tempat kediaman yang baru. Ada yang membiarkan anak dan isteri terus tinggal di tempat lama sehingga dapat mencari tempat kediaman yang baru. Sebaik sahaja kediaman baru diperolehi ada yang mencari pihak yang tertentu mendudukki rumah yang dikosongkan walaupun dengan sewaan yang sederhana. Jika tidak, bagaimana pula mampu membayar hutang ansuran rumah itu ? Apatah lagi dengan potongan gaji semakin meninggi untuk membayar rumah yang baru disewakan dan kos pelajaran anak-anak yang ditinggalkan bersama nenek di kampung. Dengan lain perkataan berpuluh guru yang masih merasakan kesengsaraan didera untuk berpindah segera. Semua ini adalah gara-gara mereka memberikan sokongan dingin kepada Barisan Nasional dalam pemilu ke -10 yang berlalu. Kini, apakah ertinya tarikan penguatkuasaan itu semua ? Apakah serba mungkin para guru dan pegawai kerajaan kumpulan A itu sanggup bergiat cergas dengan UMNO dan BN lagi ?

Adalah amat malang sekali, UMNO sebagai sebuah parti politik yang terulung di negara ini selalu sangat membuat langkah yang silap dalam rencana memantapkan sokongan rakyat terhadap perjuangannya. Sebagaimana yang pernah kita bincangkan, kejutan-kejutan yang dilakukan kebelakangan ini dan membabitkan emosi rakyat, membawa satu mesej yang boleh ditertawakan. Malahan, sejak UMNO dan BN memenangi keputusan pemilu ke-10 dulu pelbagai autcara yang membabitkan rakyat telah dilakukan secara ad-hoc tanpa memikirkan reaksi rakyat terhadapnya.

- Pimpinan Parti Yang Mencelaru

Kita dapat menyaksikan betapa UMNO amat mencelaru sejak kepulangan presiden parti itu. Ia bermula dengan laporan lengakap yang diterima rakyat akan gelagat presiden UMNO itu ketika berucap di hadapan kira-kira 130 rakyat Malaysia di Malaysia Hall pada minggu yang lalu. Ketika itu, Dr. Mahathir telah menyentuh emosi rakyat negara ini di tanah orang. Beliau telah menunjukkan kecelaruan pendiriannya tentang kes Anwar Ibrahim di mahkamah. Beliau seolah-olah amat takut dengan nama Anwar Ibrahim, sehinggkan peguam yang mewakili Anwar dimahkamah pun mahu dimusuhinya. Bayangkanlah apabila seorang perdana menteri sanggup menghukum-gantung seorang peguam yang tidak bersalah apa-apa kepadanya. Yang membuat kita lebih pelik kenapakah beliau tergamak bercerita tentang Anwar sedangkan kes beliau masih lagi dibincangkan di mahkamah. Kita masih menantikan tujuan sebenar beliau menggunakan khidmat Umi Hafilda dalam usahanya memburukkan Anwar Ibrahim di London itu.

Sekembalinya ke Malaysia dia tidak pula mahu berhenti dengan keangkuhan itu. Dia terus membuat pelbagai usaha untuk menekan Anwar dan orang-orangnya. Tetapi, keghairahannya itu ternyata terhenti secara tiba-tiba. Mahathir seolah-olah dikejutkan oleh satu perkara baru yang lebih memeranjatkannya dan lebih menggegar nalurinya.

Pemimpin Veteran Mula Bersuara

Mahathir tiba-tiba menggeletar apabila mendapat tahu Ghaffar Baba dan beberapa orang pemimpin veteran telah mempertikaikan keputusan MT membrahminkan dua jawatan tertinggi parti. Keputusan konsensus yang dicapai beberapa hari sebelum Mahathir berlepas untuk bercuti sudah mula menjadi senjata yang akan menikam dirinya. Belum pernah berlaku sebelum ini, keputusan yang dianjurkan oleh Mahathir disanggah oleh para panglimanya, di belakang beliau. Keberanian Tun Ghaffar membuat pengecualian kali ini, merupakan satu tamparan hebat terhadap kepimpinan Mahathir dan dia sudah tentu mencari satu jalan untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya satu mutini secara senyap-senayp di kalangan ahli veteran parti. Mahathir mungkin biasa dengan sanggahan akar umbi parti. Tetapi tidak daripada para veteran yang lebih kanan keahlian mereka dalam parati dan mungkin lebih berpengaruh daripada Mahathir di akar umbi.

Kini amat jelas, Mahathir terpaksa mencari beberapa dahan baru untuk berpaut seandainya dia diperlukan melompat ke satu tempat yang selamat untuk dirinya dan keluarganya. Seorang pemimpin yang angkuh sejak 18 tahun yang lalu, tiba-tiba terpaksa membuat perkiraan berundur secara bersahaja tanpa menunjukkan perasaan takutnya terhadap keadaan suasana yang membencinya. Mahathir terpaksa berbuat demikian setelah menyedari betapa semakin ramai pemimpin veteran yang sanggup berpalng tadah daripada sikapnya yang lama. Rupanya kesetiaan para veteran parti yang dianggapnya satu perangai kesetiaan sejati adalah suatu illusi semata-mata. Malahan, tidak ramai di kalangan pemimpin veteran itu yang boleh dipercayainya lagi. Hampir semuanya mesti dianggap sebagai pemimpin yang berkemungkinan bermain kayu tiga dengannya. Bukankah mainan kayu tiga merupakan satu budaya UMNO yang original ? Untuk MAHAFIRAUAN merasa pelik dengan mainan itu merupakan suatu kehairanan kepada kita pula.

- Mainan Kayu-tiga dalam parti

Mainan kayu tiga dalam parti bukannya satu benda yang baru kepada UMNO. Ketika Dato Harun berada di kemuncak popularitinya, terlalu ramai pemimpin parti yang pernah bergantung pada lengan bajunya. Di mana sahaja Dato Harun pergi ada saja pemimpin parti yang sanggup mengikutnya tanpa disuruh dan terhangguk-hangguk padanya tanpa ditegur. Perkara ini berubah apabila Dato Harun dibicarakan dan didapati bersalah untuk dijatuhkan hukuman. Para pengampu yang pandai memainkan talam dua muka tiba-tiba menghilangkan diri dan cuba pura-pura tidak bersimpati dengan penderitaan Dato Harun itu. Mereka sanggup bermain kayu tiga semata-mata untuk menyelamatkan tombolok mereka.

Demikian juga halnya pada 2 September 1997 dulu. Bukankah itu satu tarikh keramat di mana bermulanya pelbagai bentuk kayu-tiga yang dipamerkan oleh beberapa pemimpin UMNO yang terkenal ? Bukankah ini juga muka-muka yang satu ketika dulu bercakap besar, bergegar-gegar dan berdegar-degar ketika berdepan akar umbi parti ? Bukankah ini muka-muka yang naik meningkat dalam parti atas jasa dan ihsan serta sokongan ikhlas Anwar Ibrahim ? Apa yang terjadi akhirnya ? Mahathir telah berjaya memepengaruhi mereka samada dengan pujukan ataupun ugutan. Semua pemimpin muda Melayu UMNO itu akhirnya akur dengan kelentongan Mahathir untuk berpatah arang dengan Anwar Ibrahim. Sekaligus mereka memperakukan segala tohmahan Mahathir bahawa Anwar Ibrahim adalah seorang timbalan perdana menteri yang mempunyai perangai yang hodoh dan patut dihumban ke dalam penjara. Mereka sanggup memusnahkan keikraban persahabatan yang mereka jalin begitu lama dengan Anwar Ibrahim semata-mata takutkan Mahathir. Nampak sangat para pemimpin durjana ini sanggup menggadaikan idealisma berparti-politik disebabkan ugutan dan risiko keselesaan hidup mereka. Mereka lebih rela dikotak-katikkan oleh seorang pakar silap mata politik daripada bersatu dan bergabung kekuatan untuk menentangnnya. Kerana sikap inilah mereka sanggup mengiakan keputusan yang direncanakan oleh Mahathir dan memecat Anwar Ibrahim daripada jawatan timbalan perdana menteri Malaysia dan timbalan presiden parti (UMNO) tanpa melucutkan keahliannya dalam parti itu terlebih dahulu. Inilah mainan kayu-tiga yang amat jijik yang pernah dirakamkan oleh diari sejarah parti UMNO (baru dan diciptakan oleh Mahathir bersama Sanusi Junid) itu sejak penubuhannya pada tahun 1987.

Kerana Takutkan Bayang-bayang

Sebelum Anwar Ibrahim ditangkap dan dihumban ke dalam lokap, beliau sudah dapat merasakan akan tibanya masa sesuatu yang aib akan diperlakukan ke atasnya. Namun, dia tidak sekali-kali dapat membayangkan betapa pahitnya deraan dan kesiksaan yang perlu ditanggunginya ketika ditangkap pada malam yang sungguh tragis itu. Beliau ditangkap dan diperdaya untuk dibawa ke Bukit Aman. Tujuannya adalah semata-mata untuk disoal oleh pihak polis. Tetapi, apa yang terjadi sebenarnya ? Beliau dibaham oleh seorang manusia yang berhati haiwan, yang sebelum itu kerap tegak bersiap-siaga dan memberi tabik hormat kepadanya. Bagaimnakah soerang manusia yang sungguh berdisiplin boleh berubah perangai dan mengambil sikap ganas dalam sekelip mata ?

Sekali lagi kita dapat melihatkan kuasa yang ada pada MAHAFIRAUN. Belaiu telah berjaya mumukau Rahim Nor untuk menjadi buas dan ganas ketika berdepan dengan Anwar di malam pertama mereka bersua di Bukit Aman itu. Anwar diikat tangannya dengan gari dari belakang. Anwar dibaham hingga matanya menjadi lebam. Sungguh keji perbuatan itu dan sungguh jijik sekali tindakan itu. Inilah yang dikatakan perbuatan kebinatangan yang tidak boleh dimaafkan. Soalnya sekarang, tidak mungkin perkara begitu dapat berlaku kalau Rahm Nor tidak dirasuk oleh sesuatu yang membuatkan beliau berani berbuat begitu. Anwar yang sebelum itu ditangkap bawah akta biasa telah dikenakan tuduhan di bawah Akta I.S.A semata-mata untuk menutup kedurjanaan yang dilakukan oleh ketua polis 'numoro uno' negara. Kalau perkara begini berlaku di negara lain, ketua polis itu sudah pun ditangkap dan dihukum. Menteri yang bertanggungjawab ke atas kepolisian sudah tentu dipecat ataupun digugurkan daripada kabinet atau sudah disuruh bersara. Ketika Rahim Nor membaham Anwar Ibrahim, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ialah Mahathir sendiri. Apakah tidak mungkin, Rahim Nor berperangai kebinatangan di atas arahan khas menterinya ?

Inilah peristiwa bersejarah yang sungguh tragis yang pernah dialami oleh orang terkanan yang memerintah negara ini. Ia tidak pernah berlaku sebelum itu dan tidak mungkin akan berlaku serupa itu selepas ini. Mahathir telah membuatkan perkara itu berlaku dan inilah perkara yang menghantuinya setiap hari; tidak kira siang ataupun malam. Nama Anwar Ibrahim merupakan nama yang membuat Mahathir menggeletar dalam seluar dalamnya. Adalah tidak mustahil kalau Mahathir kerap kencing malam hinggakan bertompok tilamnya kerana teringatkan nama Anwar Ibrahim. Kalau kita lihat susuk tubuhnya ketika berdiri masakini, ada kemungkinan bersar Mahathir sudah pun mengenakan lampin 'pampers' sebagai pakaian biasanya di 'dalam' itu. Mungkin juga ini bermula sejak nama Anwar Ibrahim menghantui kehidupannya. Kita boleh rasakan ketepatan ramalan ini kerana orang yang terlalu takut akan sesuatu selalu sangat suka mengulangi sesuatu itu sebagai topeng untuk melindungi ketakutannnya. Adalah tidak mustahil, setiap kali dia mengulangi nama Anwar ataupun mengkiaskan nama Anwar serata menyebarkan fitnah mengenainya, Mahathir sebenanrnya mencari kekuatan yang dirasakan sudah lama hilang.

Kita boleh lihat perangai seorang yang kehilangan kekuatannya. Kalau dia berjalan dan merasakan kehilangan kekuatan, dia akan mula memendekkan langkah jalannya. Dia mungkin mula menggunakan tongkat untuk berjalan. Untuk melindungi syak wasangka orang lain, dia akan menggunakan tongkat itu hanya sebagai panduan sahaja dan bukannya sebagai alat penyokong kekuatannya. Mahathir amat sedar akan hal ini. Itu sebabnya dia tidak mahu jalan bertongkat, kerana mahu menunjukkan yang dia masih kuat lagi. Apa yang diselindunginya daripada langkah dan gaya jalannya tidak dapat diselindunginya daripada cara pertuturannya. Setiap kali dia membuka mulutnya untuk bercakap tanpa skrip, dia akan mengulangkan satu perkara kegemarannya tanpa memikirkan implikasinya. Dia membuka tembelangnya sendiri, betapa takutnya beliau kepada nama Anwar bin Ibrahim, itu.

Mungkinkah perangai Mahathir itu disebabkan sidi (doa yang dimakbulkan Allah) Anwar Ibrahim yang meminta kepada Allah swt setiap hari ? Anwar diketahui sebagai seorang yang amat suka menghadap Allah. Tentu sekali dia sudah menyerahkan dirinya secara total kepada Ilahi. Mungkinkah tempias doa yang dipanjatkannya itu mula menghambat roh Mahathir secara tempias juga? Mungkinkah doa yabng dipanjatkan oleh Anwar Ibrahim dengan iringan pelbagai bentuk zikir membawa getaran gelombang rasa ketakutan kepada Mahathir secara bergilir-gilir ? Apakah pula halnya dengan sembahyang hajat yang diusahakan oleh para jemaah di seluruh dunia ini ? Mahathir dan semua koncon-konco yang bergelumang dengannya dalam konspirasi menjatuhkan maruah Anwar Ibrahim dan keluarganya harus sedar satu hakikat yang benar. Hakikatnya ialah, setiap minit ada sahaja manusia yang berhati ikhlas dan berniat suci yang khusyuk menghadapi Penciptanya dan memanjatkan doa untuk kesejahteraan Anwar bin Ibrahim. Inilah mungkin, kenapa Mahathir terus gelabah dan kelihatan amat resah serta gelisah setiap kali berhadapan dengan soalan yang memeningkan kepalanya. Sememangnya, Anwara Ibrahim walaupun dikurung di dalam sebuah bilik berjejari besi masih menjadi satu iagaun yang mengerikan kepada Mahathir.

Harapan Mahathir kepada pemimpin pelapis

Salah satu cara mengurangkan ketakutannya terhadap Anwar Ibrahim, ialah dengan melantik ramai pemimpin UMNO yang muda-muda untuk menganggotai kabinetnya. Ini adalah sesuatu yang baru dilakukannya dan bertentangan dengan amalannya yang lalu. Sekali lagi kita dapat mengagak betapa liciknya Mahathir mentadbir manusia. Dia melantik beberapa ramai muka muda untuk dijadikan topeng dan perisai memperkokohkan kata-kata betapa dia bersedia menyerahkan kepimpinan parti kepada golongan muda. Dia mencongak taktik ini boleh dijadikan umpan yang dapat mengabui mata akar umbi. Dia fikir mata rakyat adalah laksana mata kayu yang boleh diukir dengan dakwat sesuka hati. Malahan dia fikir dengan melantik ramai pemimpin muda itu mereka dapat menjadi satu kumpulan pemimpin pelapis UMNO. Sekali lagi MAHAFIRAUN tersalah congak.

Kalau pemimpin muda yang diberi tempat dalam kabinet dianggap sebagai pemimpin pelapis dan disamakan dengan papan lapis, kesetiaan mereka itu bolehlah dicurigai oleh Mahathir setelah membaca penulisan ini. Hampir semua pemimpin muda itu sudah pun bersedia untuk bermain kayu-tiga dengannya. Perkara ini boleh berlaku disebabkan fenomena papan lapis juga. Sekeping papan lapis hanya kuat kalau ia digunakan secara keseluruhannya. Tetapi, apabila dia dikerat-kerat ataupun dikecaikan, kekuatannya itu akan hilang serta merta. Begitu juga dengan pemimpin muda yang berada di kabinet sekarang. Mereka masih muda dan amat memahami bahawa Mahathir tidak punyai banyak masa lagi untuk memimpin mereka. Kepada siapakah kesetiaan mereka itu akhirnya yang perlu diberikan keistimewaannya ? Tentunya kepada akar umbi parti dan tidak sepenuhnya kepada pemimpin ulung parti. Kalau inilah sikap yang mereka ambil sekarang ini, bererti mereka mempunyai satu masa hadapan yang amat cerah sekali. Kalaulah Mahathir tahu akan rencana terselindung para pemimpin muda ini, memang na'as kedudukan mereka dibuatnya.

Taktik senjata memakan diri

Memberi kepercayaan kepada pemimpin muda adalah satu taktik lama Mahathir. Dia telah berjaya dengan taktik ini apabila diberinya peluang kepada Rahim Tamby Chik. Rahim naik dan terus naik dengan segala kepintarannya untuk menjadi kaya raya. Kemudian, dengan kekayaan yang ada itu dia telah cuba mengembangkan pengaruhnya. Pada satu segi, Rahim memang amat berjaya dalam mengembangkan pengaruhnya itu. Bukan sahaja di dalam parti politik malahan dalam parti lain juga. Manusia merancang Allah merancang juga. Manusia fikir dia pandai merancang, dia lupa kuasa veto ada pada Allah sahaja. Rahim kantul akhirnya. Kekantulan Rahim itu tidak diambil sebagai iktibar oleh Mahathir. Dia fikir dia akan berjaya sekali lagi. Kejatuhan Rahim, dipandangnya sebagai satu malapetaka yang dibawa oleh Anwar Ibrahim dan bukannya disebabkan oleh Norhayati dan Puan Pendek. Mungkin kerana itu Mahathir naikkan beberapa pemimpin muda secara serentak. Dari situ dia mahu tapis siapakah pemimpin yang paling layak dilonjakkan ke atas lagi.

Walaupun Mahathir sudah mempunyai banyak kuasa sebagai ketua eksekutif negara ini, dia masih berfikir cara lama. Dia berpendapat, kalau sistem tadbir negara cara lama amat berkesan dan dapat diterima rakyat, apa perlunya membuat perubahan ? Kerana itu dia amat selesa dengan Wan Mokhtar, Isa Samad, Khalil Yaakob dan beberapa pemimpin veteran yang lain yang diberikannya amanah untuk memimpin negeri mereka masing-masing. Silapnya dalam hal ini, terletak kepada kesilapan Mahathir mencongak sentimen rakyat secara keseluruhannya. Di Kelantan, Terengganu dan beberapa tempat di Kedah, rakyat menolak BN dan UMNO kerana mereka bencikan Mahathir. Inilah kenyataan yang telah diselindungi kepada Mahathir oleh para juaknya. Mereka memang berjaya dengan taktik itu sejak Tok Mat Bulat menjadi Setiausaha Kehormat UMNO dulu, sehinggalah ketika Sabaruddin Chik menggantikannya.

Tanpa curiga akan kelemahan taktiknya itu, Mahathir telah mengekalkan beberapa pemimpin yang sudah lama berkarat di jawatan mereka. Inilah manusia yang amat setia kepada Mahathir dan yakin mereka akan terus dikekalkan untuk bertemu rakyat di pemilu ke-10 dulu dengan jayanya. Lagipun Mahathir amat percaya kepada kebolehan pemimpin semacam ini menyediakan wang yang banyak untuk berkempen. Sebagai pemimpin yang lama berkarat di jawatan masing-masing semua Tan Seri itu memang sudah lama kaya raya. Untuk menyediakan wang berkempen secukupnya adalah sesuatu yang amat mudah bagi mereka. Keupayaan seperti inilah yang membuatkan Mahathir terlalu yakin untuk memenangi pemilu-ke 10 dulu di seluruh negara. Sambutan yang diberikan kepadanya di Kota Baharu dan Kuala Trengganu, meyakinkah beliau terus melayan lamunan impiannya. Sedikit pun tidak terlintas di hatinya betapa congak yang dibuatnya dengan para jeneralnya itu akan memakan diri sendiri. PAS bukan sahaja mengekalkan Kelantan, malahan dapat merampas negeri kaya tetapi miskin, Terengganu. Inilah kejutan besar untuk Mahathir.

- Kejutan yang mengerikan

Kini, Mahathir berkemungkinan akan diaibkan secara terbuka. Ia akan berlaku sebelum menjelangnya Mei 11 yang akan menentukan masa depannya. Desas-desus yang tersibar luas melalui pelbagai cara telah menunjukkan Tengku Razali Hamzah semakin gagah. Sudah ada 75 bahagian yang sanggup mencalonkan nama beliau sebagai penentang Mahathir bagi jawatan presiden parti. Inilah berita yang tidak menyenangkan. Inilah berita yang telah cuba dielakkan oleh Mahathir bersama timbalannya Paklah sebelum Mahathir pergi bercuti dulu. Dia telah menentukan agar Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan konsensus agar dua jawatan tertinggi parti itu dibrahminkan. Pencalonan Ku Li oleh sebahagian besar bahagian parti yang sudah pun bersidang akan menyanggah konsensus yang tidak mengikuti perlembagaan parti itu. Sekaligus, konsensus itu dibakul-sampahkan. Sekaligus, Mahathir akan merasakan namanya semakin hampir dengan tong sampah juga. Mahathir masih boleh berasa lega kerana namanya belum lagi mahu dikaitkan dengan tong ****** Inilah jenis tong, yang isinya pada satu ketika dulu diangkut oleh pengutip khas di malam hari.

Kesimpulan

Pelbagai cara telah dilakukan oleh Mahathir untuk menentukan jawatan presiden parti tidak diganggu-gugat. Nampak sangat kini, Mahathir sudah gelabah sehinggakan sanggup berpaut kepada Umi Hafilda untuk membantunya menegakkan benang basah di London. Itu semua menggambarkan betapa Mahathir sudah terlalu panik sehinggakan tidak berupaya memikirkan satu strategi yang mantap menentukan keunggulannya.

Semakin jelas Mahathir berada dalam satu situasi kebingungan. Dia pernah berusaha mengkucar-kacirkan pemikiran orang Melayu agar terus menyokongnya. Tetapi dia tidak terfikir bahawa sokongan berasaskan omongan kosong tidak pernah dapat bertahan lama. Kalau fikiran Melayu itu laksana pasir, Mahathir telah memutar-belitkan fikiran itu laksana pasir yang dimasukkan ke mesin pembancuh. Diputarnya pasir itu dan dimasukkan air ke dalam mesin pembancuh itu sebelum dimasukkan pula kapur dan simen. Apabila sudah sebati, campuran itu dikeluarkan dan dinamakan bancuhan simen. Kenapakah tidak bancuhan pasir ? Kalau pasir itu pemikiran akar umbi parti yang melambangkan fikiran rakyat pribumi negara ini, simen pula laksana fikiran MT, tentunya kapur adalah fikiran Mahathir. Apakah amat penting kapur itu ? Jadi tukang kapur sahaja ? Apa lagi yang mahu dikapurnya ?

Mahathir dijangkakan mendesak Paklah cuba mendekati para pemimpin veteran parti. Mahathir dan Paklah amat memerlukan sokongan mereka kini. Tetapi, siapakah di kalangan veteran parti yang sanggup memperagakan diri secara terbuka ? Bukankah itu menandakan berkorban diri namanya ? Sejak bilakah veteran parti sanggup menjadi wira korban untuk seorang pemimpin parti ? Perkara ini tidak berlaku ketika Dato Harun dipenjarakan. Ia tidak juga berlaku ketika Anwar Ibrahim diseksa, sedangkan ramai di kalangan veteran parti itu yang kita tahu mendapat banyak habuan menerusi projek yang Anwar tajakan.

Kita tahu salah satu strategi Paklah yang amat berkesan ialah menggunakan para pegawai tinggi kerajaan yang sudah bersara. Malahan, ramai juga pegawai kementerian sukan dan pendidikan yang menjadi belacinya. Melalui dua sumber tenaga manusia ini Paklah berjaya mendekati para veteran parti itu. Inilah pendekatan yang amat berkesan di masa lalu. Tetapi, inilah pendekataan yang tidak mungkin menjadi pada kali ini.

Mahathir dan Paklah harus sedar apa ertinya kebangkitan rakyat secara Islamiah. Apabila muncul panggilan takbir yang disambung-sambung secara bergilir, semangat juang rakyat marhain akan bangkit untuk bersiap sedia memerangi fitnah dan ajaran songsang yang cuba disogokkan ke benak kepala manusia. Rakyat sudah sedar kini seperti juga rakyat di negara Islam yang lainnya di mana fikiran mereka telah cuba dipesongkan begitu lama. Orang Melayu yang beragama Islam di negara ini amat sedar akan apa yang berlaku di negara lain seperti di Algeria, Libya, Iraq dan juga Turkey. Rakyat yang beragama Islam di negara ini amat sedar akan segala tipu daya yang sedang direncana untuk memperkenalkan pelbagai sistem pentadbiran yang mirip menekan kebangkitan Islamiah di negara ini.

Mahathir dan Paklah harus sedar akan kebangkitan rakyat dalam perkara ini. Inilah hakikatnya. Janganlah cuba menipu sejarah bangsa. Usahlah dipergiatkan memerangi rakyat sendiri dengan menggunakan semua golongan veteran parti. Bukan semuanya yang dihormati oleh akar umbi. Malahan sudah ramai yang dianggap laksana kayu mati sahaja. Kalau dijumpa di tepi pantai, mungkin dipungut untuk perhiasan pasu bunga. Tersilap langkah, ia dikumpulkan dan dijadikan bahan unggun api. Inilah hakikat yang disedari sendiri oleh sebilangan besar pemimpin veteran parti itu. Mereka tahu dan amat peka dengan pergolakan dalam parti.

Semakin ramai pemimpin veteran yang sudah sanggup berganding bahu dengan akar umbi dan membuka lipatan sejarah mengikut pengalaman yang mereka ada dan mengikut cerita yang mereka tahu. Mereka sedar Anwar Ibrahim adalah katalis kepada perjuangan membebaskan rantai yang membelenggu parti. Mereka tahu, lagi lama kes Anwar dikotak-katikkan di mahkamah, lagi perit perpaduan Melayu itu akan ditertawakan oleh seluruh dunia. Lagi cepat Mahathir dan Paklah memahami kenyataan ini adalah lebih baik lagi. Kalau tidak, amat sukar untuk kita membuat ramalan. Siapa lagi yang akan bermain kayu-tiga, dan siapa pula yang akan menjadi pelapisnya. Siapa pula yang akan menjadi kayu-mati ? Yang paling ditakuti sekali, menjelang Mei 11 itu nanti ialah kemungkinan siapa pula yang akan menjadi tunggul mati ?

Kalau seorang pemimpin politik diiktiraf sebagai tunggul mati, ia hanya membawa erti apabila fungsi tunggul mati itu diambil kira. Ada tunggul mati yang digunakan sebagai tempat orang mencacak colok untuk menghalau hantu. Ada pula yang kerap sangat digemari oleh anjing kurap. Memang, anjing kurap amat gemar mengangkat sebelah kakinya di tunggul mati, setiap hari.

Mahathir dan Paklah harus sedar akan kiasan ini. Anjing kurap tidak pernah mendekati tunggul mati bersaja-saja. Adalah sesuatu yang dipancutnya.

Marhaintua@Hotmail. Com.
10.2.2000



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com