Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Peperangan Besar Dalam MCA

Peperangan Besar Dalam MCA
(Chiaroscuro: Gun Fight At The MCA Corral)

Presiden MCA, Ling Liong Sik masih memegang keyakinan bahawa krisis yang menghambat MCA tidak akan menelan kewibawannya. Beliau masih enggan mengakui adanya perbelahan di antara dirinya dengan timbalannya Lim Ah Lek, sambil memberi amaran kepada akhbar dan para wartawan agar tidak menulis mengenainya. Dia beranggapan dengan bongkaknya bahawa dengan cara itu semuanya akan berada dalam keadaan biasa sahaja. Lim memang sudah lama meletakkan jawatan sebagai seorang menteri, sebaik sahaja krisis seperti itu mula meledak dulu. Kerana itu dia dianggap sudah tidak mempunyai sebarang hak keistimewaan kerana itu adalah hak keistimewaan Ling sebagai presiden MCA. Sikap keras kepala beginilah yang akan menjatuhkan Ling.

Krisis ini tercetus ketika masyarakat Cina sedang bergolak untuk mengenal pasti arah tuju masadepan mereka. Orang Cina memang semakin galak mengalihkan sokongan mereka terhadap MCA seperti yang dilakukan oleh orang Melayu terhadap UMNO. Ling semakin dipencilkan sebagai seorang pemimpin Cina seperti mana Dr.Mahathir dipencilkan oleh orang Melayu. Namun, Dr.Mahathir masih berupaya mempunyai pilihan lain untuk memperbaiki keadaan, Ling tidak pula mempunyai kemudahan seperti itu.

Isu MCA sekarang ini adalah serupa sahaja dalam setiap krisis yang dihadapinya sejak 1969 dulu. Ia adalah mengenai bagaimanakah dan bilakah akan munculnya seorang pemimpin MCA yang baru. Sesiapa sahaja yang menjadi presiden MCA selalunya akan mengenakan peraturan agar para pengikutnya memberikan kesetiaan yang tidak berbelah-bagi kepadanya. Dia juga mempunyai kuasa mutlak untuk menyingkirkan sesiapa sahaja daripada parti. Inilah caranya mencengkam kuasa dalam parti. Apabila ahli-ahli parti naik muak dengan kepimpinannya, cara untuk menghumbankannya ialah dengan mencetuskan revolusi dalaman di kalangan kumpulan politik dalam parti.

Itulah yang berlaku kepada Tan Chen Lock ketika dia mahu diusir keluar oleh Lim Chong Eu, tetapi beliau telah ditundukkan oleh anak lelaki Tan bernama Tan Siew Sin. Penggantinya Lee San Choon telah mengambil alih kuasa dalam satu krisis politik yang berakhir dengan penyingkiran beberapa pemimpin muda yang mendesak dilakukan pembaruan dalam parti. Neo Yee Pan telah menyingkirkan Lee San Choon. Tetapi dia pun terhumban beberapa tahun kemudiannya oleh Tan Koon Swan. Ling Liong Sik telah menendang Tan Koon Swan dan kini menunggu masa ditendang keluar pula oleh Lim Ah Lek.

Nampaknya, kewujudan MCA ialah untuk membolehkan beberapa pemimpin Cina menjadi ahli kabinet kerajaan pusat ataupun ahli dewan undangan negeri dan untuk mengisi beberapa jawatan empuk di seluruh negara. Masyarakat yang sepatutnya mereka wakili sudah pun sengaja menukar haluan dalam sokongan politik mereeka. Para pemimpin masyarakat telah mengalihkan haluan mereka sehinggakan berlakunya pertembungan antara kuasa budaya dan kuasa politik mereka.

Apabila pemimpin politik dan pemimpin budaya berganding bahu dalam suasana yang ceria, berkatnya dapat dinikmati oleh masyarakatnya. Apabila pemimpin politik membuat pendirian bahawa mereka lebih selesa memihak kepada kerajaan untuk kebaikan diri sendiri dan dengan tujuan memudahkan usaha memperkayakan ahli-ahlinya, maka lunturlah perjuangan mereka itu. Ciri-ciri ini tidak berlaku kepada MCA sahaja. Ia mudah berlaku kepada semua parti lain dalam kerajaan dan akan berjangkit juga kepada parti di pihak pembangkang.

Pergolakan untuk menjadi jagoan dalam MCA kini bertukar menjadi satu peperangan. Ling tersilap congak akan sokongan yang diberikan kepada Lim. Lim merupakan seorang ahli politik yang sebenarnya liat untuk cergas dalam dunia politik. Tetapi dia ditonjolkan ke tengah pentas sedangkan nalurinya sudah lama merintih untuk bersara. Sebagai pewaris kepada satu dinasti Kapitan Cina di Pahang, beliau memang sudah lama faham bahawa politik itu bukannya sesuatu yang boleh dipercayai sepenuhnya. Beliau bukannya seorang yang mudah melepaskan tugas dan tanggungjawabnya. Tetapi beliau juga bukannya seroang yang sanggup membisu melihatkan orang atasan yang menyalahgunakan kuasa mereka.

Akhirnya dua orang yang lama berkawan kini menjadi musuh ketat dalam politik. Seperti yang berlaku dalam UMNO dan MIC, presiden MCA mensyaratkan hak kuasa sepenuhnya ke atas parti dan mengharapkan kesetiaan yang padu kepada kuasanya. Perkara semacam itu hanya boleh laku selagi dia disanjungi sebagai seorang pemimpin. Apabila aura kepimpinan itu menghilang, dia mungkin mampu bertahan untuk seketika seperti yang dinikmati oleh Ling. Namun segala rekahan yang terdapat kepada permukaan sokongan yang palsu itu akan terserlah juga. Itulah yang terjadi akhirnya .

Lim memang telah lama mengelak ambisi menjadi presiden MCA. Dia lebih mementingkan kelicinan perjalanan parti. Tetapi, unsur begitu memang tidak disenangi oleh Ling kerana dia lebih seronok kalau dikelilingi oleh para juak dan para kroni. Lagi lama dia memegang tampuk kuasa, lagi jauh jaraknya daripada kebenaran akar umbi. Bermakna dia akan terus melekap kepada ekor baju presiden UMNO.

Pada tahun lalu tersiar berita krisis di antara Ling dengan Lim, sehinggakan Ling bertindak melepaskan jawatannya sebagai seorang menteri kabinet. Dia terpaksa menarik balik surat perletakan jawtan itu kerana presiden UMNO dan juga perdana menteri menegahnya. Inilah yang secara lahiriahnya membuatkan beliau menjadi seekor itik yang tempang. Dia mungkin boleh berlagak seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku, tetapi tarikh pupusnya sudah lama berlalu.

Ling telah mengarahkan agar media tidak menyiarkan berita mengenainya. Beliau telah berjaya mendapatkan sokongan beberapa negeri yang menyebelahinya. Tetapi, langkah yang serupa mampu juga dilaksanakan oleh Lim. Sejak itu terpasanglah kubu peperangan di antara mereka berdua. Usaha untuk mencari kambing-hitam pun bermula. Cuma, pembekuan berita mengenai krisis itu tidak dapat dipendam lama-lama.

Di waktu yang sama MCA telah semakin berenggang dengan para pengikutnya. Kelemahannya menangani isu Suqui, projek Sekolah Wawasan, dan Sekolah Cina di Damansara menjadi contoh penyebabnya. Malahan, MCA tersilap langkah apabila mendesak agar jawatan ketua menteri Pulau Pinang diserahkan kepada MCA sebaik sahaja keputusan pemilu ke-10 sudah diumumkan. Permohonan itu tidak disenangi oleh UMNO.

Ling dan Lim telah bertemu untuk meredakan keadaan. Mereka gagal kerana keadaan yang sudah lama teruknya. Kalau pun Ling menang dalam pusingan ini, dia tidak boleh berpatah balik ke pangkal jalan. Kemenangan itu hanya akan bersifat kejayaan selepas berlaku suatu kerugian yang besar sahaja. Ia merupakan sesuatu yang tidak berbaloi dan dia mesti melepaskan jawatan itu akhirnya. Jika tidak, segala remeh-temeh akan tercetus lagi di dalam MCA.

Soalan yang lebih besar sekarang ialah ke manakah hala tuju MCA itu? Seorang analis ada mengatakan bahawa MCA sudah menghala ke kancah kereputan.Yang mebuatkan kereputan itu semakin ketara ialah disebabkan semua parti komponen Barisan Nasional memang menghadapi masalah yang serupa.

Apa yang berlaku kepada MCA memang sedang berlaku dalam UMNO. Walaupun punca krisis dalam MCA tidak sehebat punca krisis dalam UMNO, ia tidak juga memberikan kelegaan yang selesa. Punca krisis MCA itu akan menghancurkannya, tidak kiralah apa yang akhirnya berlaku kepada UMNO.

Kalau dulu masyarakat Cina menguap besar dengan masalah MCA, kini mereka sudah dijangkiti kuak yang beracun pula. Sikap masyarakat Cina yang tidak mengendahkan krisis MCA tidak dapat membantu Ling dan para penyokongnya. Tetapi, sikap yang serupa sedang ditganggungi juga oleh dua lagi parti Cina: Gerakan dan juga DAP.

Lim nampak segala perubahan ini dengan lebih jelas lagi berbanding orang lain. Tetapi sesiapa juga yang akan menggantikan Ling perlu mengurangkan kuasa presiden parti mereka. Jika ini tidak dilakukan dan seandainya sokongan masyarakat Cina tidak diperolehi semula, besar kemungkinannya peluang MCA mempunyai wakil mengisi kerusi pembangkang di parlimen dan juga dewan undangan negeri akan menjadi satu impian sahaja. Itu sebabnya MCA perlu berusaha mendapatkan sokongan masyarakat Cina semula, kalau betul parti itu masih lagi mewakili mereka.

- MGG Pillai-
(Artikel asal adalah untuk terbitan Malaysiakini)

..............................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 2 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com