Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Yang Tersidai dan Tersadai

Kesan perdebatan parlimen rakyat di sana-sini sudah menunjukkan tidak ada yang spektakular yang boleh diharapkan daripada pemimpin UMNO sekarang ini. Semuanya sibuk dengan cerita siapa yang akan naik dan siapa yang akan jatuh. Rupanya, sejak pemilu ke-10 tamat, agenda utama sekali ialah pertandingan jawatan dalam parti pada Mei 11 yang akan menjelma. Ini bererti, apa juga masalah rakyat terpaksa dipinggir dulu sehingga tarikh keramat itu. Ironisnya sedang wakil-wakil rakyat sibuk ke sana sini dengan agenda itu, rakyat biasa pula sibuk seharian berkumpul sana dan berlonggok sini dengan agenda yang sama. Memang semakin ramai rakyat kita terutama sekali orang Melayu yang sanggup tersadai di tempat sembang-sembang saban hari membincangkan hal ehwal politik masakini.

Perangai manusia 'berlabuh' untuk berbincang politik di kedai-kedai kopi dan di wakaf-wakaf, tentu sudah mencapai tahap yang menggerunkan sehinggakan Tuan Guru Nik Aziz membuat teguran secara lantang akan perkara ini. Semalam, beliau meminta rakyatnya agar mengubah perangai ini. Yang pasti, tentulah ada sesuatu yang menarik Tuan Guru Nik Aziz ini. Jika tidak beliau tidak bersuara lantang akan hal itu. Apakah beliau amat curiga tentang cerita 'Tiga Abdul' yang masih hangat itu akan terus menjadi lebih hangat lagi ? Kita tidak akan bincangkan cerita 'Tiga Abdul' itu dulu kerana memikirkan kisah itu masih belum matang lagi. Ia belum sesuai untuk dibawa ke peringkat nasional. Biarlah dia berlegar-legar dulu di Kota Bahru dan bekisar dari Pengkalan Kubur ke Punggur Lalat sehingga ke Merapoh dulu. Masih ada banyak lagi cerita sensasi di peringkat negara yang perlu dibincangkan.

Bulan Beramakna Bagi Orang Kelantan

Kita boleh menjangkakan betapa mingu-minggu mendatang ini membawa banyak makna kepada orang Kelantan. Ia baru bermula dengan perlantikan Dato Mustapha Mohammad (ataupun Tok Pa) sebagai Penasihat Menteri Kewangan. Inilah perlantikan yang mencetuskan rasa tandatanya besar rakyat seluruh negara. Bukan sahaja di Kelantan. Ramai rakyat yang bertanya kenapakah dilantik seorang bekas wakil rakyat yang baru sahaja kalah dalam pemilu ? Apakah keistimewaan yang ada pada Tok Pa sehingga melayakkan beliau ke jawatan itu. Sedangkan Menteri Kewangan yang ada adalah seorang bekas boss beliau. Kalau kementerian memerlukan seorang penasihat kenapakah tidak dilantik Tengku Razaleigh kerana beliau amat berpengalaman di kementerian itu. Lagipun sebagai orang yang lebih kanan daripada Tun Daim sebagai Menteri Kewangan, tentulah perlantikan Ku Li lebih bermakna.

Apabila sesuatu perlantikan itu menimbulkan banyak tandatanya maka rakyat pun mulalah berbincang panjang-panjang. Mereka akan terus membincangakan perlantikan Tok Pa ini kerana terlalu banyak kekusutan daripada perlantikan itu, gamaknya. Pertama sekali, kita merasakan perlantikan Tok Pa adalah satu strategi terkini Dr. Mahathir memerangi pengaruh Ku Li yang dijangka akan menentangnya. Walaupun Ku Li belum pun menyatakan niatnya menentang Dr. Mahathir secara rasmi, kita menjangkakan Dr. Mahathir cuba berbuat sesuatu yang positif untuk menangkis serangan Ku Li itu. Soalnya sekarang, apakah sebenarnya tugas Tok Pa itu ?

Di peringkat awal ini, kita menjangkakan Tok Pa akan menumpukan tugasnya kepada kerja-kerja persiapan pembentangan belanjawan semula oleh Tun Daim yang dijangkakan berlaku di akhir bulan ini. Ini bererti Tok Pa akan membantu Dr. Shafie dalam kerja-kerja ini, walaupun Dr. Shafie pernah bertugas di kementerian yang sama satu ketika dulu sebagai setiausaha politik di situ. Oleh kerana Dr. Shafie dikatakan mempunyai sedikit masalah krisis identiti di kementerian itu (ada yang mengatakan berpunca pada peranan isterinya), kehadiran Tok Pa dijangka dapat melicinkan sebarang kekusutan yang ada.

Kehadiran Tok Pa sudah tentunya membawa sedikit kejanggalan kepada pegawai kanan di kementerian kerana sebagai seorang penasihat tentunya Tok Pa tidak boleh melewati kuasa ekskutif yang ada pada Dr. Shafie. Oleh kerana berkemungkinan kedua-duanya berada dalam jawatankuasa pengagehan tender kerajaan, apakah pula peranan Tok Pa yang berkesan dalam hal ini ? Di sini, kita nampak muslihat Mahathir melantik Tok Pa ke jawatan tersebut. Besar kemungkinannya tender yang lumayan akan digunakan untuk memancing sokongan daripada tempat yang diperlukan untuk menyokong Dr. Mahathir di hari pengundian nanti. Walaupun Tok Pa tidak mempunyai kuasa ekskutif dalam kementerian, pengalamannya dan kekanannya daripada Dr. Shafie akan memberi dia ruang untuk membuat kerja-kerja manipulasi yang menguntungkan Dr. Mahathir. Jika perkara ini berlaku, ia bermakna politik wang akan muncul sekali lagi dengan rentak yang lebih kencang daripada biasa. Dalam menentukan kemenangan bagi pihak yang sekarang ini jelas tersepit, politik wang adalah satu helah yang amat dimestikan. Perlantikan Tok Pa dikira amat penting sekarang ini.

Di samping itu pula kita dapat melihat semacam ada satu rencana yang licik yang sedang dirangka di antara Daim dan Mahathir yang membabitkan keputusan pemilu ke-10 bagi perlimen Jeli. Petisyen terhadap kemenangan PAS dalam pemilu itu sudah pun dibuat dan hakim dijangka membuat keputusannya tidak lama lagi. Di Jeli, sudah timbul desas-desus bagaimana beberapa orang sudah diupah untuk menjadi saksi bagi pihak BN. Malahan ramai di kalangan saksi tersebut terdiri daripada ahli PAS yang sanggup mengangkat sumpah sebagai saksi kerana kepentingan tembolok mereka. Apakah kemungkinnnya keputusan di Jeli itu memihak kepad Tok Pa ? Tentu sekali Tok Pa diisytiharkan menang. Apakah perlantikan beliau sebagai penasihat kementerian kewangan sudah mengambil kira kemungkinan itu ?

Ditakdirkan Tok Pa menang, apa pula jadinya dengan petisyen UMNO bagi pemilu yang lain ? Bagimana dengan Kapar (Kawasan Parlimen) Peringat yang menyaksikan tertumbangnya Anuar Musa ? Apahalnya dengan Kapar Pasir Mas yang membuatkan seorang putera katak terjun menjunam dan terus terbenam ? Kalau saksi upahan sanggup mengaku menerima upah yang tinggi daripada calon PAS dan BA, apakah tidak mungkin petisyen yang lain itu pun akan diterima oleh mahkamah ? Apakah pula impaknya nanti?

- Pentingnya Keputusan Mahkamah di Jeli

Keputusan hakim ke atas kes petisyen Kapar Jeli itu adalah sama pentingnya dengan tindakan hakim Ariffin dan Augustine Paul di setiap hari Anwar Ibrahim di bicarakan. Tentu kita masih ingat bagaimana tarikh tuduhan diubah beberapa kali untuk menyesuaikan dengan tarikh Tivoli Apartment dibina. Kemudian, tarikh pembelian tilam pun silap lagi dan terpaksa diubah lagi; kerana tilam masih belum dibikin oleh kilang ataupun belum terjual di kedai yang menjual tilam itu. Kalau perkara yang serius seperti di atas boleh diubah-ubah, apakah susahnya menjolok seribu dua kepada seorang petani yang sanggup menjadi saksi di mahkamah. Si petani itu bukannya kerugian apa-apa. Dia dapat duit dan merasa seronok sedikit kalau gambarnya tercongok di muka depan akhbar. Tentu dia akan merasakan syoknya buat sementara. Sultan Kelantan pun tidak pernah muncul di muka depan akhbar tempatan. Bukankah ini boleh menjadi bahan keseronokan tempatan masakini ? Mungkin ada yang sudah berfikir, lihat pada Filda. Dengan muka selamba pun dia mampu diterbangkan sampai ke London untuk membantu seorang perdana menteri. Mungkin sudah ada yang berani meletakkan harga yang tinggi untuk menjadi saksi. Kalau duit sudah menjadi motivasi, apakah susahnya menjadi saksi ?

Sikap orang yang sanggup mengorbankan semangat perjuangan inilah yang akan mewarnai bangku saksi di mahkamah. Mengapakah aku tidak berkorban seperti Filda untuk membantu seorang Menteri Kewangan ? Apa salahnya kalau aku berkorban secara ini kalau imbohan yang aku terima nanti sudah ukup menyara hidup aku sehingga mati ? Apa salahnya kalau aku berkorban sedikit bagi seorang pemimpin politik yang sememanggnya anak tempatan ?

Fenomena ahli-ahli PAS yang sanggup berkorban idealisma inilah yang harus diperhatikan oleh PAS dan juga parti politik yang lainnya. Satu ketika dulu, kita amat kagum dengan ahli-ahli PAS. Mereka cukup setia dengan perjuangan parti dan cukup taksub dengan idealisma parti. Tetapi, kini kita sudah nampak perubahan yang amat ketara dalam perjuangan sesetengah penyokong PAS itu. Mereka sudah dirasuk oleh fahaman berpartisan. Sudah ramai pengikut dan ahli PAS yang sanggup mengorbankan idealisma semata-mata kerana wang ringgit. Kenapakah begitu mendadak perubahan ini ? Apakah mungkin bahawa fenomena ini dibawa masuk oleh orang-orang yang dulunya ahli UMNO dan meninggalkan parti itu untuk menjadi ahli Semangat 46 ? Selepas Semangat 46 dibubarkan mereka masuk PAS kerana di tempat mereka tidak ada parti keADILan ? Ini adalah sesuatu yang serba mungkin. Jika ini benar-benar penyebab fenomena itu, bererti PAS sendiri sudah dijangkiti virus budaya sabsidi. Apabila sesuatu budaya itu dibawa masuk dari luar secara lembut dan dibiarkan berkembang secara senyap-senyap, pengaruh budaya yang mendatang itu akan diterima secara senyap-senyap juga sehinggalah terserlah ciri-ciri negatif yang dicetuskan.

- Bila Idealisma PAS dijual-beli

Saya ada menerima beberapa e-mail yang meminta saya menulis sedikit yang sensitif untuk menyedarkan orang-orang PAS. 'Nampaknya penyakit yang melanda wakil rakyat UMNO sudah mula menjangkit wakil rakyat baru PAS". Demikian beberapa e-mail yang saya terima. Kemudian diterangkan sedikit akan dalil-dalil kenapa si pengirim menulis seprti itu. Sebelum sesiapa lagi yang berkeinginan menulis kepada saya akan hal ini dan memburukkan wakil rakyat PAS yang baru itu, eloklah saya tarik breknya dulu dan angkat bendera merah dulu.

Adalah logik kalau kita tidak terburu-buru menuduh sesuatu, terutama sekali kepada pemimpin PAS yang baru sahaja menang kerusi mereka. Berilah tempoh sekurang-kurangnya seratus hari untuk mereka merasa nikmat kerusi wakil rakyat itu. Mereka pun manusia biasa. Berilah mereka ruang untuk menyesuaikan diri dan memahami tugas baru mereka. Sebenarnya bukan mudah untuk menjadi seorang wakil rakyat. Masa seharian mereka tidak lagi menjadi hak mutlak mereka. Malahan, pergerakan mereka menjadi tontonan rakyat. Sikap masyarakat terhadap wakil rakyat adalah satu sikap yang sudah jauh terpesong daripada tujuan sebenarnya wakil rakyat itu dilantik kepada jawatannya. Inilah kesilapan UMNO yang paling besar sekali.

Kenapa Wakil Rakyat Diburu oleh Masyarakatnya

Pada satu ketika dulu, ketika negara baru sahaja mencapai kemerdekaannya, wakil rakyat dipandang sebagai seorang wakil untuk bersuara di dewan dan membantu rakyat yang bermasalah dengan pejabat kerajaan. Inilah tafsiran wakil rakyat itu yang sebenarnya. Kerana itu kita lihat pada satu ketika dulu seorang wakil rakyat bernama Dato Kampo Rajo (Selangor) kerap mundar- mandir di kawsan pilihanraya dengan menggunakan bas awam sebagai penumpang biasa. Dia akan duduk di bahagian depan bas dalam urusan hariannya. Walaupun ramai orang yang mahu membelikan kereta dan ada juga taukeh-taukeh yang sanggup menyediakan pemandunya sekali, Dato Kampo Rajo tetap dengan resminya menaikki bas awam. Saya belum pernah mendengar wakil rakyat lain yang bersikap seperti beliau itu sehingga ke hari ini.

Persepsi rakyat terhadap wakil rakyat berubah 180 degree setelah pemilu ke-2 diadakan. Ini berlaku kerana wakil rakyat yang lama dan menang semula, sudah semakin pintar dengan tugas mereka. Mereka sudah pandai akan tipu helah menjadi seorang wakil rakyat. Mereka sudah sedar betapa pentingnya mengekalkan imej sebagai Yang Berhormat. Mereka sudah mengamalkan falsafah politik Charles de Gaulle. Pejuang kebebasan Peranchis ini penah berkata ; "Kekuasaan akan nampak bersengat kalau jarak di antara seorang pemimpin dengan yang dipimpinnya itu sentiasa di jauhkan." Kerana itu kita lihat, ada rakyat yang terpaksa menunggu wakilnya di pejabat selama berhari-hari secara berulang-ulang semata-mata untuk berbincang dengan wakilnya itu untuk lima minit sahaja. Penantian yang begitu lama apabila tertunai, membuatkan perjumpaan yang tidak sekadar mana itu menjadi satu majlis yang amat bermakna bagi pihak yang miskin dan memerlukan bantuan.

Inilah budaya penjajah yang lama dan yang sudah sebati dengan pemimpin UMNO. Kita mungkin kerap melihat upacara pemberian hadiah oleh pemimpin politik, setiap hari. Cuba lihat kalau ada beberapa penerima hadiah itu daripada golongan yang cacat anggotanya. Jarang sangat kita melihat seorang pemimpin itu yang mahu ke depan menyongsong penerima hadiah yang cacat itu. Kenapa ? Kerana budaya menunggu si penerima datang ke depan batang hidung telah melalaikan si Yang Berhormat itu untuk keluar daripada kepompong paradigma yang menjadi amalan hariannya.

Oleh kerana dilalaikan oleh sanjungan yang diberikan oleh rakyat makanya ramai wakil rakyat yang terbawa-bawa dengan keseronokan yang diberikan. Memang kita mesti akui adalah satu budaya orang Melayu dan juga orang India yang memberikan layanan yang berlebih-lebihan kepada sesiapa yang dihormatkan itu. Ini merupakan satu sikap yang dibudayakan oleh penjajah dulu. Kerana itu orang Melayu dan India amat taksub dengan apa yang dikatakan 'kedaulatan' raja-raja dan pemimpinnya. Apabila peranan raja-raja itu diambil-alih oleh wakil rakyat, kita dapati segala kegemilangan yang sepatutnya diberikan kepada warga istana itu dulu, telah dilimpahkan pula kepada wakil rakyat. Malahan, layanan yang lebih bersifat mengada-ada telah diperpanjangkan pula. Layanan berlebihan itu telah diluaskan kepada isteri wakil rakyat pula seolah-olah mereka itu adalah permaisuri raja ataupun ratunya. Sekali lagi rakyat menjadi tertipu kerana budaya menghormati orang yang dimuliakan mengikut rentak yang direncana oleh UMNO juga. Dengan bahasa kampung, rakyat sudah disanggah budaya sanggup tersadai lama-lama di satu majlis menunggu wakil rakyat dan isterinya datang. Apabila tiba mereka pun duduk tersidai di majlis itu.

Inilah bermulanya masalah di beberapa kawasan yang dulunya dimenangi oleh UMNO dan kini diambil alih oleh PAS ataupun calon BA. Budaya ampu-mangampu yang mewarnai majlis tajaan UMNO cuba dibawa masuk ke dalam majlis tajaan BA kerana memikirkan itu adalah amalan yang biasa di sesuatu tempat itu. Gejala ini, apabila dibiarkan tanpa dikomen di tahap awal akan menjadi satu amalan baru bagi upacara parti BA, dan mungkin mencetuskan tandatanya yang sukar dijawab dengan mudah. Semoga ruang ini mencukupi untuk memberi ingatan kepada wakil rakyat baru yang naik melalui bendera PAS dan BA. Cukuplah begitu sahaja komen kita. Cuma kita minta para pengikut setia PAS dan BA harus menyedari satu hakikat, bukannya mudah menjadi wakil rakyat. Ini adalah satu cabaran yang boleh diterima hanya oleh manusia istimewa yang sanggup berjuang untuk rakyat dan negara tanpa ada penyelewengan dalam nawaitunya. Apabila dia menyeleweng, walaupun untuk satu agenda yang tersendiri, nawaitunya itu akan berganjak daripada landasan asal dan menjerumuskannya ke kancah penipuan dan kehinaan juga akhirnya. Inilah dilemma Mahathir masakini.

Apabila Pemimpin Jauh Menyimpang

Sebenarnya, pemikiran orang Melayu sudah lama diracuni oleh ajaran songsang seorang politikus yang amat licik berpolitik. Kelicikannya ini ada hubungkait dengan kepintarannya menuduh orang lain berbuat kelakuan yang menjijikkan masyarakatnya. Tetapi, di waktu yang sama beliau amat kerap melakukan perbuatan yang dicemuhnya secara proksi. Kalaupun ada sesuatu perbuatan yang menjijikkan itu tidak dilakukannya sendiri, dia seolah-olah merestui orang lain kesayangannya melakukan perbuatan itu. Apakah agaknya perkataan khas yang boleh merakamkan perbuatan terkutuk manusia jenis ini ?

Kita mampu tertawa setiap hari bila membaca sorotan kes mahkamah Anwar Ibrahim. Ada saja perkara yang menjadi bahan tertawa dirakamkan dalam mahkamah itu. Ia bermula dengan tuduhan-tuduhan yang berderet-deret sehinggakan membabitkan bukti-bukti yang berderet pula. Tetapi, apa sudahnya dengan tuduhan itu ? Bukti terunggul yang bernama Tivoli Apartment belum pun siap di waktu tuduhan itu dibuat. Apa lagi dengan tilam dan bilik yang dikaitkan dengan tuduhan. Kalau kita tonjolkan perkara ini di mahkamah lain di dunia ini sudah tentu kes Anwar Ibrahim itu sudah lama dibakul-sampahkan dan Anwar sudah lama dibebaskan. Tetapi, apakah jadinya ? Ia masih berpanjangan lagi seperti juga kisah pengusungan tilam bertompok tiga belas yang sudah tidak relevan lagi itu.

- Kes Anwar Sudah Tidak Relevan

Kes Anwar sebenarnya sudah tidak relevan lagi. Ia sengaja dipanjangkan untuk membolehkan masa menyebelahi seorang pemimpin yang amat gilakan kuasa. Dengan kelonggaran masa itu diharapkan sesuatu yang ganjil akan berlaku. Samada, akan terjumpa satu bukti sahih yang boleh diperbesar-besarkan, ataupun sesuatu yang amat memilukan berlaku kepada tubuhdiri Anwar sendiri. Inilah mainan politik yang amat jijik. Adalah tidak keterlaluan, kalau kita andaikan segala tipu helah melambat-lambatkan prosiding mahkamah adalah mengandungi agenda yang tersendiri. Ia bertujuan menunggu masanya bilakah nyawa Anwar dapat dihapuskan. Andaian ini mungkin keterlaluan. Tetapi, dalam peperangan andaian sebeginilah yang perlu diambil kira kalau kemenangan mahu ditentukan.

- Hina Islam untuk Jatuhkan Anwar dan PAS

Cerita Nabi Mohammad (saw) tidak mencukur janggut "kerana di zaman nabi tidak ada pisau cukur" adalah satu polemik yang sungguh klasik. Ia menjadi klassik kerana orang yang menyebutnya ialah seorang pemimpin politik Melayu yang dianggap terulung sejak dua puluh tahun yang lalu. Inilah pemimpinnya yang dianggap serbatahu oleh orang Melayu. Inilah pemimpinnya yang disanjung-sanjung kerana keupayaan menegakkan syiar nama Melayu di bibir negara maju. Tetapi, apakah benar semua itu ?

Bagaimanakah seorang yang diiktiraf serbatahu boleh tersilap dan terlupa akan ketiadaan pisau cukur di zaman nabi kita ? Bukankah ketika itu sudah banyak pedang panjang yang dibuat daripada pelbagai sumber besi waja ? Kalau pedang panjang boleh dibuat orang, apakah pisau cukur tidak boleh dicipta ? Sebenarnya orang kampung hanya mampu tertawa dengan kandunguan itu kerana sudah berpuluh tahun dulu lagi orang kampung sudah menyimpan kitab "Nabi Bercukur' di rumah mereka. Mungkin Mahathir tidak tahu akan wujudnya 'Kitab Nabi Bercukur' itu, tetapi dia mesti tahu bahawa di zaman nabi dulu ada pasukan kuda yang digembeling menentang musuhnya. Malahan ada cerita bagaimana Nabi pernah mengampunkan seorang budak tukang tapak kuda daripada kaum lain yang memusuhi kaumnya. Kalau tapak kuda yang sungguh rumit untuk membuatnya sudah pun wujud ketika itu, apakah lagi yang disangsikan tentang kewujudan pisau cukur ?

Di sini kita boleh menyorot cara Mahathir berfikir. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini banyak buah fikirannya bercanggah dengan amalan dan budaya orang Melayu yang beragama Islam. Kerap sangat dia dicemuh oleh rakyat marhain yang mendengar buah fikirannya itu. Apa yang merunsingkan kita ialah buah fikirannya itu nampak sangat datang daripada otak manusia yang bukan orang Melayu apatah lagi orang yang beragama Islam. Yang lebih merunsingkan ialah bagaimana Mahathir boleh celupar dengan kata-kata yang bertentangan dengan ajaran Islam. Apa jadi dengan segala penasihat agama Islam yang berkeliaran di Jabaran Perdana Menteri itu ?

Apakah benar desas-desus betapa Mahathir amat degil untuk memahami ajaran Islam kerana beliau telah dipukau oleh pemikiran yang anti-Islam? Apakah benar Mahathir masih lagi keliru dengan perbezaan di antara ilmu wahyu dan ilmu duniawi ? Kenapkah tidak ada sesiapa yang sanggup memberikan ataupun membelikan buku ilmiah yang menunjukkan perbezaan di antara "Revealed Knowledge and Acquired Knowledge". Kalau dia mampu membuat projek mega dan membaca pelbagai buku falsafah pemimpin dunia ini, adalah tidak mungkin beliau mengenepikan buku ilmiah yang kita catitkan itu. Mahathir sengaja menghina Islam untuk melemahkan pengaruh pemimpin Islam di dalam PAS dan pengaruh Anwar Ibrahim di dalam UMNO. Inilah perangai Mahathir selama ini yang direncanakannya selama lebih 20 tahun lamanya semata-mata kerana gilakan kuasa.

Perbodohkan Orang Lain Untuk Terus Berkuasa

Ketika saya menulis dan mengkritik falsafah membiarkan pergerakan pemuda UMNO menjadi sarang berkonspirasi, saya telah didatangai pelbagai reaksi yang menyokong idea itu. Di dalam Siri 29 SLPB yang berjodol "Rentak Juang Yang Hilang" saya ada mempertikaikan kewarasan membiarkan ahli yang sudah melepasi umur 30 tahun menjadi ahli pergerakan parti. Di bawah tajuk 'Kenapa Pemuda UMNO Pincang' saya ada membuat beberapa kritikan dan cadangan yang saya fikirkan amat membina untuk masa depan UMNO. Sehingga kini tidak ada sesiapa yang sanggup membincangnya secara terbuka. Mereka seolah-olah terpukau dengan kritikan itu. Semalam seorang menteri sumber manusia ada menyebutkan takrif umur warga negara tua di Malaysia ialah seseorang yang sudah berumur lebih 60 tahun. Ini memperkuatkan lagi saranan saya itu. Selagi UMNO membiarkan ahli yang di bawah 50 tahun menganggotai pergerakan Pemuda UMNO, selagi itulah UMNO akan bergolak laksana satu kumpulan manusia yang berada di kandang minuman todi. Kalau tidak percaya pergilah ke ladang estet selepas pukul lima petang dan lihat bagaimana para pekerja yang keletihan beratur untuk mendapatkan bekalan todi mereka.

Fenomena yang berlaku di pergerakan Pemuda UMNO itu amat disedari oleh Mahathir. Tetapi, dia sengaja membiarkannya kerana tahu bahawa pergerakan Pemuda UMNO adalah tempatnya untuk merancang setiap konspirasi. Segala-galanya boeeh direncana di sana. Untuk berkempen menjatuhkan sesaorang ataupun berdemo di hadapan kedutaan asing, semuanya boleh dicetuskan dalam pergerakan itu. Kejayaan projek inilah yang meyakinkan Mahathir merencana sesuatu yang mengaibkan Anwar di mahkamah.

Kemudahan mengkotak-katikkan pergerakan Pemuda UMNO itulah yang menjadi asas bagaimana pergerakan wanita harus diawasi secara kawalan 'remote'. Ini harus dilakukan dengan menentukan pemimpin wanita itu datangnya daripada seorang yang sudah lama dapat dikawal juga. Tidak kiralah pemimpin itu seorang yang celupar mulutnya ataupun seorang yang perasannya tidak terhingga bahawa dialah wanita Melayu yang serbatahu di dunia.

Kesimpulan

Adalah amat malang, orang Melayu yang sepatutnya merancang satu agenda mantap mengharungi alaf baru ini, masih lagi terkapai-kapi di takuk lama. Fikirannya terus mencelaru kerana igauan yang datang tanpa hentinya. Isu dunia politik Melayu telah membuatkan ramai rakyat yang sanggup duduk tersadai di kedi-kedai kopi, di atas tunggul mati dan di mana sahaja untuk membazirkan masa. Mereka melakukan perdebatan di parlimen rakyat yang tidak menjanjikan gaji dan elaun bulanannya.

Siapakah yang dapat menjangka bahawa perangai Melayu di zaman penjajah mencetuskan Malayan Union, sudah muncul kembali ? Kini, orang Melayu berdebat seharian membincangkan dilemma Anwar Ibrahim. Ramai lagi yang bertegang leher membincangkan peranan Ku Li menyanggah Mahathir bagi jawatan utama presiden UMNO. Apakah semua ini akan berlaku untuk menguntungkan orang Melayu ?

Kalau kita lihat prestasi BSKL, nampak sangat akan adanya rencana mega untuk menonjolkan ekonomi Malaysia sebagai ekonmi yang sudah pulih. Untuk apakah usaha itu kalau hanya untuk menonjolkan kewibawaan seseorang yang mahu terus berkuasa ? Apakah tidak mungkin rakyat akan dikejutkan dengan satu siri pengemuman yang mebolehkan rakyat leka akan keadaan sebenarnya ? Semua petunjuk sudah nyata memihak kepada satu ura-ura menonjolkan Mahathir sebagai pemimpin Melayu terulung dunia yang tidak ada tolok bandingannya. Dia sudah berkali-kali menyatakan bahawa dia tidak akan berundur untuk menjadi menteri kanan negara seperti Lee Kuan Yew di Singapura. Tetapi, dia tidak pernah berkata dia mahu menjadi presiden UMNO seumur hidupnya. Dia juga tidak pernah berkata mahu menjadi seorang gabenor apabila bersara daripada politik.

Apa juga yang difikirkan untuk menentukannya terus berkuasa, kita mahu menyampaikan satu pesanan kepadanya. Rakyat berhak mendapatkan kembali harta negara daripada sesaorang yang menipu bangsanya. Walaupun pemimpin itu sudah mati dan tiada di negara ini lagi. Apabila ini berlaku rakyat berhak tersadai di mana-mana mengikuti bukti nyata yang akan disidaikan.

Di samping itu pula, kita ingin mengirim pesan kepada semua ahli UMNO. Apa susahnya sangat menentukan siapa yang harus memimpin UMNO di alaf baru ? Kenapakah selalu sangat para veteran seperti Tok Mat Bulat menyarankan kemungkinan Ku Li menang mudah menentang Pak Lah ? Bukankah ini satu muslihat untuk memancing perhatian rakyat bahawa jawatan Presiden parti tidak dipertandingkan ? Lihatlah betapa liciknya jarum yang cuba dimasukkan dalam pemikiran Melayu UMNO.

Setiap jalan ada bahagian tengahnya. Kenapakah tidak difikirkan masalah ini mengikut jalan tengahnya ? Apa kata kalau dikemukakan satu resolusi di perhimpunan agung nanti yang berbunyi ; 'Ahli yang mahu menjadi presiden parti mestilah berusia di bawah 70 tahun sahaja' Bukankah ini memberi satu ruang untuk orang Melayu mengelakkan pening kepala yang tidak menentu ? Bayangkan kalau kita kerap dihantui oleh janji-janji palsu seorang pemimpin ulung bangsa kita. Apakah gunanya kita mengharapkan beliau menunaikan janjinya sedangkan janji itu tidak pernah ditunaikannya. Apakah kita tidak sedar bahawa seorang pemimpin yang selalu sangat memungkiri janji adalah layak diketepikan dan tidak boleh dipercayai lagi ?

Sebenaranya seluruh bahagian UMNO yang sayangkan negara ini dan bangsanya harus bersatu dan mempertahankan maruah bangsa Melayu. Sudah ramai orang Melayu yang bergelar pemimpin yang sanggup mensabotaj maruah bangsa semata-mata untuk berkuasa. Kini, kita tahu sudah ada balasan dari Allah yang membuatkan otak manusia boleh bergegar. Apakah kita mahu tunggukan gerakan Allah membuatkan semua otak Melayu seluruhnya bergegar ? Ambillah jalan tengah dan buatlah resolusi itu dengan berani. Inilah evolusi yang akan menukarkan semangat bangsa.

Inilah yang dikatakan reformasi dalam parti.

Marhaintua@Hotmail.com
12.2.2000



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com