Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Teman Ketawa Yang Berkurangan

Teman Ketawa Yang Berkurangan
(In Indonesia, fewer laughs for president)
By: Rajiv Chandrasekaran - Washington Post

Presiden Abdurrahman Wahid memang tidak ambil pusing mengenai tatasusila kasta. Dia merupakan seorang yang suka bergosip dengan mudah menggunakan kata-kata yang terpancar di fikirannya, walaupun dia kerap mengguris perasaan rakan politiknya. Puluhan pemimpin politik, tokoh perniagaan dan ramai lagi yang pernah menyokongnya naik menjulang di puncak kuasa yang ada sudahpun bergabung mahukan beliau mundur.

Wahid memang tidak takut berkonfrontasi dengan para saingannya walaupun dia sudah tiga kali dihenyak angin ahmar yang kini sudahpun mencemarkan penglihatannya. Namun, dia terus menyibarkan dakwah toleransi kepada warga negaranya yang kini dimendungi keganasan etnik, keagamaan dan puak pemisah seperti berlakunya pembunuhan kepada 400 pendatang Madura di Borneo (Kalimantan) sejak dua minggu yang lalu disebabkan pribumi Dayak di situ.

Tujuh belas bulan yang lalu, ketika beliau mula berkuasa, beberapa peragainya yang ganjil itu dianggap sebagai satu asset penting, yang membolehkannya menangani masalah Indonesa untuk menerima amalan demokrasi setelah tiga abad dicengkam pemerintahan kuku-besi.

Ternyata, kelakuannya yang seba ganjil itu telah menggugat ketokohannya sehinggakan meruntun negara yang nombor empat ramai penduduknya di dunia ini, menghadapi satu krisis politik yang mungkin berakhir dengan tindakan mendakwanya di mahkamah dan berkemungkinan melakar satu peralihan kuasa yang sungguh menggelodak sehingga menjejaskan stabiliti keseluruhan Asia Tenggara.

Pada bulan yang lalu, parlimen Indonesia telah memberi amaran kepada Wahid kerana gagal mengistiharkan hadiah bernilai $2juta dollar daripada Sultan Brunei dan juga kerana pembabitannya menyalahgunakan $4.1 juta dana agensi pengagihan makanan kerajaan yang dilakukan oleh orang-orangnnya yang mendakwa mereka bertindak bagi pihaknya termasuk juga tukang urutnya. Walaupun siasatan telah membuktikan beliau tidak terbabit secara peribadi dalam dua rancangan penipuan itu, amaran mereka itu akan berkesudahan dengan tuduhan mahkamah terhadapnya tidak lama lagi.

WAHID PERTAHANKAN DIRI

Wahid yang berusia 60 tahun itu masih bertegas betapa dia tidak bersalah dan enggan mundur. Dalam satu wawancara terbaru, dia berkeyakinan bahawa usaha menghukumnya itu adalah “dipelopori oleh golongan elitis yang sengaja mahu mengkucar-kacirkan negara.”

Sambil duduk selesa di ruang tamu di istana presiden, Wahid nampak riang sambil memberikan gambaran bagaimana dia bertujuan untuk memulihkan kuasanya.

Para pengkritik Wahid berkata dia tidak ambil pusing terhadap pergolakan politik, ekonomi dan masalah sosial terutama sekali puak pemisah dan kegaganasa puak-puak yang berkemungkinaan mendesak negara itu meniru pergolakan Balkan dulu.

KRISIS

Semakin ramai para pegawai kerajaan dan analis yang berpendapat bahawa Indonesia tidak mampu meladeni perangai presiden yang tidak ikhlas itu. Ketika krisis Borneo (Kalimantan) meledak, Wahid telah menolak seruan ahli politik lain agar memendekkan lawatannya selama 15 hari ke Timur Tengah dan Afrika, dengan berkata bahawa keadaan “ sedang terkawal” walaupun ketika para perusuh di kalangan sukarelawan pribumi sedang mengganas memenggal kepala pendatang sehinggkan pasukan keselamatan lari lintang-pukang.

“Ternyata betapa dia gagal menjalankan tugasnya,” kata Fikri Jufri, penerbit Tempo, majallah mingguan terbesar di negara itu.

Di tahap awal kekuasaannya, Wahid telah menerima pujian kerana membebaskan para banduan politik regim Suharto, sambil memberi kebebasan kepada akhbar dan memecat ketua angkatan tentera Jeneral Wiranto yang telah bertanggungjawab kepada kemusnahan Timur-Timur. Wahid cuba menonjolkan imej negaranya dengan melakukan beberapa dozen lawatan keluar negara di mana dia mampu menarik sokongan negara tuanrumah dan berjaya mendapat sokongan dan bantuan kewangan.

Kenikmatan itu tidak bertahan lama kerana mengikut beberapa orang yang rapat dengannya, Wahid terlupa betapa dia naik secara “accidental president” sedangkan parti politiknya cuma memenangi 11 persen kerusi parlimen. Di Indonesia, sesaorang presiden itu dipilih oleh para perwakilan, dan Wahid telah berjaya memintas Megawati Sukarnoputri dengan meraih sokongan para konservatif dalam parti Islam yang lain, yang memang tidak berkenan kepada calon presiden perempuan. Megawati menjadi Timbalan Presiden dan Wahid telah menubuhkan satu kabinet campuran yang mengambil kira ahli parti timbalannya itu dan juga daripada Parti Golkar yang pernah memerintah dulu serta beberapa parti Islam yang lain. Sayangnya, Wahid telah meminggirkan hampir semua rakan kongsinya.

Wahid telah menyentuh perasaan Megawati yang mempunyai saham besar untuk menentukan keteguhan kuasanya, dengan memungkiri janji-janji untuk memberikan kuasa mentadbir urusan harian negara dan dengan berjenaka mengenai kelakuan beliau pula.

“Sepatutnya Gus Dur tidak memusuhi parlimen ataupun Megawati,” kata seorang bekas penasihat Wahid, sambil menggunakan nama kemesraan beliau. “Mana boleh dia lakukan semua itu sedangakan dia mempunyai hanya 11 persen kuasa sahaja.”

Tetapi, Wahid memang amat kerasan mengeluarkan arahan yang tidak boleh dimungkiri, kerana itulah perjalanan hidupnya selama ini. Sebelum menjai presiden, dia menguruskan Nahdatul Ulama, yang mempunyai keahlian 30 juta insan. Inilah organisasi sosial terbesar di negara Islam, yang telah diasaskan oleh datuknya dan diambilalih oleh bapanya. Walaupun dia memang menunjukkan komitmen terhadap prinsip demokrasi, namun dia mengetuai NU itu laksana seorang diktator berhati besi.

“Nahdatul Ulama adalah satu dinasti keluarga, di mana apa yang keluar dari mulutnya dianggap kata-kata keramat belaka,” kata penasihatnya itu. “Gus Dur menganggap Indonesia laksana satu versi NU yang terbaru. Dialah gurunya dan negara itu adalah para pelajarnya.”

Akibatnya, dia mudah memberikan arahan dan menukarnya semula tanpa memikirkan kesan politik daripada tindakannya. Orang yang rapat dengan Wahid berkata bahawa perangainya yang sukar ditelah itu bermula daripada satu serangan angin ahmar pada 1998. “Dulu dia memang seorang yang berpendirian tegas,” kata seorang bekas pembantu kanannya. “Keadaan sudah berubah, dia mudah tersentuh perasaan dan merasa kurang selesa dan mudah melenting dan menyerang. Dia lupa mengenai masa dan cara menangani masalah secara bijaksana. “

Oleh kerana kadar penglihatan yang terhad, dia bergantung harap kepada para pembantu dan ahli keluarganya untuk membacakan akhbar, surat-surat dan laporan rasmi. Mengikut mereka yang rapat dengannya, kerja-kerja itu bukannya satu proses yang enteng. Pernah terjadi satu peristiwa satu minggu sebelum meledaknya beberapa letupan bom yang merobek beberapa gereja di seluruh negara menjelang Upacara Krismas. Jabatan risikan telah menghantar satu laporan kepada istana memberi ingatan kemungkinan berlakunya keganasan menjelang cuti lebaran. “Cara pengendaliannya tidak bersistem dan tidak pula menyeluruh,” kata Greg barton, seorang akademik Australia yang sedanga menulis biografi presiden.

Di kalangan orang dalamannya, hanya tiga insan yang amat dipercayai oleh Wahid: anak perempuannya Yenny, yang berusia 26 tahun, adiknya Umar Wahid, seorang pakar perubatan; dan anak saudaranya Syafullah Jusuf, yang menggetuai pergerakan pemuda NU yang mempunyai pengikut berjumlah 400,000 ahli dan yang telah berikrar untuk mempertahankan kuasa presiden dengan apa cara jua.

Para pembantunya berkata Yenny, bekas pegawai penyelidik akhbar yang tidak ada pengalaman berpolitik, merupakan de facto ketua staf, yang merancang segala jadualnya, menyaring para tamunya; dan memilih apa yang perlu dibacakan kepada telinganya. Beberapa pembantu berkata: Yenny kerap mengenepikan berita buruk daripada pengetahuan bapanya untuk mengelakkan bapanya terganggu kerana tekanan darahnya diawasi empat kali setiap hari. “Dia mahu mengembirakannya dengan berita ,” kata seorang penasihat. “Dia tidak mahu bapanya berada dalam keadaan yang tertekan.”

Kebelakangan ini Wahid nampaknya lebih berminat dengan krisis politik yang berbeza: Bagaimana Presiden Harry Truman mengnyahkan Jeneral Douglas MacArthur. Dia telah mendengar buku audio mengenai peristiwa itu yang dianggapnya persis cara dia memecat Wiranto. “kita ada banyak persamaan,” kata Wahid sambil mencadangkan betapa dia seperti juga Truman akan mewariskan satu legasi selepas lama dia meninggalkan kuasa.

Sambil mengakui bahawa kepimpinan yang penuh keegoannya itu menjadi penyebab utama kepada masalah yang menghantuinya, Wahid telah bersetuju untuk mendapatkan khidmat para penasihat politik yang professional. “Saya akan serahkan semua itu kepada pakar-pakar unTuk menentukannya,” kata beliau. “Kita akan melihatkan satu rupa kuasa presiden yang berbeza selepas ini dan seterusnya.” Tetapi, ramai orang yang rapat dengan Wahid, baik dulu, kini danmungkin selamanya memang meragukan kemampuannya untuk berubah sikap.

Kata seorang bekas penasihatnya; “ Usahlah kita mudah tertipu memikirkan betapa dia boleh dibentuk ataupun berubah.”

.....................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua

Disediakan khas sebagai menyambut emel daripada peminat di Jakarta. - MT


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 9 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com