Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Lumba F1 Malaysia Terkandas Sebelum Bermula

Lumba F1 Malaysia Terkandas Sebelum Bermula
(Malaysian F1 Race Crashes Before It Starts)

Lumba kereta Formula One yang akan dilangsungkan di Malaysia semakin menunjukkan kegagalannya, sebelum ia dimulakan lagi. Hannya seminggu sahaja lagi sebelum March 16 perlumbaan itu akan dimulakan, hanya 30% daripada 94,000 (sembilan puluh empat ribu) tiket yang sudah terjual. Hotel telah menaikkan harga sewa bilik sehingga tiga kali ganda, tanpa mahu memberikan sebarang diskaun kepada sebutan harga tetap itu. Nampaknya ketegasan pihak hotel dengan kenaikan harga itu telah menaikkan komplen FIA. Pihak kerajaan menyatakan betapa ia tidak mampu melakukan sesuatu ke arah itu, seperti yang pernah dilakukannya ketika hotel di Langkawi menaikkan harga sewa setiap kali ada sahaja persidangan antarabangsa dilaksanakan di situ. Tetapi, memang ada undang-undang mengenai kenaikan harga dan ada sebuah kementerian yang berkuasa akan hal itu. Kenapakah kementerian ini tidak berbuat sesuatu?

Pihak hotel pernah berlagak seolah-olah mereka sedang meraih keuntungan sedangkan itu adalah satu pembohongan biasa. Kerana itu mereka memerlukan upacara seperti F-1 untuk menurunkan kerugian mereka. Pelanggan hotel yang kerap menggunakna hotel di negara ini ketika berurus niaga, telah menempah bilik hotel mereka enam bulan dulu ataupun lebih awal dari itu. Kini mereka diberitahu bahawa harga sudah naik lebih 50% daripada harga dulu. Yang lebih teruk lagi, Kabinet telah memberi arahan supaya TV3 tidak membuat laporan lintas langsung supaya rakyat marhaen pergi menonton perlumbaan itu. Tetapi, apakah adil untuk mendera rakyat Malaysia kerana kegagalan pihak penganjur menjual tiket? Buat masa ini, perlumbaan itu merupakan lencongan yang menarik daripada keadaan hidup yang semakin membosankan, teristimewa sekali kepada rakyat marhaen di desa dan kampung. Sudah tentu ini akan menjadi satu lagi perkara dalam senarai panjang rintihan rakyat terhadap kerajaan.

Memang tidak ada kempen di peringkat antarabangsa untuk memancing penonton. Terdapat satu pasukan daripada Malaysia yang pergi menjual tiket di perlumbaan Melbourne F-1. Inilah perlumbaan pusingan pertama pada musim ini. Pasukan penjual tiket ini mampu menjual hanya sekitar 50 tiket sahaja, menunjukkan mereka leka menonton perlumbaan daripada menjual tiket. Bayangkan mereka disediakan dengan 140,000 penonton di sana yang datang daripada merata pelusuk dunia. Kalau manusia sanggup terbang jauh daripada Eropah dan Amerika untuk menyaksikan perlumbaan itu di Australia, tentu sekali mereka boleh didesak untuk singgah di Malaysia untuk menonton perlumbaan itu, dalam perjalanan mereka pulang.

Penganjur tempatan tidak mahu berkongsi dengan kelab motor di rantau ini untuk menjual tiket sebagai jualan peket pelancongan yang mengambil kira tiket, perjalanan dan kamar penginapan. Ramai rakyat Brunei dan Singapura yang mengunjungi Malaysia, tetapi tidak adapun usaha berkempen menjual tiket kepada mereka. Hanya baru kini, usaha itu mahu dimulakan dan sudah tentu akan menemui kegagalan. Perjalan jauh memerlukan perancangan awal, selalunya beberapa bulan sebelum melaksanakannya. Nampaknya para penganjur terpengaruh kepada kemudahan rakyat Malaysia terutama sekali yang berpangkat tinggi dan pegawai kerajaan yang boleh melupakan kerja dan tugas dengan semerta untuk pergi bercuti; sedangkan kemudahan itu bukannya satu opsyen yang boleh dinikmati oleh semua orang di dunia ini.

Untuk menarik pembabitan orang tempatan, Kabinet telah mengarahkan TV3 menghentikan rancagan lintas langsungnya. ASTRO memberikan laporan lintas langsung menerusi salah satu saluran sukan, dan ini tidak boleh disekat kerana siaran ke negara asing adalah mengikut kontrak dengan FIA, yang mengelolakan perlumbaan itu. Sama ada lintas langsung disediakan ataupun tidak, orang yang mahu melihat perlumbaan itu sudah tentu akan pergi jua. Tetapi, mereka yang tidak mampu membeli tiketnya tentu tidak akan pergi. Apabila mereka dinafikan siaran lintas langsung yang disediakan oleh ASTRO, sudah tentu mereka akan naik marah lagi.

Bukan mereka sahaja yang akan naik marah. Para peminat yang membeli tiket di tahap awalan dulu telah diberikan diskaun sebanyak 10 persen, kerana membeli sebaik sahaja perlumbaan tahun lalu tamat. Kini, mereka terkejut kerana diskaun yang diberikan ialah di antara 40% hingga 50%. Tiket RM1,000 yang sama harganya dengan nilai pemberian bantuan yang diberikan oleh Paklah kepada para peneroka FELDA yang dihenyak kemiskinan, adalah bersamaan US$250 dan mungkin lebih rendah lagi (nilainya) kepada orang lain. Harga sebanyak itu masih murah lagi kepada orang barat, warga Singapura, Hongkong, Jepun malahan Australia. Mereka masih mampu terbang ke sini untuk menyaksikan perlumbaan itu. Tetapi, tidak pula kepada orang Malaysia.

Tetapi, sesiapa yang membeli tiket itu tahun yang lalu terpaksa meletakkan kereta di kawasan masjid. Bas akan memberikan kemudahan pengangkutan untuk mereka masuk ke ruang litar. Tetapi kemudahan itu tidak akan disediakan selepas tamat perlumbaan dan ada yang terpaksa membayar RM70 daripada kawasan litar hingga ke tempat letak kereta. Banyak syarikat dan organisasi yang telah dikerah untuk memberikan khidmat dengan membeli tiket. Ramai yang sudah membelinya tanpa berniat menyaksikan perlumbaan. Pembelian dianggap sebagai belanja syarikat sahaja. Tetapi, kesesakan yang kelamkabut itu tidak merangsang minat mereka untuk menyaksikan perlumbaan itu.

Malaysia pada hari ini sedang dikabuti keangkuhan dan anggapan bahawa wang akan dapat disediakan untuk membiayai apa juga monumen dan projek mega yang tidak ada maknanya. Segala kerja pembikinan monumen ini yang kerap dilakukan dengan penuh misteri dan tanpa keizinan parlimen, telah membolehkan kerajaan membelanjakan apa sahaja mengikut kemahuannya. Sebuah dewan persidangan yang bernilai berbilion ringgit sedang dibina dan harganya yang sebenar tidakpun diketahui oleh rakyat marhaen. Seorang arkitek yang bertanggungjawab dengan projek itu telah diwawancara baru-baru ini. Beliau enggan menyebut apa jua mengenai projek itu kerana telah menandatangani satu perjanjian untuk merahsiakan butir-butir projek itu.

Kerajaan bertegas bahawa “agensi yang tidak berbajet” - seperti Petronas – bloleh melakukan apa yang disukainya tanpa campurtangan parlimen. Kerana itu Putrajaya dilaksanakan dengan segala rahsia. Pembinaan mahligai airmata rakyat dibina dengan menuduh Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana segala kemewahannya “disebabkan dia yang akan menghuni mahligai itu.” Sebenarnya mahligai airmata rakyat itu adalah rancangan perdana menteri dan dia telah menumpukan perhatian sepenuhnya kepada projek itu, mengambil kira setiap butir pembinaan untuk menyesuaikan keperluan seorang ahli keluarganya. Kini, mahligai timbalan perdana menteri, walaupun tidak sebegitu gah tetapi sesuai untuk dihuni oleh seorang raja, sedang dibina pula. Rakyat marhaen hanya sedar akan pembinannya apabila akhbar menyiarkan satu lembaran mengenai Putra Jaya baru-baru ini. Kita sedang dihantui hutang negara yang bergunung tingginya dan yang tidak terlarat dibayar oleh anak-cucu kita.

Perlumbaan formula-1 minggu hadapan akan menambahkan lagi hutang berkarat yang terpaksa dipikul oleh Sepang International Circuit, sejak ia dibina. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Sejak dua tahun yang lalu, satu syarikat perhubungan awam antarabangsa telah melaksanakan tugas menjual tiket. Syarikat ini mempunyai pelanggan ternama seperti Malaysian Philharmonic Orchestra (Okestra Filharmoni Negara) dan telah mendapatkan bantuan beberapa syarikat di Eropah dan Amerika untuk turut membantu.

Di waktu ini, semua penjualan tiket dilakukan oleh rakyat Malaysia. Kerana tidak tahu bagaimana merencana tentulah mereka gagal menjual tiket. Sepatutnya penjualan tiket sudah bermula enam bulan yang lalu di lapangan terbang kita di waktu penonton asing mahu pulang ke negara mereka. Mereka sepatutnya telah melantik wakil penjual di seluruh dunia. Syarikat tempatan yang berupaya menjual tiket untuk mereka tidak diberikan kebenaran kerana pemegang saham syarikat tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Darulboleh. Kebengapan untuk merancang tugas seperti ini memang ketara kerana organisasinya yang memang haprak juga.

Ketua perlumbaan (Head of Racing) Petronas tidak sedar rupanya, betapa pasukannya tidak lagi bergelar ‘Red Bull Petronas’ kerana sudah bertukar kepada ‘Petronas Credit Suisse’. Perubahan ini adalah disebabkan pertukaran pihak penaja. Lagipun, lembu penusu Malaysia, Petronas tidak lagi larat berbelanja sakan dan terpaksa menangguh pembayaran tunai dengan cara pembayaran tertangguh. Kerajaan Terengganu berkemungkinan besar menang kes royalti petroleum, tetapi mungkin tidak mampu mengutip royalti itu kerana tabung wang Petronas yang kering kontang.

Warisan Petronas memang sedang dihantui risiko tinggi disebabkan pembaziran dalam pembinaan projek mega seperti KLCC, Putra Jaya, KLIA, Sepang International Circuit dan Perlumbaan formula One. Semua ini telah menyedut wang seolah-olah kerajaan telah mabuk dalam perbelanjannya. Oleh kerana rakyat marhaen tidak pun sedar apakah warisan mereka, sudah tentu mereka akan pengsan apabila kenyataan itu menghempap mereka ketika mereka tidak bersedia mendengarnya. Perlumbaan F-1 mempunyai ramai pakar teknikal untuk menjayakannya, sedangkan Malaysia tidak pun mempunyai kepakaran itu. Sayang, Petronas tidak mampu untuk menjayakannya lagi kerana kekurangan wang. Tetapi, Malaysia telah pun menyambung hak menguruskan Formula One sehingga tahun 2010 - dengan bayaran yang sungguh tinggi bernilai ratusan juta dollar untuk mendapatkan hak itu dan tambahan bayaran US$50 juta setiap tahun untuk membuka gelanggang perlumbaan. Pengeliruan kebesaran dan gah ini semakin menekan ekonomi Malaysia dan juga rakyatnya.

-MGG Pillai-
Harakah 15-31 March 01

.............................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 13 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com