Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Hubungan Urusniaga Keluarga Suharto di Malaysia

Hubungan Urusniaga Keluarga Suharto di Malaysia
(Suharto’s Family Business Links In Malaysia)
TAG EDISI ISTIMEWA

BAHAGIAN 1:

1. Hubungan Perniagaan Tutut

Pada akhir 1993, Presiden Suharto (bekas) telah menghadiri Langkawi International Maritime & Aviation (LIMA) Exhibition, dan kedatangannya itu telah dialu-alukan oleh PM Mahathir. Apabila dua diktator bersemuka mereka berpendapat betapa sejak berakhirnya ‘konfrontasi 1963’, kerjasama di antara kedua negara memang akrab, dan sudah tiba masanya untuk melancarkan kerjasama di antara dunia niaga kedua negara. Persetujuan dicapai dalam dua bidang (a) pembinaan, dan (b) agensi kepada penjualan kereta Proton di Indonesia.

(a) Sebagai menyambut perundingan di LIMA itu, kumpulan elit UMNO telah memutuskan untuk melantik Yayasan Gerakbakti Kebangsaan, sebuah syarikat milik penuh pergerakan Pemuda UMNO untuk menaja satu perkongsian dengan syarikat milik keluarga Suharto. Di pihak Suharto pula, telah diambil kepastian bahawa anak perempuan sulung Pak Suharto, Siti Hardiyanti, aka Tutut, diberikan kuasa untuk menjalin kerjasama niaga ini.

Inilah caranya Citra Muda Sdn. Bhd ditubuhkan sebagai satu usahasama antara Yayasan Gerakbakti Kebangsaan (51%) dan syarikat pembikinan lebuhraya bertol milik Tutut bernama PT Citra Marga Nusaphala Persada (CMNP), yang menguasai baki 49% dalam usahasama itu.

Ketua Yayasan itu merupakan Ketua Pemuda UMNO, yang merupakan tapak kuasa Anwar Ibrahim pada satu ketika dulu. Ketika Citra Muda Sdn. Bhd. ditubuhkan, Ketua Pemuda UMNO ialah Datuk Najib, yang juga merupakan Menteri Belia dalam kerajaan Mahathir.

Majid Umar, yang pernah saya temubual di KL pada 18 Oktober 1999 (melalui ihsan Jomo) adalah seorang pegawai yayasan yang ditugaskan kepada syarikat usahasama. Dia bertanggungjawab kepada ‘Ibu Poppy’ seorang wakil Tutut yang mempunyai nama sebenar Siti Roqaiyah. Pengarah alternatif kepada Tutut dalam usahasama itu ialah Bambang Suroso.

Pada Oktober 1999, Citra Muda telah mengurangkan tenaga kerjanya kepada empat pegawai sahaja. Talian telefon telah dipotong dan mereka masih lagi menunggu bayaran kepada kerja-kerja projek KLIA.

(a.1) Kilang Penapis Minyak Kedah (Kedah Oil Refinery)

Dengan kerjasama dua lagi kumpulan niaga Indonesia, Tri Patra dan Risyadson, syarikat induk kepunyaan Tutut, PT Citra Lamtorogung Persada (CLP) telah memulakan satu projek penapis minyak di Kedah. Projek bernilai US 1.2 bilion (sekitar RP2,520 trillion) telah dimulakan pada 1991 dan siap pada 1994. Kumpulan Tri Patra (Tri Patra Group) dimiliki oleh Imam Taufik, sedangkan Risyadson Group dimiliki oleh Ibrahim Risyad, salah seorang daripada empat pengasas Salim Group.

Rujukan:
Forum Keadilan, 23 Jun, 1994, ms 26-27.

(a.2) Pembabitan Dengan PLUS

Sebelum Citra Muda Sdn. Bhd ditubuhkan, malahan sebelum LIMA dilancarkan pun, syarikat milik Tutut telah diberikan kontrak perniagaan di Malaysia. Kontrak itu dianugerahkan kepada satu konsortium syarikat Indonesia yang diketuai oleh Tutut, bernama Citra Kontraktor Nusantara (CKN).

Mengikut undang-undang Malaysia, CKN ialah sebuah syarikat negara asing, berbeza dengan Citra Muda Sdn. Bhd, yang merupakan sebuah syarikat tempatan. Namun, CKN telah diberikan satu kontrak - TANPA TENDER - untuk membina satu jalan untuk kutipan tol antara Ayer Hitam dan Yong Peng (Timur). Mengikut cerita satu sumber (majid Umar) panjang jalan ialah antara 10 hingga 12 kilometer. Mengikut satu sumber lain (Info Bisnis, Jun 1994:11) kontrak itu ialah untuk 22 km panjangnya.

Bahagian jalan tol yang disebut ini adalah di antara Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS : North South Highway Project) sepanjang 512km. Yang diuruskan oleh UEM (United Engineers Malaysia) sebuah ank syarikat Renong. Bahagian Ayer Hitam- Yong Peng Timur ini diberikan kepada CKN kerana konsortium Indonesia itu dikatakan mempunyai kepakaran membina jalan bertol di kawasan paya dengan menggunakan system ‘cakar ayam’ ciptaan seorang jurutera Jabatan Kerjaraya Indonesia yang telah diciplak oleh Tutut dengan menggunakan tenaga kepakaran jurutera itu untuk syarikat CMNP.

Berbeza dengan apa yang diketahui sebelum itu, projek CKN itu merupakan hanya satu kontrak sahaja di mana hasil kutipan tol semuanya menjadi kutipan UEM/Renong sebagai penyelenggara PLUS.

Untuk membina Lebuhraya Ayer Hitam-Yong Peng Timur itu, CKN telah menubuhkan satu usahasama dengan Maha Bina Sdn. Bhd dengan nisbah 70% dipunyai oleh CKN sedangkan bakinya dipunyai oleh Maha Bina. Nilai projek ialah sebanyak RM 14.5 juta dan ia direncanakan untuk siap dalam masa 35 bulan daripada Mach 1990 hingga Januari 1993. Projek sebenar siap dalam 41 bulan, disebabkan kesukaran rupabumi yang perlu ditangani. Sebenarnya, system ‘cakar-ayam’ yang dicuri daripada Indonesia itu tidak pun dapat membantu kerja-kerja yang sungguh sukar di situ.

Rujukan:
Temubual (tidak rasmi) dengan Umar Majid pada 18 Oktober 1999; Info Bisnis Jun 1994, ms 11; Warta Ekonomi, 20 November 1996; Swasembada (majalah bisnis Indonesia) 5-18 Jun 1997, ms 46.

(a.3.) Pembabitan di KL International Airport

Walaupun CKN tidak menyerlah dalam pembikinan lebuhraya PLUS, syarikat itu diberikan satu projek lagi, kali ini membabitkan sebahagian projek KL International Airport (Lapangan Terbang Antarabangsa) di Sepang, Selangor. Kerja kontrak itu membabitkan landasan terbang dan bahagian ‘apron’ (kawasan lapang tempat pesawat menunggu).

Untuk projek itu Citra Muda Sdn. Bhd yang sudah pun ditubuhkan telah mengadakan satu usahasama dengan sebuah syarikat tempatan bernama Ready Built. Nilai kontrak ialah RM194 juta (lebih 10 kali ganda daripada nilai projek yang pertama dulu…..!!!!!) bersamaan dengan US$ 50 juta, ataupun sekitar Rp 178 billion. Tentunya 24.2 meter lebar kawasan apron itu sudah pun disiapkan sebelum KLIA dibuka dengan rasminya.

Rujukan:
Temubual (tidak rasmi) dengan Umar Majid pada 18 Oktober 1999; Info Bisnis Jun 1994, ms 11; Warta ekonomi, 20 November 1996; Swasembada, 5-18 Jun 1997, ms 46.

(a.4) Projek Bandar Pinggir-Pantai Port Dickson
(Port Dickson Waterfront City Project)

Sepatutnya ada satu lagi projek pembinaan membabitkan Tutut-Pergerakan Pemuda UMNO yang membabitkan pelaburan bernilai Rp 118 billion. Projek itu terpaksa ditunda disebabkan keadaan ekonomi yang merudum.

Rujukan:
Temubual (tidak rasmi) dengan Majid Umar pada 18 Oktober 1999; Info Bisnis, Jun 1994, ms 11; Warta Ekonomi, 20 November 1996; Swasembada, 5-18 Jun 1997, ms 46.

(a.4.2) Satu Lagi Projek CLP

Mengikut cerita Majid Umar, syarikat induk Tutut, PT Citra Lamtorogung Persada (CLP) telah terbabit dengan satu projek pembinaan, selain daripada kerja yang melibatkan Citra Muda Sdn. Bhd. Itu adalah satu projek bikinan jalanraya menggunakan system pembinaan ‘cakar ayam’ yang dicuri oleh Tutut daripada para jurutera Jabatan Kerjaraya. Sistem itu lebih terkenal dengan panggilan ‘Sosrobahu System’. Sistem ini digunakan juga dalam projek bikinan jalan bertol di Manila (ketika itu) membolehkan pembinaan jalan baru dilaksanakan selari dengan system jalanraya yang ada dengan menggunakan sokongan tiang yang ada. Apabila siap ia boleh diubahsuai secara mengubahnya untuk menjadi satu system jalan yang bertol.

Rakan kongsi tempatan ialah sebuah syarikat ataupun seseorang yang bernama Ampang (kurang jelas temubual itu).

(b) Agensi Kereta Proton

Ketika bisnes pembinaan jalan berkembang biak di Malaysia, kumpulan elit UMNO turut juga memancing Tutut agar mengembangkan pasaran kereta Proton di Indonesia. Pada 19 Mei 1994, dalam satu majlis di BPPT ( Technology Assessment and Development Agency), yang merupakan pejabat Kementerian Penyelidikan dan Teknologi B.J. Habibie, satu surat LOI (Letter Of Intent) telah ditanda-tangani oleh Tutut sebagai seorang pengarah PT Citra Lamtorogung Persada (CLP) dan Dato Nadzmi Salleh sebagai ketua pengarah PROTON Sdn. Bhd.

Surat perjanjian itu melantik PT CLP sebagai pengedar tunggal penjualan Proton di Indonesia. Sebanyak 2,500 unit Iswara dan Wira (sedan) dijangka boleh diimport oleh Jakarta pada September 1994, tanpa pembayaran cukai import. Alasannya ialah sebanyak 1,000 kereta itu diimport untuk kegunaan teksi sedangkan 1,500 unit akan digunakan sebagai kereta kegunaan pegawai kerajaan perkhidmatan awam Indonesia.

Sebagai mengenang jasa Suharto kerana bisnes itu, Dato Seri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, muncul di Jakarta ketika itu. Dia telah menghadiahkan Pak Harto sebuah kereta Proton Wira berbentuk limo yang panjangnya sekitar tujuh meter dan berharga sekitar US$75,000. Kereta itu berbentuk kalis peluru, lengkap dengan TV dan alat komunikasi lagi dan mempunyai satu ‘Dashboard’ (bahagian depan untuk memasangkan kelengkapan elektronik) yang disalut dengan emas bermutu 24-carat. Itulah hadiah khas daripada PM Mahathir. Sebagai balasannya Pak Harto mengirimkan 50 set system solar kegunaan perumahan (system air panas untuk kegunaan di rumah) yang dibuat oleh Indonesia.

Untuk merangkul faedah daripada kemasukan kereta tanpa cukai import itu, Tutut telah menubuhkan satu syarikat teksi, PT Citra Transpor Indonesia pada September 1994. Inilah saja syarikat teksi yang dibenarkan oleh kerajaan Indonesia untuk beroperasi dengan menggunakan Proton Saga Iswara yang berkuasa 1,300cc.

Menteri B.J. Habibie terbabit dalam projek ini kerana dia juga terpaksa menanda-tangani lima lagi MoU dengan Menteri Pertahanan Indonesia. Sebagai balasan kepada pembelian kereta Proton itu, Malaysia perlu membeli pesawat CN-235 bikinan Indonesia (pasang-siap) yang diusahakan oleh IPTN, yang diketuai oleh Dr. Habibie. Untuk tahap awal Malaysia perlu membeli enam unit daripada 18 pesawat yang dijanjikan. Di waktu yang sama ada satu lagi perjanjian di mana Indonesia diberikan membeli 20 unit pesawat pelatih jenis MD-3 yang dipasang-siap di Malaysia selain daripada persetujuan membeli 2,500 unit Proton sedan itu.

Jadinya, kerajaan Malaysia merasa gembira seperti juga Tutut dan bapanya yang menerima hadiah bernilai US$75,000 daripada seorang rakan diktator seugama, Mahathir.

Rujukan:
Prospek, 19 Februari 1994
Indonesia Business Weekly, 27 Mei 1994
Editor, 2 Jun 1994; Swasembada,jun 1994 ms 134;
Gatra, 25 April 1995.

........................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua

Catatan: Artikel ini pernah muncul dalam Bahasa Inggeris pada 24/02/00 di internet reformasi. Diterjemahkan mengikut selera semasa dan atas permintaan orang di Indonesia. Mungkin boleh dimanfaatkan oleh pembaca di Malaysia juga. –MT-


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 29 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.bizaddress.net/ dan Email : dppkd@hotmail.com