Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Ada Asap Adalah Apinya

Ada Asap Adalah Apinya
(MGG Pillai: No Smoke Without fire)
(Artikel asal ada di Malaysiakini 19 Mac, 2001.

3:02, Isnin: Pada pertengahan Ogos 1989, berita angin mengenai persengketaan antara Perdana menteri dan timbalannya merebak laksana api dalam sekam. Namun, berita angin itu sengaja didiamkan oleh akhbar perdana. Tidak juga mereka sanggup mengkiaskan betapa adanya perbalahan di antara mereka berdua.

Ketika perdana menteri disoal perkara ini dia telah menyoal balik: “Apakah saya mesti peluk cium dia di khalayak ramai untuk menunjukkan kami tidak bermusuhan?” Namun, dua minggu kemudiannya pada September 2, Anwar Ibrahim telah disingkir daripada UMNO sedangkan dia adalah timbalan presiden parti. Dia disingkirkan juga daripada kerajaan dalam satu usaha mencuba kekuatan yang berlarutan berbulan lamanya.

Selalunya rakyat marhaen mengetahui pembangunan utama negara daripada berita angin, dulu. Berita itu akan dinafikan sehingga menaikkan keberangan rakyat kalau kebenaran terserlah juga akhirnya. Di peringkat akhir, perkara itu diperakukan dengan muka selamba sahaja. Begitulah halnya dengan dasar negara, perubahan dalam kabinet ataupun mengenai perundangan terbaru.

Apakah benar presiden MCA sedang bertelagah dengan timbalannya? Penafian berita angin itu akan muncul dengan cepat dan secara marah pula nadanya sebelum berita angin itu diperakukan. Sudah menjadi satu petua kini bahawa apabila berita angin itu dinafikan bererti berita itu ada kebenarannya. Ahli politik dan menteri kabinet sengaja melengahkan berita angin itu sehingga mereka tidak mampu mempertahankannya lagi.

Kini, berita angin sedang bertiup kencang betapa perdana menteri dan menteri kewangan sedang bersengketa. Dulu mereka kerap bertemu sapa beberapa kali dalam sehari, kini sudah tidak lagi. Namun, secara rasminya, berita angin ini adalah satu desas-desus sahaja.

Begitulah juga dengan kisah pergaduhan kaum di Kampung Medan. Berita angin lebih kencang daripada kenyataan rasmi kerajaan. Malahan, akhbar pun tidak mahu menerima kenyataan rasmi kerajaan bahawa apa yang berlaku itu bukannya bersifat perkauman. Perkara itu dirujukkan sebagai pergaduhan kaum.

Kalau kerajaan bertegas mendedahkan jenis kaum pihak yang terbabit, sebagai Melayu dan India, bagaimanakah kerajaan bertegas pula bahawa itu bukannya pergaduhan kaum? Berita akhbar tidak akan dibaca kalau ia tidak memberikan berita yang sebenarnya.

Keadaan Mencelaru

Dalam satu sorotannya, ‘The Star’ mengatakan bahawa akhbar asing menulis fiksyen dan bukannya fakta. Memang sesuatu yang lumrah, apabila berlakunya sesuatu di tempat yang terpinggir di Petaling Jaya, ada pihak yang menghuni di ibukota menganggap bahawa pekan itu yang sedang terbakar. Apatah lagi yang termampu dibayangkan oleh penulis di negara asing.

Sudah menjadi tugas para wartawan meberitahu para pembacanya di negara sendiri ataupun di luar negara, apa yang sebenarnya berlaku sebaik mungkin. Pembaca di Argentina memang tidak kisah untuk mengetahui di mana Kampung Medan ataupun Jalan Klang lama. Tetapi dia mahu diberitahu bahawa perkara itu berlaku di Kuala Lumpur dan di Malaysia. Cerita itu ditulis untuk dia membacanya.

Saya pernah tinggal selama satu tahun di Boston pada pertengahan 1970-an. Daripada tiga akhbar tempatan yang saya baca sepanjang tahun itu mengenai Malaysia ialah kisah beberapa rakyat Malaysia yang ditangkap di bawah Akta ISA ( Akta Keselamatan Dalam negeri). Akhbar dan majalah semacam ini mempunyai pengarang yang tidak berminat dengan dunia luar, dan mereka inilah yang perlukan didikan. Tetapi bagaimanakah mahu meneruskan usaha ini selagi dunia luar tidak kisah dengan suasana penyebab tercetusnya pergaduhan di Kampung Medan.

Perkara ini akan lenyap juga. Bukan oleh akhbar tempatan malahan oleh para pegawai juga. Wisma Putra telah memberikan sedikit penerangan kepada duta yang berada di Kuala Lumpur. Penjelasan mereka itu lebih memeningkan. Seorang duta memberitahu bahawa dia menjadi lebih keliru mendengar penjelasan itu berbanding membacanya di akhbar tempatan.

Apakah gerangannya yang akan dilaporkan oleh duta-duta itu kepada negara asal mereka? Ada duta yang melaporkan bahawa laporan kerajaan itu sungguh mengelirukan dan menunjukkan betapa kerajaan telah tersilap congak dan langkah sehingga memperkukuhkan kepercayaan bahawa kerajaan dan juga perdana menteri yang ada sedang dihenyak kerunsingan. Versi laporan beginilah yang akhirnya menyusup kepada para pelabur asing dan bukannya laporan daripada Reuters ataupun AP.

‘The Star’ telah melaporkan betapa para wartawannya telah memeriksa laporan kematian rasmi di hospital untuk menentukan kesahihan jumlah yang disebutkan. Apakah ini satu fakta ataupun fiksyen? Selama ini tidak ada satu pun akhbar perdana di negara ini yang sanggup menyanggah setiap angka yang disebutkan oleh kerajaan. Kalaupun akhbar itu terserempak dengan butiran kerajaan yang palsu, sanggupkah akhbar itu menyanggah kerajaan? Tidak. Mampukah akhbar memperbetulkan angka kerajaan yang tersilap itu? Sudah tentu tidak juga.

Alangkah anih, akhbar asing diperlekehkan kerana menggunakan angka yang salah. Akhbar negara luar melaporkan 10 kematian sedangkan angka sebenar sepatutnya menjadi 3 sahaja. Kerana kesilapan itu apa juga yang mereka tulis mesti dianggap fiksyen? Inilah kempen yang dijalankan kini untuk menutup beberapa keretakan yang wujud dalam pentadbiran negara. Inilah kempen untuk melencongkan pemikiran daripada menyoal apakah sebabnya berlaku semua itu.

Peristiwa Kampung Medan bukanlah satu peristiwa yang terlalu ganjil. Memang wujud pelbagai bentuk penyakit social yang berwabak dalam setiap sudut bandar yang kaya raya. Semua itu tidak memerlukan banyak jentikan untuk meledak. Perkara ini tidak boleh dibendung dengan mengenakan ugutan bahawa setiap penyebar berita angin ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara. Pertahanan mereka bukannya dapat menyelesaikan segala isu besar yang sengaja telah diabaikan.

Berita angin memang tidak boleh dihentikan. Di Malaysia, berita angin adalah berita alternatif untuk mendapatkan maklumat. Bukan kerana ia satu pembohongan tetapi kerana ia kerap merupakan berita yang sahih. Jika tidak bagaimanakah kita dapat tahu apa yang sebenarnya berlaku di bilik yang bertutup rapat dengan berita angin yang mempunyai unsur-unsur kebenaran yang begitu tepat sekali, kalau berita itu tidak dibocorkan oleh salah seorang peserta majlis rahsia itu ?

Kalau berita angin disekat rapat dengan tangan yang ganas, seperti sekarang, berita itu akan meledak kepada pecahan berita angin menyebabkan sesuatu berita itu lebih dahsyat bunyinya daripada berita angin yang sebelumnya. Ada satu tindakan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan, walaupun ini bertentangan dengan pendiriannya: Beritahu cerita sebenarnya; sebenar mungkin tanpa mencemarkan keselamatan negara.

-MGG Pillai-
pillai@mgg.pc.my

........................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 29 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.bizaddress.net/ dan Email : dppkd@hotmail.com