Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Teka-teki Time dotCom

Teka-teki Time dotCom
(Artikel asal kiriman MGG Pillai)

Para pengkritik telah bersuara lantang menyanggah cara kerajaan Malaysia menangani penawaran jualan hari awalan Time dotCom. Penjualan awalan (IPO = Initial Public Offering) saham itu kantul ketika ditutup pada bulan yang lalu. Tawaran sebanyak 572 juta saham tidak dilanggan setakat 75 persen. Seperti yang dijangkakan agensi kerajaan muncul sebagai pemilik saham yang tidak diingini itu. Mereka adalah Kumpulan Wang Amanah Pencen (10.82 persen), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 3.32 persen dan Pengurusan Danaharta Nasional 3.26 persen. Para pengkritik memang mempunyai hak untuk mengambil-tahu, kerana adanya isyarat harga saham akan menjunam di hari pertama jualan saham itu. Ramalan itu ternyata benar. Harga saham menjunam kepada RM2.20 daripada harga tawaran hari pertama sebanyak RM 3.30, menghakiskan hampir RM3 billion daripada modal Time dotCom dalam masa satu minggu sahaja.

Tetapi, para pengkritik harus melihat dasar yang digunakan oleh kerajaan dalam membuat pelaburannya dan juga sejarah peranan IPO yang merugikan itu. Harus dicatatkan bahawa KWSP dan Danaharta tidakpun melabur untuk mendapatkan saham Time dotCom yang tidak diingini oleh para pelabur itu. Kedua-dua agensi kerajaan itu tadi adalah pemberi hutang kepada Time Engineering, syarikat induk Time dotCom. Kerana itu hutang yang diberikan itu sudah ditukarkan dengan pegangan saham Time dotCom, tentunya ini merupakan cara terbaik selain mendapatkan kembali wang tunai.

Dalam perjanjian dengan pemiutangnya, Time Engineering sepatutnya membayar balik segala hutangnya daripada wang yang diterima dalam penjualan saham IPO itu. Nampaknya perkara ini tidak menjadi kenyataan sambil memberikan masalah besar kepada para penjamin (underwriters).

Time dotCom sepatutnya telah disenaraikan tahun yang lalu ketika sentimen pasaran terhadap ‘telcos’ (telephone companies) dan dotComs (syarikat IT) nampak lebih cerah lagi, apatah lagi kalau ia dapat bergabung dengan Singapore Telecommunications. Ketika itu Singapore telco sudahpun bersedia untuk menyuntik RM2.4 billion (S$1.42 billion) ke dalam syarikat yang mempunyai satu jaringan gentian optik yang melingkari seluruh Semenanjung Malaysia.

Sebaliknya, pihak kerajaan telah mengenakan ‘veto’ terhadap perundingan itu untuk menyekat kemasukan syarikat telco milik kerajaan Singapura. Usahasama dengan Singtel sudah tentu dapat menjana sinergi yang hebat dan menghangatkan kemunculan IPO syarikat ‘usahasama’ itu. Lagipun, Singapura telah bersedia membayar IPO sebanyak RM3.30 sesaham untuk mendapatkan 20% hak perkongsian dalam Time dotCom.

Kegagalan bergabung dengan SingTel membuatkan para penaja saham IPO Time dotCom terpaksa mengubah perancangan mereka semula. Satu lagi agensi kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional, telah mengambil tempat SingTel, tetapi harga tawarannya adalah lebih rendah daripada tawaran SingTel. Lagipun, Khazanah tidakpun mempunyai kepakaran dalam bidang perniagaan telekom yang sentiasa bergerak pantas itu.

Kesannya menyebabkan para analis menurunkan taksiran nilai saham Time dotCom secara berpada. Namun, memang tidak ada ruang untuk menyentuh harga IPO saham syarikat itu.

Berbeza dengan syarikat lain yang baru mahu disenaraikan, saham IPO kepunyaan Time dotCom merupakan sebahagian kepada satu rencana menyusun kembali hutang bertapuk yang membabitkan syarikat dengan para pemiutang seperti KWSP, Danaharta dan hampir setiap bank di ibukota. Setiap pemiutang mahukan balik hutang yang diberikannya itu dengan sempurna. Tetapi, penolakan tawaran secara menyeluruh dan penurunan harga saham secara merudum membuatkan usaha itu sesuatu yang amat menyulitkan para penjamin cagaran saham-saham itu dalam usaha menjualnya kepada pelabur lain untuk mendapatkan wang mereka.

Dengan demikian adalah bukan satu perkara yang ganjil untuk KWSP dan Danaharta memikul ‘biawak hidup’ dengan menukarkan hutang bertapuk itu kepada ekuiti. Walaupun mereka tidak lagi tertenggek di atas busut hutang yang bertapuk, kini mereka terkangkang pula di atas kertas hutang yang tidak laku.

KWSP dan Danaharta memang mempunyai alasan wajar untuk bertindak demikian. Tetapi, apa pula kisahnya dengan KWAP yang tidak dilanda musibah seperti KWSP dan Danaharta itu? Kenapa pula KWAP mahu melibatkan diri dengan Time dotCom? KWAP berperanan menguruskan simpanan dana para warga pencen negara. KWAP tidak pernah memberi hutang kepada Time Engineering. Tetapi, ia telah memuntahkan RM904 juta wang tunai simpanannya untuk membeli sebahagian saham Time dotCom sehingga menjadi pemegang ketiga terbesar saham syarikat itu. Kini, KWAP duduk terkangkang dengan kerugian RM323 juta kerana harga saham yang sudah merudum nilainya. KWAP harus memberikan penjelasan kenapa dan bagaimana ia boleh menjadi begitu bodoh memiliki begitu banyak saham yang tidak pun ada nilainya itu.

...........................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 31 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.bizaddress.net/ dan Email : dppkd@hotmail.com