Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Omong Kosong Daim

Omong Kosong Daim
(Artikel asal ada di Malaysiakini 23 Mac, 01)

Tidak ramai yang berani berkepak di pasaran BSKL kerana sentimen yang ditopengi oleh mainan volum tinggi di saat terakhir setiap pasaran. Inilah gambarannya betapa tiga kaunter saham terbesar dikuasai oleh kerajaan –Telekom, Tenaga, Malayan Banking – dan menyumbang sekitar 35 persen kepada imbangan Indeks Komposit BSKL.

Mainan rangsangan ini mampu menjentik naik indeks komposit, tetapi tidak terdaya menahan kegelonsorannya. Para pelabur memang tidak yakin untuk menyertai pasaran kalau hanya untuk dilocot pelaburannya. Suasana merudum semakin ketara, walaupun terdapat pelbagai usaha kerajaan merencana beberapa skim penyelamat untuk terus memberi nafas kelegaan kepada para kroni yang rakus dan hampir muflis sehinggakan berita kaedah penyelamatan itu amat memualkan rakyat marhaen.

Keadaan sudah menjadi begitu serius sehinggakan menteri kewangan, Daim Zainuddin memberikan jawapan kepada beberapa soalan yang dikemukakan di parlimen selama dua hari sebagai usaha menegakkan benang basah. Selama ini dia memperlekehkan Ahli Parlimen, menolak-tepi soalan mereka ataupun enggan memberi penjelasan terhadap tindakannya. Kini dia tidak mampu berlagak sombong seperti itu. Ahli Parlimen Barisan Nasional semakin galak mahukan jawapan darinya.

Itulah sebabnya Daim menjawab soalan yang dikemukakan di parlimen itu sendiri, sambil akhbar perdana menerbitkan jawapannya secara menyeluruh. Usahanya itu satu omongan kosong belaka, untuk mempertahankan diri sahaja tanpa menjelaskan apa-apa. Oleh kerana soalan susulan dikawal begitu ketat sekali, ia mencetuskan satu suasana bahaya apabila ahli parlimen di pihak kerajaan pun akan mempertikaikannya. Kesannya akan mengaibkan martabat beliau sendiri dan kerajaannya.

Saham Kencana

Yang menjadikan keadaan hangat sekarang ialah kisah menyelamatkan seorang anak emas Daim yang bernama Tajuddin Ramli. Sebanyak 29.03% (persen) saham MAS milik Tajuddin telah dibeli oleh kerajaan dengan harga RM8 sesaham, yang bermakna kerajaan telah membelinya lebih dua kali ganda daripada harga pasaran semasa.

Daim tidak menjelaskan kenapa kerajaan perlu membayar hampir RM2 billion, sedangkan ia boleh membeli jumlah saham yang sama di pasaran terbuka dengan harga separuh sahaja nilainya. Malahan apa perlunya kerajaan membeli saham cara begitu sedangkan kerajaan memegang saham emas syarikat yang memberinya kuasa untuk menentukan perjalanan syarikat penerbangan itu ? Cara pembelian itu dibuat selepas kerajaan membeli saham pegangan Sultan Brunei pada kadar RM4 telah dilihat sebagai satu sikap yang menjelakkan rakyat negara itu.

Yang menakutkan ialah cara kerajaan membelanjakan wang ketika negara sedang ketandusan dana untuk menyelamatkan syarikat yang kantul. Apatah lagi dengan gelagat membiayai projek dengan harga berbillon ringgit nilainya.

Simpanan luar negara sudah menggelonsor begitu ketara sekali. Campurkan pula puluhan billion lagi dalam bentuk pinjaman luar yang dilaksanakan oleh para peniaga Malaysia dalam bentuk matawang asing yang tidak pun termampu mereka lunaskan.

Hanya satu sumber kewangan negara yang bertenaga, Petronas, sedang dihenyak oleh keperitan menanggung beban syarikat kosong dan projek mega seperti pembangunan Putrajaya sehinggakan Petronas terpaksa menjual hasil petroleum negara secara ‘jualan hadapan’ kepada Taiwan dua tahun yang lalu. Harga petroleum sudah melonjak naik sejak itu, tetapi Petronas tidak pun meraih nikmat kenaikan harga itu seperti yang dinikmati oleh Taiwan. Kalau kita tidak berwaspada, Petronas akan megharungi nasib yang lalui oleh Pertamina.

Penjelasan Daim di Parlimen bahawa pembelian saham pegangan Tajuddin itu bertujuan mempertahankan kepentingan negara telah mengejutkan parlimen dan disambut dengan satu tanggapan yang amat memualkan. Apa yang tidak disebut, walaupun di parlimen itu, betapa setiap syarikat utama dan peniaga yang diselamatkan oleh kerajaan seperti Time dotcom, mempunyai kaitan dengan Daim juga.

Rakyat marhaen dan para pelabur tempatan ataupun luar negara, menganggap proses penyelamatan itu melibatkan hampir keseluruhan syarikat yang ada kaitannya dengan Daim. Sama ada benar ataupun tidak anggapan itu, persepsi pasaran menyerlahkan bahawa kuasa terunggul terhadap syarikat seperti Renong, UEM, PLUS dan setiap penswastaan yang besar-besar itu seolah-olah berada di tangan Daim juga.

Kini, sudah muncul satu rumusan di pasaran bahawa segala usaha penyelamatan itu menyerlahkan satu corak yang tidak boleh disanggah dan membayangkan betapa pemegang sebenar saham-saham yang diselamatkan itu sedang menjual pegangannya (untuk persiapan melarikan diri agaknya? – penterjemah). Jika tidak, kenapa pula Petronas dianggap sebagai bakal pembeli MAS pula, sedangkan Petronas tidak berminat langsung dalam perkara ini? Dalam penjelasannya, Petronas ada mengungkit perihal pembelian saham seorang kroni dan menyoal kenapa tidak dibeli saham tersebut di pasaran terbuka.

Layanan Istimewa

Apabila syarikat-syarikat penswastaan yang tidak cekap, mempunyai hutang bertapuk dan muflis itu diselamatkan, dengan mengambil-alih segala hutang dan kerugian yang dialaminya; ada satu petua yang menunjukkan syarikat itu akhirnya dipulangkan semula kepada pengurusan yang bertanggungjawab kepada keadaan hina-dina syarikat itu. Cara ini memang tidak dipedulikan langsung kalau ianya berlaku ketika pasaran sedang melonjak naik. Dalam keadaan demikian, tidak ada sesiapa pun yang akan ambil peduli kalau seseorang meraih keuntungan besar dan menyumbatnya dalam kantung yang dibuat daripada telinga khinzir pun. Tetapi, apabila keadaan merudum mendesak pencermatan dan mencetuskan kesangsian, tentu sekali semua orang akan merasakan sesuatu yang tidak adil itu.

Kerajaan sedang mengelupur kepanasan kini; tidak mampu mentadbir negara kerana tidak ada sesiapa yang mempercayainya lagi. Rakyat semakin marah dengan kempen yang sengaja dilancarkan terhadap mereka yang tidak disenangi oleh kerajaan itu. Kerana itu segala usaha menyelamatkan para kroni akan disanggah juga.

Pengeluaran saham Time dotcom untuk pasaran telah dilihat sebagai satu usaha untuk menjual kepada pelabur yang lahap. Memang, saham itu mungkin dapat dilanggan kalau tidak kerana asas penjualannya yang terlalu mudah disanggah dan dicabar. Rencana itu kantul dan gagal. Penjelasan Daim bahawa KWAP (Kumpulan Wang Amanah Pencen) sebagai ‘sub-underwriter’ kini merupakan pemegang saham terbesar sedangkan ‘main-underwriters’ (pemegang cagaran utama) tidak bersifat demikian, merupakan satu penjelasan yang sungguh berbahaya. Tentu dia ada alasan untuknya.

Kerajaan sengaja mengelak memberikan penjelasan terhadap tindakannya di parlimen. Apabila Daim membuat pendirian menjelaskan ’kisah benar’ penyelamatan dan menerangkan kenapa kerajaan membeli saham MAS pada kadar RM8 sesaham, pertimbangan yang lain akan mendesaknya juga. Semakin jelas kini, Daim merupakan insan yang paling kuat kuasanya di dalam UMNO dan juga kerajaan. (Ohhoooooo……jadinya si diktator tua itu semacam satu patung Bumiyan juga….? - penterjemah) Selama ini dia memang cukup berkuasa dan mampu mengawal dasar ekonomi dan kewangan negara disebabkan dua portfolio yang dipegangnya - menteri kewangan dan menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri.

Kini Daim perlu berterus-terang lagi dalam segala penjelasannya kepada parlimen. Dia perlu menjelaskan segala tindakannya. Sudah wujud kesangsian dalam partinya kini, kalau dia culas, UMNO akan dihenyak badai yang semakin kencang tiupannya. Selagi penjelasan yang lebih munasabah tidak diberikan kepada parlimen dan juga di tempat lain, mengenai proses penyelamatan ini, Daim dan juga kerajaan yang sedang dianggotainya (kotak-katik mungkin perkataan yang lebih cocok – penterjemah) akan dibalun badai sehingga berkemungkinan tersangkut di batu karang untuk terus tersadai.

-MGG Pillai-
pillai@mgg.pc.my

...........................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 31 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.bizaddress.net/ dan Email : dppkd@hotmail.com