Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Akal Budi, Komando dan Tanggungan Awam

Akal Budi, Komando dan Tanggungan Awam
(Common Sense, Commandos And Civil Liability)
Oleh: Harun Rashid

Perdana Menteri berkata dia masih tidak faham dengan sifat pasaran saham. Perkara ini memang bukan sesuatu yang menyulitkan ramai orang kerana ramai yang bersetuju bahawa bukan ramai sangat orang yang memahaminya. Cakapan perdana menteri menarik minat kerana bukan selalu sangat beliau bercakap secara merendahkan diri. Mungkin juga ada unsur-unsur sindiran tajam yang terselindung di sebalik kata-katanya itu. Dia memang pintar mengemis sokongan setiap kali dihantui pertentangan.

Cakap-cakap perdana menteri membayangkan dia lebih ghairah melihatkan harga purata saham di paras lebih tinggi dari harga pasaran semasa, seolah-olah dia adalah ‘seekor lembu sindi’ yang, mengikut istilah pasaran saham, bererti dia berupaya membeli sakan. Inilah yang mencetuskan kerunsingan di kalangan pelabur Malaysia kerana mempunyai seorang perdana menteri yang bermain besar-besaran. Memanglah bukan satu kesalahan jenayah untuk bermain besaran di pasaran saham. Soalnya perdana menteri menggunakan wang rakyat untuk bermain saham. Inilah dana pencen dan segala simpanan persendirian rakyat marhaen. Memang amat mudah menggunakan wang yang banyak untuk bermain, dengan menggunakan wang orang lain.

Semalam, ketua bank negara sudahpun membuat pengumuman mengenai laporan tahunan tahun sudah, sambil memberikan gambaran yang molok-molok akan masa depan yang cerah. Tetapi, usaha itu gagal segagalnya.

Apa yang ditonjolkan ialah cadangan mengawal inflasi dengan menggunakan piawaian konsep bekalan dan kehendak. Tidak pula disebut perkara yang berkaitan dengan kenaikan gaji pegawai kerajaan, harga tol, petrol, tambang bas dan kesan semua ini terhadap konsumer biasa. Bertambahnya secara mendadak surat janji perbendaharan seperti T-Bills (dulu cuma setakat RM300 juta kini sudah melonjak melebehi RM 7 bilion ) tidak pula disentuh. Begitu juga halnya dengan KWSP dan dana tempatan yang lain yang digunakan untuk menyerap segala hutang negara yang bertimbun-timbun.

Jadual pembayaran hutang negara sekitar 16% daripada KKN dianggap rendah, tanpa mengambil kira jumlah keseluruhan hutang negara yang semakin parah. Apabila kadar inflasi diatur secara rasminya agar berada di tahap rendah, kadar faedah kepada pinjaman menjadi rendah juga. Kerana itu kos perkhidmatan melunaskan hutang negara turut menjadi rendah. Inilah yang menghenyak semua dana itu kerana akan menerima faedah yang rendah. Sekaligus rakyat yang menabungpun akan menerima kadar dividen yang rendah juga. Rahsia muslihat ini terletak kepada penggunaan kadar inflasi yang rendah mengikut perkiraan rasmi. Nampaknya para pegawai di jabatan statistik tidak berupaya menukarnya lagi.

Laporan tahunan itu tidak memberikan jumlah sebenar yang membabitkan pembayaran hutang negara, hanya setakat memberikan peratusan kepada KKN sahaja. Ramai yang menganggap taktik ini sebagai tidak telus, kerana kadar tahunan hutang negara dibayar daripada pendapatan tahunan kerajaan pusat. Kalau berdasarkan beban hutang yang ada tentu sekali keadaan sebenar lebih mencurigakan daripada setakat pengistiharaan “cuma 16% KKN” sahaja. Keseluruhan dokumen itu menggunakan stail akrobatik yang sama untuk mengelirukan.

Satu rancangan baru untuk meransang ekonomi negara dan menampan kemerosotan ekonomi Amerika telah diumumkan dengan penuh gah dan suasana ceria. Rancangan ini mengsyorkan agar pendapatan negara dibelanjakan tanpa hadnya. Tetapi rakyat marhaen, baik yang berkhidmat di sektor awam ataupun swasta yang membayar cukai dan lesen tidakpun merasakan apa-apa. Mereka sedar betapa Malaysia semakin terjerat di lubuk hutang yang dalam. Semua ini difikirkan selepas mengambil kira pembayaran faedah kepada jumlah hutang awam yang semakin mendapat penelitian ramai.

Laporan tahunan itu menyebut perihal kecairan yang mudah dicapai sambil menyentuh dana yang dikatakan berada di mana-mana menunggu masa untuk dipinjam dan dibelanjakan. Namun, keadaan mencungap untuk mendapatkan pinjaman luar sudah semakin ketara. Satu pinjaman bernilai US1 bilion yang amat diperlukan sedang diusahakan secara tergesa-gesa. Kita diberitahu betapa kadar penetapan matawang adalah satu amalan yang baik kerana sistem itu sedang berjalan dengan baik dan akan terus dilanjutkan. Tetapi, nilai ringgit itu adalah mengikut selera yang diingini oleh seseorang dan bukannya berdasarkan apa yang ditentukan oleh kerajaan. Ringgit itu hanya sah diperlakukan di Malaysia dan ia tidak boleh dibawa keluar negara. Ia tidak laku di tempat lain dan kuasa beliannya sudah semakin menurun.

Para pelancong menggunakan ringgit seperti juga mereka yang mahu membeli barangan Malaysia. Inilah punca utama wang asing yang semakin berkurangan sekarang ini. Bank Negara terpaksa merencana sesuatu untuk mendapatkan bekalan wang asing lagi. Pada tahap awalannya ia terpaksa dilaksanakandengan bergantung harap kepada kehendak tempatan. Tetapi, di pasaran tempatan bukannya ada sumber wang asing. Kerana itu keselamatan ekonomi Malaysia terpaksa bergantung kepada pertunjukan kupu-kupu, ekspo perdagangan dan perlumbaan kereta lumba untuk memancing pelancong asing yang membawa masuk matawang negara mereka dan membeli matawang tempatan pada kadar pertukaran yang ditetapkan.

Pentadbiran negara yang diketuai oleh perdana menteri memegang kuasa yang mempengaruhi dunia korporat di negara ini secara terus ataupun sebagainya. Berjuta-juta unit saham sudahpun dijadikan cagaran untuk berhutang di mana nilai saham itu perlu dikekalkan pada paras tinggi untuk mengelakkan tuntutan panggilan marjin. Kerana itu pasaran terpaksa bergelumang dengan segala tipu muslihat. Inilah juga sebabnya diwujudkan suasana yang ada yang dimaksudkan oleh perdana menteri ketika dia mengatakan bahawa “pasaran saham kita akan terus dianggap sebagai satu pasaran saham ala-Mickey Mouse sahaja”.

Semua syarikat yang dikuasai oleh kerajaan adalah merupakan komponen penting dalam ekonomi nasional negara. Mereka terbabit dalam perdagangan seperti juga para konsumer yang berdagang dengan barangan mereka. Tentunya keuntungan menjadi sasaran mereka sambil bersaing dengan syarikat biasa; sedangkan syarikat biasa itu tidak mempunyai kemudahan ditaja oleh kerajaan. Ini bukannya satu saingan yang sihat kerana tidak ada sebarang deraan kalau berlaku salah urusan dan penipuan dalam perusahaan yang ditaja oleh kerajaan itu. Seorang peniaga yang jujur tidak mampu meraih sedikit peluang yang baik dalam pasaran yang tidak sihat itu. Lebih-lebih lagi kalau keadaan perniagaan dikuasai oleh pasukan yang ditaja oleh perdana menteri.

Para pengunjung lakonan pentas mudah faham apabila sesuatu babak itu berakhir maka tamatlah ilusi yang dilakonkan di pentas itu. Kini, babak kepada lakonan yang penuh kepalsuan itu sudahpun berakhir. Tirai pentas sudahpun diturunkan untuk menutup segala kejijikan yang ada.

Apabila para komando mula berkhemah

Pihak pentadbiran telah mengumumkan satu keputusan untuk mengubahsuai satu markas komando di utara. Satu perbelanjaan yang besar telah diperuntukkan mengubahsuai markas tentera itu agar menjadi satu kelab bersantai yang dikhaskan kepada komando yang sudahpun bersara. Di Malaysia, para komando adalah satu unit gerak khas di antara tentera biasa yang digunakan oleh para panglima tentera laksana unit gerak khas pasukan polis negara. Pada 7 April nanti, sudah dijadualkan satu perjumpaan dengan perdana menteri. Kalau kadet polis boleh diarahkan agar mengikuti arahan parti yang sedang berkuasa, perdana menteri dijangka memberi ingatan kepada para komando itu betapa taat setia mereka adalah kepada kerajaan, yang bermakna kepada beliau juga. Beliau menjangka, mereka boleh diharap sekiranya beliau memerlukan khidmat mereka nanti. Tetapi Agong mengawal tentera. Timbalannya yang bercita-cita tinggi yang mengawal pasukan polis, sedang melihat keadaan ini dengan penuh hati-hati.

Ada dua anggota bekas komando yang tidak akan hadir. Sebaik sahaja menerima jemputan itu, Raja Kamaruddin telah memberitahu semua rakan-rakannya betapa dia tidak akan hadir. Dia mengulang kembali sikapnya ketika memberi keterangan dalam kes pengadilan Anwar Ibrahim dulu. Ketika itu dia memberitahu Hakim segala butir konspirasi yang memusnahkan kerjaya Anwar Ibrahim. Dia juga telah menjelaskan peranan utamanya dan juga pembabitan menteri kewangan dan ramai lagi pegawai atasan di pihak pentadbiran negara. Hakim telah memperlekehkan segala perakuan beliau, mungkin kerana lebih rela akur kepada kehendak nafsu- nafsi penghuni agong di Putrajaya.

Seorang lagi komando yang tidak akan hadir ialah Matthew yang juga dikenali dengan nama Medan, seorang pemuda kelahiran Sarawak. Beliau mati terkorban ketika berkhidmat kepada negaranya di medan pertempuran Bukit Jenalik. Pihak media melaporkan betapa dia telah diseksa dan kakinya telah dibaham oleh tembakan peluru. Pada hari pengadilan, satu kenyataan telah dibaca mengatakan Medan telah ditembak di bahagian belakang. Malangnya, saksi yang membuat kenyataan itu, Jaafar Putih, telah turut mati juga, setelah dia meraung kerana kesakitan perutnya sebaik sahaja keluar (selepas makan) daripada balai polis Lenggong. Dia keluar itu selepas diperam selama sepuluh hari setelah dibebaskan daripada kes penculikan (Al-Maunah - penterjemah). Kenyataannya itu dirakamkan bertepatan dengan waktunya. Keadaan yang menyebabkan kematian Jaafar Putih itu adalah satu misteri yang sama peliknya dengan kematian komando Medan.

Seorang pegawai khas (SB) polis yang telah ditahan selama empat hari sebagai tebusan yang terikat di sebatang pokok durian, bernasib baik tidak diapa-apakan. Pada mulanya dia berkata tidak melihat apa-apa. Kemudian dia mengaku pula mampu melihat keadaan sekelilingnya yang menyeluruh kawasan berbukit-bukau sehinggalah bahagian gaung di mana dia telah melihat seseorang yang telah ditembak. Apabila dibenarkan keluar di sebelah petang, dia gagal menyebut betapa dua orang yang hilang itu telah ditanam beberapa kaki jaraknya daripada tempat dia diikat. Dia telah dianugerahkan pangkat kerana keberaniannya. Kubur si mati telah dijumpai secara tidak sengaja oleh seorang polis di waktu gelap di malam hari. Polis itu juga telah terjumpa senapang raifel yang telah tidak dapat dikesan oleh satu rejimen askar yang mencarinya di siang hari. Yang lebih pelik lagi, di kemah bertahan yang dihuni oleh satu pasukan pengamal agama yang kuat pegangannya, tidak ada terjumpa sebarang tikar sembahyang, kain sarong dan juga songkok. (Di malam hari mereka memasang unggun api untuk bersalai sedangkan kawasan sekeliling dikepung oleh ribuan tentera kerajaan – penterjemah).

Apabil mayat Medan digali daripada kuburnya di Bukit Jenalik, mayat itu telah dibawa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan bedah-mayat. Pakar pathologi tidakpun terjumpa sebarang kesan di bahagian kaki, begitu juga kesan tembakan di bahagian belakang badan si mati. Tidak juga sebarang kesan mayat itu disiksa. Beberapa gambar yang diambil terhadap mayat itu menunjukkan Medan mati kerana tembakan peluru yang mengena di antara dua matanya. Kebanyakan pegawai yang memeriksa mayat itu telah dipindahkan untuk bertukar ke tempat lain yang jauh-jauh. Tidak lama selepas peristiwa itu, ibubapa Medan di Sarawak telah menerima banyak hadiah kerana pengorbanan anak mereka. Begitulah juga layanan yang diterima oleh balu kepada pegawai khas SB Sagadevan yang juga telah mati di tembak di antara dua matanya.

Tidak lama kemudian, satu majlis khas telah diadakan di Ipoh untuk Unit B UTK Polis di mana ketua unit B itu telah dianugerahkan pangkat di hadapan satu perbarisan khas sebagai mengenang jasa dan keberaniannya di Bukit Jenalik. Setelah dinaikkan pangkat dia ditukarkan ke Melaka di mana dia diharapkan terus berkhidmat taat setia kepada pegawai tinggi parti yang berkuasa.

Sila rujuk:
Panglima Sauk: Sauk Kubu Terakhir Prebet Amin?
Panglima Sauk: Sauk Satu Epilog - Berakhirnya Satu Impian

Tanggungan Awam

Setiap kesalahan jenayah selalunya dirujukkan kepada hukuman yang ditentukan dan apabila seorang penjenayah itu mengaku salah, jatuhlah hukuman dan diapun dimestikan menjalani hukumannya itu. Beginilah hukumannya kepada semua. Pihak polis ataupun ahli politik kepada parti yang berkuasa tidak dikecualikan daripada hukuman ini. Seandainya berlaku kecederaan dalam perlakuan jenayah itu, seperti satu penderaan, maka tuntutan sivil boleh dikenakan terhadap pihak ataupun beberapa pihak yang bertanggungjawab. Jikalau pesalah itu adalah seorang pegawai kerajaan yang menjalankan tugasnya, maka semua ketuanya dan juga kerajaanpun turut terlibat untuk dikenakan tindakan sivil dalam tuntutan gantirugi. Kalau si pesalah itu seorang pegawai polis ia patut dicela kerana mereka yang menguatkuasakan undang-undang memang tidak dijangka melanggar undang-undang itu.

Kerajaan Malaysia sedang memenjarakan Anwar Ibrahim sebagai seorang tokoh banduan dalam penjara, secara bersendirian. Dia telah dibaham sehingga teruk ketika dalam tahanan ibupejabat polis gara-gara gelagat ketua polis negara. Pegawai ini bertindak dengan kekuasaan yang ada padanya ketika itu. Akhirnya dia telah dipaksa oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mengaku membuat kelakuan biadap itu dan telah dikenakan hukuman selama dua bulan. Sehingga kini, setelah dua tahun berlalu, dia belum lagi merasakan pengalaman dipenjarakan waima sehari lamanya. Banduan yang terpenjara itu belum dibenarkan keluar lagi. Dia telah dinafikan sebarang jaminan, walaupun dia berhak kepada kemudahan itu mengikut peraturan perundangan negara. Orang yang dituduh kerana membunuh sengaja memperlekehkan undang-undang Malaysia, mereka diberikan jaminan polis secara mudah sekali kerana dibenarkan oleh seorang pegawai kanan di Jabatan Peguam Negara. Inilah pegawai pendakwaraya yang sama merencana kedua-dua kes yang membabitkan Anwar Ibrahim. Tujuannya yang sebenar memang boleh dipertikaikan.

Kini, Anwar Ibrahim memerlukan satu pembedahan tulang belakang yang sungguh menyulitkan kerana kecederaan yang ditanggungnya. Pengakuan bersalah (ketua polis negara -penterjemah) mendedahkan adanya tanggungan awam yang perlu ditanggung oleh polis penjenayah itu dan juga kerajaan Malaysia. Kerajaan enggan membenarkan layanan perubatan yang diperlukan dan ini merumitkan lagi tanggungan tugas para pegawai yang menidakkan rawatan itu. Seandainya menteri halehwal dalam negeri didapati orang yang utama bertanggungjawab dengan membuat keputusan itu, makanya dia bersama kerajaan terpaksa menanggung beban kesan perundangan sekiranya keadaan Anwar Ibrahim menjadi lebih teruk lagi. Keadaan semasa menunjukkan adanya kegagalan di pihak penasihat yang sepatutnya memberikan pandangan yang lebih arif kepada pemimpin kerajaan yang ada.

-Harun Rashid-
harunrashid@yqi.com
30.3.2001

.......................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 6 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com