Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Seorang Anwarista Dan Pemilihan UMNO

Seorang Anwarista Dan Pemilihan UMNO
(An Anwarista Skews The UMNO Elections)

UMNO sedang menggelabah kerana berhadapan dengan kemungkinan munculnya satu pilihanraya kecil yang tidak diingininya. Kalau terpaksa juga, besar kemungkinan ia akan kecundang. Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Dato’ Fauzi Abdul Rahman, tidak dapat mempertahankan jawatannya kerana 20 cawangan dalam bahagian itu tidak mahu mencalonkannya; dia hanya mendapat sembilan pencalonan. Dia telah membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung UMNO dan mantan menteri besar, Khalil Yaacob kerana salahguna kuasa, sambil mendakwa adanya satu konspirasi untuk menjatuhkannya dengan menggunakan wang sogokan. Fauzi meletakkan jawatannya sebagai seorang ahli dewan undangan negeri bahagian Beserah, Pahang. Perdana Menteri Dr.Mahathir Mohamad berkata bahawa “perkara itu tidak logik” kerana yang melantiknya ialah rakyat dan bukannya UMNO. Dato Fauzi mempunyai pendapat yang berlainan pula: dia telah dilantik dengan tiket Barisan Nasional, dan kalau partinya mahu menolaknya, dia mestilah meletakkan jawatan. UMNO tentunya tidak senang hati apabila seorang wakil rakyatnya melepaskan jawatan berasaskan prinsip. Dia juga bertegas bahawa dia boleh terus bergelumang dengan politik UMNO dan pada waktu yang sama menjadi sehabat kepada Anwar Ibrahim. Malangnya UMNO berpendirian kalau presiden parti menganggap seseorang itu musuhnya, orang itu mesti dimusuhi juga.

Inilah gara-gara persahabatan yang lama dengan Anwar Ibrahim yang kini menyulitkan kedudukan Fauzi. Sepatutnya dia dilantik menjadi menteri besar ketika Khalil Yaacob beralih ke Kuala Lumpur. Dia diketepikan di saat akhir dan dititahkan keluar dari perkarangan istana sebelum bermulanya pertabalan Adnan Yaakub sebaik sahaja selesai pemilu 1999 dulu. Persengketaan antara Khalil Yaacob dan Fauzi bukannya satu perkara baru. Dia sepatutnya tidak bertanding pada pemilu 1999 dulu, kalaulah tidak ada desakan kuat dalam UMNO dan juga wujudnya pengaruh PAS yang semakin berbisa di negeri itu. Tetapi, Barisan Nasional menang besar dengan majoriti kerusi yang lebih banyak walaupun sokongan akar umbi semakin ketara berkurangan dan memberikan satu isyarat sindiran kepada BN. Walaupun menang, Fauzi telah sengaja dipinggirkan dan kumpulan Anwaristas dipencilkan lagi. Kalau boleh UMNO mahu menghakiskan pengaruh Anwarista di kalangan akar umbinya dan usaha itu dilancarkan dalam pemilihan jawatankuasa cawangan dan bahagian parti.

Memang mudah, secara putarbelit atas kertas, untuk mengenepikan mereka semua dalam pilihan bahagian. Untuk mempastikan pemimpin tertinggi UMNO tidak dicabar, para calon mestilah menerima pencalonan minima untuk bertanding dalam sesuatu jawatan penting itu. Sistem ini meneguhkan kedudukan para pemimpin tetapi inilah juga yang membuatkan mereka kurang selamat, selepas pemilu 1999 dulu. Apabila sistem ini mahu dihapuskan tahun lalu ketika para perwakilan UMNO bersidang bulan November dulu, para perwakilan tidak pula bersetuju. Akar umbi UMNO sudah naik berang dan bersekongkol mencabar pemimpin UMNO memimpin parti tanpa sokongan mereka. Inilah sistem yang menghantui UMNO. Perletakkan jawatan Fauzi membuatkan UMNO pincang. Sama ada pemimpin suka ataupun tidak, insan yang para pemimpin UMNO mahu pinggirkan dalam pemilihan kali ini, menjadi insan yang perlu diperhatikan. Para pemimpin UMNO pada mulanya beranggapan bahawa pemimpin yang tergolong sebagai Anwarista dan yang dipinggirkan tidak berani untuk mencabar mereka secara terbuka. Apabila Fauzi menunjukkan belang mereka, tentu sekali UMNO takut dengan kemungkinan ada pihak lain yang akan mengikutnya. Kerana itu, semua pemilihan yang akan dilaksanakan di peringkat bahagian mulai esok tidak akan menggoncangkan suasana yang sedia ada. Kumpulan Anwaristas tidak akan diperlekehkan lagi dan sudah tentu mereka akan terus mengorak langkah untuk terus berjuang hingga sampai ke persidangan tahunan nanti.

Orang Melayu memang tidak suka bertelagah, kerana itu dia sanggup bersabar sebelum bertindak untuk berbalah. Mengikut tradisi feudal Melayu, mencabar seorang pemimpin feudal adalah serupa dengan menderhaka. Kerana itu dia mesti menangani keadaan penderaan itu tanpa menyerlahkan suasana ketenangan yang hanya akan berubah apabila tahap kesabaran sudah disanggah. Selalunya, kesan tindakannya itu memang amat menakutkan. Bukan sembarangan sebab, dunia menggunakan perkataan ‘amok’ itu dalam khazanah bahasanya. Keadaan tenang yang dipaparkan memberikan satu ilusi kepada sesiapa yang mempercayai bahawa Dr. Mahathir Mohamad sedang berkuasa penuh ke atas parti. Ketika persidangan pada November dulu, dia terpaksa meminta para perwakilan bertepuk tangan kepada beberapa perkara yang dicakapkan. Itupun satu sambutan dingin yang tidak disangka-sangka. Pada kali ini, kemarahan dan perkiraan akan menjadi semakin tinggi. Cara para perwakilan bertindak membahaskan ucapan amanatnya nanti akan menentukan berapa lama dia akan memegang kuasa lagi . Pertaruhan sudah mula disusun: ada yang bertaruh RM200,000 berasaskan dia tidak lagi menjadi Perdana Menteri pada Ogos ini; ada pula bertaruh RM50,000 yang dia akan melepaskan jawatan dan menjadi longlai sebelum Julai. Tidak ada satu mamatpun yang mempercayainya lagi betapa dia akan melepaskan jawatan pada 2004 nanti.

Kini, Mahathir menghadapi tekanan yang lebih hebat lagi oleh keingkaran Fauzi. Para pemimpin UMNO sudah dipencilkan oleh para penyokong parti dan juga masyarakat negara ini sehinggkan mereka terpaksa membayar fulus untuk mendapatkan himpunan manusia menyambut kedatangan Wira Dunia Ketiga ketika beliau turun di Kampung Mulia. Apa yang keluar dari mulutnya tidak berkesan lagi melainkan kata-katanya itu diulang-ulang sebagai satu penekanan oleh timbalan perdana menteri. Para penyokongnya adalah mereka yang mengharapkan keuntungan kewangan dan mereka yang akan menjadi bahan makanan serigala lapar sebaik sahaja dia diterajang keluar. Lagi lama dia bertahan pada jawatannya, lagi teruk tekanan yang dihadapi oleh UMNO dan Barisan Nasional serta parti komponennya. Pada satu ketika dulu akar umbi UMNO mahukan dia keluar bersama menteri kewangan, Daim Zainuddin. Kini, tidak lagi. Mereka menuntut agar timbalan perdana menteri dan juga menteri penerangan turut keluar sama. Kalaulah Barisan Nasional menang lagi tetapi dengan angka majoriti yang kecil ataupun kalah, para pemimpin UMNO di Kuala Lumpur sudah tentu akan menjadi parah. UMNO memang sudah lemah di peringkat negeri sejak lama dulu lagi. Pengaruh PAS di Pahang memang sudah naik melonjak dan berkemungkinan akan menang besar kali ini. Seorang bekas exco Pahang sudahpun menubuhkan cawangan PAS di Ampang Jaya. Di peringkat awalan dia menjangka sokongan yang kecil sahaja, yang datang berjumlah ratusan banyaknya. Pada pemilu 1999 dulu dia berkempen untuk PAS. Kali ini di Beserah, dia akan melakukan perkara yang sama. Memang teruklah UMNO kali ini nampaknya.

MGG Pillai

.......................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 6 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com