Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


MMM 10 : Kathelika Niramile

Sejak Episod Kg. Medan meletus, banyak emel telah dikirimkan ke kantung ‘marhaintua’ sehinggakan saya menerima amaran daripada tuan punya URL agar saya bertindak secepat mungkin. Saya sebenarnya tidak terdaya menyekat ledakan emel itu kerana paling banyak yang termampu saya baca di bahagian awalannya untuk disimpan ke dalam disket ataupun diketepikan ialah hanya sekitar 55 kiriman sahaja, setiap hari. Kalau lebih dari itu yang diterima, tentu berlaku kesesakan yang sukar dielakkan.

Ramai pengirim yang mahukan pendapat saya, sambil ada juga yang memikirkan saya sudah-kecut perut untuk menulis mengenainya. Saya ingin mengambil kesempatan kali ini memberikan penjelasan mengenai isu Kg. Medan, yang saya anggap satu isu yang sengaja dibesar-besarkan kerana kepentingan politik ‘orang tertentu’ (pinjam istilah Mahathir kerana dia amat suka menggunakan frasa ini sekarang). Saya harapkan tulisan saya mengenai episod Kg. Medan (di sini bermaksud seluruh kawasan dan perkampungan persekitarannya) akan menghentikan lambakan kiriman emel kepada saya, selepas ini.

Yang Kecil Dibesar-besarkan

a) Pendapat Saya Mengenai Kg. Medan

Saya ulang untuk dirakamkan di sini, episod Kg. Medan adalah satu kisah pergaduhan kecil yang dapat dilihat di mana-mana terutama sekali di satu penempatan manusia yang padat. Sepatutnya ia sudah selesai dengan tindakan pantas pemimpin masyarakat setempat. Kalau episod bermula pada Mach 3, kenapakah ia meledak mulai Mach 6?

Semua agensi kerajaan berkata episod Kg. Medan bukannya pergaduhan perkauman. Tetapi, kenapakah mangsa daripada kaum India dihantar ke Hospital Universiti dan mangsa Melayu ke Hospital Besar?

Kalau kerajaan serius untuk mengawal keadaan kenapakah tidak diadakan sekatan terhad (restrictive curfew) di malam hari di kawasan yang hangat sebaik meledaknya isu itu? Kenapa pula akhbar perdana dibiarkan menulis mengenai berita pergaduhan di tempat lain dengan menggunakan perkataan ‘pergaduhan kaum’ sedangkan ternyata kebanyakan episod ‘tambahan’ itu adalah kes samseng dan kegiatan bajingan yang kerap berlaku di negara ini?

Kerajaan pimpinan Mahathir mempunyai banyak pengalaman mengenai rusuhan kaum ataupun pergaduhan kaum. Bila ia tercetus (ataupun apakah benar ia sengaja dicetuskan?) di Kelantan, kesannya ialah penubuhan MAGERAN yang kini disedari oleh rakyat Kelantan, sebagai usaha menidakkan PAS untuk memerintah negeri itu. Selama 21 bulan MAGERAN berkuasa di negara ini dengan Hashim Amnn dilantik khas untuk mentadbir Kelantan. Kerajaan BN yang hampir kecundang pada pemilu 1969 itu telah menggunakan kuasa putar-belit untuk mengisytiharkan darurat ekoran apa yang dikatakan Peristiwa Berdarah 13 hb Mei 1969. Hanya pada hari Sabtu 20hb Februari 1971, berakhirnya tugas dan tanggung jawab MAGERAN. Pada hari itu 14 orang ahli Dewan Negara yang baru dan143oranganggota Dewan Rakyat telah mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan masing-masing (sila rujuk ms 74-75 “Tun Dr. Ismail – Negarawan Berjasa” karangan Mohd. Tajuddin b. Hj. Abdul Rahman)

Rusuhan kaum pernah meledak di Pulau Pinang hingga membabitkan kerahan tentera untuk membantu polis menanganinya. ‘Curfew’ dilaksanakan untuk seketika dan sekatan berita buruk dikenakan terhadap akhbar perdana. Keadaan menjadi reda dengan cepat kerana pemimpin kaum ikut serta meredakan keadaan. Dalam kes Kg. Medan hingga ke hari ini ada saja berita susulan disiarkan mengenai pergaduhan kaum di tempat lain selain sekitar Kg. Medan. Kenapakah perkara ini dibiarkan?

Kerajaan Selangor pimpinan Khir Toyo bertindak cepat cuba menyelesaikan perkara ini dengan melaksanakan makan ‘berdamai’di kediaman rasmi beliau. Apakah itu tindakan bijak? Bagi saya itu tindakan bahlol kerana ia serupa dengan mengubat di tempat yang tidak sakit.

Ketika episod 13 Mei dicetuskan oleh ‘orang tertentu’ jamuan makan damai diadakan di Jalan Chow Kit yang dihadiri oleh penduduk setempat dengan disertai pasukan Askar Melayu dan polis. Ketika itu orang melayu tidak lagi membeli-belah di pasar Chow Kit. Mereka sudah menempatkan satu pasar baru di Kg. Baru (bekas tapak pasar minggu yang kini dibina rumah pangsa). Di waktu itu beberapa kedai popular kepunyaan tauke cina sudah musnah dimakan api. Contohnya ialah kedai jahitan Wing Kwong (nama asalnya sebelum dibakar ialah Sing Kwong). Taukehnya tidak menyesal dengan kebakaran itu dan dia pernah berkata: “Saya jadi kaya kerana 99% pelanggan adalah orang Melayu. Saya tetap buka lagi kedai saya.” Diperbetulkannya kedai itu kerana dia tahu yang membakar kedainya bukannya orang Melayu Kg. Baru. Selepas itu dia bersama dengan beberapa orang taukeh Cina lain menubuhkan Mun Loong. Di Kg. Medan, ramai penghuni India yang berkata bahawa yang datang membuat kacau bukannya orang tempatan. Siapakah mereka? Inikah mereka yang termasuk dalam golongan ‘orang tertentu’?

Rakyat Marhaen Yang Dimangsakan

Katakanlah apa yang berlaku di Kg. Medan itu sesuatu yang ‘real’ kenapakah kerajaan bertindak sehingga mahu menggunakan Akta ISA kepada sesiapa yang menabur cerita karut. Mampukah kerajaan terus bersikap mengugut rakyatnya setiap kali ada kesangsian rakyat marhaen terhadap sesuatu peristiwa?

Kampung Medan dan persekitarannya yang dikatakan bergelora itu adalah satu penempatan yang terawal selepas kemerdekaan dicapai. Kepadatannya pada tahap awal tidak sepadat Kg. Kerinci tetapi ia merupakan satu penempatan untuk manusia yang terpinggir. Kg. Medan dan persekitarannya adalah lambang kepincangan BN yang paling besar dalam menangani kehidupan satu kumpulan pengundi yang taat setia selama lebih 40 tahun.

Saya mempunyai ramai saudara dan kenalan di Kg. Medan. Saya pernah menulis secara kiasan bagaimanakah wakil rakyat UMNO sanggup berkhidmat di kawasan seperti itu sedangkan kebanyakan rumah yang dihuni amat menyedihkan. Sebagai perbandingan banyak reban ayam wakil rakyat di luar bandar yang berkeadaan lebih selesa daripada rumah yang dihuni oleh setinggan Kg. Medan. Banyak sangkar kucing peliharaan (dan anjing di mana ada kaitannya) wakil rakyat dan pemimpin UMNO di seluruh negara ini yang lebih mahal daripada beberapa rumah penduduk setinggan di Kg. Medan. Banyak jalan dan lorong ke dusun buah-buahan pemimpin UMNO yang jauh lebih baik daripada jalan dan lorong ke rumah penduduk setinggan di Kg. Medan dan persekitarannya.

Kalau kita ambil setiap satu set perabut impot yang terdapat di ruang tamu setiap pemimpin UMNO dan BN di seluruh negara ini, kita akan dapati kos setiap set perabut itu adalah lebih mahal harganya daripada kebanyakan rumah yang dibina di Kg. Medan.

Apabila cerita ledakan Kg. Medan meletup, tidak ada pemimpin BN yang berani masuk melihat keadaan sebenar. Apakah mereka takutkan keselamatan mereka terancam? Ataupun mereka sudah diberitahu keadaan yang sungguh menjijikkan di situ memang tidak sesuai untuk pandangan wakil rakyat? Cuba bayangkan setiap longkang monsun di perkampungan setinggan di situ yang diletakkan jambatan titi untuk diseberangi setiap hari. Di situlah segalanya kejijikan kehidupan manusia yang merempat. Itulah gambaran betapa dahsyatnya keadaan hidup manusia kelas pekerja yang taat setia selama ini kepada kerajaan yang memerintah. Di situlah terletaknya satu kumpulan masyarakat yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan hati. Ada yang terpaksa menetap di situ sejak 25 tahun dulu kerana telah dijanjikan rumah murah kerajaan. Ketika janji awal diberikan tiga puluh tahun dulu harga kos bikinan rumah murah hanya Tujuh Ribu Ringgit sahaja dan dijual kepada golongan marhaen dengan harga dua puluh lima ribu.

Tikus yang berkeliaran di Kg. Medan adalah sama besarnya dengan tikus di beberapa tempat di Petaling Jaya seperti di Damansara Utama, Damansara Jaya, SS2, Kampung Melayu di Petaling Jaya , malahan juga di Putra Jaya. Ada saiz tikus yang lebih besar daripada saiz kucing Parsi peliharaan pemimpin UMNO. Kalau keadaan Kg. Medan tidak diperbaiki kita akan berkemungkinan diserang wabak hawar-tikus ‘plague’ yang disebabkan oleh tikus-tikus ini. Kalau khinzir dan babi yang dipelihara dan diberikan suntikan pelbagai hormon boleh dijangkiti oleh wabak JE apakah tikus liar tidak boleh membawa virus yang membunuh manusia?

Kalau kita lihat keadaan penghuni rumah panjang di situ sebahagian besar penghuninya sudah menetap lama sehinggakan ada yang mempunyai anak-anak yang sudah berkahwin dan menghuni di tempat lain. Pada satu ketika dulu mereka ini adalah penyokong setia BN. Kini, sebilangan besar sudah tidak berparti lagi walaupun ramai yang menjadi penyokong parti Barisan Alternatif. Satu ketika dulu mereka yakin menetap di rumah panjang dan pondok buruk kerana telah dijanjikan rumah murah. “Nama anda sudah ada dalam bancian UMNO ataupun MIC…sabar sedikit masa lagi….!!!” Itulah janji sejak zaman Datuk Harun yang diulang-ulang ketika zaman Hormat Rafai, Ahmad Razali Ali, Mohammad Tyson dan kini Khir Toyo. Semua orang yang mendahului Khir Toyo pernah menjanjikan rumah murah kepada setinggan di Kg. Medan. Mereka masih hidup lagi. Tanyalah mereka kenapa rumah yang dijanjikan itu masih belum diberikan lagi. Kalau kita menyorot ke belakang hanya dua puluh tahun, ramai anak setinggan Kg. Medan sudah pun bekerja dan mereka kenal hanya seorang perdana menteri sahaja. Di kalangan mereka yang cerdik pandai mungkin sudah kenal 18 nama perdana menteri Jepun, dan sedar betapa yang memegang jawatan sekarang akan meletakkan jawatannya minggu depan. Kalau ada di kalangan anak Kg. Medan yang berbakat seperti Yusuf Chong mengejek suara orang, tentu ramai yang pandai meniru cakap dan suara Mahathir. Tentu ramai yang boleh menyebut: “Kalau anda sayangkan negara ini, anda mesti sanggup berkorban untuk bekerja kuat. Malaysia Boleh…..!!!” Tentu ramai di kalangan mereka yang mampu berfikir dan menyoal: Bekerja kuat untuk Mahathir? Malaysia Boleh untuk siapa?”

Mungkin jua ada anak-anak muda berbakat di Kg. Medan yang dapat mengejek suara Mahathir ketika dia bercakap di sidang akhbar pada awal April tahun lalu. Ketika itu dia berucap sebelum pergi terbang ke Cuba. Apakah yang dikatakannya: “Pihak pembangkang dan orang tertentu mahu merusuh….mahu baling bom Molotov untuk buat huru hara…!!!” Utusan Melayu telah membesarkan cakap Mahathir itu dengan menggunakan tajuk utama di muka depan akhbar yang berbunyi “RANCANG RUSUHAN GANAS”. Saya ada rakamkan segala peristiwa sebelum tercetusnya episod ‘Gelita 14’ dalam siri ‘Mencarai Geliga Dalam Gelita”. Di bawah tajuk itu Utusan Melayu ada menulis:

“Dr. Mahathir Mohammad melahirkan kebimbangannya terhadap trend terbaru parti pembangkang yang kian ghairah mahu mencetuskan huru-hara termasuk ingin melihat berlakunya pertumpahan darah dalam negara. Beliau mempunyai maklumat bahawa penyokong-penyokong Parti Keadilan (Keadilan) merancang untuk melakukan rusuhan ganas di ibu negara, 15 April ini…”

Orang Utusan yang membuat laporan itu menulis lagi: “Difahamkan pihak tertentu mahu melakukan tindakan agresif itu bertujuan mendapatkan semula perhatian rakyat setelah merasakan pergerakan mereka semakin tidak mendapat sokongan.”

Kalau boleh saya minta jasa baik RTM Malaysia dan juga TV3 menyiarkan klip rakaman sidang akhbar Mahathir di mana dia ada berkata:

“Saya dengar Keadilan hendak ada demonstrasi pada 15 April ini dengan tujuan nak memperingati tentang sesuatu dan mereka sedia nak pukul polis, nak bawa senjata….kayu dan ‘Molotov-cockatil’ (bom botol). Oleh itu kalau nak buat apa-apa pun kenalah buat sekarang, sebelum melarat.

Kemudian di New York dia bercakap di PBB di mana dia memperlekehkan orang Melayu beragama Islam kerana terlalu taksub kepada agama sehingga sanggup membuang TV dan radio ke sungai. Tetapi, berapa ramaikah pendengar di New York yang sedar bahawa inilah penyangak yang serupa yang menuduh Tunku Abdul Rahman Putra pad Mei 1969 dulu, kerana keadaan dhaif orang Melayu disebabkan memberi kepentingan kepada peniaga Cina? Apakah dasarnya mengenai keadaan Melayu dhaif kalau bukan merujuk kepada keadaan hidup orang Melayu di Kg. Medan?

Mungkin juga ramai yang bertanya kenapakah Mahathir tidak berani melawat Kg. Medan? Betulkah Mahathir sudah melawat mangsa pergaduhan Kg. Medan? Mana gambarnya beliau melawat orang Melayu di Hospital Besar? Siapakah yang dilawatinya di Hospital Universiti?

Kalau kita naik LRT dan berhenti di stesen Datuk Haron kita akan lihat banyak rumah setinggan yang satu ketika dulu tapaknya dijual dengan harga antara RM hingga RM1500. Kepada siapakah harga tapak itu dibayar kalau bukan kepada ketua kampong. Siapakah ketua kampung perkampungan setinggan di situ kalau bukan pemimpin UMNO?

Begitulah caranya perkampungan setinggan itu membiak. Baik di Kg. Medan dan persekitarannya, Kg. Kayu Ara, Kampung Air Panas di Setapak, Kg. Setinggan di Jalan Tun Sambanthan berdekatan Bangunan MAB dan banyak lagi kampung setinggan di sekitar Lembah Kelang. Hampir semua perkampungan ini adalah bekas lombong yang dipetak-petakkan oleh ‘orang tertentu’ dan dijual oleh ketua kampung kerana Ketua kampung itu adalah proksi dan ‘pemegang amanah’ di kalangan ‘orang tertentu’.

Orang-orang Datuk Keramat tentu masih ingat kisah perkampungan setinggan yang terbakar di kawasan yang kini menjadi tapak LRT Stesen Datuk Keramat. Apakah secara kebetulan perkampungan itu terbakar hangus sebaik sahaja stesyen LRT mahu dibangunkan? Begitu juga perkampungan setinggan yang paling tua di Kuala Lumpur satu ketika dulu. Saya pernah menulisnya dalam Siri Suasana Lebaran Pencetus Minda. Itulah perkampungan “Belakang Mati” di Chow Kit yang tidak pun terjejas ketika tercetusnya Mei 13, tetapi musnah kerana kebakaran ketika era MAGERAN.

Projek Sang Kancil

Ketika jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur dipegang oleh Tan Sri Elias Omar (ketika itu dia lebih dikenali sebagai Dr. Eliyas Omar sahaja), ada satu rancangan yang disebut Program Sang Kancil khas untuk penempatan setinggan. Program ini menyediakan paip-air, bekalan api letrik dan tandas serta sedikit perparitan dan jalan bertar. Sejak itulah perkampungan setinggan membesar kerana ia diusahakan oleh ‘orang tertentu’ seperti bersindiket. Di siang hari kita lihat kawasan perumahan dipancang. Keesokan harinya, rumah papan sudah terbina siap dengan program pasang siap yang canggih.

Program pasang siap inilah yang menjadi tempat tinggal warga kota raya di Kuala Lumpur yang bekerja sebagai anggota polis, tentera, pasukan keselamatan, kerani, pekerja kilang, pegawai kastam, pegawai imigresen, peniaga pasar malam, pasar borong, pengurus gerai makan dan kedai-kedai barangan, pengawal keselamatan pemimpin BN, sekuriti bank dan pejabat dan banyak lagi termasuk peguam muda, doctor muda , dan apa juga bidang professional yang ada melainkan menjadi pemimpin UMNO dan BN yang berpangkat besar. Keadaan persekitaran yang menjijikkan di Kg. Medan itu adalah pandangan yang sudah lama terpahat di lubuk hati setiap para pemimpin dan professional yang mempunyai hubungan sejarah dengan Kg. Medan kerana ramai mahasiswa dan mahasiswi Melayu dan India yang pernah menghuni di perkampungan itu sejak empat puluh tahun dulu lagi.

Sejarah akan memperakukan betapa Projek Sang Kancil telah membuatkan ramai pemimpin UMNO dan MIC serta MCA menjadi kaya raya. Kebanyakan tanah tapak rumah yang dibeli ataupun disewa bulanan oleh penghuni setinggan adalah kepunyaan parti BN, terutama sekali UMNO. Pergilah kesemua perkampungan setinggan, anda akan diberitahu rumah pemimpin tempatan UMNO dan juga MIC yang mengutip sewa bulanan tapak rumah yang melambak-lambak itu sehinggakan ada orang tertentu yang mengutip pendapatan sekitar RM30,000 setiap bulan. Kalau seorang pengarah bandar raya Kuala Lumpur boleh memegang lessen haram gerai sebanyak 85 unit dan memajaknya kepada kaum mendatang, bagaimana pula agaknya rumah setinggan yang dipajakkan kepada orang luar yang amat memerlukannya?

Setiap kali seorang tuan punya rumah setinggan membawa masuk peralatan untuk membetulkan rumahnya dia akan didatangi beberapa pegawai penguatkuasa bandar raya yang lengkap dengan kamera dan lori pengangkut untuk mengangkut papan, simen, pasir dan zinc yang baru dibelinya. Alasannya penguatkuasa KL (termasuk Shah Alam, PJ, Ampang, Hulu Langat Kelang dsbg) berhak menahan kerja-kerja pembaikan terhadap rumah setinggan. Tetapi pengecualian boleh diberikan dengan menyogok setiap penguatkuasa yang datang. Cukai yang tidak berjadual ini adalah amalan biasa kerana itu kita lihat penguatkuasa yang berpakaian segak berkeliaran merata tempat dengan mata terbeliak melihatkan setiap projek rakyat marhaen untuk dicukai. Tetapi di waktu yang sama, orang-orang ini juga mempunyai banyak rumah sewa ataupun tapak perumahan untuk dijual. Di waktu yang sama juga kebanyakan mereka ini adalah anggota pasukan gerak gempur pemuda UMNO dan MIC.

Dari sini kita tentu faham bahawa banyak pihak yang tidak mahu menyelesaikan masalah setinggan di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar kerana perkampungan setinggan itu adalah perniagaan yang besar kepada banyak pihak, terutama sekali para pemimpin UMNO. Malahan ada cerita yang mengatakan bagaimana penghuni setinggan telah menjadi tenaga pengundi hantu yang bergerak daripada satu kawasan mengundi ke satu kawasan yang lain ketika pemilu 1999 dulu, di Teluk Kemang dan juga di Sanggang. Cuma mereka tidak berjaya melaksanakan taktik yang serupa ketika berlakunya pilihanraya kecil di Lunas.

Masalah Kampung Medan bukanlah masalah tidak ada rumah. Ia adalah masalah perumahan kepada yang memerlukannya. Di samping itu disebabkan keadaan pekerjaan yang memberikan pendapatan yang rendah berbanding dengan harga barangan asas yang semakin meninggi, ia mencetuskan satu suasana kekecewaan dalam kehidupan seharian penghuni setiap perkampungan setinggan. Suasana yang serba kekurangan inilah yang membuatkan ramai penghuni kampung setinggan yang terjebak dengan dadah, arak dan segala bentuk maksiat yang menjerumuskan kehidupan seseorang insan yang melarat itu. Apabila perut sentiasa lapar, tidak ada apa nasihat dan ajaran social yang boleh diendahkan. Inilah yang membuat sesuatu masyarakat itu memberontak terhadap pihak atasan kerana mereka terlalu lama menanggung kekecewaan. Apakah unsur-unsur ini tidak difahami oleh Mahathir Mohammad, Samy Vellu, Ling Liong Sik dan semua pemimpin Barisan Nasional?

Catatan Sejarah Melayu Yang Pincang

Kegelisahan rakyat Malaysia masa kini berpunca daripada ketegangan hidup yang berlaku sejak empat tahun yang lalu. Mahathir dan semua pemimpin Barisan Nasional sebenarnya sedang menghadapi segala kesan-kesan penyalahgunaan kuasa yang mereka laksanakan sebagai pemimpin negara dan juga pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional. Kesan penyalahgunaan kuasa mereka ini boleh dilihat di mana-mana kerana semuanya sudah menjadi catatan sejarah yang tidak boleh mereka ubah. Adalah satu kesalahan yang besar kalau Mahathir mahu terus berbohong menyalahkan orang lain kalau ekonomi negara merudum dengan teruknya kali ini kerana walaupun ekonomi negara memang sedang turun, banyak negara lain di negara ini sedang hidup tenteram sambil mempunyai kemampuan menangani cabaran pergolakan ekonomi dunia. Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya raya dengan hasil buminya dan sepatutnya mempunyai banyak wang simpanan hasil daripada keluaran minyak yang bermutu tinggi dan gas asli yang melambak banyaknya sepatutnya tidak menerima tekanan daripada pergolakan yang terbaru ini.

Sejarah telah menunjukkan betapa rakyat Malaysia adalah satu bangsa (bangsa Malaysia ) yang pandai hidup tenteram dan kerana itu Malaysia sejak mencapai kemerdekaannya dianggap oleh orang barat sebagai “the God sent country” (negara yang direstui Allah). Tanggapan begini berdasarkan sikap dan kelakuan orang Melayu itu pada dulu-dulu lagi sebelum Melaka di jajah oleh pedagang daripada barat sehinggalah Jepun menaklukinya dan China hampir berjaya menguasainya secara proksi melalui pergerakan ‘Bintang Tiga’ dan parti Komunis Malaya pimpinan Chin Peng.

Sejarah juga menunjukkan kemerdekaan Malaya dan kemudiannya Malaysia adalah berputik daripada perjuangan orang Melayu dalam mengharungi segala peristiwa getir mempertahankan negara ini dengan darah dan jiwa mereka. Walaupun kini orang-orang UMNO dan juga pemimpin politik BN kerap mendabik dada mengungkit perjuangan UMNO dalam merundingkan kemerdekaan, British telah bersetuju memberikan kemerdekaan itu berdasarkan perjuangan askar Melayu dalam Perang Dunia Kedua dan cara askar dan anggota polis Melayu yang bertugas di Singapura yang melanggar arahan pegawai British ketika tercetusnya ‘episod Natrah’ (sila baca The Nadra Tragedy - The Maria Hertogh Controversy oleh Haja Maideen). Dua peristiwa besar ini mengajar British betapa orang Melayu adalah satu bangsa yang lemah lembut, penyabar dan taat setia HANYA selagi maruah mereka tidak tercabar.

Terdapat banyak nilai-nilai murni dalam tamaddun orang Melayu itu yang ditulis dan digambarkan oleh banyak pencatat sejarah bangsa asing. Cuma, sejak kita mencapai kemerdekaan sehingga kini, belum ada lagi catatan cendikiawan bangsa Melayu yang mahu menyingkap tulisan sejarah ini untuk menyedarkan bangsanya. Sehingga hari ini orang Melayu pada keseluruhannya mengetahui sejarah bangsanya dan kegemilangan nenek moyangnya melalui tulisan yang lebih banyak dihasilkan oleh orang bukan Melayu daripada oleh bangsanya sendiri.

Selepas kemerdekaan, sejarah pembangunan Semenanjung Tanah Melayu sejak zaman kesultanan Melayu lagi, banyak dikaji dan ditulis semula oleh orang bukan Melayu. Cerdik pandai Melayu yang mampu menulis sejarah itu lebih memberi penekanan kepada Cerita Hang Tuah dan empat sahabatnya ataupun kisah pantun dan bidalan Melayu. Tidak banyak tulisan yang menyingkap kegemilangan Melayu dalam bidang keusahawanan sejak kerajaan Melayu Melaka dulu dan kisah pelayaran anak melayu mengelilingi dunia. Malahan, tidak banyak kajian untuk menjejak dan penganalisis pelayaran Munsyi Abdullah yang menulis buku catatannya. Trend ini berterusan sehingga kini di mana ramai golongan arif Melayu lebih selesa menulis untuk menjilat tapak tangan tuan-tuan politik mereka. Kalaulah mereka luangkan sedikit masa dan analisis keperitan hidup dan kejijikan layanan yang diberikan kepada penghuni Kg. Medan saya percaya masalah setinggan sudah lama lenyap di bumi Malaysia.

Antara penulisan buku Melayu oleh seorang anak Melayu (tidak kiralah yang mempunyai darah campuran dengan sesudu dua sahaja darah Melayunya) yang laris dan masyhur (bukan laris disebab buku itu digunakan sebagai bahan bacaan wajib di sekolah-sekolah) ialah buku “Dilema Melayu” tulisan perdana menteri Malaysia sekarang. Cuba perhatikan isi kandungannya, apakah ada sebarang pengajaran menaikkan semangat bangsa untuk maju bersaing dengan kaum lain? Apakah ada cadangan positif untuk menyedarkan bangsa Melayu bahawa untuk menjadi satu bangsa yang besar itu bukannya dengan menilai kandungan darah kromosom dalam badan, tetapi melalui usaha dan kongsi sama secara jujur dan ikhlas untuk bersaing dengan kaum lain dan negara lain di dunia ini, sambil memantapkan pendirian agar tetap bertaqwa kepada Allah.

Oleh kerana orang Melayu tidak ada satu pemimpin yang berkelas negarawan yang berkuasa dan menjadi pemimpin unggul UMNO sejak kematian Tun Abdul Razak dan Tun Ismail, makanya bangsa melayu itu kini berada dalam satu keadaan terumbang-ambing kerana mindanya yang telah terpusing. Keadaan ini menjadi semakin ketara sejak lima belas tahun yang lalu, kerana ketika itulah Mahathir sudah berani merancang untuk berbelanja besar menggunakan segala khazanah negara untuk memenuhi nafsu kerakusannya.

Kelentongan Mahathir Terhadap Bangsa Melayu

Salah satu usaha mengabui minda orang Melayu sekarang ini ialah tulisan-tulisan dan rencana TV dan radio mengenai kejayaan Mahathir dalam membangunkan negara. Tetapi, kebanyakan artikel dan rencana itu seolah-olah lupa akan catatan sejarah. Sebagai perbandingan saya turunkan satu catatan diari seorang wartawan mengenai penglibatan Mahathir (dan timbalannya Musa Hitam) sebaik sahaja mereka menubuhkan kabinet baru:

Julai 16: Mahathir menjadi Perdana Menteri (1981) Julai 18: Satu kabinet baru ditubuhkan di mana Musa menjadi TPM.

Julai 23 : Majlis Tindakan Negara dihidupkan kembali untuk memantau Kerja-kerja kementerian dan agensi kerajaan;

Julai 30: Musa mengumumkan pembebasan 21 tahanan ISA;

Ogos 1: Datuk Harun Idris, (bekas menteri besar Selangor) dibebaskan Selepas dipenjara selama 13 bulan (hukuman asal 6 tahun).

Ogos 3: Amaran kepada pegawai kerajaan agar berubah sikap untuk Bekerja kuat oleh Mahathir. Beliau perkenalkan sistem ‘punch-card’ di semua pejabat kerajaan.

Ogos 8: Musa mengarahkan dua anak syarikat Lembaga Pembangunan Johor ditutup dan memberi amaran kepada 2 Agensi lain untuk memperbetulkan keadaan ataupun ditutup dalam enam bulan.

Sep.2: Mahathir mengumumkan pembentangan undang-undang Yang menyekat manipulasi di pasaran saham.

Mengumumkan dia tidak akan menghadiri Persidangan Ketua Negara Komanwel di Melbourne kerana kesibukan kerja. Sept.7: Permodalan Nasional Berhad mengambilalih Guthrie.

Okt. 10: Dasar ‘Buy British Last’ mengenepikan barang buatan British.

Okt. 26 Mahathir mengumumkan penubuhan satu jabatan khas untuk memerangi rasuah.

Nov.12 Kerajaan menggubal ‘Universities and Universities College Act” AUKU.

Dis. 4 Penyeragaman waktu antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

Dis. 15 Mahathir mengumumkan “Look East Policy” yakni dasar Pandang ke Timur (Jepun dan Korea ). Sila baca “The Musa Dilemma” ms. 44-47 tulisan K. Das.

Mahathir Dulu Dan Mahathir Sekarang

Catatan K. Das itu menunjukkan betapa dalam masa empat bulan selepas memegang kuasa banyak perkara yang tegas dirancang oleh Mahathir untuk meyakinkan rakyat marhaen betapa dia boleh dipercayai untuk membawa Malaysia menjadi satu negara yang kaya raya. Orang Melayu pun ketika itu menjadi bersemangat untuk memberikan kesetiaan kepadanya tanpa berbelah bagi. Sayang, Mahathir mudah lupakan sejarah. Dalam masa empat bulan dia merancang dan melaksanakan pelbagai usaha untuk menunjukkan ketokohannya seolah-olah dialah orangnya yang akan memperkayakan Malaysia. Semua itu berkecai akhirnya.

Sejarah menunjukkan kini, Mahathir telah meludah ke langit dan sedang menampung mukanya untuk menadah segala ludah yang dilontarkannya dulu. Dia ternyata telah mungkir janji dan hanya mementingkan dirinya dan tembolok anak-anaknya. Segala kerja-kerja molek-molek yang dirancangnya jatuh terperusuk kerana kegagalan.

Dia cuba menakutkan rakyat Malaysia kerana mahu terus berkuasa seolah-olah hanya dia yang boleh menyatupadukan rakyat Malaysia. Tetapi, kalau di ladang-ladang dulu di mana orang India lebih ramai daripada orang Melayu, bagaimanakah mereka boleh hidup aman damai. Sebaliknya, bagaimanakah di perkampungan setinggan orang India boleh mencetuskan huru hara? Sejak bilakah rakyat Malaysia menggunakan bom molotov menghancurkan harta benda?

Mahathir cuba meraih sokongan orang Melayu dengan memburukkan PAS dan kini melancarkan kempen “Amanat Hadi” sebagai satu alat tipu muslihatnya. Tetapi, apakah orang Melayu menganggap “Amanat Hadi” itu sebagai menyelewengkan aqidah mereka? Jawapannya tidak, dan kini masyarakat Melayu berbangga kerana Pas menangguhkan persidangan perpaduan Melayu itu. Sepatutnya PAS membatalkannya sahaja kerana kalau UMNO terus mempertikaikan PAS dan keIslamannya, eloklah PAS menjauhkan diri daripada UMNO. Biarlah orang Melayu itu menjadi hakim yang sebenar untuk menilai siapakah yang lebih layak memimpin orang Melayu: UMNO ataupun PAS.

Usaha Terakhir Mahathir Untuk Terus berkuasa

Mahathir sudah tersepit. Kini, dia menambahkan belanjawan negara kerana mahu menyuntik aktiviti rakyat berbelanja sebagai satu pakej rangsang ekonomi. Inilah “langkah mengekang kesan kelembapan ekonomi AS” Bukankah pelik dan bodohnya kelentongan itu. Hanya beberapa bulan yang lalu Mahathir dan Daim mengatakan ekonomi negara sudah pulih. Sejak itu, Rafidah Aziz telah mengelilingi dunia untuk mengajak pelabur luar datang melabur. Di waktu yang sama kita sudah melihat pengisytiharan Putrajaya dan e-Village. Kenapa pula kini kita gelabah dengan kelembapan ekonomi AS? Apakah yang sebenarnya menyebabkan ekonomi negara lembap? Bukankah kerana para pelabur asing sudah mula cabut lari? Kalau ekonomi lembap kenapakah dilancarkan program agar rakyat berbelanja? Bukankah langkah bijak ialah untuk berjimat? Kenapakah Mahathir mengeluarkan peraturan memberi tambahan elaun kepada wakil rakyat sebanyak RM500 setiap bulan untuk digunakan di majlis jamuan? Apakah sebenarnya tujuan berbuat demikian?

Ekonomi negara ini lembap kerana salah urusan. Mahathir dan Daim adalah bertanggung jawab dengan masalah ini. Terlalu banyak kelentongan dan terlalu kerap menipu dan menyamun harta rakyat marhaen yang g menyebabkan ekonomi merudum. Adakah rakyat marhaen melihatkan sebarang rancangan Mahathir membela nasib dan kehidupan golongan yang menderita? Mahathir, Daim dan Rafidah harus baca segala maklumat mengenai Grameen Bank yang ditubuhkan di Bangladesh pada tahun 1976 dan mampu menaikkan taraf hidup rakyat miskin. Inilah sebuah bank yang memberikan pinjaman kepada rakyat marhaen tanpa cagaran dan sehingga kini tidak ada seorang pun peminjam yang ingkar membayar hutang mereka. Insya Allah kita akan terjemahkan semua artikel mengenai Grameen bank ini. (Webmasters sila siarkan kepilan artikel mengenai Grameen Bank ini secara berasingan)

Saya sengaja menggunakan ‘Kathalike Niramilei” sebagai tajuk tulisan ini sebagai satu penghormatan kepada golongan pekerja tidak kira apa jenis kaumnya di negara ini. Inilah masyarakat yang masih merempat sebagai kesan salah urus negara. Tajuk ini datangnya daripada tiga perkataan Tamil: Kathalike (Kasih-saying), Niram (masa) dan illei (tiada) bererti “Tidak ada masa untuk berkasih saying.” Inilah episod sebenar sepanjang pemerintahan Mahathir yang dibantu oleh Daim dan Rafidah Aziz dan disokong oleh hampir semua pemimpin UMNO dan BN. Mereka lupa akan keperluan rakyat marhaen sehinggakan terwujudnya beberapa perkampungan setinggan di dalam kawasan bandar raya Kuala Lumpur. Contoh yang terbaik ialah satu perkampungan setinggan yang berada di Jalan Tun Sambanthan 4.

Apa yang berlaku di Kampung Medan adalah satu catatan sejarah betapa negara ini sudah diputarkan mindanya oleh system raksasa yang rakus yang kini sudah turut menghantui Mahathir dan para pemimpin UMNO dan BN. Mereka sudah terjebak dalam perangkap yang dipasang oleh keadaan yang mereka rencana sendiri.

Kampung Medan dan keadaannya ada di mana-mana. Luas kawasan Kampung Medan hanya sekitar 2,500 Hektar sahaja. Tetapi sebagai perbandingannya, Selangor telah membina e-Village untuk kemudahan Bollywood seluas 4,800 hektar. Mahathir telah membelanjakan lebih RM 2 bilion di situ. Siapakah yang menikmati projek itu?

Keadaan hidup yang menekan rakyat marhaen kini sudah menunjukkan keburukannya di mana rakyat negara ini sudah tidak merasa selamat berjalan sendirian di malam hari. Banyak laporan polis menceritakan rompakan dan kecurian serta kes mendera seksual yang berlaku. Apakah semua ini difikirkan oleh Mahathir? Dalam projek merangsang ekonomi negara siapakah nanti yang menjadi sasarannya untuk terus membalun khazanah negara dan kaya raya? Jelas Mahathir dan Daim sedang gila menipu rakyat marhaen seolah-olah rakyat marhaen tidak lagi mampu berfikir. Mereka mampu melakukan apa sahaja untuk membalun wang rakyat marhaen dalam kes Perwaja, kes Empangan Bakun, pemulihan National Steel di Filipina, Renong, MAS, projek aliran ringan, time Dotcom, F-1, KLIA dan banyak lagi. Semua penipuan yang berlaku ini adalah rencah persiapan yang akan membuatkan rakyat bangkit menentang mereka. Apakah serba mungkin terwujudnya satu pasukan Gerila Bandar (urban gurillae) disebabkan segala penyelewengan yang mendera rakyat marhaen itu?

Muslihat Sebenar Episod Kg. Medan

Oleh kerana akhbar perdana disekat untuk menulis kenyataan yang benar mengenai episod Kg. Medan, rakyat menjadi keliru dan berfikiran bercelaru. Setiap hari ada berita pergaduhan, tetapi apabila ditanya pembawa berita apakah dia melihat pergaduhan itu dengan matanya sendiri, jawapannya TIDAK. Di Kg. Medan pada malam hari masih terdengar siren (semboyan) polis kerana ambulan hospital tidak berani masuk ke tempat itu. Tetapi, semboyan seperti itu boleh dijadualkan.

Oleh sebab segala sekatan inilah makanya kini timbul pelbagai teori mengenai Episod Kampung Medan. Memang tidak dinafikan bahawa sudah berlaku pergaduhan di Kampung Medan disebabkan orang mabuk yang berani kerana botol yang ditogok. Tetapi, itu adalah keadaan normal yang boleh berlaku di mana-mana. Ada satu teori mengatakan bahawa episod Kampung Medan adalah satu perangkap yang dipasang untuk Paklah. Musa Hitam disingkirkan kerana tidak bijak menangani kes Ibrahim Libya di Memali. Apakah besar kemungkinan Kg. Medan dijadikan satu bahan untuk memerangkap Paklah kerana ‘tidak cekap’ menangani masalah melibatkan ketenteraman awam?

Ketika ekonomi negara merudum dulu, semua negara jiran dalam Asean turut merudum sama, malahan lebih teruk lagi. Kini, Filipina sedang naik rancak dan Thailand sudah semakin terkenal sebagai negara yang mampu bangkit daripada ekonomi yang paling teruk di Asian. Seluruh dunia sudah mengiktiraf Thailand kini sebagai sebuah negara yang memberikan khidmat perubatan yang paling termurah di dunia. Kos rawatan di Thailand kini hanya merupakan 50 persen lebih murah daripada kos di Singapura dan hanya 10 persen daripada kos di Amerika Syarikat. Jumlah pelancong di Thailand berlipat kali ganda tanpa perlu mempromosikan “The Whole of Thailand Is For Sale” ataupun mewujudkan satu litar F-1 ataupun satu lapangan terbang yang tercanggih di dunia. Malahan, perdana menteri Thailand dan isteri mereka (sudah banyak kali bertukar sejak 20 tahun dulu lagi) bukan pun berkelulusan kedoktoran dan perubatan.

Kalau Thailand yang lebih teruk daripada Malaysia kerana diserang “oleh penyangak matawang dunia” boleh bangkit kini tidak gentar dengan kejatuhan ekonomi Amerika, kenapakah Malaysia yang dipelopori oleh Wira Dunia Ketiga” menggelabah sakan?

Mana satu yang betul dan sampai bila orang Malaysia mesti diugut dan bersabar kerana kerakusan segelintir Melayu yang tidak sedarkan diri?

-marhaintua-
29.3.2001,


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 6 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com