Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Ekonomi Amerika Merosot, Marilah Kita Berbelanja

Ekonomi Amerika Merosot, Marilah Kita Berbelanja
(An American Recession, So Let’s Spend)
Artikel asal ada di malaysiakini 29 Mac, 01.

Perdana Menteri Dr. mahathir Mohamed, berkata rencananya menyuntik RM 7.7 bilion adalah usahanya menampan kesan ekonomi AS yang merudum. Menteri kewangan, Daim Zainuddin telah mencadangkan cara lain, dan gobenor Bank Negara, Zeti Aziz pula memperakukan bahawa semuanya berjalan dengan baik. Namun semuanya itu boleh dipertikaikan kerana terlalu banyak yang boleh disangsikan. Dr.Mahathir memilih membuat pengumuman itu bukannya di Parlimen. Cuma di satu persidangan akhbar di bangunan parlimen. Kalau dia tidak memberikan keyakinan kepada parlimen bagaimanakah rakyat Malaysia boleh mempercayainya?

Cara semua tindakan yang dicadangkan itu diputuskan, tanpa sebarang perundingan dan perdebatan adalah laksana putarbelit yang dilakonkan oelh seorang silap mata degnan topi ajaibnya.Memperlekehkan parlimen sudah tentu bertujuan untuk menyorokkan sesuatu. Pada 1997, ketika Asia bergelora kerana keadaan kewangan yang menjerutnya, Dr. Mahathir dan Daim Zainuddin melakukan tindakan yang serupa seperti yang baru dilaksanakannya. Mereka telah membelakangkan parlimen dan membuat pengumuman kepada seluruh dunia seolah-olah mereka sudah menemui ubat mujarab kepada peranan Amerika Syarikat dalam ekoonomi Malaysia.

Kenapakah Mahathir dan pentadbirannya beranggapan hanya mereka sahaja yang mengetahui semua jawapannya? Kenapakah sebabnya rencana terbaru ini disangsikan dan dianggap tidak ada kena mengena dengan keadaan ekonomi AS. Apa perlunya rakyat marhaen berbelanja sakan di pasaran saham ataupun di kompleks membeli belah sedangkan tidak ada satu usaha untuk menyanggah bahawa alasan Perdana Menteri dan juga menteri kewangan itu adalah alasan yang boleh dicabar sebagai sesuatu yang tidak benar.

Beberapa cadangan projek ekonomi dan kewangan yang diumumkan termasuklah sabsidi penanaman semula kelapa sawit berjumlah RM600 juta, pembinaan sekolah satu sessi berjumlah 200 unit semuanya, 193 buah maktab, empat universiti dan 6,600 unit rumah untuk anggota angkatan tentera, pinjaman kereta kepada kakitangan kerajaan bagi setiap lima tahun dan tidak lagi tujuh seperti dulu. Rakyat marhaen digalakkan untuk berhutang dengan menggunakna kad kredit sambil menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat pelancongan.

Keadaan Yang Menyulitkan

Kalau semua itu memang yang dimaksudkan, sudah tentu semua itu sudah diambil kira dalam cadangan perbelanjaan negara tahun ini. Ini juga membuktikan bahawa perdana menteri dan menteri kewangan benar-pbenar memikirkan kesan kemerosoan ekonomi Ameriak itu. Cuma, keadaan ekonomi Amerika itu digunakan sebagai dalil untuk membuat pengumuman itu sebagai helah yang tidak ada kena mengena dengan keadaan sebenar negara. Mungki juga ada alasan lain. Tetapi, apakah penting semua itu kalau pasaran dan negara mentafsirkannya begitu?

Pada persidangan akhbar itu Mahathir telah menokok Rm3 bilion lagi kepada jumlah RM28.8 bilion yang telah diluluskan untuk perbelanjaan negara. Dia tidak pun mengumumkan berita ini kepada Parlimen, sedangkan sessi parlimen sedang berjalan sekarang ini. Tidak pula bagaimana Malaysia dapat menampan kemerosotan ekonomi Amerika itu dengan cara rakyat berbelanja sakan pula? Sepatutnya apabila keadaan menjadi sukar, kadar penabungan sepatutnya menjadi sasaran untuk dipergiatkan lagi. Tetapi sebaliknya, kita digalakkan berbelanja sakan seolah-olah esok sudah tiada lagi.

Apakah ini satu usaha agar rakyat Malaysia menjadi tertarik semula melabur di pasaran saham supaya mereka yang mahu melepaskan pegangan saham mereka (yakni para juak, anak-anak,para kroni dan sebagainya) mampu melakukannya kepada pelabur runcit yang tidak menyedarinya? Inilah yang berlaku pada 1997. Tetapi, takkan pisang berbuah dua kali, terutama sekali apabila ada usaha untuk melambakkan saham-saham kepunyaan syarikat para kroni di pasaran sejak kebelakangan ini dapat dihidu sehingga kegagalan menyauk keuntungan besar sudah pun berlaku.

Kini muncul pula soalan cepu kencana: Daripada mana pula wang akan dicari untuk semua rencana ini? Segala projek yang diumumkan oleh menteri kabinet secara rakusnya itu sudah pasti akan menjerumuskan Malaysia ke lembah kesulitan seperti yang dialami sekarang. Kerja-kerja ‘bailout’ (penyelamatan) terhadap syarikat kepunyaan para kroni, anak-anak dan para juak sudah pasti menghimpunkan bebanan hutang yang tidak terbayar. Semua projek yang berharga berbilion ringgit diumumkan tanpa mengambil kira bagaimana semua itu akan dilunaskan. Bebanan hutang yang semakin bertapuk disebabkan gelagat para kroni yang rakus semakin mengancam sistem perbankan negara untuk tenggelam sama.

Senarai Harapan

Memang tidak salah menanggung hutang bertimbun kalau ada satu system pengurusan yang efisen dan arif dengan cara menguruskannya. Tetapi inilah yang disangsikan. Kebanggaan Malaysia terhadap kepintaran mengurus adalah berasaskan kepada suasana ketika ramai yang muncul memberikan bantuan modal yang mencurah-curah yang tidak pun menghasilkan apa-apa selain hutang bertapuk dan kemuflisan bertokok. Kini, Malaysia sedang didera kerana terlalu taksub mempercayai satu anggapan bahawa apa yang naik melonjak tidakkan turun mencanak.

Cadangan Dr. Mahathir itu hanyalah satu ilusi sahaja, kerana dia tidak akan dapat melaksanakannya. Dia mengharapkan rakyat marhaen akan merasa lega betapa masa berseronokan itu masih ada lagi untuk dinikmati. Keadaan pasaran saham terus jatuh merempat di sebalik segala usaha memutarbelit pegerakannya di saat akhir waktu niaga akan tamat. Telekom, Tenaga dan Malayan Banking sebenarnya mempunyai kudrat bebanan sekitar 35 persen di antara sejumlah 100 saham yang mempengaruhi Indeks. Putarabelit menyangga indeks memanglah satu kesalahan tetapi Suruhanjaya Sekuriti dan juga BSKL sentiasa bersedia menutup sebelah matanya dalam tipu muslihat itu.

Jadi, kita kini berhadapan dengan kenyataan. Apakah benar kerajaan mempunyai daya kekuatan menguruskan ekonomi dan menyelamatkan negara daripada tekanan yang menjerut kesejahteraannya. Cuma kerajaan sahaja yang yakin bahawa ekonomi boleh melonjak naik apabila rakyat yang ada pekerjaan diberhentikan sedangkan dunia perniagaan merengek dan merangkak ke bibir gaung kemuflisan. Negara ini sedang diasak oleh kecelaruan ekonomi yang sungguh dahsyat tetapi yang lebih dahsyat lagi ialah wujudnya sebuah kerajaan yang tidak sedar apakah ia masih wujud secara berkesan.

UMNO yang menunjangi kerajaan Barisan Nasional sedang dihayun masalah dalaman yang akan melenyapkannya. Sebagai presiden parti, Dr. mahathir masih berdegil melawan arus untuk merangkul kuasa terus sedangkan orang Melayu sudah naik malas menyokongnya lagi dan sanggup membiarkan parti terhegeh-hegeh ke jalan mati. Pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian menunjukkan parti itu tidak berminat untuk melaksanakan perubahan. Sikap melaksanakan reformasi dalam parti memang tidak ada sehinggakan sanggup membiarkan kaedah lama terus bernafas begitu sahaja. Inilah alamat parti itu menghampiri zaman kemusnahannya.

Lagak Berani

Kepincangan UMNO menegakkan kewibawan menguruskan negara disebabkan kerakusan berpolitik yang mementingkan nafsu-nafsi, menjadikan kereputan parti itu tidak boleh dielakkan lagi. Keadaan yang menghanyutkan itu begitu menonjol seperti yang tersembur daripada mulut Mahathir sendiri. Dia mengeluarkan kata-kata seolah-olah dia masih menguasai keadaan. Kuasa yang dia fikir masih ada di tanganya itu sudah lama terhakis sedikit demi sedikit sejak direncanakannya proses pengaiban terhadap mantan timbalannya Anwar Ibrahim.

Pertelingkahan di antara David dan gergasi Goliatah yang dilakonkan oleh Anwar dan Dr. Mahathir itulah yang menyebabkan kerajaan Barisan Nasional menjadi lalai terhadap peranannya yang sebenar. Keadaan sudah menjadi begitu serius sehingga mencetuskan suasana yang sama peritnya kalau mahu diusahakan agar keadaan berpatah balik. Apa yang cuba dinyatakan oleh Mahathir dan juga Daim bukannya satu kenyataan yang hakiki sebenarnya. Ia cuma satu sikap berani yang bermuka-muka yang mereka harapkan dapat menjadi perisai untuk mereka terus berkuasa. Sebenarnya kewujudan mereka itu sudah laksana diberi pilihan untuk dibakar oleh api ataupun terjun masuk mulut buaya.

Dr. Mahathir sudah ketandusan pilihan untuk terus berkuasa. Tidak ada perubahan yang boleh dilakar yang mampu menyelamatkannya. Apa cara yang diusahakannya dia sudah pun dijerut oleh keaiban. Yang lebih menyukarkannya ialah cara dia dipinggirkan oleh negara, kerajaan dan juga partinya. Dia mengharapkan semua dasarnya dulu dapat meraih sokongan akar umbi yang telah melarikan diri sejak September 1998 lagi. Dia terlalu mengimpikan satu pentadbiran yang rancak yang pernah dibanggakannya. Masa itu semua sudah lama berlalu. Dia telah dihimpit keresahan oleh segala tekanan itu. Apa juga yang ditonjolkannya, baik dalam bentuk ucapan mahupan dasar pentadbiran - sudah tidak laku lagi. Segala rencana ekonomi dan kewangan yang terbaru diusahakannya itu adalah contoh himpitan yang akan menyesakkan pernafasannya lagi.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

.......................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 6 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com