Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


UMNO Pusing-pusing Bila Fauzi Bising-bising

UMNO Pusing-pusing Bila Fauzi Bising-bising
(MGG Pillai: UMNO Runs Around In Circles Over Dato’ Fauzi)

Apabila wakil rakyat Pahang, Dato’ Fauzi Abdul Rahman, membuat laporan polis menuduh setiausaha agung UMNO, Tan Sri Khalil Yaakob melakukan rasuah, dia telah membuatkan UMNO menjadi gelabah. Presiden partinya, Dr. Mahathir Mohamed, menjadi terkejut beruk sehingga terpusing-pusing untuk cuba memahami masalah yang membuatkan dia terus pening. Mahathir mengarahkan satu siasatan dalaman dan meminta Suruhanjaya Disiplin (Tatatertib) yang diketuai oleh mantan menteri luar, Tengku Ahmad Rithaudeen, menjalankan kerja. Belumpun tugas itu bermula, Abdullah Ahmad Badawi yang menyatakan bahawa jawatankuasa sudahpun dilantik untuk tujuan itu, memandai-mandai pula mengatakan suruhanjaya itu akan dianggotai antara tiga hingga empat orang ahli. Inilah yang mencetuskan dua persoalan penting: Apakah suruhanjaya tatatertib itu bebas menjalankan tugasnya kalau sudah ada orang yang mahu berperanan dalam pembentukan ahli-ahlinya? Apakah sebenarnya peranan suruhanjaya tatatertib itu? Saya telah bercakap dengan beberapa ahli parti, yang memberitahu betapa UMNO tidak pernah melakarkan panduan dan peraturan apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah politik-wang itu. Tanpa peraturan khusus bagaimana gamaknya suruhanjaya itu boleh berfungsi?

Belumpun perkara itu diselesaikan, Fauzi sudah menyulitkan keadaan lagi. Apa yang patut dilakukan oleh Perdana Menteri yang merupakan presiden UMNO dan juga oleh Ahmad Abdullah Badawi selaku timbalan perdana menteri dan menteri halehwal dalam negeri ialah mengarahkan BPR (Badan Pencegah Rasuah) dan polis menyiasat tuduhan itu dan kemudiannya mengatur pula siasatan dalaman. Setakat ini pihak polis belumpun disuruh berbuat apa-apa. Kenapa? Sebabnya ialah laporan polis itu sudahpun tersebar di internet. Di lamanweb Sangkancil ia disiarkan dalam Bahasa melayu. Segala tuduhan Fauzi itu akan dibincangkan, sehingga ke peringkat persidangan bahagian parti, dan berkemungkinan besar menjadi isu hangat sehinggalah persidangan tahunan UMNO pada Jun nanti.

Apabila sesuatu laporan polis sudah ditandatangani, proses perundanganpun bermula. Tetapi, ini tidak wujud lagi di Malaysia sekarang. Pihak polis memang diketahui menyimpan beratus laporan yang mendakwa berlakunya rasuah terhadap para menteri kabinet, para menteri besar; kebanyakannya lengkap dengan dokumen yang sahih yang dikemukakan oleh mantan timbalan perdana menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kerajaan Barisan Nasional tidak akan memberikan arahan agar polis bertindak, sedangkan rakyat Malaysia hanya akan mempercayai apakah yang dapat disiasat oleh pihak polis atas daya usaha mereka sendiri. Bagaimana gahnya Barisan Nasional dalam suasana negara ini, suruhanjaya tatatertibnya adalah satu urusan dalaman belaka dan apa tindakannya tidak ada sangkut-paut dengan sesiapa selain Fauzi, Khalil Yaakob dan mungkin juga ahli-ahli UMNO.

Kini sudah ada tekanan agar Fauzi menarik balik laporan polis yang dibuatnya. Kalau itulah yang dilaksanakannya, dia boleh dituduh membuat laporan palsu dan bolehlah melupakan dunia politik dengan ekornya di celah kangkang, menjadi bahan ejekan oleh masyarakat yang memandang. Fauzi ialah anak kepada Dato’ Abdul Rahman Talib, yang pernah menjadi menteri pendidikan dan yang meminjamkan namanya kepada Laporan Rahman Talib. Beliau juga pernah kalah dalam pendakwaannya terhadap seorang tokoh pembangkang ketika itu, D.R. Seenivasagam. Fauzi tidak mewarisi ciri-ciri keceriaan bapanya walaupun dia mempunyai bakat menirunya. Ramai kawan- kawannya yang terkejut dengan tindakan Fauzi. Saya telah mengenalinya hampir 30 tahun dan memang tidak terkejut dengan tindakannya itu. Tindakannya itu memang sah: tidak ada sebab dia harus memutuskan sesuatu persahabatan semata-mata kerana presiden UMNO mahukan sahabatnya itu dimusnahkan. Pandangan berpolitik cara inilah yang sedang mereputkan UMNO. Usaha itu mungkin berjaya selagi penekanan diberikan terhadapnya. Kini, ciri-ciri itu tidak akan berjaya lagi kerana Fauzi sudahpun mencabarnya. Inilah yang membuatkan UMNO tungang-langgang dan berpusing-pusing.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

.......................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 6 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com