Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Mahathir Layak Menerima Kekebalan

Mahathir Layak Menerima Kekebalan
(MGG Pillai: Mahathir Deserves Immunity)
Artikel asal ada di Chiaroscuro (Malaysiakini 2.4.2001)

Selama 20 tahun memegang tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri, dia memang telah melaksanakan pelbagai tugas yang boleh dipuji. Suaranya lantang mempertahankan hak dunia ketiga dan berani menjulang martabat negaranya di mata dunia. Dia telah diterima sebagai seorang negarawan sedangkan itu bukannya calang-calang penghormatan. Demikianlah semua penghormatan itu yang sepetutnya dikalongkan pada nama peribadinya seandainya beliau telah bersara dengan megah lima tahun yang lalu. Malangnya, semua jolokan itu sudah terlepas juga. Semua itu gugur gara-gara ketabsuban beliau menghina dan memusnahkan mantan timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim.

Mahathir diperlekehkan kini sebagai seorang ahli politik yang remeh-temeh dan pendendam sehinggakan semakin berkurangan manusia,termasuk mereka yang menganggotai kabinetnya dan keahlian parti UMNO yang bersedia mendengar tutur katanya. Dia terpaksa berbelanja besar untuk mengumpulkan manusia sebagai bukti dia masih lagi popular di kalangan rakyat jelata. Minggu lalu dia melawat Gombak dan akhbar telah menggembar- gemburkan betapa 10,000 manusia berhimpun untuk meraikannya. Malaysiakini telah melaporkan betapa pelajar kolej TAR telah dibayar RM10 setiap seorang untuk menghadirkan diri. Berita yang sama diterima juga untuk mendapatkan penyertaan kanak-kanak sekolah peringkat menengah untuk turut serta.

Apakah perlunya Mahathir membuat semua ini kalau tidak ada sesiapa yang menandinginya. Himpunan manusia yang ramai bukanlah satu ukuran untuk membuktikan bahawa dia mempunyai hubungan mesra dengan rakyat jelata. Inilah unsur yang kurang sihat kerana dia cuba menandingi jumlah rakyat marhaen yang berkumpul di upacara tajaan parti pembangkang. Sepatutnya dia mengkaji setiap suasana itu laksana seorang negarawan bukannya menggapai politik yang haprak sambil cuba terus berlagak. Inilah yang membuatkan dia terus mengigau yang menganggu beliau untuk tidur nyenyak.

Banyakkenyataan Mahathir yang menggambarkan ciri-ciri politik kepartian sedangkan dia harus menumpukan kepada martabat kenegaraan. Dia meneliti setiap tindakan pihak pembangkang termasuk mereka yang tidak bersetuju dengannya sebagai musuh negara sedangkan itu bukan perkara sebenarnya kerana tak mungkin mereka itu bersifat demikian. Tidak ada sebab kenapa pertimbangan diri sudah mula menjauhi dirinya sehinggakan dia sudah semakin kehilangan pengaruh untuk berkuasa. Pernah di satu wawancara dia menjawab satu soalan betapa dia tidak peduli apa yang akan dicatatkan oleh sejarah mengenainya. Pada waktu itu dia sudah mencalonkan dirinya untuk dilonggokkan dalam himpunan daki-daki sejarah sahaja.

Segala tindakan Mahathir yang lalu, kini muncul semula laksana hantu. Bukankah beliau yang mendabik dada memaksa parlimen dan dewan undangan negeri yang dikuasai Barisan Nasional melaksanakan pindaan melucutkan hak kekebalan raja-raja? Saya menentangnya ketika itu seperti juga saya menentang sebarang usaha kini untuk mendera beliau kerana tindakannya semua itu, dan menganggapnya sebaris dengan Presiden Suharto di Indonesia dan Presiden Estrada di Filipina.

Tuduhan Tidak Berasas

Mahathir berada dipuncak kegemilangan dengan penuh nafsu kerana rakyat yang membiarkan dia lama di situ. Dia melaksanakan tugasnya dengan rakus kerana rakyat membenarkanya tanpa sanggup berdengus. Kini rakyat mahukan darah dan bulu hidungnya; di saat-saat dia sudah ternyata semakin menggelonsor untuk tersungkur. Kini rakyat mahu membetulkan kepincangan diri dengan cara mencemuh beliau sebagai penyangak.

Sebagai seorang ketua kepada sebuah kerajaan, sepatutnya dia dibekalkan dengan tangkal kekebalan. Kewajaran berpolitik, yang kerap diputuskan atas desakan kesempitan masa tidak menyerlahkan akal budi yang unggul setiap kali sasaran kemarahan itu lenyap begitu sahaja. Perkara ini tentu sekali telah disedari oleh Mahathir masakini. Malangnya adalah sesuatu yang janggal kalau diwujudkan satu sistem betapa raja dan sultan dinafikan hak kekebalan, sedangkan hak itu diberikan kepada seorang perdana menteri.

Kalau raja-raja telah dinafikan kekebalan itu, adalah sukar untuk beliau memiliki hak yang sama. Dengan lain perkataan Mahathir kini sedang terkangkang dalam satu jurang dalam yang dia sendiri rancang. Apatah lagi kalau dia masih berdegil mencampuri kerenah politik UMNO di Kelantan, yang melalak mengatakan cadangan meminda perlembagaan negeri untuk menyeragamkan intipatinya dengan perlambagaan pusat adalah sesuatu yang bersalahan.

Adalah sesuatu yang penting apabila ketua negara dan kerajaan tidak melengah-lengahkan tugas memimpin untuk kepentingan negara. Termasuklah tugas yang mungkin memenjarakan rakyat marhaen walaupun bukannya perkara mudah untuk melaksanakan tugas semacam itu. Tetapi, sebagaimana yang kita lihat dalam kes Anwar dulu, mahkamah Malaysia tidak pula mempunyai fahaman semacam itu. Inilah yang dihadapi oleh Mahathir dan terus menghantuinya.

Kekuasan yang lama dinikmati memang mudah memabukkan. Tetapi, negara memang ada sistem perundangan untuk menambat dan mengimbang. Di Malaysia sistem inilah yang telah dihancurkan tanpa banyak soal dan sesiapa yang sanggup mencabarnya. Contohnya ialah penghakiman yang kini mengaibkan negara apabila rakyat biasa mendapatkan pampasan RM100 juta ataupun lebih lagi dalam tuntutan gantirugi terhadap institusi separa kerajaan seperti stesen TV.

Yang Kemas Dan Kematu

Segala tindakan melulu yang dilaksanakan dulu sudah menjadi semacam satu pengunci yang kemas yang tidak membolehkan sesuatu yang terkunci untuk lepas keluar darinya. Selalunya orang yang berfikiran mudah menggigil menjadi kematu kerana terasa betapa hinanya apabila ada ketua kerajaan dan negara dihadapkan ke mahkamah laksana seorang penjenayah. Masalah Barisan Nasional dan UMNO menjadi mencelaru di Pahang apabila Sultan negeri itu dihadapkan ke mahkamah khas berkaitan satu urusan tanah yang dipertikaikan. Kes telah dibuang begitu saja namun suasana yang sudah tercemar dibuatnya; menyebabkan kemasukan PAS dalam arena politik negeri menjadi lebih mudah lagi.

Inilah jadinya nanti apabila Perdana Menteri dikehendaki bertanggungjawab ke atas setiap tindakannya. Kita seharusnya melihat sejarah negara ini lebih ke hadapan daripada apa yang ada di depan mata. Situasi yang terdedah kini menunjukkan kita rakyat Malaysia telah berjalan meraba-raba ketika tidur selama setengah abad kemerdekaan negara, dan kini tiba-tiba merasa bersalah dan mahu memperbetulkan kesilapan yang ada. Ini adalah satu fahaman yang silap. Dr. Mahathir tentu setuju dalam hal ini, seperti juga dia akan bersetuju betapa dia tersilap dalam melakukan pindaan kepada perlembagaan yang menafikan hak raja dan sultan kepada tangkal kekebalan.

Apabila insitutsi negara dicemari martabatnya, sistem kenegaraanpun merudum sama. Selama 20 tahun berkuasa, Dr. Mahathir mempunyai banyak peranan untuk menjawab kenapa. Namun, semua itu tidak mampu dilakukannya tanpa kerelaan kita. Sistem perundangan yang dicabulnya adalah bukan cerita baru; betapa keadaan sedang diperbetulkan tidak semestinya membebaskan para hakim yang terlibat dalam pencabulan itu terlepas daripada pengadilan. Kiasan cerita mengenai tertidur sambil berjalan meraba-raba tidak melibatkan segelintir ahli masyarakat tertentu sahaja.

Kekebalan kepada ketua kerajaan dan negara adalah satu hadiah yang kecil untuk menentukan keselamatan negara. Kalau dicetuskan juga kisah tanggungjawaban ia mesti dipertikaikan kepada orang lain juga.Tetapi itu adalah soalan yang perlu difikirkan oleh seorang manusia bernama Dr. Mahathir dan tidak semestinya oleh perdana Menteri Mahathir. Dia perlu bertaubat secepat mungkin. Inilah yang nanti menjadi satu tragedi persendirian dan tidak semestinya membabitkan negara. Malangnya ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Menjatuhkan air muka

Saya tidak sanggup menerima cadangan bahawa satu contoh perlu dilakar untuk menghalang orang lain melakukan kebajingan yang serupa. Ini adalah sesuatu yang saya anggap tidak ikhlas. Hukum bunuh tidak pernah menghalang orang lain melakukan pembunuhan, tidak juga penghapusan hukuman itu menjamin berkurangnnya pembunuhan. Mewujudkan lebih banyak lagi hukum perundangan tidak bermakna jenayah akan berkurangan. Sikap tidak prihatin kepada keadaan sekeliling yang membuat seseorang itu hidup dengan pemikiran berbeza daripada orang lain.

Dalam perjalanan sejarah, ramai pemimpin yang pintar berlakon; jatuh juga tersungkur dan terpinggir. Tetapi, itu tidak bermakna semua orang yang mempunyai perwatakan seperti itu akan turut menerima nasib yang serupa. Kalau kita perteguhkan insitusi kita yang ada, dan kurang jalan meraba ketika tidur, dan laksanakan hak demokrasi kita, segala kebajingan itu dapat disekat tanpa menggunakan sebarang unsur perundangan. Apa yang berlaku di Malaysia setakat ini adalah tanggungjawab kita dan merupakan gambaran kebajingan kita juga. Menghukum perdana menteri agar dia bertanggungjawab ke atas semua kebajingan itu tidak akan menyelesaikan suasana yang sudahpun mencemarkan maruah negara.

Hak kekebalan mesti merupakan sesuatu yang mutlak. Bagaiman cara ia dikuatkuasakan adalah cerita lain pula. Yang menyulitkan perkara ini ialah keengganan kerajaan membincangkan perkara-perkara penting secara tidak formal supaya dapat dicapai satu titik persetujuan untuk mengheningkan keadaan. Sebarang cadangan menuduh Mahathir bertanggungjawab adalah satu laungan terhadap peribadinya. Ada banyak cara lagi untuk menangani perkara ini tanpa menggadaikan maruah dan maratabat negara. Itu sebabnya tindakan terhadap perkara ini, seharusnya tidak diperpanjangkan lagi, lebih dari yang ada.

M.G.G. Pillai

.......................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 6 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com