Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Penangan Internet Di Malaysia

Penangan Internet Di Malaysia
(The Internet Wags The Media Dog In Malaysia)

Ketika rakyat marhaen bangkit dalam ‘Kebangkitan Tienanmen’, seluruh dunia mengikutinya melalui mesin faks. Di Indonesia, kejatuhan Presiden Suharto telah dipermudahkan oleh emel. Di Filipina sistem pesan-memesan yang disediakan oleh telefon mudah alih telah menyatukan rakyat jelata berhimpun di Manila untuk memaksa Presiden Estrada melepaskan jawatannya. Di Malaysia, peranan semua alat komunikasi itu sudah diambil alih oleh internet pula.

Internet (Net) telah menjadi satu kuasa politik kerana sokongan kerajaan Dr. Mahathir Mohamad terhadap MSC (Multimedia Super Corridor: Lebuh raya Multimedia), sebuah Lembah Silikon Asian yang keluasannya sebanyak 650 kilometer persegi adalah lebih besar daripada Pulau Singapura. Pihak parti pembangkang, dan mereka yang mempunyai pendapat berbeza dengan kerajaan, telah menyesuaikan diri dengan teknologi baru ini laksana itek yang dilepaskan ke air. Mereka telah menyerap pengetahuan IT dan menyebarkan pengalaman dan pesanan melalui dunia siber.

Ironinya, keghairahan mereka itu telah dipermudahkan oleh iltizam kerajaan yang tidak pun mengenakan sebarang hambatan dalam urusan dunia siber. Malahan di waktu yang sama pada 1996 itu, saya memulakan satu kumpulan siber untuk bertukar fikiran dalam dunia politik yang diberi nama ‘Sang Kancil’. Saya memang merupakan penulis yang ‘disekat’ daripada menyumbang kepada akhbar perdana yang dikuasai oleh kerajaan Malaysia kerana pandangan saya menjadi bahan igauan kepada mereka yang berkuasa. Namun, nukilan saya masih tersiar seperti biasa dalam akhbar-akhbar Melayu yang bukan bertaraf perdana. Memanglah tidak ada sebarang pengharaman kepada penulisan saya itu, namun saya telah diberitahu sejelas-jelasnya bahawa tulisan saya itu tidak diterima oleh media perdana.

Sejurus selepas saya lancarkan Sang Kancil, seorang peniaga telah mengenakan tuntutan ganti rugi dan menuntut RM100 juta (bersamaan $US 40juta, kini sekitar $25 US juta sahaja). Mahkamah Agong Malaysia (disebut di sini dengan panggilan Mahkamah Persekutuan) akan mengadili kes saya minggu hadapan (April 9) untuk mengenepikan penghakiman dalam satu lagi kes tuntutan libel, berasaskan sikap Ketua Hakim yang ternyata ‘bias’ (sikap berpihak-sebelah)

Kini, Sang Kancil merupakan satu forum perbincangan yang sungguh popular mengenai suasana politik Malaysia dengan jumlah penyumbang yang sudah pun mencecah 2,200 orang. Artikel saya daripada forum ini muncul dalam sekurang-kurangnya 30 lagi laman web di Malaysia. Nukilan saya dalam Bahasa Inggeris diterjemahkan dalam Bahasa Melayu dan disiarkan dalam bentuk Rumi dan Jawi. Ia diedarkan pula ke pelusuk negara tidak kira betapa jauh ceruknya. Insan perseorangan telah menterjemah dan mengagihkan secara sukarela sebagai satu usaha kemasyarakatan gamaknya.

Di tahap awalannya selama dua tahun, Sang Kancil bernafas sederhana dengan beberapa ratusan keahlian sahaja. Ia bergerak secara bersahaja semata-mata dengan komen harian saya mengenai suasana politik. Tetapi pada September 1998, seluruh senario berubah rupa. Perdana Menteri Mahathir baru sahaja memecat timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim dengan menangkap dan menuduhnya berkelakuan sumbang dan bersikap rasuah. Ketua Polis Negara telah turut memainkan peranan utama dengan menghayun beberapa pukulan karate untuk menghenyak beliau. Mahkamah telah menghukum Anwar dipenjarakan selama 15 tahun. Inilah satu tindakan mahkamah yang dianggap oleh majoriti rakyat marhaen sebagai satu vendata untuk membalas dendam sahaja.

Para penyokong Anwar bertindak berpiket di jalan raya dalam satu konfrontasi politik yang akhirnya menjadikan Dr. Mahathir bertukar laksana seekor itik yang tempang. Mereka telah dirangsang oleh kemudahan internet. Ratusan laman Web telah muncul untuk memberikan sokongan kepada tokoh politik yang diaibkan dengan tahanan itu sambil semua telunjuk sumpah seranah dihalakan kepada Dr. Mahathir dan kerajaannya. Kerajaan tidak pun berbuat apa-apa, ia sudah pun berjanji sebelum itu untuk tidak melakukan sebarang penapisan. Cuma ia tersilap langkah kerana tidak bertindak membuka laman Web sendiri untuk memerangi kebanjiran internet rakyat marhaen.

Oleh kerana rakyat marhaen ketandusan maklumat sahih mengenai krisis politik, mereka telah bergantung harap mendapatkannya di Laman Web. Sang Kancil berjaya menyumbang satu bentuk maklumat yang mengimbangi segala cerita mengenai keadaan yang berlaku. Tetapi, satu akhbar siber yang diberi nama ‘Malaysiakini’ muncul tahun lalu untuk mencetuskan perubahan yang besar. Akhbar itu bermula dengan bantuan modal daripada satu kumpulan kebebasan akhbar antarabangsa, membolehkannya membuka laman web dalam Bahasa Inggeris dan Melayu. Kerana kekurangan modal yang besar, kelahirannya jelas tercungap dan lesu. Tidak lama kemudian, muncul pula Agenda Malaysia, satu lagi usaha yang kekurangan modal yang cepat ketandusan peluru untuk terus bernyawa dan terpaksa ditutup dulu sebelum diusahakan semula baru-baru ini. Ada juga akhbar siber lain seperti saksi.com. Mereka ini memberikan pemberitaan alternatif kepada berita yang diusahakan oleh akhbar perdana.

Ketua pengarang Malaysiakini, Steven Gan telah memberitahu mengenai usaha penerokaannya: “Kami masih lagi berperanan laksana koboi. Kami mempunyai sekitar lapan orang wartawan berbanding ratusan yang digaji oleh akhbar perdana. Namun, kami diadili kerana kewibawaan laman Web yang memberikan berita yang tidak mampu disiarkan oleh akhbar utama.” Ironinya, kebanyakan berita ‘eksklusif ‘ Malaysiakini adalah berita yang dibakul-sampahkan oleh akhbar perdana.

Pelancaran akhbar on line (talian siber) yang bebas mencetuskan satu kesan yang sungguh mengejut. Jumlah pengedaran (penjualan) akhbar perdana jatuh merudum. Sebahagian besar fenomena ini adalah disebabkan pemboikotan para penyokong Anwar. Lapuran di internet semakin diminati dan para pembaca mencetaknya pula untuk diagih-agihkan. Ratusan ribu salinan difaks dan diposkan merata negara sambil menyanggah pemberitaan cetakan perdana.

Gan berkata bahawa internet telah mencabar monopoli kerajaan ke atas ‘kebenaran’ dengan berkesan sekali sehinggakan akhbar yang dikuasai oleh kerajaan termasuk radio dan TV menyedari betapa pemberitaan dan citarasa propaganda kerajaan sudah semakin diperlekehkan.

Setelah memperlekehkan cabaran Net untuk satu ketika yang lama, tiba-tiba kerajaan mula bertindak secara tergopoh-gopoh, bulan yang lalu. Kerajaan telah memulakan satu kempen terhadap Malaysiakini dan Gan, menuduh mereka menerima dana asing yang berpunca daripada pelabur kaya raya, George Soros. Selama berminggu, rakyat marhaen dan juga beberapa laman web telah dihenyak dengan putar belit itu, dengan menyogok bahan propaganda yang palsu sehinggakan pada penghujung kempen jijik itu ‘Malaysiakini’ menjadi perkataan manis di hujung bibir manusia. Jumlah capaian harian sebanyak 100,000 sebelum itu berlipat kali ganda peningkatannya sehingga mencetuskan sokongan baru untuk memulakan pengiklanan yang menarik.

Tan Sri Ghazali Shafie, bekas Menteri luar negara, yang pernah memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan unggul kepada kerajaan termasuk satu ketika untuk menjinakkan wartawan, telah berpendapat bahawa kerajaan telah tersilap sasarannya: “Kerajaan telah mengabaikan kuasa internet kerana menunggu lama-lama. Kini, kerajaan cuba memperbaiki kelemahannya dan sudah pasti kalah dalam usaha peperangannya.”

Internet sudah pun menjadi satu peralatan penting dalam perjalanan mencapai kebebasan persuratkhabaran. Kerajaan telah menjerut akhbar dan majalah dengan menekan para penerbit untuk mendapatkan lessen rasmi setiap tahun dan mempunyai kuasa dan selera untuk menggantung lesen itu seandainya muncul berita yang tidak menyenangkannya. Kerajaan mahu berperanan besar dalam mengaturkan cara parti politik pembangkang menyibarkan maklumat mereka. Kerana itu, parti pembangkang hanya dibenarkan menjual penerbitan mereka kepada ahli-ahli sahaja. Tetapi PAS menyanggah kerajaan dan melanggari peraturan terhadap penerbitan akhbar dengan menerbitkan HARAKAH, sebanyak lima kali seminggu. Kerajaan bertindak mengurangkannya sebanyak dua kali seminggu dan kini menjadikan penjualan setakat dua kali setiap bulan.

Walaupun HARAKAH merupakan akhbar sebuah parti politik, ia kini sudah diberikan penghormatan yang besar kerana pemberitaannya. Terbitan dalaman yang menggunakan Bahasa Inggeris yang setakat 16 muka surat sahaja itu dimuatkan dengan pandangan dan nukilan mengenai suasana Malaysia dan menjadikannya satu akhbar yang paling diminati di Malaysia. Editor bahasa Inggeris, P.K. Mohamed Koya, berkata dia cuba menyediakan satu akhbar yang memberi tumpuan kepada isu-isu terutama sekali yang bersangkut-paut dengan Malaysia.

Itulah dia sebuah akhbar keIslaman yang baik suntingannya dan yang telah menjaminkan pengedaran semasa sebanyak 300,000; tiga kali ganda dalam masa tiga tahun. Di sebalik segala hambatan seperti pencetak yang mahukan pembayaran dulu sebelum mencetaknya dan kesukaran menukar pencetak selalu, yang juga memerlukan lessen khas untuk berbuat begitu, Harakah berjaya untuk terus maju. Pencetaknya telah diheret bersama penerbitnya setiap kali syarat penerbitan dilanggari dan inilah yang menjadi salah satu penghambat yang mengecilkan hati.

Oleh kerana sentiasa ditekan, PAS dan parti pembangkang yang lain telah pun mewujudkan laman Web masing-masing. Satu kelompongan dalam perundangan memberikan ruang kepada penerbitan akhbar internet dan laman-laman Web tanpa keperluan mendapatkan lessen. PAS mempunyai dua laman web yang amat diminati oleh para pembaca sehingga mencatatkan capaian (hits) sebanyak 100,000 setiap hari. Di samping itu, ada beberapa lagi laman web yang aktif memberikan sokongan kepada Anwar yang masih terpenjara.

Sebagai perbandingan, semua akhbar perdana dipunyai oleh pihak yang memihak kepada Barisan Nasional yang telah memerintah negara sejak 1955. Semua akhbar itu sedang tercungap kerana kekurangan pengedarannya. Pengedaran New Straits Times yang pada kemuncak keseronokannya dulu mencapai 200,000setiap hari kini sudah menurun ke bawah 100,000 sahaja. The Star masih mampu meraih keuntungan dengan pengedaran yang dua kali ganda daripada NST. Akbar The Sun, yang kini dimiliki oleh tuan punya yang baru dengan modal tambahan telah mempelajari pengalaman akhbar-akhbar siber, dan mula merobah cara pemberitaannya sehinggakan mampu menjadi akhbar berbahasa Inggeris yang kedua paling diminati.

Tetapi, tuan punya dan pemilik yang terbaru itu sedang merasakan tekanan pihak berkuasa dan bertindak untuk mengalah. Ada desas-desus betapa ‘The Sun’ mungkin akan dijual dan ada yang mengatakan bahawa bekas ketua pengarang NST dulu yang akan menjadi pemiliknya yang baru. Berita ini masih belum dapat diperakukan. Akhbar itu sudah mula kehilangan arahnya dan semakin cepat menuju ke kancah kemalapannya.

Yang lebih penting lagi, akhbar internet telah merangsang akhbar-akhbar perdana untuk memperbaharui hidangan berita mereka. Walaupun ini sedang diusahakan, nampaknya kejayaan yang diimpikan itu akan memakan masa juga. Namun, beberapa penulisan dalam ruangan khas yang diterbitkan kini mungkin sudah mampu dijadikan bahan untuk menyingkirkan para penulis artikel itu pada satu masa yang lalu.

Gan telah merumuskan fenomena ini dengan jelas sekali. “Monopoli kerajaan terhadap kebenaran sudah pun tercabar. Kerajaan sudah berlagak laksana seekor anjing (miang) di musim mengawan, yang menggigit dan menyalak tanpa keruan kepada sesiapa yang menyalahkannya. Namun tidak ada sesiapa yang mempedulikannya kerana mereka menyedari bahawa tidak ada kebenaran di sebalik kenyataan kerajaan itu.” Cabaran internet di Malaysia sudah merupakan pendapat rasmi negara, dan telah berjaya mendesak kerajaan memperakukan bahawa memang banyak kepelbagaian dalam sesuatu kebenaran itu daripada yang termampu diputarbelitkan oleh kerajaan.

-MGG Pillai-
Khamis,
5 April, 2001

..............................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 8 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com