Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Mampukah ISA Menyelamatkan Mahathir Lagi?

Mampukah ISA Menyelamatkan Mahathir Lagi?
(Will ISA Save Mahathir Again?)
By: Kim Quek

Menteri Halehwal Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri ternyata lembap bertindak dan seolah-olah kurang persediaan untuk menandingi kelincahan pihak polis yang bergerak laksana kilat menggunakan ISA terhadap beberapa pemimpin parti pembangkang.. Reaksi Abdullah Ahmad Badawi itu menjentik satu imaginasi siapakah sebenarnya yang mengarahkan penggunaan Akta ISA itu dalam penangkapan tersebut sedangkan polis adalah di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri. Sudah tentulah kerja itu dibuat sendiri oleh Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad.

Serangan ISA itu adalah satu tindakan yang melanggar perlembagaan negara kalau diambil kira segala kelentongan yang dikemukakann oleh Ketua Polis Negara (KPN/IGP) Norian Mai yang cuba menonjolkan kuasa di bawah Seksen 73(1) dan Seksen 8 Akta Keselamata Dalam Negeri 1960 itu.

Kelentongan secara selamba oleh penjaga keluhuran Perlembagaan dalam menghenyak pihak pembangkang yang sah adalah satu pencabulan terhadap Perlembagaan (Seksen 10) dan boleh diambil kira sebagai satu tindakan derhaka terhadap Perlembagaan itu. Para pesalah ini telah mengingkari amanah rakyat dan sepatutnya dicop sebagai petualang negara yang boleh didakwa kerana durhaka.

Dalam satu sidang akhbar untuk menjelaskan penggunaan ISA itu, Norian telah mencuba meyakinkan rakyat jelat dan juga dunia sejagat betapa wujudnya satu rencana untuk menjatuhkan kerajaan secara menyalahi perlembagaan. Tetapi, semua kenyataan yang dibuat oleh Norian itu adalah palsu, menyindir dan semata-mata bersifat spekulasi sahaja. Tidak ada satupun kenyataan itu yang dapat bertahan kalau dilaksanakan penelitian awalan.

Norian mengatakan tujuh pemimpin yang ditangkap di bawah ISA itu adalah antara 20 ahli satu kumpulan militan yang merancang untuk melancarkan satu deomonstrasi militan rakyat secara besar-besaran yang paling penting di antara himpunan mega itu ialah Gelita 14 (April 14) yang bertepatan dengan ulangtahun kedua Anwar dijatuhkan hukuman kerana apa yang disebut sebagai salahguna kuasa.

Apabila disoal untuk memberikan penjelasan apakah cara-caranya para reformis melakukan operasi ‘militan’ mereka, Norian bertanya balik: “Apakah ertinya perkataan militan?” Dia kemudiannya merujuk kepada demonstrasi 1998 dulu (sebaik sahaja Anwar ditangkap) dan berkata: “bom Molotov” telah digunakan terhadap polis, dan bertanya: “Bukankah itu militan?”

Apabila didesak bertalu-talu apakah ada sebarang senjata yang dirampas ketikadilancarkan penangkapan para aktivis itu, dia hanya mampu mengemukakan jawapan yang haprak: “Lidah itu lebih tajam daripada senjata”, yang bererti tidak ada sebarang senjata yang dijumpai ataupun adanya sebarang petunjuk menunjukkan adanya senjata.

Daripada perbualan itu jelaslah Norian tidak mempunyai sebarang dalil untuk melabelkan para demonstran sebagai “militan”. Betapa dia terpaksa merujuk kepada 1998 untuk menyungkil sesuatu (beberapa bom molotov) yang tidakpun boleh dianggap sebagai senjata untuk menyokong kes beliau adalah satu perakuan kepada kenyataan itu.

Sebenarnya, di sebalik segala gembar-gembur Norian mengenai sikap mlitan dan pelbagai senjata, yang dikatakan muncul sejak peristiwa 1998 dulu, kalau adapun barang bukti himpunan militan itu hanya muncul daripada pihak polis. Kalau adapun senjata yang dijumpai adalah satu pistol mainan yang disimpan oleh seorang pelajar berumur 18 tahun ketika polis membuat penggeledahan yang serupa ketika ulangtahun Gelita14 tahun lalu. Waktu itu ISA tidakpun digunakan kerana memadai dengan menggunakan Penal Code (Kanun Jenayah) sahaja.

Ketika itu polis dan pasukan Gerak Am telah mempertontonkan gelagat ketenteraan dalam satu operasi yang belum pernah disaksikan di negara ini sebelum itu. Semua itu dilakonkan untuk menghambat usaha rakyat marhaen menyambut ulangtahun keaiban terhadap Anwar di serata negara.

Bandarraya Kuala Lumpur telah diserbu oleh polis dan pasukan keselamatan yang lengkap bersenjata. Pemeriksaan polis dipasang di setiap persimpangan dan orang yang berkemungkinan turut serta himpunan aman telah diperiksa, didera, diraba dan diarahkan pulang dan ditangkap.

Sepanjang operasi mega polis itu, hanya satu alat menyerupai senjata yang berjaya dijumpai. Itulah dia pistol mainan. Kalau adapun rusuhan yang dilaporkan ia adalah berkaitan dengan tindakan polis mengejar dan memukul para peserta himpunan aman rakyat itu.

Episod itu adalah satu gambaran nyata betapa tidak ada sebarang senjata dan tidak ada sebarang keganasan yang dianjurkan oleh Barisan Alternatif setiap kali mereka menganjurkan himpunan aman. Malahan sehingga hari ini, rekod tanpa keganasan BA itu masih kekal hingga kini menepati ikrar dan prinsip perjuangan berperlembagaan.

Apabila tidak ada sebarang senjata yang dijumpai apakah barang bukti yang diperolehi oleh Norian untuk menyokong tohmahannya bahawa penyerahan MEMO kepada Suhakam mengenai Gelita14 itu akan menggugat keselamatan negara? Tidak ada apapun!!!!! Kalaupun kenyataan Norian itu berasas ia cuma: “Perhimpunan ini dan perbarisannya mempunyai potensi menjadi ganas.”

Apabila ketua polis sebuah negara melaksanakan penangkapan beramai-ramai para pemimpin parti pembangkang dengan menggunakan undang-undang yang paling zalim dan mengasaskannya kepada tanggapan persendirian yang tidak berasas dan bersifat spekulatif (yang tidak disokong oleh pengalaman lama) Norian bolehlah mengambil ingatan betapa dia telah melakukan satu kerja tindakan kepolisian yang sungguh menakjubkan dalam sebuah negara yang berdemokrasi. Tentulah tindakannya itu memberi kebanggaan kepada Mahathir sambil menyangkutkan sehelai lagi bulu keangkohan kepada topi ‘Malaysia Boleh’ beliau.

Memang tidak sukar untuk memahami kenapa Mahathir terpaksa bertindak secara seorang desparado dalam menyalah-gunakankan ISA untuk membenteras pembangkang. Inilah tindakan bajingannya sejak 1987l agi. Ini mungkin tindakan terakhirnya untuk terus mencungap, setelah menaggung kesiksaan bertalu-talu yang mencemari kewibawaannya disebabkan tindakan penyelamatan mega ke atas syarikat para kroni dengan menggunakan wang rakyat marhaen. Sedangkan negara masih terus dihenyak ekonomi yang merudum.

Setelah kehilangan kebiwaannya itu Mahathir menonjolkan rancangan ekonomi yang telah diperlekehkan oleh pasaran. Pakej ekonomi bernilai RM 3 bilion untuk menampan kejatuhan ekonomi Amerika telah disambut dengan penurunan indeks pasaran saham.

Rencana Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) yang dibentangkannya telah memberikan satu ilusi ekonomi yang cantik untuk 10 tahun yang mendatang dan dianggapnya sebagai satu peransang moral. Harapannya berkecai apabila pasaran saham jatuh merudum sebaik sahaja dia selesai membentangkan kertas cadangannya itu.

Kemarahan rakyat marhaen semakin membuak terhadap cara salah-urusan insitusi kewangan dan kezaliman yang berterusan terhadap mantan timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim. Lagipun kejatuhan ekonomi negara yang terus melanda dan kemunculan mendung yang mengawani gemerlapan kepimpinannya sudah semakin ketara. Sifat untuk terus mencungap itu telah mendorong Mahathir menjadi lebih rakus dan mempertaruhkan masa depannya dengan menggunakan ISA sebagai hambatan terhadap para pembangkang.

Sesungguhnya ISA telah membantu Mahathir dengan penuh kegemilangan pada 1987 dulu. Apakah dia mampu mengulangi kejayaan yang sama?

Tidak mungkin. Sebabnya amat mudah sekali. Pada1987 musuhnya adalah DAP yang merupakan parti bukan-Melayu dan ketika itu pengaruhnya berakar-umbikan sokongan orang Melayu yang berpadu. Lagipun, ada semacam satu keperluan menggunakan ISA ketika itu kerana wujudnya riak-riak kegelisahan kaum, yang pada satu bahagian sengaja dicetuskan untuk memberi sokongan kepada pengembelingan ISA.

Kali ini orang yang menyanggah Mahathir adalah masyarakat Melayu yang merupakan tunggak asal sokongannya dulu; dan tidak pula ada sebarang ketegangan perkauman walaupun ada tanda-tanda usaha pihak yang berkuasa cuba mencetuskannya.

Sejarah tidak akan mengulang-tayang arkibnya untuk Mahathir. Salahguna ISA adalah satu pencabulan biadap terhadap Perlembagaan negara kita dan merupakan satu perkosaan terhadap kehidupan manusia. Inilah yang menaikkan keberangan seluruh negara dan terus menyatupadukan rakyat menyokong barisan pembangkang. Para penyokong setia Mahathirpun tidak lagi mampu bersuara lantang untuk memberikan sokongan kepadanya.

Ada sedikit nasihat khas untuk Ketua Polis Negara: Adalah menjadi satu sumpah taat setia pihak polis untuk mempertahankan undang-undang dan keselamatan negara serta keluhuran Perlembagaan. Bukannya menjadi seorang pemain yang berpihak-pihak dalam percaturan politik negara.

Kewajiban polis dalam menangani himpunan rakyat adalah untuk menentukan himpunan itu lancar secara aman, dengan sebarang kelecehan yang minima kepada orang ramai. Bukanlah satu tugas polis untuk menyekat himpunan aman rakyat jelata, semata-mata berasaskan kenyataan bahawa himpunan itu tidak disenangi oleh parti yang memerintah.

Yang lebih mengaibkan, KPN telah bersekongkol dengan parti pemerintah untuk menghukum para aktivis politik yang sah dengan mencemar keluhuran Perlembagan. Gelagat KPN semacam ini menjadikan dia penjenayah yang mencemar kedaulatan Perlembagaan itu dan boleh dipertanggungjawabkan terhadap jenayahnya untuk dibawa kepada pengadilan mahkamah, sebaik sahaja keadilan dikembalikan semula dalam negara ini.

.................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 15 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com