Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


ISA Yang Zalim

ISA Yang Zalim
(ISA - Terror Incarnate)
Oleh Munawar Anees

Penangkapan terbaru di bawah Undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA: Internal Security Act) telah menjentik ingatan terhadap penculikan yang kejam oleh polis Malaysia yang membawa kesan kesiksaan yang terus ditanggung oleh keluarga kami.. Pada 14 September, 1998 yang lalu, seramai antara 10-12 anggota polis telah menyerang rumah kediaman saya. Disaksikan oleh isteri yang menangis dan meraung, kumpulan bajingan ini telah menculik saya untuk diperusukkan sebagai orang tahanan, berpindah-randah di beberapa tempat sorokan yang diketahui dan tidak diketahui selama 126 hari berikutnya. Dunia luar mengetahui kehilangan saya itu yang merupakan satu konspirasi yang didalangi oleh Mahathir, hanya setelah Amnesty International mengisytiharkan saya sebagai seorang ‘prisoner of conscience’ (banduan teraniaya). Kemudian itu, International PEN telah mengiktiraf saya sebagai seorang penulis dalam penjara.

Media Malaysia yang perhambakan oleh Mahathir mengambil pendirian diam membisu ataupun menyebarkan maklumat songsang mengenai kehilagnan saya itu. Isteri saya, Nadia telah sengaja diberikan maklumat songsang dengan cara mengugut dan mendera beliau dan sebarang usahanya untuk mendapatkan khidmat seorang peguam melindungi hak asasi saya telah sengaja diperlekehkan oleh polis. Mereka menyudikan seorang bernama Yaqub Karim (untuk menjadi peguam saya) yang sanggup mengenepikan etika professional amalan guaman dengan ganjaran haprak yang diberi oleh polis Malaysia.

Serangan yang dilakukan pada satu pagi Isnin itu adalah hasil daripada satu arahan langsung daripada Mahathir sebagai Menteri Halehwal Dalam Negeri. Kerana itu, saya berpendirian menuduhnya sebagai bajingan yang bertanggungjawab atas segala jenayah kejam terhadap diri saya dan keluarga. Tidak ada sebarang lindungan di bawah sebarang perlembagaan, sama ada berbentuk perundangan ataupun kewartawanan, yang boleh membebaskannya daripada bertanggungjawab mengakibatkan beban trauma yang kami tanggungi sekeluarga. Inilah azab yang kami tanggungi kesan perlakuan jenayah yang dicetuskan oleh penculikan ke atas saya itu.

Penahanan berpanjangan oleh samseng-samseng Mahathir telah mengajar saya bagaimana rasanya seseorang itu dipisahkan secara paksa daripada isteri dan anak-anaknya. Betapa tertekannya apabila digeledah dan diculik, tidak dibenarkan membuat sebarang panggilan telefon, digari, ditutup mata, dibogelkan, diangkut dalam satu sangkar haiwan, dibotakkan kepala, disoal-selidik secara berterusan, diaibkan, disuntik dengan dadah, tidak dibenarkan tidur ketika sampai waktunya, dan didera secara fisikal. Bayangkan apa rasanya apabila diancam, diperas-ugut, didera oleh para peguam polis, dikasari dengan kejamnya sehingga sanggup membuat pengakuan palsu, dimasukkan ke hospital disebabkan penyakit jantung, dan diberi layanan sebagai seorang pesakit psikiatri yang mempunyai simtom ‘Stockholm syndrome’ .

Waktu makan ketika ditahan bererti satu ritual untuk terus hidup, setakat menu yang berupa nasi basi dan lauk ayam dengan bekalan 12 jenis ubatan setiap hari. Saya telah didera selama empat bulan dengan tangan yang digari sepenuh masa dan terpaut kepada katil saya di hospital, sedangkan pergerakan saya sentiasa diawasi oleh warder penjara.

Sejak itu, keupayaan untuk bercakap, membaca, dan menulis masih memerlukan masa untuk pulih seperti sediakala. Hilang-ingatan sering melanda. Saya hidup hanya dalam bentuk cairan sahja di mana kecenderungan membunuh diri sering menghantui perasaan, tekanan dan kekecewaan kerap melanda diselang-seli oleh perasaan marah, dan kebencian yang tidak ada taranya. Walaupun dua tahun sudah berlalu sejak saya mendapatkan semula kebebasan diri, saya masih menanggung pelbagai tekanan jiwa. Apalagi kalau diambil kira keaiban yang ditanggungi dua orang anak-anak saya yang tidak berdosa, gara-gara kezalima Mahathir.

Saya dan juga Nadia merasa begitu tertekan apabila mengetahui Mahathir sekali lagi menggunakan kekejaman ISA terhadap musuh politiknya. Inilah bukti adanya kemuflisan moral di mana peralatan negara yang sama digunakan untuk memajukan nafsu-nafsi satu kumpulan politik yang sungguh korup. Pasukan polis Malaysia, intitusi penghakiman dan media massa sedang melakonkan gelagat menghalalkan kezaliman dan penekanan terhadap pembangkang. Sedangkan Mahathir sendiri terlalu kerap menunjukkan kelakuan yang sudah terkeluar daripada gelagat orang yang siuman.

Di waktu yang sama dan sebagai mengekalkan perangainya yang tidak bermoral dan tidak bertaqwa, Mahathir telah membuat beberapa tuduhan tertentu terhadap orang tahanan ISA itu tanpa sebarang bukti. Inilah yang menjentik ingatan lama betapa dia telah sengaja membuat tohmahan dan kenyataan yang berunsur fitnah terhadap saya selepas dia mengarahkan agar saya diculik. Seperti yang pernah saya alami, bolehlah dirumuskan lebih awal lagi, betapa polis Malaysia dengan sekongkolan pihak penghakiman, akan menyediakan segala bukti palsu untuk mengenakan semua tahanan ISA terbaru itu. Walaupun demikian, naungan ganas Mahathir akan terus menjadi penghalang untuk menyerlahkan betapa sebarang kenyataan yang diperolehi ketika seseorang itu didera dan dipaksa adalah dikira tidak sah. Sebenarnya Mahathir mempunyai tanggungjawab besar untuk mendedahkan segala “bukti kukuh” terhadap saya yang begitu kerap digembar-gemburkan dua tahun lalu. Dia tidak mempunyai sebarang bukti itu. Tetapi apakah dia ambil pusing kisah itu?

Walaupun bebanan penderaan di Malaysia semakin diperhebatkan, semangat rakyat mahaen nampaknya semakin berubah. Sudah semakin terserlah ketahanan usaha untuk menegakkn hak asasi individu. Nadia pernah menceritakan kepada saya pengalamannya satu ketika dulu ketika kehabisan wang dan terpaksa menjaga dua orang anak yang masih kecil di negara orang. Dia telah menanggung kesangsaraan selama 126 hari sambil merasakan betapa pahitnya melihatkan orang-orang yang dianggap sahabat dan kawan pada satu ketika dulu bertukar perangai menjadi tukang tengok sahaja. Memang amat sukar untuk beliau hidup sambil menjadi bahan penelitian pihak polis sedangkan di waktu yang sama dia dihantui perasaan ketakutan kalau-kalau musibah melanda salah seorang ahli keluarganya. Dia terpaksa memberanikan diri mengharungi segala bahaya itu termasuk serangan fisikal oleh seorang bajingan polis yang sentiasa mengekorinya. Dia merana kerana diserang sehingga menerima luka di tangan dan kakinya. Dia telah menunjukkan keberanian yang menakjubkan, kebijaksanaan dan keyakinan diri ketika mengharunig suasana kelam itu yang mencengkamnya dalam satu episod penderaan diri yang sungguh menyedihkan. Satu bulan sebelum saya dibebaskan, Nadia telah menguruskan pemergian anak kami Aisha dan Omran ke Paris dengan iringan abangnya yang datang daripada Paris menjenguk mereka. Selama satu bulan pula dia hidup bersendirian, dinafikan hak ditemankan oleh suaminya dan anak-anak yang masih kecil lagi.

Kerana itu, bolehlah dikatakan sesuatu yang melegakan juga apabila isteri-isteri para tahanan ISA itu bertindak secara berpadu mendesak agar orang kesayangan mereka dibebaskan. Sungguh menggalakkan sekali melihatkan mereka berupaya melakar jaringan yang berkesan bukan sahaja antara mereka yang terbabit tetapi dengan beberapa NGO (kumpulan bukan kerajaan) yang aktif memperjuangkan hak asasi manusia di Malaysia. Satu ketika dulu, Nadia tidakpun menerima kemudahan seperti ini. Berbeza dengan apa yang sedang dialami oleh tahanan terbaru ini saya tidakpun mempunyai sebarang maklumat ataupun pengalaman terdahulu dalam berinteraksi dengan orang-orang yang mendera saya. Rayuan saya dari segi perundangan terhadap apa yang dikatakan “kesalahan” dan “hukuman” itu masih lagi sengaja diperlekehkan oleh pihak polis dan penghakiman yang saling bersekongkolan, di Kuala Lumpur.

Media massa telah melaporkan betapa Suahakam telah mengutuk penangkapan ISA terbaru itu dan mendesak agar mereka dibebaskan dengan segera. Saya melihat ini semua sebagai satu lelucon yang zalim. Suhakam pernah memaklumkan kepada peguam saya Mr. Manjeet Singh Dhillon, penerimaan bantahan saya (bertarikh 28 Julai, 2000) terhadap penculikan, penahanan, penyiksaan dan kekejaman yang berikutnya; Suruhanjaya itu tidakpun pernah membuat sebarang pengumuman terbuka, ataupun menasihatkan pendirian mereka mengenai beberapa isu yang dibangkitkan itu. Bantahan saya kepada Suruhanjaya itu disokong oleh satu salinan Akuan Berkanun yang pertama-kali dibuat di Malaysia yang merakamkan satu dokumentasi peristiwa yang lengkap. Dengan itu saya lebih cenderung mempercayai bahawa gelagat Suhakam dengan kenyataan terbarunya itu tidak lebih daripada satu bentuk gimik untuk hubungan raya sahaja bagi kepentingan kerajaan Mahathir. Abdullah Badawi sebagai timbalan kepada Mahathir secara tanpa disedarinya telah memperakukan mainan songlapan ini ketika mengumumkan betapa dia memang menjangkakan munculnya satu kenyataan serupa itu daripada Suruhanjaya berkenaan.

Walaupun Malaysia sedang dimendungi penganiayaan terhadap hak asasi manusia setiap hari, kami masih menaruh harapan akan berlakunya perubahan. Satu perubahan mendapatkan kebebasan, kemudahan bersuara dengan bebasnya, dan kebebasan untuk berhimpun secara aman. Kami semakin yakin betapa masanya sudah semakin tiba untuk rakyat marhaen di Malaysia menganggotai satu masyarakat sejagat di mana keadilan bukan sahaja sesuatu yang dihormati tetapi sesuatu yang dipelihara dengan semangat juang yang kental dan berani..

Dr. Munawar A. Anees
13.4.2001

.................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 15 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com