Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Kekayaan Menteri Kabinet Malaysia

Kekayaan Menteri Kabinet Malaysia
(How Rich Are Malaysian Cabinet Ministers?)

Pada 13 April 2001, The New Straits Times telah menyiarkan di muka depan akhbar kisah kekayaan menteri kabinet Thailand. Apa yang menarik saya ialah kisah itu tersiar dulu dan dicedok daripada Bangkok Post. Di akhbar asing itu ada cerita menyeluruh mengenai kisah kekayaan ini. Seperti juga di Malaysia, menteri kabinet Thailand dan pegawai tinggi perkhidmatan awam dimestikan mengisytiharkan harta mereka. Berbeza dengan amalan di sini, pengisytiharaan itu mesti diumumkan secara terbuka; membolehkan akbar di sana membincangkannya.

Perdana Menteri Thai, Mr. Thaksin Shinawatra, memang kaya kerana dia adalah seorang usahawan berwibawa selama ini, telah mengalihkan kekayaannya kepada anaknya yang kini merupakan orang terkaya di Thailand. Tetapi, harta yang diisytiharkan oleh menteri-menteri kabinet Thailand berjumlah 24 bilion (sekitar RM2 bilion) merupakan hanya secubit kekayaan seorang ahli kabinet Malaysia yang bersamaan dengan anggaran kekayaan seorang menteri lain dan beberapa pasang menteri yang lain pula.

Pada dasarnya para menteri kabinet Malaysia menjadi kaya raya ketika memegang tampuk kuasa; dan bagaimana semua itu mereka lakukan tanpa dianggap korup adalah disebabkan mereka tidak pernah ditangkap dan didakwa kerana korup. Tanyalah Badan Pencegah Rasuah. Hampir semua menteri kabinet telah disiasat bagaimana mereka mempunyai harta berbukit lebih daripada keupayaan mereka, tetapi kuasa mendakwa kerakusan itu terletak kepada Jabatan Ketua Hakim Negara, yang enggan menjalankan tugas pendakwaan yang sepatutnya. Ketua Hakim Negara beranggapan bahawa yang korup adalah golongan pembantu rendah am (peon), kerani, posmen dan anggota polis. Yang lain dianggap tidak korup secara rasminya.

Malahan, adalah dianggap satu penghormatan kalau seseorang itu disiasat oleh BPR. Para menteri kerap mendabik dada memberi kiasan betapa bersihnya mereka semua. Semua itu tidak mempunyai sebarang makna. Kerap sangat BPR menyatakanmereka bukannya bersih sangat dalam menimbun harta, tetapi Jabatan Ketua Hakim Negara tidak pernah berminat mendakwa mereka seperti tidak berminatnya mereka memberikan alasannya. BPR sudah kehilangan wibawa untuk bebas menguatkuasakan peranannya sambil penyakit rasuah dan korupsi di kalangan pegawai kerajaan terus mencanak naiknya.

BPR pernah menyiasat kerja-kerja menimbun harta di kalangan pegawai tinggi kerajaan. Tentu sekali Perdana Menteri terkejut beruk mengetahui betapa lebih 50 pegawai tinggi dalam perkhidmatan awam, polis dan tentera mempunyai asset terkumpul yang setara dengan asset kepunyaan kabinet Thailand yang ada.

Salah seorang daripada pegawai tinggi ini mempunyai asetnya yang ketika disiasat bernilai RM22 juta telah naik meningkat RM27 juta setelah BPR selesai berbual-bual mesra dengannya. Ini bukan kes perorangan sahaja. Ramai kakitangan BPR percaya, ketua mereka tidak dilanjutkan perkhidmatannya dan tempatnya digantikan oleh seorang pegawai tinggi polis, untuk mengepalai institusi itu pertama kali sejak berdekad lamanya. Pelantikan ini berlaku kerana ramai pegawai polis yang tidak puashati apabila beberapa orang pegawai mereka telah dipanggil untuk menjelaskan bagaimana mereka boleh jadi kaya raya menimbun harta. Kata mereka, kekayaan pegawai polis adalah hasil pelaburan bijak bestari di pasaran saham, urusan hartanah, dan kepintaran penasihat pelaburan. Kerana itu ketua BPR tersebut terpaksa digantikan kerana dia terlalu suka menghidu tamanlarangan.

Satu ketika dulu Tun Sardon Jubir, seorang orangkuat UMNO yang menjadi gabenor Pulau Pinang telah menceritakan kepada saya kisah kenapa dia bersara sebelum dia betul-betul mempunyai niat untuk melakukannya. Beliau adalah seorang politikus yang pintar tetapi merupakan seorang ahli kabinet yang bersahaja dan tidak berapa bersungguh sebagai seorang pentadbir. Dialah orangnya yang mengangkat Tan Sri Musa Hitam, yang kemudiannya menjadi timbalan perdana menteri yang mencederakan kerjaya poltiknya sendiri, untuk menjadi setiausaha politiknya. Selepas itu dia angkat pula Dato’ Mohamed Rahmat (Setiausaha Agung BN) sebagai pengganti Musa pada 1960-an dulu. Tun Sardon telah bertahan apabila ada tekanan hebat daripada parti agar dia melepaskan jawatannya. Tetapi apabila bahagiannya menyuruh beliau bersara “kerana anda sudah terlalu lama membalun harta, kini giliran kami pula,” dia naik berang dan terus bersara.

Kini, menteri kabinet terus mahu berkuasa kerana kekayaan yang dapat mereka bukitkan. Seorang menteri kabinet mempunyai harta bernilai US200 million dollar, yang kini sudah melonjak naik menjadi US250 million selepas dua kali bertemubual dengan BPR. Seorang menteri lagi begitu kaya melalui politik sehingga membolehkan anak lelakinya mendapatkan pinjaman bank sekitar RM1.2 bilion untuk mengembangkan perniagaannya. Seorang bekas menteri memiliki 17 buah kereta yang bernilai RM6 juta. Dua menteri yang masih bertugas mempunyai Porsche bernilai hampir RM2 juta. Selain itu ada dua orang menteri yang membuka perniagaan makanan, satu di Brickfields dan satu lagi di Subang Jaya.

Kita perlu bincangkan pula kisah beberapa menteri besar dan ketua menteri. Ada di kalangan mereka yang mempunyai harta yang lebih tinggi nilainya dari asset terkumpul yang disytiharkan oleh para menteri kabinet Thailand. Dua orang membalun sebanyak RM5000 juta ketika menjadi menteri besar dulu. Ada seorang lagi yang mempunyai lima kali lebih besar daripada harta sebanyak itu. Kebanyakan menteri besar BN dan ketua menteri tidak mampu menjelaskan bagaimana menjadi kaya raya kalau dilakukan tekanan terhadap mereka. Tetapi itu semua bukannya satu kerunsingan untuk mereka. Satu ketika dulu Anwar Ibrahim telah membuat laporan mengenai kerja-kerja bajingan para menteri ini kepada polis. Satu tindakan berkesan belum pun dilaksanakan.

Bagaimanakah semua bajingan ini mampu membalun harta untuk menjadi kaya raya? Inilah bahananya apabila mereka memegang jawatan yang terlalu lama, selalunya di kementerian yang sama. Apabila orang berpangkat tidak ditukar-tukarkan selalu, korupsipun naik menanah sehingga mudah untuk disapu. Apabila pemimpin BN bertegas mahu terus berkuasa lebih daripada sepuluh tahun, mereka adalah calon terbaik untuk korupsi. Orang yang paling berprinsippun mudah mengalah dan terliur seleranya apabila dirasuk dengan dugaan tawaran dan pujuk rayu setiap hari dan setiap waktu. Malahan, saya sanggup berdebat betapa korupsi itu dianggap sesuatu yang biasa kalau ia dibalas dengan satu jentera pemerintahan yang berwibawa.

Tetapi bukan itu caranya. Rakyat marhaen tidak akan membuat aduan mengenai korupsi dan salahguna kuasa kalau apa yang dijanji ditunaikan secara cepat dan berkesan. Di sinilah masalahnya. Korupsi mendahului setiap permintaan untuk perkhidmatan. Inilah yang mencetuskan kemarahan yang mudah meluap dan sukar ditekap. Betapapun kerajaan berusaha menafikannya, pengaiban yang ditimpakan ke atas Dato’ Seri Anwar telah mencetuskan percikan bunga-api kepada kemarahan yang semakin meluap itu. Inilah yang menonjolkan himpunan segala bentuk korupsi yang bersifat kecil-kecilan, birokrasi yang sambil lewa, keangkuhan politik mengada-ngada sehingga semua itu terhimpun menggunung tingginya menjadi satu gelombang rintihan rakyat marhaen. Secara tiba-tiba, kekayaan yang dibalun oleh wakil rakyat yang sepatutnya menjadi hamba abdi rakyat menonjol laksana bisul dan menjadi isu yang relevan kepada semua.

Di antara masyarakat politikus, yang paling terkaya mempunyai asset bernilai RM50 bilion banyaknya. Ini adalah bersamaan dengan simpanan matawangasing negara. Jelas, sikarun ini adalah yang paling terkaya di Malaysia. Dia menguasai 40 persen saham-saham di BSKL sehingga mebolehkan salah seorang balacinya mengambil alih semua saham Malaysia yang tersimpan di pasaran Singapore CLOB. Dia juga menguasai sehingga 75 persen saham yang ada dalam agensi kerajaan. KLSE kini lengang longlai kerana semakin ramai pelabur sudah sedar betapa mereka tidak lagi mahu terbabit dengan tipuhelah sibajingan bersifat Al-Karun dan Jin Afrit.. Itu sebabnya harga saham terus turun menjunam laksana airterjun.

Laksana kilat dia pernah muncul menegakkan satu empayar perniagaan yang dibantu oleh kerajaan dan kini sedang menggugat ekonomi negara terus mencungap dan dihambat mudarat laksana ikan yang lama terkapai di darat. MP PAS, Mohammed Sabu pernah secara sinis menggambarkan orang ini laksana si pendek ala-Napoleon yang berkumis tebal. Seperti Perdana Menteri dia menjadi kaya raya setelah menjadi menteri kabinet dengan meniru gelagat Al-Karun ketika masih bertugas rasmi. Tetapi, dia pandai menggunakan banyak proksi. Tidak banyak yang boleh digunakan untuk menekan hasil nafsu-nafsinya, seperti sukaranya menekan penyamun yang lain.

Kehadiran Al-Karun dalam kabinet inilah yang merupakan salah satu sebab kenapa Perdana Menteri dikecam hebat. Banyak kerja jijik melibatkan kerajaan yang tidak dirujukkannya dulu kepada Perdana Menteri. Untuk meredakan kemarahan rakyat yang semakin celupar mengenai harta karun ini semuanya, adalah wajah didedahkan segala asset dan harta yang ada pada semua menteri kabinet Malaysia seperti yang dilaksanakan di Thailand. Tetapi, masalahnya takkan Perdana Menteri sanggup membincangkan perkara itu semuanya.

-MGG Pillai-

..................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 19 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com