Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Pemerintahan Mahathir Yang Dipertikaikan

Pemerintahan Mahathir Yang Dipertikaikan
(Mahathir’s rule questioned by party leaders)
(ABC TV on Mahathir)
Terjemahan: Marhaintua

Kerry O’brien: Lebih satu tahun sudahpun berlalu sejak pemimpin Asia yang paling lama berkhidmat, PM Mahathir memperlekehkan orang-orang yang meraguinya dan terus memimpin UMNO dan berjaya memenangi satu lagi pemilu. Namun, episod timbalan PM, Anwar Ibrahim yang diaibkan dalam satu kes mahkamah yang telah banyak dipertikaikan kini menghantui Mahathir.. Hambatan itu semakin berbisa mengejarnya sehinggakan beberapa loyalis dalam parti sudah berani mempertikaikan kepimpinannya secara terbuka.

Inilah laporan daripada Geoff Thompson di Kuala Lumpur.

MGG Pillai: Dia berada di babak akhir sebagai seorang perdana menteri. Memang inilah persimpangannya di mana dia tidak mampu untuk berpatah lagi. Laksana Macbeth, dia kebingungan memikirkan sama ada maju kedepan ataupun berputarbalik.

Geoff Thomson: Dia sudahpun berusia 75 tahun dan telah berkuasa selama 20 tahun. Kepimpinan Dr. Mahathir semakin dipertikaikan secara terbuka oleh pemimpin terkanan dalam partinya, UMNO.

Pada pemilu 1999 dan beberapa pilihanraya kecil selepas itu, UMNO ternyata semakin kehilangan sokongan besar pengundi Melayu. Kesannya Mahathirpun kehilangan sokongan dalam partinya sendiri.

Zulkifli Mohd. Alwi (Pemuda UMNO): Sebenarnya, kami telahpun menerima banyak pendapat daripada orang Melayu – yang berpendidikan tinggi, yang sering merantau – betapa mereka mengharapkan berlakunya perubahan dalam cara kami berpolitik di negara ini. :

GEOFF THOMPSON: Apakah anda fikir pucuk kepimpinan parti sedang terancam seandainya perubahan itu tidak dilaksanakan?

ZULKIFLI MOHD ALWI: Memang kami akan menghadapi satu bahaya seandainya gagal menyesuaikan suasana yang semakin berubah.

SHAHRIL ABDUL SAMAD: Ahli Majlis Tertinggi UMNO: Dia adalah pemimpin sebuah parti yang kini sedang dipertikaikan apakah dia berupaya melakar masadepan parti dan memimpin orang Melayu ke hadapan.

GEOFF THOMSON: Beberapa peristiwa terbaru di Malaysia yang telah merungkai dominasi UMNO dalam arena politik Melayu.

Pemecatan dan penangkapan serta pengaiban yang ditanggung oleh bekas timbalan PM Anwar Ibrahim masih membayangi setiap gerak-geri Mahathir.

MGG PILLAI: Apa yang kita lihat sekarang ialah kejatuhan seorang manusia yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara ini. Tetapi dia degil menilai perubahan yang berputar di sekelilingnya. Kerana itu dia terpaksa membayar ganjarannya.

Penyebab utama terjadinya perkara ini ialah epsod Anwar Ibrahim. Mahathir telah melanggar pantang seorang pemimpin Melayu, bahawa dia sepatutnya tidak mengaibkan para timbalannya.

GEOFF THOMSON: Berapa lama lagi dia boleh bertahan?

MGG PILLAI: Saya fikir dia tidak boleh bertahan lama.

Dia sudah kalah. Memang sukar meletakkan satu tempoh waktu kepada perkara ini, tetapi saya tidak fikir dia akan berada di sini di sekitar bulan ini pada tahun depan.

Besar kemungkinannya dia akan lenyap lebih awal daripada itu.

ZULKIFLI MOHD. ALWI: Sesetengah orang suka merumuskan bahawa peristiwa yang baru terjadi akan mempercepatkan pengunduran beliau daripada jawatannya. Saya fikir itu semua adalah satu petanda yang elok diserahkan rakan-rakan seperjuangan beliau untuk mengadilinya.

GEOFF THOMSON: Parti-parti pembangkang Malaysia sedar bahawa Mahathir sedang tercungap.

Sessi ceramah jalanan di seantero negara kini menarik minat lebih 10,000 hadirin.

Seorang pendengar di ceramah terbuka: Oh ya……kami akan ambil alih tampuk kerajaan pada 2004. InsyaAllah 2004….. Kami akan ada di sana.

GEOFF THOMPSON: Penderitaan Anwar masih lagi menjadi katalis perjuangan - sehinggakan tokoh terbaru pembangkang meniru ketokohannya secara terbuka.

Dr. WAN AZIZAH ISMAIL: Sebelum Anwar ditangkap dia pernah berkata; “ Kalau saya pergi, ‘akan muncul satu ribu Anwar Ibrahim yang mampu berjuang.’

Rakyat marhaen sebenarnya menantikan kemunculan Anwar dan Ezam memahami perkara ini - Saya tidak mampu meniru kata-kata Anwar sehinggakan menjadi bayangannya.

GEOFF THOMPSON: Ezam Noor pernah menjadi setiausaha politik Anwar. Kini dia merupakan ayam sabung pihak pembangkang.

ORANG AWAM: Dia seorang pemimpin yang dinamik. Semua orang berminat kepadanya dan dialah yang menjadi tumpuan rakyat.:

MOHD EZAM NOR: Saya mungkin terpengaruh kepada cara dia (Anwar) berucap ataupun berpakaian, tetapi saya fikir ini adalah satu kebetulan sahaja dan yang penting sekarang ialah kenyataan, sama ada saya mampu meneruskan wawasan dan perjuangannya untuk rakyat.

GEOFF THOMPSON: Kini seperti Anwar juga, Ezam Nor mungkin dipenjarakan tidak lama lagi, kalau dia didapati bersalah dalam salah satu daripada 14 tuduhan yang menunggunya di mahkamah.

Sejak kebelakangan ini beberapa penyokong pembangkang telah ditangkap dan dikenakan tuduhan kerana berhimpun secara haram.

ZULKIFLI MOHD ALWI: Pihak polis menjalankan tugasnya sebagai pengaman dalam menhyuraikan himpunan manusia yang tidak berpermit. Oleh itu adalah tidak adil menuduh mereka sebagai pencetus huruhara.

GEOFF THOMPSON: Kini, ada riak-riak kemunculan rusuhan perkauman yang pernah berlaku di Malaysia 30 tahun dulu.

Enam mangsa terkorban dalam pergaduhan kaum antara orang Melayu dan India di sebuah perkampungan setinggan di Kuala Lumpur.

PM Mahathir telah melawat kawasan itu, tetapi telah menggunakan peristiwa itu juga untuk meraih sokongan sambil mencadangkan bahawa kumpulan minoriti di Malaysia harus lebih berwaspada.

Untuk terus berkuasa sebagai perdana menteri dan untuk menjamin kemenangan pada pemilu 2004 nanti, Mahathir sedang mencuba mendapatkan kembali sokongan orang Melayu dengan cuba memperjuangkan hak mereka dan kemudahannya.

Dalam hal ini, dia berkemungkinan kehilangan sokongan orang Cina yang telah memberikan kemenangan pada pemilu 1999 dulu.

Penduduk Cina merupakan 25% daripada jumlah penduduk negara yang bermajoritikan 55 persen orang Melayu. Perundangan telah dirangka untuk memihak kepada orang Melayu sejak tercetusnya rusuhan kaum 1969 dulu. Tetapi, orang Cina sudah mula mempertikaikan kesaksamaan segala perundangan itu.

Sambutan daripada mereka yang mempertahankan hak keistimewaan Melayu menunjukkan mereka marah, malahan hampir agresif dan membayangkan seolah-olah ia direstui oleh Mahathir.

DR. SUA KIA SOONG (New Era College): Dia tersilap langkah kerana untuk pertama kali dalam sejarah Malaysia, saya berani katakan, kita melihat satu situasi di mana masyarakat Melayu tidak lagi termakan umpan perakauman itu lagi.

GEOFF TRHOMSON: Tetapi, dengan merudumnya ekonomi Amerika yang meruntun sama Malaysia PM Mahathir semakin ketandusan hujah kenapa dia harus terus berada di tampuk kuasa.

(Transkrip ini disediakan oleh syarikat perkhidmatan bebas)

..................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 19 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com