Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Siapa Menyebabkan Banjir Kilat di Kuala Lumpur?

Siapa Menyebabkan Banjir Kilat di Kuala Lumpur?
(MGG Pillai: Who Caused The Flash Floods In Kuala Lumpur?)

Kita boleh menjangkakan banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur minggu lalu akan berulang lagi. Ini merupakan dendam Alam maya yang perlu diterima oleh sesiapa yang memperlekehkannya. Tetapi kerajaan masih beranggapan ia masih mampu main agak-agak sahaja. Ketika sebahagian ibukota ditenggelami air, ia merupakan satu amaran awal betapa kita boleh dibalun musibah seandainya kita memperlekehkan tuntutan alam maya. Malahan Menteri Alam Sekitar beranggapan mereka boleh bersikap sambil lewa. Cuba perhatikan kes ampangan Bakun, di mana kesan persekitaran alam jangka panjang diabaikan kerana tamak haloba. Lihat pula Pelabuhan Kuantan yang dibina kerana pilihan politik dan terdedah kepada hambatan alam lagi. Ia menelan belanja yang lebih besar untuk memperbaikinya daripada kos membinanya dulu. Sehingga kini ia belum digunakan lagi semaksimum kapasitinya.

Banjir kilat muncul apabila Sungai Gombak melempah tebingnya waktu air pasang dengan segala sampah sarap yang berkumpul dan berserabut di sekeliling tiang-tiang simen yang tertanam di pinggir sungai untuk menyokong pembikinan lebuhraya swasta yang berada di bahagian atasnya. Lebih lagi apabila pihak berkuasa memandai-mandai memikirkan adalah tidak perlu mengaut segala sampah sarap yang terapung di permukaan air sungai itu. Tidak ada sebarang penjelasan kenapa keadaan ini dibiarkan berterusan walaupun rakyat marhaen dituduh bersalah kerananya. Apabila sampah tidak lagi dikutip sekerap mungkin seperti yang dilaksanakan oleh bandaraya satu ketika dulu dan sebelum kerja-kerja itu diswastakan, tentulah berlaku musibah seperti ini. Tidak payahlah kita membincangkan projek membersihkan sungai seluruh negara apabila sungai tempatan dibiarkan berselut dan tersumbat oleh sampah dan sarap. Sesuatu dasar negara hanya didapati berkesan kalau segala peraturannya diamalkan. Di Malaysia memang jarang sangat penekanan diberikan terhadap perincian kerja sehinggakan hasilnya memang membawa kecewa.

Rancangan pembasmian banjir negara, seperti juga masalah setinggan selepas teretusnya tragedi Kampung Medan memberikan gambaran yang kelam mengenai rancangan jangka panjang kerajaan. Satu tindakan berupa dasar negara direncana apabila sesuatu yang dibiarkan begitu saja sebegitu lama meledak menarik perhatian umum. Saya berani kata, kerajaan tidak akan memikirkan satu dasar negara berkaitan setinggan tanpa episod Kampung Medan dan kerajaan tidak mungkin memikirkan dasar banjir negara tanpa banjir besar minggu lalu. Kita terlalu sibuk berangan-angan mengimpikan mahligai mega di angkasa raya tanpa mempunyai masa tunduk ke bumi melihat rekahan di jalanraya. Hanya selepas itu baru terdengar teriakan yang melolong apabila rekahan jalan itu sukar ditampung kerana terlalu besar melopong.

Kerajaan terlalu taksub dengan anggapan bahawa kerja yang terbaik hanya mampu dibuat oleh sektor swasta. Kalau kerja-kerja itu dilaksanakan dengan cermat hasil pemberian tender yang dikendalikan secara terhormat, tidaklah kerja-kerja itu boleh dipertikaikan sangat. Nampaknya kerja-kerja itu diberikan kepada mereka yang rapat dengan pihak yang berkuasa sehingga menghasilkan kerja yang sambil lewa kerana yang diberikan tender itu tidak berpengalaman untuk melaksanakan kerja yang berkesan. Kerja-kerja membersihkan Sungai Kelang di Shah Alam akan diswastakan tidak lama lagi. Kontraktor yang melaksanakannya akan mendapat hak menggunakan tanah yang luas di tepi tebing sungai itu. Kontraktor yang diberikan kerja itu bukannya pakar pembanterasan banjir. Tetapi dia diharapkan mampu menjalankan kerja untuk menghindarkan banjir. Perhatikan sahaja Kompleks Sukan yang dibina khas untuk Sukan Komanwel 1998. Penswastaannya diuruskan dengan memberikan sebidang tanah berharga mewah di Lembah Kelang. Struktur yang dibuat untuk kompleks itu adalah bersifat ala kadar sahaja. Inilah yang dikatakan membuat banyak duit dalam pembikinan projek penswastaan.

Cuba perhatikan cara pokok ditebang dengan sewenang-sewenangnya di Kuala Lumpur. Pokok-pokok di negara tropika menyerap air sehinggakan bersamaan dengan 25 peratus berat badan pokok itu, untuk mengeluarkan semula secara berdikit-dikit. Inilah yang menyekat berlakunya banjir besar. Pokok-pokok yang tegak megah sejak tiga puluh tahun dulu, sudah lama dipotong menyembah bumi. Apabila pokok ditebang habis, selutpun bertapak di dasar sungai memerlukan pengorekan untuk mendalamkannya. Tetapi, ini pun sengaja tidak diambil peduli. Keadaan ini diburukkan lagi oleh perancangan haprak dan sikap songsang betapa setiap kerja yang diswastakan itu boleh berjaya. Lagipun kerakusan membina sesuatu dengan apa harga sekali pun diberikan keutamaan daripada keperluan rakyat marhaen. Jadi, apa saja yang menjolok mata diswastakan, dan kalau kita ambil iktibar apa yang sudah berlaku, projek yang diswastakan itu akan dibeli kembali oleh kerajaan satu hari nanti untuk mengelakkan kontraktor berkenaan daripada muflis.

Banjir kilat menjadikan projek gila-gila “Linear City” sepanjang Sungai Kelang itu satu projek yang meragukan. Kalaulah projek itu sudah dimulakan dan keadaan sungai berada seperti sekarang ini, sudah tentu penghuni ibukota hidup dengan sengsara. Mujurlah, orang yang diberikan kontrak membina Bandar gila-gila itu sedang dibanjiri masalah peribadi, berkemungkinan projek itu tenggelam begitu sahaja. Alam maya adalah sebaik sahabat kita tetapi boleh bertukar menjadi musuh yang berbahaya. Tetapi kerajaan beranggapan ia mampu menipu alam ini dan terpaksa menanggung bahananya kini. Kalau sesuatu tidak dilakukan sebagai langkah yang berkesan, Kuala Lumpur haruslah bersedia kebanjiran selalu seperti minggu yang lalu. Apabila ia dibandingkan dengan banjir tahun 1929 dan 1971 adalah sesuatu yang menakutkan. Banjir yang terbaru ini adalah satu musibah alam kerana memperlekehkannya.

Yang pelik ketika banjir itu terjadi, tidak ada sebarang kenyataan rasmi menerangkan apa penyebabnya. Rakyat marhaen tertanya-tanya kenapa dan terpaksa berusaha sendirian menyelamatkan nyawa dan harta benda. Penjelasan muncul hanya setelah banjir itu reda. Ini menunjukkan pihak yang berkuasa turut terkejut sehingga otak turut senggugut. Bayangkan ribuan kereta yang terkandas dan terapung yang akan berulang lagi selagi tindakan menghindarinya tidak dirancang. Tetapi Bandaraya tidak mampu melaksanakannya. Kalau ia tidak mampu menyediakan khidmat munisipal yang berkesan, apakah ia mampu merancang masa depan yang lebih meyakinkan? Inilah bayangan kecuaian, keangkuhan, keengganan memahami hukum alam, ketaksuban bahawa hanya penswastaan yang boleh menghasilkan kerja yang berkesan yang menyumbang kepada banjir yang sungguh pantas tetapi sungguh menakutkan. Tidak ada sesuatu pun yang menjanjikan kehidupan masa depan yang menceriakan. Lebih banyak lagi banjir kilat yang akan muncul walaupun tidak sedahsyat yang muncul minggu lalu.

-MGG Pillai-
Isnin 30 April, 2001

.............................................................................
Terkemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 3 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com