Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


ISA - Ciptaan British Untuk Menjajah dan Menghambakan Bangsa Lain

ISA - Ciptaan British Untuk Menjajah dan Menghambakan Bangsa Lain
(ISA - British Colonial Law Formulated to Dominae, Subjugate, Oppress and Exploit a Conquered Race)
By: Spirit of Truth

ISA (Internal Security Act: Akta Keselamatan Dalam Negeri) adalah lambang pengabdiaan manusia yang paling kejam sekali. Akta ini dicipta, diperbaiki agar lebih kejam lagi dan dikuatkuasakan dengan kejamnya oleh penjajah Pentadbiran British dulu, terhadap rakyat Malaya yang telah dijajahnya. Inilah hasil seni daripada salah satu alat perundangan yang sungguh menekan yang pernah dicipta dalam sejarah peradaban manusia. Penjajah British mencipta perundangan ini, ketika mereka menjajah wilayah kolonial mereka dulu, dengan tujuan untuk melumpuhkan sebarang usaha dan percubaan daripada kumpulan tertentu, untuk menyiasat dan menyoal ataupun untuk mencekik masyarakat yang dijajah itu secara berkesan. Pemerintahan penjajah kolonial British dulu memang amat keras dalam segala bentuk pentadbirannya. Mereka membuat ketentuan agar kuasa dominasi mereka itu tidak tergugat ataupun dicabar. Untuk melaksanakan itu semua mereka mahukan satu alat perundangan dan kerana itu ISA telah difikirkan dan dicipta oleh para penjajah itu untuk menafikan sebarang percubaan rakyat marhaen untuk memberontak.

Penjajah British telah menggunakan akta ini yang melanggari keluhuran martabat manusia dan haknya, bagi kepentingan mereka, supaya penjajahan dapat diperpanjangkan dan memudahkan eksploitasi maksima segala hasil-mahsul rantau yang dijajah itu dengan tujuan membalun segala harta kekayaannya. Itulah satu senjata berbisa untuk penjajah terus bernafas lega dan mengekalkan pemerintahannya sedangkan undang-undang serupa itu tidak pernah diambilkira oleh sistem perundangan Britain, yang membawa makna undang-undang itu hanya layak digunakan terhadap manusia yang dijajah sahaja.

Kini, apa yang disebut sebagai Malaysia yang merdeka, mencecah 44 tahun usia kemerdekaanya, terdapat undang-undang berbentuk ini menconteng-arang sistem perundangan negara kita, dikuatkuasakan dengan cara yang sama terhadap manusia yang tidak lagi “menentang kuasa penjajah” tetapi mereka yang mencabar kerajaan yang dikatakan bebas hasil kemerdekaan 1957 itu. Satu undang-undang yang paling berbisa peninggalan penjajah British merupakan satu undang-undang unggul negara ini sekarang, melambangkan kita masih mundar-mandir sekitar gerbang zaman kolonial dulu ataupun mungkin kerana kita belum mencapai kemerdekaan yang sebenarnya. Adalah satu tragedi betapa kita masih dijajah walaupun kemerdekaan itu telah disytiharkan lebih empat dekad dulu.

Kita dikejutkan oleh satu kebenaran, walaupun kita sudah bebas sebenarnya kita masih dijajah lagi, bukan oleh British tetapi oleh golongan elit (ningrat) yang ada yang telah mewarisi sistem itu daripada penjajah, dan lebih suka mengekalkan ketuanan itu daripada membebaskan rakyat marhaen daripada cengkaman akta yang menjijikkan. Kenapa jadinya? Jawapannya amat mudah diambil-kira.. Apabila rakyat sesebuah negara itu ditekan dengan zalimnya, tindakan itu memudahkan kerja-kerja membalun segala khazanah negara yang ada untuk diri sendiri dan untuk keseronokan yang tidak ada tandingannya lagi. Ini semua jelas ditayang oleh gelagat hidup para pemimpin UMNO BN. Mahathir dan keluarganya mempunyai kekayaan bernilai berbilion-bilion, begitu juga dengan Ling Liong Sik dan Samy Vellu sedangkan rakyat marhaen terpaksa memerah keringat kais pagi makan pagi dan kais petang makan hati.

Apabila rakyat marhaen mula mencabar kumpulan pemimpin bertaraf neo-penjajah ini, terutama sekali sejak dua tahun yang berlalu, kumpulan yang memerintah mula takutkan kehilangan syurga dunia mereka itu telah bertindak menggunakan ISA sebagai satu senjata untuk menyerang dan menekan kaum sebangsa yang sepatutnya bebas dan merdeka seperti mereka. Peralatan yang dicipta oleh penjajah dulu untuk mencengkam dan menggodam cabaran puak-puak yang mencabar mereka itu - yakni ISA - sekali lagi digunakan terhadap satu kumpulan pemimpin muda yang lebih popular dikenali sebagai ‘pahlawan tujuh’ (magnificient tujuh) yang menuntut kebebasan yang menyeluruh. Mereka telah dihenyak oleh senjata ciptaan penjajah British dulu, menjadikan ISA satu undang-undang zalim yang melindungi kerakusan pemerintah yang zalim juga.

Adalah sesuai dirakamkan di sini, kumpulan pemerintah yang ada ini tidak banyak bezanya dengan para penjajah kolonial dulu. Perbezaan yang ada terletak kepada bangsa dan kaum yang sama. Inilah kezaliman yang paling menghinakan, merupakan kemuncak kebajingan pemerintahan regim dictator. Inilah penyiksaan yang paling memualkan. Selagi ISA tidak dihapuskan, kita semua akan terus menjadi hamba abdi kepada neo-kolonialis, UMNO BN yang tidak pun ambil peduli bila mahu menyerahkan kebebasan dan kemerdekaan sebenar kepada bangsanya. Marilah kita bangkit secara berpadu menghancurkan UMNO BN supaya kita dapat mengembalikan kebebasan sebenarnya daripada kapitalis neo-kolonialis ini yang sekian lama berlagak laksana orang kaya feudal semata-mata.

Spirit of Truth
(Semangat Kebenaran)
19/4/20

..........................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 4 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com