Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Wawasan Mahathir Yang Kabur (1)

Wawasan Mahathir Yang Kabur
(Mahathir’s Faded Vision - What Would a Malaysia Without Mahathir be?) - Bahagian 1
Oleh: Dr. Khoo Boo Teik (Aliran

Benarkah Asiaweek sengaja memilih gambar Perdana Menteri Dr. Mahathir yang sudah ganyut supaya dia kelihatan semacam seorang badut? Betulkah, Badan Bertindak Melayu ditubuhkan secara terburu-buru untuk membantu Mahathir mengganyang para seteru, tetapi menyerang kepimpinannya pula kerana menjadi keliru? Benarkah Presiden PAS memang enggan duduk selama lima minit bersama Mahathir untuk membincangkan perpaduan Melayu? Apakah setiausaha politik Mahathir, Dasuki Ahmad begitu tertekan untuk mengekalkan warisan ketuanya sehingga mendesak universiti tempatan menganjurkan kursus mengenai pemikirannya? Kalau dikaji dari sudut lain apakah semua ini petanda berakhirnya kuasa Mahathir? Undur ataupun hegemony?

Sememangnya, ‘seawal mana’ tidak boleh dijadikan soalan untuk membayangkan pengunduran Mahathir daripada pentas dunia politik, bila sahaja ia akan menjelma. Julai yang akan menjelma membawa isyarat bahawa Mahathir akan berkuasa sebagai perdana menteri dua puluh tahun lamanya.

Namun, tidak ramai orang yang yakin Mahathir akan berundur secara sukarela. Ramai yang mengharapkan dia berbuat begitu, tetapi hampir semua manusia itu berfikiran tidak ada apa-apa dan tidak ada sesiapa yang boleh memaksanya berundur segera.

Perkara begini bukannya sesuatu yang pelik. Mahathir mempunyai rekod ketahanan berpolitik yang dianggap satu legenda. Kedegilannya untuk terus berkuasa menjadi begitu mengancam sehinggakan tidak ada sesiapa dalam partinya, di luar kumpulan kliknya ataupun di luar negara, yang berpendapat bahawa Mahathir akan berbuat apa saja selain berkuasa sehinggga tidak bernyawa.

Barisan Alternatif (BA) sebagai contohnya, berazam menggantikan Barisan Nasional (BN) sebagai pemerintah. Namun tidak ada seorang pun pemimpin BA, yang kita lihat pernah mengemukakan pendapatnya apakah yang sebenarnya sedang menghantui rakyat Malaysia yang tertekan: “Apakah yang jadi kepada Malaysia tanpa Mahathir?”

Kelemahan untuk berfikir secara berani, yang berunsur semacam takdir politik, kalau boleh diungkapkan begitu, akan hanya membawa usul balik ke asal; seolah-olah cabaran Tengku Razaleigh Hamzah terhadapnya tidak pernah berlaku, UMNO tidak pernah berpecah, Anwar Ibrahim tidak pernah diaibkan dan ‘Reformasi’ hanyalah satu ciptaan-siber.

Yang dikatakan hegemoni

(‘hegemony’ ataupun hegemoni adalah PENGARUH ataupun KEKUASAAN seseorang ataupun sesebuah negara ke atas penduduk sesuatu negara ataupun negara-negara lain - penterjemah)

Selalunya ia bersifat lebih berkuasa kerana diperibadikan disebabkan ketahanan politik Mahathir itu sendiri, hingga mampu mengkotak-katikkan gelagat, dan penonjolan ataupun kemalapan rakan-rakan (politik) sekutunya dan juga orang bawahannya.

Berakhirnya Era Mahathir

Kalau diamati sedalam-dalamnya, apa yang dianggap kemantapan kuasa Mahathir dan dominasinya terhadap system politik itu sebenarnya bersifat satu ilusi belaka. Tanda-tanda alur keretakan dalam dominasi itu sudah semakin ketara.

Di kalangan UMNO, akar umbinya di Johor telah mengemukakan kritikan yang penuh jeritan dan bisikan menuduh Mahathir sebagai penyebab kepada kemalapan parti. Inilah yang mencuitkan rasa gerun di kalangan pemimpin yang memegang jawatan dalam parti dan yang terpaksa bertanding lagi tahun ini.

Di luar UMNO, dia menerima kritikan daripada masyarakat Melayu, kakitangan awam, para pelajar dan pendidik yang tidak pun ambil pusing kepada seruannya agar orang Melayu bersatu. Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu (GPMS) sebuah persatuan picisan di mana Mahathir adalah penaungnya mengambil sikap pro-Mahathir, sedangkan para pemimpin pelajar yang pro-pembangkang telah menyapu bersih pengundian pemimpin pelajar di kampus.

Sebenarnya, era Mahathir sudah pun berlalu. Cuma menunggukan bunyi tangisan dan raungan, jeritan dan sorakan yang sudah pasti akan dilaung-laungkan sebaik sahaja manusia ini pergi.

Era Mahathir itu luput antara tempoh krisis kewangan yang bermula Julai 1997 dan krisis politik pengaiban Anwar pada September 1998. Hanya pemulihan ekonomi yang tentatif dan palsu dan kemenangan BN pada pemilu 1999 yang penuh kepura-puraan masih mengekalkan fiksyen kepada lanjutan kuasanya itu.

Yang Disebut Mahathirisme

Apakah sebenarnya ‘Era Mahathir” itu?

Kalau kita menoleh ke belakang, itulah masanya ambisi liar digembar-gemburkan dalam mengasaskan program industri berat negara ciptaan Mahathir. Ambisi itu diransang oleh nasionalisme Melayu* (in adalah satu kepalsuan hasil putaran minda – penterjemah) dan modal kapitalisme Malaysia yang dijodohkan untuk mencerna Malaysia Incorporated (Malaysia Inc.) dan penswastaan.

Awal mula era ini telah diransang dengan tenaga padu “2M” memang sungguh gah bunyinya: “Mereformasikan Birokrasi!!! Memodenkan ekonomi!!! Merobah Orang Melayu!!!

Tiang semangat perjuangan ini dirangka berteraskan ‘penyerapan nilai-nilai ajaran Islam.’ Macam mana pun memang ada nilai-nilai yang menonjolkan pembelajaran, menganjurkan jimat-cermat dan tenaga kerja yang berwibawa; unsur-unsur budaya kerja orang Timur. Mahathir amat berminat menerapkan semua itu di kalangan masyarakat Malaysia.

Sasaran utama ialah penciptaan sebuah negara yang bersatu, ‘Bangsa Malaysia’, yang akan berketuakan Melayu Baru; satu kumpulan kapatalis Melayu dan golongan profesional’ yang berupaya menguasai pasaran sejagat.

Apa Yang Ada Sekarang

Kini tidak ada sesiapa yang berminat menyentuh konsep bersih, cekap dan amanah **yang merupakan inisiatif pentadbiran Mahathir ataupun peraturan berjimat-cermat anjuran Daim Zainuddin ketika beliau mula-mula menjadi menteri. Sebaliknya, yang hangat dibincangkan ialah ‘bailout’ penyelamatan, Kronisme, dan putaran-semula penswastaan ataupun ‘memilik-negarakan-semula’. Kesannya ialah kejutan yang bertali arus yang disogokkan kepada rakyat marhaen apabila tercetusnya episod yang membabitkan IWK, MAS, PUTRA, STAR, BAKUN HEP, dan Time DotCom.

Penerapan nilai-nilai Islam pernah dihidangkan secara menarik dalam bentuk liberal dan kod universal. Kini, ia seolah-olah lompong apabila diambil kira segala kiasan yang tercetus daripada pembangkang yang berunsur Islam dan yang terkuat setakat ini.

Ada satu ketikanya dulu apabila Mahathir mahu menggerakkan sebuah negara yang disuntik adunan sinergistik membabitkan kepimpinan yang berwawasan dan pergerakan yang popular. Sekarang ini sebarang rujukan kepada slogan yang dianggap usang itu akan mencetuskan kemarahan. “Kepimpinan Melalui Teladan”, mudah dicemuh orang sedangkan pergerakan yang paling popular memang berbentuk anti regim Mahathir.

Mahathir tidak mampu menjanjikan apa-apa lagi selain satu laungan yang berulang agar dipertahankan hak keistimewaan orang Melayu, kedaulatan raja-raja Melayu mengikut perlembagaan, dan Islam..

Sejak UMNO dihenyak oleh kekalahan dan aib pada pemilu November 1999, Mahathir berkelakuan seolah-olah dia cuba mengimbau kekalahan dirinya pada pemilu 1969 dulu. Anjuran purba beliau mengenai ‘Bangsa Malaysia’ sudah semakin tenggelam oleh laungan berpuak-puak terkini mengenai ‘Perpaduan Melayu’.

Apakah ada petanda lain bahawa wawasan Mahathirisme sudah semakin tidak bermaya?

………….bersambung

-Dr. Khoo Boo Teik-

..........................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 4 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com