Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Gambaran Kisah

Gambaran Kisah
(A Picture Story)
Oleh: Harun Rashid

Pihak polis telah melaksanakan beberapa tangkapan, setelah menerima beberapa arahan daripada pakar strategi UMNO. .Alasan yang diberikan ialah beberapa demonstrasi jalanan yang sudah dirancang, dianggap satu ugutan kepada keselamatan negara. Mereka yang ditangkap tidak sempat menyertai satu upacara yang mereka turut anjurkan, penghantaran satu memorandum rakyat kepada Suhakam yang meminta beberapa tuntutan. Upacara itu berlangsung juga seperti yang direncana, walaupun orang yang merancangnya ditangkap untuk masuk penjara. Majlis berlangsung dengan aman, dan semua pihak bersetuju betapa segala penangkapan itu memang tidak perlu.

Namun, mereka yang ditangkap tidak dibebaskan lagi. Penangkapan di bawah akta purba ISA memang sesuatu yang dibenci. Itulah episod yang akan menghenyak UMNO-BN yang sedang berkuasa, kerana akibatnya ialah semakin berkurangnya sokongan rakyat terhadap mereka. Soalnya sekarang, kenapa mereka lakukan tangkapan itu?

Politik ialah satu lagi jenis mainan orang dewasa di mana pihak yang menang merangkul wang dan kuasa. Permainan ini mesti dimainkan dengan penuh helah proses demokrasi. Setiap permainan ada peraturannya, dan pemain yang baik-baik bermain untuk menang mengikut ketetapan peraturannya.

Di dalam politik, permainan mudah tercemar menjadi kelibut. Peraturan diputar-belit sehingga jadi karut. Setiap usaha dilaksanakan untuk menyorokkan kenyataan betapa kemudahan yang tidak patut sudah pun dibolot. Ini bertujuan menumpaskan pembangkang yang cuba mengugut.

Secara amnya, adalah tidak adil memenjarakan pemain pasukan lawan untuk diikat tangan dan kakinya dan menghenyaknya untuk disiksa dengan pelbagai cara. Apa gunanya memisahkan mereka daripada kawan dan keluarga, dan mendera sesiapa juga yang datang untuk menolong dan bertanya. Inilah mainan kotor yang sedang dipergiatkan di Malaysia .

Bantahan rakyat marhaen semakin meluap. Yang ditangkap dan terpenjara masih belum diberi peluang menunjukkan muka. Walaupun majlis sudah lama terlaksana, orang yang ditangkap masih terpenjara. Para pendakwaraya yang tinggi impiannya dan tinggi pula gaji-bulannya, dan seorang hakim yang telah lama diperas-ugut kini dikerah melakonkan aksi mereka mengikut skrip politik yang sudah tersedia. Keadilan dan undang-undang sudah lama berbau haprak membuatkan seluruh dunia naik jelak.

Para konspirator UMNO-BN menggunakan para strategis yang tidak berbuat perkara lain selain sibuk bermain politik yang menjanjikan kekayaan dan kuasa. Mereka semua mengongsi segala habuan yang muncul walaupun banyak tandatanya mengenai agihannya sudah tersembul.

Para perancang itu memang sudah berjaya, walaupun tangan penuh dosa. Gerakan mereka terlalu nyata untuk memberikan keuntungan segera. Penyelewengan peraturan yang ditetapkan menidakkan peluang merangkul kemenangan yang berpanjangan. Mereka sedar kepayahan peperangan jangka panjang, kerana itu dicetusnya tindakan dari arah belakang. Mereka bertahan sedaya mungkin sambil merencana segala kemungkinan sebagai pemangkin. Semua tindakan yang dilaksanakan kini bertujuan melengahkan keadaan tertekan lagi.

Tandatanya semakin lantang disuarakan, kenapakah perancang BN UMNO merencana penangkapan dan penahanan tanpa perbicaraan dan menafikan bantuan guaman? Yang pasti mesti ada sebabnya melaksanakan tindakan ini pada mulanya.

Kenapa Penangkapan Dibuat

Cuba bayangkan gambaran ini di mana ceritanya dapat dicari.

Gambar pertama diambil pada hari pilihanraya kecil, Lunas. Orang-orang dalam gambar itu telah menahan beberapa bas yang sarat dengan pengundi upahan untuk mengundi di Lunas. Undi hantu dan undi tipu memang penting untuk memenangi pilihanraya yang ditanding.

Perancang UMNO membantah dengan keras apabila pengundi upahan mereka diberkas. Mereka membuat pengakuan betapa para penumpang bas itu hanya para penyokong yang datang untuk membantu. Tetapi, sokongan untuk membantu seperti itu adalah menyalahi undang-undang pilihanraya negara ini.

Para penumpang bas itu mengaku mereka dibayar RM50 oleh pegawai UMNO untuk memangkah kertas undi tipu. Pegawai pilihanraya pula enggan membuat perakuan mengenai pendaftaran mereka. Para penumpang itu bersama para pengupah mereka sudah pun melakukan kerja-kerja jenayah. Tidak seorang pun yang dikenakan tuduhan walaupun polis mempunyai nama dan kesalahan mereka dalam simpanan. Pegawai pilihanraya dilihat sebagai turut bersubahat.

Orang yang digambarkan itu telah menangkap mereka melakukan kesalahan. Dia memberitahu seorang perancang kanan UMNO supaya jangan berhelah lagi. “Khalil Yaakob, janganlah bohongi saya pula. Bukankah kita faham kebenarannya? Bukankah kita sudah lama bersama merancang perkara yang serupa?”

Orang yang digambarkan telah menahan bas-bas yang sarat pengundi hantu muncul di Lunas. UMNO kecundang pilihanraya di situ. Mereka mengutuk orang ini kerana aksinya. Apabila dia melaporkan bantahan kepada polis mengenai peristiwa bas itu, polis tidak ambil peduli. Sebaliknya apabila pihak lain buat laporan polis mengenai mereka, polis bertindak dan menangkap mereka pula. Kekalahan Lunas adalah satu pengaiban besar kepada BN dan UMNO. Hancurlah segala keangkuhan yang dilakonkan selama ini. Semua pihak menyaksikan satu pilihanraya yang bersih dan saksama. Terbongkarlah segala penipuan pemilu 1999 dulu. Perdebatan bahawa parti yang sedang berkuasa memenangi suara pilihan majority secara telus dan adil terus terbogel.

Kuasa UMNO-BN ditentukan melalui penguasaan kerusi terbanyak di parlimen. Para calon telah diberi jaminan betapa kerusi mereka itu adalah selamat dan sebaik sahaja seseorang calon itu dicadangkan oleh UMNO-BN, kejayaannya di pemilu itu sudah terjamin. Perkara ini ada kebenarannya yang terang selagi proses pengundian itu diputar-belit semacam wayang. Janji-janji itu berasaskan keupayaan menipu, kehadiran jumlah besar pengundi hantu dan kepintaran para pegawai pilihanraya yang sama membantu.

Lunas membuktikan bahawa kemenangan melalui penipuan bukannya satu jaminan. Para calon tidak boleh bergantung-harap kepada bas yang datang lagi. UMNO-BN kini diserang pemberontakan yang sungguh menyeluruh. Mereka sudah merasa tergugat di parlimen, malahan kerajaan negeri pun pasti runtuh.

Fauzi telah menjadikan keadaan itu sebagai sesuatu yang amat jelas dan cerah. . Kejelekannya terhadap sikap UMNO mengenepikan saki-baki penyokong Anwar dalam UMNO mendesak nalurinya agar terjadi pilihanraya kecil di Beserah. Dia telah kemukakan tuduhan terhadap Khalil yang dianggap sebagai orang halimunan dalam gambar itu. Tetapi Khalil tidak pun dikenakan sebarang tuduhan kerana perkara itu mahu diperamkan saja oleh parti yang berkuasa.

Dulu, UMNO-BN mengimpikan istirahat sebaik sahaja pemilu sudah selesai. Lima tahun dianggap tempoh yang sesuai untuk bersantai. Fauzi mengejutkan mereka dengan kenyataan tugas-tugas yang belum selesai. Para penyandang kerusi kini boleh memeras-ugut parti untuk disalai.

Keyakinan betapa sesuatu pilihanraya itu dapat dimenangi mesti dipulihkan semula. Rencana baru mesti dibuat menentukan bas-bas seperti dulu boleh masuk tanpa dihambat. Orang-orang yang menahan bas-bas itu mesti disimpan dulu. Kalau mereka dipenjarakan bererti pilihanraya boleh dimenangi dan parti boleh bersorak lagi: “Lihat, bukankah kami buat jaminan bahawa kemenangan tetap dalam tangan?” Orang-orang yang menahan bas dulu sudah pun terperuk di kamar berjejari besi, masalah mereka belum diselesaikan lagi. Tetapi, berapa ramai lagi anak-anak muda yang menunggu dengan ghairahnya menyambung perjuangan mereka? Inilah yang belum menjadi satu kepastian. Sokongan sebenar perlu diukur dulu sebelum diisytiharkan pemilu yang terbaru.

Kemelut Beserah mesti diperpanjangkan sedaya mungkin. Begitu juga dengan pilihanraya di Sarawak. Pilihanraya tidak boleh dibenarkan selagi kemenangan tidak terjamin. Itulah strateginya, apakah ia boleh berjaya?

Rakyat sudah semakin pintar berpolitik dan banyak kerusi parlimen dan negeri yang akan jatuh tergolek. Para penyandang jawatan kerusi parlimen dan negeri UMNO-BN sudah semakin galak bertukar haluan dan mengubah selera untuk bertanding semula sebagai calon parti BA pula nanti..

Pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian tidak berjalan licin seperti yang diharapkan. Memang ada muka baru yang tidak boleh diharapkan menggantikan yang lama. Mereka yang dikaitkan dengan Anwar sudah pun jatuh diketepikan. Inilah yang menakutkan golongan lama yang berada di peringkat atasan. Seorang ketua perencana, menteri kewangan (yang mempunyai banyak kepentingan) telah bertindak untuk bercuti daripada terus mengemudi, Dia bercuti daripada jawatan rasminya untuk menumpukan masa dan tenaga kepada peperangan yang lebih besar di luar medan perang.

Orang tahanan tidak akan dibebaskan daripada penjara kerana terlalu banyak pengetahuannya. Mereka sanggup mengambil segala risiko untuk menahan bas-bas yang dulu. Sesiapa juga yang melangkah ke depan membantu keluarga mereka akan ditangkap juga. Rencananya ialah memisahkan para tahanan daripada sanak sekeluarga, sambil mengugut mereka agar mengalah untuk membisu dan menyerah.

Semua ini tidak akan berjaya. Sebab musababnya akan kita bincang di lain masa. Memang banyak alasannya. Sementara itu jangan lupa mengikuti pergerakan menteri kewangan yang sedang bercuti. Dialah orangnya yang disebut dalam kemelut Anwar sebagai bapak konspirasi. Kini dia mempunyai peluang meneliti pergerakan pasaran saham dengan penuh hati-hati. Berwaspada dengan gerak lonjakan ‘rally’ yang berpada. Dialah orangnya dan bukannya menteri dalam negeri yang mengkotak-katikkan pasukan polis kita. Tangan halimunnya jugalah yang selama ini mencekik leher rakyat marhaen.

-Harun Rasihd-
Jumaat 28/4/2001

....................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 11 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com