Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Kami Diseksa Di bawah ISA

Kami Diseksa Di bawah ISA
(We were tortured under ISA, say former detainees)
Oleh: Zakiah Koya

Empat orang wanita yang ditahan bawah Akta Keselamatan Dalaman (ISA) sempena ‘Operasi Lalang’ tahun 1980-an dulu telah bersuara lantang menceritakan bagaimana penderaan mental dan fizikal terpaksa mereka tanggungi ketika ditahan untuk tempoh 60 hari penyiasatan dilaksanakan oleh pihak polis.

Mereka meminta agar 10 tahanan ISA dibebaskan setelah ditahan sejak dua minggu yang lalu dan juga tiga orang lagi yang ditahan kerana dikatakan menganut fahaman Shiiah. Empat wanita itu menyatakan betapa pengalaman mengajar mereka agar tidak mempercayai sebarang kenyataan pihak berkuasa mengenai ISA.

Empat wanita itu telah bercakap pada satu persidangan akhbar yang dianjurkan oleh WAC (Women’s Agenda For Change). Mereka mengatakan sikap menidakkan ahli keluarga bertemu para tahanan itu memberi anggapan betapa mereka sedang terseksa.

Empat orang wanita itu ialah Professor Dr. Cecila Ng, seorang bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia, aktivis Lim Chin Chin, Dr. Chee Heng Leng (AWAM) dan Irene Xavier daripada Sahabat Wanita.

Tanpa Belas Kasihan

Xavier telah menceritakan pengalamannya selama 60 hari pertama dia ditahan, dia telah didera termasuk mengangkat kakinya untuk dibelasah.

“Penahanan di bawah ISA adalah satu rahsia dan para tahanan tidak perlu dihadapkan kepada majistret. Inilah yang menafikan keselamatan para tahanan,” kata beliau.

Xavier telah mulanya ditangkap oleh polis Singapura dan dihantar menyeberangi tambak dan diserahkan kepada polis Malaysia. Dia terkejut juga dengan semangat ‘solidariti’ dua negara untuk menangkapnya.

Saya terpaksa mengharapkan belas kasihan polis, tetapi itu adalah satu kenyataan saya yang salah, kerana polis memang tidak tahu berperasaan belas kasihan.

Ketika itu saya sedang berubat kerana keadaan kesihatan yang menanggung ‘endometriosis’. Tetapi saya tidak pun diberikan catuan ubat saya sehinggalah satu bulan selepas tangkapan itu. Hanya satu perkataan sahaja yang layak digunakan untuk menggambarkan penyiksaan itu – KEJAM,” kata Xavier.

Dia merasa dihinakan. Itulah pengalaman pertama beliau disiksa dengan kejamnya, kerana “ayah saya pun tidak pernah menampar saya.”

“Untuk mendapatkan satu pakaian dalam yang baru, saya terpaksa mengunjukkan tuala ‘sanitary pad’ yang kotor. Saya telah dipukul dan sepanjang penyiksaan itu tidak ada seorang pun polis wanita yang hadir. Mereka selalunya bertanya pilihan saya sama ada mahu dibantai dengan sekeping besi ataupun papan.

“Walaupun saya tidak pernah menunjukkan pilihan, mereka terus membantai saya dengan keras pada bahagian tapak kaki dan kaki saya.” Dia tidak percaya, 10 orang tahanan itu tidak diseksa. “Buktikanlah saya bersalah dengan anggapan itu – hadapkan mereka kepada hakim yang dianggap memihak kepada polis,” katanya.

Suntikan Beracun

Dr. Chee berkata beliau adalah salah seorang yang mula-mula ditangkap di bawah Ops Lalang pada 1987. Ops itu adalah satu tindakan yang ditumpukan kepada pemimpin agama, pemimpin NGO dan ahli parti pembangkang ketika ekonomi negara sedang menguncup dan suasana politik sedang terlungkup.

“Cara seseorang itu ditahan di bawah ISA ialah untuk menakutkannya dan menanam perasaan ketakutan dan keazaban,” kata Chee.

“Saya sengaja didera supaya bersikap tidak berdaya untuk mempertahankan diri. Mereka geledah rumah saya selama tiga jam sebelum mereka membawa saya dan menyoal-siasat saya selama 72 jam tanpa henti.

“Saya telah digari, disuruh memakai kacamata hitam, dan diletakkan di sebuah bilik kurungan tidak bertingkap. Makanan dihulurkan melalui satu lubang kecil di bahagian pintu. Saya tidak dibenarkan berkasut, memakai pakaian dalam dan pakaian persalinan untuk ditukar ganti. Pada dua malam pertama saya didera untuk tidur di atas papan lapis, tanpa selimut,” kata Chee.

Che berkata cara mereka menyoal beliau ialah dengan mengetuk meja dan kerusi dan menggunakan perkataan yang keji. Ada kalanya mereka melakonkan seolah-olah menyuntik benda beracun, kata beliau.

“Ketika ditahan, kemungkinan untuk kami melihat sanak saudara memang amat bergantung kepada jasabaik penangkap itu. Kemudian, saya terpaksa ‘mendapatkan markah’ kunjungan mereka secara ’bekerjasama’ dan memberitahu apa yang mereka mahu dengar.” Kata Chee, yang kemudiannya dialihkan ke Kem Tahanan Kamunting selepas tahanan awal 60 hari itu.

Digari Dan Ditutup Mata

Lim telah ditahan pada Oktober 27, 1987.Dia menceritakan bagaimana dia telah diberitahu oleh satu pasukan yang dianggotai enam pegawai polis yang menangkap beliau betapa dia “berkemungkinan bertindak yang memudaratkan negara.”

“Saya telah diangkut dengan sebuah kereta yang tidak bertanda, dialihkan kepada satu ‘Black Maria’(kereta polis khas berwarna hitam)dan kemudiannya dibawa ke satu destinasi yang tidak diketahui di mana saya telah dibogelkan untuk hanya memakai satu pakaian yang longgar. Saya dinafikan kasut dan pakaian dalam dan juga cermin mata yang pernah saya gunakan sejak berusia sembilan tahun,” kata Lim.

Dia menceritakan betapa tangannya digari dan matanya ditutup dengan kain dan disumbat pula dalam satu kamar yang kotor dan kecil tanpa jendela dengan satu pangkin simen dan satu tandas.

“Saya disoal-siasat selama 15 jam sehari dan semasa siasatan itu ada satu hembusan angin daripada satu penghawa dingin yang disasarkan kepada tengkuk saya.

“Pada hari yang ke lima belas, saya telah berpeluang berjumpa ahli keluarga untuk 10 minit sahaja. Apabila saya meminta bantuan guaman, para penyiksa saya telah memperlekehkan saya dengan berkata mana ada peruntukan di bawah ISA.

“Saya merana kerana sakit kepala, disebabkan cermin mata yang dinafikan. Lagipun otot-otot saya menjadi kejang dan sakit kerana duduk terlalu lama di atas satu kerusi yang mempunyai cuma tiga kaki,” kata Lim.

Beliau berkata semua itu dilaksanakan untuk mengaibkan beliau dan penahanan selama 60 hari itu secara bersendirian adalah bertujuan untuk melemahkan moral para tahanan dan menafikan mereka kepada sebarang maklumat..

“Saya bergantung hanya kepada para penyiksa saya untuk mendapatkan maklumat Saya mahu tahu apa yang sedang berlaku di luar kamar tahanan dan mereka memberitahu saya si polan dan si polan sudah pun tertangkap dan telah membuat pengakuan, yang memang bohong semata-mata.

Mereka memperdayakan saya dengan menyiksa saya sehingga terasa kesakitan apabila mengenangkan keluarga saya. Mereka menyogok maklumat songsang dan memang sukar menyaring kebenaran daripada segala pembohongan mereka. Saya berpendapat kuasa yang diserahkan kepada polis di bawah ISA, mesti dihapuskan,” kata Lim.

Menyodok

Dr. Ng menceritakan betapa beliau merupakan orang terakhir ditangkap di bawah ‘Operasi lalang’. Saya terlibat dengan satu projek di Jakarta dan sekembali saya itu, saya telah ditahan di bawah ISA kerana dikatakan ‘menganjurkan komunisma dan perjuangan kelas menengah’. Semua tuduhan itu sengaja diada-adakan.

“Pembohongan seperti itu akan berterusan sebagai arahan harian di bawah negara yang dijajah oleh seorang dictator yang akan terus berselindung sebalik topeng ISA," kata Ng, yang tidak pun menceritakan apa yang berlaku semasa dalam tahanan.

Sepuluh orang aktivis reformasi, tujuh daripadanya adalah pemimpin Keadilan, telah ditangkap di bawah ISA sejak dua minggu yang lalu adalah Tian Chua, Mohamad Ezam Mohd. Nor, N Gobalakrishnan, Saari Sungib, Lokman Adam, Dr. Badrul Amin Baharom, Abdul Ghani Haroon, Hishamuddin Rais, Raja Petra Raja Kamaruddin dan Badaruddin Ismail.

Satu kenyataan akhbar WAC telah menyebut betapa tiga orang aktivis Shi’iah adalah Norman Batcha, Zainal Taib dan Ahmadi Asab.

Presiden Tenaganita Irene Fernandez yang telah hadir pada persidangan akhbar itu telah meminta Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) menggunakan kuasa mereka “menyodok jalan rintis” untuk melihat sendiri keadaan mereka yang sedang ditahan itu”.

- Zakiah Koya - April 01.
Malaysiakini Khamis 26/4/01.

....................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 11 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com