Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


ANTARA PEMBELOT DAN PEMBOLOT

Suasana kempen di Teluk Kemang semakin rancak. "Memang pada tahap awal, kami tidak manyangkakan bahawa Barisan Alternatif mampu menunjukkan semangat berkempen seperti yang ada sekarang ini;" demikian kata seorang penduduk asal Teluk Kemang. Pada satu ketika dulu, dia merupakan orang kuat UMNO, tetapi mengundurkan dirinya dan lebih senang tidak menjadi ahli mana-mana parti.

Sebenarnya saya tidak pun tahu yang kawan lama saya itu tidak menjadi ahli UMNO lagi kerana di awal enam-puluhan dulu, dialah manusia UMNO yang ligat ke sana-sini, memukul canang menyuruh orang Melayu menjadi ahli UMNO sampai mati. Saya pergi ke Teluk Kemang sejak Ruslan mula berkempen lagi dan kerap ke rumah sahabat lama saya ini untuk duduk bersembang, mandi-manda dan menukar pakaian setelah lama berpeluh dipanah mantari yang bercampur dengan bayu masin dari laut. Hanya ketika selesai zuhur di Masjid Bagan Pinang siang tadi dia memberitahu akan rahsia kenapa dia keluar daripada UMNO.

'Kalau secara teknikal aku memang masih lagi menjadi ahli UMNO kerana akulah pengasas cawangan UMNO dan bahagian yang itu. Waktu itu Si Isa S (singkatan 'Samad' dan mungkin juga satu perkataan lain yang amat digemari oleh orang Teluk Kemang, untuk menyebutnya) masih merangkak lagi. Masih bertelanjang bogel pun...." Kami yang menjadi tetamunya kali ini, merasa harian juga. Kami fikirkan beliau masih pekat lagi pemikirannya terhadap UMNO. "Tidak.....memang sudah lama aku tidak aktif dalam parti. Walaupun Isa pernah meminta aku bergiat semula. Aku menolaknya, seperti juga aku menolak bintang-bintang yang pernh ditawarkan pada aku ketika Yam Tuan Besar menjadi Agong pertama negara dulu."

Kawan saya ini memang pernah ditawarkan beberapa gelaran dan bintang ketika zaman mudanya. Dia telah menolak semuanya kerana tidak mahu menjadi beban kepada dirinya.

Memang sayang sekali, kita tidak dapat menyebut nama tokoh UMNO lama yang berada di Teluk Kemang bersama saya dan beberapa orang sahabat lama. Tetapi apa yang ditulis kali ini adalah fakta yang mencerminkan keadaan kempen pilihanraya kecil di Teluk Kemang di mana seorang calon Melayu menjadi wakil Barisan Alternatif sedangkan seorang calon MIC menjadi wakil Barisan Nasional.

UMNO Yang Semakin Keliru

Siapakah yang boleh menyangkakan, suasana kempen pilihanraya kali ini akan bertukar rupa hingga mampu menggugat kewibawaan UMNO? Pada pemilu November 1999 dulu, kesetiaan orang Melayu memang tidak dipertikaikan, kerana ketika itu dua calon yang bertanding adalah dari kalangan satu kaum yang sama. Kerana itu apabila Samy Vellu membuat pengumuman akan tercapainya satu majoriti undi yang lebih besar daripada pusingan yang lalu, ramai pemimpin UMNO yang percaya dengannya dan sanggup menganggukkan kepala di depan pancaran lampu TV dan kamera. Kini, analisis awal itu sudah tidak boleh dipakai lagi. Orang UMNO di seluruh Teluk Kemang sedang berpecah pendapat. Sekaligus, UMNO sudah semakin mencelaru sehinggakan Isa Samad yang menjadi Menteri Besar Negri Sembilan merasakan betapa kewibawaannya sebagai pemimpin sudah semakin tercabar.

Seminggu sudah pun berlalu sejak orang Teluk Kemang bersiap sedia untuk berkempen. Kerja-kerja memasang sepanduk dan segala bentuk bendera yang dilakukan dulu oleh UMNO sudah semakin rancak. Pihak BA tidak mahu ketinggalan. Sepanduk dan pelekat tertampal di sana sini. Kalau kita menyusuri Teluk Kemang daripada Sepang kita akan lihat betapa meriahnya sepanduk itu terpasang di sana sini bermula daripada Ladang Bukit Pelanduk. Dari situ semangat kempen itu nampak lumpuh kerana adanya tanda-tanda penghuni ladang yang masih lagi berkabung di atas kematian sanak saudara dalam episod ngeri wabak JE.

Keadaan semakin berubah apabila kita memasukki kawasan Ladang Tanah Merah sehinggalah kita sampai ke pekan Lukut. Satu ketika dulu, inilah pekan yang penuh dengan bendera MCA dan gerakan. Setiap kali diadakan pilihanraya, pekan ini akan dipenuhi dengan kibaran pelekat Barisan Nasional. Tetapi kali ini, kita nampak jelas betapa kemeriahan seperti itu sudah tinggal sejarah sahaja. Sekaligus, kita semakin dijolok oleh desas-desus betapa kempen kali ini memang ketandusan sokongan masyarakat Cina. Kalau betullah desas-desus ini, bererti Isa Samad berada dalam satu situasi yang menyengatnya kerana tanpa sokongan kaum Cina, keputusan pilihanraya kecil Teluk Kemang sudah tentu tidak akan menjanjikan kemenangan besar kepada Barisan Nasional seperti yang diimpikan oleh Samy Vellu.

- Kota Lukut Menjadi Saksi

Semalam saya mula berada di Teluk Kemang semula. Saya menemani tiga orang sahabat lama dan kami menyewa bilik di sebuah hotel bertaraf lima bintang tidak jauh daripada Masjid Bagan Pinang. Kami mahu mengikuti aktibiti kempen Teluk Kemang. Tidak kira siapa yang berkempen. Kalau orang UMNO berkempen kami pergi dan kalau orang BA yang berkempen kami pergi juga. Sahabat saya semuanya sudah berpendirian, kalau usia sudah melepasi enam puluh tahun, apa perlunya bergantung kepada parti politik. Lebih baik menjadi saksi suasana sahaja.

Pagi tadi selepas subuh kami pergi ke Kota Lukut. Kami mendapat maklumat adanya satu pesta rakyat selama sepuluh hari di situ dan tamat pada 10 Jun nanti. Nampak sangat pesta itu diadakan bersempena pesta berkempen. Memang, saya pernah mendaki Kota Lukut itu berkali-kali di masa persekolahan dulu, semata-mata mahu menikmati keindahan persekitarannya. Kali ini, saya fikir itu mungkin kali terakhir saya dan sahabat lama pergi mendaki bukit itu lagi. Cuma kali ini, sudah ada anak-tangga yang baru dibina oleh Isa S untuk orang lama seperti kami. Mungkin, Isa sendiri pun belum ke situ lagi, maklumlah beliau sibuk kali ini.

Kota Lukut telah dibina oleh Raja Jumat yang bertakhta di situ daripada 1846 hingga 1864. Kawasan kota ini telah dibuat dengan membina satu parit yang dalamnhya lima belas kaki untuk menjadi benteng tahanan daripada serangan musuh. Luas kota adalah 607 kaki panjangnya dan 505 kaki lebarnya. Di sana terdapat tiga telaga, termasuk satu telaga beracun. Di kemuncak bukit terdapat kesan tapak istana raja itu. Tidak ada kesan sebarang makam di situ kerana makam Raja Jumat memang berada di tepi jalan Lukut ke Port Dickson, bertentangan dengan balai polis Lukut.

Seperti yang saya tulis dalam 'Sekali Air Bah...' sepatutnya tanah kawasan di persekitaran Kota Lukut hinggalah ke arah Sungai Lukut adalah hak Raja Jumat dan sepatutnya menjadi hak orang Melayu yang mewarisi keluarga di raja itu. Kenapakah kini, tidak ada satu pun rumah orang Melayu di situ? Malahan, kalau kita teliti kedudukan Masjid Lukut yang berada di sebelah balai polis Lukut, kita akan semakin yakin sepatutnya seluruh kawasan yang mengelilingai masjid itu adalah kawasan rizab Melayu. Apakah yang sudah jadi kepada sejarah Negri Sembilan sehinggakan tanah rizab Melayu itu sudah tidak lagi dipenghuni oleh orang Melayu? Memang saya masih ingat ketika zaman persekolahan dulu, jalan menghala ke Kota Lukut itu memang merupakan satu lorong kecil di mana di kiri dan kanannya di tumbuhi pokok getah dan hutan belukar. Ada juga kawasan tanaman tebu di beberapa tempat di situ. Yang nyata, seluruh kawasan itu adalah kawasan bekas perkampungan orang Melayu.

Ketika sampai ke tapak kota itu, kami terkejut dengan pembangunan yang dilakukan di situ. Sudah ada beberapa bangunan batu yang baru untuk dijadikan muzium dan tempat membeli belah kemudahan pelancung, barangkali. Soalnya sekarang, berapa lamakah pekedai di situ dapat bertahan? Di bahagian bawah tapak kota itu di letakkan pula tiga jenis kereta perisai tentera dan satu lori tentera yang lama sebagai bahan pameran tentera. Rupanya, pameran itu baru sahaja bermula pada 4 Jun, 2000. Ada beberapa jenis senapang yang ditunjukkan di situ. Saya bertanya kepada seorang askar yang bertugas di situ; 'Di manakah pelurunya?' Pegawai yang datang daripada 'Dua Armour' menjawab: 'Semua peluru adalah peluru hidup, tentunya merbahaya untuk dipamerkan.' Kalau pameran adalah satu sumber pendidikan kenapa tidak dibawa peluru kosong sebagai bahannya?

Nampak sangat, pameran tentera itu hanya sebagai melepaskan batuk ditangga. Kereta perisai 4x4 di situ dikatakan sudah berusia enam belas tahun. Ada satu jenis yang lebih kecil di situ yang saya taksirkan sudah berumur lebih lima puluh tahun. Mungkin itulah yang pernah digunakan ketika menjadi pengiring Jeneral Gurney yang ditembak mati di Bukit Fraser dulu. Ketika membelek kereta lama itu saya teringatkan pelawak yang bernama Yahaya Sulung. Dia pernah bertugas sebagai Sarjan Polis dan pernah diserang hendap oleh komunis ketika mengiringi Henry Gurney. Lantas teringat pula saya akan cerita bagaimana Pakya masih lagi menunggu wang pencennya daripada polis setelah berkhidmat begitu lama. Bilakah agaknya wang pencen Pakya itu akan terbayar sedangkan usianya sudah pun manjangkau tujuh puluh tahun?

Pameran pengangkutan tentera di Kota Lukut itu memang memberi iktibar kepada sesiapa yang mahu berfikir. Bayangkanlah tujuan sebenarnya pameran itu adalah untuk mendidik anak bangsa mengenal alat yang digunakan dalam mempertahankan negara. Tetapi sayang, tidak ada contoh senjata seperti peluru, 'grenade-launcher' dan bom asap yang digunakan oleh kereta perisai itu. Semua itu sebenarnya ada yang berbentuk 'dummy' ataupun peluru kapur. Cuma tidak mahu dibawa untuk dijadikan bahan pameran. Apakah rakyat Malaysia sudah dikira canggih pemikirannya dan sepatutnya mampu memikirkan melalui imajinasi bagaimanakah rupanya bentuk peluru hidup itu sebaik sahaja melihat senjata yang ada?

Inilah konsep kerajaan pimpinan UMNO. Rakyat mesti berfikir waras dan menggunakan imajinasi sahaja. Demikianlah caranya UMNO memerintah masakini. Apa yang disogok mesti diterima secara membuta-tuli. Itulah persepsi mereka. Tugas UMNO ialah memimpin Barisan Nasional. Tugas Barisan Nasional ialah memerintah negara. Apa saja yang disogokkan oleh UMNO kepada Barisan nasional perlu diterima sebgai dasar pemerintahan. Kerana itu apa yang disogokkan oleh UMNO kepada orang Melayu mesti diterima juga sebagai panduan hidup untuk orang Melayu. Tidak kiralah samada yang disogokkan itu boleh diterima oleh fikiran yang waras ataupun tidak. Kerana itu kalau UMNO berkata Ruslan Kasim pembelot orang Melayu mesti akur juga...! Tidak ramai ahli UMNO yang mahu memertikaikan apakah benar Ruslan Kassim seorang pembelot?

Lalat dan Nyamuk di Teluk Kemang

"Sekarang ini, ialah musim lalat dan nyamuk menyerang Teluk Kemang." Inilah jawapan spontan para peniaga di Teluk Kemang. Baik yang menjaja makanan dan minuman di tepi jalan, ataupun di kedai makan ataupun yang bertugas di 'coffe-house' di hotel besar. Lalat memang banyak kali ini, lebih bnyak daripada biasa. Ketika JE melanda Bukit Pelanduk, lalat tidak melanda Port Dickson seperti ini. Di sebelah malam pula, nyamuk datang berganda-ganda laksana menggantikan peranan lalat di siang hari? "Dari mana datangnya semua ini?' merupakan soalan saya yang amat mudah disoal kepada peniaga yang saya temui.

Apabila parapenternak khinzir mengalami masalah besar dalam penternakan khinzir, ramai suku-sakat mereka yang keluar daripada Bukit Pelanduk untuk memulakan industri baru. Mereka "dibiarkan untuk meneroka kawasan laing" untuk memulakan hidup baru. Mereka digalakkan memelihar ayam dan itek serta ikan air tawar. Oleh kerana modal yagn kecil segala bentuk pengurusan yagn mengawal kesihatan menjadi terabai dan piah yang berkuasa pun sengaja membairkan saja perkara ini kerana berasaskan sikap 'simpati'. Bahananya ialah lalat yang mengharungi lori pengangkut ternakan yang keluar daripada kawasan ternakan untuk mengangkut ke bandar-bandar. Inilah lalat yang seterusnya ditiup oleh angin laut. Begitu juga dengan keadaan nyamuk yang menyerang Teluk Keamng di waktu malam. Seorang teman membuat ulasan dan berkata: 'Jangan pula awak hairan kalau ada orang kita yang memberitahu mereka makan di siang hari dalam kelambu dan tidur di malam hari dengan kelambu juga.' Kalau tiga puluh tahun dulu kita dengar orang kata kegunaan kelambu ialah untuk orang Melayu makan di siang hari, tentu orang itu kita katakan orang yang sudah gila.

Inilah hakikat yang sebenarnya di Teluk Kemang sekarang ini. Pantai Port Dickson yang sepatutnya bertukar nama kepada nama orang Melayu, kini diserang lalat di siang hari dan nyamuk di sebelah malam. Inilah kawasan persisiran pantai kegemaran Isa S yang difikirkan menjadi pusat pelancungan terulung di Negri Smmbilan.

Beginilah terjadinya kepada Teluk Kemang yang digembar-gemburkan sebagai pusat pelancungan. Oleh kerana takutkan pelancung asing akan terlupa datang bersanti di situ kerajaan UMNO yang kerap berlagak sebagai pejuang bahasa ibunda masih takut untuk menukarkan nama Port Dickson kepada nama yang mencerminkan kemelayuannya. Sedangkan perkataan 'Dickson' datangnya daripada seorang pegawai daerah British yang dikatakan bertanggungjawab memajukan Teluk Kemang. Tetapi, kalu kita selidikki apakah yang sebenarnya dilakukannya dan apakah peninggalan kegemilangan pemerintahnnya yang boleh dibanggakan itu?

Kengganaan UMNO menukar Port Dickson kepada (contohnya) Pantai Damai, Pantai Dewata (kalau mahu ikut selera seorang Diktator tua) ataupun Pantai Diktator (kalau mahu mengingati kegilaannya) harus kita ambil sebgai iktibar. Bukankah itu yang berlaku masakini? Bayangkan sebuah kawasan parlimen di mana pengundi Melayu adalah lebih daripada 47% mesti diwakili oleh orang India yang tidak pun melebehi dua puluh peratus kaumnya di situ?

Bila Nyamuk Berotak Lalat

Kira-kira lima tahun yang lalu Tan Sri Isa Samad pernah membuat janji kepada penduduk Melayu Teluk Kemang bahawa dia akan berusaha mengemukakan nama seorang calon Melayu bagi kawasan parlimen Teluk Kemang. Kerana itu orang Melayu telah memangkah BN. Tetapi, di pemilu November 1999 yang lalu Isa Samad telah mungkir janji. Kerana itu ramai orang Melayu yang marah dengannya. Tetapi, di saat akhir, usaha memujuk rayu masyarakat Melayu yang dilakukan oleh veteran UMNO telah turut membantu menyejukkan masyarakat Melayu itu. Dibantu pula oleh undian tong hantu yang datangnya dari pengundian tentera, BN menang dengan majoriti undi yang besar. Majoriti orang Melayu yang merasa tertipu dengan keputusan itu merasa malu dengan diri sendiri. Mereka sedar betapa penipuan telah berlaku. Tetapi apa yang boleh mereka lakukan sedangakan keputusan sudah diumumkan. Oleh kerana itu tercetus beberapa insiden di mana kepimpinan Isa Smad dipertikaikan oleh akar umbi parti.

Dengan kuasa Allah kali ini Isa terpaksa berdepan dengan kenyataan. Janji manisnya belum tertunai. Pilihanraya kecil Teluk Kemang akan menjadi penentuan berapa lamakah lagi Isa Samad dapat bertahan menerajui UMNO dan BN di Ngeri Sembilan. Inilah yang dikatakann manusia boleh merancang, kuasa veto di tangan Allah SWT jua.

Samy Vellu sudah bersuara lantang dengan majoriti yang lebih besar. Paklah sudah bersuara garang dengan menuduh Ruslan Kassim sebagai pembelot negara. Hisyamuddin Onn (dalam ucapannya semalam di pesta air Rakan Muda) telah berani berkata bahawa "kita tidak ada masa dengan kerenah parti pembangkang kerana UMNO adalah satu parti keramat." Rafidah pula sudah turun ke padang untuk mengagihkan hadiah kepada golongan yang miskin di Teluk Kemang. Semua rencana memancing undi semakin pesat sekarang. Jumlah perayau undi untuk merayu sokongan semakin bertambah. Taktik yang dilaksanakan di Sanggang sedang dipraktikkan di Teluk Kemang. Nampaknya Barisan Nasional semakin yakin untuk menyapu Teluk Kemang sekali lagi. Congakan UMNO, orang Melayu Teluk Kemang tidak banyak berbeza dengan orang Melayu di Sanggang.

Oleh kerana terlalu yakinnya UMNO dengan kemenangan itu, si pemimpin terulung UMNO tidak perlu menghadirkan diri di Teluk Kemang untuk merayu undi. Dr. Mahathir dikatakan sedang bersiap untuk terbang ke Jepun menghadiri persidangn ekonomi. Orang Melayu akan dikelentong lagi kali ini di Teluk Kemang. Orang Melayu Teluk Kemang semakin mencelaru kerana UMNO Teluk Kemang yang sedang mencelaru. Laksana nyamuk yang berotak lalat pemimpin UMNO sudah keliru apakah betul orang Melayu akan memangkah calon yang dianjurkan oleh MIC kali ini? Oleh kerana terlalu ramainya pemimpin UMNO di Teluk Kemang masakini, segala janji manis yang dikatakan semakin dipersoal oleh orang Melayu, apakah akan dikotakan? Malahan janji-jani yang ditabur itu kalu direkodkan dan dibentangkan balk kepada mereka secara individu, kita yakin para pemimpin itu sendiri akan kebingungan sesama mereka. Mulalah nayamuk menyanyikan lagu lalat yang pasti akan memeningkan semua yang ada. Tetapi apakah orang Melayu Teluk Kemang akan tertipu lagi kali ini? Mungkinkah majoriti yang lebih besar akan menyebelahi BN kali ini?

"Teluk Kemang kali ini akan menggegarkan UMNO, lihatlah nanti...!" Demikian kata-kata beberapa orang Melyu di Cembung dan Linggi yang saya temui. Saya terkejut dengan kenyataan ini. Tetapi inilah yang kami dengar ketika berada di serambi sebuah rumah kenalan lama selepas berhenti sembahyang asar di sebuah surau di sana. "Isa Samad dan Mahathir sudah tersilap langkah kali ini..." demikian pendapat tuan rumah yang memperlawa kami untuk minum teh petang. "Terlalu banyak peristiwa yang berlaku yang tidak dilapurkan di akhbar perdna tetapi diketahui juga oleh rakyat. Kerana itu rakyat mula menyoal diri mereka. Kenapakah berita sensasi seperti ini dipadamkan? Apakah ini tujuan sebenar pihak pembangkang tidak dibenarkan menerbitkan akhbar sendiri? Kenapakah Mahathir mahu menyekat kita membaca khbar yang bebas?"

Orang Melayu Teluk Kemang memang tidak sama dengan orang Sanggang. Satu ketika dulu orang di Sanggang terpaksa dilekakan untuk menerima ribuan pendatang daripada negeri lain sebagai tetamu. Mereka diberi imbohan untuk melayan tetamu yang datang dan kemudiannya dibawa terus ke tempat mengundi untuk memangkah UMNO. Taktik yang sama dilakukan kali ini tetapi, pihak BA sudah ada jawapannya.

Ada satu peristiwa yagn berlaku di seluruh negara yang tidak dilapurkan oleh akhbar perdana akan kesannya. Satu pengumuman tenang penarikan biasiswa kepada pelajar matrikulasi yang 'kurang layak' telah mencetuskan satu gerakan bantahan yang menakutkan. Di beberapa pusat pengajian ada pelajar yang membakar tilam, ada pula yang merosakkan harta benda sebagai bantahan. Semua ini tidak dilapurkan. Kerajaan Mahathir telah menarik balik peraturan baru itu dan mengekalkan peraturan yang lama. Tetapi, keadaan masih belum reda kerana banyak pusat pengajian aygn melaksanakan kursus metrikulasi ini tidak pun mempunyai kelengkapan yang secukupnya. Sebagai contohnya ialah di Senaling, Kuala Pilah. Ramai pelajar yang berhenti kerana makmal yang belum lengkap dan kemudahan yang belum selesa. Semua ini tidak diberitahu kepada umum kerana kerajaan Isa Samad pasti akan merasa malu. Keadaan seperti ini tidak mudah ditutup kerana ia laksana menutup bangkai gajah dengan nyiru sahaja. Begitulah juga halnya dengan keadaan para penghuni pusat serenti di Jelebu yang sedang bergelora.

Ramai orang Melayu berpendapat, kali ini Isa Samad akan mengharungi zaman yang sukar yang akan menandakan kemerosotan kepimpinan UMNO di Negeri Sembilan. Walaupun Hisyamuddin Onn berbangga dengan sikap para anggota Majlis Tertinggi Pergerakan yang berkampung di Teluk Kemang sejak hari penamaan calon dulu, orang Melayu di Teluk Kemang tidak mudah terpikat dengan segala gelagat itu. Yang penting kepada mereka sekarang ialah masadepan Bangsa Melayu. Mereka tidak mudah lagi dipancing dengan slogan Melayu Baru, Bangsa Besar adalah Bangsa Yang Sabar dan sebagainya itu. Apatah lagi dengan selogan "Kini, dan Selamanya....!" Orang Melayu Teluk Kemang sudah bersedia melakukan satu pembaharuan yang akan mengejutkan.

Selama satu minggu saya berada di Teluk Kemang, saya memang merasakan kelainan di antara suasana pilihanraya kecil di Sanggang dengan suasana di Teluk Kemang. Semangat juang yang ditunjukkan oleh perajurit negara sejak zaman orang Melayu menentang pemerintahan British dulu memang semakin ketara, kini. Besar kemungkinan orang Melayu Teluk Kemang akan melakukan satu kejutan yang diluar dugaan penganalis politik.

Pilih Satu Antara Dua

Yang lebih menakutkan kita sekarang apakah impaknya nanti terhadap persekutuan parti-parti komponen BN di Negri Sembilan. Kalau kita lihat keputusan pilihanraya ke-10 dulu, tidak ada parti pembangkang yang menang kerusi parlimen. Malahan ada kerusi negeri yang dimenangi oleh orang bukan Melayu sedangkan majoriti terbesarnya adalah orang Melayu. Semua ini diungkit kembali oleh orang Melayu di Teluk Kemang. Ada seorang teman yang bercerita akan kemenangan BN di Senawang. Cuba lihat kawasan Senawang katanya. Kawasan itu telah dimenangi oleh calon Gerakan tetapi majoriti pengundi ialah 90% Melayu. "Kemenangan seperti inilah yang meyakinkan pemimpin BN kali ini. Mereka sudah terlalu yakin betapa orang Melayu akan memilih calon bukan Melayu selagi mereka datang daripada BN. Tetapi, pisang tidak akan berbuah dua kali...!"

Memang sudah menjadi satu tradisi dalam strategi BN di Negri Sembilan menyogokkan sesiapa sahaja di kawasan di mana majoriti orang Melayu akan mengundi calon BN. Kerana itu mereka yakin untuk menang sekali lagi di Teluk Kemang. Tetapi, kini timbul satu soalan yang didengungkan oleh orang Melayu Teluk Kemang. Orang Melayu Teluk Kemang diminta membuat pengorbanan kali ini. Mereka disuruh berkorban dan membuat ikrar di antara satu sama lain:

Pilih antara satu: "Pangkah Masjid ataupun pangkah Kuil?"

Saya terkejut dengan soalan ini. Bagaimanakah orang Melayu Teluk Kemang boleh terfikirkan soalan seperti ini? Soalan begini adalah lebih berbahaya daripada soalan:

"Pilih antara dua: Pangkah si Pembolot ataupun si Pembelot....?"

Apakah pula pilihan anda?

Teluk Kemang
-Marhaintua-
5 Jun, 2000.
(Dikirim Melalui Cybercafe)


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com