Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


YANG MELATAH DAN MELATA

Memang sudah menjadi lumrah alam setiap kali diadakan pilihanraya kecil, parti yang memerintah mampu menunjukkan segala kekuatan untuk menumpaskan pembangkang yang cuba menentangnya. Inilah yang berlaku di Teluk Kemang. Barisan Nasional mampu menunjukkan taringnya untuk memperlekehkan Barisan Alternatif.

UMNO sebagai tonggak Barisan Nasional memang menyerlah kerana semua kuasa agensi kerajaan yang diarahkan turun padang untuk membantu. Di mana saja kita pergi terdapat pelbagai bentuk ceramah (dikatakan berjumlah 615 ceramah semuanya) yang diadakan. Hampir semua majlis ceramah itu menggunakan kemudahan kerajaan. Inilah penyelewengan terang-terangan yang dipertunjukkan oleh UMNO dan Barisan Nasional dalam usaha mereka meraih sokongan pengundi Teluk Kemang.

Dua hari yang lalu, telah diadakan satu pesta air Program Rakan Muda yang dipelopori oleh Pemuda UMNO. Hisyamuddin Onn muncul di hari penutup majlis itu. Yang menghadiri majlis penutup tidak lebih daripada lima puluh manusia, tetapi gahnya tidak terperi. Hisyamuddin Onn muncul di majlis itu dengan iringan pemuda Barisan Nasional yang mengibarkan bendera besar Barisan Nasional. Semua orang tahu program Rakan Muda adalah program kerajaan untuk golongan muda-mudi di negara ini tanpa mengambil kira fahaman ideologi kepartian mereka.

Malahan di tahap muda itu, golongan yang masih mentah tidak seharusnya didorong ke arah dunia politik. Tetapi, oleh kerana Rakan Muda itu dipolitikkan oleh BN, kita dapati tidak banyak manfaat yang diraih oleh generasi muda di negara ini. Program yang dirancang sejak Ghani Othman melancarkannya dulu, kini banyak yang sudah terbengkalai sehinggakan golongan muda tertanya-tanya apakah sebenarnya matlamat program itu. Bayangkan, lebih tujuh puluh juta Ringgit Malaysia telah dibelanjakan untuk bahagian pengiklanan program itu.

Seorang anak muda Teluk Kemang telah memainkan satu tape rakaman ucapan Hisyamuddin Onn kepada kami. Dia merasa jengkel dengan ucapan Hisyamuddin Onn yang memang secara lantang menyatakan "betapa gahnya UMNO sebagai satu parti keramat." Memang teman-teman saya ketawa besar mendengarkan ucapan Hisyamuddin itu dan ada pula yang berkata: "Eleh....budak hingusan, aku kenal sangat dia semasa bapanya menjadi Timbalan PM dulu. Dia lupa betapa Mahathir adalah manusia yang telah memperlekehkan bapanya.....!"

Kita tidak mahu berbincang akan ucapan Hisyamuddin Onn kerana ia tidak penting bagi artikel ini, seperti tidak pentingnya Hisyamuddin Onn dalam percaturan politik besar Malaysia di masa-depan. Hisyamuddin telah naik bertapak dalam arena politik kerana nama datuk dan bapanya. Setidak-tidaknya Mahathir masih bagi muka kepadanya sebagai satu topeng menunggukan ketikanya untuk beliau meletakkan anaknya di tempat Hisyamuddin itu nanti. Inilah yang memang kita awasi masa kini. Kita memang sudah lama nampak akan strategi ini. Cuma Hisyamuddin pura-pura tidak tahu ataupun tidak kisah akan hal itu kerana dia sebenarnya tidak punyai banyak pilihan.

Tetapi, orang Teluk Kemang tidak puas hati dengan Hisyamuddin kerana beliau tidak berjaya menunjukkan ketokohan seorang pemimpin pergerakan pemuda parti. "Apa gunanya menaja program pesta air, kalau pantai di mana terletaknya Mayangsari Beach Resort masih penuh dengan kaca dan botol yang pecah?" tanya seorang peniaga ais krim yang menjaja di situ. Kami pergi ke tempat yang dikatakan oleh peniaga ais krim itu dan berjalan-jalan di pantai Batu Empat menuju ke arah satu batang pokok yang menandakan kawasan Mayangsari Beach Resort.

Di zaman orang putih dulu, tempat itu disebut 'Magnolia Beach'. Memang di kawasan yang dikumpulkan belia berpesta air itu masih terdapat tin sardin berkarat, kaca botol yang pecah malahan terdapat juga besi keluli daripada batang simen yang sengaja dikumpulkan di tempat itu. Semua itu memang tidak kelihatan di air pasang. Bila air surut memang amat terserlah segala bahaya itu. Sayang sekali, sepatutnya program pertemuan rakan muda berpesta air itu telah digunakan untuk mengutip segala perangkap berbahaya di dasar pantai di situ untuk menyenangkan para pengunjung bersantai di tempat itu. Tetapi, pertemuan itu bukannya dianjurkan untuk tujuan itu.

Memang begitulah caranya UMNO dan BN menaja pertemuan dengan para penduduk di Teluk Kemang. Projek kerajaan sengaja diada-adakan untuk membolehkan semua pemimpin kerajaan berkumpul untuk berkempen di Teluk Kemang. Dengan itu mudah sekali digunakan segala pasaran pengurusan yang disediakan oleh pihak kerajaan. Yang paling mudah sekali ialah kerja menggerakkan van jabatan penerangan untuk kemudahan para pemimpin berucap. Kalau dihitung akan bilangan van penerangan di Teluk Kemang kali ini, kita sudah mampu mengagak berapa banyak van yang dibawa masuk daripada ibu pejabat dan negeri-negeri lain untuk tujuan berkempen itu. Malahan ada seorang teman yang mengingatkan saya kepada ratusan pegawai pemeriksa lesen radio dan TV yang sudah ditukarkan tugas mereka setelah dihentikan kerja-kerja memeriksa lesen itu. "Kemanakah agaknya inspektor lesen TV dan radio dulu?" tanya beliau.

Memang kita tidak pernah diberitahu apa yang terjadi kepada pegawai pemeriksa lesen dulu. Apa agaknya yang terjadi kepada mereka. Apakah mereka juga sudah diserap ke dalam Biro Tata Negara ataupun menjadi pegawai khas di kementerian penerangan? Semua ini memerlukan belanja kerajaan yang pada asasnya merupakan wang rakyat, tetapi sehingga hari ini kita masih belum tahu apa yang terjadi kepada mereka. Inilah dasar kerajaan Mahathir yang tidak pernah mahu berterus terang dengan rakyat, kerana rakyat adalah segolongan insan yang disamakan dengan haiwan juga, gamaknya.

Orang Teluk Kemang Yang Dihinakan

Kempen politik memang semakin memuncak. Kita sudah melihat betapa Rafidah Aziz pun turut berada di Teluk Kemang untuk berkempen. Kali ini dia turun untuk mengagihkan derma kerajaan kepada golongan yang dikira miskin di Kampung Arab. Kampung ini terletak di sebahagian pekan Port Dickson. Pada asalnya ada sebahagian besar penduduk Kampung Arab ini yang merupakan tuan punya tanah di sekeliling Kota Lukut. Inilah tuan tanah rezab Melayu yang telah diberikan pampasan untuk melepaskan tanah nenek moyang mereka di Lukut itu dan berpindah ke kampung ini yang berdekatan dengan Kilang Penapis Minyak.

Orang Port Dickson ketawa besar dengan gelagat Rafidah. Memang mereka tahu pelbagai nama yang telah diberikan kepada Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu. Semua nama itu memang tidak layak ditulis di sini. Memadailah kita merakamkan sikap penduduk tempatan terhadap Rafidah sahaja.

Rafidah telah memberi nasihat kepada penduduk Teluk Kemang agar bersabar dengan tindakan kerajaan menangani masalah pampasan kepada penternak khinzir. Kerajaan sedang membuat perancangan yang paling saintifik untuk melancarkan projek ternakan khinzir terbaru, bukan semacam Terengganu yang bersedia memberikan kemudahan ternakan itu tanpa memikirkan kesannya. Rafidah telah berucap panjang di hadapan ahli wanita UMNO Teluk Kemang. Tetapi tajuk ucapannya ialah mengenai ternakan khinzir. Dia cuba memperlekehkan kerajaan PAS di Terengganu, seolah-olah tidak ada para saintis di kalangan ahli parti PAS yang mampu mengetahui selok belok ternakan haiwan.

Yang Mudah Melatah

Oleh kerana kempen UMNO dan BN bukan merupakan sesuatu yang melambangkan keinginan para pelawat untuk berucap dengan penuh semangat, kita nampak betapa ramai para pemimpin UMNO yang datang setakat melepaskan batuk di tangga. Rafidah telah berkempen dengan menggunakan isu Anwar dipenjarakan. Baginya KeADILan berkempen di Teluk Kemang sebagai usaha untuk memperjuangkan nasib Anwar Ibrahim yang terpenjara. Rafidah telah membuat fitnah lagi.

"Saya telah diberitahu betapa anak perempuan Anwar Nurul Izzah telah menangis untuk menarik simpati para pengundi." Pandai sekali Rafidah bermain kata-kata. "Saya telah diberitahu....!" demikian awalan fitnahnya. Begitulah juga satu ketika dulu di London apabila dia mengatakan betapa mata lebam Anwar itu adalah kesan membengkam yang dilakukan oleh Anwar dengan menggunakan gelas minuman yang disediakan di bilik penjara. Inilah sikap seorang pemimpin pergerakan wanita Melayu di alaf baru. Inilah sikap kurang ajar seorang perempuan yang bergelar nenek, tidak kiralah samada dia seorang isteri ataupun janda. Sikapnya itu memang menjijikkan. Rafidah memang biadap ketika bersua muka dengan ahli wanita UMNO kerana itu memang sudah menjadi darah dagingnya sejak memimpin wanita UMNO. Dia berlagak kerana diberi ruang oleh golongan lelaki dalam UMNO kerana memikirkan dialah wanita Melayu pertama yang amat pakar dengan ekonomi negara. Apatah lagi bila Rafidah mempunyai pertalian keikraban yang baik dengan seorang diktator tua.

Tetapi, gelagat Rafidah bersuara lantang seolah-olah memperlekehkan pemimpin wanita UMNO Teluk Kemang. Mereka masih lagi tidak serasi dengan beliau setelah memperlihatkan caranya memperlekehkan Nafsiah Omar satu ketika yang baru berlalu. Apabila Rafidah memperlekehkan kaum wanita Teluk Kemang, sekaligus dia sudah memperlekehkan parti UMNO Teluk Kemang dan secara spontan dia mencetuskan suasana bercelaru di situ. Rafidah tentu sudah tahu betapa keadaan UMNO di Teluk Kemang sedang bergelora kerana perpecahan dalaman yang semakin ketara. Apabila beliau memperlekehkan cara parti KeADILan berkempen beliau sebenarnya menghina kaum wanita UMNO Teluk Kemang. "Saya amat berharap agar pengundi wanita Teluk Kemang tidak mengeluarkan air mata bersama pemimpin pembangkang. Mereka melakukan semua itu kerana menangiskan nasib Anwar Ibrahim bukannya nasib negara." Demikian sindiran tajam daripada mulut seorang pemimpin yang memang terkenal kerana keceluparannya.

Rafidah cuba mempertahankan mendiang S. Anpalagan yang dikatakan oleh parti pembangkang tidak pun berjasa apa-apa kepada golongan orang Melayu Teluk Kemang. "Itu adalah satu perkara yang tidak benar," kata Rafidah. "S. Anpalagan tidak dapat mengotakan janjinya kerana dia telah mati sebelum mampu melakukan sesuatu yang bermakna."

Orang Melayu Teluk Kemang ketawa besar dengan kenyataan itu. Nampak sangat Rafidah cuba memandai-mandai daripada mereka yang telah memangkah kertas undi untuk memenangkan S. Anpalagan dulu. Tetapi, apakah yang boleh diharapkan daripada mulut yang celupar. Bukankah ini juga mulutnya yang mengatakan dia tidak ada di majlis yang meluluskan saham-saham mewah kepada menantunya? Bukankah ini juga mulut yang celupar yang mengajak rakyat memilih seorang wakil rakyat yang betul-betul berjiwa rakyat agar nasib bangsa akan terbela?

Gelagat pemimpin BN terutama sekali UMNO adalah satu sikap untuk melindungi perkara yang besar-besar. Mereka hanya mampu membincangkan hal JE kerana itu merupakan satu isu besar yang menjadi dongeng nasional. Selain dari itu mereka lebih rela membincangkan perkara segelintir ahli KeADILan yang keluar parti itu dan masuk semula parti UMNO.

Dalam keghairahan 'menelanjangkan' isu pembelotan ahli-ahli BA itu mereka terlupa isu sebenarnya. Hampir semua ahli KPN (KeADILan) yang belot masuk semula UMNO tanpa perlu mengisi borang permohonan keahlian yang baru. Mereka sebenarnya tidak pernah keluar daripada UMNO. Apakah kesan memburukkan pembelotan itu kalau bukan satu usaha yang menjijikkan yang hanya mampu dilakukan oleh manusia yang melatah hingga sanggup melata.

Inilah gelagat para pemimpin UMNO yang kita nampak aktif di Teluk Kemang. Mereka sebenarnya kehilangan punca bagaimana mahu menolak usaha pihak pembangkang memenangi pilihanraya kecil Teluk Kemang. Isa Samad dan juga pemimpin UMNO Negeri Sembilan sebenarnya adalah laksana peninju tua yang diasak di satu sudut oleh peninju muda yang masih bertenaga dan lebih pintar membaca gerak geri lawan. Mereka sedang lelah dan mengah kerana diasak.

Terbogelnya Kepimpinan Isa Samad dan BN di Negeri Sembilan

Seorang duta asing pernah bertanya seorang kawan apa ertinya: "Isa 'S' is getting shorter everyday....!" Teman saya ini pun kebingungan dengan soalan orang asing yang sudah lama bertugas di negara ini. Soalan itu merupakan satu sindiran tajam oleh orang bukan Melayu yang bertutur dalam Bahasa Inggeris. Kalau diterjemahkan secara kasarnya tentulah kenyataan itu berbunyi: "Isa 'S' semakin pendek sekarang ini....!"

Yang sebetulnya, Isa Samad sedang dihenyak oleh pelbagai masalah sekarang ini. Tetapi, apakah yang Isa Samad selalu laungkan? Dia kata: "Pihak pembangkang tidak ada isu dalam pilihanraya ini kerana itu mereka berbuat fitnah." Inilah kenyataan yang akan menghukum Barisan Nasional di Teluk Kemang. Sebenarnya pilihanraya Teluk Kemang sudah menjadi satu pentas di mana kepimpinan Isa Samad sebagai peneraju BN di Negeri Sembilan sedang dibogelkan sehinggakan Isa Samad seolah-olah kehilangan pakaian hariannya. Oleh kerana pilihan raya kecil Teluk Kemang ini merupakan satu medan percaturan politik yang akan digunakan sebagai 'test-bed' bagi persiapan pemilu ke-11 nanti, kita dapat lihat pelbagai taktik memalukan pihak lawan sedang dicuba oleh pihak BN di Teluk Kemang. Isu pemimpin PKN yang keluar parti adalah satu isu yang dibesarkan secara sengaja. Sekaligus, UMNO memikirkan isu itu boleh membantu mereka menang di Teluk Kemang.

Untuk satu waktu yang panjang, Isa Samad memang sinonim dengan perkataan UMNO Negeri Sembilan. Ia menikmati kemuncak populariti di pemilu ke-10 yang lalu, di mana pun puak lawan tidak mampu menggugat UMNO dan Isa Samad. Tetapi, Teluk Kemang kini menjadi satu medan pertempuran politik di mana pelbagai 'shortcomings' ataupun kelemahan pemerintahan UMNO era Isa Samad sedang didedahkan, satu persatu, sedikit demi sedikit; menyegarkan minda serta menggegarkan jiwa. Sekaligus, kepincangan pentadbiran UMNO di Negeri Sembilan adalah satu lambang kepincangan pentadbiran negeri-negeri yang lain yang diterajui oleh UMNO. Kita baru sahaja tahu bagaimana Melaka kehilangan sejumlah wang yang besar tanpa dapat dikesan. Bayangkan apabila wang berjuta-juta ringgit boleh lesap begitu saja. Bolehkah dipercayai itu semua, seolah-olah Puteri Gunung Ledang mampu menghantar jin afrit mencurinya?

Lesapnya Tanah Rakyat di Negeri Sembilan

Isa Samad kata, tidak ada isu untuk ditonjolkan oleh parti pembangkang seolah-olah kerajaan pimpinannya bersih lagi bersih dan putih lagi putih. Tetapi orang Negeri Sembilan tahu apa sudah jadi dengan banyak tapak tanah yang sepatutnya dinikmati rakyat. Lihat dulu apa yang terjadi kepada Sekolah Menengah KGV. Sekolah itu menjadi kontroversi kerana adanya kawasan seluas 22 ekar yang mahu diambil alih oleh kerajaan Isa Samad. Untuk apa, kalau bukan untuk pembikinan hartanah.

Memang Isa sudah menukar status banyak padang permainan di Seremban untuk hartanah. Kerana itu kita lihat standard kesukanan orang Seremban, terutamanya sudah menurun. Apa yang terjadi kepada padang Sekolah ACS (Anglo Chinese School), padang awam di Jalan Dato Siamang Gagap yang sudah menjadi pusat beli belah dan beberapa lagi padang yang dibuat untuk tujuan yang sama. Sebagai gantinya dibinalah stadium besar di Paroi dan satu lagi bersebelahan Makro di Seremban 2. Tetapi, siapakah yang mampu untuk pergi ke tempat jauh-jauh itu? Lihat apa jadi dengan lapan gelanggang tenis di Paroi, adakah sesiapa yang menggunakannya?

Orang Melayu dan Jawa yang pernah tinggal di Temiang tentu masih ingat bagaimana mereka dialihkan daripada kawasan rezab Melayu di sekitar tapak Sekolah Chiwah. Semua itu atas nama pembangunan.

Tindakan merampas tanah rezab atas nama pembangunan merupakan satu taktik yang dilakukan oleh hampir setiap pemimpin UMNO di seluruh negara. Kita belum ambil kira bagaimana tanah rezab orang Asli dikelentong atas nama pembangunan. Semua ini dilakukan kerana kerakusan pihak yang berkuasa. Kini golongan yang sama cuba mengalihkan perhatian orang Melayu daripada isu itu. Mereka tidak mahu melihat kelemahan orang Melayu bersukan kerana semakin berkurangnya padang dan kemudahan bersukan yang percuma. Mereka tidak mahu melihat betapa orang Melayu semakin kehilangan tanah untuk bercucuk tanam secara percuma Mereka tidak mahu melihat kenapa ekonomi orang Melayu mundur kerana putar belit mereka. Apakah yang mereka fikirkan sekarang? Yang mereka tonjolkan sekarang orang Melayu mesti progresif dan berwaspada dengan anasir yang "mahu memporak-perandakan bangsa." Dalam hal ini mereka mula mencuit perasaan seperti mahukan perkataan Islam dikeluarkan daripada nama-parti PAS. Inilah kelentongan mereka.

Inilah pemimpin yang sibuk dengan slogan kerana pemerintahan UMNO selama ini adalah berasaskan slogan dan cogankata-semata-mata. Mereka sudah melatah jauh selama ini. Kini mereka sedang mengheret bangsa Melayu itu ke satu kancah kekeliruan untuk melata, pula.

-Marhaintua-
7.6.2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com