Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


YANG MELANTAK DAN YANG MELENTOK

Suasana kempen pilihan raya di Teluk Kemang sudah sampai ke penghujungnya. Tetapi, apakah yang dipelajari daripada semua acara berkempen itu yang dapat dijadikan iktibar dan pedoman untuk masa depan?. Tentu banyak sekali, kerana proses berkempen adalah satu suasana di mana segenap lapisan rakyat berinteraksi secara berpesta. Itu pun kalau semua pihak yang terbabit memahami semangat kempen pilihan raya. Jika tidak, bercelarulah suasana itu.

Kalau diambil kira semua fakta yang ada, Ruslan Kassim masih mempunyai peluang 50:50 untuk menang. Kalau kemenangan itu berjaya diraihnya bererti ia merupakan satu 'upset' di luar jangkaan semua peramal dan penganalis yang ada. Malahan, presiden seumur hidup UMNO pun akan terkejut besar, seandainya Ruslan Kassim menang nanti.

Tetapi, Ruslan Kassim sendiri mungkin sudah faham kenapa kemenangan itu amat sukar hendak digapainya. Terlalu banyak halangan dan hambatan yang sudah disiap pasang untuk memudahkan Ruslan menang dan kita akan membincang segala hambatan itu untuk renungan bersama.

a) Orang Cina Tidak Mahu Ruslan Menang

Berita terkini yang kita terima menunjukkan bahawa majoriti orang Cina sudah bertaruh besar bahawa Ruslan Kassim akan kalah dengan majoriti yang melebihi 10,000 undi. Inilah yang dipertaruhkan sejak bermulanya kempen pilihan raya kecil di Teluk Kemang. Inilah juga yang berlaku di satu ketika dulu ketika Chen Man Hin cuba bertanding dengan tiket DAP. Orang Seremban dan kaum Cina daripada bandar lain sudah bertaruh besar yang beliau akan kalah lebih daripada 3,500 undi. Memang besar pertaruhan ketika itu.

Kali ini, situasi yang sama berulang kembali. Kali ini angka pertaruhan adalah berdasarkan undi majoriti yang dimenangi. Angka 10,000 menjadi angka keramat pula. Selalunya apabila orang perniagaan sudah bertaruh besar terhadap sesuatu fenomena yang membabitkan keputusan pilihan raya mereka akan berkerja keras untuk menentukan mereka capai matlamat pertaruhan mereka. Kerana itu kalau kita tanya kebanyakan orang Cina akan peluang Ruslan Kassim untuk menang, ramai yang akan memberikan reaksi yang negatif seolah-olah mereka pakar dalam analisis pilihan raya. Sedangkan tujuan sebenarnya ialah untuk memperkuatkan pertaruhan mereka.

Kita mudah keliru dengan gelagat kaum ini yang memperlekehkan Ruslan Kassim. Mereka tidak pula mahu membuat perbandingan di antara Ruslan dengan calon MIC-BN. Perbandingan semacam itu tidak penting bagi mereka. Yang penting ialah, Ruslan "sepatutnya bertanding atas tiket BN dan bukan Barisan Alternatif". Jawapan seperti itu hanya didengar apabila saya katakan betapa "di Negeri Sembilan seorang peniaga daging lembu boleh menjadi speaker Negeri". Pada mulanya ramai orang Cina yang cuba memperlekehkan Ruslan daripada kelulusannya dengan mengatakan calon MIC mempunyai ijazah sarjana sedangkan Ruslan hanya kelulusan undang-undang sahaja. Tetapi apabila kita beritahu mereka bahawa Ruslan pun mempunyai ijazah undang-undang di London, baru mereka senyap dan cuba mencari kelemahan di tempat lain.

Kemudian muncul cerita saham Telekom di Maika Holdings dan juga peranan calon MIC itu dalam episod tersebut. Ada orang UMNO dan MIC yang naik radang dalam hal ini. Mereka cuba mempertahankan S.Solinatan dalam episod ini dengan mengulang cabaran Samy Vellu untuk mengambil tindakan undang-undang. Saya dan kawan-kawan telah mengajak mereka bertenang dan cuba meredakan keadaan dengan mengajak mereka menilai martabat sistem undang-undang negara masa kini. Apabila diungkit betapa Rafidah Aziz yang sepatutnya didakwa di mahkamah boleh terbatal di atas arahan seorang perdana menteri, barulah orang itu senyap sedikit. Mereka terus senyap apabila kami ceritakan pula kisah tilam bertompok tiga belas yang diusung setiap hari ketika kes Anwar Ibrahim dibicarakan. Kita ungkitkan pula hal Roslan yang pernah tidur di lokap polis.

Pada lazimnya orang Cina memang amat menghormati seseorang yang sanggup berjuang untuk rakyat dan sanggup keluar masuk lokap polis kerana perjuangan itu. Tetapi, dalam hal yang dialami oleh Ruslan Kassim, itu mereka seolah-olah membuat pengecualiannya. Dari situlah baru terbongkar rahsia betapa satu pertaruhan yang besar telah dirancang di tahap awal lagi. Dari situ juga kita dapat tahu rupanya pertarungan yang memihak kepada calon MIC-BN ini adalah satu taktik yang halus agar Ruslan Kassim tumpas akhirnya.

b) Taktik Lama Yang Diperbaiki Semula

Kalau kita amati betul-betul strategi yang digunakan oleh BN kali ini, banyak sangat strategi lama yang telah mereka perbaharui dan gunakan semula di Teluk Kemang. Di tahap awal mereka anjurkan agar beberapa pemimpin kaum India keluar daripada PKN (KeADILan) untuk menubuhkan parti serpihan PKN dan meminta agar mereka diberi mandat untuk melawan calon MIC-BN. Bukankah ini seperti penubuhan PAS-Baru di Kelantan dan Terengganu satu ketika dulu? Di waktu yang sama, semua bentuk terbitan yang diuruskan oleh parti pembangkang telah dikenakan sekatan dan hambatan yang tidak munasabah. Majalah DETIK merupakan mangsa pertama. Kemudian disusuli pula oleh HARAKAH yang terpaksa dikurangkan keluarannya. Tidak lama selepas itu EKSKLUSIF pula menerima padahnya.

Fitnah di akhbar perdana, TV dan radio telah dirancang secara bersepadu. Ini memberikan ruang untuk BN menghentam parti pembangkang tanpa ada peluang untuk melawan balik. Mujur ada internet. Tetapi secara kebetulan pula (saya ingin mengambil sikap ini, buat kali ini) berlaku proses tafakur di kalangan pengendali laman web. Perkara ini mendapat perhatian yang besar di kalangan pemimpin BN terutama sekali pihak UMNO. Yang lucunya ada beberapa fenomena yang belum berlaku sudah dapat diramal dengan tepat oleh pemimpin UMNO itu. Sebaik sahaja pengendali laman web tertentu bertafakkur ada pemimpin UMNO yang meramalkan adanya beberapa pemimpin PKN yang 'akan meletakkan jawatan dan melompat masuk UMNO'.

Belum pun sempat masyarakat Melayu menyedari keseluruhannya akan impak tindakan bertafakur itu sudah muncul gambar Presiden UMNO bersalaman dengan seorang pemimpin bawahan Pemuda PKN. Bayangkan seorang presiden UMNO sanggup bersemuka dengan seorang pemimpin bawahan parti lawan yang mahu belot?

c) Memperbaiki Janji Lama

Memang menjadi kebiasaan, setiap kali muncul pilihanraya kecil, segala janji politik yang dibuat di zaman lampau menjadi ungkitan. Kalau janji lama itu tidak tertunai, alasan yang dikira masuk akal perlu direncana untuk memujuk para pengundi semula. Inilah yang berlaku di Teluk Kemang. Pada orang India di ladang, janji menyediakan keadaan hidup yang lebih selesa mula diperbaharui, sedangkan itulah janji yang dibuat oleh Samy Vellu sejak lebih dua puluh tahun yang lalu.

Begitu juga dengan kaum Cina. Mereka yang masih menunggu pampasan di atas episod JE, masih lagi menunggunya walaupun tanah kubur yang menyimpan sanak-saudara dan rakan-taulan yang terkorban oleh sebab JE dulu sudah lama bertukar warna. Mengikut janji lama, segala pampas "akan tertunai sebelum berkokoknya ayam di alaf baru." Kini, ayam yang dimaksudkan untuk berkokok itu sudah pun lama mati terkena jangkitan JE, dan alaf baru sudah semakin menghampiri tahun 2001, pampasan itu masih di tahap janji juga. Yang lucunya orang yang mengetuai kumpulan membuat janji itu sudah pun melakukan perletakan jawatannya sebagai presiden parti dan disuruh pula bercuti untuk menukar hasrat itu. Pertukarannya itu memang tidak ada kena mengena dengan pampasan JE, ia semata-mata berkaitan dengan nasib masa depan keluarganya.

Orang Melayu pula masih ingat lagi betapa Isa Samad berbuat janji bahawa calon MIC-BN di pemilu ke-10 yang lalu adalah calon terakhir daripada kaum India bagi pilihanraya kawasan Teluk Kemang kerana pada masa yang lalu orang Melayu tidak banyak menerima bantuan dalam pengorbanan itu. Kini, janji itu bukan lagi tinggal janji dan pengorbanan Melayu dulu itu bukan sahaja tidak ada pampasannya yang memuaskan, kini mereka disuruh berkorban lagi. Orang Melayu Teluk Kemang disuruh bersyukur banyak-banyak kepada pemimpin UMNO dan diminta berkorban sekali lagi memangkah calon MIC.

Kali ini permintaan untuk berkorban sudah disaluti dengan janji yang lebih manis lagi. Menteri Pelancungan meminta orang Melayu agar terus berkorban kalau mahu projek pembangunan Port Dickson mengikut apa yang dirancangkan oleh Kerajaan Persekutuan. Orang Melayu Teluk Kemang dianggap sebagai kumpulan bangang yang tidak tahu siapakah yang selama ini melabur di Teluk Kemang? Apakah projek pembangunan yang menggunakan wang kerajaan Persekutuan selama ini?

Kenapa UMNO Semakin Gelabah

Sebagaimana yang kita bincangkan selama ini, pilihan raya kecil Teluk Kemang tidak boleh disamakan dengan pilihanraya Sanggang. Di Sanggang dulu, terlalu banyak perkara remeh temeh yang telah diketengahkan oleh pihak Barisan Nasional untuk membuatkan kedudukan strategi BA menjadi kucar-kacir. Lagi pun ketika itu masih terdapat satu semangat keangkuhan di kalangan pihak tertentu dalam BA yang berfikir Sanggang dapat ditawan dengan mudah. Mereka lupa akan kekuatan agensi kerajaan yang diperhambakan oleh UMNO dan BN.

Kali ini, keadaan sudah berubah. Pihak BA memang sedar betapa mereka sudah diasak untuk melatah di tahap awal lagi. Sebelum hari penamaan calon, Barisan Alternatif sudah kucar-kacir. Malahan PKN sendiri sudah dihenyak oleh keadaan yang menggegarkan agar terus berkecamuk. Kita tidak akan bincangkan hal ini sekarang. Boleh tunggu pada malam selepas hari pengundian, Insya-Allah. Memadailah buat setakat ini, UMNO sudah berjaya menabur fitnah merata tempat untuk memperlekehkan Barisan Alternatif terutama sekali PKN.

Daripada peristiwa yang direncana, kita tahu UMNO sedang gelabah. Walaupun semua petanda menunjukkan Ruslan akan kalah, UMNO sedar kemenangan kecil di Teluk Kemang akan memberi malu yang besar kepada UMNO dan Barisan Nasional. Seluruh dunia akan mentertawakan UMNO dan Mahathir Mohammad, kerana sebelum berlepas ke Jepun, Mahathir sudah bersuara lantang dengan angkuhnya betapa BN akan menang lebih daripada 10,000 undi majoriti Siapakah yang memberi congak ini kepada beliau kalau bukan MCA dan MIC? UMNO tentu tidak berani dengan ramalan ini kerana mereka tahu keadaan sebenarnya yang berlaku di kalangan pengundi Melayu masa kini.

i) Orang melayu Yang Diperlekehkan

Saya ingin memetik satu tajuk analisis di Berita Harian bertarikh Jumaat 2 Jun, yang berbunyi:

'Pengundi Teluk Kemang Hanya Ada Dua Pilihan - oleh Magendran Rajagopal.

Antara yang ditulis ialah :

" Selain itu, kemelut dalaman Keadilan yang terpampang di laman web pro-reformasi turut membuktikan wujudnya masalah antara penyokong dan pemimpin parti itu yang dikatakan enggan menerima reformasi dalam pucuk pimpinan. Saranan supaya Timbalan Presiden Keadilan, Dr. Chandra Muzaffar dan Setiausaha Agung parti, Mohd. Anuar Tahir, bersara kerana gagal melaksanakan reformasi yang dilaung-laungkan selama ini kian hari, kian lantang. Lima laman web terbabit iaitu Laman Reformasi, Komentar, Pemantau, Reformasi Black 14, dan Mahafiraun 2020 dikatakan akan membuka ruangan bagi maklum balas pengunjung laman web sebagai langkah menggesa perletakan jawatan kedua-dua mereka.

"Keangkuhan Anwar ternyata apabila membalas saranan itu dengan berkata pemimpin Keadilan tidak perlu menerima arahan atau tunjuk ajar orang di luar parti.

"Jentera sesuatu parti politik perlu berlandaskan keputusan pemimpin yang sewajarnya dipilih oleh anggota parti secara demokrasi menerusi proses pemilihan yang telus bagi memastikan sokongan tidak berbelah bahagi. Tetapi lain pula ceritanya dengan Keadilan di mana Presidennya yang juga isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta pemimpin-pemimpin lainnya memegang jawatan secara lantikan bukannya menerusi mandat ahli."

Kita tidak mahu mengulas panjang akan analisis ini tetapi kita boleh membuat analisis apakah sebenar tujuan tulisan itu? Bandingkan keadaan keadilan sebenarnya yang masih berbentuk setahun jagung dengan MIC ataupun UMNO di mana jawatan pemimpinnya tidak dipertandingkan dan dibrahminkan sahaja. Apakah itu demokrasi? Apakah peraturan itu termaktub dalam perlembagaan parti yang asal? Apakah dosa Chandra Muzaffar sehingga beliau mesti melepaskan jawatannya berdasarkan desakan segelintir manusia yang tidak pun mahu memberi nama mereka sebenarnya? Apakah mereka tidak boleh menunggu majlis persidangan tahunan parti di akhir bulan ini?

Secara kasar kita sudah tahu maksud sebenar kemelut yang terjadi. Soalnya sekarang bagaimanakah UMNO sebuah parti besar sanggup mempolitikkan segala episod yang terjadi itu seolah-olah dunia akan kiamat dibuatnya hingga sanggup menggunakan isu itu dalam kempen pilihanraya?

ii) UMNO Yang Tergugat

Sebenarnya, UMNO sedang terhimpit dan tergugat sekarang ini. Terlalu ramai pemimpin UMNO yang tahu kalau Teluk Kemang jatuh ke tangan PKN, memang ramai pemimpin yang ada akan kehilangan peluang untuk dilantik menganggotai MKT UMNO. Mereka sedar betapa Mahathir sedang menunggu keputusan pilihanraya kecil itu untuk membuat keputusan siapa patut dilantiknya melengkapkan keanggotaan MKT UMNO.

Sejak kempen dimulakan di Teluk Kemang, kita telah lihat beratus pemimpin UMNO dari segenap pelusuk negara telah datang memberikan bantuan tenaga mereka. Pelbagai taktik dan teknik telah diusahakan. Semuanya bertujuan memancing undi. Tidak kiralah apa juga perkataan yang dikeluarkan. Tidak kira juga sama ada segala janji manis yang dikeluarkan itu akan tertunai ataupun tidak akhirnya. Semua yang datang merayu agar orang Melayu khasnya tidak membelakangkan UMNO. Semua pemimpin UMNO cuba membuat janji sambil mengeluarkan beberapa ugutan agar orang Melayu memangkah calon MIC-BN. Bayangkanlah hartawan-hartawan yang dalam kelas bilionair dan bukan lagi milionair yang turun padang meminta orang Melayu memangkah calon MIC. Inilah pemimpin Melayu yang sudah puas melantak selama ini sehinggakan kaya raya tidak terperi mahukan orang marhaen bawahan memenuhi permintaan mereka. Pelbagai cara telah diatur, sehingga ada yang sanggup menyusup masuk secara diam-diam untuk meraih undi. Tiba-tiba pemimpin yang puas melantak selama ini, bertukar sikap menjadi golongan yang datang dengan muka kasihan melentok-lentok meraih simpati. Kenapakah begitu sekali sikap mereka?

Paroi Jaya Dalam Kenangan

Saya percaya semua pemimpin UMNO di Negeri Sembilan masih ingat bagaimana salah satu kubu kuat UMNO jatuh ke tangan PAS. Inilah Paroi Jaya yang telah tumpas ke tangan PAS sedangkan mengikut bancian KEMAS, 65% penduduk Paroi Jaya adalah orang Melayu yang menjadi ahli UMNO. Setelah kalah, peti undi dibuka dan kertas undi diperiksa barulah didapati 68% undi orang Melayu telah pergi kepada PAS. Yang lebih mengaibkan, ramai pemimpin UMNO termasuk seorang exco tidak pun mengundi pada hari itu sebagai protes terhadap kepimpinan seseorang yang berkepentingan di negeri itu.

Orang Melayu Paroi Jaya telah melakukan apa yang tidak pernah terfikir oleh Isa Samad dan pemimpin UMNO Negeri Sembilan. Mereka lakukan 'Mission Impossible' ini kerana kesedaran bahawa Paroi Jaya akan terus membangun juga walaupun kuasa perwakilan sudah bertukar parti. Apakah kemungkinannya perkara yang sama akan berulang sekali lagi ? Mungkinkah perkara yang serupa dilakukan oleh orang Melayu di Teluk Kemang, setelah mereka menyedari betapa Teluk Kemang akan terus membangun tidak kira siapa yang akan menjadi wakil rakyatnya?

Menyedari segala kemungkinan ini makanya kita lihat penekanan dibuat agar beberapa pemimpin PKN diajak keluar parti itu di saat-saat genting ketika Ruslan Kassim sedang bertarung di Teluk Kemang. Apakah usaha menarik keluar para pemimpin muda PKN itu dapat membusukkan parti mereka? Ataupun apakah usaha itu akan menyerlahkan betapa jijik dan kotornya taktik UMNO selama ini?

Apabila Melayu Teluk Kemang Diperbodohkan

Sebarang usaha menarik ahli dan pemimpin PKN di saat terakhir kempen dan membesarkan isu itu oleh UMNO dan BN akan menyerlahkan betapa jijiknya taktik UMNO dan BN. Kalau kita lihat cara parti politik besar di dunia ini berkempen, sebarang usaha menarik ahli daripada parti lawan dianggap sebagai satu kerja jijik yang menyerlahkan ketandusan idea berpolitik secara matang. Tetapi, nampaknya perkara ini tidak diberikan titik berat oleh UMNO sebagai pendokong Barisan Nasional.

Kita sudah melihat bagaimana MIC berpecah kepada beberapa parti politik serpihan. Siapakah yang menjadi mangsanya kalau bukan kaum India itu sendiri. Apakah dengan perpecahan dan kewujudan parti serpihan itu kaum India mampu maju lebih ke hadapan daripada yang dijangkakan? Kita sudah lihat betapa masyarakat kaum India merupakan masyarakat tercorot di negara ini kerana kerapnya berlaku perpecahan dalam parti. Masyarakat India telah terjebak ke dalam satu muslihat politik yang diterajui oleh Samy Vellu sehinggakan cara hidup kaum India banyak bergantung kepada usaha mereka sendiri dan tidak kepada usaha kumpulan oleh MIC. Inilah cara hidup yang berasaskan slogan dan cogankata politik yang ditablakan setiap hari.

Kini, orang Melayu dapat melihat keadaan sekelilingnya dan membuat perhitungan apakah bezanya cara hidup orang Melayu itu dengan majoriti masyarakat kaum India? Memang tidak banyak bezanya kerana orang Melayu secara keseluruhannya telah dibuai mimpi yang molek-molek oleh satu golongan pemimpin Melayu yang sudah puas melantak khazanah negara untuk tujuan tembolok masing-masing. Lihat sahaja di Lukut dan Bukit Pelanduk, apa yang terjadi kepada masyarakat Melayu yang merana disebabkan episod JE? Apakah mereka tidak kehilangan ayam itik, lembu dan kambing? Satu ketika dulu ada perkampungan Melayu yang halamannya dibanjiri dengan taik babi. Tidak ada yang dapat diperbaiki kerana mereka dipinggirkan. Kini, apakah undi mereka tidak sama nilainya dengan undi kaum lain di Teluk Kemang?

Pertarungan politik yang membabitkan Barisan Nasional dan UMNO kini bergantung harap yang besar kepada kebijaksanaan orang Melayu di Teluk Kemang. Walaupun pelbagai ramalan telah dibuat bahawa calon BA akan kalah, kita tahu ramalan itu adalah berdasarkan kehendak golongan manusia yang bertaruh besar dalam perjudian. Sebahagian besar insan yang berjudi ini tidak pun mempunyai kesetiaan kepada mana-mana parti politik. Kesetiaan mereka hanya kepada wang yang dipertaruhkan dalam perjudian itu. Mereka tahu, kalau Ruslan kalah pun bukannya Ruslan akan terus berhenti daripada berpolitik. Malahan KeADILan pun tidak akan lenyap dari muka bumi ini. Mereka pentingkan kemenangan dalam perjudian mereka dan mereka bertaruh bahawa BN akan menang dengan kelebihan undi majoriti 10,000 undi.

Kerana itu Ruslan Kassim mesti diperlekehkan. Mereka mahu Ruslan kalah kerana mereka mahu melantak kemenangan berdasarkan pertaruhan wang mereka. Perjudian itu haram, sama ada berlesen atau pun tidak . Tetapi, siapakah yang peduli dengan itu semua. Yang pentingnya Ruslan mesti ditumpaskan untuk menentukan UMNO dan pemimpinnya yang ada terus dapat berkuasa.

Inilah faktor yang penting sekarang ini. Yang lain tidak mustahak. Walaupun di Seremban dan sebahagian besar Negeri Sembilan sudah mula diserang wabak 'denggi' penyakit itu belum penting lagi. BN dan UMNO mesti menang di Teluk Kemang dulu.

Demikianlah manusia dengan rencananya. Setiap perencanaan itu ada matlamatnya dan setiap matlamat itu ada alasannya. Dalam dunia politik pencapaian matlamat harus diutamakan tidak kira apa juga jenis alasannya. Hanya orang Melayu di Teluk Kemang yang akan menyedarkan keadaan yang sesat itu. Hanya pengundi Melayu di Teluk Kemang yang akan mencatat sejarah bahawa manusia boleh merancang apa juga, kuasa veto tetap di tangan yang Maha Esa. Kalaulah falsafah ini dapat dipegang oleh pengundi Melayu di Teluk Kemang beserta para pengundi lain yang sedar akan tanggungjawab membasmi kezaliman, Insya-Allah kemenangan akan dicapai oleh Ruslan Kassim jua.

Kalau kita lihat akan trend politik di negara ini akan berlaku banyak lagi pilihan raya kecil selepas Teluk Kemang. Akan terserlah nanti segala kelemahan UMNO dan BN. Lagi banyak pilihanraya kecil, lagi banyak wang yang akan dihamburkan untuk membeli undi dan membeli ahli parti pembangkang untuk belot di saat akhir. Sampai bilakah UMNO dan BN akan melakukan taktik ini? Kawasan pilihanraya kecil di mana orang Melayu adalah pengundi majority memang banyak sekali. Lagi banyak pilihanraya kecil di tempat semacam itu, semakin kecil lagi pengaruh UMNO itu akhirnya.

Masanya akan tiba bila golongan yang sekian lama melantak tidak akan berdaya lagi mempertahankan kuasa di tangan kerana kekayaan yang diraih melalui penipuan dan kelentongan akan menghenyak mereka ke kancah penghinaan akhirnya. Apabila tiba masanya mereka juga akan tergolong ke dalam mereka yang hanya mampu melentok semata-mata. Proses ini sudah tentu dapat dipercepatkan kalaulah semua pengundi Melayu di Teluk Kemang melaksanakan apa yang diharapkan oleh sebilangan besar kaum sebangsanya di seluruh negara. Amin….!

-Marhaintua-
8.6.2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com