Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


BILA TELUK MULA BERKEMANG

(Satu Tribut Kepada Ruslan Kassim dan Penyokong BA Yang Mewarnai Pesta Pilihanraya Kecil Teluk Kemang)

Keputusan pilihanraya kecil Teluk Kemang, telah pun diumumkan. Calon Barisan Nasional telah menang dengan majority 5972 undi berbanding dengan 9942 yang dimenanginya di pemilu-10 dulu. Inilah kemenangan yang memang telah lama diduga oleh semua pihak, termasuk Sdr. Ruslan Kassim calon Barisan Alternatif yang bertanding itu. Bahkan inilah juga keputusan yang memang dijangkakan oleh hampir semua penyokong Barisan Alternatif (yang saya temui di Teluk Kemang), yang datang daripada tempat yang jauh-jauh dari pelusuk negara ini dengan perbelanjaan sendiri. Tentunya kehadiran mereka telah mewarnakan pesta rakyat Teluk Kemang kerana mereka telah mewarnai jalanraya seluruh Teluk Kemang dan pondok-pondok Barisan Alternatif di pintu masuk tempat mengundi.

Ruslan Kassim telah kalah di pilihanraya kecil Teluk Kemang. Tetapi, Barisan Alternatif telah berjaya mengalahkan Barisan Nasional dengan jelas sejelasnya. Inilah satu kenyataan yang pahit terpaksa ditelan oleh Paklah sebagai Pengarah Operasi Kempen, oleh Khalil Yaakob sebagai sutradara kempen dan oleh Isa Samad sebagai penghulu paling sibuk kempen itu. Seluruh ahli Majlis Kerja Tertinggi setiap parti komponen Barisan Nasional harus merasa malu dengan apa yang mereka warwarkan sebagai satu kemenangan. Malahan, ketua agung mereka yang kini berada di Tokyo seharusanya mengambil iktibar daripada keputusan yang diisytiharkan itu. Sebagai diktator tua Barisan Nasional, Dr. Mahathir Mohamad harus sedar bahawa kekalahan tipis Ruslan Kassim adalah satu symbol suara rakyat yang menghantar isyarat betapa zaman kegemilangan Barisan nasional sudah pun di ambang senja. Sekaligus UMNO sebagai tunjang Barisan Nasional sebenarnya sedang hidup dengan mesin bantuan pernafasan (life-supporting system) politik semata-mata.

Tulisan ini adalah satu tribut kepada Sdr.Ruslan Kassim dan kepada semua para penyokong Barisan Alternatif yang telah beusaha untuk mencapai kemenangan di Teluk Kemang. Mereka tidak berjaya kerana kekurangan tenaga. Mereka kalah kepada satu system pilihanraya yang hanya berpihak kepada parti yang memerintah. Mereka kalah kepada satu parti yang menggunakan segala kemudahan kerajaan yang tidak sepatutnya mereka salah-gunakan. Mereka kalah kepada keadaan masa dan suasana yang masih belum mengizinkan kemenangan berpihak kepada mereka. Dengan hal yang demikian kita tidak akan merakamkan segala keburukan dan kepincangan yang timbul menyerlah di hari pengundian itu kerana perkara semacam itu elok dibiarkan masa dan suasana yang lain untuk membincangkannya. Kalau ada pun kepincangan persiapan yang amat menonjol di pihak Barisan Alternatif, akan ditulis secara 'in passing' sahaja sebagai rakaman peristiwa bersejarah kepada ingatan yang amat mudah pudar.

Pemantauan Yang Berterusan

Saya telah memantau keadaan di Teluk Kemang bersama beberapa kawan yang merupakan veteran UMNO sejak hari penamaan calon. Sejak itu kami telah berada di Port Dickson silih berganti tanpa putus-putus. Walaupun ada kalanya saya terpaksa pulang juga ke rumah untuk berehat di waktu malam kerana keadaan demam yang semakin mengancam kesihatan, di pagi (Sabtu) pengundian badan yang memang selalu uzur digagahi juga untuk berada di Teluk Kemang bersama kawan-kawan yang lebih ramai lagi. Kami telah berada di Teluk Kemang berpandukan tulisan singkat seorang penulis yang menggunakan nama Kemang Suasa (Sila Lihat: Muslihat BN Di Teluk Kemang Akan Terbongkar Jua) kerana ada kawan-kawan yang mengatakan telah bersua dengan beliau dan bertukar pendapat dengannya. Lantas kami mahu mencari sebab-musabab kenapa beliau menulis: "….parti Barisan Nasonal sedang goyang dan tidak tentu arah. Mereka melakukan apa sahaja untuk muncul sebagai parti terbaik di negara ini yang kununnya berjuang untuk agama, bangsa dan negara".

Keputusan Pilihanraya Yang Mengejutkan

Kekalahan Ruslan Kassim adalah sesuatu yang mengejutkan kerana Paklah, Khalil Yaakob dan Isa Samad telah dengan jelasnya memperakukan apa yang diucapkan oleh Samy Vellu dengan angkuh sekali di hari penamaan calon dulu: "Kali ini Barisan Nasional akan menang besar dengan majority undi yang lebih besar daripada 10,000 undi."

Ayoyo Samiii……..! Sekarang sudah jelas, rakyat Teluk Kemang telah bersuara (secara teknikalnya sahaja) dan kemenangan majority yang melebehi 10,000 undi itu tidak pun tercapai. Apakah nanti alasan-alasan daripada sessi 'post-mortem' yang akan dilakukan? Saya harap mereka akan meniru apa yang pernah disuarakan oleh presiden agung mereka bahawa "kemenangan dengan satu undi pun adalah kemenangan jua…"

Sejarah akan merakamkan betapa keputusan pilihanraya kecil Teluk Kemang merupakan satu awalan kepada budaya citarasa pengundi yang tidak mudah dirasuk oleh janji-janji manis parti yang memerintah dan tidak juga mudah dilentokkan oleh sogokan wang dan janji-kontrak yang lumayan. Teluk Kemang telah menampakkan bibit-bibit bertukarnya budaya mengundi di negara ini di mana pengundi tidak lagi taksub kepada pukulan tabla parti yang lama memerintah. Dari pada hari ini kita akan melihat citarasa pengundi Melayu yang selama ini condong kepada calon UMNO sudah bertukar arah untuk menyokong sesiapa sahaja yang menjanjikan ketaqwaan kepada Allah. Dalam hal ini kita sudah nampak betapa orang Melayu sudah semakin 'pragmatic' dalam pemilihan mereka, setara dengan apa yang dilakukan oleh kaum Cina selama ini.

Sepanjang kempen, Barisan Nasional telah menggunakan pelbagai taktik untuk memancing undi dan memperlekehkan parti lawan. Tidak ada satu taktik lama yang tidak dicuba di Teluk Kemang. Malahan banyak lagi taktik baru yang telah diolah dan dilaksanakan untuk menentukan barisan nasional menang besar. Sayangnya hampir semua taktik lama itu tidak mengena dengan jayanya. Taktik baru yang diolah pun memerlukan belanja besar sedangkan kesannya tidak seberapa, malahan menampakkan kedunguan perencanaannya dan meruntunkan martabat UMNO, akhirnya.

Taktik Kempen Yang memalukan Bangsa Melayu

Satu hari selepas penamaan calon, ada sehelai kain rentang yang bertulis: "Bolehkah Koran Membuat Jembatan?" Kami terkejut dengan kata-kata yang terpampang di atas jalan itu. Namun kami mengambil keputusan untuk tidak buat sebarang komen akan kain rentang itu agar ia dapat dibaca oleh setiap orang yang beragama Islam yang lalu-lalang di situ. Malangnya strategi itu telah didedahkan oleh seorang insan di laman FGR. Agaknya itulah di antara isihati tulisan Kemang Suasa satu ketika dulu. Tetapi di sepanjanag kempen itu pula kita dapati Isa Samad kerap berkata betapa parti pembangkang tidak punya sebarang isu besar untuk dijadikan bahan menjatuhkan imej barisan Nasional di Negri Sembilan. "Kita telah melakukan yang terbaik untuk rakyat di negeri ini. Rekod pemerintahan BN adalah lambang kejayaan kita yang menyerlahkan segala-galanya."

Sayang, Isa Samad terlupa bahawa terlalu banyak isu yang boleh digunakan oleh parti pembangkang. Cuma masa, tempat dan ruang yang tidak ada kepada Ruslan Kassim untuk membincangkannya dengan para pengundi sekelian. Rang untuk calon Barisan Alternatif berinteraksi dengan rakyat hampir tidak ada, mengikut lunas-lunas yang termaktub dalam perlembagaan negara. Pihak pembangkang sukar mengadakan ceramah yang selesa kerana tempatnya yang tertutup kepada parti pembangkang. Tidak ada akhbar harian yang mahu memberi ruang kepada parti pembangkang. Lihat sahaja laporan media perdana di hari pencalonan; tidak ada satu akhbar pun yang sanggup menunjukkan wajah-wajah penyokong parti pembangkang di akhbar mereka. Begitu juga dengan TV dan radio. Tidak ada satu berita pun mengenai parti pembangkang.

Duit rakyat telah dibazirkan secara sewenangnya oleh para menteri dan pemimpin BN. Mereka telah merencanakan majlis berinteraksi dengan rakyat untuk memancing undi bagi BN dengan wang rakyat. Secara tiba-tiba Mak Menteri Fidah boleh sampai ke kampung Arab mengagihkan derma bantuan sedangkan itu kerja Menteri Kebajikan masyarakat. Pada 8 Jun, Menteri Samy Vellu boleh pula membuat lawatan majlis bermesra dengan TNB sedangkan dia sudah berada di Teluk Kemang sejak hari pencalonan lagi. Hisyamuddin Onn boleh melakukan peranan penting dalam pesta air Rakan Muda sedangkan majlis pesta itu hanya untuk mengiklankan satu syarikat jet-ski yang mengalihkan tapak perniagaannya. Demikianlah taktik kempen yang diterajui oleh UMNO yang akhirnya mencetuskan perasaan benci dan meluat seglongan besar orang Melayu di Teluk Kemang. Yang paling memalukan sekali ialah upacara penarikan diri beberapa ahli keADILan yang diberikan liputan meluas oleh media perdana di negara ini. Malahan, ada juga akhbar asing yang memetik berita yang disiarkan oleh BERNAMA.

Saya telah didatangi beberapa orang insan yang menyatakan betapa ada pihak tertentu yang menawarkan RM150,000 kalau ada sesiapa yang sanggup mengaku ahli parti PKN. "Kalau dapat orang yang memegang jawatan penting dalam parti seperti Ketua Bahagian, Ketua Cawangan, ketua pemuda dan sebagainya yang sanggup belot dengan sekurang-kurangnya sepuluh ahlinya. Mereka perlu diambil gambar untuk disiarkan dalam media perdana dan membuat pengakuan kenapa mereka melompat masuk UMNO." Pemimpin UMNO seperti Paklah, Khalil Yaakob dan Isa Samad mesti telah berfikir bahawa taktik ini amat baik untuk menentukan Teluk Kemang dapat meraih undi majoriti yang besar.

Taktik yang jijik ini telah menjadi perbincangan hangat di kalangan penyokong BA, tidak kira asal parti mereka. Beberapa pemuda Cina di Kampung Hailam Port Dickson yang sempat saya temui telah sempat berbual dengan saya dalam bahasa Melayu yang fasih sekali. Mereka membuat komen yang mencerminkan juga fikiran orang melayu di Negri Sembilan:

"Ini Isa….sudah buat banyak silap. Apa gunanya membazir duit menunjukkan Paklah dengan ahli keADILan yang lari tinggalakan parti mereka? Siapakah Paklah? Bukankah dia yang mula-mula dulu belot juga tinggalkan UMNO. Yang mula-mula dia ucapkan di Port Dickson ialah Ruslan Kassim adalah pembelot. Tetapi kenapa dia galakkan ahli PKN belot untuk masuk UMNO? Adakah yang dia upah untuk belot itu para pengundi di Teluk Kemang?"

Kata-kata pemuda Cina di Kampung Hailam itu telah disokong oleh beberapa anak watan di Kampung Arab. Mereka berkata: "Paklah mana tahu sentimen orang Melayu Negri Sembilan? Sebagai pemuda UMNO saya amat malu dengan cara jijik yang mereka lakukan. Tidak bermaruah…!"

Perangai Ular Keluar Daripada Bakul

Cara Paklah menerajui kempen politik di Teluk Kemang adalah persis kelakuan seekor ular sawa yang keluar daripada bakul pemain silap mata jalanan. Seorang pakar silap mata jalanan yang menggunakan ular sawa sebagai bahan jualannya akan membuka bakul yang dijadikan sangka ular sawa belaannya. Apabila dia membuka sedikit penutup sangkar itu dia pun akan memainkan serunainya sambil meniup serunai itu ke arah muka ular yang sudah menjengukkan kepalanya untuk keluar. Pakar silap mata itu akan meniup serunainya sambil memutar-mutar serunai itu dalam satu bulatan dengan tujuan untuk memperdaya dan memukau ular itu. Sedikit demi sedikit, ular itu pun keluar dari sarangnya tanpa menghiraukan hingar bangar di sekelilingnya. Tumpuannya hanya kepada gaya seruling yang sedang diputar-putar itu, dan tidak semestinya kepada bunyi yang keluar daripada mulut seruling tersebut. Proses itu berterusan sehingga ular itu letih dan jatuh merengkok ke bumi seolah-olah terpukau oleh bunyi seruling itu tadi. Sebenarnya dia keletihan kerana mengikut lenggok pusingan seruling yang mampu meletihkan ototnya untuk terus menggelengkan kepalanya sehinggakan dia tidak lagi mampu untuk menegakkan kepalanya dalam satu posisi untuk mematuk dan mengeluarkan bisanya.

Dalam kempen di Teluk Kemang, Paklah adalah laksana seekor ular berbisa yang keluar daripada bakul pakar silap mata. Yang lucunya kali ini di Teluk Kemang, ramai pemimpin BN yang memainkan peranan pakar silap mata. Bukan sahaja Khalil Yaakob, Isa Samad, Rafidah dan Lim Kheng Ghaik. Yang paling mujarrab menjadi pakar silap mata kali ini ialah seorang insan yang lebih pintar setara dengan Raja Kelentong Negara. Insan ini bernama Tan Sri Datok Seri S. Samy Vellu. Di antara semua pemimpin Barisan Nasional yang berada di Teluk Kemang beliau merupakan pakar silap mata yang paling ulung sekali. Yang paling terulung sedang berada di Tokyo kali ini.

Teluk Kemang sepatutnya merupakan kubur untuk Barisan Nasional kerana terlalu banyak isu basi yang boleh menjatuhkan parti itu kali ini. Tetapi, BN berjaya bertahan kerana pengaruh wang, janji-janji manis dan segala bentuk ugutan dan paksaan yang telah dipaktikkan secara bersistem juga. Sebagai pengarah operasi kempen di Teluk Kemang Paklah telah melakukan pelbagai teknik dalam taktik mengalahkan pihak pembangkang. Sayangnya kebanyakan teknik yang dilaksanakannya itu telah mencetuskan perasaan marah di kalangan orang Melayu. Saya telah diberitahu ada beberapa kumpulan UMNO yang telah menyampaikan reaksi orang Melayu kepada taktik Paklah bergambar dengan orang-orang PKN yang dikatakan belot itu. Apabila tersiar berita betapa orang yang belot adalah orang bawahan PKN yang tidak pun diiktiraf oleh ahli parti, tentulah orang UMNO merasa terhina. Kenapakah Paklah sanggup merendahkan martabatnya menggembar-gemburkan pembelotan itu sedangkan seluruh negara tidakpun pernah mendengar nama Adi Putra, BAM, Aad. dan sebagainya itu. Kemarahan orang Melayu memuncak apabila terbocor cerita pembayaran pampasan dan janji-kontrak kepada ahli PKN yang belot. Ada orang Cembung yang mengejek dengan berkata: Semalam kami dibayar antara sembilan hingga dua puluh ringgit atas nama dividen kayu getah, kerana menghadiri satu ceramah UMNO…Tetapi, orang UMNO di luar Teluk Kemang yang menyamar menjadi ahli ADIL dibayar sekurang-kurangnya lima belas ribu…! Apakah ini bukan politik wang?"

Dalam episod tohmahan ini saya ingin merakamkan satu pendapat daripada satu kumpulan orang Cina di Teluk Kemang.

"Kalaulah kempen ini boleh dipanjangkan lima hari lagi, BN boleh kalah…!"

Saya terekejut dengan kenyataan itu dan meminta mereka memberikan keterangan yang lebih lanjut lagi. Kumpulan yang saya temubual itu adalah satu kumpulan pemuda Cina yang berpelajaran tinggi. Mereka mengibarkan bendera parti komponen BA di kereta mereka. Mereka memakai baju berlambangkan 'mata'. Tidak seorang pun yang datang daripada DAP. Berikut adalah kenyataan mereka yang mungkin mahu diambilkira oleh pengurusan barisan Alternatif:

"Sebenarnya kami sibuk berkempen di kalangan masyarakat Cina di Teluk Kemang. Daripada Bukit Pelanduk hinggalah ke Rembau, kami telah jelajah secara sukarela. Kami telah terlupa untuk berinteraksi dengan kawan-kawan daripada orang Melayu yang berkempen di kalangan orang Melayu dan India. Kami pernah berkempen di Sanggang dan juga di Kuala Pilah ketika Ruslan bertanding melawan Nafsiah. Kami nampak ketika itu ramai orang melayu yang dapat membuka minda mereka melalui pembacaan tulisan di internet. "Dua hari yang lalu ketika kami berbincang dengan beberapa pemimpin melayu dalam BA baru kami sedar kali ini tidak banyak bahan bacaan yang ditulis di internet yang telah diedarkan kepada orang Melayu. Sedangkan kebanyakan tulisan di laman yang pro-reformasi itu boleh membuka minda kita untuk mempengaruhi para pengundi. Contohnya kami telah menterjemahkan tulisan beberapa penulis prolific di internet seperti MGG Pillai untuk diagihkan kepada pengundi Cina. Tulisannya terhadap kepimpinan MCA dan MIC amat berkesan sekali.

"Kami hanya menyedari kepincangan ini bila membincangkan kisah enam laman pro-reformasi yang berafakkur….! Sayang sekali, mereka ini telah masuk perangkap UMNO untuk memusnahkan peluang Ruslan Kassim dan memperkuatkan pengaruh Samy Vellu."

Baharulah saya sedar, ramai oang Cina di Teluk Kemang tidak menyokong BN kali ini kerana mereka bencikan Samy Vellu. Berikut adalah kenyataan seorang veteran MCA di Port Dickson mengenai Samy Vellu:

"Ramai orang Melayu fikir mereka sahaja yang mempunyai dilemma dengan Dr. Mahathir. Kami orang Cina pun mempunyai masalah yang besar dengan D. Ling Liong Sik sebagai presiden MCA dan Lim Kheng Yaik sebagai presiden Gerakan. Tetapi, orang Cina di Teluk Kemang tidak berapa menyokong calon MIC kali ini kerana gelagat Samy Vellu. Dulu, dia disokong kerana memilih S. Anpalagan. Orang Cina sokong dia kerana kami tidak ada pilihan lain ketika itu. Tetapi, apabila dia tonjolkan calon baru yang datang daripada Port Dickson barulah ramai orang Cina tertanya-tanya: 'Kalau dia betul-betul ikhlas kenapa tidak calonkan Solinathan ini pada dulu-dulu lagi?' . Putar belit semacam inilah yang mengingatkan orang Cina Teluk Kemang kepada Ling Liong Sik. Sekaligus mereka teringatkan Raja Penipu yang Nombor Satu yang tidak berani berkempen di Teluk Kemang kali ini.."

Pendapat veteran MCA itu telah disambut oleh seorang pemuda Cina yang ada di sisinya: "Takkan dia berani berkempen di Teluk Kemang sedangkan dia terlalu takut pergi mahkamah menyahut panggilan sapina. Tengok, dia tipu kita dengan mengatakan dia pergi ke Tokyo untuk persidangan ekonomi besar sedangkan dia pergi melawat geng lama yang sudah mati…." Kenyatan sedemikian adalah lambang betapa akar umbi parti BN sudah berubah dalam persepsi terhadap pemimpin mereka. Keputusan Teluk Kemang Yang Mencabar Kepimpinan Mahathir

Mungkin ramai yang masih teringat ramalan yang saya sampaikan di malam penutup pemilu ke-10 dulu yang saya tulis di Laman FGR. Ketika itu saya telah didatangi seorang 'imam' terkenal yang mahu saya menulis untuk rakaman sejarah, katanya. "Pemilu ke-10 ini hanya satu pembukaan pertarungan politik yang akan mematangkan orang Melayu (dia tidak sebut perkataan orang Malaysia). Besar kemungkinan pilihanraya kecil akan silih berganti selepas ini…!" Sebagaimana yang saya tulis, adalah salah di sisi Islam untuk membuat ramalan. Tetapi, apabila imam ini memberikan gambaran yang termasuk lagi beberapa ramalan lain, saya hanya mampu merakamkan sedikit maklumat sahaja untuk dijadikan bahan sejarah politik orang Melayu.

Sebagaimana yang saya katakan di awal penulisn ini, Teluk Kemang akan memulakan satu episod panjang dalam pertukaran budaya orang melayu berpolitik. Seperti yang saya tulis dalam "Yang Melantak dan Melentok", ramalan kemenangan calon BN sudah banyak ditudingkan kepada budaya orang China berjudi dan bertaruh betapa Ruslan Kassim akan kalah dengan majoriti undi lebih daripada 10,000. Sebenarnya cerita itu tidak habis saya tulis kerana sengaja menyimpan ekor cerita itu. Pertaruhan yang dilakukan oleh masyarakt china kali ini adalah mirip pertaruhan keputusan bola yang kerap dilakukan di Kuala Lumpur. Ada bola 'free' ataupun premium gol yang diberikan dalam pertaruhan itu. Pihak penaja telah memberikan dua bentuk premium dalam pertaruhan keputusan undi. Mereka memberi setiap penjudi membuat pilihan sama ada memilih primium 5,000 undi ataupun 4,000 undi. Seseorang penjudi mampu menang dengan bayaran RM800 setiap RM1000 yang dipertaruhkan. Adabermacam veriasi dalam praruhan ini untuk menentukan wang kemenangan. Yang menjadi dasar kemenangan ialah majority kemengan itu melebehi 10,000 undi. Premium yang diberikan itu mula muncul tiga hari yang lalu setelah para peramal mendapati pengaruh BN turun di Teluk Kemang. Semua ini ada hubung kait dengan pendedahan pembelotan orang ADIL, keputusan Dr. Ling untuk terus memegang jawatan presiden MCA dan satu ucapan Mahathir yang dibuatnya sebelum bertolak ke Jepun.

Sindiket judi telah membuat veriasi kerana mahukan lebih pertaruhan daripada para penjudi yang datang daripada pelusuk negara termasuk Singapura. Ternyata, Ruslan Kassim telah melumpuhkan keuntungan mereka. Penjudi yang bertaruh dengan memilih premium 4,000 undi telah kalah teruk kali ini. Rencana mereka memperlekehkan Ruslan Kassim sebagai strategi untuk menang pertaruhan telah mencetuskan kemarahan orang Melayu terutama sekali perajurit yang mengundi secara undi pos. Begitu juga halnya dengan bekas perajurit yang berkesempatan mengundi kali ini secara proses terbuka.

Kita juga dapat merasakan betapa meluatnya orang Melayu sekarang terhadap kepimpinan Mahathir. Ini terserlah melalui daftar pengundi di Teluk Kemang di mana ramai orang Melayu yang tidak dapat mengundi. Seperti yang diingatkan oleh Pengendali Web FeU dan Mindarakyat, memang ramai orang Melayu yang hilang status mengundi. Secara tiba-tiba kali ini nama mereka hilang daripada daftar pengundian sedangkan ketika pemilu ke-10 dulu nama itu ada dalam daftar pengundi. Fenomena ini telah menyedarkan ramai pemuda China yang saya temui. Mereka amat marah dengan SPR yang menurut mereka sepatutnya bebas daripada pengaruh kerajaan yang memerintah. Saya ingin memetik pendapat seorang gadis cina yang saya temui: "Nampak sangat UMNO takutkan pengundi Melayu berpaling tadah. Sepatutnya orang UMNO merasa malu kalau ada pengundi yang selalu mengundi kehilangan peluang untuk mengundi kali ini."

Tempat Mengundi Yang Melambak

Kali ini saya terperanjat dengan adanya banyak sangat tempat mengundi. Tidak seperti di Sanggang, tempat mengundi di Teluk Kemang terlalu rapat di antara satu dengan yang lain. Kenapakah perkara ini berlaku? Seorang pemuda China memberikan satu jawapan yang mengejutkan saya: "Lagi banyak tempat mengundi lagi banyak tong undi. Lagi banyak tong undi lagi mudah buat silap mata….!"

Seorang guru wanita Cina membuat kenyataan berikut: "Sepatutnya Mahatir mampu merencana agar kita mengundi secara elektronik. Di hari mengundi semua parti tidak dibenarkan berkempen dan hanya bas khas dibenarkan mengangkut pengundi. Mahathir selalu mahu kita percaya betapa majunya negara ini, sedangkan kita masih lagi mundur, sebenarnya…! Lebih baik dia menghabiskan usia tuanya mengkaji cara system undi elektronik daripada menghabiskan wang rakyat dengan projek yang membazir."

Teluk Kemang memang merupakan satu tempat rakyat berpesta. Kali ini, pilihanraya kecil yang baru berlalu akan merakamkan betapa Teluk Kemang menjadi pemangkin betapa rakyat Malaysia yang cintakan negaranya akan mengundi dengan akal yang waras dan tidak lagi disebabkan sentimen yang disaluti wang ringgit dan janji-manis. Barisan Nasional telah menang kali ini disebabkan jentera kerajaan yang membantunya. Barisan Alternatif sedang mengkaji segala kemungkinan mengatasi kepincangan yang ada. Seperti perlunya BA menyediakan payung di hari mengundi, rakayt yang cintakan keharmonian bangsanya mahukan BA berusaha memperbaikki persiapannya. Jangan terlalu bergantung harap kepada penyokong yang datang di hari terakhir untuk berkempen. Sedangkan ramai yang daang itu hanya mahu menghidupkan semangat berpesta tanpa mengambil kira impak negatif penyertaan mereka.

Namun demikian, kemenangan terbesar di Teluk Kemang adalah rakyat marhain. Orang Melayu terutamanya, semakin sedar akan pentingnya undi mereka. Teluk Kemang telah membuka mata orang Melayu untuk mencuit minda mereka betapa UMNO bukan lagi satu parti untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu marhain. UMNO sudah menjadi parti untuk mengekalkan kuasa golongan yang sedang memerintah. Kegigihan oang Cina yang bertungkus-lumus berkempen untuk Roslan Kassim adalah satu pembuka minda untuk orang Melayu yang masih lagi takut akan kehilangan ketuanan Melayu yagn sememangnya sudah tidak lagi di tangan orang Melayu. Kebekuan minda kaum India yang sanggup bersekongkol dengan Samy Vellu semata-mata merana calon BN 'adalah seorang dari kaum sendiri' adalah satu contoh bagaimana kaum India itu akan terus melarat mengikut rentak tabla mainan Samy Vellu.

Teluk Kemang akan membawa seribu kenangan yang meyuntik semangat baru kepada golongan marhain. Mereka akan sedar perlunya bersatu untuk menentukan musuh marhain yang nombor satu tidak akan terus berkuasa lebih lama. Segala kepincangan BA di Teluk Kemang akan dibincangkan kerana matlamatnya ialah menegakkan satu kerajaan yang disokong oleh rakyat untuk mewakili rakyat. Inilah semangat politik yang telah lama dikeluarkan daripada kamus Barisan Nasional pimpinan seorang dictator tua.

Kepada Ruslan Kassim…! Syabas. Anda kalah dalam pilihanraya yang berat sebelah. Tetapi anda menang untuk menegakkan satu semangat kesedaran baru di kalangan orang Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya. Kepada semua penyokong Barisan Alternatif yang datang daripada ceruk negara ke Teluk Kemang, syabas dan tahniah. Terimalah tabik hormat daripada seorang penganalis yang tidak pun menjadi ahli parti kalian. Saya amat kagum dengan kegigihan anda sekelian yang datang ke Teluk Kemang dengan perbelanjaan sendiri dan semangat yang terus membara.

Saya ingin menutup penulisan ini dengan merakamkan kata-kata seorang penyokong keadilan berbangsa India di Desa Cuah. Pada jam 3.26 p.m. DS Wan Azizah telah tiba untuk bermesra dengan para petugas di tempat pembuangan undi di situ. Sedang penyokong keadilan menjerit perkataan 'Reformasi' di situ saya bertanya kepadanya kenapa dia sanggup menunjukkan muka berkempen untuk BA sedangkan calon BN adalah seorang daripada kaum India. Dia menjawab:

"Sebagai seorang bapa saya amat bersimpati dengan penderitaan DS Wan Azizah yang terpaksa menjaga anak-anak yang membesar tanpa pengawasan bapa mereka. Ini adalah satu penzaliman di dalam sebuah negara yang dilaungkan sebagai termaju di kalangan negara yang membangun.

"Kalau saudara lihat ketika kempen Teluk Kemang, kes perbicaraan Irene Fernandez ditangguhkan. Kemudian kes perbicaraan DS Anwar Ibrahim pun ditangguhkan. Ketika beliau dibicarakan dulu tilam yang tidak bermakna diusung setiap hari ke mahkamah. Tetapi ketika seorang ketua menteri sah melakukan zina dan menghasilkan seorang anak haram, dia tidak pun dibicarakan. Bukankah ini satu penzaliman? Mestikah kita mengundi mengikut ras dan fahaman agama kita kalau pemansuhan kezaliman itu sebenarnya matlamat hidup kita untuk terus bernafas dengan udara yang bersih?"

Memang, kalaulah semua pengikut UMNO dan BN mempunyai sikap yang serupa seperti saudara India itu tadi, memang bertukar rupalah suasana politik di negara ini. Mungkinkah semua itu akan berubah kalau Mahathir mula melaksanakan cukai terhadap udara yang kita sedut setiap hari ? Setiap teluk ada kemangnya. Apabila kemang mula muncul secara berkumpulan, ia tidak mudah disisihkan dengan jampi serapah lagi.

Marhaintua
11.6.2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com