Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


NILAI KERTAS PUTIH KERAJAAN

Dipetik daripada :
Minda Rakyat

Episod Sauk menyerlahkan keperihatinan rakyat daripada berbilang bangsa kepada sistem pemerintahan negara yang dikuasai oleh satu regim yang satu ketika dulu merupakan kerajaan rakyat yang dipilih oleh rakyat. Kerana itu Mahathir dan juga para pemimpin rakyat yang menang di pemilu-10 dulu diberikan taraf 'Wakil Rakyat'. Tetapi, disebabkan kebebalan rakyat pada awalnya dan ketaksuban pemimpin parti politik secara lanjutannya satu sistem menipu rakyat secara bersistem telah menonjolkan masyarakat wakil rakyat itu kepada satu kelas Brahmin yang suci lagi suci dan mulia lagi mulia. Lantas, metos kedewataan tamaddun lama di mana sang dewata punyai banyak tangan dicekup menjadi satu budaya yang diterapkan secara bertubi-tubi kepada minda orang Melayu. Lambang pengawalan minda secara bertubi itu menjadi terserlah apabila para pemimpin utama negara diberikan gelaran seperti 'Wira Dunia Ketiga', Pejuang Maruah Bangsa dan sebagainya.

Semua jolokan nama itu adalah satu pasport untuk 'Sang Dewata' itu untuk mengumpulkan harta sambil memperkayakan para juak dan jongosnya. Rakyat marhaen terpukau dan terus membisu seribu waktu kerana minda mereka telah diputar-balikkan bahawa: seorang marhaen yang mahu menjadi pengikut setia mesti sanggup "ikut apa yang saya kata dan bukan apa yang saya lakukan." Impaknya, apabila Ibrahim Mahmud diserang bersama pengikutnya ketika beliau mengadakan kuliah subuh, rakyat marhaen membisu kerana Sang Dewata telah mengeluarkan satu Kertas Putih bahawa Al-syahid "Ibrahim Libya mengajar agama sesat" yang merosakkan aqidah orang Islam. Di waktu yang sama mayat terbujur kaku hasil ledakan beribu peluru ke atas satu kumpulan yang tidak mampu bertahan lama, dibiarkan bergelimpangan tanpa diurus beberapa hari lamanya di Memali. Mujurlah ada rakyat marhaen yang simpati dan menyemadikan mayat-mayat itu di Parit Panjang yang jauhnya 30 kilometer daripada Memali. Di manakah para keluarga si mati ketika itu, kalau bukan ditahan di kamar berjejari besi di bawah akta yang drakonian dan sungguh berbisa.

Berbelas tahun kemudiannya taktik gempur yang sama direncana ke arah sebuah rumah besar di Damansara. Sasarannya ialah seorang mantan Timbalan Perdana menteri yang difikirkan sedang semakin menggugat Sang Dewata. Mujur, peristiwa Memali tidak berulang. Tetapi apakah ganjarannya? Seorang pejuang yang mengerti apakah itu ajaran Islam dan pertengahan dalam ajaran Islam, didera sebagai mangsa yang mesti dimusnahkan. Tidak ada ciri-ciri keinsanan dalam deraan itu kerana deraan berbentuk kebinatangan telah dilaksanakan juga ke atas sesiapa sahaja yang dikaitkan dengan pejuang ini. Segala bahan bukit di ada-adakan semata-mata untuk memperkuatkan tohmahan dan fitnah. Semua itu dilakukan semata-mata untuk memuaskan nafsu-nafsi seorang diktator tua. Yang melakukannya adalah segelintir orang Melayu yang mengaku beragama Islam dan berupaya mengerjakan umrah dan haji setiap tahun kalau mereka mahu.

Kini, Episod Anwar Ibrahim ternyata satu tipu helah untuk menentukan seorang diktator yang bertukar menjadi Sang Dewata untuk terus berkuasa. Episod Sauk terpaksa ditonjolkan secara spontan dan tergesa-gesa untuk memperkuatkan kedudukan takhta yang semakin terumbang-ambing. Episod terbaru ini mampu melindungi segala buruk laku satu pemerintahan regim yang pelahap dan kuat pembohongannya. Sang Dewata mampu melakukan semua itu kerana semua orang suruhannya adalah manusia yang tidak lagi mempunyai ciri-ciri keinsanan di hati mereka. Sekaligus mereka sudah merupakan tangan-tangan ajaib yang dipasang siap mengelilingi badan Sang Dewata itu. Berarak-lalulah mendung hitam di angkasa, bertiuplah taufan membawa bauhan kebakaran di seberang samudera dan berjerebulah angkasa raya Malaysia. Serangan Nipah yang mula menyerang Sarawak pada 1997 dan menonjolkan serangan serupa di Ipoh dan Negeri Sembilan pada 1999, kini menjeringaikan taring yang sama di tempat yang sama juga, sekali lagi. Penyakit denggi menjadi ancaman besar di Negeri Sembilan dan hospital Seremban sedang menanganinya secara senyap sahaja. Meningitis yang melanda beberapa penjuru bandar raya masih lagi menjadi satu tanda tanya. Ledakan AIDS dan penyakit yang berpunca daripada dadah semakin menongkat suasana malam di ibukota. Kemasukan pendatang asing secara berleluasa bukan lagi berpunca daripada Indonesia dan Thailand ataupun Filipina. Kini gagak hitam dari Afrika dan dunia Arab sudah terbang masuk menyerang ibukota, kerana diberikan satu status yang selesa sepadan status Wira Dunia Ketiga yang diberikan oleh negara mereka kepada seorang diktator tua. Siapakah yang ambil peduli akan semua itu?

Jelas, penyakit masyarakat tidak lagi menjadi agenda negara kerana ia tidak menjadi minat seorang diktator tua. Kalau dia berminat tentu dia sudah menyelesaikan masalah mangsa yang terkorban dalam kebakaran kilang Bright Sparkles dulu. Tentu dia selesaikan kes mahkamah membabitkan keluarga Episod Memali. Tentu dia humbankan kes Anwar Ibrahim yang tidak mempunyai sebarang bukti yang sahih itu. Malah, kalau dia benar-benar juara dunia ketiga dia sudah lama menghumban segala akta drakonian seperti ISA, OSA dan apa saja yang menjejaskan hak rakyat bersuara. Siapakah yang bersalah dalam semua itu kalau bukan kita kerana membiarkan jejari kita memangkah parti yang lama memerintah semata-mata kerana janji manis bahawa hanya UMNO dan BN yang mampu mempertahankan ketuanan Melayu. Sedangkan yang sebenarnya ketuanan Melayu itu sudah merupakan satu insan yang bergelar Sang Dewata yang punyai banyak tangan, tetapi tidak lagi mempunyai wajah dan hati seorang manusia. Masih kah kita mengharapkan satu kertas putih daripada kerajaan yang dikawal mindanya oleh Sang Dewata itu?

-MT-


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com