Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


TERJEMAHAN TEKS DSAI DI MAHKAMAH

Catatan: Tulisan asal, adalah tulisan tangan Sdr. Anwar sebagaimana pernah tersiar dalam pelbagai laman pro reformasi. Seorang pemimpin negara yang pernah menerima anugerah Nobel Peace Laurette pernah berkata: "Kes Anwar sebenarnya sudah tidak lagi menjadi kes perundangan sejak lama dulu lagi."

Di tahap awal, memang ada juga segelintir manusia yang mempunyai keyakinan kepada sistem perundangan Malaysia. Mereka fikir mungkin ada secebis peluang untuk mahkamah ini membebaskan saya. Kini, mereka sudah melihat sendiri bagaimana mahkamah dikendalikan, sehinggakan mereka membuat keputusan betapa kes saya ini tidak ada sangkut-paut dengan jenayah. Tidak ada penghakiman terhadap jenayah dalam mahkamah ini, hanya satu pendakwaan politik.

Saya memang akui bahawa tidak ada sesiapa yang mengatasi undang-undang. Tetapi, prinsip ini tidak disangkutkan ke atas Dato Seri Dr. Mahathir. Sebaliknya mahkamah telah akur kepada nafsu-nafsinya yang menjijikkan. Selama ini saya telah membuat pendirian betapa saya adalah menjadi mangsa satu konspirasi politik, yang dicanai dengan jaringan yang penuh intrig dan dikendalikan oleh seorang maestro yang bernama Dr. Mahathir. Walaupun rayuan dibuat bertubi-tubi, para peguam saya telah disekat daripada menyoal saksi penting ini.

Pengumuman keputusan (verdik) anda pada hari ini adalah berupa satu formaliti semata-mata, mengikut rentak skrip para konspirator. Adalah tidak masuk akal seseorang itu boleh didapati bersalah berdasarkan bukti dan dalil yang boleh dipertikaikan. Tidak ada sebarang bukti yang saya telah melakukan sebarang kesalahan. Azizan telah membuat tuduhan dan menariknya pada 1997, telah ditarik balik melalui satu deklarasi mahkamah menafikan tuduhan itu pada 1998. Beliau membuat sumpah di mahkamah pada 1998, 1999, membuat tuduhan lagi dan kemudiannya menafikan yang dia pernah diliwat. Tarikh itu diubah lagi selepas bulan Mei, seperti juga yang dilakukannya selepas September 1992. Azizan telah berbohong di mahkamah syariah mengenai perbuatan berkhalwat tetapi akhirnya mengaku melakukan perbuatan berkhalwat itu dan telah pun dihukum kerananya. Namun mahkamah ini masih memperakukan betapa beliau adalah seorang saksi yang boleh dipercayai.

Kami telah meminta beliau diperiksa oleh doktor, tetapi telah ditolak. Tarikh yang dirakamkan daripada Januari hingga Mach 1993 adalah ciptaan seorang pegawai polis. Alibi kami mengenai kewujudan Tivoli Villa dan juga mengenai pergerakan saya tidak pernah dipertikaikan oleh pihak pendakwa. Jelas, tuduhan adalah berasaskan imaginasi dan sengaja diada-adakan.

Saya tidak pernah takut dengan keputusan mahkamah yang mempunyai asas kehakiman. Ia tidak adil, menjijikkan dan memualkan. Keputusan mahkamah tidak mencemarkan saya; ia mencemarkan nama anda, sistem perundangan negara dan negara kita ini.

Saya menyerlahkan kebenaran saya dengan nawaitu yang jelas. Saya akan tentang semua ini walaupun di sebalik jejari besi dan dinding penjara. Kebenaran dan keadilan akan terserlah jua. Biarlah para perancang melakukan apa yang mereka mahu lakukan lagi, Allah adalah sebaik-baik perancang.

Dr. Mahathir mampu menggunakan undang-undang jelek Akta ISA untuk menghumban saya dalam penjara selama mana yang dia suka tanpa menghancurkan sistem kehakiman negara dan tanpa memusnahkan martabat Attorney General. Tetapi, beliau adalah seorang pengecut yang tidak berani bertanggungjawab ke atas kerja aibnya. Dia gunakan mahkamah dan dengan cara yang sama dia telah menghancurkan sistem kehakiman negara ini.

Cara kes ini dikendalikan menyerlahkan segala kaedah yang jijik yang telah dipraktikkan oleh pihak polis. Ia telah menyerlahkan kejelekan sistem kehakiman negara yang memalitkan cara pendakwaan yang kotor dan korupsi yang digelumangi oleh golongan elit yang memerintah. Kerakusan Dr. Mahathir untuk terus berkuasa memang tidak ada tepiannya. Dia akan terus berbohong dan memaksa orang lain untuk berbohong sama semata-mata untuk menyelamatkan dirinya. Dia telah berbohong ketika ditonyohkan testimoni mantan Ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah, Dato Shafie Yahaya. Bukan sahaja dia berbohong dengan menafikan yang beliau mengarahkan agar penyiasatan itu dihentikan, dia telah berbohong terus dengan mengarahkan seorang timbalan menteri memberitahu parlimen betapa penyiasatan itu tidak pernah ditamatkan. Dia pernah berbohong ketika saya diserang (mata lebam) sebagai satu kerja yang saya lakukan sendiri. Dia telah berbohong dengan mengatakan kos pembikinan Mahligai Putrajaya hanya melibatkan RM 17 juta. Dia berbohong apabila berkata anak-anaknya tidak menerima sebarang bantuan kerajaan sedangkan kontrak yang berbilion telah diagihkan, kerja penswastaan telah dilunaskan. Begitu juga dengan pemberian saham dan proses 'bailout' yang telah dilaksanakan.

Sudah tentu para jongos memperakukannya. Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin telah berbohong kepada rakyat apabila dia berkata dia tidak pernah bercuti dengan peguam V.K Lingam di New Zealand. Sepatutnya Mahathir melaksanakan siasatan terhadap kes itu. Sebaliknya beliau telah melanjutkan tempoh perkhidmatan beliau untuk melampaui umur persaraannya agar " Eusoff Chin mampu menyelia setiap sesuatu yang perlu diawasinya."

Selama 17 tahun saya berkhidmat dengan kerajaan, saya telah memberikan kesetiaan kepada kerajaan dan Perdana Menteri. Tetapi, kesetiaan saya adalah berasaskan prinsip. Jikalau perundangan dan hukum-hukum yang menyebelahi kepentingan rakyat tergugat, saya akan menentang Dr. Mahathir. Saya telah menentang penggunaan dana rakyat untuk menyelamatkan perniagaan yang lingkup yang melibatkan para anak-anak dan suku sakatnya. Di sinilah bezanya di antara kepentingan terhadap keadilan dan kepentingan rakyat yang mendahului kesetiaan terhadap seorang perdana Menteri. Kerana saya telah mengabaikan arahannya dalam hal ini dan memihak kepada kepentingan rakyat yang menyebabkan saya dinyahkan dan didakwa.

Inilah satu pengorbanan kecil yang perlu ditunaikan dalam perjuangan menegakkan demokrasi dan keadilan. Saya sebenarnya amat runsing akan masa depan negara ini. Korupsi semakin menular. Tiang-tiang demokrasi di kalangan masyarakat sibil dan sistem perundangannya semakin hancur.

Negara ini memerlukan satu reformasi dan pembaharuan. Kepada Dr. Mahathir dan para keluarga serta kroni yang tamak haloba, saya ingin memberi ingatan. Berwaspadalah dengan kebangkitan rakyat kerana rakyat akan bangun untuk menuntut keadilan. Mereka akan bangun menentang korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Dan, kepada para juara reformasi sekelian, saya tabik hormat kalian kerana keberanianmu dan mengharapkan anda akan terus mara dengan semangat juangmu.

Diterjemahkan oleh -MT-


Kepada Webmaster sekelian. Terjemahan spontan ini dilakukan atas permintaan PW Mindarakyat. Maaf kalau ada sedikit kejanggalan. Kerja ini dilakukan sebaik pulang dari satu musafir yang panjang. -MT-


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com