HARAKAH DIGUGAT, PAK LAH DISAGAT

Apakah benar Pak Lah mahu haramkan HARAKAH? selepas beliau melengah-lengahkan lesen baru DETIK? Ataupun itu hanya lelucon untuk mengendur keadaan tegang menjelangnya tahun 2000? Mungkinkah Pak Lah sengaja melepaskan geram seorang diktator tua dengan berita kemungkinan pengharaman HARAKAH itu?

Hanya beberapa hari lagi kalendar masehi abad ke-20 akan melabuhkan tirainya dan akan memicukan abad ke-21. Ketika seluruh dunia bukan Islam berencana meraikan apa yang dikatakan tarikh keramat itu, orang Melayu diasak dengan satu amaran betapa HARAKAH akan diharamkan. HARAKAH masakini merupakan satu rahmat yang diizinkan oleh Allah. Apa lagi yang ada pada orang Melayu untuk mengetahui cerita sebenar yang berlaku setiap hari? Mereka tidak lagi membeli media massa tajaan kerajaan kerana mereka tidak lagi sanggup berdosa dengan segala berita penipuan hasil kerja orang yang pakar kelentong seumur hidupnya.

Majoriti orang Melayu tidak lagi menonton telivisyen, melainkan sesuatu waktu yang tertentu apabila mereka benar-benar memerlukan informasi yang disalurkan ketika itu; seperti menanti ketibaan azan dan juga sebarang pengumuman rasmi daripada pihak kerajaan. TV juga digunakan untuk mengikuti perkembangan luar negara.

Pak Lah Masuk Perangkap

Keadaan demikian lain pula rupanya bagi golongan yang mempunyai talian internet. Segala perkembangan dunia dapat diikuti melalui internet. Malahan, HARAKAH pun mempunyai halamannya sendiri. Kalau berita yang diperolehi melalui internet adalah berita yang tidak dapat disunting oleh pihak kerajaan, apakah peliknya dengan berita yang dibawakan oleh akhbar HARAKAH sehinggakan kerajaan mahu mengawalnya? Apakah kerana lesen penerbitannya itu melanggari kaedah penjualannya sekarang makanya Pak Lah mahukan HARAKAH diharamkan? Apakah halnya dengan beribu jenis kaset dan VCD yang dijaja secara lumrah di tepi jalan tanpa ditapis oleh pihak kerajaan. Kenapakah dibiarkan VCD terjual dengan sewenangnya, tanpa memikirkan musibah yang meracuni pemikiran golongan anak-anak muda negara ini?

Kita amat khuatir bahawa Pak Lah sudah masuk satu perangkap yang dipasang untuk menjatuhkan maruahnya. Pak Lah sebenarnya menjadi orang sasaran kerana sudah ditakrifkan akan menjadi pengganti MAHAFIRAUN sekiranya melepaskan jawatan itu. Perangkap yang dipasang itu sebenarnya untuk menguji ketahanan Pak Lah dan segala para juaknya. Apakah isi hati Pak Lah sebenarnya? Bolehkah Pak Lah mengambil tugas yang akan dikosongkan oleh seorang diktator tua? Tugas itu bukannya sebarang tugas. Ia merupakan beban untuk memimpin negara ini sambil bersedia bertoleransi dengan suku sakat MAHAFIRAUN. Ini tugas utama yang sebenarnya. Tugas Pak Lah nanti adalah lebih kurang sama dengan tugas sesiapa sahaja yang menjadi presiden Amerika Syarikat. Di sana rakyat tidak kira sangat dari mana seseorang presiden itu datang; dari parti Republican ataupun Democrat. Yang pentingnya seorang presiden Amerika itu sanggup mengekalkan status quo sebenar pemerintahan negara itu. Di Amerika kuasa perlantikan seorang presiden dirancang begitu rapi sekali oleh satu kumpulan yang diketuai oleh majlis tertinggi Persatuan Yahudi Antarabangsa. Keupayaan persatun ini menentukan dasar luar Amerika supaya sentiasa menjamin keutuhan kerajaan Israel dan menjamin juga semua pusat perniagaan kepunyaan orang Yahudi di seluruh dunia.

Kalau kita lihat peristiwa yang menjerumuskan Najib ketika kempen pemilu ke-10 dulu, mungkin tidak terlintas kepada yang kurang arif bahawa Najib telah diasak oleh orang-orang Pak Lah agar berbuat beberapa kesilapan yang amat terserlah sehinggakan hampir memusnahkan karier beliau. Pak Lah memang diketahui telah menggunakan khidmat ramai pegawai tinggi kementerian pendidikan yang sudah bersara untuk berkempen bagi pihaknya sejak beberapa tahun yang lalu. Kunpulan ini ditubuhkan untuk memerangi pengaruh DSAI di utara, pada tahap awalannya dan di kalangan guru pada amnya. Kerana itu, apabila kes DSAI memuncak, Pak Lah seolah-olah berada di awang-awang, dan mengambil pendirian tidak kommital untuk menyebelahi Anwar ataupun MAHAFIRAUN sehingga satu ketika beliau menunjukkan belangnya sebenar. Selepas Anwar dipenjarakan, kumpulan tactician Pak Lah telah mengubah arah dan cuba membuat satu strategi baru. Secara senyap mereka telah merencana untuk mengaibkan Najib Tun Razak pula.

Kedudukan Najib tergugat kini, kerana keputusan pemilu yang amat memalukannya. Beliau telah menjadi mangsa keadaan yang dihadapinya setiap kali keadaan itu memerlukan ketokohannya. Inilah bahananya kalau kita berpolitik kerana disondolkan kedepan dan bukan kerana iltizam yang berputik secara kecil-kecilan mengikut usia yang ada. Setelah menyedari bahawa Najib berada dalam satu keadaan gelabah yang amat ketara kita dapat lihat betapa Pak Lah mula mengorak langkah panjangnya. Mungkin disebabkan pengaruh Najib dalam kementerian pelajaran dulu tidak sekuat pengaruh Pak Lah kerana orang pilihannya dulu sudah pun memegang jawatan kanan di kementerian itu. Kita dapat mengesan betapa beberapa perencananan Najib untuk mempopularkan dirinya telah disabotaj dengan mudah sahaja oleh orang-orang Pak Lah. Soalnya sekarang adakah kerja-kerja sabotaj itu dilakukan oleh orang Pak Lah secara tujuan tetentu, ataupun ia dilakukan oleh orang-orang yang tidak direstui oleh Pak Lah sendiri? Kalau kita nilai segala jenis tohmahan yang diarahkan kepada Najib ketika musim berkempen dan selepas keputusan pemilu diketahui, besar kemungkinannya Pak Lah menerima bantuan untuk mensabotaj lawannya oleh satu kumpulan yang Pak Lah sendiri tidak kenal.

Pertelingkahan melalui proksi

Taktik 'war by proxy' ini adalah satu taktik yang amat ketara di Amerika dalam setiap pilihanraya presiden. Dalam pusingan pertama kempen itu kita kerap melihat berita bagaimana seseorang calon itu diaibkan dengan pendedahan pelbagai jenis cerita yang mengandungi kebenaran, yang rakyat tidak pun tahu sebelum itu. Oleh kerana sesaorang calon yang diaibkan itu merasakan beliau akan kalah disebabkan sesuatu pendedahan dia pun menarik diri daripada senarai pencalonan. Pertelingkahan melalui proksi ini merupakan satu taktik politik yang amat berkesan sekali. Hingga ke hari ini taktik demikian sudah pun menular ke seluruh dunia termasuklah negara ini.

Taktik yang diasaskan oleh para rahib

Taktik ini sebenarnya telah dimulakan ketika ugama Kristian meledak dengan kemunculan pelbagai jenis mazhab di Eropah pada satu ketika dulu. Kemudian ia dipraktikkan dalam dunia perniagaan lama kerana ketika itu perniagaan adalah merupakan satu usaha yang ditaja oleh raja-raja dan ketua gereja. Kita tentu ingat betapa kerajaan barat telah mengembangkan pengaruh kolonialisma dan imperialisma ke beberapa benua lain dengan cara menaja setiap missi pelayaran. Oleh kerana misi pelayaaran itu amat berbahaya ketua negara selalunya meminta jasabaik ketua gereja untuk membekalkan beberapa orang padri mengikuti missi pelayaran. Apabila tiba di pelabuhan persinggahan, para pengembang agama itu telah memainkan peranan menyebarkan dakwah mereka dan terus berusaha mempengaruhi kerajaan tempatan sehinggalah mereka berjaya memacakkan kuasa mereka di situ akhirnya. Apabila peneduduk tempatan yang ketika itu rata-ratanya menganut fahaman pagan didedahkan dengan beberapa benda baru yang difikirkan ganjil ketika itu mereka menjadi tertarik dengan dakwah tersebut sehinggkan mereka sanggup menganuti fahaman baru itu. Bayangkan betapa sebuah kampung boleh terpesona dengan ajaran Kristian semata-mata setelah melihat seorang padri yang menunjukkan sekeping cermin untuk menyukur jangkutnya?.

Kejayaan padri Kristian itu telah membolehkan perkembangan perniagaan berjalan dengan lancar sehinggakan sumber asli di sesuatu tempat itu dapat dimonopoli oleh kaum mendatang. Rangkuman dakyah agama dan kekuasaan perniagaan akhirnya memaksa penduduk tempatan akur dengan kekuatan pihak pendatang sehinggakan mereka sanggup bertuan kepada kaum yang mendatang itu. Kejayaan taktik kotor in menular akhirnya dalam arena politik moden. Ia amat berkesan di dalam arena politik di Afrika, sehingga kini. Adalah tidak hairan kenapa taktik demikian semakin menyerlah di Malaysia sejak kebelakangan ini. Ia amat menyerlah sejak MAHAFIRAUN kerap mengadakan lawatan rutinnya ke beberapa negara di benua itu.

Nasib sememangnya menyebelahi Pak Lah sekarang ini kerana hampir semua saingan yang ketara yang dapat menandinginya sudah pun tersisih jauh. Siapakah lagi yang boleh disebut-sebut untuk menandingi Pak Lah, selepas Najib diketepikan? Ketandusan penentang yang terserlah mungkin memberi satu keyakinan kepada Pak Lah. Dia mahu mengorak langkah yang baru, lebih awal dari kemunculan alaf baru. Dia nampak semakin rakus sekarang ini. Dari ucapannya yang satu ketika dulu hambar dan meleret-leret kini sudah bertukar agak kencang sedikit. Pak Lah mungkin bangga dengan kemajuan itu dan memikirkan pembaharuan itu sudah mampu menerampilkan kehebatannya sebagai calon yang paling layak menggantikan si MAHAFIRAUN. Jika inilah falsafah terbaru Pak Lah yang diperkokohkan dengan keazamannya untuk mengharamkan HARAKAH, Pak Lah akan tersilap langkah.

Pak Lah akan silap, kerana kesilapan mengharamkan HARAKAH itu akan membawa padah yang amat besar sekali bahananya. Pak Lah harus mengambil iktibar bahawa usahanya untuk mengharamkan HARAKAH akan mencetuskan satu tindakan laksana gegaran gempa bumi yang akan melanda negara ini. Berita rampasan beberapa helai akhbar itu di ibukota sudah pun disambut dengan reaksi yang amat menakutkan kita yang cintakan keharmonian negara. Apakah yang mungkin terjadi kalau ia menjadi kenyataan?

HARAKAH sudah menjadi obor pedoman bangsa Melayu sejak beberapa waktu yang lalu dan kini menjadi denyutan nadi bangsa yang tidak mudah diketepikan. Mengharamkan HARAKAH bererti Pak Lah cuba menghumbankan obor pedoman itu dan menghentikan degup-degup debaran bangsa Melayu. Lantas, Pak Lah akan mencantas sumber penting yang sentiasa meredakan keresahan bangsanya sendiri. Untuk sekian lama HARAKAH melambangkan imej kemurnian bangsa yang cintakan keharmonian sehinggakan berjaya menarik minat orang lain untuk membacanya dan menghayati kebenaran yang tertulis di dalamnya.

Pak Lah akan tersilap langkah dalam karier politiknya sandainya dia berani mengharamkan HARAKAH. Dia harus ingat, sepanjang karier MAHAFIRAUN sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dia tidak pernah mengharamkan HARAKAH walaupun saban hari ada sahaja balacinya yang mendesak berbuat demikian secara terbuka.

Pak Lah sudah terdesak?

Menyedari hakikat ini, apakah tindakan Pak Lah ini dibuat atas dasar arahan MAHAFIRAUN ataupun jolokan orang-orang MAHAFIRAUN ataupun sebahagian rencana untuk menonjolkan nama Pak Lah sendiri oleh kumpulan stragisnya? Apa juga jawapannya yang akan kita ketahui, ura-ura Pak Lah itu pasti melantun balik bahananya. Pak Lah akan menjadi seorang pemimpin UMNO yang paling dibenci orang. Namanya akan disumpah seranah seperti yang dibuat terhadap ketuanya sekarang. Kaum keluarganya pun akan menerima tempias kemarahan rakyat. Sebagai seorang anak yang lahir dalam arena politik tidak mungkin Pak Lah tidak memahami perkara ini. Kita lebih mempercayai rintihan naluri yang mengatakan bahawa Pak Lah sebenarnya bikin drama dengan merampas edaran HARAKAH itu sebagai ujian pertama untuk menyukat reaksi rakyat. Kalaulah ada kebenaran dalam sinopsis begitu, Pak Lah harus berwaspada kerana tahap toleransi rakyat sekarang ini berada di satu tahap yang amat kritikal sekali. Samada tindakan Pak Lah itu adalah gesakan nalurinya ataupun disebabkan arahan dari atas adalah satu tandatanya yang kita inginkan jawapannya.

Rakyat di seluruh negara sedang membendung rasa marah kerana harga barangan yang semakin meningkat. Peralatan yang diperlukan untuk anak-anak bersekolah sudah naik mendadak. Tambang bas sekolah pun akan dinaikkan lagi. Sejak sekolah ditutup kita telah melihatkan keadaan barangan pengguna semakin tinggi harganya, dan kerajaan BN tidak pun dapat berbuat sesuatu untuk membendungnya. Penjelasan Ketua Setiausaha Kementerian hal Ehwal Pengguna (Dato Pahmin Rejab) tidak juga dapat menjamin bahawa harga barangan akan turun. Seperti yang ditulis dalam satu rencana bertajuk 'Ayam-bermacam ayam' Pak Lah harus sedar bahawa: "kelembutan sikap rakyat itu jangan sekali disalah-tafsirkan."

Oleh kerana rakyat terlalu membendung keresahan mereka untuk terus menerajui kehidupan keluarga yang semakin tertekan, rakyat akan memberontak secara berkumpulan meminta kerajaan campur tangan dalam menurunkan harga barangan pengguna. Sebarang usaha untuk menyekat hak kebebasan rakyat itu secara spontan akan mencetuskan satu reaksi yang bukan kepalang risikonya. Rakyat yang kepenatan berfikir dan keletehan bertoleransi akan mentafsirkan bahawa ura-ura mengharamkan HARAKAH sebagai satu kaedah bagaimana kerajaan BN mahu membendung hak rakyat.

Pak Lah disakat untuk disagat

Pak Lah sebenarnya sedang disakat untuk melatah agar senang musuhnya menyagatnya. Adalah amat malang kalau Pak Lah turut melatah di saat-saat MAHAFIRAUN sudah hampir di ambang tarikh luputnya. Apakah latah itu satu sikap yang disengajakan ataupun disebabkan ia dijolok oleh orang-orang tertentu persis jolokan yang berlaku dalam kempen presiden di Amerika? Kita masih belum dapat mempastikannya lagi kerana memerlukan masa yang agak panjang untuk menganalisa implikasinya. Kita harus sedar bahawa laksana pemilihan presiden Amerika, rakyat negara ini sudah pun menjadi mangsa mainan politik orang luar. Seperti juga perlantikan beberapa ahli kabinet baru yang datangnya bukan daripada ahli UMNO, apakah tidak mungkin sudah ada tangan ghaib yang sedang sibuk main silap mata di sebalik tabir yang terpasang di Putra Jaya?

Kesimpulannya

Kerja kelentongan sememangnya amat terserlah sejak Malaysia mengalami kegawatan ekonomi. Momentumnya semakin memuncak sejak DSAI ditangkap dan terus bergegagaran sejak dia dipenjarakan. Kemenangan BN yang banyak dihantui undi tipu dan undi hantu masih belum dapat menonjolkan kepimpinan MAHAFIRAUN ke tahap yang amat diimpikannya. Di sana-sini rakyat amat bergantung kepada HARAKAH untuk mendapatkan berita sebenar. Walaupun ada sesetengah berita itu merupakan berita basi, rakyat masih mempercayai kandungan HARAKAH kerana kesangsian yang amat tinggi terhadap media massa yang lainnya.

HARAKAH sudah menjadi satu lambang kebenaran bagi majoriti orang Melayu. Hari demi hari ketelusan pimpinan kerajaan Kelantan dan Terengganu semakin terserlah kerana setiap tindakan kepimpinannya mendapat liputan yang luas di HARAKAH. Tanpa HARAKAH ada sahaja tindakan itu yang dikelentong oleh Utusan dan kawan media yang sebulu dengannya. Kaum lain pun sudah mula minat menulis dalam HARAKAH sehinggakan semakin banyak agensi berita asing yang lebih gemar merujuk kepada isi HARAKAH daripada BERNAMA ataupun media massa yang lain. Inilah satu penghormatan besar kepada orang Melayu dan juga PAS dan BA.

Pak Lah harus menyedari satu hakikat sebelum terlambat bahawa sebahagian besar orang Melayu dan rakyat yang mahu menegakkan keharmonian negara ini akan menganggap sebarang ura-ura untuk mengharamkan HARAKAH adalah satu kesilapan. Pengharamannya akan ditentang habis-bahisan walaupun ia bererti mencetuskan satu pergerakan jihad di negara ini.

Semoga Pak Lah bertenang dan berbanyak sembahyang istikarah. Apakah HARAKAH sebenarnya yang memfitnah perjalanan hidup bangsa kita, ataupun HARAKAH yang memperbetulkan segala propaganda dan kelentongan yang dicerna oleh para juak MAHAFIRAUN yang tidak semestinya mahukan Pak Lah?.

Ada orang merencana agar Pak Lah terus melatah untuk membolehkan MAHAFIRAUN mengisytiharkan satu hari nanti bahawa beliau tersilap memilih Pak Lah sebagai penggantinya. Politik yang didalangi oleh manusia berhati syaitan kerap membabitkan beberapa manusia yang daif dengan putarbelit yang penuh intrig. Seperti yang telah berlaku kepada Musa Hitam, Ghaffar Baba, Ku Li, DSAI dan juga Najib, Pak Lah kini merupakan mangsa yang seterusnya. Beristigfarlah Pak Lah sebelum terlambat. Jangan-jangan satu hari yang terdekat Pak Lah terpaksa mengharapkan jasabaik HARAKAH untuk membela nasibnya kerana disembelih oleh para malaun yang ramai mengerutungi seorang diktator tua yang mudah menjelir dan sentiasa tercungap itu.

-MT-
26.12.1999.