Bermulanya Revolusi Rakyat I

Prakata:

Penulisan ini dihadiahkan kepada semua WEBMASTERS yang telah menunjukkan kegigihan menjadi penyambung di antara golongan penulis reformasi dengan masyarakatnya dan kepada semua reformis yang melayari laman web itu. . Selagi anda bersedia melayari gelombang risiko dengan laman web anda, selagi itulah akan muncul penulisan yang diharapkan membawa kesedaran kepada setiap anak bangsa yang akan mewarisi tugas mencelikkan generasi masa hadapan dan memacakkan semangat panji-panji keadilan dan ketaqwaan. Apa lagi yang ada pada kami yang semakin ganyut ini melainkan pengalaman yang terkumpul semasa mengaharungi liku-liku hidup yang penuh ranjaunya? Apa lagi yang dapat dibekalkan kepada pewaris bangsa melainkan tinta-tinta pengalaman itu yang sememangnya melambangkan kematangan yang terkumpul di sebalik pelbagai kesilapan yang tidak disengajakan ataupun kerakusan yang disebabkan kealpaan ? Namun disebabkan asas keimanan yang tidak mudah pudar, selagi hayat dikandung badan, membolehkan himpunan nota-nota segala pengembaraan di setiap liku-liku hidup itu menjadi satu harta warisan yang penuh nostalgia untuk santapan anak bangsa jua.

Ingatan pada Webmaster: Saya menyerahkan kepada kebijaksanaan webmasters untuk menyunting tulisan ini kepada beberapa bahagian yang difikirkan sesuai. Pengiriman dibuat secara tergesa-gesa untuk mengelakkan ancaman Y2K.

Detik-detik kemunculan abad-21 sudah semakin terasa. Hanya menunggukan dentuman ketibaannya yang akan membawakan seribu macam tandatanya akan apakah riak-riak alunan ombak yang akan menghentam pantai pemikiran Bangsa Melayu. Apakah ombak yang datang itu membawa irama yang boleh menanamkan semangat juang satu bangsa yang sedang berada di persimpangan kebingungan disebabkan minda yang tertekan selama 43 tahun yang lalu? Ataupun irama itu akan datang untuk terus menghayalkan minda agar terus terpukau dan terpaku dengan segala dakyah manis bahawa bangsa yang maju itu adalah bangsa yang mampu membina menara kembar yang paling tinggi di dunia serta berjaya membuat pelbagai projek mega yang dapat menandingi segala monumen lain di negara yang lebih maju?

Alangkah bertuahnya Bangsa Melayu!

Sejarah dunia telah membuktikan bahawa bangsa Melayu itu adalah satu bangsa yang direstui Allah dengan pelbagai budaya dan khazanah bangsa berteraskan budaya asing yang penuh warna-warni. Cuma, bukan semua budaya asing itu telah dapat diterapkan sehingga kini, untuk membolehkan bangsa Melayu itu menjadi satu bangsa yang disegani di dunia; seperti bangsa lain yang lebih maju dan lebih berusaha.

Orang Melayu dinobatkan dalam perlembagaan negara sebagai golongan pribumi yang beragama Islam. Gologan yang juga dikenal sebagai bumiputra ini telah dianugerahkan Tuhan dengan pengetahuan budaya asing untuk melayari peradaban dunia dengan segala peluang menjadi satu bangsa yang besar walaupun bilangannya tidak pun seberapa. Bayangkan sahaja keanihan mukjizat yang dianugerah Tuhan sebaik sahaja seorang Melayu itu lahir. Belum pun ia mencelikkan mata untuk melihat dunia ia mendengar bahasa ibundanya di telinga kiri dan melalui tiupan azan ia mendengar Bahasa Arab di telinga kanannya. Tubuhnya disambut dengan segala budaya pelbagai bangsa yang menjadi warganegara Malaysia. Sebaik sahaja dia boleh menjejakkan kakinya ke tanah, mungkin ada budaya Hindu yang akan diperkenalkan kepadanya dan budaya Parsi diajarkan untuk mengenal dan menghormati orang tua.

Ketika dia berada di bangku sekolah dia didedahkan kepada Bahasa Latin untuk mempelajari hukum undang-undang dan sains. Dia akan berpaut kepada Bahasa Inggeris, Jerman dan Peranchis untuk menjiwai bahasa niaga. Ia perlu memahami budaya Korea, Jepun dan China kalau mahu menjadi pakar dalam perniagaan Timur Jauh. Mungkin juga ia terdedah kepada budaya Yunani dan Arab Kuno untuk memahami pergerakan cakrawala dan bintang. Kalau dia seorang yang minat kepada sejarah maritim, ia pasti akan mewarisi budaya Portugis, Belanda dan Sepanyol untuk mengetahui bagaimana mereka datang ke perairan gugusan kepulauan Melayu dan berjaya mengkucar-kacirkan peradaban bangsanya itu. Untuk memahami bagaimana kuasa besar berlagak garang, dia akan digamit untuk mempelajari tamaddun Amerika, Russia, China, India, Jepun, Korea dan pelbagai bangsa lain di barat dan juga di Amerika Latin.

Sambil dia menyingkap sejarah budaya asing itu ia pasti akan tercuit untuk mengetahui betapa benua Afrika yang sungguh besar dapat dijajah dan diagihkan sesama mereka yang datang dari barat. Tentunya dia akan terpesona dengan kepintaran budaya Zulu dan taktik perangnya sehinggakan taktik itu dipelajari oleh orang Jerman dan menjadi dasar taktik ketenteraan sehingga hari ini. Lantas dia akan mengetahui bagaimana orang barat telah berjaya menangkap, menggari dan merantai orang-orang Islam Afrika untuk dibawa ke benua lain bagi tujuan menjadikan mereka hamba abdi. Dalam kajiannya itu dia pasti akan terjumpa dengan cerita bagaimana bangsa yang maju kini pernah menghantar ekspedisinya merentas benua; baik di darat mahupun di lautan, semata-mata untuk membalun hasil yang ada di negara yang dilawati itu dan dibawa balik untuk menjadikan barangan yang bermutu. Hasil kajian itu pasti memcetuskan tandatanya bagaimanakah mungkin orang mendatang dapat bertapak di negara yang dilawatinya dan berakhir dengan memegang kuasa ketuanannya?

Demikianlah panjangnya tekateki yang akan menyedarkan dia untuk terus bertanya kenapa bangsanya yang kaya raya tidak maju sebaris orang luar yang tidak pun mempunyai hasil bumi sebanyak itu? Tekateki itu akan terus menekan jiwanya apabila ia terdedah kepada satu rahsia yang selama ini sengaja disorok oleh pemimpin bangsanya. Ia akan terperanjat apabila mengetahui bahawa sebelum sebarang manusia pergi ke bulan sudah ada monyet yang sudah pun dihantar dulu. Cerita itu semakin intrig baginya apabila dia mengetahui bahawa monyet yang dihantar ke Houston, Texas dulu sebenarnya datang dari Bangi, sebuah bandar yang semakin membesar kerana adanya sebuah universiti. Dadanya akan berkobar diberitahu bahawa bahawa Neil Armstrong tidak mungkin menjejakkan kakinya ke padang yang sungguh menggerutu permukaannya kalaulah beruk Bangi tidak dihantar dulu ke situ.

Pelbagai soalan akan terus meluru ke pintu pemikirannya untuk mencari jawapan yang dapat memuaskan hati. Dia akan terus menggelengkan kepala apabila mengetahui betapa kayanya negara ini dengan hasil bumi yang ada. Dia akan menyoal dirinya bagaimanakah sebuah negara yang pernah menjadi terunggul di dunia dalam keluaran bijih timah, kayu tropika, koko dan getah boleh menjadi sebuah negara terpinggir dalam bidang pertanian dan kejuruteraan? Dia akan tertanya-tanya bagaimanakan sebuah negara yang mempunyai persisiran pantai yang panjang, tanpa perlu memikirkan serangan gempa bumi dan gegaran gunung berapi masih tidak mampu mempunyai industri penangkapan ikan di lautan dalam dan industri maritim yang unggul di rantau ini? Otaknya menjadi terseksa apabila memikirkan bahawa negara yang terunggul dalam keluaran sawit dengan keluasan tanah yang lebar masih tidak mampu memajukan industri ternakan ayam, lembu dan kambing sehinggakan terpaksa berharap pada impot untuk keperluan susu dan daging? Ia menjadi tertekan apabila mengkaji carta penurunan hujan dan mendapati bahawa negaranya masih bergantung pada impot untuk pembekalan beras dan jagung sedangkan tanah kosong amat ketara di sana-sini; membolehkan kedua-dua tanaman itu diusahakan secara berselang-seli. Dia akan menjadi bingung bila diberitahu betapa batu kapur yang berselerak di merata negara masih tidak mampu dieksploitasi dengan teknologi yang terkini untuk menghasilkan barangan indah dan yang bermutu untuk menandingi barangan yang perlu diimpot setiap waktu.

Alangkah Malang Nasib Bangsa

Semakin dibiarkan otaknya bergelodak dia akan terus terdesak untuk mengetahui sebab mesabab begini terjadinya kepada bangsa yang tidak mampu mengadakan setiap sesuatu yang memungkinkah bangsanya menjadi maju. Akan terserlah nanti betapa malangnya nasib bangsanya yang terbiar dipukau oleh seorang pemimpin yang mengaku selama ini seorang pemikir dan penglaksana yang berhati rakyat dan berotak geliga.

Dia akan tersentak dari lamunan apabila mendongakkan kepala memerhatikan keadaan sekelilingnya. Akan terbayang padanya menara kembar berbentuk 'H' yang merupakan bangunan tertinggi seantero dunia di abad ke-20. Inilah bangunan di negara Tanah Melayu yang telah menaklukki kehebatan The Sears Tower of Chicago yang pernah memegang kejuaraan itu selama 20 tahun yang lalu. Menara kembar yang tingginya 170 meter itu dan hasil lakaran Cesar Pelli and Associates adalah lambang kemegahan sebuah negara di mana rakyatnya tidak pun menyedari kejuaraan yang ada; kerana majoriti rakyat itu tidak pun mahu peduli akan khayalan ini. Mereka sibuk untuk kais pagi makan pagi, dan kais petang makan hati.

Lantas, dia akan sedar bahawa bangunan kembar itu terbentuk demikian disebabkan jambatan penyambung yang dibina di tingkat 41 dan 42 yang menjadikan bentuk 'H' yang paling ketara. Akan terjawab padanya bahawa bentuk 'H' itu adalah simbol 'Hasmah' yakni sebuah nama indah yang meniti dibibir seorang diktator tua yang mahu menyemadikan sebuah bangunan paling tinggi di dunia untuk teman hidupnya persis pembinaan Taj Mahal yang dibina oleh seorang maharajah sebagai lambang cinta terhadap isterinya juga.

"Oooh, begitu!" pasti akan terkeluar daripada mulut anak muda ini apabila menyedari bahawa Taj Mahal yang dibina di Agra India itu kini sudah ada saingannya yang lebih hebat walaupun dibina oleh seorang yang mempunyai darah India juga. Cuma, Taj Mahal itu dibina oleh seorang maharajah yang memang kaya raya dan setelah pembinaan itu siap, semua pakar tukangnya diseksa agar tidak membina monumen yang lebih cantik dari itu. Di Malaysia, Menara kembar 'H' dibina oleh seorang diktator yang kaya juga tetapi binaan itu bukannya dengan duitnya. Itu adalah hasil rampokan duit rakyatnya yang terpedaya dan tidak boleh berbuat apa-apa. Para pembinanya pula bukannya rakyat watan tetapi kebanyakannya datang daripada benua India juga. Ada segelintir di antara mereka itu kini tertanam di antara batu belok dan simen yang mendindingi bangunan tinggi yang disaluti marmar dan alimunium. Jasad mereka menjadi penjaga tetap yang tidak bergaji bagi sebuah bangunan yang melambangkan kerakusan dan keegoaan seorang manusia yang sudah lupakan maruah diri.

Kemanakah perginya bayaran royalti?

Jiwa anak muda yang menyedari penyelewengan hasil minyak dan gas negara itu akan menjadi semakin tertekan. Dia akan menyoal dirinya; "kalaulah hasil minyak sebanyak ini boleh dibelanjakan bagi projek mega yang melambangkan pembaziran apakah terjadi kepada wang royalti yang diagehkan kepada negeri yang mengeluarkan minyak dan gas itu? Apakah di sana berlaku juga pembazirannya?" Tentunya dia akan teringatkan Sarawak, Sabah dan Trengganu untuk mencari jawapan yang sebenarnya. Anak muda ini semakin terkejut bila mendapati bahawa semua negeri yang menerima royalti daripada hasil buminya adalah negeri yang mempunyai hutang yang besar kepada kerajaan pusat. Anak muda ini menjadi kaget dengan pendedahan itu. "Mana mungkin?" tanyanya. "Kenapa tidak?" jawap kawannya. "Kalau royalti yang diberikan itu disonglap bersama oleh orang yang mempunyai kuasa dengan projek raksaksa yang tidak memberikan apa-apa, gunung Kinabalu pun boleh menjadi busut kalau ditajak setiap hari. Tasik Kenyir pun boleh menjadi tandus kalau dihisap airnya secar berterusan." Inilah satu pengajaran yang mengerikan yang baru dipelajarinya.

Episod Panjang Sebagai Iktibar

Gambaran di atas mencetuskan satu episod panjang yang pasti menjadi satu polemik tanpa noqtah di satu hari nanti. Ia akan menjadi bahan sejarah yang akan diperdebatkan oleh anak bangsa untuk menyelesaikan tekateki yang akan kerap muncul dan sentiasa berulang.

Kalau kita buat perbandingan perjalanan tamaddun bangsa lain yang berjaya dan bergelar 'maju', kita dapati tahap-tahap perjalanan tamaddun mereka yang merangkumi pelbagai episod yang panjang. Ia menjadi episod panjang sebagai pengajaran yang besar dan mematangkan setiap bangsa yang mengharunginya. Peradaban sesutu bangsa yang maju kerap mengalami zaman-zaman getir yang disanggah oleh gelombang reformasi yang akhirnya bertukar bentuk menjadi pergolakan revolusi.

Dalam buku sejarah, orang Melayu dikatakan telah meredeka pada 31 Ogos 1957. Inilah Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka di mana semua penduduknya diberikan taraf kerakyatan; tidak kira kemasukan mereka sebelum itu hanya berupa mencari rezki untuk sementara.

Pada 16 September 1963, bertukar pula negara itu bila dicantumkan dengan Singapura, Sarawak dan Sabah. Ia menjadi satu penyatuan beberapa bahagian gugusan kepulauan Melayu yang satu ketika dulu menjadi tumpuan orang asing untuk rempah ratus, damar dan tempat perlindungan daripada pukulan ombak dan taufan. Malangnya Brunei enggan dengan rancangan itu walaupun Sarawak dan Sabah sebenarnya merupakan jajahan takluknya pada satu ketika dulu tetapi diserahkan, secara putar belit, kepada orang British yang akhirnya menggelarkan diri mereka maharajah. Sinagapura yang masuk dalam gagasan yang dinamakan MALAYSIA tidak pula memertabatkan warisan Sultan Husin yang ketika itu duduk tercanguk di Istana Kampung Gelam. Kemasukan Singapura telah memungkinkan ketua menterinya yang bernama Lee Kuan Yew untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia seperti yang diimpikannya.

Lee Kuan Yew bukannya orang sembarangan. Beliau adalah seorang peguam berbangsa China dan merupakan seorang Queen's scholar yang amat pintar dan pandai merendahkan dirinya. Orang Melayu Singapura amat mengkagumi kepintarannya membaca Jawi, sehinggakan mereka sanggup mengenepikan hak warisan Sultan Husin untuk menaikki takhta Singapura ketika itu. Namun, orang China Malaysia yang bernaung di bawah MCA amat curiga dengan Lee Kuan Yew kerana sudah mengagak akan ketandusan penyokong kalau Lee Kuan Yew terus rapat dengan Bapa Merdeka Tunku Abdul Rahman Putra. Maka direncanakanlah satu konspirasi untuk merenggangkan Tunku daripada Mr. Lee sehinggakan Singapura dibenarkan menarik diri daripada Malaysia pada Ogos 1965.

Sebenarnya pengunduran Singapura itu amat menyedihkan Tunku dan orang Melayu juga. Pengisytiharan Malaysia sebenranya telah terjalin setelah Malaya berjaya menghadapi ancaman 'Konfrontasi' yang ditaja oleh Presiden Sokarno daripada Indonesia pada tahun 1962. Beliau mahu mengganyang Malaya yang dianggapnya sebagai penghalang impiannya untuk menubuhkan Indonesia Raya. Konfrontasi yang disokong oleh kerajaan Macapagal di Filipina, telah dapat didamaikan pada tahun 1966.

Lee Kuan Yew mengundurkan dirinya dengan meninggalkan agenda yang terpendam di kalangan orang bukan Melayu. Dia telah membukakan mata orang China dan keturunan India agar menuntut hak yang lebih dari apa yang pernah ditageh dan persetujui oleh pemimpin MCA dan MIC pada satu masa dulu. Akibatnya, persengketaan berpanjangan terus berlaku tanpa dapat dihidu terlebih dulu oleh kerajaan Tunku. Pada 13 Mei 1969 selepas tersiarnya keputusan pemilu, pergaduhan di antara Melayu dan China pun meledak di ibukota Kuala Lumpur. Ia meletup secara tiba-tiba walaupun ada pihak yang mengatakan bahawa semua itu sememangnya sudah direncanakan. UMNO yang merupakan parti terbesar komponen Perikatan menjadi tersentak dari angan-angannya. Satu kajian kecemasan dilaksanakan. Kesannya membuatkan Tunku menyingkirkan seorang pemimpin ultra Melayu ketika itu yang dikenal sebagai Dr. Mahathir bin Mohammad. Insan ini sebenarnya merupakan calon UMNO yang kalah bertanding kerusi parlimen di Kota Star Selatan. Tunku terpaksa bertindak setelah Mahathir Mohammad menyalahkan putera raja itu di atas kekalahan Parti Perikatan dalam pemilu walaupun ketika itu semua kerajaan negeri dan pusat masih lagi dimenangi oleh mereka.

Dengan putar belit yang tidak ada tandingannya Mahathir telah berjaya memukau perhatian rakyat jelata untuk menuduh Tunku sebagai petualang yang melemahkan kuasa UMNO. Beliau telah menuduh Tunku kerana bersekongkol dengan orang-orang China dan melupakan perjuangan parti UMNO. Dengan lantang dan tanpa segan dan silu Mahathir telah menyindir agar Tunku meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada Tun Abdul Razak untuk menggantikannya. Tunku menjadi terus tertekan apabila Mahathir menerbitkan sebuah buku berjudul The Malay Dilemma yang dapat mengabui orang Melayu. Buku itu telah diharamkan di Malaysia tetapi mudah dibeli di Singapura ketika itu, seolah-olah ada kerjasama daripada kerajaan Lee Kuan Yew.

Bila Tun Razak naik menjadi perdana menteri dia memilih Tun Ismail sebagai timbalannya. Di zaman Abdul Razak pelbagai bentuk reformasi rakyat telah ditajakannya. Pada 1971 dia telah merasmikan Dasar Ekonomi Baru (NEP) yang memberi penekanan kepada kemajuan ekonomi golongan bumiputra. Pada 1 Februari, 1972 Kuala Lumpur diistiharkan sebagai sebuah bandaraya. Pada tahun itu juga tertubuhnya gagasan Barisan nasional di mana parti PAS masuk menjadi ahlinya dengan parti komponen Perikatan. Malaysia semakin maju dan syarikat penerbagngan MAS pun ditubuhkan pada 30 September 1972 sebagai simbol kemajuan seabuah negara yang baru merdeka.

Pada 1973, tiga tokoh Melayu yang terpengaruh telah meninggal dunia. P. Ramlee seniman agong Melayu telah menemui penciptanya. Kemudian, Tun Dr. ismail pula dan disusuli oleh Pendita Zaaba yang amat berjaya kepada bangsanya.

Perdana menteri kedua itu tidak dapat bertahan lama disebabkan masalah kesihatan yang kerap mengganggunya. Husian Onn yang sudah menggantikan Tun Ismail, mengantikan birasnya yang menjadi almarhum dan melantik si 'Ultra Malay' tadi sebagai timbalannya. Maka berputarlah peredaran masa dengan lajunya bagi si Ultara Malay tadi sehingga membolehkanya naik takhta menjadi perdana meneri pula apabila Husin Onn mengambil keputusan untuk bersara. Sebaik menaikki takhta kepimpinan poltik negara pelbagai perubahan telah dipraktikkan. Masa yang berbeza di antara Malaysia barat dan Malaysia Timur diseragamkan. Sistem 'punch card' diperkenalkan untuk memberi peringatan kepada rakyat agar bekerja kuat dan mengikut masa. Dr. Mahathir Mohammad pun terus membuat pelbagai perubahan untuk memajukan negara.

Rakyat menjadi terpukau dengan kelantangan ucapannya dan ketegasan pimpinannya. Apa sahaja yang dia mahu, dilakukan dengan bersistem. Kalau ada rintangan terhadap sesatu rancangannya, ia pun diatasi secara bersistem juga. Majoriti rakyat galak menyokongnya seolah-olah terpesona dengan segala tipu muslihat dan ayonan kayu sakti ala 'mandrake' yang ada di tangannya.

-MT-
31.12.1999.

Catatan : Artikal ini mengandungi 3 bahagian. Insya-Allah bahagian seterusnya akan dikeluarkan setiap hari. - Tok Ayah