Bermulanya Revolusi Rakyat IV

RINTIHAN RAKYAT KEPADA RAJA-RAJA
- Di manakah penghujungnya ?

Ketidakpuasan rakyat terhadap kerajaan Mahathir semakin terserlah hari demi hari. Bahangnya terasa di merata tempat di seluruh negara. Cuma Mahathir dan para juaknya yang sibuk menafikan fenomena ini sehinggakan sanggup berbelanja besar untuk meyakinkan para penyokongnya.

Jikalau diambil kira akan saranan yang terdapat di media massa dan saluran perdana, kerajaan Mahathir seakan berada di satu tempat yang utuh dan yang sukar untuk diganggu-gugat oleh para barisan pembangkangnya. Akan tetapi, ini adalah mainan politik yang memerlukan belanja yang besar. Perbelanjaan itu terus dicurahkan dengan menggunakan wang ringgit rakyat tanpa memikirkan implikasinya.

Ketika Anwar baru sahaja ditangkap, tidak ada sesiapa yang berani menelah secara jujur bahawa rakyat akan bangkit untuk memerangi penindasan yang dirancang oleh Mahathir terhadap Anwar dan para penyokongnya. Parti KeADILan belum wujud ketika itu. Hanya GERAK yang dipelopori oleh parti PAS yang menonjol bersama Datin Seri Wan Azizah untuk memperjuangkan nasib Anwar.

Kemunculan parti KeADILan dan permuafakatan di kalangan semua parti pembangkang dalam bentuk yang disebut Barisan Alternatif telah membawa satu gelombang kesedaran yang memukul pantai pemikiran rakyat jelata seluruh negara. Ia tidak berkisar di kalangan rakyat yang mempunyai kecenderungan kepada perjuangan parti PAS ataupun DAP sahaja. Gelombang ini telah menaklukki pemikiran segenap lapisan masyarakat yang cintakan kedamaian dan harmoni di negara ini.

Kebangkitan reformasi rakyat yang dikeramatkan oleh DSAI di masjid negara telah menggugat kedudukan MAHFAIRAUN. Kemuncaknya telah tercipta di masjid negara juga di mana rakyat telah menunjukkan emosi mereka untuk menyerahkan satu memorandum kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong. Sayangnya, majlis yang penuh emosi dan bersejarah itu yang diilhamkan dengan segala sopan santun dan penuh harapan; telah bertukar wajah menjadi satu peristiwa yang menyayat hati yang besar kemungkinan mencetuskan trauma kepada golongan kecil yang turut serta.

Satu peristiwa yang sepatutnya menjadi pengajaran manis kepada anak-anak muda akan apa ertinya kebenaran dan keihlasan rakyat jelata; bertukar kepada satu peristiwa di mana pemerintah menunjukkan belangnya melalui tingkahlaku kurang ajar pasukan keselamatan yang sepatutnya menjadi lambang keselamatan negara dan pelindung rakyat jelata.

Alangkah aibnya apabila satu demonstrasi aman yang dipertonton oleh golongan rakyat yang cintakan kedamaian dibalas dengan pancutan air asid dan serangan pukulan yang kejam kepada rakyat yang tidak bersenjata dan bermaya.

Namaun, rakyat sudah bangkit dengan menyerahkan satu memorandum kepada raja-raja mereka dan rakyat pasti akan terus bangkit mengharapkan jawapannya.

Apa yang boleh diharapkan dari istana?

Jikalau kita teliti jawapan Abdullah Badawi ketika dikemukakan soalan mengenai isu memorandum dahulu, kita boleh merumuskan bahawa tidak ada reaksi yang berkesan boleh diharapkan daripada istana.

a) Golongan Istana sedang tersepit:

Rakyat tahu bahawa golongan istana sendiri dalam keadaan serba salah. Mereka sudah berada dalam satu situasi tertekan sejak Mahathir berjaya meletakkan martabat mereka hanya canggih di atas kertas dan tidak lagi mempunyai banyak kuasa di atas singgahsana. Mahathir sudah berjaya meletakkan raja-raja berada hanya di "singgahsini". Singgahsana sebenar sudah dirancangkan untuk berada hanya di Putra Jaya.

b) Pemimpin UMNO/BN lebih berkuasa daripada Raja-raja.

Pada suatu ketika dahulu golongan istana mempunyai banyak kuasa dan keistimewaan sehinggakan ada ahli istana yang rakus dan lupa daratan. Sikap ini telah dibiarkan untuk berpanjangan sebagai tali perangkap yang akhirnya menjebak golongan ini. Mahathir sudah merencana segala yang perlu untuk menggunakannya sebagai satu senjata menekan golongan istana. Mahathir dan para Menteri Besar yang sepatutnya pada satu ketika dulu menjadi memanda bendahara yang memberi nasihat bernas kepada institusi raja telah menyalah-gunakan kuasa mereka dengan merencana projek mengaibkan raja-raja dengan tunjuan untuk mencantas kuasa mereka dan mengambil alih kuasa yang dianggap berdaulat itu.

c) Pemimpin UMNO pengganti Raja-raja

Dengan terhakisnya institusi raja-raja, kita dapati segelintir pemimpin UMNO telah mengambilalih keistimewaan yang pada satu ketika dulu dikhaskan hanya kepada golongan raja-raja. Di zaman negara kaya dengan hasil rimba, kita dapati golongan istana yang kerap mendapat kawasan balak. Apabila projek balak pupus dan projek perkilangan menonjol kita dapati para keluarga menteri yang menjadi pemegang saham utama. Malahan pengagehan saham-mudah pun menjadi bolotan Pak Menteri, Mak Menteri, kaum keluarga dan para juak mereka.

Ketika Mahathir disaman untuk menghadirkan dirinya di mahkamah yang melibatkan kes Anwar, beliau telah dengan mudah sekali mengenepikan perintah mahkamah itu dengan satu alasan yang amat jijik sekali, seolah-olah beliau mempunyai hak immuniti terhadap mahkamah.

Keupayaan melunturkan kuasa kedaulatan raja-raja telah memperkuatkan kedudukan semua wakil rakyat Barisan Nasional dan UMNO sehinggkan mereka sendiri merasakan merekalah sebenarnya raja di negara ini.

Sikap sombong, bongkak dan takabbur yang dipertontotkan oleh golongan ini yang sebenarnya diamanahkan oleh rakyat menjadi wakilnya, tidak pun mendapat banyak rintangan daripada rakyat yang memberi amanah itu pada asalnya.

d) Kuasa Politik Yang Berlebihan

Apabila kuasa memerintah beralih daripada raja kepada apa yang disebut sebagai wakil rakyat BN dan disebabkan terlalu lamanya parti BN memerintah negara; segala penyalah-gunaan kuasa, kerakusan, kelahapan yang dilakukan oleh para wakil rakyat ini telah dapat dilindungi dengan mudah daripada diketahui secara meluas oleh rakyat. Perkara ini dipermudahkan oleh penguasaan terhadap media massa baik dalam bentuk percetakan ataupun elektronik. Lantas, apa yang dianggap haram, mudah sahaja dihalalkan dan apa yang batil mudah sahaja dijadikan sesuatu yang haq.

e) Institusi Kerajaan dijadikan hak peribadi

Mahatahir pernah merayu kepada rakyat agar tidak mengampunya sebagai seorang individu semata-mata. Dia mengatakan bahawa dirinya tidak penting. Dia mahukan rakyat memilih pemimpin kerana perananya dalam sesuatu insitusi yang dipimpinnya. Inilah caranya Mahathir memutar belitkan keadaan dan terus menjadi Raja Pembohong Melayu yang paling besar dalam sejarah.

Sebenarnya, setelah menghakiskan kuasa raja-raja Melayu, Mahathir telah berjaya memperibadikan setiap institusi kerajaan di negara ini. Keluruhan undang-undang dirobeknya dengan mudah sekali sehinggakan rakyat tidak lagi memberikan kepercayaan kepada mahkamah negara. Keutuhan institusi polis menjadi satu tandatanya rakyat yang besar, selepas Rahim Nor melebamkan Anwar (ketika tangannya bergari) dalam tahanan.

Khazanah negara disalahgunakan seperti hak pensendiriannya tanpa segan dan silu. Kerana itu kita lihat projek 'Pemimpin bersama Rakyat' dilancarkan seluruh negara semata-mata untuk menonjolkan Mahathir dan BN sedangkan segala kos yang berbangkit ditanggung oleh rakyat juga, akhirnya.

Kejayaan Mahathir memperibadikan institusi kerajaan mencapai kemuncaknya apabila beliau menggunakan khazanah negara untuk menutup lubang kerugian yang ditanggung oleh anak-anak dan kroninya, sedangkan rakyat jelata yang juga teruk kerugian terus merana dan dihimpit kemuflisan.

Dengan bertopengkan pembangunan negara mengikut acuan sendiri Mahathir melancarkan "Malaysia Boleh" yang dijadikan batu loncatan untuk membina projek mega yang amat membazirkan. Apabila ada suara tentangan terhadap selera rakusnya itu, Mahathir terus menggunakan pengaruh luar sebagai lambang durjana yang cuba menghancurkan keharmonian negara.

Apabila rakyat terus tertipu

Selama lebih 17 tahun Mahathir telah berjaya menipu rakyat negara ini. Beliau telah berjaya menubuhkan satu sistem pentadbiran yang telah memukau rakyat jelata sehinggakan sistem pemerintahannya itu menjadi satu raksaksa rakus yang paling zalim sekali. Sejarah akan menentukan betapa Mahathir telah mengkucar-kacirkan suasana keharmonian negara ini dengan tipu-helah pentadbirannya.

Jikalau kita teliti cara pentadbiran negara lain yang berjaya, kita dapati pemimpin unggul sesuatu negara itu menggunakan kepakaran para ilmuan negaranya untuk menjana pembangunan ekonominya. Di Singapura, Lee Kuan Yew telah memberikan satu status yang paling tinggi kepada para graduan untuk mentadbir negaranya. Ketelusan pentadbiran kerajaannya itu telah menggerakkan para korporat di pulau itu untuk berganding bahu memperkayakan rakyatnya. Kini, Singapura merupakan sebuah negara yang mempunyai simpanan negara (Sovereign Reserve) yang paling tinggi di dunia ini. Kerana itu, walaupun orang yang berbangsa Melayu dikatakan golongan yang terpinggir di pulau itu, mereka berjaya untuk hidup bebas yang di beberapa segi kedupannya adalah lebih selesa dari apa yang dinikmati oleh bangsa Melayu di Malaysia.

Begitulah juga halnya di Taiwan. Presiden Taiwan dan para pemimpinnya memberikan penghargaan yang tinggi kepada para ilmuannya dan mentadbir negara dengan ketelusan untuk menjadikan Taiwan sebagai negara "Harimau" yang paling unggul sekali.

Perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Mahathir lebih mudah mempercayai ahli koperat tidak kira apakah latar belakang mereka. Di awal pemerintahan Tunku Mahathir, beliau telah memberi status yang tinggi kepada Abdullah Ang yang pada satu masa dulu amat mahir dalam bidang insurans. Abdullah Ang kantul dan kini merengkok di penjara. Beberapa ahli korporat lain diberikan keistimewaan yang sama. Terlalu banyak nama mereka yang boleh dinukilkan. Hampir semuanya mencoteng arang ke muka Tunku Mahathir akhirnya.

Ahli korporat yang ditonjolkan oleh Mahathir ini telah menggunakan taktik yang dipusakai dari nenek moyang mereka dahulu untuk mengendalikan perniagaan. Mereka telah mengamalkan budaya samseng dan kaki-pukul dalam perniagaan dan siapakah yang menjadi sasaran mereka? Tentu sekali para pentadbir kerajaan dan juga para ilmuan yang mempunyai kepakaran dalam setiap bidang niaga yang dikendalikan oleh para korporat jelmaan itu. Malahan para menteri seperti Anwar Ibrahim tentunya merupakan seorang insan yang tidak masuk dalam percaturan bisnes mereka.

Budaya samseng dapat hidup subur dalam suasana pentadbiran yang korup. Makanya kita dapati tahap rasuah adalah tinggi. Moral budaya kerja menurun dan nilai hidup bersopan santun kian luntur disebabkan budaya mahu cepat kebas dan cepat kaya.

Jelmaan budaya kotor yang dibawa oleh suasana niaga yang korup ini akhirnya menular dalam sistem pentadbiran dan tata susila kehidupan negara. Rakyat menjadi keliru kerana hidup mereka sentiasa diburu oleh kepalsuan matlamat untuk hidup bahagia.

Kepincangan fabrik kehidupan ini tidak dipedulikan oleh Mahathir. Semua itu tidak penting baginya. Yang penting ialah membina segala projek yang membawa maksud "TER.." yang dianggapnya sebagai perisai untuk menaikkan ego martabat bangsa. Kuasa autoritarian yang dirangkulnya telah menonjolkan Tunku Mahathir menjadi seorang diktator yang penuh berkuasa di Malaysia. Kerana kegilaan kuasa itu Mahathir telah berani memperakui gelaran sinis yang diberikan oleh rakyat terhadapnya. Tunku Mahathir kini lebih senang menerima gelaran Mahafiraun Moden di Malaysia, tanpa memikirkan implikasinya.

Mahathir berjaya memukau rakyat untuk terus selesa dengan penindasan yang direncananya. Dari seorang reaksioner, Mahathir kini menjadi seorang diktator yang leka dengan segala kekayaan dan kuasanya.

Rakyat yang terpukau kini sudah sedar akan perubahan persekitarannya. Mereka baru sedar akan kehilangan kuasa untuk menjatuhkan Mahathir. Dari segi undang-undang mereka hanya mempunyai ruang untuk mendapatkan kuasa raja-raja untuk membantu.

Apakah yang boleh raja-raja lakukan sedangkan kuasa mereka pun lebih kurang sama dengan kuasa yang ada pada rakyatnya?

-MT-
31.12.1999.