Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

KALAU TAK LARAT BERSILAT ELOK LAGI BERSILA (BAB 1)

Bab 1

Munshi Abdullah pernah menulis panjang lebar akan perangai orang Melayu di zamannya dulu. Beliau telah memberikan gambaran yang amat jelas bagaimana pemuda-pemuda Melayu dulu-dulu suka bersembang-sembang tanpa keruan, berkumpul dan mudah melatah kalau diusik. Yang paling menggelikan hati, katanya: "Anak-anak muda Melayu terlalu suka berpoya-poya dengan keris di pinggang."

Patut jugalah kerajaan British dulu mengharamkan orang ramai membawa pisau di tangan, malahan apa juga yang boleh ditafsirkan sebagai senjata tidak dibenarkan, kerana mereka sudah faham sangat dengan catatan Munshi Abdullah itu. Mujur juga negara ini tidak dijajah oleh orang Amerika yang mengizinkan penggunaan senjata-api tanpa lesen. Kalau tidak, sudah tentu mahkamah tidak banyak bersidang untuk menentukan nasib seseorang yang teraniaya. Semua itu boleh diuruskan dengan adu-domba ala 'duel' dengan menggunakan senjata api semata-mata.

Bayangkan kalau budaya Amerika dari segi penggunaan dan pemilikan senjata diamalkan di negara ini, sudah tentu kita dapat melihat beberapa helai dan keping gambar potret penyangak yang dikehendaki ataupun 'wanted' terpampang di merata tempat. Inilah muka manusia yang diburu oleh pihak berkuasa yang bersifat 'marshall' dan berperanan 'bounty hunters' yang mencari kepala 'penjenayah' tersebut untuk dihukum.

Pengharaman pemilikan senjata merupakan satu tindakan pemerintah British yang boleh dianggap bijak. Jika tidak, hingga ke hari ini orang Melayu sudah pasti mengamalkan budaya lama mereka seperti yang diamalkan ketika Melayu bersetanjak dan bertengkolok di kepala dan berkeris di pinggang. Untuk orang-orang kaya pula tentunya mereka memegang keris panjang di tangan sambil sehelai selendang songket tersangkut pula di bahu. Inilah budaya lama Melayu yang telah ditelan oleh tindakan akta orang putih kerana mereka tidak mahu orang yang dijajah itu mudah melatah dan menghunus keris untuk membantah. Inilah yang dikatakan budaya ditelan zaman, sedangkan kenyataan yang benar inilah budaya yang disisihkan oleh orang asing daripada diamalkan terus oleh orang Melayu.

Dengan tiadanya senjata di tangan ataupun di pinggang, hilanglah semangat keperwiraan Melayu itu. Yang tinggal hanyalah ilmu silat yang diwarisi turun temurun. Itupun, kalau seseorang itu mahu mewarisinya. Jika tidak ilmu mempertahankan diri itu tinggal terpendam kepada tubuh diri yang masih mengamalkannya. Walaupun masih ada lagi kelab ataupun pasukan silat mempertahankan diri di merata tempat, kemajuan pergerakan institusi ini lebih bersifat berseronok sahaja dan bukan bersifat pengamalan ilmu warisan bangsa secara menyeluruhnya. Begitulah nasib yang melanda sesuatu pergerakan kalau penubuhannya itu dikemudikan oleh orang politik yang menumpang glamor di situ. Anak-anak kelab ataupun ahlinya yang betul-betul berminat dengan aktiviti ilmu silat itu hanyalah merupakan segelintir insan sahaja daripada bepuluh ataupun beratus ahli yang didaftarkan. Semangat juang apa yang dapat ditiupkan kepada ahli-ahli itu kalau gerak silat yang diajar adalah berupa silat pulut untuk diperagakan di hadapan raja sehari di kampung-kampung ? Di bandar-bandar, silat pulut pun sudah dilupakan orang kerana persandingan yang dibuat adalah di atas pentas dalam balai yang disewa mengikut tempoh masa. Silat pulut pun lesap begitu saja. Yang tinggal hanyalah tepak pulut yang dijadikan tempat mencacak batang bunga telur yang dijadikan hadiah kepada tetamu yang datang menginaikan pengantin yang bersanding.

Dengan lain perkataan, semangat juang yang berlandaskan semangat keperwiraan Melayu sudah terhakis dengan tergazetnya hukum alam yang diperkenalkan oleh penjajah British. Ilmu silat pun hilang begitu juga sedikit demi sedikit dimamah usia peradaban Melayu itu. Yang tinggal hanyalah bayang-bayang ilmu itu sebenarnya.

Ilmu mempertahankan diri seperti ilmu silat banyak menggunakan kombinasi akal, keberanian diri dan keteguhan semangat. Kekurangan dalam salah satu ciri yang dua ini akan melunturkan kejagoan seseorang untuk dikira seorang handal dalam ilmu silat itu. Keteguhan semangat adalah berpaksikan kemantapan mental yang berbaur ciri-ciri spiritual. Tidak kiralah ciri-ciri itu berpaksikan spiritual keIslaman ataupun anutan lain. Yang penting sekali ialah keupayaan seseorang itu merangkumkan ciri penting di atas tadi menjadi satu kombinasi yang serasi dengan alam kebatinan dirinya sehinggakan dia dapat memberikan fokus kepada cabaran yang dihadapinya. Ilmu bersilat itulah yang sebenarnya menjadi sandaran semangat juang, bukannya keris di pinggang ataupun senjata di tangan. Apa gunanya senjata yang tajam kalau hati insan yang memegangnya kecut ketakutan?

Kita telah diajar oleh lipatan sejarah betapa kekuatan British bergantung kepada keupayaannya datang menjajah dengan senjata api yang lebih berkesan daripada keris dan tombak yang menjadi senjata kesultanan Melayu. Keupayaan menggunakan meriam yang memuntahkan bebola besi ke arah lawan sudah menggerunkan. Bukannya bebola besi itu yang menakutkan, tetapi, ledakan meriam itu yang meremangkan bulu roma masyarakat yang ketika itu hanya bersenjatakan keris dan tombak, lembing dan busar panah, perisai yang dibuat daripada kulit kayu dan kulit binatang serta sumpitan buluh yang mengandungi damak beracun. Bayangkanlah betapa lemahnya kekuatan kerajaan Melayu lama apabila berdepan dengan pasukan British yang lengkap dengan senjata api yang mampu menumpaskan musuh dari jauh. Apa sangat yang termampu dibuat oleh pejuang Melayu dulu-dulu kalau untuk mencacakkan keris panjang ke dada musuhnya dia terpaksa menghadapi risiko bedilan senjata api seperti 'musket' yang mampu mengena sasaraannya daripada jarak seratus ela jauhnya ?

Kesan Senjata Api Kepada Orang Melayu

Kehebatan keris dan tombak selalunya diukur berdasarkan lok (kelok ataupun liku mata besi) keris dan juga jenis besi yang digunakan untuk membuat senjata itu. Kalau sesuatu keris itu yang dijadikan bahan perbualan, selepas mengukur lok dan jenis besi yang digunakan, barulah keris itu dinilai pula daripada hulunya dan juga sarungnya. Apakah jenis bahan yang digunakan untuk membuat hulu keris itu dan apakah pula motif ataupun lakaran yang digunakan untuk diukir ke atas hulu keris. Selepas itu barulah dinilai pula sarung yang digunakan. Sekali lagi bahan yang digunakan dan motif ataupun ukiran yang diperbuat di atas sarung itu menjadi bahan kajian pula.

Oleh kerana zaman kerperwiraan Melayu dulu amat rapat dengan keadaan alam sekeliling, kepercayaan manusia terhadap ilmu mistik yang menyelubungi kehidupan manusia lantas menular kepada kekuatan spiritual yang terdapat pada setiap senjata yang digunakan oleh manusia itu, akhirnya. Kerana itu hingga ke hari ini orang Melayu pada keseluruhannya masih lagi mempunyai kepercayaan terhadap kesaktian keris, tombak, lembing malahan juga gendang dan alat-alat nafiri yang digunakan oleh golongan istana. Kejadian mistik ini lebih mempengaruhi minda Melayu apabila tersebut kisah keris tamingsari yang dipunyai oleh panglima Majapahit yang dapat ke tangan Hang Tuah. Kesaktian keris Jawa purba itu menjadi satu metos apabila kisah Hang Jebat menderhaka menonjolkan cerita betapa Hang Tuah tidak dapat menumpaskan Jebat selagi dia tidak dapat mencuri kembali keris Tamingsari yang sememang menjadi haknya sebagai Laksamana Melaka sebelum ia dinyahkan oleh Sultan Melaka.

Kepercayaan Kepada Kuasa Ghaib

Apabila orang mendatang daripada Eropah berdagang ke gugusan kepulauan orang Melayu, yang menakjubkan orang Melayu ketika itu bukan semata-mata barang dagangan mereka sahaja. Orang Melayu amat tertarik kepada senjata yang dibawa masuk oleh para pedagang 'Benggali Putih' itu kerana senjata api yang dibawa dan digunakan oleh pendatang asing itu mampu menembak sasarannya dari jauh. Ia hanya perlu dipegang pada satu tangan dan digalas ketika tidak digunakan. Senjata 'musket-gun' dan pistol ketika itu menjadi barang ketakjuban orang Melayu kerana apabila dibandingkan dengan keris pendek di pinggang dan keris panjang di tangan para pegawai istana, nampak sangat lemahnya alat ketahanan diri orang Melayu. Lagi pun, orang putih yang datang itu tidak pun perlu membawa perisai di tangan kiri dan tombak dan lembing di tangan kanan. Tidak juga mereka membawa busar dan anak panah di belakang mereka sebagai senjata. Malahan, orang yang mendatang sudah tidak lagi menggunakan sumpitan buluh dan damak beracun lagi. Mereka hanya membawa sumpitan pendek yang digunakan untuk penyumbat tembakau di hujungnya dan diacukan api untuk mengeluarkan asap berkepul apabila disedut sumpitan (paip tembakau panjang) berasap itu.

Demikianlah senjata yang dibawa dan dipertontonkan oleh orang mendatang ketika berdagang dengan orang Melayu ketika itu. Mereka datang dengan barang dagangan dan mampu menyewa tanah dan tapak untuk membuka stor dan gudang menyimpan barangan mereka. Apakah yang mereka gunakan untuk membayar para sultan dan pegawai istana untuk menyewa tanah a itu? Raja-raja Melayu beserta pegawai istana memilih bayaran dibuat dengan bentuk pakaian, emas, cokelat dan biskut daripada para pedagang itu. Kenapakah tidak mereka meminta bayaran dalam bentuk senjata api?

- Bila Orang Red Indian Menyewakan Tanah Mereka di Amerika

Bila orang putih Eropah mula datang berhijrah ke Amerika, apakah yang mereka lakukan terhadap orang pribumi yang mereka gelarkan Red Indian itu? Mula-mula sekali mereka pujuk dengan pelbagai hadiah. Tetapi budaya orang Red Indian yang mementingkan muzakarah telah membuatkan mereka menolak hadiah yang diberikan itu. Mereka hanya ambil makanan dalam tin sebagai bahan simpanan makanan sahaja. Mereka gunakan kebijaksanaan mereka untuk berdagang dengan orang putih yang mendatang. Mereka mahukan senjata api yang dibawa oleh orang putih itu. Bertukarlah tembakau dan tapak tanah dengan senjata api dan juga peluru (gunpowder), bertukarlah sukaduka Perhiasan Red Indian dengan akin gear yang tebal-tebal sebagai pakaian mereka di musim sejuk. Sekaligus orang Red Indian menaikkan martabat bangsa mereka menjadi pengguna senjata api dan tidak lagi bergantung kepada panah dan lembing sebagai senjata untuk mencari nafkah dan mempertahankan diri.

-Bila Raja Melaka Menggadaikan Tanah Melayu

Sebaliknya pula apakah yang didagangkan oleh raja-raja Melayu dan pegawai istana Melayu ketika Portugis dan Belanda datang berdagang di Melaka ? Mereka berikan tanah tapak berdagang kepada mereka dengan bertukar-tukar pakaian dan batu akek dan bukannya batu permata. Itulah batu yang dibawa oleh pedagang Portugis daripada Tanzania dan Malindi (Kenya) Brava dan Merca di Somalia. Kalau kita pergi ke Tanzania dan Kenya masakini, kita boleh melihat bukit bukau yang tinggi telanjang di mana batu-batu akek (jenis Tanzanite dan sebagainya) itu dikaut dengan jentolak untuk dipotong-potong dan dijual secara pukal.

- Emas Rompakan Sebagai Hadiah Sultan Melayu Melaka

Kalau kita baca sejarah Portugis di Melaka, ktia diberitahu betapa Raja Melaka amat kagum dengan pedagang Portugis yang memberikan hadiah emas kepadanya. Tidak pun disedari oleh Raja Melaka dan semua pegawai tinggi istananya bahawa Emas Sebahara yang diunjukkan oleh Portugis itu merupakan emas yang disamun oleh Portugis ketika mereka menyerang dan merompak orang-orang Arab Hitam di Merka dan Brava. Tidak juga raja-raja Melayu mengerti ketika itu betapa pedagang Portugis itu juga merompak kapal dagang Islam yang belayar di Lautan Hindi di persisiran Pantai Kepulauan Zanzibar ketika itu.

Dengan pedagang Belanda pula raja Melaka telah menjualkan tapak tanah untuk Belanda berdagang, seluas kulit lembu yang sudah kering. Memang melucukan permintaan pedagang Belanda ketika itu kerana Sultan sendiri terfikir eloklah diberikan sahaja tanah sebidang itu secara percuma. Dalam benak raja Melayu dan pegawai istana ketika itu pedagang Belanda yang datang sudah sewel. Bagaimana mahu membuat tapak niaga sebesar kulit lembu ? Tetapi, apabila perjanjian sudah dipersetujui, pedagang Belanda pun menghiris kulit itu menjadi tali dan tali itu pun diregang untuk dijadikan ukuran kawasan tanah yang diperlukan. Itulah kawasan 'Stadthuys' yang merupakan warisan sejarah Belanda di Tanah Melayu. Itulah imej kebijaksanaan orang 'Benggali Puteh' yang pernah ditarik janggutnya oleh pengawal istana raja Melayu satu ketika dulu. Sayangnya belum ada orang Melayu yang mahu meminjamkan pisau cukur kepada mereka. Apakah mungkin kerana pisau cukur belum lagi dicipta ketika itu, seperti anggapan seorang pemimpin dunia ketiga berbangsa Melayu dengan belum terciptanya pisau cukur di zaman Nabi Mohammad (saw) ?

Jelas, kedatangan Portugis adalah untuk menjajah tanah Melayu. Tetapi, kekuatan armada Portugis tidak dapat menumpaskan kerajaan Melayu ketika itu tanpa ada orang dalam yang sanggup berpaling tadah untuk membuka pintu istana raja di malam hari. Siapakah orang yang berpaling tadah itu kalau bukan para panglima yang dipercayai sangat oleh raja Melayu ? Bukankah panglima itu yang kerap dirujuk akan nasihat setiap kali raja bermasalah dengan rakyatnya? Siapakah pula yang membunuh Dato Bendahara ketika beliau sedang mengangkat wuduknya ? Oleh kerana pembunuh itu dikenali oleh ahli keluarganya, pembunuhan dilakukan juga ke atas seluruh ahli keluarganya. Apakah secara kebetulan bahawa cerita lama ini ditulis oleh Tun Sri Lanang kalau bukan menjadi ingatan untuk bangsa Melayu akhirnya?

Akhirnya, kerajaan Melayu Melaka tumpas dan bertapaklah Portugis di Melaka dan mengabdikan orang Melayu untuk memperkayakan kerajaan Portugis yang beragama Kristian itu. Tenaga dan kepakaran Melayu dipergunakan oleh Portugis untuk melayari gugusan kepulauan orang Melayu sehinggakan ada anak berdarah Melayu yang dikatakan menjadi pelayar pertama mengelilingi dunia. Apakah kepandaian orang Melayu yang dapat dibanggakan di sepanjang penaklukan Portugis ke atas orang Melayu itu ? Segelintir orang Melayu menganut agama Katholik melalui proses perkahwinan dan bersekedudukan dengan pedagang Portugis itu. Begitu juga halnya dengan para kelasi kapal yang melayari lautan dalam mengemudikan kapal layar Portugis daripada Timur Jauh hinggalah ke Lisboa. Itu sahaja yang dicatatakan oleh sejarah. Orang Melayu masih belum mampu mempelajari ilmu membuat kapal layar yang besar-besar ataupun membuat senapang dan meriam yang menggunakan senjata api. Portugis pergi akhirnya dari kota Melaka yang dibinannya dengan membawa mayat Saint Xavier yang ditanam di puncak bukit yang dikepung oleh Kota Melaka 'La Formosa' . Kini, yang tinggal hanyalah budaya kreol Portugis yang boleh kita amati di Kampung Morten di Melaka itu.

Bila pengabdian kepada penjajah Portugis bertukar kepada penjajahan Belanda, orang Melayu masih juga tidak mampu mempelajari sesuatu yang boleh menaikkan taraf bangsa sebagai satu bangsa yang menonjol di dunia. Ilmu mebuat peluru dan ubat bedil masih lagi belum diketahui. Hanya ilmu bertukang besi dan pelayaran yang dapat dipelajari oleh orang Melayu pada masa itu. Di waktu yang sama, Tanah Melayu semakin didatangi oleh pendatang asing daripada benua Asia. China, India, Jepun juga mula berjinak-jinak dengan pedagang Melayu kerana sudah tahu akan kelembutan bangsa yang mudah menyerah kepada keadaan dalam hidupnya. Demikianlah liciknya pedagang Eropah ketika datang berdagang di Melaka. Apakah yang mereka ajar bangsa Melayu ketika itu? Lihat saja kepintaran mereka hingga ke hari ini. Mereka pandai membuat peluru dan bom, pintar dalam ilmu pelayaran dan pelbagai lagi. Orang Belanda amat pintar dalam pembikinan mentega dan keju. Tetapi, kenapakah tidak ada orang Melayu dulu yang pandai membuat keju itu?

Yang amat ketara, orang Melayu pandai membuat rumah dan bangunan daripada simen dan batu. Itupun kalau kita lihat kepada bangunan lama yang ada di Melaka itu. Tetapi, yang sebenarnya kerja yang halus-halus dilakukan oleh tukang yang dibawa daripada China dan India. Hanya kerja-kerja kasar sahaja yang dibuat oleh orang Melayu. Jadinya, sejak dulu lagi orang Melayu sudah dilatih otaknya agar menerima apa saja yang dilakukan oleh penjajah ke atas negaranya. Mereka lebih dibiarkan dengan mainan sabung ayam, gasing dan sepak raga. Ternyata sekali, apa yang dilakukan oleh Mamak Mandeliar di zaman raja Melaka dulu telah melekat di benak orang Melayu ketika mereka dijajah pula oleh orang asing.

Demikianlah muslihat raja-raja dan pegawai istana ke atas rakyatnya orang Melayu. Mereka lebih gemar kalau orang Melayu itu berkeadaan hina kerana mahu menggunakan tenaga mereka ketika berperang sahaja. Kerana itu kita lihat Sejarah Hang Tuah banyak menceritakan perihal wira-wira Melayu berjuang mati-matian untuk menjaga kedaulatan raja-raja Melayu. Tidak banyak yang kita tahu daripada Hikayat itu akan perihal ekonomi Melayu. Cerita ekonomi tidak penting kepada orang Melayu. Memadailah kalau setiap pendatang yang tiba dikenakan cukai sebelum dibenarkan masuk ke muara sungai ataupun naik ke pantai. Tidak juga banyak cerita tentang sumbangan orang Melayu di pedalaman yang bercucuk tanam, mencari gaharu dan gam kayu untuk didagangkan. Tidak juga banyak cerita tentang orang Melayu yang mendulang besi dan bijih di tepi sungai dan menggali emas di gua-gua. Kerana cerita itu semua bukannya mempunyai sangkut paut dengan raja-raja dan pemimpin Melayu di istana.

Sebenarnya orang Melayu tidak mempunyai banyak hal sejarah bangsanya sendiri kerana banyak tulisan sejarah yang bernas dan amat berharga telah tenggelam dengan kapal yang dimuatkan khazanah bangsa itu. Itulah koleksi khazanah persuratan Melayu yang diseludup keluar oleh Stamford Raffles pada satu ketika dulu.

Kesimpulan Awal

Jelas kepada kita orang Melayu itu memang sudah lama dulu lagi diputar- balikkan otaknya oleh pemimpin Melayu ketika zaman Raja-raja Melayu Melaka lagi. Selepas itu amat mudah sekali penjajah menyambung usaha itu sehinggakan Melayu sedar dan bangkit selepas 450 tahun untuk memerdekakan negaranya.

Memerdekakan negara tidak bererti hati dan diri sendiri pun sama turut merdeka. Kini, kita masih mencari lebaran sejarah dan menyingkap sedikit demi sedikit akan kesan-kesan impak penjajahan yang sungguh lama itu. Sambil kita mencari itu semakin terserlah juga tindak tanduk yang digunakan oleh pemimpin kini untuk terus menjajah minda kita.

Sebenarnya kita tidak payah keluar mencari kenapakah orang Melayu kini berada di satu persimpangan minda yang besar. Ada yang mengatakan kita dijajah oleh agen asing, ada pula yang mengatakan kita sudah lama keliru. Yang nyata minda kita itu belum dapat bebas terus untuk membuat penentuan ke manakah arah kita sebenarnya. Kita dijajah dari segi materialisme dan ideologi yang sesat yang menyogok materialisme itu ke tekak orang Melayu.

Kini, keadaan sudah mendesak orang Melayu bangkit daripada keadaan dipukau dan dirasuk oleh manusia yang berhati syaitan. Inilah perosak bangsa yang terus mahu berkuasa dan sanggup merasuah pemikiran orang Melayu itu agar percaya kepada kepimpinan mereka secara membuta-tuli. Pembohongan, puja-memuja, dewa-mendewa, korupsi, kronisme, nepotisme dan banyak lagi 'isme' lagi sudah menjadi amalan hidup orang Melayu di alaf baru ini.

Di alaf baru yang belum pun mencecah 100 hari, orang Melayu sebenarnya masih mencari-cari gerak-gerak dan jurus-jurus lama peninggalan pejuang lama dalam pencak silat mereka. Apakah pencak silat itu akan digunakan pada majlis perkahwinan ataupun majlis rasmi negara, adalah suatu perkara lain semata-mata.

Marhaintua@Hotmail.com
5 Mac 2000



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com