Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

Murah lagi murah, hebat lagi hebat !

(Artikel ini adalah satu Tribut kepada para pengundi DUN Sanggang dan para petugas Barisan Alternatif di pilihanraya kecil DUN Sanggang pada April 1, 2000)

Pilihanraya kecil DUN Sanggang merupakan satu pemilu yang membawa banyak kenangan dalam sejarah bangsa. Sebagai pemilu yang pertama di alaf baru ia telah membawa beribu makna apa ertinya demokrasi dan apa ertinya keazaman untuk menang; tidak kiralah kalau demokrasi itu terhumban ke Sungai Pahang yang meminggiri DUN Sanggang itu. Inilah lambang amalan demokrasi yang amat berharga kepada para pengundi baru yang pada tahun lalu telah dinyahkan hak mengundi mereka. Inilah juga imej demokrasi amalan sebuah parti politik yang sedang memerintah dalam keadaan longlai, kecut dan kotai; cuma melekat kerana kebijaksanaan seorang diktator tua berpaut kepada kekuasaan yang amat menjijikkan.

Jikalau jumlah petugas yang digembeling dan jumlah kereta yang bergerak berkeliaran mencari para pengundi yang perlu diangkut menjadi satu iktibar; kalau jumlah sokongan yang datang berbondong-bondong daripada pelusuk negara menjadi ukuran untuk memenangi sesuatu pemilu, calon Barisan Alternatif Dato Hisyamuddin Yahaya sudah pasti merangkul kemenangan sebelum waktu makan tengahari. Memang tidak siapa yang dapat menjangkakan betapa hebatnya suasana pemilu di Mentakab hingglah ke Temerluh. Mentakab menjadi kaku buat satu hari suntuk kerana kesesakan kenderaan yang datang menyerang di pagi buta dan terus menyeskkan keadaan. Temerluh tidak pula seberapa sesak kerana kawasan bandar yang lebih besar mampu menampung kesesakan yang datang melanda. Namun kesesakan itu dapat diterima oleh banjiran manusia dengan tenang, tanpa ada sebarang insiden yang menunjukkan bahawa orang Melayu 'sedang mengalami era perpecahan'. Soalnya ketika itu, kenapakah bandar itu mesti sesak dan kenderaan susah bergerak?

Pesta Politik Di Alaf Baru

Siapakah yang dapat menjangka bahawa masa berkenderaan daripada Pintu Tol Gombak adalah lebih cepat daripada masa berkenderaan daripada lorong pertama masuk ke Mentakab menuju ke Balai Polis bandar itu? Kemudian, tempoh yang begitu lama juga perlu diharungi untuk keluar daripada Mentakab menuju ke Sanggang? Keadaan sesak berlaku disebabkan banyaknya kenderaan daripada luar yang menyerbu masuk ke Mentakab sejak awal pagi. Namun, hampir semua orang yang ditanya akan fenomena itu tersenyum gembira sampil mengipas muka dan menyapu keringat di kepala. "Inilah pesta, inilah hari raya.... " demikian katanya mengulang kata-kata kawan-kawan yang ada bersamanya.. Mereka gembira kerana suasana pesta sudah menyerap masuk di hari penentuan itu. "Kalaulah Mamak Tongkang ada di sini hari ini, dia pasti malu besar..." kata beberapa anak muda yang gigih mencari pengundi untuk dipikat mengundi calon Barisan Nasional. Saya bertanya kenapa dia berkata begitu, dan jawabnya mudah sahaja: "Kalau boleh saya mahu BN menang, tetapi, yang pentingnya hari ini kita nampak semua orang bersuka." Inilah kata-kata seorang anak muda tempatan yang tentunya pertama kali pergi mengundi. Soalnya ketika itu, kalau dia ahli UMNO (kerana baju yang dipakainya) kenapakah dia memanggil presiden agungnya seperti itu?

- Bahang Kempen Terakhir

Penduduk Mentakab dan seluruh kawasan pengundian memang patut menerima pujian kerana sikap toleransi mereka di hari penentuan itu. Kita nampak jelas kematangan sikap manusia yang mahukan calon mereka menang. Ramai anak-anak muda yang mundar-mandir di bandar dengan menggantungkan poster Adnan-UMNO dengan gelagat lucahnya. Poster itu digantung di leher (ada yang melekatkannya di baju badan dan belakang) laksana orang putih mengiklankan kedai makan mereka di musim panas di kota London. Kali ini anak-anak Melayu mundar-mandir dengan poster Adnan-UMNO itu sambil mengibarkan bendera Barisan Alternatif di tangannya. Mereka tidak perlu berbising dan memekakkan suasana, gambar Adnan-UMNO sudah memadai untuk membayangkan niat mereka. Di sinilah nampak jelas betapa lemahnya jentera Barisan Nasional di hari penentuan itu. Mereka seolah-olah kehilangan bisanya. Tidak ada para perayu undi yang banyak kelihatan. Mereka seoalah-olah menumpukan tenaga hanya di sekitar pintu masuk stesen pengundian untuk menyambar para pengundi yang keluar daripada kenderaan. Barisan Nasional seolah-olah sudah tahu keputusan pengundian itu makanya mereka tidak mahu lagi berkerja keras untuk meniru gelagat jentera politik B.A.

Keyakinan seperti ini memang tidak jelas kepada orang Barisan Alternatif. Mereka memang aktif cuba mencari penyokong yang mahu memangkah calon mereka. Malangnya kebanyakan kereta yang masuk menderu bukannya membawa para pengundi. Terlalu ramai yang datang hanya mahu menjadi saksi kepada satu suasana baru yang mungkin melakar satu keputusan indah yang diidamkan di hati. Para pengunjung daripada luar memang tidak hampa dengan suasana yang dipertontonkan. Jentera PAS memang nampak sungguh canggih. Di sana sini jelas kelihatan poster yang tergantung dan terpasang dengan tertib. Bendera PAS dan juga parti komponen BA yang lain memang mudah kelihatan di sana-sini. Yang menarik ialah bendera PAS dicacak tinggi untuk mencuit pandangan mata. Inilah lambang kegigihan para penyokong PAS untuk menang. Ini sudah menjadi amalan mereka di mana juga, tidak kiralah kalau bendera itu untuk kempen terakhir ataupun untuk hiasan setakat memberi peringatan.

Yang paling menarik sekali ialah gelagat manusia yang mengibarkan bendera besar di sana-sini, secara silih berganti. PAS seolah-olah telah mengadakan satu raptai sebelum itu. Di banyak tempat kita nampak bendera yang dikibarkan oleh suri rumah dan anak-anak kecil, sejak pagi hinggalah ke petang. Mereka lakukannya secara berkumpulan, berganti-ganti tanpa henti. Hebat sekali perilaku mereka itu. Sekali lagi, dalam segi mengibarkan bendera oleh manusia, jentera Barisan Nasional kelihatan amat lemah.

Kenderaan yang digunakan untuk membawa pengundi memang banyak. Nisbah pengedaran kenderaan yang berkeliaran bolehlah dikatakan antara 1:10; setiap satu kenderaan yang berlambangkan BN terdapat sepuluh biji kenderaan yang berlogokan Barisan Alternatif. Jenis kenderaan yang digunakan pun menarik juga. Kebanyakan kenderaan BN adalah kereta jenis lama sedangkan BA menyediakan Pajero, Mercedes, Produa Kembara di samping Wira, Mini-van dan lain-lain lagi. Hanya terdapat beberapa kenderaan canggih BN yang kelihatan dengan bendera terpasang di kenderaan itu. Kami lihat kebanyakan pengundi menaikki kenderaan yang disediakan oleh orang BA. Mungkin juga disebabkan terlalu banyak kenderaan yang disediakan oleh BA makanya pihak lawan telah membiarkan sahaja keadaan itu dan mengurangkan kenderaan mereka. Yang paling menarik sekali ialah adanya beberapa bas pelancung yang datang dan diletakkan jauh daripada stesen mengundi. Penumpangnya turun secara teratur dan menuju ke tempat pengundian itu. Dari manakah mereka itu, dan kenapakah mereka datang dengan bas pelancung ? Apakah mereka datang daripada kem tentera? Inikah sebab kenapa kurangnya kereta persendirian BN yang digunakan untuk mengangkut para pengundi ?

Namun demikian, suasana muhibbah jelas terpancar. Setiap kali satu kenderaan pengangkut pengundi berselisih dengan kenderaan yang lain, mereka menyalakan lampu secara spontan dan bertukar-tukar tanda jempolan sesama sendiri. Tidak kiralah kepada kereta kawan ataupun kereta parti lawan. Ada kalanya kita dapat melihat orang-orang BA mengangkat tangan melambai-lambai kepada pemandu kereta parti lawan. Mungkin itulah tanda kenangan betapa mereka pernah berjuang dalam satu parti yang berlambangkan keris, satu ketika dulu secara seiring jalan dan haluan. Apakah tidak mungkin bahawa isyarat tangan sedemikian merupakan satu ilham betapa orang Melayu itu sebenarnya sudah pun berpecah? Memang, itulah perpecahan dalam UMNO yang amat jelas sekali; satu puak berpisah mencari haluan sendiri sedangkan satu puak masih kekal, taksub dengan pukaun seorang Mamak keturunan Kutty.

Rakaman Video

Suasa laksana pesta itu telah dirakamkan oleh ramai manusia. Ada yang menggunakan kamera tetapi banyak juga rakaman dibuat dengan menggunakan video. Siapakah yang banyak membuat 'shooting' itu. Laksana satu pesta punga di California yang menarik para jurugambar dunia lagaknya ? Saya amat tertarik dengan seorang penggambar yang menggunakan sebuah kapcai bernombor CAP9760 jenis Suzuki. Saya perhatikan ketika beliau bertugas di sudut sebuah stesen minyak. Dia kerap membuat 'shooting' itu secara 'fanning' seolah-olah beliau mahu mengambil gambar nombor kereta daripada bahagian belakang. Apakah beliau ini peminat 'nombor' ataupun mahu merakamakan cara kereta itu dihiasi dengan bendera-bendea dan logo parti pembangkang?

Cara penggambaran begini tentunya menimbulkan pelbagai tandatanya kerana kita tahu ramai di kalangan para penyokong BA itu datang dari luar. Mereka berkempen di saat akhir dengan penuh keazaman. Ada yang datang dengan baju biasa mempunyai logo parti BA. Ada yang datang dengan baju yang menunjukkan tempat asal mereka. Saya amat tertarik dengan satu kumpulan pemuda yang memakai baju dengan cogankata "Gerak Jihad DUN Meru". Mereka berkempen secara senyap dengan mengibarkan bendera dan gambar Adnan-UMNO melekap di badan. Walaupun pergerakan mereka divideo dan dirakamkan oleh kamera, kumpulan ini bergerak tanpa henti dan tanpa peduli akan gangguan itu.

Saya sempat bertanya seorang anak muda daripada Johor apa perasananya akan penggambaran yang dibuat oleh orang awam. "Biasalah Pak, dia pun cari makan juga. Kita berjihad. Itulah saja bezanya."

- Ketegangan di tempat mengundi

Mungkin disebabkan ketaksuban begitu mendadak, suasana tenteram di sebelah pagi bertukar panas mengikut cuaca. Kerana itu makanya kelihatan di sebuah pusat pengundian, pasukan polis ala gerak gempur yang tercegat garang di pintu sebuah pusat pengundian. Gambaran ini menjejaskan suasana sorak-sorai di pagi hari. Ia memudahkan lagi perayu undi BN yang memang mempunyai pondok mereka di kedua-dua belah pintu masuk pusat pengundian itu. Memang, jentera Barisan Nasional mempunyai banyak kelebihan di hari mengundi. Kebanyakan pondok Barisan Nasional memang diletakkan berdekatan sekali pintu masuk pusat mengundi. Mereka medapat kemudahan lain seperti penggunaan pusat KEMAS seperti yang kami nampak di sebuah pusat pengundian di sepanjang jalan lama Sanggang ke Temerloh yang menyusuri tebing Sungai Pahang.

Keputusan Yang Dijangkakan

Ketika Paklah melancarkan Projek K3P dulu, kami telah pergi ke Sanggang untuk melihat suasana berkempen. Ketika itu calon BA belum diumumkan lagi, cuma namanya dibayangkan sahaja. Kami telah menemubual beberapa orang lama di kawasan itu dan mendapati betapa BA "mempunyai peluang yang cerah, dengan syarat undi hantu tidak tiba...!" Tetapi, pada hari penentuan, saya telah menemubual beberapa orang tempatan dan mereka dengan yakin telah berkata kemenangan berpihak kepada BN. Antara penyebabnya ialah jasa orang lama yang memegang jawatan itu.. Kemudian, ada pula yang berkata kalau BA kalah; "penyebab utamanya ialah gelagat orang PAS yang terlalu gelojoh memancing undi. Mereka ini terlalu aggresif sehingga tidak memberi peluang seseorang itu melakukan yang hak bagi dirinya." Oleh kerana kata-kata itu datangnya daripada mereka yang sudah berumur dan mungkin seangkatan dengan Khalil Yaakob, kita boleh buat andaian mereka sudah taksub dengan UMNO dan tentunya sukar untuk diubahkan fikirannya. Tambahan lagi apabila mereka mengatakan bahawa "tidak ada unsur rasuah dalam pengundian. Setakat belanja makan dan upah kenduri dan tahlil itu adalah.."

Jawapan ini mengingatkan saya certia kempen politik di Kuala Pilah dulu di mana ada pihak yang menganjurkan kenduri menyambut puasa dengan memberikan sumbangan antara Lima Ribu hinga Sepuluh Ribu bagi setiap majlis kenduri. Roslan Kassim tumpas kerana taktik seperti itu. Apakah tidak mungkin Dato Hisyammuddin tumpas dengan cara taktik yang serupa? Di Kuala Pilah dulu memang ramai kumpulan orang asli yang bersukaria di malam hari kerana pesta yang telah ditaja oleh pemimpin UMNO. Apakah perkara yang serupa tidak berlaku di Sanggang? Pernah terjadi di Kampung Ceneh (kawasan Jelebu) orang kampung menerima beras pemberian PERNAS (untuk mengenang jasamu) seperti yang pernah saya tuliskan, dulu. Apakah perkara serupa tidak berlaku di Sanggang? "Eh... kalau setakat barang-barang makan itu memang banyaklah kami terima.." jawab seorang kampung di Sanggang. "Kami ada juga mengadakan kenduri tolak balak(bala) dan orang UMNO ada juga sedekah biskut kering..." jawab seorang lagi. Rupanya sejarah berulang lagi. Orang kampung mudah lentuk dengan sumbangan beras 5 kilo sekampit, dan bahan makanan untuk minum teh dan kopi.

DUN Sanggang Di Alaf Baru

Oleh kerana sesaknya jalan Temerluh-Jerantut, kami telah pergi terus ke Songsang dan menghala ke Sanggang untuk menyusuri jalan tepi Sungai Pahang menghala ke Temerluh. Memang indah pemandangan di situ, seperti yang pernah saya lihat di tahun-tahun 70-an dulu. Tidak tercemar lagi kawasan itu. Lebar jalannya pun masih serupa juga seperti yang pernah saya lalui di zaman itu. Saya teringatkan Jalan Kampung Enam Kaki di Beranang yang menuju ke Pajam. Dulu, jalan itu diberi nama demikian kerana lebarnya. Tetapi, kini namanya sahaja yang tinggal, lebarnya sudah berganda. Tetapi, Jalan Sanggang ke Temerluh yang kerap saya gunakan kira-kira tiga puluh tahun dulu masih lagi berkeadaan sama. Apakah itu satu kemajuan yang digembar-gemburkan oleh parti yang memerintah? Apakah baginda Sultan tidak pernah ke sana dan merasmikan projek Ikan Patin di situ?

Walaupun di sepanjang jalan Songsang ke Sanggang itu kelihatan banyak bendera dan pelekat parti yang berkempen, satu perkara yang amat menarik ialah di restoren Haji Ibrahim yang terletak berhadapan Songsang Industrial Area. Di situ tidak ada satu pun bendera dan lambang mana-mana parti, seolah-olah tuanpunya kedai makan tidak mahu berpihak kepada sesiapa. Begitu juga halnya dengan kedai Seng Motor di sebelah restoren itu. Kalau kedai orang Cina tidak memasang lambang dan kelihatan malap, mungkin disebabkan mereka berkabung. Apakah Haji Ibrahim berkabung sama?

- Ikan Patin Sungai Pahang

Kalau kita menyusuri jalan di tepi Sungai Pahang itu memang kita boleh nampak beberapa projek memelihara ikan Patin dalam sangkar. Saya teringatkan projek memelihara ikan salmon di beberapa negara di Lautan Nordik. Nampak sangat kerdilnya projek yang ditaja oleh Persatuan Peladang itu kalau dibanding dengan luasnya Sungai Pahang. Patutlah kita susah mendapatkan ikan patin di Kuala Lumpur. Patulah lebih mudah mendapatkan bawal Pakistan daripada Patin Pahang. Projek kelolaaan Persatuan Peladang itu seolah-olah projek main-main sahaja. Pegawai Persatuan Peladang dan juga beberapa pihak agensi yagn lain harus melihat gambar pemeliharan ikan 'salmon' dan 'turbot' yang dilaksanakan di negara barat. (Jangnlah pula ada exco negeri yang mahu membuat lawatan ke negara tersebut disebabkan tulisan saya ini). Malahan mereka harus melihat projek pemeliharaan ikan di Russia (Caspian Sea) untuk pengeluaran telur ikan. Sungai Pahang mempunyai beberapa kemudahan untuk memungkinkan projek ikan sangkar sehingga mampu memenuhi keperluan negara dan Asean. Kenapakah projek ikan sangkar hanya projek main-main? Saya lebih mempercayai projek yang saya lihat adalah laksana mahu mengikat para pemuda di situ agar terus menyokong Barisan Nasional dan UMNO. Yang paling menonjol dalam projek itu ialah satu papan tanda yang memaparkan nombor telefon (09-2961591) dan Nombor Faks (09-2965226) untuk sesiapa yang mahukan ikan patin peliharaan di situ. Projek ini terdapat di Lot 1263, dan kalau dilihat pada rumah rakit yang berada di situ, projek ini nampak baru sangat lagi. Mungkin menanti seorang Pak Menteri merasmikannya? Apakah kemungkinan projek itu dirasmikan oleh baginda sultan dalam usahanya menyatukan rakyat baginda yang 'berpecah' (he,he, he) mengikut tafsiran dan igauan seorang diktator tua?

Tidak berapa jauh daripada projek ikan patin ini perhatian saya terfokus kepada sebuah pondok talipon yang terpasang tidak jauh daripada sebuah cawangan UMNO. Telefon itu tidak bergagang lagi, mungkin sengaja dicabut untuk disimpan di hari mengundi?

Apabila tiba waktu makan kami mencari ikan patin masak tempoyak di Temerluh. Kami hampa kerana "bekalan yang tidak mencukupi", kata kebanyakan tukang kedai. Lagipun kebanyakan mereka pada hari itu, menyediakan nasi ayam sahaja. "Mahu kerja mudah untuk pergi mengundi, kata mereka." Kita pun faham dengan jawapan seperti itu. Maklumlah, rakyat yang pentingkan demokrasi dan mahu melaksanakan tugasnya. Alasan munasabah para peniaga kedai makan itu tentunya tidak dapat diterima oleh keinginan merasakan masakan ikan patin. Kami pun gagahkan juga mencarinya di Hotel Malaysia yang terletak di bahagian bawah bukit yang menjadi tapak 'Rest House' Temerluh. Walaupun waktu ketika itu baru sahaja 1.30 p.m., hidangan yang disediakan hanya berbentuk 'buffet' sahaja dengan harga Dua Puluh Ringgit seorang. Untuk lima orang, tentunya sekeping duit Seratus Ringgit terpaksa terbang juga. Ini merupakan harga yang bukan mudah dibelanjakan oleh seorang rakyat marhain. Lainlah kalau makanan disabsidi oleh parti kerajaan. Ikan patin punya pasal, tidak mengapa!

Malangnya di Hotel Malaysia pun, ikan patin masak asam tempoyak hanya tinggal kepalanya sahaja. Sedikit sangat isi yang tinggal. Kepala yang tinggal pun sudah ketiadaan matanya kerana mata ikan itu sudah banyak yang tertanggal daripada tampuknya. Sekali kita kuit lauk itu akan tersembul biji mata ikan tersebut, terapung-apung. Mungkin kerana itu menteri besar Perlis yang tiba untuk makan, memaksakan dirinya untuk berpusing dan tidak makan di situ. Mungkin mata ikan patin yang tersembul itu mengingatkannya kepada mata Adnan-UMNO. Ataupun mungkin dia teringat mata seorang diktator tua, kalau BN kalah di hari pengundian itu? Tok Menteri terus hilang selepas melihatkan mata ikan patin. Mungkin dia teringat tugasnya. Soalnya sekarang apakah tugasnya itu (seperti juga menteri-menteri lain) dibiayai oleh UMNO ataupun oleh kerajaan ? Mungkinkah mata terbeliak ikan patin itu menyedarkannya akan dilemma itu?

Kami berlima, makan secara bersopan kerana mahu mendengar kata-kata orang bersebelahan. Memang ramai orang UMNO di situ. Mungkin mereka pun ingat kami orang mereka kerana mereka bercakap lantang, seolah-olah untuk berkempen juga. Kalau dikaji suasana waktu makan tengahari itu, ramai pemimpin yang datang berkata bahawa mereka mempunyai keraguan dengan keupayaan BN untuk menang. Ada yang berkata: "Kalau kita tengok keadaan di sebelah pagi, BN akan kalah. Tetapi tipis!!!" Mereka pun bincangkan apa yang dituliskan di atas tadi. Memang, kita boleh merasakan ketika itu betapa BA sudah berada di ambang kemenangan. Namun kami masih ingat dengan petua bahawa kuasa veto tetap berada di tangan Allah yang berkuasa. Tetapi, apakah semua pemimpin UMNO sedar akan perkara yang hakiki ini? Jika tidak, kenapakah mereka terus berlagak sakan?

Kemenangan Dalam Genggaman ?

Selepas makan, kami pergi ke Mentakab semula. Semangat juang orang Barisan Alternatif masih segar lagi. Pengibar bendera di tepi jalan masih aktif lagi, silih berganti.

Satu perkara yang mesti dirakamkan di sini ialah kegigihan orang Cina yang berkempen bagi pihak calon BA, amat mengkagumkan. Dari sebelah pagi kami lihat mereka ini kuat berkempen merayu orang memangkah calon BA. Mereka menggunakan kipas yang berlambangkan PAS dan BA sedangkan di baju mereka tersemat lambang PRM dan juga DAP. Ada juga beberapa orang Cina yang memandu kereta yang membawa logo PAS untuk membawa pengundi di Mentakab. Kelakuan mereka ini adalah satu perubahan. Ia membawa satu kesedaran kepada sesiapa yang melihatnya terutama sekali orang daripada Johor yang memang ramai kita lihat tiba di Mentakab.

Perangai orang Cina yang berkempen untuk pihak BA adalah satu fenomena yang tidak dapat ditandingi oleh kumpulan orang Cina dalam BN pada hari itu. Malahan kita dapat lihat betapa berkurangnya kaum Cina dan India berkempen pada hari itu. Mungkinkah mereka sudah letih berkempen dari satu rumah ke rumah? Ataupun mereka sudah terlalu yakin akan kemenangan?

- Keputusan Yang Dijangka

Berita radio 'Jam Sembilan Malam' yang dibacakan oleh Hashim Abdullah telah menyatakan betapa "pengemuman pengundian DUN Sanggang akan diumumkan bila-bila masa lagi.... masih menunggukan satu peti undi daripada Sanggang Seberang." Kami masih lagi dalam kereta di Pintu Tol Gombak ketika mendengar pembacaan berita itu. Dari situ saya sudah yakin Barisan Nasional akan menang. "Sekali lagi kita akan ditipu oleh kerajaan...!" demikian yang terkeluar daripada mulut saya. Yang mendengarnya diam membisu walaupun terdengar juga bunyi orang mendengkur ketika itu.

Sanggang Seberang adalah sebuah tempat yang berada di seberang sungai bertentangan dengan Sanggang Ulu (Penghulu);. Dari situ jarak jalan berkereta ialah 10 batu ataupun lebih kurang 14 kilometer. Kalau menggunakan bot polis marin menyusuri Sungai Pahang, masa untuk ke Temerluh mungkin tidak sampai sepuluh minit. Bayangkan, itulah peti undi yang paling terakhir untuk dibuka. Bagaimanakah agaknya kaum ibu dan bapa di DUN Sanggang menjawab soalan anak-anak sekolah kenapa peti undi Sanggang Seberang boleh lewat? Apakah agaknya alasan yang diberikan kepada anak-anak yang memang tahu sangat betapa dekatnya kawasan itu dengan Temerluh?

Siapa Menipu Siapa?

Pertama sekali biarlah saya rakamkan 'tahniah' kepada Al Ustaz Ridhuan yang menang pencalonan dan pengundian. Kalau kemenangan secara undi terbuka itu dikatakan yang hak, makanya tahniah yang datang dari hati yang tulus ikhlas ini adalah hak calon Barisan Nasional. Akan tetapi, dari segi logik, kelewatan tiba peti undi daripada satu kawasan yang terlalu dekat dengan tempat pengiraan, adalah satu fenomena yang mudah dipertikaikan. Kerana itu tahniah saya itu adalah sesuatu yang bersyarat. Hanya Allah yang Maka Esa menjadi penentunya. Kalau anda (Ustaz Ridhuan) menang secara bersih, maka halallah nanti gaji dan segala imbohan yang anda akan terima setiap bulan itu. Tetapi, kalau anda menang secara tipu helah, haramlah nanti pendapatan anda itu sehinggalah hancur hayat di kandung badan. Sebagai seorang yang berpendidikan agama Islam, anda tentu faham akan makna tulisan saya ini.

Saya menulis ini dengan menujukannya khas kepada para pengundi di DUN Sanggang yang mungkin tidak menyangkakan keputusan yang telah diumumkan. Saya juga menulis sebagai penghormatan kepada para petugas Barisan Alternatif di DUN Sanggang. Di waktu yang sama saya mengucapkan tahniah kepada Dato Hisyamuddin Yahaya yang berani berdepan dengan kenyataan hidup. Dato' Hisyamuddin tidak akan menjadi papa kedana dengan kekalahan ini. Malahan, di hati rakyat, beliau akan dikira sebagai seorang pejuang.

- Kita Menipu Diri Sendiri

Keputusan yang diumumkan membawa erti betapa kita rakyat marhain harus menilai dan menganalisa keadaan pilihanraya di negara ini. Bersihkah pilihan raya umum (pemilu) itu? Bolehkah kita percaya setiap keputusannya? Saya pernah menjadi seorang petugas di pilihanraya ke-2 dulu dan selepas itu enggan terbabit dengannya kerana saya tahu betapa senang untuk menipu. Banyak fenomena undi tipu dan undi hantu memang saya tahu lama lagi. Perkara itu ada pada saya dan ada yang saya hantarkan pagi semalam kepada Tokayah di Teranung Kita selepas subuh. Beliau telah mengusik saya kenapa tidak ke Sanggang, sedangkan saya sedang bersiap sedia ketika itu. Hanya menunggukan teman-teman yang lain akan berkonvoi sama selepas waktu subuh.

Keputusan yang diumumkan boleh disangsikan kerana ada unsur-unsur yang mencurigakan. Banyak sekali unsur-unssur itu. Kita tidak akan membincangkannya kerana itu urusan BA dan pakar politik mereka untuk menyelesaikannya. Apa yang saya ingin kemukakan ialah satu kesedaran kepada semua pihak agar sistem mengira undi itu diperbetulkan dan dipermudahkan:

I) Penghitungan kertas undi harus diperbetulkan dengan cara membuat perhitungan di stesen di mana pengundian itu dilaksanakan. Kenapakah kita mesti membawa peti undi itu keluar dan mengira isinya di tempat pengiraan? Dunia sudah canggih sekarang ini; setiap peti undi boleh dikira sebaik sahaja waktu pengundian tamat. Perkiraan boleh dirakamkan dengan menggunakan video. Pengumuman perkiraan boleh dibuat serta merta dan disalurkan melalui telefon kepada SPR ataupun media massa. Kenapakah kita masih memegang cara lama untuk membawa peti undi itu ke tempat pengiraan dan membukanya di malam hari untuk dikira. Apakah tidak mungkin unsur-unsur penipuan berleluasa disebabkan proses itu?

ii) Kalau perhitungan itu dibuat di tempat mengundi dan perkiraan diterima oleh semua pihak yang bertanding, semua kertas undi harus dimusnahkan di waktu yang sama. Tidak perlu dibawa balik tong undi untuk disimpan bagi semakan. Perkara ini mengelakkan pihak tertentu meneliti setiap kertas undi dan membeleknya untuk mengetahui siapa memangkah siapa. Terlalu ramai manusia di negara ini yang percaya bahawa undian mereka adalah rahsia. Ini adalah satu penipuan dan maklumat yang songsang. Bagaimanakah undian itu rahsia kalau di setiap kertas undi ada bernombor dan nama orang yang diberikan kertas undi itu dicatatkan bersama nombornya? Bukankah itu tujuannya mengambil balik tong undi itu dan dibawa ke Kuala Lumpur? Bukankah perlembagaan negara menentukan bahawa pilihanraya umum adalah satu proses mengundi secara rahsia? Apakah kertas yang dipangkah itu mahu dibakar seperti orang membakar kertas duit palsu semasa upacara memuja roh si mati ?

iii) Kita diberitahu bahawa polis dan tentera pun sudah mengundi. Malahan undian polis telah memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional. Munasabahkah keputusan itu? Apakah benar undian mereka satu undi rahsia? Kalaulah kedua-dua cadangan di atas diambil kira, saya yakin undian polis dan tentera banyak memihak kepada parti Barisan Alternatif. Dengan lain perkataan, sistem pengundian yang ada sekarang adalah satu sistem yang mendera hak rakyat mengundi secara bebas dan terbuka.

Iv) Kalau kita lihat sistem mengundi di negara maju, sistem berkomputer telah digunakan. Ini membolehkan keputusan diketahui hanya beberapa minit selepas tamat waktu mengundi. Kos menyediakan sistem mengundi secara ini adalah tinggi. Kita mungkin sudah dapat menyediakan sistem ini kalau kita tidak membazirkan khazanah negara; seperti menyelamatkan syarikat anak-anak dan para kroni. Kerana itu kita harus selesa dengan sistem pengundian yang ada. Ini tidak bererti sistem pengundian itu tidak boleh diubahsuai mengikut kehendak zaman. Yang paling penting sekali, pengubah-suaian itu adalah bertujuan untuk mengelakkan undi hantu dan undi palsu.

v) Salah satu kepincangan sistem pengundian sekarang ialah membawa pengundi hantu. Perkara ini amat mudah sekali dilakukan kerana pegawai pemerhati selalunya bukannya orang tempatan. Cara yang paling mudah menipu ialah membawa pengundi hantu professional. Inilah golongan khas yang dilatih untuk pergi ke tempat pengundian dan melakukan tugas mengundi atas nama orang yang diketahui tidak akan datang mengundi. Perkara ini boleh dilakukan dua kali dalam sehari. Ini dipermudahkan lagi dengan adanya pemerhati luar yang berganti-ganti. Penipuan yang paling mudah ialah membaca butir kad pengenalan yang ditulis dan dilekatkan di atas kad pengenalan orang lain (yang datang mengundi sebagai 'hantu'). Pembacaan kad pengenalan bakal pengundi hanya dilakukan oleh orang SPR dan pemerhati tidak pun memegang dan memeriksa kad pengenalan itu. Ketika Pemilu-10 dulu kita telah menyaksikan betapa banyak tong undi dibuka pagi hari tanpa disaksikan oleh pemerhati parti pembangkang. Ini berlaku kerana SPR tidak ambil pendirian berkecuali. Selagi SPR cenderong memihak kepada calon parti yang memerintah, akan terus pincang proses pengundian dalan negara ini. Rakyat akan tertus tertipu, tertipu dan tertipu juga, walaupun betapa hebat sekali kempen yang mereka lakukan untuk meraih kemenangan.

vi) Di banyak negara, para pengundi ditanda jarinya dengan inci yang tidak mudah hilang dalam sehari dua. Kenapakah perkara ini tidak dipraktikkan? Ia hanya akan dipraktikkan apabila BN menjadi pembangkang di negara ini. Lihatlah nanti.

KESIMPULAN

Keputusan pilihanraya kecil DUN Sanggang telah diumumkan. Ia memihak kepada Barisan Nasional, mengikut yang diramalkan. Ramalan ini dibuat berdasarkan segala taktik kotor yang amat difahami oleh rakyat marhain.

Soalanya sekarang, apakah keputusan yang serupa akan diperolehi di beberapa pemilu kecil yang dijangka akan berlaku di negara ini?

Masanya sudah sampai bagi rakyat marhain di negara ini memikirkan perubahan kepada sistem pemilihan dan pengiraan undi. Perubahan ini amat diperlukan untuk mengelakkan rakyat terus tertipu dengan keputusan yang boleh disangsikan.

Satu suruhanjaya bebas harus ditubuhkan untuk membuat kajian bagaimana pilihanraya umum boleh dilakukan secara bersih dan telus. Kajian ini perlu mengambil kira sistem pengundian terbuka yang dilakukan di negara maju. Selagi perubahan tidak dilakukan, rakyat akan terus ditipu dan pemilihan seseorang yang dicalonkan oleh parti pemerintah akan mencetuskan keraguan dan keyakinan rakyat kepada sistem berdemokrasi.

Selagi sistem pengundian dan perkiraan undi tidak diubah dalam waktu yang singkat kita boleh menjangkakan unsur-unsur penipuan akan terus melanda negara dan memberikan kemenangan kepada yang tidak berhak. Sekali gus negara akan dijajah oleh pemimpin yang dilantik secara menipu semata-mata. Ketika kaum Cina akan menyambut upacara 'Cheng Beng', adalah logik kalau kerajaan mengambil langkah yang positif untuk membuat kemajuan dalam sistem pilihanraya kita.

Di waktu yang sama para pemimpin Barisan Alternatif harus membuat kajian mendalam agar pilihanraya yang mungkin berlaku sekali lagi memberikan kemenangan kepada para pengundinya. Biarlah pengundian Sanggang menjadi satu ajaran yang pahit bagi semua. Laksana cogankata yang digunakan oleh sebuah pasaraya di Mentakab, pilihanraya Sanggang memang 'Murah lagi Murah dan Hebat lagi Hebat!!!. Yang murah pergi kepada Adnan-UMNO, PakLah dan Barisan Nasional. Yang hebat pasti pergi kepada PAS, para petugas Barisan Alternatif dan Dato Hishamuddin Yahaya. Seperti juga kata-kata semangat yang terpampang di banyak van pembawa pengundi di Sanggang : Masonya Dah Tibo.... Tukar Yuuuu!!!!.

Keputusan Sanggang walaupun telah diterima baik oleh Dato Hishamuddin semalam sebenarnya bererti kemenangan yang dipaksakan ke atas orang-orang Barisan Nasional. Sebenarnya, seluruh rakyat pengundi Sanggang yang rugi. Daripada status sebenar Ustaz Ridzuan yang mula-mula dikatakan lepasan Al Azhar dan kemudiannya kepada gelagat Adnan-UMNO yang mengingatkan kita kepada Kalimuthu Bentong (Bentung Kali), hinggalah kepada taktik berkempen yang dikatakan 'low profile'. Kita ketahui kali ini BN tidak menganjurkan ceramah besar kerana takutkan sambutan yang lemah. Untuk menepati taktik 'low profile' itu makanya Mamak Bendahara tidak tiba. Tetapi, rakyat tahu apa yang dikatakan 'low profile' yang telah disokong dengan satu taktik 'high flying'. Kuasa wang ringgit sudah mengatasi semuanya. Sanggang sebenarnya menjadi satu medan perang kepada UMNO terutama sekali kepada Adnan-UMNO, Khalil Yaakob dan juga Paklah. Mereka telah melakukan taktik 'low profile' itu dengan licik sekali sehinggakan polis trafik Mentakab pun terikut dengan taktik itu. Taktik itulah yang membuatkan Mentakab sesak dan membuatkan para pengundi yang rimas dan marah dengan PAS. Apakah itu 'low profile' ataupun 'hitting below the belt?' Dengan lain perkataan apakah itu sikap bersahaja ataupun sikap memukul-curi pihak lawan dengan bersaja? Kalau sesiapa yang mempunyai video merakamkan kesesakan Mentakab, cuba tayangkan dan perhatikan betapa kebanyakan kereta menunjukkan kereta orang PAS dan kebanyakan penumpangnya memakai ketayap belaka. Orang PAS kah semuanya itu?

Nampaknya tahun 2004 adalah terlalu jauh untuk rakyat marhain menyaksikan satu susasana pilihanraya di mana keputusannya memberi kemenangan kepada rakyat yang membuat pemilihan. Mungkinkah April 14 menjadi penentunya? Apakah kerana kekalahan BA di Sanggang membuatkan setiap pilihanraya kecil akan datang mencetuskan suasana perang yang dinantikan oleh golongan muda? Bertukarkah taktik 'low profile' kepada 'high-kick' pula nanti? Yang pasti, perjuangan UMNO di bawah pimpinan seorang mamak tua sudah semakin murah, semurah-murahnya. Tidak ada lagi yang hebat dalam perjuangan mereka itu. Siapakah yang rugi akhirnya kalau bukan orang Melayu ? Apakah para sultan dan raja-raja masih tidak sedar akan fenomena ini? Mungkinkah kehebatan golongan isana itu sendiri sudah bertukar kepada yang bertaraf murah lagi murah........juga?

Marhaintua@Hotmail.com
2 April, 2k



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com