Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

Bab 11 - Alang-alang murah, alang-alang hebat (2)

(Satu Tribut kepada Tan Sri Ainuddin Wahid, tokoh Maal Hijrah)

Antara Pemimpin Dan Rakyat

Siapakah boleh sangka Mahathir bin Mohamad yang naik secara mendadak dan menjadi popular begitu cepat, sekarang ini berada pada satu tahap yang amat hina ? Siapa boleh sangka seorang pemimpin yang disanjungi oleh media massa luar negara boleh menjadi seorang insan yang dibenci dan dicemoh oleh segolongan besar bangsanya di negaranya sendiri? Bagaimanakah perkara ini boleh terjadi sedangkan beliau telah melaksanakan satu 'transformasi' dalam arena kemajuan negaranya sehinggakan apa juga projek yang dikendalikannya adalah projek yang berbentuk 'mega'?

Jawapannya amat mudah sahaja. Siapakah yang boleh menelah apakah setiap kali seseorang itu tidur, tidurnya itu akan diulit mimpi indah ataupun dihambat igauan yang ngeri? Dengan lain perkataan, apa juga yang boleh dilakukan oleh Mahathir sebagai seorang perdana menteri negara ini, ada satu benda yang tidak boleh dilakukan mengikut kehendak hatinya. Bagaimanapun dia berusaha untuk mendapatkannya, Mahathir sudah ternyata gagal untuk menentukan agar sejarah mengingatinya sebagai seorang perdana menteri yang disanjungi oleh rakyatnya sehinggalah dia sudah mati. Bukankah pelik perkara ini kerana Malaysia terkenal dengan rakyatnya yang tahu mengenang budi dan berhemah tinggi ? Bukankah menjadi budaya orang Asia memperingati setiap pemimpinnya dan tidak mencemuh seorang pejuang di kalangan mereka?

Demikianlah kehendak alam. Betapa kuat pun cengkaman seseorang insan ke atas rakyat taklukannya, kuasa veto setiap perencangannya tidak pernah ada di tangannya. Itu adalah hak Allah semata-mata.

Apabila Pemimpin Memperbodohkan Rakyat

Kita diajar sejak kecil lagi bahawa manusia merancang dan Allah pun merancang juga. Cuma Allah sahaja yang akan menentukan segala perancangan kita itu. Kalau budak sekolah sudah lama tahu perkara ini, kenapakah Mahathir selalu pura-pura tidak tahu? Jika tidak, bagaimanakah beliau gamak berbohong kepada rakyatnya? Setiap kali dia membuka mulutnya ada sahaja pembohongan yang dikatakannya. Pada satu ketika dulu dia mengatakan "Nabi tidak bercukur kerana di zamannya tidak ada pisau cukur." Tetapi, dia juga pernah bercerita bagaimana Nabi berperang. Budak-budak sekolah pun tahu bahawa Nabi Mohamad (saw) berperang menggunakan pedang yang tajam. Kalau pedang yang tajam boleh dicipta manusia ketika itu, apakah manusia tidak mampu mencipta pisau cukur?

Yang paling terbaru Mahathir mempertahankan seroang menteri besar yang berkelakuan lucah terhadap rakyat. Adnan-UMNO telah menunjukkan beberapa kelakuan yang menjijikkan dan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin rakyat. Wakil Mahathir ketika itu ialah Paklah. Beliau telah membuat satu pengumuman betapa Adnan-UMNO besikap demikian kerana telah diprovok oleh ahli-ahli parti pembangkang. Soalanya sekarang apakah maksud beliau dengan perkataan 'provoke' itu ? Kalau kita lihat video yang merakamkan aksi Adnan-UMNO, beliaulah yang terjerit dan terlolong memanggil orang-orang parti lawan sebelum menunjukkan kelakuan lucah tersebut. Seseorang yang diprovok tidak perlu memanggil secara lantang akan orang yang mahu ditunjukkan tanda-tanda lucah tersebut.

Dari rakaman video, amat jelas sekali bahawa orang yang membuat kerja-kerja provok sebelum Adnan-UMNO menunjukkan lucah-tangannya itu ialah Adnan-UMNO sendiri. Tetapi, apa pula kata Mahathir berkenaan hal itu? Beliau telah dilapurkan oleh media massa sebagai berkata; "Ada orang PAS yang menunjukkan kemaluannya yang menyebabkan Adnan-UMNO naik berang dan melakukan perbuatan lucah yang dirakamkan oleh video itu."

Alangkah aibnya perkara ini apabila kita fikirkan cara perbuatan jijik itu ditangani? Apa punya perdana menterikah yang ada sekarang ini yang sanggup merendahkan martabatnya membuat alasan bodoh yang sungguh memalukan itu? Apakah Mahathir lupa bahawa ketika Adnan melakukan perbuatan terkutuk itu ramai menteri dan timbalan menteri yang berada tidak jauh daripadanya. Apakah yang mereka lakukan ketika itu? Mereka tertawa secara beramai-ramai dan terus mentertawakan Adnan-UMNO ketika dia menjerit terhadap penyokong parti lawan.

Pembohongan Sebagai Pakaian Hidup

Kita boleh nampak dengan jelas kebelakangan ini betapa Mahathir membohong setiap hari kepada rakyatnya. Ada sahaja yang dibohonginya setiap kali dia bertemu muka dengan rakyat ataupun dengan wakil akhbar. Perbuatannnya itu telah memusykilkan sebilangan besar rakyat marhain di negara ini. Malahan, ramai penyokong kuat yang setia sekian lama tanpa mengharapkan sebarang imbohan, telah merasa kecewa teramat sangat. Mereka menjadi bingung apabila memikirkan nasib mereka. Kenapakah nasib mereka yang difikirkan dan tidak nasib Mahathir?

Kita dapat melihat betapa para pemimpin UMNO yang berpengalaman dan berpegang kepada ajaran Islam sedang berada dalam satu dilemma yang sukar untuk dibereskan. Kehidupan mereka sudah menjadi tertekan sejak dua tahun yang lalu kerana perbuatan liar Mahathir. Ramai yang sudah tidak sanggup berkompromi dengan keadaan sesak di dada dan hati yang luka sejak sekian lama. Kompromi cara inilah yang bertujuan untuk memuaskan tembolok masing-masing yang semakin membesar apabila naik meningkat dalam heiraki kepimpinan parti. Apabila masing-masing berlumba-lumba untuk mengaut khazanah negara secara 'carte blanche' apakah yang diharapkan daripada rakyat yang terus hidup sengsara? Salahkah rakyat bersatu untuk memerangi segala perangai kerakusan yang terus berleluasa?

- Memuaskan nafsu yang Membesar

Kita dapat lihat dengan jelas betapa ramai pemimpin Melayu dalam UMNO yang sudah jadi tamak dan haloba dan sanggup menyanggah perjuangan politik asal mereka. Mereka lakukan itu untuk kekal diberikan kuasa dalam parti.

Kuasa dalam parti adalah laksana nafsu untuk makan. Kita dapat lihat betapa seekor binatang menjadi rakus dengan makanan apabila temboloknya semakin besar. Kerakusan yang membesar itu akan menghasilkan tahi yang besar dan kencing yang banyak pula. Apabila tahi semakin besar dan kencing semakin banyak tentulah baunya pun semakin haring dan hancing. Walau bagaimana cantiknya binatang yang berkenaan, kalau dia terus menghuni tempat di mana dia 'melepas' itu, sudah pasti kebusukan yang dicetuskan oleh benda buangannya itu akan membuatkan makhluk yang bernyawa dan mampu menghidu di sekelilingnya pun akan menjadi terganggu.

Demikianlah halnya dengan orang politik yang rakus dengan tembolok yang besar. Betapa gah pun pakaian yang dikenakan, betapa gah pun rumah yang didudukki, nafsu serakahnya mudah sekali dikesan orang dan perangainya mudah sekali dicemuh orang sekelilingnya. Perkara yang dikiaskan ini tentunya amat difahami oleh seorang diktator tua yang pernah menjadi doktor perubatan. Tentu sekali dia sedar akan formula untuk hidup sehat tanpa nafsu yang besar. Kenapakah dia tergamak melakukan kerja-kerja kotor laksana seekor binatang yang rakus?

Apabila Pemimpin Lupa Daratan

Seorang pemimpin yang kuat membohong dan besar pula nafsu serakahnya adalah seoang pemimpin yang sudah lupa daratan. Dia sudah lupa akan pegangan hidupnya kerana nafsu yang besar telah melalaikannya daripada janji-janji yang dituturkannya ketika memegang amanah rakyat. 'Nafsu' adalah kehendak yang kuat yang didorong oleh sesuatu kuasa terpendam yang kuat juga. Kalau seseorang itu mempunyai nafsu makan yang kuat tentunya badannya mampu menampung apa juga yang dimakannya itu. Tetapi, dalam dunia politik seseorang yang dikatakan mempunyai 'nafsu makan' yang kuat tidak semestinya mempunyai badan yang setimpal dengan nafsu makannya itu. Kerana itu kita lihat, ramai orang politik ayng rakus tidak pun besar badan mereka. Malahan di seluruh dunia ini kalau kita lihat para diktator dan maharajah, badan mereka kerdil belaka. Ada yang pendek dan sontot daripada biasa. Kalau ditolak dengan sebelah tangan pun mudah jatuh. Namun mereka mampu bernafsu besar dan mampu meraih sokongan besar daripada golongan pengampu dan jongos mereka. Lihat sahajalah Nero, Hitler, Napoleon Bonaparte dan ramai lagi yang masih hidup ataupun setengah hidup. Yang setengah hidup itu hanya dalam keadaan bernyawa ikan belaka.

- Sumpah Setia Pemimpin Rakus

Setiap pemimpin politik memulakan tugasnya setelah mengankat sumpah. Apakah sumpahnya itu kalau bukan untuk kebaikan negara dan rakyatnya? Bukankah sumpah setianya itu satu ikrar yang dibuat dengan nama Allah pencipta alam? Bukankah ikrar dan sumpah setia itu berdasarkan kemenangan yang diperolehinya daripada pengundian rakyat? Dengan hal yang demikian, ia bersumpah kepada Allah untuk berkhidmat sebersih- bersihnya dan sejujur-jujurnya. Dia berbuat janji kepada Allah, kepada rakyat dan juga kepada dirinya untuk menjadi seorang insan yang setia kepada negara, bangsa dan agamanya. Apabila pemimpin yang berkenaan mengingkari janji dan sumpah setianya itu, apakah salah kalau kita katakan bahawa beliau sudah lupakan daratan? Kalau dia sudah lupa dengan janjinya kepada Allah, dirinya dan juga kepada insan yang memilihya dulu, apakah salah kalau kita katakan yang beliau sudah dirasuk syaitan ? Kalau seorang pemimpin itu sudah kelihatan dirasuk syaitan, apakah salah kalau kita katakan dia sudah menjadi seorang manusia berhati syaitan? Jikalau semua ciri-ciri negatif ini sudah melekat kepada seseorang pemimpin yang melencong itu apakah berhak dia dibenarkan terus berkuasa?

Seorang pemimpin yang rakus sebenarnya sedar akan kerakusannya itu. Melainkan dia sudah nyanyok, sewel ataupun gila. Adalah menjadi hukum alam, seseorang insan yang nyanyok, sewel dan gila harus disisihkan daripada arus perdana kehidupan manusia kerana kesan negatif yang ada padanya. Kalau penyisihan ini tidak dilakukan segera, akan rosaklah masyarakat yang dipimpinnya. Walaupun kesewelan itu samar-samar, ia patut disisihkan sebelum terlambat. Susu sebelanga boleh rosak dek setitik nila. Susu yang segar boleh masam dek sejemput ragi. Rendang yang enak boleh musnah dek garam yang berlebihan.

Memanglah bukan satu kerja yang mudah untuk kita memperakukan seorang yang kelihatan segar-bugar sudah pun bertukar menjadi seorang yang sewel. Ini tidak ada kena mengena dengan keupayaan ilmu perubatan untuk mengecam ciri-ciri negatif yang ada padanya. Masalah sebenar adalah bersangkutan dengan kerakusan kuasa jua. Apabila seorang pemimpin terunggul sudah menampakkan kesewelannya, perangai negatifnya itu amat mudah sekali dikesan oleh orang yang berada di sekelilingnya. Inilah yang mencurigakan mereka kerana agenda tersendiri yang mereka punyai. Mereka tahu kehebatan mereka adalah bergantung kepada kehebatan si pemimpin terulung itu. Kalau si bedebah itu kantul, merekalah yang mula sekali merasa akan bahangnya. Kerana itu kita dapat lihat di seluruh dunia ini, kalau seseorang diktator itu tumpas, hampir semua balacinya ikut sama. Malahan ramai yang membunuh diri kerana tidak tahan akan keaiban yang timbul secara mendadak itu.

- Bila Sokong Membawa Rebah

Kalau seorang pemimpin yang rakus diperlukan bersumpah dulu kepada Allah, negara dan rakyat sebelum memerintah, begitulah juga dengan para balaci dan jongosnya. Mereka mempunyai sumpah setia tambahan pula, yakni berikrar untuk bertungkus lumus mambantu dan menyokong ketua yang rakus itu. Golongan balaci dan jongos inilah golongan yang paling berbahaya dalam sesuatu pemerintahan diktator ataupun pemimpin yang mengamalkan autokrasi. Oleh kerana si diktator itu terlalu sibuk dengan nafsu serakahnya dia memerlukan kesetiaan membuta para jongosnya. Si para jongos pula sibuk untuk membalun harta mengikut rentak dan gaya si ketua pelahap itu.

Proses membalun harta negara dan mengisi tembolok yang tidak mudah kembongnya itu adalah satu proses yang dirancang begitu rupa agar seluruh insan yang berkhemah di bawah panji-panji pelahap unggul itu menjadi kenyang. Tetapi, masakan seorang manusia berhati syaitan boleh tahu apa erti kekenyangan? Seorang pemimpin yang rakus adalah laksana seorang buta yang lapar. Dia mahu terus makan tanpa melihat apa yang perlu dimakannya kerana santapan itu disediakan oleh para jongosnya. Sudah menjadi hukum alam dalam dunia kerakusan, kesetiaan antara sesama manusia yang rapat dan setongkang adalah satu proses bertimbal balik. Seorang ketua yang rakus mahukan taat setia pengikutnya. Di waktu yang sama dia hanya akan percaya kata-kata yang dituturkan oleh jongosnya itu, tanpa mengambil pusing akan kesahihan dan kebenaraan sesuatu yang dituturkan oleh balacinya.

Proses mengisi tembolok hanya dapat berterusan apabila seseorang ketua ala mafia itu memberikan kebebasan kepada para penyokong kuatnya untuk membalun sama. Kalau tidak, segala tipu helah menkipu rakyat itu akan mudah dikesan. Tetapi, apabila harta rakyat dikebas setiap hari, sudah tentu ada segolongan manusia di kalangan rakyat itu yang akan sedar dan mencelikkan mata masyarakat yang lain akan kerja jijik itu. Namun demikian, adalah lebih mudah mencelikkan mata tertutup orang yang rabun daripada mata orang yang celik tetapi rabun. Inilah yang berlaku di semua negara yang dijajah oleh seseorang diktator.

Ketika Hitler cuba menguasai dunia apakah alat propaganda yang digunakannhya? Dia telah mengemukakan konsep 'The Aryan Race' yakni keagongan bangsa Aryan yang suci lagi suci dan gah lagi gah. Apabila pemimpin Kulit Putih di Afrika Selatan mahu menegakkan 'The White Supremacy' di negara kepunyaan orang kulit hitam, apakah yang mereka canangkan? Mereka tonjolkan kemegahan kekuatan orang kulit putih mengharungi samudera luas untuk membina kekuasaan di negara itu. Begitulah jgua dengan Mahathir. Apakah topik yang selalu dicanangkannya? 'Kepentingan Orang Melayu', 'Ketuanan Orang melayu'. Malahan digalakkannya beberapa orang menteri besar menonjolkan konsep 'Melayu Baru.'

- Bila Emosi Manusia Diputar-belitkan.

Sejarah telah membuktikan betapa pemimpin politik yang rakus kerap menggegarkan hati manusia untuk naik samada secara perlahan ataupun secara mendadak. Gegaran emosi digerakkan secara kumpulan kerana itulah kaedah yang cepat menaikkan semangat sesuatu bangsa. Kerana itu apabila Hitler menonjolkan konsep keunggulan Bangsa Aryan, seluruh rakyat Jarman terpesona dan sanggup belkerja keras untuk menyediakan alat perang yang canggih ketika itu. Mereka bekerja siang dan malam untuk mengejar masa dan akhirnya meledakkan semangat memerangi dunia. Kaedah yang sama di gunakan oleh Bonaparte sebelum itu kerana mahu menyaingi kegagahan Empayar Great Britain.

Penduduk kulit putih melancarakan Apartheid untuk menegakkan keunggulan bangsa orang putih di negara yang digelapi oleh bangsa kulit hitam. Kerana itu mereka mengadakan sistem segregasi untuk menentukan keluhuran bangsa mereka.

Untuk terus mengekalkan semangat juang apakah yang dilakukan oleh Hitler? Beliau telah mengganyang orang Yahudi yang cuba dihapuskannya di dunia ini. Orang Yahudi dijadikanya sebagai satu alat penyatuan semangat keunggulan bangsa Aryan.

Napoleon Bonaparte, pemimpin Kulit Putih Afrika Selatan dan juga Adolf Hitler gagal mencapai cita-cita mereka seperti yang dirancangkan kerana mereka telah menidakkan kuasa Allah (swt). Mereka cuba menguasai dunia dengan menggunakan logika akal mereka. Berjuta manusia terkorban dalam usaha mencapai hasrat rakus mereka itu namun mereka tidak mampu hidup lebih lama daripada apa yang mereka rancangkan. Semua ini berlaku di dunia bukan Islam.

Perangai pemimpin yang rakus dan cuba menonjolkan dirinya di dunia yang luas ini pernah juga berlaku dan pasti akan terus berlaku di negara Islam. Di Iran, Shah Pahlavi telah mendabik dada dan mengatakan bahawa Iran (di bawah penjajahannya) adalah empayar Islam yang paling kaya dan kuat dari segi kelengkapan perangnya. Dia membuat pengisytiharaan itu setelah memerhatikan betapa para pemimpin Lebanon sedang mencuba menubuhkan satu kerajaan yang mampu menjadi 'Negara Switzerland bagi orang Arab'. Dengan hasrat menjadikan Iran sebuah kuasa besar dia telah mendera rakyatnya dan mengenepikan ajaran Islam. Hasil minyak Iran yang begitu kaya telah digunakan untuk membeli senjata perang yang canggih sehinggakan tidak ada negara Islam yang lain yang mampu menandinginya. Apabila rakyat memberontak digunakannya kekerasan. Pasukan SAVAK yang terkenal akan kegagansannya telah dikerah untuk menghapuskan para penentangnya itu. Namun, Allah menyebelahi rakyatnya yang menderita. Revolusi rakyat meletus dan Shah Iran lari ke luar negara.

Ketika dalam pembuangan dia mendapat maklumat betapa kerajaan Amerika melalui CIA cuba menculiknya untuk diserahkan kepada Ayatollah Khomeni. Pesawat udara peribadi yang sepatutnya mendarat di lapangan terbang Schipol (Amsterdam) untuk mendapatkan bekalan minyak telah terus terbang daripada Amerika ke Mesir. Shah Iran yang terakhir itu telah mendapatkan bantuan para penyokong lama iparnya (Raja Farouk) dan menetap di sana sehingga ke akhir hayatnya.

Kejatuhan dinasti Pahlavi Iran adalah satu pengajaran kepada semua umat Islam bagaimana emosi manusia itu dibendung untuk menegakkan kerakusan seorang manusia yang sudah berhati syaitan. Apabila emosi itu terus dibendung terlalu lama ia akan meletup akhirnya laksana gunung berapi yang memuntahkan laharnya. Ketika itu semangat juang rakyat untuk mendapatkan kebebasan dan melepaskan rantai yang membelenggu kebebasan mereka itu akan menghapuskan apa jua bentuk pemerintahan yang zalim. Tetapi, apakah kejatuhan dinasti Pahlavi itu menjadi ingatan dan iktibar kepada pemimpin politik Islam yang lain? Apakah kesengsaraan rakyat Iran yang didera oleh dinasti ini dan keadaan Iran yang hampir muflis apabila khazanah negara dibalun itu tidak dijadikan bahan kajian oleh negara Islam yang lain seperti Malaysia? Sebelum Iran naik maju kerana minyak dan gas asli, hasil kekayaan negara banyak bergantung kepada kerja tangan rakyat yang mengeluarkan permaidani bermutu tinggi. Di samping itu terdapat jua perusahaan hasil bumi, hasil tani dan juga perikanan.

Mengenang Jasa Tan Sri Ainudin Wahid

Saya merasa lega apabila mengetahui Tan Sri Ainuddin menjadi pemengang Tokoh Maal Hijarah tahun ini. Bagi saya inilah penghormatan yang sepatutnya diberikan kepadanya lebih awal lagi. Kalau kita teliti jumlah anak didiknya yang sudah pun menjadi orang-orang besar di negara ini , saya merasa pelik juga kenapa beliau dilupakan selama ini. Mereka yang pernah menjadi tenaga pengajar di awal enampuluhan tentu masih ingat beliau. Ketika itu para pensyarah Melayu baru sahaja bertapak dan masih lagi menggunakan kereta Volkswagen, Fiat 127, Fiat 144 ataupun Hillman Imp, Singer Imp dan Ford Escort.

Tan Sri Ainuddin sudah menunjukkan ketokohannya memberikan hala tuju yang perlu dilalui oleh pendidik bangsa Melayu. Inilah jasa didikan beliau yang akhirnya mencetuskan semangat juang di kalangan cerdik pandai muda Melayu ketika itu.

- Ainuddin Dulu dan Ainuddin Sekarang

Saya percaya hampir semua anak didik Ainuddin sejak awal 60-an dulu hinggalah beliau bersara di UTM akan ingat betapa gigihnya tokoh ini mengembangkan semangat ke Islaman ke dalam tubuh anak Melayu yang masih merangkak mencari syiar Islam. Demikianlah sukarnya tugas beliau ketika itu kerana anak Melayu keluaran sekolah menengah tahun 60-an bukan sahaja kurang cerdas dalam mata pelajaran duniawi malahan juga pegangan mereka terhadap agama Allah. Beliau amat sabar menerapkan ajaran Islam ke dada anak didiknya secara berlembut dan bertahap. Ketika itu tentangan terhadap usahanya itu bukan sahaja ditentang secara bersembunyi oleh segelintir pelajar dan juga tenaga pengajar maktab malahan juga oleh segelintir pemimpin politik Melayu. Kepada saya inilah tokoh maal hijrah yang telah berdakwah kepada bangsanya lebih lama lagi daripad usia UMNO ciptaan 46 dulu.

Saya amat tertarik dengan ucapan Tan Sri Ainuddin ketika menerima anugerah daripada SPYD Agong. Beliau mengajak umat Islam menyoal diri sendiri kenapakah berlakunya perpecahan di kalangan bangsa Melayu dan kenapakah bercambahnya gangsterisme di sekolah. Dia menyoal rakyat semuanya kenapakah Melayu berpecah belah. Kenapakah banyaknya fitnah dan kerja-kerja bidaah. Soalannya yang paling jelas sekali ialah sampai bilakah fenomena ini akan berubah.

- Jawapan Mudah Tokoh Maal Hijrah

Seperti yang dicanangkan oleh sebahagian besar para reformis dan juga para penulis di laman pro-reformasi, Tan Sri Ainuddin mengajak para hadirin dan pendengar ucapannya itu agar belajar bersyukur kepada Allah. Kepadanya semua masalah negara yang bersangkutan dengan dua fenomena itu hanya dapat diselesaikan dengan mencari keredaan Allah.

Tan Sri Ainuddin yang saya kenal tidak pernah berubah dalam falsafah hidupnya. Baginya setiap masalah manusia boleh diselesaikan kalau manusia itu mencari jawapannya dalam ajaran ugama Islam. Saya tidak mahu menulis panjang akan catatan saya kepada ucapannya itu. Memadailah kalau saya mengajak saudara sekelian merenungnya apa yang dikatakan oleh Ainuddin itu. Bukankah benar di waktu negara dan umat Islam memperingati Awal Muharram, kita umat Islam seharusnya membuka kitab ugama dan mencari jalan penyelesaaian kepada masalah negara itu mengikut hukum Allah?

Kesimpulan

Orang Melayu berada dalam kekalutan kerana seorang pemimpin Melayu terunggul yang telah membelakangkan ajaran Allah. Masalah yang membuatkan perpecahan Melayu itu cuba diselesaikan dengan menggunakan ajaran Islam hanya sebagai topeng sahaja. Cara mudah membelakangkan ajaran Islam ini dibuat kerana pemimpin Melayu itu yang rakus dan ganas untuk membalun khazanah negara bagi tujuan memperkayakan para kroni dan peribadi. Disebabkan kerakusan itu makanya segala taktik memeras ugut dan menindas bangsa sendiri itu menjadi satu amalan harian, kerana para penindas itu sudah lupa daratan. Apabila pemimpin ulung Melayu itu terus rakus, para penyokong yang setia membabi-buta pun ikut rakus sama. Kerakusan itu semakin menjadi apabila memikirkan usia seorang diktator tua yang semakin lanjut yang memungkinkan beliau terjerumus ke kancah kesewelan dan menjadi nyanyok.

Apabila para pemimpin politik yang memerintah mengingkari janji setia yang dilafazkannya kepada Allah dan bersaksikan rakyat yang melantik mereka itu, padahnya adalah amat berat sekali. Tetapi, selain daripada mengingkari sumpah setia mereka kepada Allah itu kita dapat perhatikan pula bagaimana mereka cuba menudung segala kerja-kerja jijik mereka dengan mencanangkan agar rakyat tahu bersyukur. Bersyukur kepada merekakah ataupun bersyukur kepada Allah?

Apabila sebilangan besar rakyat memberontak secara aman terhadap sistem pemerintahan yang mencengkam kebebasan mereka bersuara, maka ditonjolkan satu isu betapa orang Melayu berpecah kerana tidak tahu bersyukur. Lantas ditonjolkan pula kepada para raja dan Sultan agar turun ke padang 'berdakwah' agar orang Melayu bersatu. Tujuan sebenarnya ialah mahukan orang Melayu itu berterima kasih kepada kepimpinan seorang sewel yang bernama Mahathir Mohamamd al Kutty. Itulah tujuan sebenarnya. Apabila segala usaha untuk menarik pengaruh orang Melayu gagal, maka dipesongkan lagi fikiran orang Melayu itu dengan mengatakan betapa minda Melayu sudah dijajah oleh parti yang berlandaskan ajaran Islam. Sekaligus agama Islam itu diperlekehkan. Sekaligus juga Allah diperlekehkan sama.

Inilah dilemma orang Melayu masakini. Inilah dilemma yang dibawa daripada tahun hijrah yang sudah lalu. Kita dipesongkan daripada terus bertaqwa kepada Allah oleh seorang pemimpin ulung Melayu yang sudah nampak semakin sewel perangainya. Malangnya para juak dan jongos yang terus mengampu sakan perangai bedebah ini semakin lantang bersuara sumbang memperakukan setiap kata-katanya. Sedangkan amat jelas sekali betapa banyak sekali amalan dan prinsip kepimpinan si bedebah ini yang sudah jauh menyimpang daripada ajaran Islam. Dia diampu dan terus diampu oleh segolongan manusia yang amat terpelajar tetapi ternyata kurang terdidik.

Kekalutan orang Melayu akan terus berpanjangan. Tidak ada sebarang tanda bahawa kekalutan itu akan reda dan tidak ada sebarang tanda bahawa pihak kerajaan mahu mengaku siapa sebenarnya punca kekalutan itu. Sedangkan bukti yang nyata akan orang yang bertanggungjawab terhadap kekalutan sudah lama ada di depan mata. Para cerdik pandai dalam kerajaan lebih rela melupakan ajaran Allah daripada bangkit bersatu dan menuding daring kepada seorang bedebah Melayu yang sudah sewel, nyanyok dan takabbur. Mereka lebih rela menikus daripada bersuara lantang menunjukkan apa silapnya dengan orang Melayu masakini. Mereka enggan menyatakan kebenaran walaupun mereka sudah lama sedar akan kebenaran itu.

Seperti kata Tokoh baru Maal Hijrah Tahun 1421 Hijrah, Tan Sri Ainuddin Wahid; masalah orang Melayu dan negara harus ditangani mengikut ajaran Islam, sebelum terlambat. Apakah para juak dan jongos kepada seorang diktator tua itu sudah lupa akan kenyataan seperti ini ? Kemanakah kita selepas ini? Nampak sangat, UMNO ciptaan seorang Mamak Bendahara sudah semakin murah kerana alang-alang murah biarlah berterusan asalkan, kuasa tetap ditangan. Tetapi, Bangsa Melayu adalah satu bangsa yang dilahirkan untuk menjadi besar. Hanya kebangkitan rakyat marhain yang akan berupaya memperhebatkan hakikat ini. Alang-alang hebat, biarlah yang murahan jatuh merempat, akhirnya.

Marhaintua @Hotamail.com
5.2.2000.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com

Balik Semula Laman Tranung Kite