Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

BAB 12 - MENCARI GELIGA DALAM GELITA (I)

Bahagian Satu

(Satu Tribut kepada rakyat marhain yang akan keluar secara aman menyuarakan hasrat yang sekian lama terpendam mahukan Mahathir al Kutty merelakan dirinya ke Mahkamah)

Dalam sehari dua ini Mahathir Mohammad akan pergi ke Cuba untuk berlagak sakan. Maklumlah beliau telah disembah oleh perwakilan Fiedel Castro yang menjanjikannya ruang istimewa untuk menonjolkan diri sebagai Wira Dunia Ketiga. Tentunya Jet Pribadi Global Express yang akan membelah angkasa biru dengan belanja besar yang sepatutnya digunakan untuk menaikkan taraf rakyat miskin akan muncul di Havana menonjolkan imejnya. Orang Cuba akan terpesona dengan kekayaan yang dipertontonkan oleh seorang pemimpin terunggul UMNO yang pada sangkaan mereka adalah seorang pemimpin besar yang disanjungi oleh rakyatnya. He..he..he..!

Kita tahu bahawa si diktator tua itu sudah mempunyai agenda yang rapi untuk terbang meninggalkan Kuala Lumpur. Satu agenda mantap setibanya di Havana ialah untuk terus melonjakkan egonya sebagai seorang ketua negara termaju di antara yang sedang mahu maju. Tentunya beberapa keping VCD yang menunjukkan keindahan Malaysia sudah lama dihantar ke Cuba untuk ditayangkan di TV Havana. Semestinya, Menara Kembar Tercanggih di dunia menjadi fokus yang baik, walaupun tidak sebaik 'Mahligai Airmata Rakyat' berharga 17 juta Ringgit sahaja (he..he..he..). Begitu juga dengan KLIA, Gelanggang Formula One, Menara Kuala Lumpur dan segala deretan bangunan tinggi dan deretan rumah terapung yang meminggiri pantai Langkawi dan Pangkor akan diselitkan sama. Kepada orang Cuba yang merupakan salah satu negara termiskin di dunia, semua gambar 'Malaysia Indah' yang akan mereka lihat itu akan merupakan satu syorga dunia, kerana semua itu amat 'alien' kepada mereka. Namun, mereka sudah biasa juga melihat keindahan yang lebih baik daripada itu kerana ramai saudara mara yang berhijrah ke Florida dan kota besar Amerika memang kerap mengirimkan gambar demikian kepada mereka.

Kita dapat bayangkan setibanya Global Express di Havana seluruh dunia akan menyaksikan pertemuan dua diktator tua dunia. Laksana satu episod 'The East meets the West' pertemuan itu pasti mendapat liputan luas oleh media massa kedua-dua negara. Inilah gambar posing yang berharga untuk propaganda, menegapkan imej kedua diktator tua. Apakah mesej sebenar pertemuan itu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Di sebalik propaganda yang dirancang rapi tentunya episod itu ditafsirkan juga sebagai pertemuan 'The Eastern-West meets the Western-East' kerana dua-dua diktator tua itu adalah lambang betapa mereka sudah jauh menyimpang daripada ikrar mereka memimpin negara dulu.

Dua Agenda Yang Siap Sedia

Kita tidak mahu tulis tentang agenda pemimpin terulung UMNO ini bila berada di Havana. Cuma kita mahu ingatkan para pemberita akhbar bangsa kita membuat 'homework' ketika berada di sana dan buat sedikit kajian akan sejarah orang Cuba di zaman Fidel Castro. Saudara sekelian akan dapati banyak persamaan cara Casto memerintah Santiago de Cuba sejak 1959 dulu sehingga kini. Bagaimana Castro menyingkirkan presiden pertama kerajaan yang menumpaskan rejim Batista dan akhirnya menjadi presiden parti itu. Memang ramai yang tidak mengetahui cerita sebenar kenaikan Castro kerana kita kerap terbaca tulisan dalam Bahasa Melayu betapa Fidel Castro adalah seorang bapa kemerdekaan Cuba. Sebenarnya tidah, dia hanya dilantik sebagai Ketua Tentera Kerajaan kebebasan Cuba selepas jatuhnya rejim Batista. Orang yang betul-betul mengepalai revolusi rakyat untuk menggulingkan rejim itu ialah Che Ernesto Guivera. Di bawah Ketua Tentera ketika itu ada seorang presiden dan juga seorang perdana menteri. Namun, akhirnya presiden silih berganti dan perdana meneri pun silih berganti sebelum Castro meletakkan jawatannya kerana tipu helah untuk mendapatkan simpati rakyat yang dipukau dengan janji manis dan cakap kosongnya. Dari situlah beliau berjaya memegang jawatan presiden yang diidamkannya itu. Sejak itu beliau menjadi ganas dan bertukar menjadi seorang diktator. Cara beliau menangkap dan memenjarakan beribu penyokong setia Parti Orthodoxo (boleh disamakan dengan UMNO) ketika pelancaran revolusi adalah menakjubkan. Malahan ada seorang pejuang yang popular seperti Anwar Ibrahim yang telah dipenjarakannya selama 22 tahun kerana menuduhnya menyimpang daripada perjuangan parti. Jalan ceritanya adalah lebih kurang sama dengan cara seorang diktator tua yang naik menjadi perdana menteri dan akhirnya menjadi simbol ketuanan Melayu tajaan UMNO.

Cukuplah dulu setakat itu kerana kita mahu menulis khusus untuk para reformis yang akan berdepan dengan April 14 nanti.

AGENDA YANG MESTI DILAKSANAKAN

Pemimpun terulung UMNO itu sudah tidak punya banyak pilihan. Dia tahu majoriti orang Melayu sudah menganggap beliau laksana anak ayam yang melihat hampas kelapa kering. Mematuk untuk mencubanya pun tidak, malahan digunakan sahaja sebagai pengalas apa yang dilepaskan di bahagian punggungnya sahaja. Ayam jantan dewasa akan menggunakan longgokan hampas kering itu hanya sebagai bahan kuitan untuk menjebak ayam betina, seolah-olah di bawah kuitanya itu ada sejenis makanan yang paling lazat.

Kerana itu, walaupun dia akan pergi ke Cuba, hatinya akan terfokus kepada pergolakan yang mungkin tercetus di Kuala Lumpur. Dia tahu masa-depannya bergantung kepada apa yang akan terjadi di Kuala Lumpur pada 14 April hingga 16 April nanti.

Apa ada pada Aprl 14 ?

Dari apa yang kita baca dan kita ketahui pada penganjur Gelita 14 itu, pare reformis akan keluar beramai-ramai secara aman (saya tekankan frasa 'secara aman) untuk "MEMPERINGATI KEZALIMAN MAHATHIR". Pengajur rapat raksasa itu menganjurkan penyertaaan manusia yang cintakan kebebasan dan keamanan untuk bersama mereka di seluruh negara dan menaikki tren pergi ke Kuala Lumpur.

Tetapi, apakah yang dikatakan oleh si kaki kelentong itu akan rencana ini? Utusan Meloya menggunakan tajok di muka depannya frasa ini: "RANCANG RUSUHAN GANAS":..

.... "Dr. Mahathir Mohammad melahirkan kebimbangannya terhadap trend terbaru parti pembangkang yang kian ghairah mahu mencetuskan huru-hara termasuk ingin melihat berlakunya pertumpahan darah dalam negara. Beliau mempunyai maklumat bahawa penyokong-penyokong Parti Keadilan Nasional (Keadilan) merancang untk melakukan rusuhan ganas di ibu negara, 15 April ini. ..."

Demikianlah jijiknya pembohongan seorang Raja Kelentong yang menjadi pemimpin terulung UMNO. Kita tidak lagi mahu mengiktirafnya sebagai pemimpin terulung Melayu kerana beliau sudah gugur taraf dan tidak layak lagi diberikan penghormatan seperti itu. Terlalu banyak pembohongannya. Bukan sahaja Nabi yang diperlekehkannya, bukan sahaja Raja-raja yang dihinanya, bangsa Melayu itu pada keseluruhannya sudah menjadi bahan permainannya. Kini, orang UMNO yang masih terpaksa menebalkan muka menjadi ahli parti itu sudah sedar betapa mesyuarat bahagian dan cawangan yang diadakan sebenarnya melanggar perlembagaan parti. Semua itu dihalalkan semata-mata untuk mencalonkan para gurkha dan jongos-jongos yang akan terus mengampu si diktator tua itu untuk terus menjadi presiden parti sehingga dia mati.

Kalau kita lihat jadual yang diterangkan oleh pengajur Black 14 (kita lebih berminat menggunakan frasa Gelita 14) itu terdapat jadual betapa bebrapa pemimpin Barisan Alternatif yang akan menaikki tren dari beberapa perhentian terpilih di seluruh negara. Apakah ini satu kumpulan manusia yang akan mencetuskan huru-hara? Apakah ini yang patut disekat ? Apakah kumpulan begini yang sebenarnya mesti dihalang oleh FRU dan polis sebelum terlambat? Inilah taktik putar alam Mahathir yang amat mudah menuduh kumpulan luar melakukan apa yang mahu dilakukannya sendiri. Inilah taktiknya yang sudah lama sangat diamalkannya untuk menipu rakyat yang selama ini amat mempercayainya.

Orang Utusan yang membuat laporan itu menulis:

.. "Difahamkan pihak tersebut mahu melakukan tindakan agresif itu bertujuan mendapatkan semula perhatian rakyat setelah merasakan pergerakan mereka semakin tidak mendapat sokongan."

Tetapi Raja Kelentong itu berkata:

... "Saya dengar Keadilan hendak ada demonstrasi pada 15 April ini dengan tujuan nak memperingati tentang sesuatu dan mereka sedia nak pukul polis, nak bawa senjata...kayu dan Molotov cocktail (bom botol). Oleh itu kalau nak buat apa-apa pun kenalah buat sekarang, sebelum melarat."

Eh wah.... alangkah cantiknya gambaran yang diberikan oleh seorang diktator tua yang menganggap rakyatnya masih lagi mundur dan tidak berpelajaran seperti ketika dia mula menipu dulu. Apakah dia fikir cakap-cakapnya itu boleh ditelan mentah-mentah oleh rakyat negara ini seperti dia menelan berbiji pil untuk menahan badannya daripada kendur kecut mengikut usianya yang sebenar?

AGENDA MENGGANYANG

Setiap kali beliau berpergian, memang ada sahaja agenda menganyang rakyat yang direkanya untuk dilaksanakan oleh pemangkunya. Sebagaimana biasa orang yang menjadi Timbalan Presiden UMNO akan melakukan semua kerja-kerja itu. Tidak kiralah samada tugas tersebut akan menghimpit rakyat ataupun tidak. Tidak juga kira apakah kabinet sudah merestui kerja jijik tersebut. Tetapi, apakah peranan kabinet sebenarnya di mata diktator tua ini, selain daripada menjadi tukangangguk yang tidak pun berkuasa meletakkan cap jari kepada dokumen yang di'sahkan'?

Sejak Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi kita telah menyaksikan betapa semua kerja jijik untuk menghapuskan para penentang diktator tua ini dilakukan ketika beliau berada di luar negara. Seperti satu drama lagaknya segala agenda mengganyang rakyat dilaksanakan. Laksana satu program yang sungguh baik dirancang, agenda itu dipatuhi dengan satu 'precision' tanpa ada tangguhnya. Rakyat juga yang menderita, dan warga negara (polis, perisik tentera, SB, FRU, penerangan, waratawan) yang diperintahkan menjalankan tugas yang jijik itu juga yang merana mentalnya. Secara tidak lansung, keluarga para 'implementor' ataupun penglaksana kerja-kerja jijik itu pun terpalit akan dosa dan bala yang datang secara tidak disangka. Namun, mamak tongkang terus garang, kerana sudah tidak ada sekelumit sesalan kepadanya akan dosa yang ditanggung selama itu. Saluran jantung yang dicuci beberapa kali, getaran dada yang berdenyut dengan bantuan bateri, fungsi telinga yang semakin tuli bukannya ingatan yang sesuai untuk bersedar diri. Dia seolah-olah tidak peka akan semua itu kerana lagak bodohnya yang diberikan keutamaan telah menguasai dirinya. Yang penting sekali diktator tua ini sudah menungkat langit seolah-olah langit tidak akan runtuh selagi dia masih bernyawa dan bateri di dada masih utuh..

Kenapa Rakyat Mesti Terus Diganyang

Takatik menganyang rakyat adalah satu taktik terbaru di alaf baru. Inilah taktik agar rakyat tidak boleh hidup senang. Otak mereka mesti mencelaru memikirkan apa akan jadi kalau ada huruhara. Apa akan jadi kalau harga makan terus naik, harga tol terus naik dan tambang bas sekolah terus meninggi. Inilah taktik mengganyang minda yang dilancarkan di alaf baru. Inilah taktik yang semua rakyat mesti tahu. Inilah taktik pecah dan perintah. Kalau rakyat tidak berpecah, rakyat tidak akan ikut arahan pemerintah dan akan bersatu menukar sistem pemerintahan.

- Ramalan kekecohan Mei 11 nanti:

Untuk satu waktu yang lama perhatian Mamak Tongkang ini banyak tertumpu kepada sejumlah 2000 orang Melyu yang menjadi perwakilan UMNO. Inilah manusia yang mesti dijaga dan dibelai laksana pasu bunga di taman nirwana. Inilah insan-insan yang menentukan siapa yang patut berada di atas pentas dewan persidangan UMNO setiap kali hari pengundian dilakukan. Kali ini Mei 11 nanti, para wakil ini tidak lagi perlu menaruh undi untuk menentukan siapa menjadi presiden parti dan pembantunya. Kerana itu kedua-dua jawatan teratas akan dicatatkan sebagai 'jawatan yang dimenangi tanpa beranding. Sedangkan frasa sebenarnya adalah jawatan yang tidak boleh ditandingkan. Siapakah yang akan berani mengungkit perkara ini nanti? Demikianlah perencanaan seorang diktator tua untuk terus berkuasa. Tetapi, nanti dulu.......apakah kemungkinannya di hari persidangan itu nanti ada sekumpulan manusia yang mengemukakan cadangan tergempar meminta sesuatu yang akan menggugat impian indah diktator tua itu? Apa kata kalau kumpulan yang garang ini berjaya dengan tindakan mengejut mereka?

Sekarang ini UMNO nampak tenang. Tetapi, air yang tenang jangan sangka tidak ada buaya. Mamak tongkang amat faham akan perkara ini, jadinya dia mahu tentukan perkara ini tidak akan berlaku. Saya telah diberitahu bahawa sudah terdapat beberapa bahagian dalam UMNO yang amat marah dengan dakwaan bahawa orang Melayu itu sudah berpecah. Malahan, sudah ada beberapa puak dalam UMNO yang amat marah apabila raja-raja diminta untuk turun padang berbincang dengan rakyat masalah perpecahan itu. Kepada para veteran UMNO pengakuan dua fenomena ini sebenarnya sudah menjadi bukti yang cukup betapa kepimpinan UMNO itu yang sebenarnya pincang. Bukan orang Melayu yang berpecah sebenarnya.

Pendedahan Tuan Guru Nik Aziz bahawa persidangan raja-raja yang berlalu tidak pun membincangkan secara rasmi hal perpecahan orang Melayu. Ini bererti Raja Kelentong menipu lagi apabila beliau mengatakan perkara itu ada dibincangkan. Sekali lagi Mamak Tongkang sudah mencabar kesabaran orang Melayu. Kali ini dia melakukannya melalui persidangan raja-raja pula. Inilah isu yang digunakan sebagai senjata berbisa ketika berkempen di Sanggang dulu. Inilah juga yang digunakan kepada orang bukan Melayu agar mereka terus memangkah Barisan Nasional di Sanggang.

Pendedahan TG Nik Aziz yang disokong oleh Mustafa Ali yang mewakili TG Awang Hadi telah disahkan juga oleh beberapa sultan dan wakil raja secara senyap-senyap. Inilah yang mengejutkan para veteran UMNO sehingga ada yang mengatakan: "Sah, Mamak Tongkang Sudah Nyanyok dan gila kuasa." Ada yang melenting dan bersemuka dengan beliau dan cuba menasehatinya agar bertaubat sebelum terlambat. Bukankah ini yang dikiaskan oleh Penghulu Ulu Tembeling dalam Celoteh 25: "Yahudi Memang Pandai Putar Alam" ?

Kaitan Persidangan UMNO Mei 11 dengan Pertemuan Gelita 14

Mahathir amat faham dengan sentimen orang Melayu masakini. Dia tahu kemenangan di Sanggang bukannya gambaran yang jelas apakah orang Melayu itu benar-benar menyokong UMNO. Malahan, tidak ada apa yang boleh dibanggakan dengan kemenangan Sanggang selain menentukan pihak pembangkang tidak bertapak secara rasmi. Walaupun beliau dan Paklah sudah menang jawatan yang tidak boleh dipertandingkan, hatinya masih kecut lagi. Dia amat takut kalau-kalau orang-orang pilihannya akan tumpas. Besar kemungkinan ini akan berlaku sebagai undi protes para perwakilan. Kerana itu dia mahukan satu bahan yang boleh dijadikan satu 'unifying factor' untuk menentukan orang pilihannya terus menang Mei nanti. Dengan lain perkataan dia amat inginkan adanya satu agenda mantap yang dapat mempengaruhi semua perwakilan nanti agar terus mempercayai kepimpinannya. Dia mahukan satu faktor yang boleh membuatkan para perwakilan menjadi 'ngam' dengan tipu helah terbarunya nanti. Namun, berdasarkan pergolakan yang berlaku kini, dia tahu masa depannya amat gelap dan gelita sekali. Mungkin lebih gelita daripada yang dihadapi oleh beberapa musuh politiknya.

Igauan Yang menghantui Tidurnya

Siapa boleh sangka apabila dia tidur dia akan diulit mimpi ataupun igaun yang ngeri? Tentu sekali bukan Mahathir. Dia tidak sehebat itu. Dia tahu perkara ini kerana itu dia amat takut akan apa yang akan berlaku. Mahathir tahu bahawa semua orang tahu betapa takutnya beliau menghadirkan dirinya ke mahkamah. Kerana itu sapina yang dikeluarkan akan ditentangnya habis-habisan selagi dia berada dalam negara. Satu ketika dulu, dialah manusia yang berhati syaitan yang berlagak sakan melolong seluruh dunia betapa dia rela disapina. Apa jadinya kini? Dia enggan hadir lagi kerana alsannya dia tidak mempunyai bukti akan apa yang terjadi. Malahan, affidavit orang suruhan nombor satu yang bernama Megat Joned pun diubahsuai agar mengurangkan tekanan terhadapnya. Inikah yang dikatakan Wira Dunia Ketiga?

Bukankah semua ini membuka tembelang betapa dayusnya pemimpin terulung UMNO masakini yang perlu disanjung setinggi-tingginya? Jikalau manusia semacam ini perlu disanjung-sanjung dimanakah akidah para ahli UMNO terutama sekali pemimpin lama yang berpengaruh lagi dalam parti itu? Dalam hal ini saya ingin memetik sedikit satu tulisan yang sesat lagi menyesatkan yang ditulis oleh seorang mamak muda bernama Ab. Jalil Aboo Backer daripada Universiti Malaya yang disiarkan di Utusan Melayu pada Sabtu 8 April di bawah tajuk "Di mana Melayu tahun 40-an hinga awal-80-an.". Beliau ada berkata di bahagian akhir tulisannya:

..... " Apapun satu tindakan pembetulan hendaklah dilakukan untuk mengembalikan cerita sebenar jasa Dr. Mahathir dan UMNO kepada generasi muda. Dr. Mahathir mungkin merasakan ia tidak penting. Tapi ia amat penting kepada akidah orang Islam dan survival UMNO.".....

Nauzubillah....apakah yang sudah jadi, wahai bangsaku ?. Inilah tulisan seorang anak muda hingusan yang sekandang dengan seorang ulama UMNO yang bernama Astora Jabat.

- Sudah Gilakah Orang Melayu

Cara Mahathir memburuk-burukkan bangsanya sendiri dengan memfitnah akan adanya huruhara adalah satu kerja yang amat jijik yang menggugurkan haknya dipanggil sebagi seroang pemimpin Melayu terulung masakini. Faktor ini diperkuatkan lagi oleh beberapa tulisan yang cuba memukau golongan muda Melayu agar terus taksub dengan kepimpinannya. Begitulah taksubnya segelintir orang Melayu itu sehinggakan ada yang menulis dan menganggap Mahathir itu adalah Wali Allah. Apabila sekumpulan insan sesat menulis panjang-panjang dan bertali arus memuji-muja mamak tua ini sambil mengenepikan ajaran Islam, apakah mereka juga tidak sesat dan mengerjakan kerja-kerja yang menyesatkan? Kenapakah tidak ada sebarang tindakan yang dikenakan terhadap mereka?

- FRU di Batu Caves

Semalam, Keadilan telah mengadakan satu sambutan ulangtahun di Taman Pinggiran Batu Caves. Saya ingin merakamkan satu catatan yang dibuat oleh seorang insan bernama Marzuki Mazlan yang saya petik di laman FGR bertarikh 10 April:

... " Polis dan FRU telah dikerah untuk mengawasi kawasan berkenaan dan pada malam Sabtu mereka telah merobohkan pentas ceramah berkenaan. Sambutan tetap juga diadakan di Desa Melawati dengan kehadiran Polis, SB dan FRU. Berlaku kekecohan pada jam 11.30 pagi dan diarahkan bersurai sehingga jam 12.00 tengahari selepas acara tarik tali diadakan. Tiga trak FRU dikejarkan untuk besiap sedia berbanding dengan pesta liar hanya 5 anggota polis yang berkawal sehingg pagi..." Pesta liar yang dimaksudkan ialah persta hingga 9.000 pagi yang diadakan di Kem Ghafar Baba sedikit hari yang lalu.

Taktik menggempurkan FRU dan SB adalah taktik yang sama dilakukan ketika kempen di Sanggang dulu. Inilah taktik untuk menakutkan rakyat betapa besar kemungkinan tercetusnya huruhara. Kita dapat lihat, kebelakangan ini sebelum Mahathir pergi ke Cuba dan ketika beliau berada di luar negara tema ucapannya kepada pemberita akhbar adalah berpaksikan huruhara di negaranya sendiri. Siapakah yang mencetuskannya kalau bukan penyokong parti pembangkang. Bukankah itu yang akan dikatakannya?

- Huruhara Ciptaan Diktator Yang Sewel

Sejak kita menyambut alaf baru, kita telah disogokkan dengan seruan betapa pentingnya negara sentiasa aman untuk meningkatkan ekonomi yang tempang di tahun yang lalu. Rakyat diminta bersyukur dan mengingati jasa para pemimpin yang memperbetulkan ekonomi yang tempang itu. Taktik ini kantul kerana rakyat tahu kepada siapa mereka mesti bersyukur. Yang pasti bukannya kepada para pemimpin politik yang melantak khazanah negara secara terang-terangan.

Menyedari kegagalan taktik ini apa pula taktik yang dipergunakan kalau bukan tema perpecahan orang Melayu? Mula-mula taktik ini dibuat secara bersahaja dengan meminta para pemimpin masyarakat bergiat cergas untuk menyedarkan orang Melayu akan masalah perpecahan itu. Tetapi, bangsa yang manakah di dunia ini yang tidak pernah berpecah dalam amalan berpolitik mereka? Di zaman nabi-nabi silih beganti pun perpecahan dalam sesuatu bangsa itu pernah berlaku. Kenapa tidak di zaman orang melayu dipimpin oleh seorang pemimpin separa Melayu (Melayu kacokan Pakistan - he..he.he..) yang sewel?

Taktik ini kantul lagi. Masalah kegagalannya dikatakan terletak kepada pengurusan masjid dan surau. Oleh kerana pengurusan masjid dan surau itu bukan dikendalikan oleh orang UMNO maka dikatakan penyebab mengapa perpecahan itu tidak dapat diperbetulkan. Inilah analisis yang sesat lagi menyesatkan. Maka dibuat pertukaran dan rombakan sehinggakan pengurusan masjid dan surau pun sudah berbau UMNO. Tetapi, perpecahan masih juga berlaku kerana perpecahan itu berlaku dalam UMNO dan bukannya dalam masyarakat Melayu pada amnya. Semua ini berlaku disebabkan analisis menggila yang lebih condong untuk "menentukan cerita sebenar jasa Dr. Mahathir dan UMNO kepada generasi muda. Ia amat penting kepada akidah orang Islam dan survival UMNO..."

Program ini kantul lagi sehinggakan untuk melaksanakan mesyuarat UMNO di peringkat cawangan dan bahagian peraturan baru mengenai korum terpaksa dikuatkuasakan. Tetapi perpecahan itu terus berlaku kerana tafsiran itu dibuat oleh orang UMNO juga.

Apabila semua taktik di bawah tajuk perpecahan Melayu itu tidak diterima rakyat, maka dikerahlah segolongan orang tua yang majoritinya sudah berada dalam keadaan ingat-ingat lupa untuk mendengar cerita sedih perpecahan Melayu. Inilah dia golongan raja-raja dan sultan Melayu yang diminta (perkataan yang sebenar ialah 'kerahan tenaga diraja' untuk turun ke padang bertemu dengan rakyatnya) Nasib baik ada juga segelintir raja-raja yang masih muda dan belum melatah lagi. Mereka tertanya-tanya; 'Dimanakah perpecahan Melayu itu?' Apakah serius perpecahan itu sehinggakan raja-raja mesti turun padang? Mamak Tongkang dan para belacinya tidak mempunyai jawapan yang memuaskan kerana perpecahan yang dikatakan itu sebenarnya 'TIDAK ADA'. Budak sekolah pun tahu, kalau orang berpecah mesti ada yang bergaduh. Mesti ada huruhara. Mesti ada yang luka muka. Mesti ada bom molotov gamaknya. Mana dia........?

Bersambung.......Bahagian Dua...

Marhaintua@Hotmail.com
10 April, 2000.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com

Balik Semula Laman Tranung Kite