Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Bab 12 - Mencari Geliga Dalam Gelita (VIII)

BILA GELITA MENGGEGAR JIWA

Hidup ini adalah satu perjalanan yang panjang. Apa juga yang digunakan sebagai kenderaannya, perjalanan yang panjang itu pasti melalui liku-liku yang mencabar dan mendebarkan. Setiap cabaran dan debaran itu pasti mengegarkan jiwa. Demikianlah dengan apa yang saya baru lalui. Peristiwa betapa pedihnya anak-anak muda berlari ke sana dan sini ketika menyahut seruan GELITA 14 telah menggegarkan jiwa saya, sehinggakan saya mengambil keputusan untuk bercuti panjang. Saya merasa amat tertekan menyaksikan gelagat manusia yang diberikan kebebasan memukul insan seangkatan dan seusianya yang cuba menunjuk perasaan dengan aman, tanpa sebarang alat di tangan untuk melindungi diri dari menjadi bahan belasahan.

Alangkah aibnya kalau difikirkan apa yang telah berlaku kepada bangsaku. Dua kumpulan manusia yang mempunyai dua matlamat hidup yang berbezsa telah berantakan di tengah kota raya; di hadapan rumah Allah sebagai pusat pertemuannya. Satu kumpulan cuba menyemarakkan satu kebangkitan rakyat dan mahu memajukan satu surat bantahan yang diberi nama Memorandum Rakyat kepada rajanya. Sedangkan satu pihak yang lain yang lengkap bersenjata diarahkan untuk menyekat semangat itu dan melumpuhkannya secara ganas berdasarkan arahan jijik yang datang dari atas.

- Jijiknya Ops Padam

Tian Chua seorang pemimpin muda berjiwa rakyat telah memberitahu secara menulis dari dalam bilik tahanan polis bahawa usaha menyekat GELIGA 14 telah diberi nama Ops PADAM. Saya amat terkejut dengan berita itu dan mengambil keputusan untuk memendekkan cuti panjang saya buat sementara waktu dan merakamkan pendedahan itu. Sebenarnya, pendedahan Tian Chua itu adalah satu berita yang harus dipandang serius. Sebagaimana yang saya katakan, memberikan memorandum kepada seseorang manusia ataupun institusi yang besar bukannya perkara baru di negara ini. UMNO satu ketika dulu, amat kerap menyerahkan memorandum kepada duta-duta asing. Mungkin kita masih ingat betapa Ibrahim Ali pernah mengupah anak-anak yang baru pulang daripada sekolah untuk memakai baju bersaiz besar yang berlogokan gambar dacing dan memegang poster anti-Amerika di tangan mereka. Adakah mereka mempunyai lesen untuk berbuat demikian dan apakah hukumnya menggunakan anak-anak sekolah dalam hal itu?

- Siapa Yang Mahu Dipadam?

Pihak polis mesti ada sebab kenapa operasi menyekat Geliga 14 itu diberi nama 'Ops Padam'. Siapa yang mahu dipadamkan dan siapa pula yang harus padam, tentu sekali merupakan soalan rakyat marhain masakini. Apatah lagi setelah mengetahui nama operasi polis itu. Sepatutnya 'Ops Padam' itu diberi nama bagi satu operasi polis bermuafakat dengan penganjur Gelita 14 agar ia menjadi satu tunjuk perasaan yang boleh diberi nama GELIGA 14. Sepatutnya ketua polis negara dapat meyakinkan seorang tua sewel bahawa taktik menakut dan mengugut rakyat adalah satu taktik yang akan membawa satu implikasi yang amat mendalam. Dalam mata-pelajaran pencegahan rusuhan ada satu teori yang berkata: "A high handed tactic of intense supression of the people's liberty will create an ugly resonance on the people's mind". Dalam perkataan mudah ia menyebut betapa 'penindasan yang berlebihan ke atas hak kebebasan rakyat akan mencetuskan satu impak yang mendengungkan minda rakyat'.

Rakyat faham kini, betapa si sewel tua mahu memadamkan semangat juang rakyat untuk menuntut keadilan. Jika inilah yang menjadi agenda terbesar seorang diktator tua yang bernama Mahathir bin Mohammad bererti dia sudah sanggup memusuhi rakyatnya untuk terus berkuasa. Jika inilah juga agenda yang akan dipatuhi oleh semua juak dan jongos yang berada di sekelilingnya bererti mereka sudah sanggup menyanggah kehendak dan kuasa Allah dan memperlekehkan hasrat untuk mendirikan sebuah negara yang harmoni yang diimpikan oleh rakyat negara ini. Sekaligus mereka membuat ikrar untuk memerangi rakyat negara ini yang sebenarnya merupakan tuan mereka dan bukannya si sewel tua itu.

- Dilemma Yang Mahu Dipadam

Rupanya Mahathir bin Mohammad masih tidak faham betapa rakyat tidak rela kalau semangat juang mereka itu cuba dipadamkan. Mahathir dan para penasihatnya tidak faham apa erti kesyukuran. Mereka sepatutnya menghabiskan sebahagian besar masa lapang untuk berdoa kepada Allah dan bersyukur kepadanya akan segala kemewahan, kuasa dan kesenangan yang mereka kecapi sekarang. Sambil bersyukur itu mereka sepatutnya berterima kasih kepada rakyat yang amat tinggi toleransinya. Kalaulah ini menjadi pegangan hidup Mahathir di hari-hari yang semakin menusuk hidupnya itu, dia dapat melihat geliga di elah-celah kegelitaan yang semakin hampir menyelubungi hidupnya dan juga anak cucunya.

Adakah masuk akal kita bagaimana seorang diktator tua mahu memadamkan kebangkitan rakyat? Apakah dia tidak faham apa yang dirintihkan oleh rakyat selama ini? Apakah para menteri dan pemimpin pelapis UMNO tidak membaca setiap tulisan para reformis yang mahukan mereka sedar? Apakah mereka tidak faham budaya orang Melayu yang berhemah terhadap golongan yang dimuliakan itu? Kalau semua soalan ini dijawab dengan perkataan 'tidak'; alamat akan huru-haralah negara ini akhirnya.

Propaganda UMNO Jenis Baru

Kegagalan memadamkan semangat juang rakyat, telah mencetuskan satu perasaan takut di kalangan beberapa golongan tertentu di negara ini. Kita akan perkenalkan golongan ini dan cuba provok minda kita bersama apakah tindakan mereka selanjutnya. Mahathir bin Mohammad terpaksa mengobah haluan kapal strateginya untuk mengambil kira kebangkitan rakyat masakini dan juga cabaran yang perlu dihadapinya dalam kes Anwar Ibrahim. Kalau dua cabaran di atas merupakan cabaran yang datang dari depan ada beberapa cabaran lain yang sudah bergerak kuat dari bahagian kiri dan kanan yang perlu dihadapinya. Inilah cabaran rakyat yang berbentuk 'Flanking attacks' (serangan sipi) yang bila-bila masa saja akan membesar dan menghantui perjalanan hidupnya.

Pada satu ketika dulu Mahathir mampu mengabui pemikiran rakyat dengan taktik penindasan minda yang didahului oleh beberapa bentuk propaganda yang disogokkan secara berurutan di media massa. Rakyat akan mempercayi semua sajian propaganda itu secara menyeluruhnya apatah lagi kalau propaganda itu dikeluarkan secara bertubi-tubi. Semua bentuk propaganda itu akhirnya berjaya mempercepatkan usaha Mahathir membalun khazanah negara. Inilah yang terjadi apabila beliau melaungkan tema ketuanan Melayu yang membolehkannya menghakiskan kekebalan raja-raja Melayu dan mengalihkan kuasa ketuanan Melayu itu ke tangan UMNO. Kejayaan itu telah membeliakkan mata para juaknya sehingga membolehkan Mahathir berusaha secara licik sekali untuk mengalihkan kuasa ketuanan Melayu daripada UMNO kepada dirinya sendiri.

Apabila ketuanan Melayu itu sudah ada di tangannya, Mahathir berusaha lagi untuk mengabui minda seorang anak raja yang bernama Tengku Razaleigh Hamzah untuk membubarkan Parti Semangat 46 dan mempengaruhi semua pada penyokong setia poltiknya untuk masuk menjadi ahli UMNO (Baru) semula. Keupayaan Mahathir mempengaruhi rakyat untuk mempercayainya sehinggakan terlebur sebuah parti Melayu yang ketika itu sudah semakin kuat hampir setara dengan UMNO merupakan kejayaan karier politik Mahathir yang besar di alaf yang lalu. Tetapi, itulah cahaya geliga terakhir dalam karier politiknya Itulah cahaya 'Supernova' mengikut kajian astronomi.

Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Leigh) mungkin telah menerima tawaran Mahathir itu berdasarkan beberapa janji-janji yang disampaikan oleh orang suruhan Mahathir kerana memikirkan janji-janji itu datangnya daraipada Mahathir sendiri. Jikalau tidak kerana janji yang baik-baik masakan Ku Leigh sanggup mengorbankan pendiriannya dan rela meminta maaf kepada Mahathir dan sanggup pula bermaaf-maafan dengannya. Akan tetapi, setelah Semangat 46 dibubarkan dan proses pencalonan pemimpin untuk mendudukki Majlir Tertinggi UMNO dijalan dan ditamatkan, muncul beberapa soalan yang menghantui segolongan besar rakyat Melayu yang menganggotai UMNO selepas pembubaran Semangat 46. Yang paling menonjol sekali di antara soalan itu adalah (a) Kenapakah UMNO membiarkan dua jawatan tertinggi dalam parti itu dibrahminkan? (B) Apakah hak Paklah yang memangku jawatan Timbalan Presiden Parti terus dikekalkan tanpa jawatan itu dipertandingkan? (C) Di manakah minit mesyuarat Majlis Tertinggi yang mengatakan konsensus telah dicapai untuk dua jawatan tertinggi parti itu dibrahminkan. (D) Kenapakah Ku Leigh disingkirkan daripada bertanding bagi jawatan Naib Presiden parti?

Semua orang tahu, kalau mengikut perlembagaan UMNO, hanya segelintir sahaja mesyuarat cawangan dan bahagian UMNO yang telah berlansung itu yang boleh diterima-pakai keputusannya. Hampir sembilan puluh peratus mesyuarat cawangan dan bahagian tidak cukup korum tetapi dibolehkan kerana muslihat kepartian. Keputusan membenarkan cawangan dan bahagian bermesyuarat tanpa korum yang menepati perlembagaan parti memang bertentangan dengan tatasusila berparti. Sepatutnya arahan yang dikeluarkan itu boleh disanggah dan bahagian serta cawangan yang kekurangan ahli dan korum itu sudah pun dibubarkan. Tetapi, siapakah yang akan membuat kerja-kerja sanggahan itu sedangkan pihak yang berwajib dalam tugas itu masih terus membisu?

Yang peliknya mesyuarat Bahagian Gua Musang yang cukup korum dan cukup syarat telah dinafikan hak keatas keputusan yang mereka lakukan dan sekaligus menafikan hak Tengku Leigh bertanding untuk jawatan naib presiden parti. Inilah demokrasi dalam UMNO yang menjadi dasar demokrasi pemerintahan Malaysia yang tercinta. Inilah demokrasi 'Malaysia Boleh' kerana ia berdasarkan keputusan konsensus yang berpandukan kata-kata seorang diktator yang sudah sewel.

Kini timbul satu soalan lagi; kenapakah keputusan MT itu dianggap sesuatu yang muktamad sehinggakan Gua Musang sanggup menerimanya bulat-bulat? Apakah ada muslihat lain yang tersirat yang memungkinkan Tengku Razaleigh menganggotai Majlis Tertinggi akhirnya dengan ikhsan kuota presiden parti?

- Dilemma Ku Leigh

Walaupun Ku Leigh tidak menunjukkan keberangan atas keputusan MT yang diumumkan oleh Mahathir, satu kenyataan Tan Sri Husin Ahmad di Utusan Melayu telah membuka mata ramai pembacanya. Husian berkata Tengku Leigh tidak pernah berminat menandingi jawatan naib presiden parti. Yang diminati tuntunya bertanding jawatan presiden ataupun timbalan presiden. Kenyataan Husin Ahamad itu memang berasas kerana ramai penyokong Ku Leigh sebenarnya memikirkan beliau akan diberikan peluang menggantikan tempat Anwar Ibrahim. Mereka bersedia menyokong Ku Leigh apabila diberitahu akan strategi ini di saat akhir sebelum Semangat 46 dibubarkan. Tidak terlintas di kepala mereka ketika itu betapa jawatan Timbalan Presiden Parti itu akan dibrahminkan. Di sinilah terletaknya kelicikan Mahathir memadamkan karier politik Tengku Leigh.

Akan berjayakah Mahathir akhirnya dengan taktik jijiknya itu? Apakah Ku Leigh benar-benar tidak berminat lagi dalam usaha memegang jawatan penting dalam parti kerana ikrarnya untuk menjadi gurkha dalam parti? Sebenarnya, ketika Ku Leigh membuat pengumuman kesediaan menjadi gurkha dalam parti, tidak ada sesiapa yang bertanya secara terus-terang kepada beliau apa maksud sebenarnya. Apakah beliau mahu menjadi gurkha kepada parti ataupun kepada Mahathir bin Mohammad? Kalau kesedian itu dkhaskan untuk Mahathir bin Mohammad, maka betullah pendirian Ku Leigh menerima keputusan yang didalangi oleh Mahathir untuk mengenepikan haknya bertanding ke jawatan naib presiden parti. Tetapi, kalau pendiriannya menjadi gurkha untuk parti, bererti adalah muslihat Ku Leigh yang masih digulungnya dalam lipatan lengan bajunya. Ini akan terdedah dalam sedikit masa lagi bukan disebabkan kehendak Ku Leigh secara sukarela. Ia kan terdedah secara spontan disebabkan keadaan masa dan suasana yang menjadi penyebabnya.

- Strategi Baru UMNO

Tanpa mengambil kira impak ke atas keputusan yang menghina Ku Leigh, UMNO telah mengatur beberapa perancangan baru yang dikira dapat melindungi parti itu daripada serangan sepadu rakyat yang bukan pun ahli UMNO keseluruhannya. Hampir semua agenda baru yang disusun itu adalah bertujuan memperkuatkan pengaruh UMNO di kalangan orang Melayu di bandar. Strategi ini difikirkan membawa impak yang dapat membelenggu dan menakutkan orang luar bandar agar akur kepada sistem pemerintahan yang masih berkuasa. Eloklah kita bincangkan beberapa faktor agenda baru itu secara ringkas sahaja.

1) Penubuhan MATIN

Ini adalah satu strategi baru yang diolah oleh Hamid Othman, semestinya. Ia bermakna Majlis Tindakan Islam Negara. Sungguh gah sekali namanya. Tetapi apakah gah juga nama-nama orang yang menganggotai majlis ini? Tujuan majlis ini adalah:

......diambil daripada pengumuman rasmi kerajaan:

...a) Menyelaras kerja-kerja penerangan agama seperti dari segi program dan matlamat, pendekatan, kegiatan, kandungan, bantuan kewangan dan tenaga manusia.

...B) Akan menggunakan pendekatan Islam tanpa diselewengkan oleh parti politik.

...C) Kejadian penyelewengan agama yang paling ketara ialah penggunaan masjid untuk tujuan politik dan khutbah Jumaat.

"Biasanya orang yang membaca khutbah selain khatib dilantik kerajaan tidak dapat lari daripada mempunyai kepentingan peribadi. Mereka itu samada ingin menonjolkan diri atau fikiran sendiri dalam isu masyarakat atau politik. Oleh itu kita ambil keputusan orang yang membaca khutbah mesti ditauliahkan kerajaan. Perkara seperti ini sudah lama dilakukan sejak zaman Umaiyah dan Abbasiyah dengan memilih khatib di kalangan mereka yang dierima semua pihak."

Pendapatan Hamid Othman ini telah diperkuatkan sekali lagi dalam rancangan 'Malaysia Gemilang' pada malam Jumaat di mana Hamid muncul bersama 'anak' kesayangannya Astora Jabat. Kemunculan mereka berdua meyakinkan kita betapa Hamid memang tertekan dengan cerita betapa Astora diberikan Pukulan TKO oleh seorang pendakwah bebas bernama Ustaz Mohd Asri dalam satu perdebatan terbuka. Khabarnya inilah yang menyebabkan Ustaz Asri dipanggil oleh S/U Perdana Menteri Datuk Ahmad Dasuki melalui KDN. Nampak sangat betapa tertekannya Dato Hamid Othman dalam usaha menangani masalah 'perpecahan' orang Melayu masakini. Semakin saya melihat rencana itu semakin saya merasakan kepenatan dan keresahan yang ditanggungi oleh Hami Othman ini.

Orang Melayu Berpecah Ataupun Dipecahkan?

Hamid Othman, ternyata semakin disesatkan dalam kaedah menangani masalah orang melayu yang beragama Islam yang dikatakan sedang berpecah itu. Apakah benar orang Melayu itu berpecah disebabkan ajaan Islam ataupun orang melayu itu sengaja dipecah-pecahkan melalui ajaran Islam? Kalau orang Melayu itu dikatakan sudah berpecah kenapakah ia berlaku selepas negara ini merdeka selama 43 tahun, selepas munculnya Hamid Othman, Astora Jabat, Dasuki Ahmad dan Mahathir Mohammad? Apakah sebenarnya sumbangan tersohor empat badut ini dalam menegakkan syiar Islam di Malaysia selama ini?

Kalau hanya khatib pilihan kerajaan dibenarkan naik mimbar dan berkhutbah apakah kriteria yang tidak mengizinkan ulamak bukan UMNO seperti Dato Harun Din, Hassan Ali, Ismail Kamus dan lain-lain lagi yang diterima rakyat sebagai ulama yang berpendidikan tinggi naik berkhutbah ? Hamid Othman ada membuat komen akan khutbah yang dibacakan oleh seorang yang saya tidak kenali suaranya dengan berkata:"Orang ini tidak layak berkhutbah kerana suaranya sahaja sudah tidak melayakkanya. Dia mengherdek dan tidak sesuai." Saya mahu tanya Hamid Othman dengan nada orang kampung yang saya wakili: ....Hai Hamid...Hang nak tipu sapa? Bagaimana dengan suara khutbah seorang Jeneral yang menyebabkan jemaah membatalkan niat berjuamaah dan melakukan sembahyang zohor secara berkumpulan? Apa punya ulamak yang bercakap ni...?

Kata-kata yang diucapkan oleh Hamid ini melambangkan betapa tertekannya Mahathir untuk terus menguasai orang Melayu. Sejarah akan membuktikan betapa rencana Hamid Othman akan gagal segagal-gagalnya. Sebenarnya Hamid tidak punyai sebarang risiko dalam hal ini kerana dia menjadi menteri pun bukan dengan ihsan rakyat, tetapi dengan kuasa yang ada di tangan seorang diktator yang sudah sewel. Sayangnya, ulama-ulama lain masih sanggup membisu dalam hal ini. Kenapakah agaknya????

- Bahaya Agen Asing

Kita boleh lihat bagaimana Mahathir memecah-belahkan orang Melayu dengan pelbagai cara. Hamid Othman secara tidak sengaja telah mendedahkan rencana UMNO (bukannya kerajaan yang memerintah) "yang berusaha membawa perpaduan ummah". MATIN akan menjadi satu jentera menyatupadukan perpecahan itu. Astora Jabat ditugaskan untuk terus memantau dan 'membetulkan akidah orang Melayu melalui penulisan'. Demikian penjelasan Tok Hamid Othman.

Cuba pula kita kaji matlamat MATIN itu dengan pendedahan Utusan Melayu akan pengaruh CIA menjatuhkan Sokarnoe di satu masa dulu. Soalnya sekarang, apakah sangkut paut berita CIA di Indonesia dengan keadaan perpecahan orang Melayu? Inilah rencana jijik seorang mamak tongkang yang semakin gusar akan kehilangan kuasanya. Kita boleh pintas propaganda ini dengan berkata betapa Mahathir akan menuduh beberapa pemimpn pembangkang sebagai penghasut rakyat kerana menjadi agen CIA di Malaysia. Kalau pendapat ini tepat bererti Mahathir sedang cuba bermain api dalam sekam. Api itu akan membakar dirinya, tidak lama lagi.

Oleh sebab tertekannya Mahathir dengan kegagalan "Ops Padam" dia kini mencari apa juga sebab musabab yang difikrikannya logik untuk mempengaruhi rakyat di negara ini. Yang terbaru ialah ancaman e-commerce yang dikatakannya satu alat globalisasi yang akan memiskinkan negara membangun.

- Bahaya E-Dagang???

Mahathir telah menyerang barat sekali lagi. E-dagang ataupun e-commerce adalah satu alat penjajah yang akan membahayakan kita, katanya. Kaedah perniagan melalui syarikat dotcom akan membolehkan pembeli berurusan terus dengan penjual. Kerajaaan katanya akan kehilangan cukai impot dan juga cukai korporat. Peluang pekerjaan akan terhakis. Inilah dunia tanpa sempadan yang dirrencanakan oleh negar barat. Alangkah sewelnya diktator ini. Apakah dia ingat proses e-dagang itu dilakukan oleh robot sehinga sanggup dia mengatakan betapa terhakisnya peluang pekerjaaan? Inilah lagaknya seorang diktator yang kerjanya hanya untuk membohongi rakyatnya setiap kali dia membuka mulutnya. Bukankah e-dagangan membolehkan sesiapa sahaja berniaga tanpa perlu menyediakan pejabat yang besar dan kereta besar? Bukankah e-dagang memungkinkan seseorang pembeli mendapatkan sesuatu barangan dengan harga yang berpatutan?

Untuk sekian lama Mahathir telah menipu rakyat denan kaedah pengutipan cukai dariapada syarikat besar yang berjaya. Tetapi, apakah itu yang sebenarnya?

Siapakah Sebenarnya Menguasai Ekonomi Negara?

Cara Mahathir mahu menipu rakyat mengenai perjalanan ekonomi negara ini adalah berdasarkan budaya membisu sebilangan besar rakyat terutama sekali orang Melayu. Statistik menunjukkan betapa ekonomi negara ini sebenarnya dikuasai oleh negara luar dan bukannya oleh kerajaan yang memerintah. Mahathir boleh melalak meraung menuduh Soros dan menyebutnya berkali-kali, hakikatnya kuasa ekonomi negara ini adalah dibawah kawalan negara luar sepertiAmerika, Jepun, Singapura dan Eropah. Mereka berjaya melakukan ini kerana kegagalan kita selama dua puluh lima tahun yang lalu memperkokohkan kuasa orang Melayu dalam aliran ekonomi negara.

Apabila IMF mahu mengenakan beberapa syarat pembetulan ekonomi yang merudum apakah yang Mahathir kata dan lakukan? Dia mencemuh IMF sebagai tidak pintar dan Anwar Ibrahim diperbodohkannya. Dia tidak meminjam daripada IMF tetapi melutut ke Jepun untuk meminjam. Di Amerika bon Petronas diniagakan dengan peremium yang tinggi. Itupun tidak dapat dijual mengikut jumlah yang mula-mula direncanakan kerana kekurangan sambutan. Sebahagian besar pinjaman itu digunakan untuk mengapungkan syarikat anak-anak dan para kroni yang hampir tenggelam di lautan kemuflisan disebabkan kedunguan mereka mentadbir syarikat yang ditaja dan disogokkan sabsidi kerajaan.

Kini, Amerika sendiri sedang gusar dengan keadaan matawang Jepun yang semakin meningkat. Kalau Yen naik apakah yang akan jadi kepada matawang Malaysia yang ditetapkan pertukarannya berbanding dollar? Tentu sekali pembayaran hutang yang diambil dalam matawang Yen akan mengalami tekanan yang teruk dan mengakibatkan pembayaran yang tinggi nilainya secara terpaksa. Apakah kerana menyedari masalah ini makanya Mahathir tidak mahu menyambung perkhidmatan gabenor Bank Negara yang sedia ada dan mahu menggantikannya dengan orang yang baru?

Perkiraan kita akan keadaan matawang yang semakin tertekan itu dapat kita sahkan dengan keadaan pasaran saham BSKL. Pasaran tempatan merudum disebabkan tekanan pasaran Amerika. Tetapi kenapakah pasaran Singapore kembali pulih secara mencanak naiknya? Apakah benar dakwaan betapa masyarakat Cina yang pintar sudah mula mengalihkan pelaburan mereka daripada BSKL ke Singapura? Perkara ini berlaku bukan disebabkan keadaan ekonomi negara yang tidak baik, tetapi masyarakat China sudah menyedari bahawa masalah negara kini adalah disebabkan kesewelan seorang diktator tua yang sudah semakin lupa daratan. Apakah yang akan jadi kalau perkara ini berlanjutan?

Hampir semua institusi kerajaan yang mempunyai dana yang besar akan berada dalam satu keadaan yang tertekan. Mereka akan mengahadapi masalah kecairan kerana dana yang terpaut kepada saham-saham yang dibeli dengan harga tinggi tidak dapat digunakan secara bebas disebabkan harga saham yang semakin menurun. Sememangnya Allah maha berkuasa. Pasaran saham yang dicanangkan oleh semua menteri mengikut laungan seorang perdana menteri yang rakus sedang mengalami tekanan sekarang ini dan mengganggu-gugat dana setiap institusi kerajaan itu. Pasaran saham BSKL sedang nampak tegap sekarang ini disebabkan pelancaran dana yang baru. Setakat mana dana yang baru itu dapat terus meransang pasaran adalah bergantung kepada sentimen pelabur runcit juga. Apa yang akan dikatakan oleh Mahahir untuk menarik minat pelabur sudah tidak laku lagi. Sejak Mahathir bercakap tentang huru-hura yang dicetuskan oleh bom molotov dan parang panjang, apa lagi yang akan keluar dripada mulutnya memang tidak akan dihiraukan oleh rakyatnya.

Antara Mahathir dan Ummi Hafilda

Memang, integriti Mahathir sudah tercemar. Terutama sekali dengan pendedahan seorang saksi dalam mahkamah yang membicarakn Anwar Ibrahim. Baginda telah memberitahu mahkamah betapa dia sudah mengerjakan Ummi di London. Sedangkan Ummi pernah bersuara lantang di mahkamah dan dalam kempen UMNO betapa dia masih dara lagi. Inilah 'gadis' yang saya sebutkan sebagai 'The mother of all virgins' satu ketika dulu. Yang mengaibkan orang Melayu masakini ialah betapa seorang pemimpin unggul UMNO sanggup membohongi rakyatnya dan bangsanya berdasarkan cakap-cakap seorang 'gadis' yang masih dara ketika itu. Apalah nasib orang Melayu sebenarnya yang berperdana-menterikan seorang insan yang sudah sesat-sesesatnya ini?

Kesimpulan

Sejarah akan merakamkan betapa seluruh dunia Islam sedang mentertawakan kita. Kalau mengikutkan kata-kata Hamid Othman, Mahathir adalah pemimpin Islam yang ulung kerana telah menaikkan martabat syiar Islam. Tetapi, kalau mengikut hukum Islam Anwar Ibrahim sepatuntnya sudah lama dibebaskan. Kalau diambil kira keterangan Baginda di mahkamah dan juga keengganan Mahathir menghadirkan dirinya ke mahkamah, Anwar sudah patut dibebaskan dan tempatnya sudah lama patut diambil-alih oleh Mahathir bin Mohamad.

Inilah yang dikatakan punca perpecahan orang Melayu itu masakini. Bukannya perpecahan itu berpunca daripada ajaran Islam yang songsang. Sejarah tamaddun Melayu tidak pernah mencatatkan perpecahan Melayu disebabkan agama Islam. Mereka berpecah disebabkan kerakusan pemimpinnya. Melayu berpecah-belah disebabkan pemimpin yang rakus, tamak, angkuh dan gilakan kuasa sehinggakan apa saja yang boleh dibalunnya dijadikan matlamat untuk menindas rakyatnya. Tetapi, perkara ini tidak mahu diakui oleh Mahathir dan para juaknya. Mereka lebih rela mencipta kaedah dan pendekatan baru untuk menabur wang ringgit bagi tujuan memperolehi pengaruh yang berpanjangan ke atas orang Melayu itu.

Dalam kajian astronomi cahaya supernova adalah cahaya yang paling menyinar yang dikeluarkan oleh sesuatu bintang sebelum ia meletup dan berkecai. Dalam perjalanan hidup seseorang yang masih bernyawa cahaya supernova selalu dikaitkan juga kepada keadaan lampu minyak yang semakin kekurangan bahan-bakarnya. Sebuah pelita yang akan kekeringan minyak akan mengeluarkan cahaya yang paling bersinar sebelum ia padam secara mendadak. Mahathir bin Mohammad sudah sampai ke tahap supernova itu, cuma dia masih tidak percaya akan fenomena ini dan para juak dan jongosnya masih tidak mahu mempercayai hakikat hidup ini.

Rakyat marhain yang hidupnya semakin tertekan memang amat menyedari fenomena ini. Mereka sanggup bersabar dan menanti hari-hari bersejarah apabila Mahathir akan disedarkan kelemahan yang sedang menghantui pemerintahannya. Sebagai seorang Islam kita harus terus berdoa akan kesedaran itu akan mencuit isi hatinya sebelum terlambat. Para juaknya boleh merangka apa juga rencana baru untuk memperkuatkan kuasanya. Semuanya itu tidak akan bertahan kerana 'supernova' yang melekat kepada Mahathir sudah terpalit kepada kebanyakan juak dan jongos yang semakin tidak sedarkan diri itu.Kalau Hamid Othman, Khalid Yaakob, Yusuf Nor tidak sedar akan perkara ini, kita harap keluarga merka akan memberikan ingatan ini kepada mereka sebelum terlambat.

Sebesar-besar bintang di langit, apabila tahap supernova sudah menghinggapi mereka, akan berpecahlah bintang itu dan berkecailah ia bertaburan di angkasa dan jatuh ke bumi tanpa ada kesannya. Mahathir sedang melalui proses itu dan terpulanglah kepada para ahli UMNO menyedarinya sebelum UMNO itu sendiri menyinar untuk kali terakhirnya.

..... "Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya, Dia memperlihatkan kepadamu kilat untuk (menimbulkan) ketakuan dan harapan, dan Dia menurunkan air hujan dari langit, lalu menghidupkan bumi dengan air itu sesudah matinya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mempergunakan akalnya". ...:Ayat 24, Surah Ar-rum.

Marhain Tua
marhaintua@hotmail.com

21 April, 2000.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com