Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Bab 14 - Bertindak Gajah di hutan takkan pecah ko........"

BERTANDAK GAJAH DI HUTAN... TAKKAN PACAH KO...................!!
(Teluk Kemang Tahun 50-an Dalam Kenangan)

Pada awal tahun 50-an dulu, ketika negara ini masih lagi di bawah pemerintahan British, tempat orang Melayu berhibur untuk bersantai dan menghabiskan cuti merupakan kawasan air panas (belerang, air terjun dan juga pantai). Inilah tempatnya yang dianggap paling canggih dan amat dinantikan oleh golongan muda. Ketika majoriti orang Melayu masih tidak mampu membeli kereta persendirian, bas sewaan digunakan untuk ke tempat-tempat ini. Kepada orang-orang yang tinggal di Kuala Lumpur, tentunya Port Dickson merupakan tempat bersantai, pilihan. Jaraknya yang terdekat jika dibandingkan dengan pantai Morib yang tidak berapa digemari kerana keadaan pantai yang curam. Lagipun ketika itu pantai Bagan Lalang belum diteroka lagi dan tidak berapa popular seperti masakini.

Port Dickson memang merupakan sebuah tempat bersantai yang memahat seribu kenangan kepada ramai orang ibukota. Di zaman itu, anak-anak muda yang mempunyai cuti sekolah yang panjang akan mengayuh basikal ke pantai itu dengan membawa khemah, periuk dan kendi, kole dan pinggan ayan. Mereka berpusu-pusu ke pesisiran pantai Port Dickson untuk menghabiskan cuti sekolah yang panjang di akhir tahun. Maklumlah ketika itu cuti sekolah memang amat panjang sekali untuk membolehkan para guru Mat Salleh beristirahat meraikan pesta Christmas di pergunungan untuk menikmati cuaca nyaman. Mereka juga pergi bercuti ke bandar yang besar untuk berkumpul dengan sahabat handai.

Sebaik sahaja cuti sekolah bermula anak-anak muda pelbagai kaum dan bangsa akan berada di Port Dickson dengan khemah mereka serta pelbagai warna bendera kecil yang sengaja mereka bawa untuk menandakan tempat perkhemahan. Suasana harmoni dan ikatan setiakawan memang terjalin ketika itu. Mereka berkhemah laksana satu jambori tahunan yang tidak ditaja oleh sesiapa. Tidak ada pula masalah kesalahan juvena ketika itu kerana dadah dan juga segala bentuk jenayah tidak lagi dikenal oleh masyarakat yang bersekolah. Semakin lama hari bercuti semakin ramai manusia yang datang berkhemah. Kalau di hujung minggu, suasana menjadi lebih meriah apabila ada masyarakat yang sudah bekerja datang untuk turut serta. Mereka datang dengan motorsikal (jenis jenama Triumph, Norton, Royal Anfield, AJS dan sebagainya) untuk menghabiskan hujung minggu dengan golongan yang lebih muda daripada mereka.

Kedatangan golongan yang sudah bekerja itu memang amat dinantikan oleh golongan pelajar yang bercuti kerana itulah peluang untuk mendapat belas kasihan merasakan nikmat bekalan makanan yang tidak mampu dibeli oleh golongan pelajar. Makanan dalam tin, biskut kering yang lebih canggih daripada 'biskut keras makanan askar Melayu' menjadi bahan makanan yang memang diimpikan oleh kumpulan pelajar. Begitu juga dengan rokok yang dijual dalam kotak, kerana golongan pelajar yang mencuri-curi belajar merokok ketika itu hanya mampu berbekalkan tembakau songel dan daun pucuk belaka. Ada juga segelintir pelajar yang mampu membeli kertas pembalut rokok yang melambangkan status quo pelajar itu.

Apa juga yang dilakukan oleh golongan pelajar yang berkhemah di pantai Port Dickson ketika itu, semuanya dilakukan secara berhemah dengan tata susila ketimuran. Sebelum mencacakkan tiang khemah, mereka sudah pun pergi ke balai polis berdekatan (selalunya di Teluk Kemang) untuk memberitahu Tok Sarjan ataupun sesiapa sahaja yang bertugas akan keinginan mereka datang bertandang. Tok Sarjan pula tidak cerewet ketika itu. Dia hanya mahukan golongan pelajar itu menuliskan nama mereka dan asal usul mereka yang datang. Kertas yang digunakan untuk menulis nama-nama itu pun merupakan kertas yang disiat daripada buku sekolah yang sudah pun luput tarikhnya kerana tidak akan digunakan lagi di sekolah. Sekali sekala, kalau ketika membuat laporan awal itu, Tok Sarjan ataupun sesiapa 'datuk' yang berada di depan balai Telok Kemang itu akan mengajak anak-anak sekolah yang mendatang pergi ke sebuah warung nasi lemak yang terletak tidak jauh daripada balai polis itu. Di sana, anak-anak itu akan dijamu dengan memakan nasi lemak, keropok ubi dan secangkir teh kosong. Memang pintar polis-polis yang mengawal balai Teluk Kemang ketika aitu. Mereka sudah menggunakan satu psikologi untuk mengenal anak-anak sekolah yang datang untuk berkhemah di pantai itu. Melalui perbualan yagn diselang seli dengan jenaka, mereka sudah mengenal siapa yang datang dan dari mana kampung anak-anak itu. Malahan, ada pula anak-anak muda itu yang akhirnya dapat mengenal saudara mara mereka di Port Dickson setelah dikorek rahsia asal usul keluarga mereka oleh pegawai polis ketika itu. Di waktu yang sama mereka berkenalan pula dengan orang kampung yang menjadi nelayan ataupun bekerja di kem tentera ketika itu.

Warung kopi yang terletak di bawah sebatang pokok ketapang di sebelah balai polis Teluk Kemang itu memang membawa seribu sejarah. Kini pokok ketapang itu sudah lama ditebang. Di tempatnya sudah ada satu deretan kedai lama yang panjang. Di hadapan warung kopi itu sudah terbina sebuah stesyen minyak yang diuruskan oleh seorang peniaga Cina. Kini, peniaga itu sudah merupakan seorang jutawan. Di belakang tapak perniagaannya itu ada sebuah hotel bertaraf lima bintang.

Orang Teluk Kemang memang ramah mesra ketika itu. Setiap kali mereka berjumpa anak-anak bandar yang berkhemah di pantai mereka akan dipelawa ke rumah selepas solat Jumaat untuk dijamu dengan hidangan yang apa termampu. Akhirnya ada anak-anak bandar yang membesar dan beristerikan gadis Teluk Kemang setelah berkenalan mesra begitu lama di sepanjang usia persekolahan. Suasana kemesraan beginilah yang membuatkan perkhemahan di pantai berjalan tanpa sebarang krisis di antara pelawat dengan orang tempatan. Hukum alam yang berlandaskan ajaran Islam sudah dijadikan satu panduan untuk bermesra dan hormat menghormati. Setiap kali golongan tua bertemu mesra dengan golongan muda ada sahaja pesanan dan nasihat yang diberikan. Semua cerita lama bercirikan semangat juang belaka kerana tidak ada cerita politik ketika itu. Semua cerita dibuat secara ikhlas kerana golongan yang tua mahukan golongan muda mewarisi semangat juang mereka. Sekali-sekala diselitkan juga cerita hantu, jin dan jembalang. Tujuannya pun untuk menaikkan semangat juang juga agar anak muda tidak takutkan jembalang itu.

Persidangan Tahunan Budak Sekolah

Perkhemahan anak-anak sekolah yang ditaja sendiri, adalah satu perkumpulan yang aman, yang tidak pernah mencetuskan sebarang masalah kepada pihak polis ataupun kepada masyarakat Port Dickson. Tempat yang paling diminati oleh anak muda pantai berdekatan Balai Polis Teluk Kemang. Tentu tidak ramai yang tahu apa sebabnya. Sebenarnya pantai Port Dickson di awal 50-an merupakan pantai yang terbaik di negara ini. Daripada Batu Tiga hinggalah ke Batu Empat Belas, pantainya memang amat diminati, kerana keadaan pantai yang bersih dan airnya yang jernih. Kini, semuanya itu adalah satu kenangan nostalgia sahaja. Kini, pantai Port Dickson hanya cantik di buku sejarah. Kebanyakan pantainya sudah tercemar kerana proses menggali pasir laut yang dilakukan untuk tujuan kommersial.

Di awal 50-an dulu, pantai Port Dickson mempunyai beberapa nama tertentu yang diberikan mengikut selera pengunjung pantai ketika itu. Ia bermula dengan satu tempat yang bernama Bangsal Kapur di bandar Port Dickson. Di situ, ada sebuah rumah rehat (Rest House) kepunyaan kerajaan. Kini tempat itu sudah dibina sebuah hotel terbaru dan tidak jauh dari situ terletak sebuah loji Petronas. Tempat ini amat menarik kerana ia terletak tidak berapa jauh daripada satu tambak landasan keretapi yang menyalurkan barang dagangan ke kapal laut. Tambak keretapi ini merupakan tempat permainan anak-anak bandaraya yang datang berkhemah di Port Dickson di siang hari. Di hujung tambak itu ada satu jeti dengan kemudahan agara gerabak keretapi boleh diputarkan untuk membolehkannya ditarik balik ke stesen keretapi. Struktur seperti ini memang tidak mudah didapati di mana juga. Peristiwa bermain di situ merupakan satu amalan yang paling bernostalgia sekali kerana cara-cara bermain di situ diberikan 'kursus' percuma oleh seorang pekerja KTM yang berbangsa India ketika itu. Beliau menjadi 'jaga' di situ. Dengan memberikan kursus percuma beliau dapat menjamin agar anak-anak muda tidak tercedera ketika bermain. Stesen keretapi Port Dickson kini sudah lengang. Stesen bas yang berdekatan dan juga pasar barangan basah bersebelahannya sudah dijadikan tempat makan. Di gerai makan yang paling baru di tapak pasar itu masih lagi ada seorang penjual air batu (ABC) yang amat popular di tahun 50-an dulu. Gerai yang semakin kecil ukurannya itu masih diuruskan oleh penjual yang sama. Sesiapa yang menikmati ABC di gerai ini tentu dapat melihatkan keadaan bangunan kedai lama di situ yang sudah pasti akan dirobohkan tidak lama lagi.

- Majlis Tepuk-tepuk

Demikianlah antara keunikan berkhemah di Port Dickson di akhir tahun. Memang menyeronokkan. Anak-anak sekolah memang memilih Teluk Kemang kerana memikirkan di tempat itulah selalunya para ulama dapat melihat anak bulan bagi menandakan permulaaan upacara keagamaan Islam. Lagipun, balai polis Teluk Kemang merupakan satu 'contact point' kalau-kalau ada sesuatu berita mustahak yang perlu dikirimkan oleh golongan ibu bapa. Ketiadaan kemudahan telefon di rumah membuatkan balai polis Teluk Kemang sebagai satu tempat penting untuk anak-anak yang berkhemah memberikan keyakinan si ibu dan bapa untuk melepaskan mereka ke Port Dickson. Pra-syarat itu menjadi beku begitu saja. Jarang sekali ada sesiapa yang berjaya menelah kemunculan anak bulan. Begitu juga dengan balai polis itu; jarang sangat para ibu dan bapa yang meninggalkan pesan kepada anak mereka.

Berkhemah secara berkumpulan di pantai memang menyeronokkan. Memakan nasi hidangan sendiri yang dimasak menggunakan kayu api daripada pokok ru memang menyelerakan, walaupun lauk yang di makan adalah berupa ikan bakar ataupun ketam batu yang dapat ditangkap sekali sekala. Begitu juga dengan air minuman yang jarang sekali terjumpa susu. Maklumlah, semua anak muda yang berkhemah di situ adalah dari golongan marhain yang bersuka ria untuk melepaskan penat lelah belajar setahun lamanya tanpa berpeluang mengambil cuti. Semangat setiakawan yang dijalin sejak berkhemah ketika berada di darjah enam sekolah rendah hinggalah anak-anak itu membesar, memberikan satu semangat persahabatan yang amat kental. Ketika berkhemah itulah golongan yang muda menjadi orang suruhan golongan yang lebih tua. Tetapi segala bentuk suruhan itu diterima kerana ganjarannya ialah sumber kematangan berusia yang tidak mudah diperolehi di mana-mana.

Oleh kerana golongan yang berkhemah datangnya daripada pelbagai bentuk latar belakang kekeluargaan, persahabatan yang ikrab dapat mempengaruhi cara hidup sesuatu kumpulan. Kalau ketua kumpulan tidak menghisap rokok, jarang sekali kita dapat melihat anak-buahnya yang menghisap rokok. Kalau sesuatu kumpulan itu membawa gitar dan harmonika serta alat muzik yang lain, kita dapati mereka akan menjadi tumpuan kumpulan lain di malam hari. Kalau sesuatu kumpulan itu mempunyai tukang masak yang pintar, kumpulan itu akan menjadi tempat kumpulan lain bertumpu di waktu makan. Secara tidak langsung, setiap ketua kumpulan merupakan tempat rujukan ahli yang berkhemah di bawah naungan kepimpinannya. Tidak ada masalah manusia yang tidak dapat mereka selesaikan secara bersama. Ini membuatkan kumpulan perkhemahan sebagai satu masyarakat sementara yang diminati oleh orang tempatan di Port Dickson. Cara mereka berkumpul setiap musim tanpa tajaan pihak kerajaan merupkan sesuatu yang unik yang mungkin tidak ada lagi pada masakini. Malahan semangat setiakawan yang terjalin begitu rupa akhirnya mendorong mereka menceburi beberapa bidang pekerjaan tertentu seperti pasukan tentera, polis, perguruan, bidang professional dan lainnya. Dengan lain perkataan, walaupun mereka merempat di tepi pantai di hari percutian, mereka akhirnya berjaya dalam kerjaya masing-masing sebagai ahli masyarakat dan bangsa yang berjaya serta bertanggungjawab. Malahan, pertemuan dan perkampungan di Teluk Kemang banyak menghasilkan tali persaudaraan yang berkekalan apabila ada di kalangan mereka yang mengahwini ahli keluarga yang diperkenalkan ketika mereka melakukan proses kunjung mengunjung ke rumah masing-masing.

Teluk Kemang memang membawa beribu kenangan kepada para pengunjungnya. Kepada golongan yang kerap berkhemah ketika cuti sekolah di tahun 50-an dulu, tentunya Teluk Kemang membawa erti yang besar lagi. Kerana kenangan perkhemahan itu sudah pun berusia lebih setengah abad lamanya. Keunikan pekhemahan tahunan di Teluk Kemang itu eloklah dirakamkan di sini:

Di siang hari, kumpulan yang berkhemah lebih tertumpu kepada aktiviti setiap kumpulan kecil sahaja. Jarang sangat mereka melakukan aktiviti yang besar-besar yang membabitkan seluruh perkampungan perkhemahan. Ada yang bekerja sambilan dengan orang tempatan sebagai penjaga tiub pelampung yang disewakan. Ada yang menjadi pembantu para penjual yang menjaja pelbagai barangan jualan di tepi pantai. Ada pula yang bertugas sebagai penjaga kereta ketika panas berpesta. Sesiapa yng pandai menyelam boleh bekerja sambilan mencari batu karang di dasar laut untuk dijual.

Pada sebelah malam barulah semuanya berkumpul mengelilingi unggun api yang dipasang-siap oleh golongan yang muda-muda. Ketika itu pelbagai gelagat anak-anak muda ditonjolkan. Semuanya menyeronokkan. Laksana satu drama dan pementasan teater lagaknya, anak-anak muda bersuka ria. Yang hadir pasti bersuka dan bertepuk sakan. Seperti lazimnya ketika itu, apabila orang Melayu berkumpul majlis pantun berpantun pun diadakan. Pelbagai gelagat bepantun ditunjukkan oleh golongan muda. Secara tidak lansung mereka mewarisi budaya bangsa tanpa perlu disogok dan diupah untuk melakukannya. Dari tepuk tangan yang mereka berikan, memang nyata kelakuan mereka itu ikhlas belaka. Segala tepukan ada maknanya, dilakukan secara bersahaja dan dengan ikhlas juga. Tidak perlu disogok dan diupah untuk melakukannya.

Demikianlah cebisan sejarah perkampungan anak-anak muda di Teluk Kemang di malam hari. Mereka bersukaria sesama sendiri tanpa memikirkan melakukan kerja-kerja maksiat dan berbuat jahat seperti yang mudah dilakukan oleh golongan muda masakini. Perkampungan di pantai ketika cuti sekolah merupakan temasya tahunan yang pupus kini kerana kawasan lapang di pantai Port Dickson di era lima puluhan dulu, sudah tiada kini. Semua kawasan lapang yang menyebelahi kawasan pantai sudah pun berpenghuni. Dulu kawasan itulah yang kosong dan dipenuhi hanya di musim anak-anak sekolah. Kawasan yang dulu dikenal sebagai Pantai Magnolia, Blue Lagoon, Batu Empat, Batu Lima, Tanjung Tuan dan sebagainya sudah berubah rupa kerana proses pembangunan. Pasir yang putih melepak sudah bertukar menjadikan pantai yang tohor dan berlumpur.

Salah satu keunikan temasya pantai di siang hari ialah para penjaja yang menjual pelbagai jenis ubat dan barangan di pantai itu. Di sini ingin dirakamkan gelagat seorang penjual yang digelar oleh para pelajar berkhemah ketika itu dengan nama panggilan 'Tuan Besar'. Beliau ini memang pandai menjual barang dagangannya. Ketika itu dia menjual pinggan plastik yang diimport daripada Thailand dan pinggan kaca yang dibuat di Selayang. Badannya memang besar. Ketika memulakan daganganya dia akan mengetuk satu gendang kecil dan mula bertukar pakaian dengan menanggalkan lapisan pakaian yang ada di badannya. Dia berpakaian pelbagai lapis ketika itu. Setiap kali ditanggalkannya satu pasang pakaian, dia akan bercerita akan kebaikan barang dagangannya. Sekali sekala akan digilapkannya satu bentuk batu akik yang terlekat di jarinya. Memang besar batu akik itu, kalau ditelan mudah tercekik dibuatnya.

"Mari, mari, mari......." katanya, nyaring sekali suara itu. "Ini pinggan bukan sebarang pinggan. Ini pinggan sakti. Bertandak gajah di hutan, takkan pacah ko......!" Berduyun-duyun orang membeli pinggannya itu. Ketika itu ramai orang Melayu yang masih menggunakan pinggan ayan di kampung-kampung, sedikit sangat yang menggunakan pinggan kaca kerana mahal harganya. Memang laris jualannya. Orang mudah terpesona dengan kata-katanya. Maklumlah, pinggan yang tidak akan pecah kalau dipijak oleh gajah.......apatah lagi kalau gajah itu bertandak di hutan.

Para pembeli berminat membeli pinggan plastik kerana ia dibuat di negara luar. Di waktu yang sama mereka membeli pinggan kaca memikirkan pinggan itu pun dibuat di luar negara. Siapakah yang terfikir bahawa pinggan kaca itu dibuat di negara sendiri? Kenyataan itu tidak difikirkan kerana cara jurujual melariskan barang dagangannya. "Bertandak gajah di hutan.......takkan pacah ko...." Inilah kata-kata orang minang yang bererti, kalau gajah bertandak di hutan rimba memang pinggan itu tidak akan pecah.

Para pembeli terpesona dengan kata-kata itu dan terus membeli pinggan tersebut. Dalam beberapa jam sahaja barang dagangan itu laris dijual dan si penjual pun mengundurkan dirinya. Dia beransur ke khemah salah satu kumpulan budak sekolah yang memang dikenalinya selama itu. Di sana dia berbaring dan berehat setelah memberi upah kepada beberapa budak sekolah yang diambilnya sebagai pembantu.

Memang, budak-budak yang bekhemah amat menghormati Tuan Besar ini. Apa sahaja yang dimahukannya akan dipenuhi oleh anak-anak sekolah secara berlari. Kalau dia mahu mandi air paip ada sahaja anak-anak yang berlari dengan timba berisi air dari pili. Dia memang dihormati dan disegani kerana upah yang diberikannya amat tinggi. Memang berbaloi berkhidmat dengannya. Daripada beliau ramai yang belajar cara menjaja di tepi pantai. Ada di kalangan bebudak suruhannya itu dulu yang sudah pun pencen sebagai menteri, wakil rakyat, pegawai tinggi polis, kastam, imigresen, pengetua sekolah dan guru besar dan juga panglima tentera.

Begitulah cebisan musim pesta di Teluk Kemang. Semua jenis pesta yang dihadiri oleh pengunjung pantai ditaja sendiri. Agenda hiburan dirancang sendiri dan majlis tepuk menepuk pun dilakukan secara ikhlas tanpa ada sesiapa yang akan meransangnya. Bila teringatkan temasya pantai itu teringat pula akan temasya tahunan UMNO di PWTC. Amat berbeza sekali suasananya dan atur majlisnya. Tidak ada yang tulin dan asli. Semuanya akan dilakukan secara terancang untuk memuaskan nafsu seseorang sehinggakan tepuk tangan pun akan diatur juga.

Di Teluk Kemang tahun 50-an, ada satu rangkap pantun popular ketika itu:

Pok amai-amai
belalang kupu-kupu,
Tepuk ramai-ramai,
Tempat berak tutup dengan batu.

Di PWTC nanti mungkin pantun ini akan digubah lagi. Mungkinkah ia berbunyi begini:

Pok amai-amai
belalang kupu-kupu,
Tepuk ramai-ramai
Mamak Tongkang terus menipu....

Marhaintua@Hotmail.com
5 Mei 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com