Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Bab 15 - Itu dulu punya taim......!

ITU DULU PUNYA TAIM.......!
(Teluk Kemang Dahulu dan Sekarang)

Dalam pendftaran pengundi di SPR, jumlah pengundi daripada kaum India dikatakan 35%. Siapakah yang dapat mengsahkan peratusan itu kerana kita tahu kaum India dulunya datang daripada kawasan perladangan di sekitar Port Dickson. Kini, kebanyakan kawasan perladangan itu sudah pun dimusnahkan dan digantikan dengan kawasan perumahan. Kebanyakan kawasan perumahan itu pula adalah berupa tempat peranginan secara francais sewa bermusim. Jadi, di manakah sebenarnya sebahagian besar pengundi kaum India itu?

Bila disebut akan jumlah pengundi kaum India ini penulis teringat kembali beberapa kisah ketika berkhemah di sebelah Si Rusa Inn di Teluk Kemang ketika tahun 50-an dulu. Ketika itu tempat kosong bersebelahan Si Rusa Inn memang merupakan tempat pilihan para pengunjung dengan khemahnya. Maklumlah pantai di hadapan Si Rusa Inn merupakan satu pantai yang sentiasa bersih dan dijaga rapi oleh tuanpunya hotel. Ketika itu yang kerap mengunjungi hotel itu adalah orang berpangkat-pangkat dan bergelar sahaja. Selain Mat Salleh, orang Melayu yang akan ke sana tentunya orang yang berpangkat tinggi dan perangai mereka pun macam Mat Salleh juga.

Memang hebat Si Rusa Inn ketika itu. Tempat makannya memang luas sekali, lengkap dengan tempat berdansa secara terbuka di malam hari. Bilik penginapan ketika itu berupa deretan bilik berbentuk 'rumah panjang' yang bersekat-sekat lengkap dengan bilik mandi tersendiri. Oleh kerana popularnya tempat itu, pihak pengurusan kemudiannya menambahkan beberapa kontena di sebelah yang berdepan dengan pantai sebelum mengubah-suai sebahagian besar tempat penginapan itu dan mendirikan bangunan baru yang bertingkat-tingkat (pada akhir 60-an) seperti yang ada sekarang ini.

Sebagai pelancong percuma yang menumpang berkhemah di tepi pantai, segala aktiviti para pelancong yang datang berpoya-poya di Si Rusa Inn, sedikit sebanyak telah menarik semangat juang anak-anak muda yang berkhemah di situ. Semangat juang ini berputik daripada beberapa perbualan yang berlaku di malam hari antara anak-anak muda dengan orang tempatan yang kerap datang di malam hari berbual mesra dengan anak-anak muda yang bersantai di situ.

Kedatangan Pekerja Estet Masa Dulu

Ada seorang insan yang selalu datang di waktu malam di tempat kami berkhemah. Kami memanggilnya dengan nama Mr. Samy. Beliau bertugas sebagai penjaga beberapa buah bungalow kepunyaan sebuah syarikat perladangan yang terletak tidak jauh daripada Si Rusa Inn. Bangalo itu hanya akan dihuni ketika cuti sekolah ataupun di hujung minggu. Penghuninya adalah dikhaskan kepada ahli keluarga kakitangan syarikat berkenaan yang terpaksa membuat tembahan enam bulan sebelum kunjungan mereka. Ini adalah disebabkan besarnya syarikat perladangan ketika itu dan ramainya pekerja ekspatriat dalam syarikat itu.

Ketika kami berbual dengan Mr. Samy, umurnya sudah mencecah lima puluh empat tahun dan dia sedang menunggu hari-hari terakhir perkhidmatannya untuk pulang ke negara asalnya. Namanya sebenar ialah Michael Samy. Ada juga orang Teluk Kemang yang memanggilnya dengan nama Sam sahaja. Setiap kali dia datang Sam akan kelihatan terhuyung hayang kerana dia baru sahaja selesai meminum todi ataupun samsu. Anak-anak muda memang suka sangat menyakatnya. Ada sahaja yang mahu disakat kerana gelagat Michael Samy yang amat pintar berjenaka.

Sam kerap mengunjung kami selepas 'minum' Dia mahu melepaskan waktu sehingga bau di mulutnya itu hilang. Selepas itu dia akan pulang ke rumahnya. Setiap kali dia berada di perkhemahan kami ada sahaja cerita yang dibuatnya. Setiap ceritanya itu membawa makna yang dalam kerana ada terdapat banyak kebenarannya.

Sam tiba di Port Dickson ketika berumur di awal dua puluhan. Dia datang daripada satu keluarga yang miskin. Tujuannya belayar ke Malaya ketika itu ialah mencari pekerjaan yang lebih baik kerana mahu menyimpan wang untuk belanja perkahwinan. Kalau keluarganya tidak berduit dia tidak dapat menyediakan 'dowry' yang merupakan maskahwin yang perlu disediakan oleh kaum perempuan untuk 'membeli' pengantin lelaki. Sebagai anak lelaki yang tertua dalam keluarganya dia terpaksa berkorban belayar ke negara orang semata-mata untuk mencari wang dan mempercepatkan proses menyimpan wang. Dengan cara itu dia dapat mengahwinkan adik-adik perempuannya.

Sam adalah seorang yang beragama Hindu. Tetapi dia menukar namanya menjadi Michael Samy setibanya di Port Dickson untuk memudahkan mendapat pekerjaan. Nama kristian di hujung itu memberikan satu peluang untuk mendapat kerja yang lebih baik daripada orang lain yang bukan beragama Kristian. Kami kerap menyindirnya kerana menukar nama semata-mata untuk mendapat pekerjaan yang selesa.

"Apalah lu uncle, sanggup tukar nama kerana kerja senang?" kata kami.

"Hai seh......" jawabnya. "Dulu punya taim dengan sekarang punya taim ada bezalah..." Demikian Samy mula bercerita.

"Satu ketika dulu ramai rakyat India daripada Madras (kini disebut Tamilnadu) yang datang ke Malaya kerana mencari rezeki yang halal. Kami datang setelah mendengar penerangan oleh Kangani Estet yang menemui kami di perkampungan. 'Kangani' adalah perkataan Tamil yang bernama 'mandor'. Orang seperti ini amat dihormati di kampung kami kerana apabila mereka datang mereka memakai cincin emas di setiap jari mereka. Di leher mereka pula tergantung beberapa utas rantai emas yang tebal. Kami memang terpesona bila melihat 'kangani' ini bercakap.

"Setiap kali kangani estet bersyarah, mereka akan kata Malaya adalah sebuah negara yang kaya raya. Sayangnya, rakyat Malaya yang dinamakan orang Melayu adalah satu bangsa yang malas. Mereka tidak mahu bekerja di estet. Mereka lebih gemar bekerja di kampung halaman sendiri, menanam padi dan jagung. Tetapi, orang putih yang memerintah Malaya mahu membina dan membangunkan negara itu. Kerana itu dibawanya orang India untuk bekerja di estet, ataupun bekerja membina landasan kereta api ataupun membina jalanraya. Orang Melayu hanya merenongkan sahaja. Kerana mereka malas. Mereka sanggup papa kedana.

"Apabila kangani berkata demikian, kami pun bertanya : 'Apa agaknya yang sesuai untuk kami buat kalau kami pergi ke Malaya?'. Kangani itu tersenyum sahaja. Dia selak lengan bajunya sambil tersenyum lebar dan terus memandang tajam ke mata kami yang muda-muda. 'Di Malaya kalau kamu mahu apa sahaja kerja boleh dibuat. Kamu boleh bekerja sebagai penghalau burung. Shooooo...shoooo.... burung pun akan pergi. Kerana burung amat banyak di Malaya. Mereka datang ke bumi menyerang kawasan padi....'

"Kami pun terpesona dengan penerangan Kangani itu. Kami berlumba-lumba mendaftarkan diri untuk turut serta rombongan belayar ke Malaya. Semuanya percuma ketika itu. Kami tidak perlu membayar apa-apa. Kami tidak perlu menyediakan makanan untuk perjalanan yang panjang. Kami hanya perlu membawa diri muda yang tahan mabuk di laut. Itu sahaja.

"Dipendekkan cerita, perjalanan kapal di laut memang menyiksakan. Maklumlah perjalanan tongkang yang banyak bergantung kepada angin. Kalau angin kencang kain layar pun dibentang dan kapal pun meluncur dengan lajunya. Kalau angin mati, kapal hanya berdiam diri dan kami tidak mampu melakukan apa-apa melainkan menyanyi, dan menyanyi. Tetapi ramai yang menyanyi dengan mengeluarkan airmata kerana sudah merasakan dirinya tertipu. Kami mencari Kangani yang mengumpan kami dulu, dia entah ke mana. Mungkin masih di darat memujuk kumpulan daripada kampung lain untuk menaikki tongkang yang lagi satu.

"Kalau angin terlalu kencang, perjalanan tongkang akan menjadi mencelaru. Maklumlah ketika itu, tekong kapal banyak bergantung kepada kepakaran semula jadi sahaja. Kompas yang ada di tangan pun adalah jenis lama yang mungkin betul ataupun hanya pura-pura jalanan jarumnya. Kerana itu makanya ada orang daripada kampung kami yang mendarat di Sabah, Sarawak, Kedah dan kepulauan di Indonesia. Sedangkan asal hala tuju yang utama ialah Port Dickson ataupun Port Swettenham (Pelabuhan Kelang)

"Azab perjalanan memang tidak boleh cerita. Ada perjalanan yang memakan masa tiga bulan baru sampai. Itu pun setelah tongkang tersasar jauh ke kepulauan Indonesia dan terpaksa berpatah balik untuk mendapatkan hala tuju yang pertama. Nasib kami memang banyak bergantung kepada Mamak Tongkang yang menjadi jurumudi bahtera ataupun Tongkang Besar yang meredah lautan samudera (Lautan Hindi). Memang mereka ini pakar dalam hal itu kerana mereka kerap berulang alik membawa dagangan manusia daripada India ke Malaya.

"Saya bernasib baik, kerana tahu sedikit bahasa Inggeris. Di India dulu saya bekerja dengan seorang guru Bahasa Inggeris sebagai pembantu rumahnya. Di India, pekerjaan sebagai pembantu rumah adalah satu penghormatan bagi kami daripada kelas bawahan. Kerja yang kami buat sebagai pembantu rumah adalah laksana kerja seorang khadam di zaman Maharajah India dulu. Serba-serbi mesti boleh dilakukan. Di sebabkan kerja itu dan juga disebabkan adanya surat pengenalan daripada seorang guru sekolah yang mengenal aku di India dulu, aku pun diberi pekerjaan sebagai pembantu khas di rumah penginapan syarikat orang putih. Nama perkerjaan memang canggihlah. Tugasnya sebenar ialah sebagai 'jaga' sahaja. Dari segi taraf, jawatan aku itu adalah lebih sikit tinggi daripada taraf seorang 'jaga' panggung wayang.

"Saya sudah bekerja sebagai pembantu khas ini selama hampir tiga puluh tahun. Saya tidak ada komplen kerana semua wang gaji yang saya dapat disimpan dan dikirimkan ke India. Dulu, anak-anak saya ada di sini tetapi sudah dihantar pulang kerana mereka melanjutkan pelajaran ke Universiti. Itu pun kami dapat bantuan daripada majikan yang mendermakan sedikit perbelanjaan. Para pengurus yang lama saya kenal dalam syarikat itu pun ada mengeluarkan sedikit derma untuk anak-anak kami.

"Orang mungkin tidak percaya bagaimana saya dapat menyimpan semua gaji bulanan saya. Sebenarnya saya menggunakan hanya gaji yang diterima oleh isteri saya untuk kami hidup di sini. Perbelanjaan makan minum, kami perolehi daripada 'tips' yang kami terima daripada pengunjung banglo. Mereka juga kerap memberikan segala baki barang makan yang mereka beli ketika bercuti. Ini semua sudah memadai untuk kami. Malahan ada yang kami simpan dan jual semula kepada para pengunjung yang datang. Begitulah seterusnya. Modal kami berkedai tanpa lesen pun memberikan keuntungan juga. Maklumlah orang bercuti, bukannya kira sangat akan belanjanya. Mereka seronok berbelanja dan kami pun seronok menerima mereka terutama sekali apabila dihulurkan wang 'tips' ketika mereka mahu pulang.

"Oh ya...kalian selalu menyindir aku kenapa menganut agama Kristian sedangkan ketika di India dulu aku tidak pun kenal agama itu. Bagi aku, agama aku tetap agama Hindu. Agama Kristian dan juga nama kristian di depan namaku adalah nama komersial sahaja. Sebenarnya menggunakan nama kristian ataupun nama Islam di depan nama yang diberikan oleh ibu dan bapa di kampung adalah satu perkara biasa bagi pendatang daripada India. Aku mengaku seorang Kristian kerana mahu pekerjaan yang mudah. Aku tahu ramai lagi orang kampungku yang menggunakan nama Islam ketika tiba di sini. Dengan menggunakan nama itu mereka dapat pekerjaan di kem tentera dan di pejabat sebagai 'office boy'. Mereka itu pun Hindu juga semacam aku.

"Kamu mesti faham di India dulu, agama rasmi ialah agama Hindu. Bayangkan betapa ramainya manusia yang beragama Hindu. Tetapi, di India juga ada beberapa kasta yang membuatkan golongan yang paling miskin dipandang hina. Inilah golongan 'pariah' ataupun 'harijan' yang disisihkan oleh masyarakat bepelajaran. Jadi, untuk mengelakkan kita dari dihina di India, orang golongan pariah ini menganut agama lain di mana tidak ada sistem hidup berkasta. Kerana itu mereka menjadi penganut Kristian ataupun Islam. Aku bukan daripada golongan pariah, tetapi aku menggunakan nama Kristian semata-mata mahukan pekerjaan yang lebih selesa.

"Di India, kalau seseorang itu lahir daripada masyarakat 'Pariah' hidupnya memang azab sekali. Bayangkan pada satu masa dulu kalau seorang pariah berjalan di satu lorong di mana orang kelas atasan akan menggunakan lorong itu, si pariah itu dimestikan menarik daun kelapa untuk menutup jejak kakinya. Inilah peritnya hidup sebagai golongan pariah di negara sendiri. Malahan, kalau kalian lihat di beberapa tempat di tepi jalan daripada Seremban ke Port Dickson, terdapat beberapa kumpulan batu yang dijadikan 'kuil' oleh orang India. Semua itu adalah buatan orang kumpulan 'pariah' kerana mengamalkan budaya orang kelas ini di negara India dulu. Di sana orang pariah tidak dibenarkan berkumpul dan bergesel bahu dengan kelas yang lebih tinggi daripadanya, walupun ketika berada di kuil.

"Sebenarnya, nasib kaum India di negara ini amat baik sekali. Mereka terjamin daripada dianiayai oleh kaum sendiri yang datang daripada kasta yang lebih tinggi. Mereka boleh beibadat mengikut cara yang mereka suka. Aku boleh tunjukkan kalian orang kampung aku yang dulunya beragama Hindu tetapi sekarang sudah tukar nama dengan menggunakan panggilan 'Syed' ataupun 'Sayyid' atupun 'Sheikh' di hujung nama Islam mereka. Sebenarnya mereka itu dulu Hindu totok juga seperti aku. Tetapi, apabila mereka bergelar Sayyid ataupun Sheikh mereka dihormati dan dipuji oleh orang Melayu. Apakah orang Melayu buta dan tidak dapat mengenal sama ada golongan ini menipu dirinya dan bangsa Melayu?......"

Demikianlah cerita panjang yang dipendekkan yang aku imbau daripada satu pertemuan dengan Michael Samy di Teluk Kemang kira-kira empat puluh lima tahun yang lalu. Michael Samy sudah lama pergi. Mungkin dia mati di India ataupun di negara ini juga kerana setahu aku, ramai orang India yang pulang dengan sistem 'Government Repatriation' selepas negara mencapai kemerdekaan dulu, pulang semula ke negara ini kerana tidak serasi meneruskan hidup tua mereka di kampung halaman sendiri.

Daripada perbualan kami dengan Michael Samy dan juga beberapa kaum India yang bekerja di Teluk Kemang pada satu ketika dulu, memang banyak yang kami pelajari. Kami menjadi sedar apakah ertinya satu perjuangan yang panjang sejak kami masih bersekolah lagi. Kami mengharungi saat-saat getir di zaman sekolah menengah kerana ketiadaan kemudahan untuk belajar dengan senang. Bayangkan sahaja azabnya pergi ke sekolah pada masa dulu. Berjalan kaki berbatu-batu tanpa ada selipar ataupun kasut. Balik ke rumah perkara yang perlu dilakukan dulu ialah mencari minyak tanah untuk mengikis minyak tar yang masih melekat di tapak kaki. Selepas itu barulah dicari sabun untuk membersihkan kesan minyak itu.

Ketika kemerdekaan baru dicapai, golongan kami merupakan golongan yang betungkus lumus bekerja sambil menyambung pelajaran dengan pos kerana peluang masuk ke universiti terlalu terhad. Apabila lulus barulah mampu ke luar negara untuk menyambung pelajaran dengan ongkos yang disimpan daripada hasil pekerjaan. Apabila MARA ditubuhkan barulah dapat pinjaman MARA. Ketika kami sudah bekerja di tahap pegawai, kami banyak mengeluarkan bantuan kepada golongan miskin kerana inilah semangat juang yang kami cuba praktikkan selepas selalu berbincang dan bermuzakarah di pantai Teluk Kemang satu ketika dulu. Usaha gigih yang kami terokai itu sudah diwarisi dengan baik oleh para pewaris semangat juang ini dan mereka kini memegang jawatan yang tinggi dalam segala jenis profesion yang ada di negara ini. Inilah golongan yang tidak berapa berminat aktif dalam pergolakan UMNO ataupun parti politik. Mereka lebih berminat menentukan agar kuasa ketuanan Melayu berada di tangan orang Melayu yang berpelajaran. Inilah warisan perjuangan kami. Mereka sanggup berdiam diri dan berpura-pura membisu selagi UMNO membiarkan seorang Mamak Tongkang menentukan rentak kekuasan ketuanan Melayu itu.

Oleh kerana taksub untuk memperbaiki diri dengan pelajaran tinggi, ramai orang Melayu yang lebih rela memberikan kuasa pemerintahan kepada pemimpin Melayu yang amat cetek pelajarannya. Inilah golongan yang mewarisi ketuanan Melayu dalam UMNO. Mereka saling berganti memegang kuasa sambil lupa daratan bahawa kuasa yang diberikan kepada mereka itu adalah satu amanah bangsa.

Kini, ketuanan Melayu itu sudah tergugat. Kedaulatan raja-raja sudah lama terpinggir di tepi bakul sampah. Keluhuran perlembagaan negara sudah lama diliwat. Ketelusan sistem perundangan negara sudah lama diperbudakkan. Ketuanan Melayu sudah lama berada di tangan seorang Mamak Tongkang. Dia mampu memegang kuasa mutlak negara kerana dia rakus dan pintar memutar-belitkan bangsa yang memberi amanah kepadanya. Kuasa wang dan kuasa pemerintahan kukubesi telah digunakannya untuk mengawal setiap individu di negara ini laksana robot. Mahathir bin Mohammad sudah lama berkuasa di negara ini sehinggakan cara dia memerintah adalah persis cara seorang jurumudi tongkang mengawal bahteranya. Setiap penumpang perlu dengar arahannya kalau tidak akan dicampakkan untuk mati lemas di lautan yang dalam. Demikianlah ganas dan rakusnya nafsu si Mamak Tongkang ini sehinggakan dia sanggup memperlekehkan kerja-kerja para ulama yang satu hari nanti akan membacakan talqinnya.

Demikianlah cebisan kisah di Teluk Kemang yang aku dapat rakamkan untuk mengenang seorang insan bernama Michael Samy. Ia berlaku di awal lima puluhan dulu, ketika semangat orang Melayu mengejar kemerdekaan memang hangat dibincangkan. Itulah ketikanya bangsa Melayu mencari satu identiti untuk menuntut kemerdekaan bagi negaranya yang dijajah. Itulah masanya yang sebahagian besar aristokrat Melayu menentang perjuangan itu. Tetapi, kini, golongan aristokrat yang sama sedang hidup senang-lenang kerana kepintaran mereka berpatah haluan dan berpura-pura menyokong kemerdekaan itu. Inilah golongan yang kini sedang hidup senang kerana mereka diberikan ruang untuk menjadi pemimpin sebuah parti politik yang bernama UMNO. Inilah golongan paling hipokrit yang pandai berbohong dan bermuslihat sehinggakan sanggup memperlekehkan ajaran Allah dengan menuduh sesiapa sahaja yang menentang mereka dengan pelbagai tuduhan yang menjiikkan. Inilah golongan yang menjadi duri dalam daging kemajuan bangsanya. Inilah juga golongan yang perlu diketepikan oleh orang Melayu dalam UMNO.

Seperti kata Michael Samy daripada Teluk Kemang dulu, "Dulu punya taim, orang yang pandai menipu dan berbohong memang mudah maju dan kaya raya." Tetapi, Michael Samy tentu setuju kalau kita katakan: "Sekarang punya Taim orang penipu semacam ini memang patut diketepikan dan dihumbankan ke laut sahaja.....'

Marhaintua@Hotmail.com
5 Mei 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com