Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Bab 17 - Yang ditutup dan ditutuh

Bahagian Satu

Hari ini 13 Mei 2000, berlangsungnya hari terakhir persidangan pertama UMNO di alaf baru. Bangunan PWTC yang pernah menyaksikan beberapa persidangan UMNO sebelum itu tidak semeriah dulu lagi. Tidak ada helah ketawa yang tulen lagi dan tidak lagi ada harapan menggunung tinggi bahawa maruah bangsa Melayu itu dapat dijamin oleh sekumpulan orang Melayu yang bernaung di bawah panji-panji UMNO pimpinan seorang diktator rakus yang bergelar si Mamak Tongkang. Parti yang sudah menjadi parti serpihan bangsa Melayu masih berlagak sombong dengan menyatakan mempunyai tiga juta pengikut setianya. Persidangan yang berjaya menabalkan beberapa pemimpin di jawatan kepimpinan secara tipu helah dan 'default' telah diikuti dengan peristiwa pemilihan beberapa pemimpin lagi yang sudah tentu akan diawasi dengan keras kerana kemenangan yang tidak direstui oleh si diktator tua itu. Inilah persidangan yang penuh kontroversi kerana Mamak Tongkang amat takut kalau-kalau ada ahli yang berani untuk bersekongkol meraung meminta mengundurkan diri.

Ternyata, ugutan itu terpacak dalam igauan semata-mata kerana tidak ada sesiapa yang berani menerajui laungan 'sumbang' itu kerana takutkan kehilangan harta-benda yang dirampok-sama sepanjang pemerintahan si bedebah tua itu.

Persidangan Puji-memuja, Ampu-mengampu dan Pujuk-memujuk

Akan dirakamkan nanti betapa persidangan UMNO yang pertama di alaf baru selesai dengan jayanya. Semua bersidang dengan penuh ceria dan bersurai dengan lebih ceria, demikian agaknya catatan para wartawan upahan UMNO esok hari. Tetapi apakah sebenarnya fenomena persidangan itu? Apakah sebenarnya yang dapat diselesaikan mengikut amanat presiden parti yang telah berkesudahan dengan bacaan doa?

Kalau begitulah caranya persidangan UMNO itu dikendalikan di alaf baru ini, kita dapat membayangkan apa yang akan terjadi seterusnya. Nampaknya ramalan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj betapa "UMNO akan hancur dek si KELING itu" sudah semakin hampir dengan kenyataannya. Orang yang dimaksudkan itu memang sedang gila-sakan sekarang ini kerana terlalu dibuai mimpi indah setiap hari di atas kekayaan dan kuasa yang telah berjaya diperolehinya melalui tipu helah dan fitnah serta segala taktik pemerintahan kuku besi juga.

Banyak emel yang saya terima meminta disampaikan perasaan meluat mereka kepada si Mamak Tongkang di atas gelagatnya di hari penyampaian amanat presidennya itu. Mereka meminta saya merakamkan betapa mereka merasa terhina dengan sikap beliau mahukan satu pembentukan 'MELAYU BARU' mengikut ciri-ciri yang telah dinyatakannya itu. Mereka bertanya secara simple sahaja: "Bukankah itu ciri-ciri kebanyakan para pemimpin Barisan Alternatif?"

Kita memang mudah faham kenapa ramai orang Melayu yang meluat dengan Mamak Tongkang. Mereka amat benci dengan cara beliau menyindir bangsa Melayu. Beliau mahukan orang Melayu berperanan sebersih-bersihnya sedangkan "tidak ada sedikit pun daripada ciri-ciri itu yang menjadi amalan hidupnya." Saya amat tersentak dengan emel yang datang bertubi-tubi itu sehinggakan sejak semalam saya tidak mahu menuliskan emel saya. Ini adalah satu mesej kepada para pembaca agar memeram rasa terlebih dahulu. Kotak emel saya penuh sarat, dan tidak larat saya menjawabnya.

Agenda Yang Disorok

Seorang pemimpin negara yang memerintah laksana seorang diktator memang mempunyai satu pasukan risikan dan sistem kepolisian yang ganas. Di Malaysia, sistem ini tidak kelihatan ganas, tetapi amalannya sahaja sudah cukup menggerunakan. Kerana itu, akhbar parti pembangkang di kawal ketat. Segala bentuk penyebaran ilmu dan maklumat mesti dikawal agar hanya maklumat yang mahu disampaikan kepada rakyat dibenarkan. Tujuannya agar rakyat tahu hanya maklumat yang kerajaan diktator itu mahu rakyat tahu. Tidak lebih dari itu.

Kalau kita teliti balik teks ucapan Mahathir semalam, kita akan sedar bahawa sebahagian besar isi ucapannya itu adalah pembohongan semata-mata. Beliau berfitnah terhadap Anwar Ibrahim dan terhadap PAS. Di waktu yang sama dia terus menghina bangsa Melayu kerana tidak berupaya maju seperti kaum Cina di negara ini. Inilah ucapana seorang pemimpin yang menang secara ditabalkan dan bukan secara jawatan itu dipertandingkan. Inilah ucapan seorang bedebah yang sepatutnya sudah lama dihenyak oleh bangsanya. Bayangkan apakah agaknya pendapat para jemputan asing yang mengikuti ucapan beliau selama satu jam lima puluh lima minit itu. Mereka tentu merasa jijik dengan kandungan isinya. Mereka tentu menyesal kerana berada di majlis itu.

Apakah pula yang diucapkan oleh para pemimpin UMNO yang lain sebagai mengulas ucapan dasar presiden? Semuanya mengampu sahaja. Semuanya memuji dan memuja dan semuanya melakukan perbuatan yang amat menjijikkan. Tidak pun mereka bincangkan masalah bangsa seperti yang sepatutnya. Mereka hanya menyebut segelintir masalah itu. Masa yang banyak mereka gunakan untuk mengutuk Anwar Ibrahim, PAS dan juga para ahli UMNO yang dikatakan menyeleweng. Sebahagian besar ucapan mereka adalah tertumpu kepada kebaikan seorang diktator tua. Ada yang berani mempertaruhkan dirinya untuk menyelamatkan presiden parti. Ramai pula yang sanggup menuduh PAS sebagai punca perpecahan orang Melayu dan sebab terbesar kenapa Islam menjadi satu ajaran agama yang disalah-ertikan oleh sebilangan besar orang Melayu.

Oleh kerana majlis ucapan berbentuk mengampu presiden parti ataupun menyindir rakan-rakan dalam parti, apakah lagi yang boleh diharapkan? Ramailah yang tertidur ataupun tergolek sahaja sambil cuba melawan mata yang mudah tertutup. Sekali sekala terdengar bunyi suara sindiran yang ditujukan terhadap manusia yang sedang membodek di atas pentas. Memang berlainan sekali persidangan kali ini. Ia sudah hilang pengaruhnya di kalangan orang Melayu. Oleh kerana ramai para perwakilan yang sebenar tidak berada di dewan besar itu, ada cerita yang mengatakan betapa ramai 'perwakilan palsu' yang dibawa masuk untuk menunjukkan betapa hebatnya kedatangan ahli di hari penutup tersebut.

UMNO Sudah Takutkan Bayang-bayang

Kita boleh lihat betapa si Mamak Tongkang memang sudah gelabah. Dia sendiri sudah berkata: "Sebenarnya saya sudah 'desperate' atau terdesak." Beliau telah berterus-terang dengan mengatakan betapa beliau pernah "pujuk, ugut, menangis..." di persidangan UMNO. Bermacam lagi telah dilakukannya untuk mendapatkan sokongan padu para ahli UMNO, namun hasil yang diperolehinya tidak seperti yang dijangkakan. Kerana itu beliau berdoa dan ajak semua hadirin mengaminkannya.

Sebenarnya, si Mamak Tongkang tidak diberitahu secara terus terang oleh para ahlinya betapa masa luputnya sudah lama berlalu. Oleh kerana dia tidak diberitahu hakikat ini secara terus terang makanya dia agak dia boleh terus berkuasa. Dia fikir untuk terus berkuasa dia boleh memperlekehkan sesiapa sahaja. Dia sanggup digelar sebagai 'wira-dunia-ketiga' kerana keberaniannya untuk bercakap lantang di pentas dunia. Tetapi siapakah yang berani berkata kepadanya bahawa pemimpin dunia ketiga rela mengampu kerana sabsidi yang selalu diberikannya kepada negara ketiga itu. Tidak kiralah wang yang disalurkan kepada beberapa projek kebajikan di negara ketiga itu datangnya daripada TNB, Tabung Haji, KWSP ataupun Telekom Malaysia. Sepatutnya kalau dia mahu berlagak macam "Santa Clause" dia harus gunakan duitnya sendiri.

Nampak sangat si Mamak Tongkang sudah gelabah kini. Percakapannya sudah tidak menentu. Dia hanya mahu menegakkan benangnya yang lama basah. Dia tidak fikir apa yang dikatakannya itu selalunya dirakamkan dan dimainkan oleh para analis untuk mengesan di manakah letaknya kekuatannya dalam sesuatu pembohangan itu. Malahan melalui analisa demikian kita boleh jangkakan apakah rencana sebenarnya mengeluarkan sesuatu kenyataan itu. Kalau dianalisa 'amanat' perdana beliau dan dibandingkan pula dengan ucapan penggulungannya, pembohongan si Mamak Tongkang itu amat jelas sejelasnya.

Menyambung Agenda Yang tersorok

Ramai veteran UMNO yang menggelengkan kepala bila membincangkan persidangan UMNO kali ini. Mereka tahu bahawa hampir semua jurucakap negeri yang telah dilatih dan diupah untuk berucap mengikut rentak gong yang dipalu oleh pucuk pimpinan parti. Mereka tidak membincangkan isu-isu semasa secara serius kerana telah diberitahu lebih awal lagi akan rencana penubuhan satu jawatankuasa khas yang akan mereka pimpin di setiap negeri bagi mendekati orang bawah (akar-umbi). Ini adalah satu gambaran baik di mana fulus akan masuk laksana air dari parit yang besar.

Dengan hal yang demikian segala bentuk kritikan adalah berbentuk 'superficial' yang lebih ditujukan kepada Anwar Ibrahim dan parti pembangkang. Tetapi, Anwar Ibrahim sudah pun dibuang oleh parti. Beliau sedang merengkok di penjara dan sedang dibicarakan. Apakah UMNO sudah ketandusan para hakim dan peguam bijaksana yang mampu menasihati Mamak Tongkang dan para jurucakap negeri yang mengkritik Anwar Ibrahim ? Bukankah tindakan mereka itu menyalahi undang-undang negara?

Oleh kerana adanya perencanaan sulit begitulah makanya hampir separuh ahli perwakilan telah tidak balik semula ke dewan selepas makan tengahari. Untuk menunjukkan dewan masih penuh, dibenarkan pula para pemerhati masuk ke dewan dan mengisi kerusi-kerusi yang telah dikosongkan itu, sehinggakan ramai lagi para pemerhati yang dibiarkan berdiri di ruang laluan untuk menunjukkan ramainya manusia yang berpusu-pusu. Perkara ini telah dibincangkan oleh beberapa pemerhati bukan Melayu sambil mengeluh : "It's a pity that Tunku's prophecy will become a reality...!" Sayang sekali, kata mereka. "Apa yang dikatakan oleh Tunku dulu akan menjadi satu kenyataan juga. ...!"

Sebenarnya perasaan yang sama memang terpahat di banyak wajah manusia yang berpengalaman dalam dunia politik negara ini, terutama sekali yang pernah menjadi ahli UMNO sejak penubuhannya dan membiarkan sahaja keahlian mereka hilang apabila UMNO asal diharamkan.

Menangani Suasana Pancaroba

Saya telah diberitahu betapa ramai veteran UMNO yang pernah menyatakan pendapat demikian kepada si Mamak Tongkang. Menyedari hakikat ini beliau telah menyebutkan suasana pancaroba yang mungkin dilalui oleh UMNO. Inilah suasana yang disebutnya "hostile environment". Sekaligus dia mengakui kemungkinan UMNO satu hari nanti menjadi parti pembangkang di parlimen. Namun, dia masih berkeyakinan bahawa UMNO di bawah pimpinannya mampu menangani masalah ini dengan cara memperkuatkan usaha agar kerajaan tetap dipengaruhi oleh falsafah parti. Dia mengingatkan para ahli betapa UMNO telah merupakan kerajaan yang terkuat dalam sejarah negara sehingga mampu membangunkan negara ini dengan segala bentuk kemewahan kepada orang Melayu.

Dengan lantang Mamak Tongkang telah menyanggah Al Gore, Soros dan penyangak matawang, IMF dan semua kuasa besar yang cuba memperkecilkan kerajaan UMNO. Sekali gus si Mamak Tongkang berbohong lagi. Setiap kali dia mendabik dada dengan segala bentuk 'kejayaan' yang dibikin oleh UMNO sebenarnya dia memperlekehkan kuasa Allah SWT jua. Dia lupa bahawa pembangunan yang sebaik mana dirancang itu tidak akan berjaya terlaksana tanpa kata muafakat dan kerjasama rakyat marhain. Dia mudah terlupa bahawa rakyat marhain telah menunjukkan kesanggupan mereka memberi sokongan kepada UMNO kerana rakyat mahukan perubahan dalam hidup mereka. Rakyatlah yang bersedia akur dengan segala peraturan kerajaan sehinggakan mampu bersabar sekian lama untuk menangani segala bentuk deraan yang dicetuskan oleh pihak kerajaan. Dalam hal ini si Mamak Tongkang sudah lupa daratan. Dia tidak terfikir bahawa tanpa kumpulan rakyat marhain yang berkerja kuat menyahut cabaran pembangunan yang diukir oleh para perancang negara, pembangunan itu tidak mungkin terlaksana. Sekali gus dia terlupa pengorbanan pasukan angkatan tentera dan pasukan keselamatan yang terkorban bergadai nyawa mempertahankan keselamatan negara. Dia tidak ambil ingatan akan para peneroka FELDA, RISDA, FELCRA dan lembaga pembangunan tanah yang lain yang sanggup meredah hutan dengan bayaran elaun harian yang tidak seberapa untuk membangunkan industri perladangan negara.

Menyedari hakikat akan munculnya 'hostile environment' itu telah menggerakkan si Mamak Tongkang menyarankan agar ahli UMNO sanggup turun padang mendekati rakyat dan menjadikan UMNO sebuah parti yang mesra rakyat. Sekali gus Mamak Tongkang mahu menciplak segala teknik 'environmental friendly' yang dilaksanakan oleh PAS dan semua komponen Barisan Alternatif. Dia telah mengungkitkan betapa masjid dibina oleh UMNO tetapi digunakan oleh PAS utnuk "mengajar ajaran songsang". Dia mahukan para pemimpin UMNO mengendalikan kuliah dan kursus khas di masjid-masjid untuk menentukan keunggulan jawatankuasa masjid yang kini sudah dirampas-kuasa oleh UMNO daripada masyarakat tempatan. Sayang sekali pendekaan ini dicanangkan oleh Mamak Tongkang sebagai strategi terbarunya untuk mendekati akar umbi. Dia lupa bahawa pembinaan masjid adalah dengan duit rakyat dan bukannya dengan duit orang UMNO semata-mata. Dengan ura-ura menganjurkan aktiviti UMNO di masjid, sebenarnya Mamak Tongkang sudah meludah ke langit sekali lagi dan membiarkan ludahnya itu melekat di hidung besarnya. Bukankah menjadi satu prinsip UMNO sejak Mamak Tongkang menerajuinya bahawa "masjid dan surau tidak boleh dipolitikkan?????"

Tutup Zip dan Buka Zip

Kesewelan Mamak Tongkang semakin terserlah kali ini. Dia sudah semakin lantang dengan kata-kata lucah dan gerak geri yang membayangkan kata-kata lucah itu. Di waktu yang sama dia cuba menaikkan semangat para ahli UMNO agar bersedia untuk menawan semua negeri di dalam pilihanraya tahun 2004 nanti. Kita tidak mahu bincangkan apakah yang lucah dalam perilaku si diktator tua itu. Tetapi kita mahu bincangkan sedikit akan rencana terbarunya "untuk 2004 nanti". Ini bererti si Mamak Tongkang mahu terus berkuasa sehingga dia mati di atas kerusinya di PWTC itu.

Di awal ucapannya ketika menggulung persidangan, si Mamak Tongkang telah bercerita bagaimana dia tidak memberikan banyak tumpuan kepada kerja-kerja presiden parti kerana cuba memberi ruang kepada timbalannya yang dianggapnya akan mengambil alih jawatannya itu. "Saya sudah bersedia mengundurkan diri selepas SUKOM" demikian lantangnya ulangan kenyataan yang cukup masyhor itu. Tetapi, dia tidak perasan bahawa ketika dia mengulangkan kenyataan itu hampir semua hadirin di bawah telah mengangkatkan kening mereka dan memandang antara satu dengan yang lain. Malahan ramai pula yang mampu menutup telinga mereka sambil tersenyum sahaja.

Untuk menentukan UMNO akan terus kuat menghadapi pemilu ke-11 nanti dia mahukan para perwakilan turun padang dan mendekati rakyat. Seperti yang telah diterangkan oleh Najib Tun Razak di majlis itu; akan terbentuk satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh seluruh ahli Majlis Tertinggi. Ahli ini dibenarkan memberi sepuluh nama untuk menggerakkan satu tenaga yang dapat merapati akar umbi dalam bentuk kursus dan penerangan. Dengan penubuhan satu bahagian khas ini si Mamak Tongkang mahukan semua yang terbabit bekerja kuat untuk menarik minat dan mempengaruhi akar umbi. Dia pun memberikan penerangan betapa UMNO telah berjaya menegakkan satu kerajaan yang berdemokrasi sehinggakan orang luar amat mengkaguminya.

Antara Slogan dan Propaganda

Saya telah banyak menulis betapa kerajaan pimpinan Mahathir telah mencipta banyak slogan dalam menyalurkan propaganda parti dan muslihat kepimpinannya. Inilah kepintaran para pemikir dan strategisnya selama ini. Mereka telah meniru kepimpinan ala Sokarno satu ketika dulu. Perkara ini memang kita fahami berpunca daripada Tok Mat yang menerima pendidikan universiti di Indonesia sebelum Malaysia diganyang oleh Sokarno.

Slogan yang dicipta itu dijadikan pula tema lagu ataupun tema pergerakan tertentu. Rakyat menjadi terpesona dengannya. Apakah kesudahannya? Berbilion ringgit duit rakyat dibelanjakan untuk menentukan slogan dan propaganda itu dapat mengabui pemikiran rakyat. Lihat sejenak apa yang jadi kepada Kempen Rakan Remaja? Berjuta ringgit dibazirkan semata-mata untuk mengongkosi projek pengiklanan sahaja. Apakah hasilnya? Berjayakah Program Rakan Remaja menonjolkan satu dozen manusia yang pintar di dalam sukan badminton? Berapa ramaikah belia kita yang berjaya di sukan tennis antarabangsa? Berjayakah kita menumpaskan Thailand dalam pertandingan Sepak takrau?

Kita boleh kemukakan banyak soalan serupa itu tetapi memadailah dengan itu dulu. Kalau kita kaji perbelanjaan besar yang dibazirkan untuk program rakyat itu kita dapati sasarannya tidak pernah mengena dengan tepat. Pembaziran berlaku kerana setiap projek raksasa itu bertujuan untuk memperkayakan para kroni. Ini tidak bererti rakyat Malaysia tidak boleh menonjol di bidang sukan. Kalau kita lihat Korea dan Thailand, mereka menonjol dalam pelbagai bentuk sukan sehinggakan mampu mengekspot pemain handalan mereka di merata dunia. Projek sukan Korea dilakukan dengan menumpukan perbelanjaan kepada pasukan tentera dan pasukan polis. Perbelanjaan demikian menjimatkan dan merapatkan hubungan kemesraan di antara pasukan tentera dan polis dengan orang awam. Projek serupa ini pernah dilakukan di zaman Tun Razak dulu. Kerana itu, kita dapati ada pemain badminton untuk pertandingan Piala Thomas yang datang daripada pasukan polis. Ada pemain bola negara yang datang daripada pasukan tentera dan juga penjara. Kenapakah projek yang baik serupa ini dimatikan begitu sahaja? Oh.....itulah proses penswastaan! Tetapi apakah hasilnya?

Contoh yang jelas di atas memberi kita satu ketakutan, sebenarnya. Dari sini kita dapat kesimpulan bahawa beratus jenis slogan dan beribu jenis propaganda yang dicerna di zaman Mahathir adalah bertujuan untuk mempergiatkan aktiviti penswastaan projek negara. Proses pengswastaan inilah yang memperkayakan para kroni. Bayangkan seorang menteri besar mampu membawa keluar wang seberat 19 kilo (ataupun lebih lagi, siapa tahu sebenarnya). Ada pula yang berani membawa wang kepingan seribu ringgit hingga bernilai berbilion melalui udara di depan mata rakyat marhain. Dari manakah datangnya duit sebanyak itu?. Tentu sekali tidak daripada langit seperti filem "God must be crazy.." Inilah proses pengswastaan yang diterajui oleh si mamak Tongkang. Adakah sesiapa di kalangan juurucakap negeri dan bahagian yang mampu membangkitkan isu ini? Jawabnya tidak....! kerana isu seperti ini sudah ditutup rapat terlebih dahulu. Isu penyelewengan seperti ini adalah dianggap satu isu yang "taboo" untuk persidangan tahunan UMNO. Ia hanya boleh dibincangkan secara 'face-to-face' yakni bersemuka empat mata dengan presiden parti.

UMNO Baru Yang Tidak Rasuah

Si Mamak Tongkang telah bersuara lantang mengenai kewujudan Melayu Baru yang tidak rasuah. Dia cuba menghakiskan apa yang telah dipraktikkannya selama ini. Cuba ambil contoh ini. Setiap wakil rakyat Barisan Nasional diberi kemudahan mendapatkan pinjaman bank untuk membuat ataupun membaiki rumahnya sehingga RM500,000. Cuba bayangkan bagaimanakah seorang wakil rakyat mampu membayar hutang sebanyak itu dalam tempoh perkhidmatannya sebagai wakil rakyat satu penggal? Mampukah dia melunaskan hutang itu sepanjang satu penggal perkhidmatan? Jawabnya tentu tidak. Secara logiknya kalau dia bergantung semata-mata kepada gaji dan elaun bulanan, dia tidak mampu melunaskan hutang itu dalam masa lima belas tahun. Apakah yang akan terjadi dalam hal ini kalau si wakil rakyat itu mengelakkan perbuatan rasuah? Dia sudah tentu memerlukan satu bentuk subsidi daripada sumber lain. Ini bererti si wakil rakyat itu perlu menjalankan perniagaan dengan para kroni dan juga mendapatkan bantuan subsidi daripada pihak tertentu yang dapat merengankan beban hutangnya.

Kita mesti ingat bahawa kita cuma bercerita tentang pinjaman bank untuk membuat rumah yang berharga RM500,000. Bagaimana pula dengan pembelian mercedez benz bermata belalang kunyit itu? Termampukah seorang wakil rakyat seperti Adnan Samseng menyara hidupnya tanpa subsidi daripada punca lain selain gaji dan elaun politiknya? Mampukah wakil rakyat terbaru di Sanggang mengeluarkan duit cengkeram membeli Mercedes Benz yang diidamkan (setakat ini) oleh isteri dan ahli keluarganya?

Orang Melayu Tidak Pandai Menipu

Setiap orang Melayu yang beragama Islam lahir secara kebiasaannya dengan mendengar kumandang azan di telinganya. Kerana itu kita lihat apabila seorang Melayu itu bertaraf dewasa dan menjangkau lima puluh tahun, pintu taubat mula terbuka untuknya. Ketika itu setiap kerakusan dan sikap haloba yang banyak didorong oleh syaitan di masa mudanya mula menjadi satu sabjek renungan dalam hidupnya. Dia mula mempersoalkan dirinya untuk mencari satu keinsafan yang berkekalan. Dia mula mempersoalkan segala yang tidak baik di sekelilingnya. Kalau keinsafan itu berlaku di tengah-tengah masyarakat yang bertaqwa, amat mudahlah usahanya untuk bertaubat. Jika tidak, ia akan hanyut di samudera kegelapan.. Namun, akan sampai juga ketikanya bila dia akan sedar kembali untuk kedua kalinya ataupun mungkin untuk ketiga kalinya. Setiap kali ulangan kesedaran ini timbul ia akan mempersoalkan setiap pergerakan sumbang yang mencetuskan dosa dalam hidupnya.

Proses keinsafan yang berlaku di kalangan orang Melayu sedang berlaku secara aktif sekarang ini. Semua ini adalah kurniaan Allah SWT setelah sebilangan besar dan majoriti orang Melayu itu terpesong dan tersasar dalam perjalanan hidupnya. Saya pernah menulis betapa satu setengah generasi Melayu telah tersasar disebabkan proses pentadbiran kerajaan UMNO yang songsang. Adalah tidak silap kalau kita katakan, ramai di kalangan orang Melayu yang kini berumur di antara 21 tahun hingga 45 tahun yang tidak mengerjakan solatnya. Ramai di kalangan generasi ini kalau diajak menghadiri kenduri tahlil dan membaca "Yaasin", akan berada di tempat gelap dan di penjuru anjung rumah kerana mereka tidak boleh membaca Al Quran. Kerana itu di Lembah Kelang, kelas Iqrak untuk golongan dewasa sentiasa penuh kerana permintaan yang melambak. Memang amat malang sekali fenomena ini kerana inilah kesan pemerintahan kerajaan UMNO yang lagak sombong bahawa "hanya UMNO yang menentukan maruah bangsa agama dan negara" Setiap kali saya mendengar slogan ini diucapkan saya akan menjawab dalam hati "Kepala hatok kau" Malangnya, secara teknikal yang menjadi mangsa ialah datuk si insan yang melaungkan slogan songsang itu. Mahathir Mohammad yang lebih terkenal dengan gelaran Mamak Tongkang adalah insan yang sama bertanggungjawab dalam kepincangan ini kerana bukankah beliau yang mengasaskan dasar pelajaran Malaysia sehingga kini? Tun Abdul Rahman Yaakob masih hidup lagi untuk memperakukan catatan saya ini.

Kini, si Mamak Tongkang cuba menukar haluan strategi dakwah ataupun propaganda parti sekali lagi. Dia sudah mahu menciplak teknik yang diamalkan oleh PAS dan parti komponen Barisan Alternatif. Yang lucunya dia berterus terang dengan strategi itu kerana tujuan sebenar ialah menentukan agar orang Melayu terus menyokong UMNO.

Apabila Islam Diperlekehkan

Dengan tujuan menarik pengaruh yang sudah hilang walaupun keahlian dikatakan mencecah tiga juta (he,he, he), UMNO Baru pimpinan si Mamak Tongkang akan memacu satu projek ketaqwaan ala UMNO. Kerana itu kita lihat sesiapa yang cuba berdakwah di luar teraju UMNO dan JAKIM akan dilarang dengan spontan. Inilah yang telah berlaku kepada OGY (Fauziah Ahmad Daud). Hamid Othman telah melarang OGY berdakwah kerana dia takut berlakunya satu pemesongan akidah. Akhbar melapurkan kata-kata Hamid bahawa "terdapat unsur-unsur pemujaan dalam kegiatannya. Orang ramai yang mengikuti ceramah artis itu boleh jadi ekstrim dan secara berlebihan. Itulah yang kita curigai."

Dalam hal ini saya mampu berkata: "memang bedebah ulama UMNO ini". Kalau kita boleh digalakkan sejak dulu lagi mendengar ceramah penganut agama lain untuk tujuan ilmiah, apakah sebabnya kita tidak boleh mendengar ceramah seorang artis yang memilih jalan yang benar? Inilah kerja MATIN rupanya. Tidak ada sesiapa yang boleh berlagak lebih pandai daripada ulama UMNO, rupanya. Hamid Othman sebenarnya mengejar pablisiti murahan. Dia sudah kehilangan populariti di kalangan para ulama di negara ini. Tetapi dia mahu terus menguasai media dalam hal ajaran Islam di negara ini. Dia fikirkan segulung ijazah di tangannya itu sudah cukup memberikan satu tauliah terbesar di negara ini. Apakah akan jadi kalau seseorang itu menyaman di mahkamah dengan merujukkan perkara itu kepada perlembagaan negara? Bukankah itu teknik yang dilakukan sekarang ini oleh orang Islam yang menjadi murtad? Kalau inilah sikap yang akan terus diambil oleh ulama UMNO dalam menangani ketaqwaan umat Islam di negara ini memang sahlah UMNO itu sedang dipengaruhi oleh ulama yang sesat sesesatnya.

Perlembagaan negara ini menjamin pilihan seseorang rakyatnya kepada agama pilihannya. Tidak ada dalam perlembagaan yang mengatakan 'orang Islam tidak boleh mendengar ceramah agama yang bukan dipilih oleh kerajaan untuknya. Memang baghal Hamid Othman ini rupanya.

Bersambung.....

-Marhaintua-
Mei 13, 2000.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com