Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

ANTARA PENCAK SILAT DAN KALARIPAYAT (BAB 2)

(Artikel ini adalah satu tribut kepada Ahli UMNO Bahagian Tanah Merah Kelantan yang mencorakkan aliran sejarah UMNO di alaf baru)

Memang telah lama kita duga dan memang lama sudah dijangkakan, gelanggang pencak silat Melayu akhirnya dibuka juga untuk menyaksikan gelagat dua wira Melayu yang terbilang, selama ini. Wira Tua yang sekian lama PURA-PURA terlalu gian mahukan seorang penanding menunjukkan kelakian di gelanggang, kini mendapati cabarannya terjawab sudah. Terpulanglah pada orang UMNO seluruh negara menentukan berapa lama pula rentak gong yang perlu dipalu sebelum persilatan kedua-dua wira itu dipertarungkan.

Begini rupanya kehendak alam politik orang Melayu di alaf baru. Mahathir terpaksa mencabar Tengku Razaleih secara bertterus terang untuk menyatakan hasratnya samada mahu bertanding atau tidak. Mungkin cabaran itulah yang ditunggu-tunggu oleh Tengku Razaleih (Ku Leigh) selama ini. Sebelum itu dia terus menggunakan taktik sindir-menyindir, sambil mengemukakan beberapa cadangan agar UMNO memperbaikki keadaan suasana pemilihan para pemimpinnya di persidangan UMNO Mei nanti.

- Masa Yang Mematangkan Ku Leigh

Kelewatan Ku Leigh membuat pengumuman tentang kesediaannya menandingi jawatan tertinggi dalam parti adalh satu bukti betapa masa yang lalu telah menjadi guru yang paling berkesan kepada beliau. Seperti yang kita tulis dalam "Setiap Rentak Ada Gongnya":

.....`` Tengku Razaleigh yang banyak menghabiskan masanya di London, tidak berapa faham akan mainan politik di tanahairnya sendiri. Budaya berterus terang yang dipelajarinya ketika di London dulu, dianggapnya sebagai budaya UMNO, juga. Sedangkan itulah budaya yang diseleweng oleh setiap pemimpin parti. Mereka lebih rela berpura-pura dengan cara berterus terang itu sebagai topeng untuk menyorokkan perangai buruk mereka sebenarnya."........

Memang, Tengku Razaleih bukannya calang-calang manusia dalam dunia politik Melayu. Kepercayaan saya ini seperti yang banyak kali saya tuliskan dalam penulisan saya, sudah tentu merupakan imej kepercayaan majoriti besar ahli UMNO di bahagaian Tanah Merah Kelantan. Saya yakin ramai lagi ahli UMNO yang mempunyai pendirian dan keyakinan seperti ini. Sebagai seorang ahli politik yang pernah berkhidmat kepada semua Perdana Menteri Malaysia dalam sejarah negara ini, Ku Leigh amat faham apa ertinya kuasa politik. Mungkin kesedarannya terhadap 'kuasa' itu selepas beliau tidak lagi menjadi anggota kabinet Mahathir mematangkan beliau untuk memahami betapa pentingnya beliau bertarung sekali lagi bagi pucuk pimpinan parti. Kini, beliau datang lagi, dengan penuh kesedaran bahawa perlawanannya kali ini adalah satu persilatan mengikut rentak gong yang sudah lama dipalu oleh Mahathir dan konco-konconya.

Tengku Razaleigh tentu sedar, lawannya Mahathir kali ini bukannya Mahathir yang sama yang pernah ditentangnya pada kali pertama dulu. Ketika itu Mahathir dianggap oleh Razaleigh sebagai seorang ahli politik yang setara dengannya. Kerana itu beliau dan juga para penyokongnya yang setia telah cuai sedikit untuk meneliti setiap langkah baik bunga ataupun buah silat Mahathir. Malahan, ketika pengundian, kecuaian Tengku Razaleigh dan para penyokongnya terserlah sudah. Mungkin juga keyakinan yang berlebihan yang telah membuatkan kecuaian itu menjadi satu kealpaaan yang memuncak sehinggakan mereka lalai, selalai-lalainya.

Memang begitulah hukum alam dalam sesuatu pertarungan. Setiap peserta terpaksa berwaspada sehingga pertarungan itu sudah diisytiharkan tamatnya. Sehinggakan pertarungan itu sudah mengisytiharkan pemenangnya yang mutalak. Tengku Razaleigh sudah faham akan fenomena ini sekarang. Kerana itu dia sudah berjaya menyimpan rahsia hatinya selama ini untuk tidak menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan dalam parti.

Bila Gong Mahathir Terus Dipalu

Kita juga telah menjangkakan betapa Mahthir sudah mempunyai rencana tersendiri untuk melemahkan pengaruh Ku Leigh terhadap rakyat yang mahukan UMNO kembali bernafas gerang kembali. Kerana itu dia telah merencanakan agar tiga orang Menteri Besar di Utara pergi ke luar negara dan besuara lantang sebagai satu kumpulan juara. Maka tersebutlah kisah betapa tiga Menteri Besar daripada Perlis, Kedah dan Perak yang berpadu suara mencadangkan agar Ku Leigh hanya dilantik bagi jawatan Naib Presiden sahaja. Alasan mereka ialah "mahukan UMNO tetap bersatu."

Walaupun satu bahagian di Perak telah mencadangkan nama Tengku Razeleigh bagi jawatan Naib Presiden, Tengku Razaleigh masih tidak bersuara. Dia sengaja berdiam diri kerana mahu menguji suasana. Laksana seorang pendekar pintar dan bertenaga dia hanya menghembuskan nafas panasnya dulu ketika itu. Tidak ada 'bunga' dan 'buah' yang datang dari jurusnya ketika itu. Taktik ini sudah dibaca oleh Mahathir sebagai satu taktik yang melampau. Kerana itu Mahathir cuba menyanggah suasana dan mahukan Ku Leigh menyatakan hasratnya secara terbuka. Mahathir berbuat demikian sebenarnya untuk mematikan sebarang spekulasi politik ketika dia berada di Jakarta. Dia tidak mahu soalan pertarungan antara Ku Leigh dan beliau menjadi soalan sensasi di Indonesia. Maklumlah, ketika itu dia mahu menonjolkan imej sebagai seorang negarawan terulung yang layak dan mempunyai kredibiliti menjadi penasihat kepada seorang peresiden kepada negara di mana rakyatnya adalah lapan kali ganda daripada jumlah rakyat di Malaysia ini. Dengan lain perkataan, Mahathir telah memukul gong persilatannya terhadap Ku Leigh semata-mata untuk mengabui rakyat Indonesia khususnya akan keperwiraan yang ada padanya. Kalau kita bandingkan taktik cakap besar Mahathir selama ini terutama sekali ketika dia menangani masalah Anwar Ibrahim, kita tahu Mahathir bersuara lantang terhadap Ku Leigh dengan tujuan mengacah sahaja. Tidak lebih dari itu. Dia fikir, kalau dia mampu mengacah Anwar selama ini dan tidak menerima reaksi negatif yang ketara darinya, tentu sekali dia mampu berbuat demikian juga terhadap Ku Leigh. Sayang, Mahathir tersilap langkah. Tengku Razaleigh yang dicabarnya itu bukannya manusia yang berada di Sungai Buluh dan tidak mampu bersuara untuk menyanggahnya kembali. Ku Leigh amat faham akan taktik Mahathir kali ini dan faham akan tipu helah itu.

- Pukulan Gong Yang Sumbang

Memang, kita menjangkakan taktik Mahathir kali ini akan merupakan satu taktik yang sumbang dan akan memakan dirinya sendiri. Mungkin Mahathir sendiri tidak perasan kenapa banyak sekali taktik politiknya tidak mengena sasaran dan matlamat yang dianggarkan oleh para straegisnya. Terlalu banyak contoh yang boleh kita ungkitkan di sini, tetapi eloklah kita imbas sahaja kerana ia amat memalukan orang Melayu juga akhirnya. Upacara memerangi 'Fitnah lawan', majlis ucapan Mahathir yang menggunakan orang upahan sebagai penyambut kedatangannya adalah segelintir contoh yang boleh kita ungkit sebagai bahan kesedaran kepada orang UMNO yang memang kita tahu suka membaca artikel seperti ini. Memadailah kalau kita katakan, taktik-taktik politik Mahathir bukan sahaja sudah tidak mengena sasarannya, malahan semakin kerap taktik ini tidak pun menjadi. Kenapakah agaknya ?

Kita tahu, Mahathir adalah seorang pakar politik yang merancang banyak strategi. Dia menggunakan juga pakar strategi Amerika seperti yang ditonjolkan oleh anak-anaknya. Dia mempunyai ramai penyokongnya di kalangan orang Melayu yang amat taksub dengan kepimpinannya. Di kalangan orang yang bukan Melayu, memang ramai penyokong Mahathir yang mahukan beliau terus berkuasa. Mereka mahu terus berpaut kepada kuasanya dan terus menenggek kuasa itu untuk terus memperkayakan diri mereka. Kekayaaan yang mereka perolehi sejak lapan belas tahun yang lalu mengikut kaedah ini sudah membutakan mata dan hati mereka akan kehadiran berjuta orang Melayu yang memperhatikan sahaja gelagat mereka itu. Kepada mereka, rakyat marhain Melayu sudah tidak penting lagi. Mahathir adalah segala-galanya. Mereka lupa Mahathir akan terus berkuasa HANYA kalau majoriti Melayu yang mereka perlekehkan itu akan terus mengundi 'nabi' mereka itu dan terus mahukan kepimpinannya.

Memang, kalau kita lihat cara Mahathir berkempen untuk menonjolkan dirinya, banyak sekali unsur amalan politik Amerika dan juga negara barat yang lainnya. Inilah amalan terbaru dalam dunia politik Melayu. Tetapi, apakah impaknya terhadap UMNO dan Mahathir sendiri, akhirnya ? Terlalu jelas, hampir semua amalan baru menonjolkan Mahathir sudah ditolak oleh orang Melayu secara keseluruhannya. Termasuk juga semua pemimpin Melayu yang diketahui amat rapat dengannya.

Kesan negatif yang ditanggungi oleh Mahathir dan UMNO dalam penonjolan imej beliau itu sebenarnya bukan sahaja satu tamparan kepada orang Melayu dan UMNO. Yang paling kerugian adalah orang Melayu sendiri kerana kebanyakan perbelanjaan untuk menonjolkan imej itu datangnya daripada rakyat juga. Kita tahu, kebanyakan projek menaikkan imej Mahathir yang ditaja oleh UMNO adalah menggunakan wang kerajaan. Ini bererti, wang rakyat yang digunakan untuk projek itu. Lihat sahaja apa yang dilakukan untuk projek Rakan Muda. Berapa juta wang yang digunakan untuk mempromosikan projek itu yang digunakan bagi bidang percetakan dan iklan? Siapakah yang membolot peruntukan itu kalau bukan Lim Kok Weng, balaci penonjolan imej Mahathir ?

Bagaimana pula dengan segala projek untuk melatih-tubi pemikiran pegawai kerajaan yang memberi kepentingan untuk menonjolkan nama Mahathir. Lihat sahaja apa yang sedang dilakukan oleh hampir semua saluran Radio dan TV di negara ini. Sebagai contohnya, ketika Mahahir berada di Jakarta, satu program yang dikelolakan oleh Radio Saluran Lapan dan dikendalikan oleh Isa Ghani (kalau saya tidak silap) telah menghabiskan hampir satu jam mengulang-ulang satu rencana Utusan Melayu tentang pengiktirafan yang diberikan oleh orang Moscow terhadap Mahathir. Kita mampu ketawa dengan rencana itu kerana kalau sesiapa yang pernah pergi ke Moscow tentu akan mampu memberitahu penyiar tersebut betapa orang Russia tidak mampu membeli akhbar sekarang ini kerana wang untuk membeli roti dan bawang untuk dijadikan sup pun merupakan sesuatu yang amat pahit bagi mereka. Mungkin penyiar tersebut dan juga penerbitnya tidak faham keadaan di Russia sejak dua puluh tahun yang lalu, kita orang luar mampu mendapat hiburan daripada gadis Russia hanya dengan mengunjukkan beberapa keping 'Chewing Gum' yang boleh dibeli di kedai bebas cukai di pintu masuk lapangan terbang Russia. Kalau kita belikan sebotol minuman setan, kita mampu berlibur mengikut rentak gong syaitan pula.

Demikianlah cara jentera propaganda Mahathir beroperasi sekarang ini. Tidak kira apa bahannya, asalkan masuk akal sikit pun akan dipergunakan untuk megabui fikiran orang Melayu bahawa "Mahathir adalah segala-dalanya dalam kehidupan orang Melayu di alaf baru ini. Mahatirlah pemimpin terunggul dalam sejarah peradaban Melayu, Mahathirlah itu dan Mahthirlah ini." Semuanya adalah propaganda yang menjelakkan kita jua.

-Alangkah Pintarnya Orang Kelantan

Pemilihan yang dibuat oleh UMNO bahagian Tanah Merah adalah satu fenomena yang akan diulang berkali-kali oleh beberapa bahagian UMNO yang lain. Kita amat yakin dengan perkara ini. Bahagian Tanah Merah adalah pencetusnya dan akan merakamkan keberaniann mereka itu dalam lipatan sejarah UMNO, akhirnya. Tetapi, ada sesuatu yang tersirat di sebalik keberanian itu sebenarnya.

Jikalau kita lihat sejarah politik Melayu, orang Kelantan merupakan golongan pengundi yang sanggup mencatatkan perubahan secara total setiap kali suasana itu memerlukan tindakan mereka. Ketika Dato' Asri bertindak membawa PMIP ke dalam Barisan Nasional dulu, orang Kelantan menyokongnya untuk menantikan janj-janji pembangunan yang dihamburkan oleh pemimpin negara ini. Melalui persemuafakatan itu, UMNO terus bertaring di negeri yang bergelar Serambi Mekah itu. Tetapi hanya untuk seketika, kerana penyelewengan yang berpanjangan di bawah kepimpinan UMNO itu tidak dapat dibiarkan oleh rakyat lagi. Mereka memberontak dan mengambil keputusan untuk menyingkirkan pemerintahan UMNO yang dipimpin oleh seorang Menteri Besar yang kini menjadi Presiden Dewan Senate. Sejak itu PAS tidak perlu menoleh ke belakang lagi. Sebagai selingan mungkin, PAS telah bersetuju berkongsi kuasa dengan parti serpihan UMNO yang dipimpin oleh Ku Leigh (Semangat 46) sebagai satu tanda hormat oleh Tuan Guru Dato Haji Nik Aziz kepada seorang anak istana yang lama berpolitik di peringkat pusat.

Pada pemilu ke-10 dulu, walaupun Semangat 46 sudah terkubur dan Ku Leigh rujuk semula kepada UMNO, kepintaran TG Nik Aziz telah menentukan Ku Leigh tidak tergugat di Gua Musang. Cuma jumlah undinya yang menurun. Inilah salah satu contoh kepintaran orang Kelantan berpolitik.

Kalau juara pelapis politik UMNO seperti Anuar Musa, Mustapha Yaakob, Ibrahim Ali, dan Zainal Abidin Melor boleh tumpas di tangan muka baru PAS, bagaimanakah Tengku Razaleigh dapat bertahan di Gua Musang ? Apakah disebabkan masih ramai pengundi di Gua Musang itu yang bukan beragama Islam, makanya Nik Aziz tidak dapat mempengaruhi mereka untuk memberikan sokongan kuat terhadap PAS? Mengikut penelitian ramai analis, Nik Aziz sengaja tidak mahu menggugat Tengku Razalaeigh kerana mahukan khidmatnya sebagai 'bumper' terhadap kerakusan Sultan Kelantan. Adalah lebih mudah untuk melembutkan kerakusan Sultan Kelantan melalui hubungan rapat orang PAS dengan orang Ku Leigh yang rapat dengan pihak istana. Mereka mengambil jalan ini daripada menangani hal itu secara terus dengan pihak istana itu sendiri. Inilah muslihat politik Nik Aziz yang sepatutnya telah dipraktikkan oleh Anuar Musa ketika beliau berkrisis dengan Sultan Kelantan dulu. Tetapi, Anuar Musa sudah tersilap langkah dan sanggup mentabalkan seorang 'Sultan UMNO' untuk negeri Kelantan, tanpa memikirkan perasaan rakyat Kelantan dan juga para pemimpin PAS yang berkuasa di negeri itu. Dengan lain perkataan, ketika Anuar Musa terlalu gian mencuba taktik perang Mahathir di Kelantan dulu, dia lupa bahawa orang Kelantan amat peka dengan keadaan sebenarnya di negeri mereka. Yang lebih penting lagi, orang Kelantan lebih menghormati Nik Aziz daripada Mahathir, walaupun mereka merupakan ahli totok UMNO.

Kesimpulan

Pencalonan nama Ku Leigh bagi menandingi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti UMNO adalah satu fenomena yang bersejarah dan dijangka akan mencetuskan beberapa pencalonan yang serupa daripada bahagian yang lain. Dengan mencalonkan beliau kepada dua jawatan teratas yang telah diberahminkan di atas putar-belit politik Mahathir, bererti sudah ada bahagian yang berani mencabar kepimpinan Mahathir itu secara terus terang. Sekaligus, pencalonan itu membakul-sampahkan rencana jijik yang didalangi oleh tiga menteri besar negeri atas angin yang berlagak sebagai kerbau balau yang mudah dicocok hidungnya.

Mungkin secara kebetulan pencalonan Tanah Merah itu dibuat selepas Mahathir mencabar Tengku Razaleigh untuk membuat pendiriannya. Tetapi, pencabaran Mahathir itu sebenarnya adalah satu gimik politik yang dibuatnya untuk menonjolkan kredibiliti wirawannya untuk mengabui rakyat Indonesia. Inilah taktik yang kerap dilakukannya terhadap Anwar Ibrahim setiap kali beliau mahu berangkat ke luar negara. Apabila disoal di luar negara akan perkara itu, dia akan bersuara lantang untuk mempertahankan kewibawaannya sambil memperlekehkan Anwar Ibrahim dan pergerakan reformasi di tanah airnya sendiri. Memikirkan beliau kerap berjaya terhadap Anwar, Mahathir telah mengubah topik dengan menggunakan taktik yang sama terhadap Tengku Razaleih pula. Dia lupa bahawa Ku Leigh bukannya seorang ahli politik yang berada di Sungai Buluh.

Apabila Ku Leigh menyahut cabaran terbuka Mahathir itu dan disambut pula oleh pencalonan terbuka daripada UMNO bahagian Tanah Merah, bererti terbukalah secara rasminya gelanggang pencak silat terulung di awal alaf baru ini. Apakah gelanggang itu akan merupakan tandingan seorang pakar silat dengan seorang pakar kelaripayat (silat India yang berasal daripada Kerala dan diamalkan oleh kaum Malayalam beragama Islam) adalah sesuatu yang amat ditungu-tunggu oleh semua orang Melayu.

Kini, seluruh bahagian UMNO yang belum bersidang untuk membuat pencalonan, sudah pun bergegar. Pelbagai cerita telah kita terima dari beberapa ketua bahagian. Semua cerita ini berkisar kepada siapakah lagi yang berani membuat pencalonan mirip tindakan Tanah Merah itu ? Bukankah ini sistem demokrasi yang memestikan akal yang waras mengatasi sentimen berpolitik secara membuta tuli? Kalau ada beberapa bahagian lagi dalam sehari dua ini yang mengikuti gelagat Tanah Merah, akan terserlah nanti kelemahan yang ada dalam perwatakan 'Mahathir sebagai pemimpin ulung Melayu' (he,he !) di alaf lalu. Kelemahan ini akan terserlah sedikit demi sedikit dan akan menjadi duri yang mencucuk daging tubuh diri Mahathir sendiri. Semua para strategis Mahathir amat faham akan kesan fenomena ini kalau dibiarkan berlanjutan. Terpulanglah kepada bahagian UMNO yang lain untuk terus meniru tindakan orang Tanah Merah itu dan memberikan pencalonan yang lebih banyak lagi kepada Tengku Razaleigh. Biarlah mereka mempunyai pencalonan yang seimbang. Barulah seronok pertarungan itu nanti. Barulah ada fenomena buku bertemu dengan ruasnya. Barulah ada ooommph, kata orang Melayu di alaf baru.

Namun, kita mesti terus berwaspada agar pertarungan itu berjalan dalam suasana politik yang sihat. Untuk kepentingan parti dan bukan untuk kepentingan individu dalam parti. Bukankah itu motto Mahathir yang diulang-ulangnya selama ini ? Cuma kita tidak mahukan Kalaripayat bertukar menjadi "Larinya seorang Keparat". Kalau itu terjadi janganlah salahkan Ku Leigh kalau kali ini dia mengubah silat menjadi Tomoi (tinju Siam) pula.

......bersambung....

Marhaintua@Hotmail.com
12 Mach, 2000.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com