Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


BILA RAKYAT DIROBOTKAN

KALAU TAK LARAT BERSILAT ELOK LAGI BERSILA BAB 22

(Tulisan ini adalah khas ditujukan khas kepada PW Laman Webantu. Semoga kita bersama mendapat faedah dari penulisan ini)

Kalau ada pujian yang mengawan tingginya yang patut diberikan kepada Laman Web berbentuk 'pemberitaan' (bukan Forum) di negara ini, pujian sedemikian memang layak pergi kepada Laman Webantu. Sekaligus, kalau ada 'hanya satu' (saya ulangi hanya satu) hadiah mirip 'oscar' ataupun satu 'Emmy Award' yang harus dipertimbangkan kepada pengendali laman web, hadiah itu sememangnya hak saudara. Demikianlah gambaran betapa hormatnya saya kepada kegigihan saudara itu dan betapa kagumnya saya dengan laman web saudara. Saya percaya penghargaan bertulis ini tentu disokong baik oleh seluruh pembaca laman web anda dan juga beberapa pengendali web yang lain.

Satu ketika dulu, terjadi sedikit pergeseran di antara saya dengan segelintir pengendali web yang merasakan saya sengaja meminggirkan mereka. Saya tidak menjawab cemuhan dan tulisan mereka yang penuh kiasan itu. Saya menyertai dunia siber Melayu bukannya untuk bertelingkah dengan sesiapa. Malahan bukan dengan pihak kerajaan yang memerintah. Saya menyertai laman web Melayu hanya untuk membawa satu arus kesedaran kepada minda setiap mereka yang membaca penulisan saya, betapa negara ini akan dirundung satu musibah yang besar kerana tindak-tanduk seorang diktator tua yang sudah masuk era keanak-anakan dalam hidupnya. Kerana itu saya memberi penekanan yang berat terhadap muslihat penyebaran maklumat yang tidak songsang kerana terdapatnya kekerapan munculnya maklumat songsang daripada pihak tertentu untuk mengawal minda orang Melayu.

Kenapa Marhaintua Tidak Menulis?

Saya berterima kasih dengan soalan saudara itu. Jawapan yang akan saya berikan ini sudah tentu saya tujukan juga kepada berpuluh kiriman emel yang saya terima daripada sahabat dan taulan; malahan juga daripada pihak yang mahukan saya merasakan mereka daripada satu golongan lawan. Semoga penjelasan di bawah ini menjawab semua emel yang mengemukakan soalan yang serupa.

Sebenarnya Marhaintua tidak pernah berhenti menulis. Saya menulis hampir setiap hari, mengikut keadaan kesihatan yang mengizinkan. Maklumlah, usia yang semakin menjangkau peredaran masa memerlukan banyak berehat. Jejari yang mengetuk mesin taip untuk lebih empat puluh tahun, sudah kerap mudah mogok kerana keletihan. Kecerdasan jejari itu nampaknya tidak mampu berlari secergas kecerdasan minda yang mencetuskan idea. Namun, penulisan masih mampu dilakarkan selari dengan cetusan minda yang digarap oleh peredaran zaman yang dilakar oleh gurindam seloka perjalanan politik semasa.

Apabila melihatkan keadaan politik negara yang semakin kucar-kacir saya membuat satu penilaian yang serius dan mula berbincang dengan kawan-kawan yang masih mampu menilai keadaan negara itu dengan fikiran yang waras dan idea yang bernas. Inilah golongan yang sudah lama merasakan sepak terajang dunia politik dan sudah banyak menabur bakti kepada nusa dan bangsa tanpa banyak publisiti dan gelaran bintang menjela. Inilah golongannya yang kerap menitiskan air mata di satu ketika dulu kerana kehilangan ahli keluarga yang mempertahankan negara dan inilah juga insan-insan kamil yang banyak mengeluarkan zakat daripada hasil kegigihan mengumpulkan harta pusaka dengan cara wang yang halal, dan bukan secara merompak harta rakyat marhaen. Daripada mereka saya dapat satu rumusan betapa negara ini sedang menjunam ke arah kemelesetan. Sempena komunikasi kita yang 'kali pertama' ini biarlah saya nukilkan hasil rumusan kumpulan intelek tua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini sebagai satu iktibar kepada generasi muda.

Negara yang Mengundang Huru-hara

Tidak ada satu negara pun di dunia ini seindah Malaysia, baik dari segi hasil buminya yang lumayan mahupun daripada komposisi rakyatnya yang majmuk dan yang mampu hidup harmonis setiap masa. Allah SWT telah menganugerahkan negara ini dengan segala kekayaan yang ada tersorok dalam bumi. Apa yang diperlukan ialah mengolah satu sistem menghasilkan kekayaan khazanah bangsa itu untuk dinikmati bersama. Sayangnya khazanah bangsa itu telah dinodai, diliwat dan diperkosa oleh satu kumpulan penyamun yang mampu mengawal minda rakyat negara ini untuk terus merompak di siang hari.

Pengawalan minda sumbang telah mampu memukau segolongan besar rakyat negara untuk terus mempercayai "bahawasanya, pemimpin agung UMNO yang bernama Mahathir bin Mohammad yang juga lebih dikenali sebagai Wira Dunia Ketiga adalah seorang pemimpin yang bertaraf wali, yang mampu memimpin rakyat Malaysia, terutama sekali orang Melayu menjadi satu bangsa yang besar di alaf baru." Demikianlah contoh ketaksuban rakyat negara ini terhadap seorang diktator tua sehinggakan ada yang sanggup berkorban apa sahaja untuk mengekalkan beliau di mercu singgahsana. Demikianlah satu ketaksuban disebabkan putar-belit minda yang disogokkan maklumat songsang. Apabila sogokan itu disalut pula dengan segala imbuhan berbentuk korupsi yang menghimpit dan menekan perjalanan hidup rakyat marhaen, tidak ada seorang pemimpin dalam UMNO yang mampu mengangkat muka untuk menentang si tua bedebah itu. Mereka sudah rata-rata terjebak ke alam kepalsuan yang sungguh mengaibkan.

Alangkah aibnya perkara ini sedangkan semua orang sedar bahawa negara ini dirundung malang kerana kepimpinan kerajaan yang sumbang dan bengap serta kecundang. Namun, Allah SWT masih sayang akan rakyat negara ini. Harga petroleum naik mendadak lebih dua kali daripada kadar harga yang digunakan sebagai harga rujukan perancangan negara. Malaysia terselamat daripada jurang kemuflisan bukan disebabkan kepandaian pemimpin negara memulihkan keadaan. Tetapi, siapakah yang mahu mengaku faktor ini? Dulu, George Soros ditempelak hebat sebagai penyangak mata wang yang jembalang, sedangkan para konspirator berbangsa Melayu dan Malaysia yang bersekongkol dengan George Soros itu tidak pernah disebut nama mereka. Bukankah mereka itu merupakan kumpulan yang menasihati Presiden UMNO bagaimana mengendalikan negara? Sejak bilakah orang mampu menceroboh rumah dan membuat ubah-suai dalam perumahan itu tanpa pengetahuan tuan pemilik rumah itu? Sejak bilakah bunga-bunga yang mekar di taman dapat disunting secara melambak tanpa diketahui oleh penjaga taman itu? Memang, rakyat menjadi terpukau kerana tipu daya seorang diktator tua.

Ketenatan ekonomi negara dilambakkan ke atas penyangak mata wang bernama George Soros. Tetapi, semua orang tahu, bagaimana negara ini hampir muflis kering-kontang kerana pemborosan pentadbiran negara. Segala bentuk 'isme' yang negatif telah dipraktikkan. Sehinggakan projek mengangkut sampah pun diberikan kepada ahli keluarga, apakah yang dapat diharapkan oleh rakyat jelata dalam hal perbelanjaan negara? Kalau setiap projek yang menguntungkan diberikan kepada kroni dan suku-sakat, sedangkan projek itu semuanya disabkan kepada kumpulan lain yang menggunakan tenaga imigran, apakah lagi yang dapat diharapkan oleh golongan marhaen baik dari aspek pekerjaan mahupun daripada aspek perbelanjaan hidup yang semakin menekan? Untuk memudahkan perjalanan syarikat kepunyaan kroni, semua bentuk perniagaan mahu mereka bolot dan semua tenaga kerja diberikan kepada pendatang asing, tidak kira mereka masuk secara halal ataupun haram. Bukankah industri tenaga manusia pendatang itu mencetuskan berjuta keuntungan kepada beberapa menteri seperti Megat Joned dan suku sakatnya? Impaknya, lihatlah di Chow Kit dan beberapa bandar besar di negara ini. Siapakah yang memonopoli ruang niaga di tempat yang satu ketika dulu diterokai oleh orang Melayu yang merupakan pengundi sah di negara ini? Salahkah pendatang asing itu kalau mereka berniaga tanpa lesen dan tanpa perlu diperiksa dulu oleh para doktor untuk mengesahkan kesihatan mereka? Siapakah yang membenarkan mereka menguasai ruang niaga itu kalau bukan petualang bangsa dan negara?

Untuk satu ketika, George Soros menjadi satu 'password' apabila ahli politik cuba menabur fitnah di seluruh negara. Mereka lupa bahawa kegiatan George Soros adalah satu kegiatan yang dipandang oleh seluruh dunia sebagai kegiatan perniagaan. Terpulanglah kepada kita rakyat Malaysia membenar ataupun menidakkan beliau bergiat dalam kegiatan bisnesnya itu di negara kita. Kalau dia diberi ruang disebabkan adanya rakan niaga yang bersekongkol dengannya, apakah George Soros yang mesti ditohmahkan. Apa jadi dengan rakan niaganya di Malaysia yang lebih dahsyat nafsunya daripada Soros itu? Kenapakah mereka ini tidak pernah disebut dan dihukum? Pembabitan George Soros telah melonjakkan pasaran BSKL ke mercu tinggi yang tidak munasabah. Harga saham syarikat perkapalan kepunyaan anak seorang perdana menteri naik melonjak mencecah RM18.00 sedangkan harga intrinsik sebenarnya tidak sampai satu ringgit setengah. Kenapakah perkara semacam ini dibiarkan oleh pengawal saham di BSKL ataupun di Bank Negara? Apabila saham merudum syarikat perkapalan itu jatuh muflis dan perlu dibantu oleh si bapa dengan menggunakan wang rakyat tanpa usul periksa dan perlu meminta keizinan rakyat terlebih dahulu. Kini syarikat perkapalan itu sudah dibeli dan diselamatkan oleh PETRONAS dengan harga yang ditetapkan oleh 'siapa'? Mirzan bin Mahathir masih disogokkan ke khalayak ramai sebagai pakar perkapalan Melayu tanpa tolok bandingannya, oleh bukan calang-calang orang melainkan seorang perdana menteri yang sudah lupa daratan.

Demikianlah liciknya Mahathir bermadah dan berbohong. Di waktu yang sama dia balun dan sungkit setiap khazanah yang ada di setiap agensi kerajaan yang mempunyai harta. Telekom, TNB, Tabung Haji, KWSP dan apa lagi telah dinodai untuk dia berbelanja besar. Kalau Mahathir dan Hasmah berpergian ke Afrika dan negara yang sedang membangun semua agensi kerajaan dimestikan mengeluarkan dana (secara bersilih ganti) untuk dihulurkan sebagai sumbangan ikhlas perdana menteri kepada institusi ternama di negara dunia ketiga itu. Kemudian, semua syarikat besar negara tidak kiralah samada mereka benar-benar untung ataupun tidak, diminta menghantar wakil untuk menemani Perdana Menteri Sanjungan Negara (he.he.he) untuk melengkapkan satu kumpulan protokol yang gah dan kaya raya. Apakah yang mereka lakukan selain tersenyum ke kiri dan kanan di setiap majlis yang diadakan atas tajaan mereka sendiri di negara luar itu? Mereka berlakon untuk berdiri megah di samping Wira Dunia Ketiga sambil melihatkan majlis-majlis yang berjurai panjangnya di mana beratus MOU (Memorandum of Understanding) ditandatangani. Daripada beribu MOU yang ditandatangani selama dua puluh tahun yang lalu di luar negara itu, berapakah agaknya yang menjadi kenyataan? Tak payahlah dicari jawapan kepada soalan itu kerana ia amat memedihkan hati kita.

Keceriaan para keparat bersekongkol dengan seorang diktator tua di luar negara sebenarnya merugikan negara kerana pada keseluruhannya mereka membawa lari wang ringgit daripada Malaysia yang dilaburkan oleh rakyat negara ini ke dalam syarikat yang disenaraikan di Pasaran Saham. Siapakah yang untung darinya kalau bukan para keparat itu? Cubalah buat kajian mendalam akan syarikat tersenarai yang melabur di luar negara dan carilah prestasi mereka. Terlalu banyak kerja-kerja sumbang yang mereka lakukan yang memerlukan lindungan istimewa daripada seorang diktator tua. Dengan lain perkataan, kebanyakan syarikat yang melabur di luar negara bertindak ganas dan bersikap kasar kepada para pekerja negara tamu sehinggakan mencetuskan masalah diplomatik. Sekumpulan syarikat yang muflis di luar negara itu memang tidak diwartakan dalam negara ini kerana akhbar perdana kita memang dikawal ketat dalam kegiatan pendedahan sedemikian. Alangkah gila semua itu kerana pelaburan yang dibuat di luar negara itu adalah bermotif memuaskan nafsu seorang perdana menteri yang ketagih publisiti murahan. Di waktu yang sama beliau amat takut untuk menghadirkan dirinya di mahkamah. Sebagai contohnya, bayangkan BERNAS disuruh melabur di negara orang, sedangkan negara ini masih lagi mengimpot beras daripada negara jiran. Pelaburan itu bukan sahaja merupakan satu risiko besar malahan kita cuba menandingi dua kuasa besar dalam industri menanam padi di Afrika. Untuk berdekad lamanya China dan Jepun telah melabur di Afrika dalam penanaman padi. Tetapi, kedua-dua kuasa besar ini mempunyai segala ilmu pengetahuan dalam industri itu malahan mampu mengeluarkan setiap jentera yang diperlukan. Bayangkanlah sendiri, di mana kedudukan kita dalam hal ini? Cuma kita tidak pernah terdengar akan kesulitan anak bangsa yang bertugas di luar sana kerana rintihan mereka itu tidak akan disiarkan oleh sesiapa.

Kerakusan Mahathir dan para jongosnya semakin menjadi-jadi sehinggakan negara hampir muflis. Sebenarnya semua itu ada iktibarnya. Kalaulah ekonomi negara tidak merudum, Mahathir mungkin sudah merencana jambatan terpanjang di dunia merentang Selat Melaka dan selepas itu mungkin dia mengarahkan agar orkid digantung di setiap batang letrik di sepanjang jambatan itu. Mungkin juga dia mengarahkan agar padi di tanam di bibir tebing jambatan yang dianggap terpanjang sekali di dunia. Semua itu serba mungkin, kerana demikianlah gelagat seorang diktator tua yang semakin samar kewarasannya. Kalau dia sanggup membina dua menara kembar dalam satu masa sedangkan menara itu kini tidak pun disewakan untuk mendapatkan pulangan modalnya, apakah lagi yang boleh diharapkan daripada kepala hotaknya? Selain menara kembar itu dia juga merestui pembinaan menara Kuala lumpur bagi tujuan komunikasi. Bukankah peralatan komunikasi itu boleh diletakkan di mercu salah satu menara yang kembar itu? Jika demikian, bukankah RM300 jua yang digunakan untuk membina menara Telekom itu dapat digunakan sebagai tabung dan dana pelajaran agar setiap anak bangsa mampu melanjutkan pelajaran dengan kadar yang rendah? Bukankah wang sebanyak itu dapat digunakan untuk melancarkan satu skim pemeliharaan lembu daging dan lembu susu di negara ini? Tidak, semua itu tidak perlu kerana Mahathir pernah berkata kita perlu menjadi satu negara industri yang kuat untuk mampu membeli hasil pertanian daripada negara jiran.

BILA KERBAU MENJADI LEMBU

Pemerintahan yang songsang mengikut nafsu nafsi segelintir pemimpin negara kini menjebak Malaysia ke kancah kumpulan negara yang banyak hutang. Kalaulah negara ini TIDAK diperintah oleh seorang yang sewel kita mampu menjadi sebuah negara yang terkaya kerana simpanan negara yang besar. Lihat sahaja kepada Taiwan. Negara ini dulunya adalah satu kepulauan yang berbatu di mana rakyatnya merupakan para imigran yang lari daripada pengaruh komunis. Kini, Taiwan adalah sebuah negara terkaya di rantau Pasifik, malahan lebih kaya daripada Jepun kerana hutangnya yang kosong. Selepas Taiwan muncul pula Singapura. Kedua-dua kepulauan ini tidak pun mempunyai hasil bumi yang besar dan lumayan. Tetapi mereka menjadi kaya kerana perencanaan negara yang jitu dan berwaspada. Untuk mengetahui kejayaan Taiwan kita perlu membuat kajian ke atas sejarah bangsa itu dan cara mereka menangani maklumat penting dunia sebelum IT menjadi gandingan abjad yang besar maknanya.

Soalnya sekarang, bagaimanakah Taiwan mampu menjadi satu negara yang disegani sedangkan tidak ada hasil buminya yang mampu menjadi bahan kekayaan negara? Sebagai bandingan, kenapakah Malaysia yang mempunyai khazanah bumi yang paling lumayan tidak mampu berdiri megah seperti Taiwan, sedangkan jumlah penduduknya hampir serupa sejak begitu lama lagi? Jawapannya terletak kepada ketelusan pemerintahan. Di Taiwan, para wakil rakyat sanggup bercakaran dan bertumbuk semata-mata mahukan kebenaran. Di Malaysia para wakil rakyat sanggup menjerit melolong seolah-olah mereka berlakon semata-mata. Sudah berpuluh wakil rakyat daripada pihak pembangkang yang ditahan di bawah ISA, mereka masih tidak mampu mencuit minda rakyat marhaen untuk bangkit memerangi Akta itu. Inilah gambaran betapa sedihnya keadaan kehidupan di negara ini. Inilah gambaran yang amat jelas kepada Mahathir bagaimana mudahnya beliau memulas telinga setiap rakyat yang cuba memeranginya.

Kita sudah merdeka selama 43 tahun. Sebagai sebuah negara yang mempunyai ladang kelapa sawit terbesar di dunia, sekaligus kita mampu menjadi pengeluar daging lembu dan susu lembu. Tetapi apa jadinya apabila kita masih lagi mengimpot daging lembu itu? Yang anihnya kenapakah daging lembu yang diimpot itu sebenarnya daging kerbau? Apabila kita membincangkan persoalan ini tentu kita terlintas bertanya siapakah menteri pertanian selama ini ? Bukankah yang amat menonjol seorang insan yang lebih berminat menanam orkid di tiang lampu dan menanam padi di atas bumbung? Apakah mampu insan yang bersifat Mat Jenin itu melancarkan program itu tanpa sokongan dan dorongan seorang perdana menteri yang sama sewelnya?

Kira-kira dua puluh tahun lalu, MARDI telah berjaya membuat kajian penggunaan daun kelapa sawit sebagai bahan makan yang murah untuk ternakan. Begitu juga dengan bahan buangan daripada prosesan minyak sawit. Kenapakah kita tidak mampu menternak lembu dan kerbau serta kambing? Jawapannya terletak kepada faedah menimbun harta melalui pengimpotan daging daripada India. Semua ini pernah saya tulis secara panjang lebar di internet dulu. Lembu dan kerbau yang sudah pupus usia kerana diperah susunya secara menggila dan dibiarkan berkeliaran di kota raya oleh bekas tuan punya. Kerajaan menariknya pula ke perkampungan orang yang beragama Islam untuk disembelih dan dimakan. Tetapi, kumpulan itu lebih senang menyembelihnya dan membiarkan syarikat seperti 'Husin Allana' mengekspotnya ke Indonesia dan Malaysia. Bayangkanlah sendiri, siapakah sebenarnya yang kaya raya dalam proses mengimpot daging 'binatang hukum tembak' daripada India itu? Kalaulah ada rakyat Malaysia yang merakamkan gambaran betapa hitamnya bangkai lembu yang tergantung di halaman rumah di India menantikan lori pengangkut untuk membawa bangkai itu ke rumah simpanan. Di sana bangkai itu dimasukkan ke dalam tangki air kapur untuk mematikan segala ulat dan telur langau yang menghurung bangkai lembu dan kerbau itu. Semua itu memang amat difahami oleh setiap insan yang menjadi ketua pengarah pertanian. Malahan menteri pertanian yang sebelum Affendi Norwawi amat sedar akan fenomena ini. Tetapi, mereka mampu tersenyum sengeh sahaja dan tidak mahu melakukan sesuatu yang besar untuk merencana agar negara tidak perlu membawa masuk daging impot lagi.

Satu ketika dulu Perdana Menteri dikatakan terjatuh menunggang kuda di Argentina. Di sana beliau dikatakan mempunyai kawasan pertanian yang luas. Kenapakah beliau tidak mahu laksanakan penternakan lembu secara besar-besaran di negara ini?

PEMERINTAHAN CACAMARBA

Kini, rakyat semakin sedar betapa negara ini telah diperintah oleh seorang diktator secara nafsu-nafsinya seolah-olah khazanah negara itu kepunyaan bapaknya. Dia tidak pernah melakarkan satu agenda pembangunan negara berpaksikan kepentingan rakyat. Cuma kepentingan para kroni dan suku-sakat. Di waktu yang sama Mahathir menghentam hampir semua kuasa besar untuk berlagak sakan seolah-olah hanya beliau sahaja pemimpin dunia ketiga yang mampu mempersendakan pemimpin kuasa besar itu. Sebenarnya itu semua satu lakonan yang direncana begitu rapi sekali. Mahathir bersandiwara untuk mengutuk kuasa besar sebagai alat untuk memukau orang Melayu dan rakyat Malaysia. Sebenarnya beliau merupakan manusia yang sehabis pengecut di dalam negara ini. Untuk terus mengekalkan kuasanya dia harus terus bersandiwara dan mengharapkan ihsan sokongan para jongos yang tidak kurang sewel dan kegilaannya daripada sifat yang ada pada beliau itu.

Mahathir mampu bertahan lama dan menonjolkan satu imej ketahanan untuk berkuasa setelah berjaya bersekongkol dengan satu kumpulan pemikir dan pelaksana pentadbiran negara yang amat rakus dan jahat. Dengan bertopengkan pentadbiran berdemokrasi beliau telah berjaya mengindividukan hampir semua institusi kerajaan. Badan kehakiman menjadi korup kerana ketua Hakim Negara dan Attorney General adalah manusia yang korup. Yang tinggal untuk diindividukan ialah Angkatan Tentera Malaysia. Kerana itu dia telah merencana Sauk untuk menonjolkan seorang jeneral yang mempunyai rekod yang tidak bersih dalam perkhidmatannya. Kita tidak hairan kalau Mahathir berjaya melaksanakan satu rencana agar Yang Di Pertuan Agong tidak lagi berkuasa ke atas angkatan tentera kita. Semua itu serba mungkin bagi Mahathir.

Keupayaan Mahathir memerintah mengikut seleranya adalah disebabkan beberapa faktor. Yang pertama, disebabkan para wakil rakyat tidak menghayati sumpah janji mereka selepas memenangi kerusi parlimen ataupun ADUN yang mereka tandingi. Mereka seolah-olah lupa bahawa sebagai wakil rakyat mereka sepatutnya mewakili rakyat dan bukannya Mahathir. Budaya kelupaan itu nampaknya semakin menular kepada wakil rakyat yang berada di parti pembangkang. Sepatutnya wakil rakyat parti pembangkang mampu meniru gelagat wakil rakyat di Taiwan. Mereka bercakaran di parlimen untuk menarik minat rakyat agar parti yang memerintah tidak 'bermahathirkutty'.

Kedua: Rakyat terlalu taksub dengan keadaan negara yang aman damai sehinggakan minda mereka mudah dikawal oleh Mahathir. Tetapi, kalau rakyat keluar beramai-ramai berdemonstrasi secara aman di setiap bandar di seluruh negara, tentu sekali pihak polis pada keseluruhannya akan menyebelahi mereka. Demonstrasi yang tertumpu hanya pada satu tempat di Kuala Lumpur mudah dipatahkan oleh polis di atas arahan terus seorang perdana menteri ataupun proksinya. Cuba lakukan seperti yang dilakukan secara aman di negara maju, Mahathir sudah lama cabut lari ke Argentina ataupun ke mana sahaja di Afrika. Dia memang sudah bersedia dengan tempat melarikan dirinya itu.

Ketiga: Allah telah menunjukkan pelbagai isyarat agar rakyat bangkit memerangi Mahathir. Tetapi isyarat itu masih tidak difahami. Kegagalan ini membolehkan Mahathir mengawal minda rakyat sehinggakan rakyat sudah menjadi semacam satu jenis robot yang mampu angguk bila Mahathir mahu dan geleng kepala bila Mahathir menggelengnya dulu. Contoh yang paling baik ialah dalam episod Sauk. Segala tindakan polis adalah berasaskan arahan khas daripada Mahathir. Semua tindakan itu membelakangkan hasrat kaum keluarga Al Ma'unah yang sedang ditahan itu. Kenapakah kaum keluarga Al Ma'unah tidak dibenarkan berjumpa mereka sedangkan mereka pun amat perihatin dengan keselamatan negara? Kenapakah mereka tidak dibenarkan bersua muka dengan orang yang ditahan itu?

Keempat: Ramai di kalangan wakil rakyat merupakan keturunan bekas wakil rakyat juga. Inilah taktik Mahathir, memberi ruang kepada anak dan cucu wakil rakyat UMNO yang sudah mati ataupun bersara. Isa Samad, Fadil Che Wan, Hisyamuddin Husin, Najib Tun Razsak, Paklah, Nazri Aziz, Tajol Rosli dan banyak lagi yang eloklah tidak disebutkan nama mereka di sini. Membazirkan ruang kertas semata-mata. Apakah semua insan yang begitu istimewa itu bijak dan pandai serta terunggul jika dibandingkan dengan insan yang tidak mempunyai sejarah keluarga menjadi wakil rakyat sebelum mereka? Disebabkan mereka naik memimpin rakyat berdasarkan rekod warisan yang tidak pernah direstui oleh rakyat, apakah sebenarnya kelakuan dan prestasi mereka? Orang putih kata dengan satu perkataan sahaja 'MEDIOCRE". Inilah golongan yang tidak bermaya menjadi pemimpin. Sebagai contoh cuba lihat apa yang dilakukan oleh Nazri Aziz. Bayangkan kuasa yang ada di tangannya. Tetapi apakah idea bernas yang pernah keluar daripada kepala otaknya? Dia lebih mementingkan perkara remeh temeh seperti jangan memasang logo parti di kenderaan awam dan sebagainya. Pernahkah dia membuat kajian kenapa orang Melayu di luar bandar jauh lebih miskin daripada kaum China di luar bandar? Pernahkah dia usahakan satu kajian bagaimana orang China di Perak mampu mengeluarkan pakaian berjenama tanpa ada satu kilang pun di Kamunting, Kuala Kangsar, Ipoh dan Lumut? Kelemahan Nazri memimpin (jangan lupa beliau pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO satu ketika dulu) melambangkan betapa pincangnya golongan pelapis pemimpin Melayu dalam UMNO. Akan tetapi, itulah gambaran sebenar pemimpin muda Melayu yang dilahirkan oleh pemimpin UMNO lama. Mereka sebenarnya bukan sahaja lupa daratan, malahan tidak sedar lagi di mana daratan kehidupan orang melayu itu. Kalau orang seperti Nazri Aziz boleh berlagak seperti itu bagaimana pula manusia lain seperti Kaki Gedebe Ibrahim bin Kakigedebe Ali?

Kelima dan amat penting: Majlis raja-raja gagal memainkan peranan mereka. Sepatutnya majlis raja-raja mampu menggembeling tenaga professional di kalangan rakyat untuk memberikan nasihat yang 'neutral' dan tidak berbelah bagi. Tetapi, mereka gagal segagalnya. Rakyat sudah tentu tidak akan melupakan kedayusan mereka.

Bukankah pelik, sejak Mahathir memerintah negara; semua kumpulan ajaran sesat datangnya daripada kumpulan yang dianggotai oleh orang Melayu? Apakah orang China dan India tidak mempunyai kumpulan yang menyesati ajaran agama mereka? Jika tidak, bagaimanakah semakin bercambahnya bangunan gereja dan pelbagai mazhab agama Kristian di negara ini? Bagaimana pula dengan semakin ramainya muda-mudi Cina yang ketagih dadah dan pil ecstasy? Bagaimana pula semakin ramai anak India yang mahu meniru gaya Bentung Kali?

Dengan menuduh sesuatu kumpulan agama Islam itu sesat, Mahathir sebenarnya memperlekehkan agama Islam. Di waktu yang sama kita dapat lihat betapa kawan baik Mahathir yang bernama Dr. Kassim Ahmad pernah berdakwah betapa bersolat itu adalah satu adat sahaja. Kenapakah Kassim Ahmad tidak ditangkap dan dipenjarakan? Bukankah fatwa Kassim itu menyesatkan? Cuba bandingkan fatwa Kassim Ahmad dengan ajaran yang dibuat oleh Ustaz Shamsuri Haji Ahmad yang baru ditahan atas tiket ISA. Apakah ini yang dikatakan pemerintahan berdemokrasi?

Nampak jelas kini, Mahathir melakukan apa sahaja yang dikehendakinya sesuka hati. Dia sudah tidak takut kepada azab sengsara yang dijanjikan oleh Allah. Di Malaysia ini, Mahathir sudah memerintah laksana seorang dewata yang banyak tangan. Kerana itu dia fikir kuasa yang serupa akan menemaninya apabila mati kelak. Kalau dia akur dengan pendapat bahawa bersolat itu adalah satu adat, apakah kita fikir beliau akur kepada ajaran betapa adanya alam baqa?

-Marhaintua-
2.8.00


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com