Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

KALAU TAK LARAT BERSILAT ELOK LAGI BERSILA (BAB 3)

BILA GONG MENANTI KECAPI?

Pencalonan Tengku Razaleigh untuk menandingi Mahathir bagi jawatan Presiden UMNO masih terkonteng-konteng lagi. Usaha berani Datuk Hashim Safin masih belum lagi disokong oleh mana-mana bahagian yang selesai bersidang semalam. Sementara itu Mahathir terus melonjak naik apabila menerima banyak pencalonan lagi. Apakah ini yang dikatakan kuasa itu ada di tangan rakyat? Jika benar, kenapakah orang Melayu dalam UMNO sanggup melanggar perlembagaan parti yang mengatakan mereka punya hak untuk memilih sesiapa saja yang mereka suka untuk menjadi presiden?

Fenomena Kura-Kura Dengan Kelongsongnya

Nampak sangat, ahli perwakilan bahagian UMNO sudah memasukki satu tahap pemikiran yang diiktiraf sebagai fenomena kura-kura dengan kelongsongnya. Seekor kura-kura yang lembab berjalan tertunduk-tunduk akan mudah masuk dalam kelongsong kulitnya dan mengambil pendirian mematikan dirinya. Sikap mematikan diri itu sebenarnya adalah tafsiran orang luar yang melihatkan kelongsong kura-kura yang terbujur dan mudah digolek-golek sahaja. Si empunya kelongsong itu hanya mendiamkan dirinya dan mengharapkan kelongsongnya itu tidak diangkat orang untuk dilapah ataupun direbus. Tentulah tamat riwayatnya kalau perkara itu dilakukan.

Demikianlah halnya dengan majoriti ahli perwakilan yang bersidang selama dua hari yang lalu. Ketidak-upayaan mereka untuk memberi ruang kepada Tengku Razaleigh menandingi Mahathir ataupun sesiapa saja untuk menandingi Paklah menunjukkan betapa mereka sudah terjebak kepada fenomena kura-kura itu tadi. Mereka sanggup mematikan diri mereka daripada bertindak tegas dan menyokong UMNO Bahagian Tanah Merah, untuk mencalonkan Ku Leigh. Setidak-tidaknya gong yang dipalu oleh Tanah Merah itu disambut oleh petikan kecapi daripada bahagian UMNO yang lain. Barulah meriah pertandingan presiden itu nanti.

Alangkah peliknya dunia politik Melayu masakini. Orang UMNO sudah begitu taksub kepada kepimpinan Mahathir sehinggakan tidak ramai para perwakilan yang berani berdepan dengan kenyataan. Di sana sini kita terbaca banyak penulisan yang meminta orang UMNO bangkit daripada khayalan mereka dan mengikut ajaran Islam yang menegakkan kebenaran dan keadilan. Apakah dengan terus membodek Mahathir dan Paklah bererti mereka menjamin keadilan itu?

Antara Spekulasi dan Provokasi

Ramai penganalis politik berfikiran bahawa sudah ada satu macam ugutan yang dibuat kepada para perwakilan agar terus mencalonkan Mahathir dan mengenepikan Ku Leigh. Malahan, ada beberapa penulisan yang memburukkan Ku Leigh sebagai petualang yang bertanggungjawab memecah-belahkan orang Melayu dalam UMNO. Orang yang mencanangkan perkara ini sudah tentu mempunyai saham yang besar untuk menentukan Mahathir terus berkuasa. Mereka tidak mengambil kita betapa Mahathir merupakan orang Melayu pertama dalam UMNO yang membawa sindrom pecah belah dalam parti. Mahathir melakukan taktik itu ketika memberikan sokongannya kepada Musa Hitam dalam pertarungannya menentang Tengku Razaleigh satu ketika dulu. Kalaulah Mahathir tidak memihak kepada Musa Hitam, sudah tentu, sejarah kepimpinan UMNO sudah berubah lama dulu lagi.

Mahathir memang mudah menuduh orang sebagai pemecah perpaduan parti. Tetapi apakah orang Melayu mudah lupa bagaimana Mahathir turut menyebelahi Anwar Ibrahim akhirnya dalam pertarungan di antara Anwar dengan Ghafar Baba? Kini, kita dapat melihat usaha yang gigih dilakukan oleh hampir semua Menteri Besar dan Ketua Menteri Sabah agar ahli UMNO tidak memihak kepada Tengku Razaleigh dalam pertarungan jawatan Presiden parti dan juga kepada sesiapa yang mahu menandingi Paklah bagi jawatan Timbalan Presiden Parti. Apakah ini yang dinamakan demokrasi dan kenapakah Paklah tidak boleh ditandingi sedangkan Jawatan Timbalan Presiden itu adalah satu jawatan yang dikosongkan oleh Anwar Ibrahim.

- Kekeliruan Yang Berpanjangan

Orang UMNO nampaknya sudah semakin keliru dengan fakta dan kenyataan. Mereka sudah dipesongkan kepada peranan Mahathir sebenarnya dalam parti UMNO. Mereka keliru dengan tugas Mahathir sebagai presiden UMNO dan tugasnya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Kekeliruan ini timbul kerana Mahathir sudah mencampur-adukkan kedua-dua tugas itu. Malahan banyak tugas Mahathir sebagai presiden UMNO menggunakan wang rakyat yang diperuntukkan kepadanya sebagai seorang perdana menteri.

Mahathir sudah menjadi Perdana Menteri sejak 19 tahun yang lalu. Ini merupakan satu masa yang panjang sehinggakan beliau sendiri mungkin keliru yang mana satu tugasnya sebagai perdana menteri dan yang mana satu sebagai presiden UMNO. Disebabkan kekeliruan inilah juga yang membuatkan beliau menjadi seorang diktator kerana beliau juga keliru di antara hak negara dan hak persendiriannya. Oleh kerana lamanya beliau berkuasa itu menyebabkan rakyat juga keliru dengan peranan mereka untuk menentukan agar Malaysia menjadi sebuah negara yang kuat berdasarkan kekuatannya yang tersendiri dan bukan berdasarkan apa yang dikatakan oleh Mahathir.

Kita tidak akan nafikan bahawa Mahathir telah banyak membawa pembaharuan dalam kemajuan negara ini. Tetapi, kita jangan sekali-kali lupa dan cuba nafikan bahawa kerja-kerja pembangunan sebuah negara yang memang kaya adalah satu tugas orang yang diberikan amanah untuk memimpin kita. Hak dia memimpin negara ini tidak mengizinkan beliau dan konconya membalun khazanah negara dan memilik-dirikan harta bangsa yang diamanahkan itu. Hak kita yang dipimpin tidak mengizinkan kita berpeluk tubuh dan akur dengan segala rencana negara ini dimajukan. Apakah ertinya menara Petronas kalau hingga hari ini wang yang digunakan itu menjadi satu persoalan besar bagi kita?

Kita diajar untuk berbangga dengan Menara Kembar Petronas sedangkan kita tahu menara itu bukannya menara kembar. Ada tiga menara di situ walaupun yang satu itu hanya setengah sahaja tingginya dibandingkan dengan dua yang kembar itu. Kita akur dengan apa saja yang disogokkan kepada kita kerana kita terlalu taksub dan hormat kepada pemimpin kita. Inilah budaya orang Asia dan juga orang Melayu. Tetapi, di waktu yang sama kita mudah mengumpat di belakang dan mencaci dan membenci para pemimpin kita.

Oleh kerana kita terlalu taksub dengan keunikan serta kecantikan Menara Petronas, kita lupa akan keadaan anak dan cucu kita yang sekolah petang dan pulang di waktu malam. Bayangkanlah di waktu musim hujan di Kuala Lumpur. Ada anak sekolah yang pulang ke rumah hanya selepas sembilan malam. Satu ketika dulu, keluarga makan malam sebelum pukul lapan. Yakni selepas maghrib dan sebelum Warta Perdana disiarkan. Kini, waktu makan malam adalah selepas jam sembilan, kerana menunggukan anak dan cucu pulang daripada sekolah. Apabila keadaan ini berlaku, barulah ramai orang kita mempersoalkan kepintaran membina menara Petronas kerana memikirkan alangkah baik kalau wang sebanyak itu digunakan membina sekolah agar anak-anak bersekolah satu sessi sahaja.

Apabila kesedaran ini muncul di hati barulah orang UMNO terbayangkan menara Petronas dan terbayangkan pula bentuk 'H' yang dikatakan lambang nama Hasmah. Barulah orang Melayu marah. Namun, mereka masih tidak sedar bahawa kemegahan Petronas itu adalah bermenara tiga dan bukannya bermenara kembar. Di waktu yang sama belum pula terlintas akan menara KL Tower yang meletakkan kelengkapan Telekomunikasi negara. Kalau tujuan membina KL Tower itu adalah untuk tujuan telekomunikasi kenapa tidak diperuntukkan saja salah satu menara Petronas untuk tujuan itu? Bukankah elok kalau tiga ratus juta yang digunakan untuk membina KL Tower itu digunakan untuk membina sekolah di seluruh negara agar anak-anak pergi hanya di pagi hari?

Kita percaya buat masa ini masih ramai ibu bapa yang belum sedar akan kepincangan kepimpinan Mahathir ini. Mungkin satu hari nanti apabila ada satu kemalangan besar yang menimpa anak-anak yang bersekolah petang hari, barulah diungkit akan kepincangan kerajaan Mahathir melupakan perkara ini. Barulah diungkit akan kerakusan Mahathir dalam pembinaan menara tinggi-tinggi sedangkan wang sebanyak itu sudah cukup untuk menyediakan sekolah bagi satu sessi sahaja di seluruh negara. Malahan, kalau wang yang ada itu tidak dihamburkan bagi projek bangunan mega, rakyat Malaysia mampu belajar tanpa meminjam di mana-mana. Anak-anak dan cucu kita mampu menerima pelajaran percuma seperti anak-anak di Brunei.

- Kepimpinan Pemuda Yang Sama Melatah

Pada satu ketika dulu kalau orang Melayu tidak berapa senang dengan tindak-tanduk kepimpinan UMNO, pergerakan Pemuda adalah merupakan pentas untuk melahirkan kerisauan itu. Tetapi, kini perkara itu tidak boleh berlaku lagi. Pergerakan Pemuda di zaman Mahathir sudah merupakan satu pergerakan 'rubber stamp' sahaja. Apa yang Mahathir kata, perlu diulang sahaja oleh Ketua Pemuda. Malahan kita lihat Pemuda UMNO sudah menjadi satu tep rekorder secara express. Berdetik sahaja Mahathir dalam satu isu, dalam satu masa yang cukup cepat, pemuda akan bersuara dengan nada yang sama.

Saya pernah menulis dan mengkritik Pergerakan Pemuda UMNO di bawah tajuk "Rentak Juang Yang Hilang". Di bawah tajuk 'Kenapa Pemuda UMNO Pincang' saya ada menulis:

....``Pergerakan pemuda UMNO sebenarnya merupakan satu sambungan kepimpinan yang mahukan kuasa. Sepatutnya kepimpinan pemuda itu tidak patut dipegang oleh mereka yang berumur lebih daripada 35 tahu. Dalam ilmu demography sesuatu generasi itu dikira antara 30 hingga 35 tahun. Kenapakah pula keahlian pemuda UMNO dibuka sehingga 50 tahun dan tidak kurang daripada itu? Falsafah pergerakan pemuda ialah untuk menyediakan satu barisan pemimpin pelapis. Tetapi pelapis apakah yang mahu disediakan kalau seorang Ketua Menteri Melaka menjadi pemimpin pemuda dan kalau seorang menteri kabinet menjadi ketua pemuda? Selagi konsep umur itu tidak diubah, pergerakan pemuda itu akan merupakan sarang di mana komplot dierencana. Di situlah segala strategi untuk menguasai parti dilakar dan satu pergerakan persis pergerakan 'bawah tanah' untuk memberikan sokongan padu kepada si anu dan untuk menumbangkan si anu pula.

"Keupayaan seseorang memegang tampuk kuasa dalam pergerakan pemuda bererti dia berupaya mengumpulkan tenaga dan sokongan padu daripada beberapa kumpulan dalam pergerakan itu untuk menaikkan dirinya ataupun para kroni. Malahan, seorang pemimpin pemuda mampu menjadi seorang 'power broker' politik yang berkesan, berdasarkan pengaruhnya dalam pergerakan pemuda. Dalam hal ini kita dapat lihat, sesiapa sahaja yang mempunyai banyak wang dan menjadi ketua pemuda UMNO berjaya menjadi seorang 'power-broker' yang berkesan. Dengan lain perkataan, politik wang amat hangat berkisar dalam pergerakan pemuda, malahan lebih hangat kalau dibandingkan di antara tiga cabang pergerakan parti itu. Beberapa episod yang sudah berlaku ketika Rahim Tamby Chik menjadi ketua pemuda hinggalah ketika Zaid Hamidi menggantikannya memperkuatkan teori itu.".....

Saya menulis artikel di atas kira-kira 45 hari yang lalu. Kini, terserlah sudah akan kejituan penelitian itu. Kita lihat pemuda UMNO sudah kehilangan taringnya. Ia menjadi satu pergerakan yang boleh ditarik sahaja ke mana ketua agung mahukannya. Perkara ini berlaku kerana kita diberitahu masih ramai pemimpin pelapis dalam pergerakan itu sanggup berbelanja besar untuk menentukan mereka berada di tampuk kuasa yang sedia ada. Dengan lain perkataan, ada segelintir pemimpin di bawah Hishamuddin Hussein Onn yang berbelanja besar dalam kiraan juta semata-mata mahu menentukan status quo sahaja. Ini bererti pemimpin semacam itu sudah bersedia untuk mencabar Hisham pada bila-bila masa saja pada satu hari nanti. Apakah benar budaya wang tidak ada dalam Pemuda UMNO???

- Pergerakan Pemuda UMNO Yang Akan Terus Pincang

Pergerakan Pemuda UMNO dijangka akan terus pincang kerana semangat perjuangan pemuda itu sudah hilang. Inilah fenomena satu pergerakan yang dipimpin oleh anak ataupun warisan pejuang. Semangat perjuangan itu sebenarnya tidak ada padanya. Hanya persepsi masyarakat terhadap nama besar di belakang keluarganya dulu yang menayangkan semangat juang itu. Disebabkan kepincangan Pemuda UMNO itu, kita lihat martabat dan 'kedaulatan' UMNO menjadi compang-camping dan perjuangannya pula tidak keruan. Semata-mata mengikut haluan yang ditentukan oleh kepimpinan yang korup dan sudah jauh menyimpang dari matlamat perjuangan. Saya pernah menulis tentang pergerakan Pemuda UMNO yang leka seperti ini:

...``Kalau kita lihat perjuangan pemuda, tentu sekali kita dapat bayangkan permainan dan tarian kuda kepang. Penunggang kuda kepang itu akan beratur dan menari mengikut rentak yang dipacu oleh ketua pergerakannya. Mereka akan menari mengikut rentak gendang yang dipalu beputar-putar dari satu hala ke satu hala yang lain. Jarang sekali mereka bergerak jauh dari posisi yang mereka ambil sejak tarian itu bermula. Gendang yang terus berpalu, bertalu-talu dan sambut-menyambut, menggerakkan rentak yang perlu diikut oleh setiap pemain itu sehinggalah mereka menjadi taksub dan terikut-ikut akan rentak itu secara robot. Ketaksuban yang memuncak disebabkan rentak yang berdengung tanpa henti boleh menerjah perasaan sehingga mengasyikkan. Di kala inilah si penari itu mampu dirasuk satu semangat yang membolehkannya melompat tinggi laksana seekor kuda sedangkan pergerakan itu adalah di luar kuasa insaninya. ......"

Lihatlah sendiri, wahai ahli UMNO sekelian!! Bukankah itu yang berlaku dengan pemuda UMNO masakini?

Akan Tergugatkah Masa Depan Tengku Razaleigh?

Jikalau dilihat akan jumlah pencalonan Mahathir sekarang ini memanglah Ku Leigh berada dalam satu dilemma. Mahathir sudah jauh di depan. Begitu juga dengan kedudukan Paklah yang jauh ke depan berbanding Ku Leigh. Tetapi apakah kita mahu percaya dengan angka saja. Apakah semudah itu semangat orang Melayu berpolitik? Jikalau kita percaya dengan angka pencalonan yang sedia ada, kenapakah semakin melambak cerita negatif terhadap Tengku Razaleigh. Siapakah yang menulisnya dan siapakah yang menjadi dalang dalam penulisan itu?

Memang amat mudah membuat analisa politik kalau penulisan itu diupah oleh orang yang berkepentingan. Sampai bilakah penulis semacam itu mahu menyambung karier fitnah- memfitnahnya dan ke manakah nanti wang sogokan itu dihamburkan kalau tidak untuk menyuap mulut anak dan isteri?

Tengku Razaleigh harus bangga dengan pencapaian yang ada setakat ini dan harus terus berdoa untuk mendapatkan pedoman dalam perjuangan politiknya. Memang Ku Leigh berhak menandingi Mahathir dan tidak kurang dari itu. Jangan dengarkan hasutan orang upahan yang mengatakan Ku Leigh adalah melukut di tepi gantang. Ku Leigh membawa masuk beratus ribu pengikut daripada Semangat 46 kerana sayangkan perpaduan orang Melayu. Sama ada ini satu kesilapan, adalah satu cerita lain. Yang nyata, Ku Leigh masuk kerana berkeyakinan untuk satu hari nanti menjadi pemimpin UMNO. Inilah satu kenyataan yang difahami oleh ramai pengikutnya dulu. Oleh itu Ku Leigh usah berdolak-dalik lagi. InsyaAllah esok lusa akan ada pencalonan tambahan untuk Ku Leigh.

Apa Yang Akan Terjadi?

Sebagaimana yang pernah saya tulis kelmarin, pencalonan yang melambak datang kepada Mahathir akan meletakkannya dalam satu dilemma. Dia tidak boleh bercakap menyindir Tengku Razaleigh lagi kerana 'overkill' akan merosakkan imejnya. Seperti juga yang saya tulis sejak dua tahun yang lalu Mahathir harus sedar rakyat dan orang Melayu dalam UMNO mula jijik kepada perjuangan UMNO bukan disebabkan mereka bencikan UMNO. Mereka benci dan meluat kepada Mahathir dan keangkuhan beliau, sebenarnya.

Malangnya, perasaan sebilangan besar orang Melayu itu tidak dapat dikesan dan dirasai oleh Ketua Pemuda UMNO dan 'kabinetnya'. Seperti juga Mahathir, Pemuda UMNO sudah hilang arah. Pemuda UMNO amat takut kepada Mahathir seolah-olah beliau akan memerintah negara ini sehingga akhir alaf 2000. Para pemimpin Pemuda UMNO masakini, amat taksub dan takutkan Mahathir kerana mereka takut kehilangan kuasa dan kekayaan. Mereka tidak terfikir kuasa Allah. Kalaulah mereka sanggup menyebelahi rakyat yang mahukan Mahathir undur secara hormat, UMNO boleh menjadi lebih kuat. Mereka lupa bahawa usia muda yang ada pada mereka boleh menandingi kuasa hipokrit dan tempoh luput seorang diktator tua. MAHATHIR sedang dirundung malang. Dia akan menghadapi pengundi Sanggang dan terpaksa berucap beberapa kali untuk meyakinkan mereka. Apakah beliau akan melupakan episod yang dihadapinya sekarang ini di mana Tengku Razaleigh sedang bersedia menerkam tengkuknya. Apakah sudah ada satu strategi membuatkan Razaleigh menarik diri? Apakah pula pampasannya kali ini? Semua ini sedang dinantikan oleh ahli UMNO dan juga rakyat jelata.

Mahathir nampak kuat kerana Pemuda UMNO dan Pergerakan Wanita UMNO terlalu lemah. Inilah strategi politik Mahathir yang paling berkesan sekali. Tetapi, Mahathir harus tidak lupa, kepimpinan Pemuda UMNO lemah kerana Ketua Pemuda UMNO itu yang lemah. Pergerakan Pemuda UMNO secara keseluruhannya tidak lemah dan masih bertenaga untuk menyanggah Mahathir akhirnya. Tenaga yang ada pada ketua bahagian Pemuda UMNO akan menyerlahkan kekuatan yang terpendam itu. Inilah kekuatan yang tidak dapat diukur oleh Ketua Pemuda UMNO dan juga perisikan yang menasihati pucuk pimpinan UMNO.

Pergerakan Wanita UMNO kelihatan lemah kerana kebanyakan ahli wanita sudah malas dan rimas dengan episod Rafidah mahu berkuasa kembali. Kerana itu kita lihat semacam ada satu kuasa berantakan yang sengaja dibiarkan. Inilah fahaman golongan hawa yang rela menyaksikan sesuatu perkara jijik itu berlarutan dulu sebelum bertindak. Sifat sesetengah orang perempuan bersabar memang semacam itu. Sekali lagi Mahathir akan tertipu dengan keadaan itu.

Tetapi, apa juga dilemma yang dihadapinya kini, Mahathir amat curiga berdepan dengan orang Sanggang. Kali ini beliau terpaksa berdepan orang Sanggang yang diapi-apikan oleh parti lawan. Sudah tercetus berita betapa penduduk yang lama menanti geran tanah sejak 30 tahun yang lalu menuntut hak mereka. Apakah perkara semacam ini tidak akan diturut oleh penduduk lain yang daif dan amat terdesak hidup mereka. Kalau orang Sanggang berjaya dengan permintaan terhadap yang hak itu apakah orang lain yang sama dilemmanya tidak akan ke depan menuntut hak mereka?

Mahathir tidak akan berani menyerahkan kempen politik Sanggang hanya kepada Paklah ataupun Khalil Yaakob. Dia terpaksa mengajak Tengku Razaleigh sama ke Sanggang. Kalau Tengku Razaleigh disisihkan dalam kempen politik di Sanggang rakyat terutama sekali orang Melayu akan bertanya: "kenapa"?

Di waktu yang sama orang Sanggang sudah mula bertanya apakah betul desas-desus Khalil Yaakob akan digantikan oleh Megat Junid sebagai Setiausaha UMNO yang baru? Soalan seperti ini sudah dimainkan oleh pihak pembangkang. Kalau Megat Junid dinaikkan sebagai Setiausaha UMNO dan Rafidah Aziz disokong untuk menerajui pergerakan Wanita apakah lagi yang ada pada orang Pahang dalam UMNO? Apakah itu sebabnya Najib Tun Razak menerima pencalonan yang tinggi bagi jawatan Naib Presiden setakat ini? Inikah sebahagian konspirasi baru?

Soalan seperti di atas adalah beberapa cebis masalah yang perlu ditangani oleh Mahathir dengan bijak. Inilah juga soalan yang perlu difikirkan oleh Tengku Razaleigh. Pada waktu ini Ku Leigh memang kurang menerima pencalonan. Tetapi, kalau Mahathir melatah di Sanggang, Ku Leigh akan dikejutkan oleh beberapa pencalonan yang akhirnya menjadi pencorak sejarah UMNO di alaf baru ini. Inilah petikan kecapi yang dinantikan oleh pemukul gong sebelum pukulan gendang perang dimulakan pula.

Marhaintua@Hotmail.com
13 Mac 2000



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com