Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

BAB 4 - SELAGI KECAPI BERTALI SATU

Kadangkala dalam politik, kita mudah jadi keliru dengan pelbagai berita yang didengar, dikirim, ditulis ataupun dihantar kepada kita. Cara Penghantaran berita itu dibuat pun mungkin membuatkan kita mudah termenung sekali-sekala. Tetapi, tentunya berita yang paling sensasi sekarang ini ialah bisik-bisik daripada paling atas mengenai nama-nama tertentu yang perlu diberikan perhatian untuk dicalonkan ke sesuatu tahap jawatan dalam parti. Inilah bisik-bisik UMNO yang menjadi bahan-bual di kedai kopi, di masjid dan surau dan juga di alam siber.

Apabila bisik-bisik politik itu bertukar menjadi arahan yang tidak bertulis impaknya tentu merupakan sesuatu yang menjijikkan ahli parti yang mahukan ketelusan dalam kepimpinan. Akan tetapi, sejak bila UMNO mempertontonkan ketulusan dalam kepimpinannya? Yang pasti, tidak di zaman UMNO dipimpin oleh seorang diktator yang tidak sedar betapa kepimpinannya itu sungguh memualkan segolongan besar ahli parti dan juga majoriti rakyat di negara ini.

- Mulanya Berniaga, Akhirnya Menjajah

Saya amat tertarik dengan tajuk di atas yang saya petik daripada Utusan Meloya bertarikh yang sama. Tajuk ini telah ditulis oleh Tan Sri Samad Idris. Saya merasa terpanggil membuat sedikit komen atas penulisan yang menarik itu kerana (1) Utusan Meloya diboikot secara total oleh sebilangan besar rakyat Malaysia; (2) Tan Sri Samad Idris (TSSI) merupakan seorang pejuang kemerdekaan seperti yang dikatakannya begini:

....``Walaupun kesedaran sudah berputik sejak generasi saya berjuang bermati-matian menuntut kemerdekaan dulu untuk melepaskan diri daripada cengkaman penjajah, tetapi perlulah ia dipupuk dan dibaja oleh generasi sekarang supaya terus subur laksana pohon. Perdunya dijaga pelihara buahnya dinikmati bersama.

``Generasi kita itu bukan sahaja tidak sedar dengan halusnya jarum penjajah untuk menakluki negara dan memonopoli ekonomi, malah mereka memuji-muji betapa adilnya penjajah, bertimbang rasa dan memberikan bantuan tidak terperi nilainya bagi membangunkan negara. Tetapi jangan lupa dengan polisi penjajah itulah identiti negara kita hampir tenggelam.

``Apabila negeri ini dibuka luas, mereka membawa masuk buruh-buruh asing bagi mengusahakan sektor perladangan dan perlombongan."

Demikianlah antara hujah TSSI itu. Memang banyak fakta sejarah yang telah dicatatkannya. Banyak isi fakta itu berseiras dengan apa yang saya tulis di dalam siri penulisan terbaru saya. Cuma dalam penulisan TSSI ini beliau cuba membawa perhatian para pembaca kepada keadaan negara di jajah dulu bagi tujuan berniaga pada awalnya. Kini, beliau cuba membawa kesedaran betapa para korporat Melayu yang telah menjadi kaya raya telah berpuashati dengan pencapaian mereka sahaja. TSSI berpendapat kekayaan yang ada itu telah membuatkan para korporat lupa untuk membantu golongan kerdil yang masih belum berjaya. Saya ingin merakamkan penulisan beliau seterusnya untuk rujukan golongan muda di masa hadapan:

...``Dalam keadaan negara kita sudah mencapai kemerdekaan sekarang, bentuk penguasaan ekonomi yang dulunya mempunyai taktik berlawanan dengan apa berlaku sekarang. Bagaimanapun matlamatnya tetap sama iaitu mahu mengaut keuntungan dari sumber perniagaan, lebih-lebih lagi dalam usaha memonopoli barangan yang berharga dan memberi keuntungan lumayan. Perebutan dalam memonopoli perniagaan ini sesuai dengan bidalan orang tua-tua 'hati berani senjata tajam, mulut bacar emas banyak'. Maknanya memonopoli ekonomi inilah terletaknya kuasa politik.

``Walaupun orang Melayu telah mula sedar dalam hal ini dan beranggapan tokoh korporat Melayu sudah berjaya, tetapi mungkin banyak pihak telah lupa dengan paksi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan oleh Tun Abdul Razak dalam tahun 70-an dulu. Matlamat DEB inilah bagi mencapai tiga puluh peratus pengisian ekonomi untuk bumiputra menjelang 1990. Mungkin dalam tempoh dua puluh tahun itu jangkauan sudah dicapai, tetapi matlamatnya masih jauh dari sasaran.

``Segelintir kita memang menyedari hakikat ini terutama sekali di kalangan pemimpin dan tokoh-tokoh korporat kita yang berjaya. Sehingga saat ini masih terdengar desas-desus bagaimana tokoh-tokoh korporat berbincang sesama mereka yang telah berjaya, mengenai usaha mahu mencapai matlamat tersebut. Memang merekalah yang lebih faham keadaan sebenar dan kerajaan tidak boleh dibebankan bulat-bulat dengan kesalahan demikian."........

Sebagai seorang veteran UMNO amat jelas TSSI tidak mahu menyalahkan kerajaan ke atas fenomena yang terjadi. Memang sudah ada jurang pemisah di antara segelintir korporat Melayu yang kaya raya dengan golongan peniaga Melayu yang masih jauh di bawah tangga perniagaan, yang masih meraba-raba untuk mencari peluang naik tangga kemewahan itu. Untuk mengulas lebih lanjut akan penulisan yang baik ini eloklah kita ambil beberapa perenggan lagi penulisan TSSI ini

``Sebagai pembuat dasar kerajaan sudah membuka ruang secara jelas. Sepatutnya mereka yang telah berjaya ini merancang dan membuat sesuatu kerana 'perahu sudah di air dayung sudah di tangan.' Merekalah yang membawa hala tuju bagi mencapai matlamat tersebut dengan pelbagai cara yang mereka lebih memahaminya. Kalau bersandarkan kepada pemimpin-pemimpin kerajaan memang mereka tidak banyak memikirkan hal-hal seperti ini. Mereka lebih menumpukan kepada perancangan kepada masalah bangsa dan negara. Setakat ini kita tidak nampak sesuatu yang boleh dilakukan oleh tokoh korporat yang berjaya bagi merancang dan memimpin peniaga-peniaga Melayu."

Demikianlah pandangan seorang veteran UMNO. Beliau telah berterus terang dalam penulisannya itu dengan berkata di bahagian penutup penulisannya itu begini:

....`` Apa yang saya utarakan ini bukanlah hasrat dan fikiran sendiri, tetapi ramai teman-teman yang meluahkan perasaan demikian terutama mereka yang menceburkan diri dalam bidang tersebut. Walaupun kita tidak nafikan tokoh-tokoh korporat ini tetap sedar atau memberi peluang dan kesempatan kepada golongan kerdil, tetapi masih belum kedapatan mereka serius memberikan perhatian kepada persoalan pokoknya. Jika keadaan ini masih berlarutan dengan tidak ada sebarang tindakan positif diambil, matlamat dua puluh tahun yang sekarang dilanjutkan tiga puluh tahun sukar menemui sasaran.

``Mungkin akan berterusan kepada empat puluh tahun atau setengah abad pula, matlamat tiga puluh peratus pengisian bumiputra dalam ekonomi akan bergantung di awang-awangan?

``Sudah tentu Perhimpunan Agung UMNO seperti di masa lalu juga, bukan sekadar menentukan pucuk pimpinan parti tetapi memastikan hala tuju dan dasarnya membawa suara bangsa Melayu. Justru kemenangan UMNO memimpin negara adalah dari kekuatan sokongan orang Melayu yang tidak berganjak selama ini.".......

Syabas Tan Sri Samad Idris. Tetapi tunggu dulu....

Saya ingin merakamkan penghargaan kepada TSSI di atas penulisannya ini yang dikatakannya merupakan satu pendapat kolektif beberapa temannya yang lain. Kalaulah kita dapat tahu siapakah mereka itu semua, alangkah baiknya. Kita mahu tahu juga siapa mereka itu kerana kita memang masih respek kepada mereka. Cuma kita mahu soal sikit akan beberapa huraian di atas untuk menjadi pedoman kepada generasi muda yang akan mengundi pada pemilu ke-11 nanti. Yang lebih penting sekali kita harapkan penulisan Pak Samad dan huraian yang saya buat ini dapat diguna-pakai oleh para pengundi di Sanggang nanti.

- Siapakah Pejuang Kemerdekaan itu Sebenarnya?

Seperti dengan para veteran UMNO yang lain Pak Samad memang tidak lari daripada menggunakan satu 'cliche' "berjuang mati-matian untuk kemerdekaan". Saya akui peranan Pak Samad tetapi bagaimana pula dengan orang kampung dan desa yang mati-matian sehingga sudah mati pun berjuang mempertahankan negara ini ketika diserang Jepun, Malaria, Komunis dan juga keadaan kemiskinan di hari tua mereka kerana kerajaan Perikatan tidak mampu mengenang jasa mereka itu? Saya mudah marah kalau ada orang yang cuba mengatakan mereka bermati-matian mencapai kemerdekaan kerana yang bermati-matian itu bukannya orang politik. Tunku Abdul Rahman menyambung tugas yang dilaksanakan oleh Dato Onn kerana Dato Onn sudah dipujuk oleh British sehingga beliau berlembut untuk menerima orang bukan Melayu ke dalam UMNO. Tunku mengambil tugas memimpin UMNO kerana desakan orang bawah dan setelah menerima sokongan yang terlalu kuat daripada rakyat jelata. Di tahap ini kita akui peranan pemberita akhbar seperti Pak Samad yang mewarwarkan sentimen rakyat itu. Tetapi, pemberita akhbar juga meraih glamor daripada suasana yang terjadi. Rakyat, rakyat, rakyat !!!! Pak Samad yang sebenarnya menggerakkan semangat perjuangan kemerdekaan itu.

Siapakah rakyat marhain yang menggerakkan perjuangan itu Pak Samad? Inilah golongan yang kehilangan anggota ketika berperang, yang cacat anggota dari segi pandangan, pendengaran dan sebagainya. Yang paling penting sekali inilah rakyat marhain yang kehilangan anggota keluarga dan saudara mara yang tersayang. Mereka pergi tanpa berita hingga ke hari ini. Ada yang dilarikan oleh Jepun ke Tokyo dan mati dalam pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. Ada yang mati ketika perjalanan dan pembikinan Landasan Keretapi di Sungai Kwei. Ramai pula yang mati kebuluran.

Suasana perang telah meragut jiwa anak-anak muda yang tinggalkan manusia yang ketagihan kasih sayang mereka. Perang Dunia Ke-2 dulu telah mengorbankan ramai kaum wanita Melayu yang menjadi mangsa Jepun dan askar Manchuria. Semua ini tidak tertulis dan tidak dirakamkan secara jelas oleh para penulis dan peminat sejarah kerana keaiban konon.

Inilah manusia Melayu pejuang bangsa yang mempertahankan negara mereka ke titisan darah yang akhir. Inilah manusia dan golongan yang layak menepuk dada dan berkata "Aku telah mempertahankan negara dan mengusahakan kemerdekaan bermati-matian." Sayangnya kita tidak dapat mendengar suara golongan ini kerana ramai yang terkorban tanpa pusaranya. Ramai lagi yang terkorban kerana hidup merempat di negara yang pernah dipertahankannya. Inilah kenyataan dan fakta sejarah yang amat mudah dilupakan oleh para pemimpin negara ini kerana amat jarang sekali para pemimpin politik mahu bercerita akan kisah ini kerana takutkan cerita sebenarnya membayangi perjuangan politik mereka.

- Maklumat Politik yang Songsang

Memang amat malang sekali apabila ramai pemimpin Melayu yang mudah lupa akan kebenaran sejarah. Melayu marhain sudah tercatat di lipatan sejarah sebagai golongan yang menjadi ratahan orang atasan kerana sikap toleransi segolongan besar masyarakat Melayu itu sendiri. Semangat keperwiraan yang ada pada rakyat marhain membuatkan mereka menganggap kelancangan golongan aristocrat sebagai satu keremehan sahaja kerana jiwa keperwiraan mereka tidak terusik. Dengan lain perkataan, kelembutan gerak geri rakyat marhain ketika berdepan dengan golongan istana dan aristokrat ditafsirkan sebagai kelemahan dan kelembutan budaya bangsa. Toleransi untuk diperkuda oleh golongan atasan dianggap sebagai kedunguan dan kebodohan yang tidak patut diperbetulkan. Inilah budaya Melayu yang diwarisi oleh orang Melayu sejak diputar-belitkan oleh Raja Mendaliar di zaman kesultanan Melayu Melaka dulu. Jika tidak bagaimanakah Raja Mendaliar mampu bersekongkol dengan Laksamana Khoju (Khoja) Hussin untuk mengenepikan pengaruh Sri Maharaja Tun Mutahir?

Taktik Raja Mendaliar menguasai minda Melayu sudah diwarisi oleh segelintir pemimpin Melayu yang telah lama memimpin parti Melayu yang bernama UMNO. Taktik kerakusan, kelahapan dan kelentongan ini diperindahkan keseniannya setelah seorang kacukan India-Melayu naik persada kepimpinan UMNO dan menggunakan segala teknik pemerintahan kuku besi untuk menindas bangsa Melayu itu akhirnya. Dari sinilah bermulanya kemerosotan semangat juang orang Melayu itu baik dari segi mempertahankan negaranya mahupun dari segi bekerja keras bermati-matian dalam bidang perniagaan yang besar-besar. Mereka tidak berupaya melakukan perkara yang penting ini kerana diberikan tunjuk ajar yang songsang oleh pemimpin yang berada di atas.

Adalah sesuatu yang malang kalau tidak diperbetulkan, orang Melayu di hari ini semakin menjadi bangsa yang merempat di tanah tumpah darahnya kerana kerakusan para pemimpin durjana dalam UMNO sekarang ini. Saya ingin mengambil kesempatan menarik minat Tan Sri Samad dan kaum kerabatnya kepada penulisan saya bertarikh 4 Februari 2000 bertajuk "Bila Rentak Membuai Impian":

......`` Ajaran Songsang:

``Sikap memperbodohkan rakyat, terutama sekali orang Melayu di kampung-kampung memang menjadi satu agenda tetap para pemimpin UMNO. Oleh kerana perkara ini diamalkan begitu lama ia menjadi satu tabiat semula jadi majoriti pemimpin UMNO. Sehinggakan tidak ada sesiapa yang berani memperbetulkannya. Soalnya apakah yang perlu diperbetulkan sedangkan kesilapan itu sengaja diada-adakan? Inilah yang dikatakan kesilapan memperbodohkan akar umbi parti. Tujuan sebenarnya agar akar umbi parti sentiasa taat setia kepada kepimpinan."

Penyebaran maklumat songsang ini ternyata merupakan satu senjata yang amat berbisa dan berjaya mempengaruhi minda Melayu. Tetapi, itu suasana dulu. Kini, senjata ini akan memakan tuannya.

- Yang Terkini di Sanggang

Ketika menulis artikel ini saya telah diberitahu oleh seorang teman akan satu berita betapa bakal calon BN di DUN Sanggang yang dikatakan lulusan Al Azhar tidak pernah lulus di universiti itu. Beliau hanya lulusan sebuah maktab di India. Sama ada perkara ini satu berita benar ataupun satu maklumat songsang yang dirancang oleh BN adalah satu perkara yang menarik dan perlu dirakamkan dalam penulian ini untuk 'posteriti'. Berita ini telah dirakamkan juga oleh Website Pemantau.tripod.com.

Kalaulah ada kebenarannya akan cerita ini bererti bukan sahaja orang Melayu seluruh negara telah tertipu malahan raja kelentong terunggul pun turut kena kelentong juga. Perkara semacam inilah yang lebih meyakinkan Mahathir untuk menukarkan Setiausaha Agong UMNO kepada orang yang baru. Yang lebih menarik dalam hal ini, bakal calon yang bernama Redzwan ini adalah "dalang di sebalik pengharaman semua kuliah agama di masjid dalam daerah Temerloh/Mentakab. Orang Sanggang tidak boleh maafkan bila masjid tidak dapat diimarahkan oleh kerenah manusia seperti Redzwan ini." Cerita seperti inilah yang membuatkan orang Melayu semakin meluat dengan UMNO. Kita percaya banyak lagi cerita songsang yang akan keluar dalam masa kempen dan dalam usaha BN mempertahankan kerusi yang dimenanginya selama ini.

- PERJUANGAN UNTUK PATI

Orang Melayu kerap diajar oleh pemimpin ulung UMNO agar berjuang untuk parti. Itulah hakikat perjuangan orang UMNO dari dulu lagi. Tetapi, dari apa yang berlaku hingga ke hari ini perjuangan adalah untuk PATI dan bukan untuk parti. Rakyat marhain disuruh berjuang untuk parti supaya para pemimpin teratas mendapat segala pati yang boleh diperah dalam setiap peluang perniagaan yang ada. Di waktu yang sama rakyat marhain tidak dibenarkan bersuara untuk bertanya kerana sindrom bisu perlu dipraktikkan.

Bayangkan bagaimanakah Rafidah Aziz boleh diisytiharkan bebas daripada perilaku rasuah sedangkan akhbar seluruh dunia sudah merakamkan kedurjanaannya dalam penyelewengan saham dan juga lesen pengimportan kereta luar negara? Jadinya Rafidah bebas memerah pati santan dalam kementeriannya sedangkan rakyat dibiarkan dengan hampasnya sahaja. Alangkah mudahnya. pengagihan saham lumayan hanya kepada anak dan menantu. Apakah Rafidah muncul daripada satu keluarga pejuang kemerdekaan yang bermati-matian untuk kemerdekaan negara? Siapakah yang tidak kenal dengan bapa Rafidah ketika bekerja dengan kerajaan dulu? Di bidang apakah beliau berjuang?

Begitulah halnya dengan kepimpinan parti di tahap cawangan dan juga bahagian. Rata-rata kita lihat semacam ada satu hukum alam bahawa anak-anak bekas pemimpin diberi ruang untuk memimpin. Seolah-olah zat kepimpinan parti sudah tertanam dalam darah yang mengalir dalam tubuh anak para pemimpin yang lama. Inilah golongan aristokrat yang tidak pun menghayati semangat perjuangan itu sebenarnya. Di manakah anak-anak ini menerima latihan amali selepas mereka lulus daripada universiti luar negara dan apakah mereka benar-benar ada semangat perjuangan seperti ayah dan ibu mereka itu ? Sekali lagi rakyat marhain bangsa Melayu tertipu bulat-bulat oleh kerakusan para pemimpin UMNO.

Tetapi, penipuan yang berpanjangan ini tentu sekali ada hadnya. Rakyat bukannya bodoh sangat seperti yang disangkakan oleh para pemimpin parti. Sudah ramai anak marhain yang lebih pintar dan lebih tinggi kelulusannya daripada para pemimpin parti ataupun anak-anak mereka. Dilemma Melayu Marhain Masakini

Dalam penulisan ini kita tidak akan membincangkan masalah orang korporat Melayu yang kaya raya kerana kita akan ulas esok hari InsyaAllah. Memadailah kita katakan di sini orang Melayu kini sedang berada di satu persimpangan yang besar dan mudah keliru dengan perjalanan hidupnya. Laksana si pakar pemukul gong, yang tidak berdaya menunjukkan kepintarannya disebabkan mengiringi petikan kecapi yang hanya satu talinya. Dentingan tali yang sentiasa sumbang tidak mudah diiramakan tingkahnya oleh si pemalu gong itu. Inilah kiasan dilemma orang Melayu kini seperti yang pernah saya tuliskan:

......``Bila Pucuk Kepimpinan Menyeleweng:

``Allah memberikan banyak peluang kepada pemimpin UMNO baik yang masih berkuasa mahupun yang sudah pencen. Tetapi, sayangnya amanah yang diberikan oleh orang Melayu itu telah disalahgunakan. Dengan kata kesat, para pemimpin UMNO, banyak menyeleweng. Mereka mempunyai kuasa dalam serba-serbi untuk menaikkan taraf Melayu yang tinggi maruahnya. Sayangnya, orang Melayu yang mahu berjaya mempunyai dua pilihan sahaja. Satu, masuk ke dalam UMNO dan naik mengikut landasan tangga yang disediakan dengan pemandangan sepak terajang politik yang menjijikkan. Kedua, berusaha dengan kegigihan sendiri dan sanggup mengharungi ranjau kerakusan dan deraan yang dipasang-siap oleh pemimpin Melayu yang korup dan tidak berhati perut.

``Disebabkan penyelewengan yang berleluasa di pucuk pimpinan tertinggi parti UMNO itu sendiri makanya orang Melayu kelas menengah terkapai-kapai untuk memelihara maruah bangsa. Kalau Melayu kelas menengah tidak melakukan perkara ini secara sukarela apa yang boleh diharapkan kepada majoriti Melayu kelas bawahan ? Golongan manusia yang sentiasa tersepit hidupnya tidak akan ambil pusing akan maruah bangsa kalau perut anak-anaknya sentiasa lapar dan badan mereka memerlukan perubatan. Inilah golongan masyarakat yang terpaksa berupaya menyesuaikan dirinya dengan keadaan. Kalau duduk di rumah setinggan, undang-undang masyarakat setinggan itulah yang menjadi pedoman hidup mereka dan bukannya undang-undang UMNO yang hanya menjenguk mereka lima tahun sekali."

Adalah sesuatu yang baik kalau kita dapat Tan Sri Samad Idris mengulas penelitian saya di atas. Kita alu-alukan sesiapa saja dalam pucuk pimpinan parti UMNO menafikan penelitian saya ini. Malahan, saya cabar UMNO untuk memetik penulisan Tan Sri Samad Idris itu ke dalam e-mail parti itu agar dapat dibaca oleh semua ahli UMNO. Yang paling elok sekali, penulisan Pak Samad Idris itu patut diedarkan kepada penduduk Dun Sanggang agar timbul satu kesedaran di hati mereka untuk mengenal UMNO dari dekat lagi mengikut kacamata seorang pejuang "yang bermati-matian untuk menuntut kemerdekaan dulu untuk melepaskan cengkaman penjajah."

Mungkin suku sakat Datuk Bahaman dan Mat Kilau serta beratus lagi askar Melayu yang sudah lama menjadi arwah dapat membuat penilaian akan perjuangan para pemimpin veteran UMNO semuanya. Bandingkanlah pula keadaan hidup para pejuang UMNO itu dengan keadaan hidup para pesara askar dan polis yang sekarang ini kebanyakannya berada di rancangan tanah FELCRA, RISDA dan FELDA di sekitar DUN Sanggang itu.

Saya yakin kalau masyarakat yang serba tertekan hidupnya itu diberitahu akan cerita penulisan ini mereka pasti akan tersenyum sinis sahaja. Laksana dentingan tali kecapi yang dipetik sekali sekala, mereka sudah dapat mengagak apakah rentak gong yang akan bertingkah dengan dentingan kecapi yang bertali satu itu.

....bersambung.....

Marhaintua@Hotmail.com
14 Mac, 2000.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com