Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

BAB 6 - HIDUP MELAYU ; UNTUK DIKORBANKAN !!!

Ucapan raja-raja dan juga seorang diktator tua pada kali ini adalah laksana mainan tep rekod lama juga. Orang Melayu diminta untuk berkorban lagi. Walaupun ucapan-ucapan rasmi ketua negara selalunya disediakan oleh penulis khas, kita mampu tersenyum sinis mendengar ucapan itu kerana kita tahu itulah juga mesejnya tahun yang lalu dan tahun-tahun yang akan datang lagi.

Yang Dipertuan Agong Sultan Salahuddin bersyukur di atas kesanggupan rakyat Malaysia berkorban membantu negara ini mengatasi masalah kegawatan ekonomi yang lepas. Baginda "bersyukur kelegaan dalam kedudukan ekonomi negara telah membolehkan ramai rakyat Malaysia pada tahun ini mengerjakan haji dengan keadaan lebih selesa, tanpa dihimpit dengan masalah kewangan akibat kegawatan ekonomi." Apakah baginda faham akan apa yang beliau bacakan itu, hanya Alalh saja yang maha mengetahui kerana apa juga keadaan ekonomi negara, jumaah haji tetap pergi juga dan bilangannya pun tetap dicatu juga. Cuma, baginda bersedih kerana "terdapat kes-kes jemaah haji Malaysia terkandas di negara sendiri atau di Arab Saudi kerana mengerjakan haji melalui pakej-pakej haji yang diurus oleh agensi-agensi swasta." Demikianlah perjalanan pemikiran seorang raja yang dilantik oleh raja-raja menjadi seorang Yang Dipertuan Agong. Tugas utamanya bila tiba hari lebaran ialah membaca skrip. Apakah beliau benar-benar sedar keadaan sebenar yang dialami oleh bakal-bakal haji ? Apakah baginda sedar betapa kos mengerjakan fardu haji sudah mencekik leher orang Melayu ? Apakah baginda sedar sepatutnya kos mengerjakan haji itu tidak patut melebehi RM5,000 ? Apakah baginda ada diberitahu betapa ramai rakyatnya yang terkandas dan diseksa di bilik tahanan Arab Saudi ?

Yang Di Pertuan Agong (YDP) dan juga raja-raja Melayu tidak akan tahu perihal kemalangan yang menimpa rakyatnya di Arab Saudi kerana berita begini tidak dipaparkan oleh media massa. Hanya dapat di internet sahaja. Tetapi, raja manakah yang membaca internet sedangkan budaya membaca itu bukannya budaya Melayu sejak orang Melayu mengenal sultan dan raja? Jadi, semangat berkorban bagi rakyat dan orang Melayu yang diisyaratkan oleh golongan raja-raja ialah agar orang Melayu itu terus toleran dengan sikap raja-raja yang semakin tidak perihatin lagi dengan penderitaan rakyatnya. Inilah saranan YDP yang boleh diiktiraf sebagai satu 'Royal Sacrifice' kerana bagi golongan istana rakyat sebenarnya sedang berseronok kerana kemajuan ekonomi dan harus bersyukur kerana ekonomi negara sudah pulih.

- Buktikan Kesyukuran Dengan Korban

Sebagaimana biasa pemimpin ulung Melayu (he.he.he) telah mengutuskan berita juga sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha. Ucapan beliau ini telah dikupas terlebih awal lagi oleh Poling Cyber (sila lihat http://mindarakyat2.tripod.com/) - di bawah tajuk "Insafi Tafsiran Korban Ala Mahathir!).

Memanglah cantik bahasa yang digunakan oleh Mahathir itu. Maklumlah skrip yang diolah oleh pakar penulisan. Namun, skrip itu pun seperti rekorder lama juga. Sebagaimana lazimnya Mahathir membawa perbandingan akan nasib umat Islam di Kosovo, Bosnia Herzgovina dan di Palestin. Dia terus berkata:

...."...kita juga tidak boleh lupa untuk bersyukur atas nasib kita yang lebih baik. Allah s.w.t. menyuruh kita selalu bersyukur kerana orang yang bersyukur akan menerima lebih banyak nikmat daripada Allah s.w.t. Sebaliknya orang yang kufur atau tidak bersyukur akan menerima balasan yang pedih daripada Allah s.w.t. seperti yang dinyatakan dalam al Quran dalam surah Ibrahim, ayat 7. Oleh itu, apabila kita bersyukur dan berkorban kerananya kita tidak rugi. Sebaliknya kita akan menerima lebih banyak nikmat sebagai balasan daripada Tuhan."....

Ewaah... cantik sungguh kata-kata yang digunakannya. Inilah perkataan laksana 'minyak angin yang disapu di kulit oleh seorang jururawat sebelum menerjah tempat itu dengan jarum untuk dimasukkan ubat pelali pula.

Beliau pun memulakan jarumnya begini:

..."Di Malaysia kita bukan sahaja bebas daripada sebarang tekanan musuh tetapi kita tidak pernah kekurangan apa-apa, baik makanan, pakaian, pekerjaan atau bumbung di atas kepala kita. Kita tidak perlu berhijrah ke negara lain untuk mendapat pekerjaan.

"Negara kita bebas daripada malapetaka yang besar. Smentara jiran-jiran kita sering dilanda banjir besar, ribut taufan, gerak gempa dan letupan gunugn berapai, kita sebenarnya dilindungi daripada ribut taufan oleh jrian-jiran kita. Tidak ada gunung berapi atau gerak gempa yang dahsyat di bumi Malaysia. Semua ini adalah nikmat yang kita terima di samping nikmat-nikmat yang lain kerana negara kita aman dan makmur. Oleh kerana semua ini maka kita harus bersyukur sepanjang masa dan jika kita dikehendakki berkorban tentulah kita tidak keberatan untuk berkorban dan berterima kasih kerana nikmat yang banyak kita terima.

"Oleh itu, di hari yang mulia ini, saya menyeru kepada semua umat Islam di negara ini supaya selalu insaf dan bersyukur atas segala hikmat ini dan membuktikan keinsafan dan kesyukuran ini dengan mengorbankan kepentingan diri dan merapatkan hubungan silaturrahim sesama orang Islam di negara ini. Di masa yang sama kita berusaha mengelak daripada bersengketa dengan kaum-kaum lain.

"Sebagai sebuah negara demokrasi kita perlu ada parti-parti politik dan kita menyokong parti yang kita minati. Tetapi, permusuhan politik tidak harus dikekalkan sehingga keadaan masyarakat menjadi tegang.

"Sebaliknya di musim haji ini hendaklah kita atasi perbezaan politik dan kita pupuk semula umat Islam sesama kita. Insya Allah kita akan mendapat nikmat daripadanya."....

MESEJ MEMUKAU UNTUK ORANG UMNO

Kalau dianalisa baik-baik ucapan Mahathir ini ada tiga perkara pokok yang dikirimkannya kepada orang Melayu terutama sekali kepada ahli UMNO sekelian:

a) Orang Melayu mesti bersyukur.

Inilah lagu lama. Perbandingan yang digunakannya pun adalah bahan lama. Kosovo, Bosnia, Herzegovina adalah negara Islam yang dikawal begitu lama oleh penduduk bukan Islam. Malahan, orang Islam yang menderita itu pun bukannya mengamalkan ajaran Islam sebenarnya, sebelum ini. Mereka boleh berbuat kenduri arwah dengan membaca doa dan bacaan ayat suci Al Quran. Setelah selesai majlis doa itu mereka mampu mengeluarkan boto-botol air syaitan untuk dikongsi bersama. Inilah negara yang dijadikan bahan perbandingn oleh Mahathir. Begitu juga dengan Palestin. Perjuangan orang Palestin bukannya untuk menegakkan agama Islam. Itu adalah faktor bawah dalam agenda mereka. Faktor utama mereka ialah menegakkan negara Palestin . Yang mengetuai mereka mungkin beragama Islam (Ysssir Arafat) tetapi sebilangan besar pejuang mereka bukannya beragama islam. Namun, kita mesti hormati mereka kerana perjuangan jihad itu. Cuma kita tidak mahu Mahathir terus menipu orang Melayu dan membawa perjuangan Palestin itu sebagai perbandingan untuk membincangkan nasib orang Melayu. Kita orang Melayu merempat di tanah air sendiri di mana kaum mendatang sudah pun diberikan hak yang sama untuk memerintah negara. Jadinya kita mesti bersyukur untuk apa sebenarnya.

Saya ingin membuat saranan agar pembaca sekelian membaca satu artikel yang baik bertajuk "Pendedahan Mengapa Ahli UMNO Begitu Fanatik" yang ditulis oleh Webmaster Mindarakyat dalam kolum Analisa Berita. Saya amat bersyukur kerana masih ada orang Melayu yang sanggup mengumpulkan fakta untuk bacaan bangsanya. Fakta yang dikumpulkan itu berkisar sentimen dan fahaman berpolitik yang diamalkan oleh UMNO. Memang meremangkan tengkuk kita ketika membacanya. Mujurlah ada internet untuk kita mengetahuinya.

B) Orang Melayu Mesti Berkorban

Setelah bersyukur, orang Melayu diminta bersedia berkorban. Tujuannya ialah berkorban agar tgahap toleransi orang Melayu itu terus ditinggikan untuk menerima segala doktrin politik Mahathir. Kerana itu beliau berkata: ".......jika kita dikehendakki berkorban tentulah kita tidak keberatan untuk berkorban dan berterima kasih kerana nikmat yang banyak yang kita terima."

Inilah mesej penting kerana orang Melayu mesti terus berkorban dan berterima kasih kerana nikmat. Apakah nikmatnya ? Memkadaikah para perwakilan merasa nikmat wang yang dimasukkan ke dalam akaun mereka, telefon bimbit, kad ATM, kereta Kancil secara percuma dan sebagainya itu? Itukah nikmat yang disogokkan kepada sekitar 2000 perwakilan yang akan bersidang pada Mei 11 nanti. Bagaimanakah dengan hutang negara yang bertapok yang memerlukan dua generasi akan datang untuk melangsaikannya? Bagimanakah masalah negara yang terumbang-ambing dari segi kos pelajaran Universiti semakin naik? Bagaimana masalah sekolah dua sessi yang amat merunsingkan ibu-bapa? Bagiamana pula masalah pendatang asing yang semakin melmbak tanpa surat izin dan kini berani merompak di siang hari tanpa segan dan silu?

C) Menghapuskan Permusuhan Politik

Sekali lagi ini satu taktik lama. Perkara yang sama diucapkannya ketika menyambut Hari Raya Puasa yang berlalu. Apa jadinya selepas itu ? Beliau telah berucap panjang selama tujuh jama di Putrajaya kepada kira-kira 100 orang pemimpin UMNO seluruh negara. Selepas itu beliau terbang ke luar negara untuk bercuti dan seterusnya pergi untuk berucap di Davos. Apa yang jadi akhirnya ? Sebagaimana yang kita tulis dalam "Antara Api dan Bara", rakyat menjadi terkejut dengan berita penangkapan yang dilakukan ke atas Karpal Singh, Marina Yusuf, Zulkifli Sulung dan She Lin Thye. Mereka ditangkap dan dituduh di bawah Akta Hasutan. Kita ada merakamkan peristiwa itu begini: ..Rakyat geger dengan penangkapan itu kerana ia berlaku selepas peristiwa ucapan yang panjang. Malahan kalau dikira akan penerbangan perdana menteri ke luar negara, tidurnya dalam pesawat itu belum cukup lama lagi. Air basinya pun belum lagi menjadi, arahannya sudah pun dipatuhi."

Dengan lain perkataan, kini rakyat hanya mampu senyum sahaja bila mendengar ajakan Mahathir agar perbezaaan politik itu diatasi dan persaudaraan Islam di antara semua ahli parti dipupuk semula. Siapakah boleh percaya dengan saranan beliau ini?

Hanya Orang Yang Disihir Sahaja Boleh Ditipu

Apa juga yang akan dicakapkan oleh Mahathir, rakyat Melayu sudah jelak mendenganrnya. Apatah lagi mahu mempercayainya. Cuba lihat fakta di bawah ini:

a) Hukuman Mahkamah Kelolaan Mahathir.

"Rahim Nor dipenjara dua bulan". Demikianlah kata pojok Utusan Meloya bertarikh 16 Mac. Kerana mendera Anwar Ibrahim, Rahim Nor yang sudah mengaku akan kesalahannya itu didenda maksimum RM2,000 dan dikenakan 'Custodial imprisonment" selama dua bulan. Tetapi akhbar hanya mengatakan beliau dihukum penjara. Jauh sanagat perbezaan kerana 'custodial imprisonment'bererti beliau boleh dikenakan kurungan dalam rumah sahaja tanpa perlu pergi ke penjara.

Bayangkanlah impak hukuman itu dengan kerja-kerja jijik yang telah dilakukan. Yang lebih pelih lagi beliau dibenarkan ikat jamin menunggu prosiding rayuan. Anwar Ibrahim yang dihenyak hampir lumat tidak dibenarkan ikat jamin dan terus disumbat dalam penjara. Di penjara pula tercetus pelbagai cerita negatif yang termasuk kisah keracunan makanan dan arsenik.

Di akhbar yang sama pada mukasurat 11 ada pula berita :

- Lelaki jual terlur penyu dipenjara, denda RM2,750.

"Abdul Khalid Hamid, 51 dijatuhi hukuman penjara dan denda RM2750 atau penjara tiga bulan kerana memilikki 151 biji telur mentah penyu tanpa kebenaran daripada Pengawal Hidupan Liar, Jabatan Perhutanan." Alangkah melucukan sekali cerita ini kalau dibuatkan perbandingan dengan hukuman yang dikenakan terhadap Rahim Nor itu.

Sebenarnya saya memang malas mengupas cerita penganiyaan hukuman yang diturunkan oleh mahkamah negara, kebelakangan ini. Hanya M.G. Pillai orang yang sesuai untuk mengupas segala perjalanan mahkamah itu kerana beliau adalah di antara mangsa hukuman yang tidak masuk akal itu. Saya lebih berminat mengumpul keratan akhbar tentang hukuman yang dijatuhkan itu sebagai bacaan di hari mendatang. Mungkin jua sebagai rujukan cucu dan cicit yang mungkin berminat menjadi seorang peguam apabila besar.

Saya ingin mencadangkan kepada Webmaster sekelian agar menyediakan satu ruang khas di mana orang Melayu boleh menarik minat kita akan berita akhbar tentang hukuman yang tidak berpadan yang dilaksanakan di negara ini. Mungkin ada satu kesedaran di kalangan siswwa dan siswa kita akan skandal hukuman mahkamah ini dan diberikan satu ruang khas di setiap Laman Web Pro-reformasi akan kumpulan fakta ini sebagai santapan umum.

Cuba lihat berita ini bertarik 29 Februari di Utusan Meloya:

Penganggur curi Seluar Dalam Dihukum Sebat.

"Gara-gara mencuri dua kotak seluar dalam, seorang penganggur bari ini dijatuhkan hukuman penjara dan disebat dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini. Majistret Shahrizal memerintahkan Hairi Ramli 32, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Januari lalu dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun."

Hairi mencuri seluar dalam berjenama Master yang kesemuanya bernilai RM46.62 milik Kompleks Pernas Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada pukul 8.45 malam 27 Januari lalu.

Cuba kita bayangkan, seorang penganggur yang pernah melakukan jenayah kecil sebelum itu telah ditangkap dan dihukum sebat kali ini kerana mencuri barang bernilai Empat puluh Enam Ringgit. Mungkinkah penganggur ini seorang penagih dadah? Di Tokyo ataupun di London, kalau ada sesiapa yang ditangkap kerana 'shoplifting' hanya namanya dikeluarkan di akhbar, tetapi dia tidak pun dihukum seberat itu. Cuba buat perbandingan dengan orang yang cuba membunuh seseorang dengan cara membalun matanya sehingga lebam sedangkan mangsa diikat tangannya di belakang. Apakah setimpal hukuman yang diterimanya itu dibandingkan dengan seorang penganggur yang mencuri seluar dalam? Bagaimana pula kalau dibandingkan dengan kesalahan seorang kampung yang menggali pasir di pantai dan mencuri telur penyu ? Apakah berat sangat kesalahan mengutip telur penyu kalau dibanding dengan kes membalun mata seorang pemimpin negara? Bagimana pula kalau dibandingkan kes mencuri telur penyu itu dengan kes membalun saham untuk menantu dan mengeluarkan AP (Approval Permit) untuk membawa masuk kereta asing. Bukankah kerja itu menyayingi kereta buatan negara sendiri? Apabila ia dilakukan oleh menteri yang bertanggungjawab dengan usaha memajukan industri negara bukankah itu satu kesalahan yang besar?

Perkara semacam ini memang nampak 'simple' tetapi mambawa maksud dan impak yang amat negatif sekali kepada bangsa Melayu. Bagaimana dengan kisah orang bukan Melayu yang membalun harta dan khazanah bangsa Melayu secara terang-terangan ? Siapakah yang telah ditangkap di atas kematian Jalil yang mendedahkan skandal BMF di Hongkong dulu?

Apakah Lagi Yang Mesti Dikorbankan ?

Mahahthir dan para pemimpin UMNO kerap mahukan orang Melayu berkorban. Tetapi cuba beritahu pada orang Melayu berapa ramaikah anak-anak menteri (termasuk anak-anak Mahathir) yang pergi belajar ke luar negara tanpa biasiswa kerajaan ? Oleh kerana mereka pulang dan tidak berkhidmat dengan kerajaan, apakah mereka ada membayar balik kos biasiswa itu ?

Satu ketika dulu kalau ada perlawanan bola di England, kita dapat melihat siaran lansing melalui TV Malaysia. Kini kita hanya mampu menonton siaran tertunda kerana siaran lansung di monopoli oleh Astro. Tujuan Astro diadakan ialah mendapatkan pelanggan yang membiayai kos siarannya. Tetapi, pelanggan Astro hanya sekitar 300,000. Tentu sekali Astro tidak mendapat keuntungan seperti yang dijangkakan. Kerana itu Astro diberikan lesen untuk TV Pendidikan. Kalau ibu dan bapa berminat untuk mengetahui mata pelajaran yang diajar kepada anak-anak mereka di sekolah-sekolah, kenalah mereka melanggan kepada Astro. Siapakah tuanpunya Astro kalau bukan para kroni? Sekali lagi orang Melayu mesti bersedia berkorban.

Kalau kita pergi ke stesen pam minyak sekarang ini kerap sangat kita dapati tanda 'kehabisan Stok' di beberapa pam minyak d ibukota. Kenapa? Mengikut pembantu pam 'stok minyak sudah habis di kilang" Kemudian dengan nada yang rendah mereka akan berkata "Harga minyak akan naik lagi". Di akhbar hari ini sudah disiarkan betapa pengendali stesen minyak mahukan margin keuntungan yang lebih baik lagi. Mereka mahu persen yang lebih tinggi daripada tujuh persen. Bagimanakah perkara ini boleh dibiarkan berpanjangan sedangkan syarikat pengeluar minyak berbelanja besar terhadap iklan setiap tahun ? Malahan iklan yang disiarkan itu adalah sama dengan iklan yang dikeluarkan di negara luar. Ini bererti royalti pengiklanan perlu dibayar kepada firma pengiklanan antarabangsa juga. Bukankah ini satu rampokan pemikiran orang Malaysia kerana iklan pun mesti dicanai dari luar negara ? Mahathir kerap bercakap pasal globalisasi tetapi beliau seakan-akan membisu dengan tipu muslihat ini. Kenapa? Bukankah anak-anaknya pun ada saham dalam syarikat pengiklanan? Bukankah presiden kesatuan pengiklan Malaysia itu Dato Jaafar bin Mohd. Ali dan adik ipar kepada Mahathir?

Kesimpulan

Melalui ucapan yang dituturkan oleh YDP Agong dan juga Mahathir, nampak sangat betapa orang Melayu terpaksa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang memerintah. Di waktu yang sama, rakyat mesti berkorban lagi. Perbandinagn yang digunakan berdasarkan kesangsaraan orang luar negara memang tidak boleh dipakai lagi. Kerana ini menunjukkan betapa murahnya pemikiran pihak yang memerintah dalam menggunakan perbandingan itu. Rakyat marhain terus dianggap sebagai satu golongan hamba abdi yang bodoh dan tidak berfikiran waras. Rakyat dianggap sebagai golongan yang dimestikan percaya dengan apa sahaja yang diperkatakan oleh pemimpin. Di sana sini sudah semakin terserlah betapa tidak munasabahnya tindak-tanduk pentadbiran kerajaan Mahathir. Hukuman yang ditentukan oleh mahkamah adalah satu perkara yang menjijikkan. Rakyat marhain akan terus berada dalam satu keadaan hidup yang tertekan kerana sikap kerajaan yang tidak memberi penekanan kepada cara menyelesaikan kesengsaraan rakyat.

Apa juga saranan yang dibuat oleh UMNO dan para pemimpinnya, sudah dianggap sebagai satu tipu muslihat oleh pucuk pimpinan parti untuk terus berkuasa dengan apa cara sekali pun. Rakyat marhain terutama sekali para pengikut totok UMNO sudah semakin yakin, bahawa UMNO bukan lagi sebuah parti yang memperjuangkan nasib orang Melayu. Dengan terus meminta rakyat berterima kasih dan bersyukur Mahathir dan para pemimpin UMNO sebenarnya sudah mensabotaj martabat Melayu itu secara keseluruhannya.

Hanya masa yang terdekat akan menentukan betapa UMNO dan Mahathir dapat terus bertahan sebagai simbol pemerintahan yang "membawa bangsa Melayu itu terus maju tanpa sebarang masalah". Yang nyata sekarang ini orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya akan menjadi satu bangsa yang perlu terus berkorban untuk selama dua generasi yang akan datang bagi tujuan membayar hutang lapok yang dibuat oleh pemerintahan kuku besi yang sungguh rakus itu. Inilah kepintaran Mahathir. Orang Melayu harus bersyukur dengan kesenangan yang ada. Di waktu yang sama si bedebah ini mahukan orang Melayu sanggup terus berkorban untuk membayar segala hutang negara yang bertapuk disebabkan kerakusannya.

Marhaintua@Hotmail.com
17 Mac, 2000.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com