Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

BAB 7 - PATUTKAH MEREKA DISINGKIRKAN ?

Prakata:

Sebahagian besar kandungan artikel ini adalah dipetik daripada beberapa banyak surat e-mail yang saya terima. Oleh kerana kebanyakan e-mail itu dikirim dengan menggunakan alamat terbuka (seperti ..jaring, tm.net dan sebagainya) saya tidak berkemampuan untuk menjawabnya secara terus seperti yang diarkibkan oleh Webmaster Mindarakyat dalam ruangan khas Minda dan Budi. Saya tidak mahu melunturkan amanah yang diberikan kepada saya. Namun, kebanyakan pendapat yang dikrimkan kepada saya itu terlalu berharga untuk saya simpan sendiri. Kebanyakannya adalah gambaran perasaan terpendam yang begitu lama dalam sanubari si penulis dan pengirimnya. Begitu bermakna sekali kata-kata yang ditulis kepada saya itu sehinggakan saya mahu berkongsi-sama dengan pembaca lain akan isi kandungan surat-surat itu.

Saya akan memaparkan beberapa isihati tulisan itu secara menyeluruh di mana difikirkan perlu. Ada juga saya ambil secara tebuk di sana-sini kerana mahu melindungi identiti si penulis. Ada di antara mereka itu yang kerap juga menulis di Laman FGR dan memberikan alamat mereka.

- Gunakan e-mail proksi

Mungkin di satu masa nanti para pengirim e-mail ini dapat menggunakan alamat e-mail proksi seperti Yahoo.com, Hotmail, O-Tay, Usa.net, harakahdaily.net dan banyak lagi. Gunakanlah alamat proksi ini dan teruskan menulis kepada saya. Dari situ akan saya kirimkan kepada Laman Web Pro-reformasi dan sertakan pula komen saya.

Sebenarnya, bangsa kita Melayu dan orang Malaysia sudah semakin celik kepada kenyataan hidup yang diputar-belitkan untuk sekian lama yang panjang. Catatan dan pengamatan saudara sekelian amat berharga dan mesti diketengahkan kepada para pembaca untuk mengadili kesahihan apa yang dituliskan itu. Izinkan saya kali ini menggunakan isihati surat-surat saudara itu untuk tatapan para pembaca dan untuk dirakamkan oleh sejarah bangsa kita juga.

* * *

PENJARA ILLUSI

Asslamualaikum Marhaintua,

Tahniah dan syabas saya ucapkan, tidak ada bahasa yang termampu saya ucapkan selain daripada itu. Saya tidak mengenali saudara tetapi pada pandangan saya saudara adalah seorang yang cukup luas pengetahuan terutama yang berkaitan dengan sejarah bangsa. Dedahkan sebanyak mungkin sejarah bangsa yang benar yang tidak tercatat dalam buku sejarah hari ini. UMNO sebenarnya cuba untuk menutup sejarah bangsa Melayu serapat-rapatnya. Mereka tonjolkan sejarah palsu ciptaan UMNO. Orang Melayu terutamanya generasi selepas merdeka dikelirukan dengan fakta yang tidak betul. Saudara telah menyedarkan diri saya dan mungkin ramai lagi generasi sebaya dengan saya. Teruskan usaha murni ini sehingga UMNO lingkup barulah banyak lagi pendedahan yang lebih sensasi dapat dipaparkan kepada rakyat marhain.

Bangsa Melayu sebenarnya sangat keliru. Mereka dikelirukan oleh putar belit UMNO melalui media arus perdana. Kesihan orang Melayu, mereka terpenjara dalam 'penjara illusi'. Mereka berada dalam ketakutan yang maha dahsyat. Mereka takut untuk bersuara, memperkatakan kebenaran, menegur dan memperbetulkan para pemimpin dan 1001 macam ketakutan yang berjaya dicipta oleh UMNO. Kalau perkara ini tidak dapat diubah, alamat orang Melayu akan tinggal nama sahaja tetapi kewujudan bangsanya telah tiada.

Kita belum bicara tentang kehancuran, keruntuhan dan kemusnahan akhlak orang Melayu sepanjang tahun 1981-2000 ini. Persoalan ini kalau kita bincangkan akan mengambil masa yang panjang. Tetapi cukup sekadar kita mengingatkan firman Allah SWT di dalam Surah Al-an'am ayat 6 yang bermaksud:

"Apakah kamu tidak melihat telah banyak umat sebelum kamu aku musnahkan. Aku beri kepada mereka nikmat kekayaaan yang melimpah ruah, kedudukan serta pangkat. Aku jadikan sungai-sungai yang mengalir untuk mereka bercucuk tanam, tetapi mereka ingkar dan melakukan pelbagai dosa dan maksiat, lalu ku musnahkan mereka dan gantikan mereka dengan kaum yang lain."

Ayat ini menceritakan kepada kita tentang kemusnahan umat terdahulu seperti yang berlaku kepada umat Nabi Lut AS, umat Nabi Soleh AS, umat Nabi Ibrahim AS dan sebagainya. Mereka dimusnahkan oleh Allah SWT kerana banyak melakukan dosa dan maksiat serta tidak beriman kepada Allah SWT. Kita lihat kata-kata Prof. Dr. Yusuf Qardhawi: "Petanda sesuatu bangsa akan musnah dan hancur; terlebih dahulu akan musnah dan hancur akhlaknya."

- Hancurnya Akhlak Orang Melayu

Lihatlah betapa musnah dan hancurnya akhlak orang Melayu hari ini. Orang Melayu menjadi pakar pencipta fitnah dan fitnah ini dirancang dengan jayanya sehingga kelihatan seperti benar. Ingat dosa fitnah lebih besar daripada membunuh. Menutup tirai abad ke-20 orang Melayu menjadi begitu buruk dan hodoh sekali perangai mereka dengan melakukan fitnah secara terancang. Inilah rekod fitnah yang terbesar dan teragung sekali di dunia. Fitnah yang melibatkan hampir semua instrumen kerajaan demi untuk terus menegakkan kuasa seorang tua yang gila yang entah datang dari tongkang mana datang ke negara kita. Sejarah keruntuhan Kesultanan Melayu Melaka disebabkan peranan mamak-mamak tongkang ini. Siapa Raja Mendeliar dalam sejarah Melayu Melaka. Mungkin ini warisannya yang terakhir.

Belum pernah dunia melahirkan sebuah kisah fitnah yang begitu hebat melainkan telah dicipta oleh orang Melayu pada 2.9.98. Ini tarikh keramat penciptaan fitnah terancang yang terunggul, terhebat, terbesar, teragung dan tersohor sekali di dunia. Masyarakat luar yang berminat untuk mempelajari selok belok mencipta fitnah bolehlah datang ke Malaysia sementara tok gurunya masih ada dan masih bernyawa.

Itu baru cerita fitnah. Belum lagi cerita tentang penzinaan yang menyebabkan berleluasanya kes buang bayi. Kalau zaman Arab jahiliyah dahulu mereka bunuh bayi perempuan dengan tanam hidp-hidup di tengah padang pasir. Mereka lakukan ini kerana tidak sanggup untuk melihat anak gadis mereka menjadi alat pemuas nafsu lelaki, jadi orang Arab jahiliyah ambil keputusan tanam anak hidup-hidup. Mereka tak mahu keluarga malu dan aib jika ada anak perempuan.

- Orang Melayu dan Amalan Jahiliyah

"Cuba lihat masyarakat Melayu jahiliyah hari ini. Lebih hebat bukan ? Mereka campak bayi merata tempat, kadang-kadang di makan anjing. Lagi sedih. Apa alasan mereka ? Sejahil-jahil orang Arab jahiliyah mereka masih menghormati makhluk Allah SWT yang bernama manusia, jadi mereka tanam. Masyarakat Melayu jahiliyah langsung tidak hormat. Mereka campak anak mereka sendiri serata tempat. Inilah bentuk kemusnahan dan kehancuran akhlak masyarakat Melayu yang akan menyebabkan orang Melayu akan dimusnahkan oleh Allah SWT seperti umat yang terdahulu.

"Ada banyak lagi kemusnahan dan kehancuran akhlak orang Melayu. Saya baru ceritakan dua contoh. Bagaimana dengan anak derhaka, isteri derhaka, anak lari dari rumah, bohsia, bohjan, minum arak, berjudi, tak solat dan 1001 satu bentuk dosa dan maksiat yang dilakulan oleh orang Melayu. Ingat kata-kata Yusuf Qardawi:

'Kalau ingin melihat rupa bentuk sesuatu bangsa pada masa akan datang lihatlah remajanya hari ini.'

"Cuba saudara lihat remaja hari ini. Nilailah sendiri. Inilah sebahagian daripada dosa dan maksiat yang dilakukan oleh orang Melayu yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Ingat Allah SWT murka bukan seperti murkanya sultan. Lihat apa jadi dengan umat Nabi Lut -diterbalikkan bumi. Umat Nabi Soleh - ditimpa dengan ribut taufan dan angin puting beliung. Umat Nabi Noh - ditimpa dengan banjir besar. Hari ini bunga-bunga seperti itu telah ada. Tanah runtuh, banjir kilat, kemarau, jerebu, wabak JE, wabak AIDS dsbg. Ini hanyalah sebahagian peringatan atau inzar daripada Allah SWT. Kalau kita degil mungkin akan ditimpakan dengan bala yang lebih hebat. Ingat bala Allah SWT tidak mengenal mereka yang berimanatau tidak. Ini bermakna jika bala diturunkan Allah SWT orang yang baik-baik pun kena juga. Nauzubillah."

- Al Sheikh Awang Idrus.-

Demikianlah isi warkah daripada seorang pengirim yang namanya saya putarbalikkan, bagi tujuan keselamatan beliau dan keluarganya. .

KEPIMPINAN YANG MENYELEWENG

Kalau saya masukkan beberapa e-mail yang lain, rata-rata mereka menyentuh perihal kesultanan Melayu dan kepimpinan Melayu yang kurang tahu akan nasih orang Melayu. Malahan ada yang berpendapat seperti Saudara Ros Jeri betapa nasib orang Melayu itu tidak dibela oleh pemimpinnya. Kecuaian ini adalah disebabakan agenda kepimpinan itu yang sudah diputarbalikkan oleh pemimpin UMNO sejak 20 tahun yang lalu. Walaupuan Mahathir merupakan permimpin ulung UMNO sejak 20 tahaunyang lalu, dia tentunya tidak berupaya memutarbalikkan agenda asal perjuangan Melayu itu tanpa sokongan padu oleh para pemimpin UMNO yang lain.

- Bagaimana Orang Melyu Dikelirukan ?

Orang Melayu telah dikelirukan dengan aspirasi perjuangan mereka apabila UMNO asal dibubarkan. Dengan menubuhkan UMNO Baru, segala semangat perjuangan Melayu yang asli itu telah terkubur sama. Tetapi, berapa ramaikah orang Melayu yang sedar dengan tipu helah ini? Jawabnya: "Ramai Sekali !" Tetapi, ramai juga yang tidak sanggup berbuat apa-apa kerana mereka telah diugut, digertak dan ditohmahkan. Dengan lain perkattaan, keselamatan diri mereka, anak-anak mereka dan juga isteri dan keluarga mereka dikatakan berada dalam bahaya. Semua ugutan itu dilakukan secara terancang dan disusuli dengan satu program yang licik sekali. Inilah yang dikatakan program menegakkan dinasti kodi yang saya tulis di awal tahun ini bertajuk: "Strategi Kodi Penegak Dinasti" (Sila lihat arkib penulisan saya di semua Laman Web Reformasi Perdana).

Orang Melayu memang telah lama dikelirukan. Kelicikan Mahathir berkelentong, telah memukau orang Melayu untuk mempercayainya sebagai pemimpin ulung negara. Mahathir telah menentukan setiap program mengelirukan rakyat Melayu dilakukan secara berkesinambungan sehinggakan orang Melayu tidak mempu berfikir dengan warasnya. Cuba lihat apa yang berlaku ketika kempen pilihanraya yang lalu. Pelbagai rencana dilakukan seperti Program Pemimpin Bersama Rakyat. Dalam program ini, para pendengar diangkut berbatu-batu dan diberikan wang sogokan sebagai saguhati untuk menunjukkan muka dan meramaikan majlis. Kecanggihan alat teknologi moden digembeling sebaik mungkin untuk membesarkan laungan suara dan gema tepukan manusia untuk mengabui penonton di TV dan pendengar di radio. Sedangkan di tempat perjumpaan menunjukkan keadaan yang amat berbeza. Rakyat yang diupah untuk hadir menyambut kedatangan Mahathir, terus bingkas bangun sebaik sahaja beliau mula berucap. Kenapa ? Inilah petanda bagaimana rakyat amat jijik dan mual dengan suara beliau. Dengan lain perkataan, rakyat marhain terpaksa menipu diri sendiri menerima upah untuk hadir di majlis untuk meraikan kedatangan seorang pemimpin yang paling hipokrit dalam sejarah negara. Di majlis yang serupa, rakyat yang sama bingkas bangun mencemuhnya pula.

Kaum Yang Lain Pun Turut Keliru.

Sebenarnya, bukan orang Melayu sahaja yang keliru sekarang ini. Boleh dikatakan seluruh rakyat negara ini berada dalam satu keadaan yang keliru. Mereka bingung setiap hari melihatkan keadaan negara selepas pilihanraya yang menjanjikan sesuatu yang memberansangkan. Contohnya pada kempen pemilu ke-10 dulu, parti komponen BN telah mengedarkan pelbagai salinan gambar pembunuhan dan huru-hara di Jakarta. Itulah gambaran rusuhan di mana kaum Cina lari meninggalkan harta benda mereka di Jakarta dan beberapa bandar lain. Inilah taktik Barisan Nasional untuk menakutkan kaum lain agar terus menyokong Barisan Nasional. Di waktu yang sama Mahathir kerap mencemuh hukum hudud yang mahu diamalkan oleh Tuanguru Nik Aziz di Kelantan. Inilah taktik yang menakutkan kaum lain. Pada zahirnya, hukum hudud bukan setakat memotong tangan. Ia adalah sebahagian hukum Islam yang berlaku amat adil kepada rakyat. Lihat sahaja di negara Arab terutama sekali di Arab Saudi. Berapa ramaikah rakyatnya yang kudung tangannya ?

Perkara yang mengelirukan ini berterusan sebagai ugutan terbuka kepada kaum lain. Tetapi, di waktu yang sama perkara-perkara yang menghina Islam yang dituturkan oleh Mahathir itu sebenarnya boleh menjerumuskannya ke kancah 'murtad'. Apakah perkara ini tidak disedari oleh ulama berpengalaman dalam UMNO ?

Alhamdullilah, kekeliruan kaum lain di Malaysia ini terubat sudah apabila orang Melayu menyingkirkan hampir semua calon UMNO daripada golongan ulama. Inilah tindakan bijak para pengundi yang membuka mata kaum lain di negara ini. Dari tindakan bijak ini mereka menyoal diri mereka sendiri, kenapakah orang Melayu mesti mempertikaikan perjalanan rumah ibadat mereka sedangkan perkara ini jarang sekali dipertikaikan oleh bangsa dan kaum lain di negara ini ? Kaum Cina tidak mudah melatah dengan perjalanan rumah berhala mereka. Begitu juga dengan kaum India dengan kuil mereka ataupun kaum Benggali degnan guduhara mereka. Kenapakah perkara ganjil ini berlaku kepada pengurusan masjid dan surau ?

Apabila kaum lain mengkaji dalam-dalam perkara ini baru mereka sedar bahawa UMNO sudah jauh menyimpang daripada landasan perjuangan mereka. Kalau orang UMNO sanggup memperlekehkan jawatankuasa masjid semata-mata untuk menegakkan benang basah mereka, apakah lagi yang boleh diharapkan kepada para pemimpin ini terhadap institusi besar yang lain di mana mereka boleh membalun harta bangsa dan khazanah negara yang ada? Demikianlah jauhnya perbandingan yang dibuat oleh orang lain apabila mereka menganalisa masalah orang Melayu.

Kesedaran yang dicapai selepas berbuat penelitian yang saintifik ini membuatkan orang bukan Melayu terus keliru dan bimbang akan masa-depan negara ini. Mereka terus menyoal diri mereka apakah Malaysia ini merupakan sebuah negara yang selamat untuk mereka dan zuriat mereka?

Jawapan UMNO Terhadap Kesangsian Kaum Lain

Pada masa yang lampau, Mahathir bersama orang rapat degannya sentiasa ada rencana terbaru sebagai jawapan kepada setiap kegelisahan rakyat, terutama sekali rakyat Malaysia yang bukan Melayu. Yang menjadi pokok kepada rencana itu ialah menunjukkan keadaan ekonomi negara yang semakin pulih. Itulah taktik Mahathir bersama Daim dan beberapa lagi pengampunya. Tetapi, taktik ini semakin lama semakin memakan dirinya kembali. Kini, kaum lain pun sudah sedar betapa Mahathir sudah lama menukau mereka untuk terlalu mempercayainya.

- Keadaan Bursa Saham KL

Bursa saham KL adalah menjadi pengukur utama untuk menunjukkan keadaan ekonomi negara yang semakin pulih. Kerana itu ia diransang dan Mahathir akan mengungkit akan prestasi pasaran itu secara silih berganti dengan Daim. Kemudian, orang suruhan di media massa akan menulis berita yang baik-baik tentang kemasukan wang dan dana asing untuk menggerakakan minat rakyat kepada pasran saham. Tetapi, dana yang masuk mesti masuk ke dalam akaun bank. Ia bukan boleh dibawa masuk melalui hamparan permaidani terbang, seperti cerita Aladdin dulu.

Apabila ada berita kemasukan dana, ada pula pegawai bank yang membuat penelitian dan menafikan perkara itu. Sekali perkara itu berlaku, mungkin rakyat marhain tidak percaya. Tetapi, apabila perkara susulan serupa berlaku, rakyat pun mula buka mata dan mula pertikaikan propaganda yang menjijikkan itu. Kerana itu, keadaan pasaran yang diransang dengan rancaknya oleh Daim dan konco-konconya ketika pembentangan belanjawan (pembentangan semula) itu telah mula menurun secara bertahap. Kenapa? Kerana dana yang banyak dari luar itu sebenarnya adalah satu fantasi juga.

Akan tetapi, mulai minggu hadapan sehingglah akhir bulan kita akan dapat menjangkakan pasaran BSKL naik semula kerana diransang sekali lagi. Kali ini ransangan akan dibuat oleh pelabur Jepun. Akhir bulan Mac adalah merupakan tarikh akhir perkiraan akaun syarikat Jepun. Kalau pasaran saham kita naik, jangan pula ada orang UMNO yang cuba kelentong kepada rakyat marhain dengan memberikan alasan lain pula. Rakyat marhain sekarang bukannya seperti dulu yang mudah sekali ditipu.

Menyedari fenomena ini mungkin, kita jangakakan kerajaan Mahathir telah menggunakannya sebagai alasan untuk mengadakan pilihanraya kecil di Sanggang. Dengan lain perkataan, ransangan pasaran saham disebabkan musim penutupan akaun syarikat Jepun akan dijadikan satu motivasi penting untuk UMNO cuba mempertahankan Sanggang. Insya Allah kita akan lihat impak putar belit mereka kali ini.

- Bila Ekonomi Pulih

Ada seorang pembaca menulis kepada saya: "Sekarang ini orang UMNO kerap serbasalah dengan kenyataan ekonomi negara yang sudah pulih. Mereka takut rakyat marhain membuat tuntutan kepada janji yang dilafazkan oleh Mahathir ketika pelancaran SUKOM dulu. Ketika itu Mahathir bercakap lantang ke sana dan sini mengatakan betapa beliau bersedia untuk bersara apabila ekonomi pulih. "Kini, ekonomi sudah pulih." Demikian yang dikatakan oleh kebanyakan menteri besar dan menteri pusat. Malahan ketua bahagian pun sudah mula bercerita tentang ekonomi yang sudah pulih. Ini bererti Mahathir sudah bersedia untuk bersara. Kalau betul perkara ini, kenapakah beliau tidak mahu sesiapa menandingi jawatannya?"

Memang inilah taktik Mahathir sejak dua tahun yang lalu. Dia mahu bersara lebih awal lagi tetapi perasaan tanggungjawab yang amat sangat membuatkannya menangguhkan hasratnya itu. Kerana itu dia terpaksa bekerja keras untuk memulihkan ekonomi negara. Apakah benar kata-katanya itu. Apakah betul dakwaan beliau betapa ekonomi negara dapat dipulihkannya tanpa bantuan IMF? Apakah betul ekonomi negara itu benar-benar pulih?

KESIMPULAN

Sebenarnya tajuk artikel ini adalah diciplak daripada satu soalan seorang pembaca yang mahukan kita orang Melayu "berkorban untuk mengorbankan mereka" yang menghianati perjuangan bangsa. Memang penulis ini amat mual dengan Mahathir. Tetapi, bagaimanakah kita dapat mengorbankan mereka itu ? Memadaikah dengan hanya tulisan dan cakap-cakap sahaja. Sedarkah kita betapa Mahathir adalah seorang pemimpin yang amat licik mainan politiknya. Sedarkah orang Melayu betapa Mahathir kini sudah menukar strateginya untuk memputarbalikkan minda orang Melayu?

Hampir tujuh tahun yang lalu, Mahathir berjaya memukau minda kita dengan alasan "terlalu banyak tugas yang belum selesai". Tidak sesiapa dapat menyangkakan apakah tugas itu sebenarnya. Minda orang Melayu laksana minda gajah yang telah dirantai, terlalu taksub dengan personaliti Mahathir dan fahaman Mahthirisme-nya. Seperti yang pernah saya tulis akan fenomena ini, seekor gajah yang besar tidak berani melarikan dirinya daripada belenggu seutas rantai yang amat mudah ditariknya. Tetapi disebabkan ia sudah didera dari kecil bahawa rantai yang dipasak ke bumi akan mengikatnya, gajah itu sanggup akur dengan putaran minda itu. Demikianlah halnya dengan minda orang kita Melayu pada keseluruhannya. Mahathir telah berjaya memukau kita selama ini. Apatah lagi dengan kepintarannya menitiskan air mata dan menyebakkan dada lengkap dengan mimik muka yang amat menyedihkan itu. Kita terpaku, terpukau dan menjadi kaku, lantas mempercayai muslihat politiknya itu.

Kini, tipu muslihat itu muncul lagi. Cuma, kali ini ia disaluti dengan satu taktik baru pula. Bagi Mahathir setiap percaturan politik memerlukan strategi yagn baru. Kita akan kupas dalam penulisan yang akan datang, Insya Allah. Memadailah kalau kita katakan kini, Mahathir sudah semakin tersepit. Dia tersepit oleh mainan politiknya yang jijik dan memualkan. Orang Melayu yang sedar akan taktik songsang itu sudah lama meningglkan UMNO. Untuk mengekalkan pengaruhnya dia kelentong lagi. Kali ini dia gunakan kaum Cina dan India. Dia gunakan kumpulan UMNO yang masih muda dan rakus akan kuasa. Tetapi, berapa lama Mahathir boleh bertahan dengan muslihat politik itu. Apakah dia fikir rakyat marhain semuanya dungu dan tidak berakal untuk meneliti pergerakan strateginya? Tidakkah Mahathir dan para juaknya dalam kepimpinan Barisan Nasional terfikir bahawa rakyat marhain, tidak kira apakah kaum dan bangsanya sudah mula berfikir betapa mereka terpaksa berkorban secara kollektif kali ini? Apakah mereka tidak sedar bahawa semakin ramai rakyat negara ini yang mahu mengorbankan Mahathir dan para juaknya?

Sebagai rakyat yang cintakan negaranya, apakah anda tidak berfikiran begitu?

Marhaintua@Hotmail.com
....bersambung
18Mac, 2000.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com