Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

BAB 8 - YANG BONGAK DAN BONGOK

Apakah jenis manusia yang dipilih oleh Mahathir menjadi pemimpin negeri kebelakangan ini ? Semakin ramai yang memperagakan dua ciri yang menjijikkan. Ada yang semakin bongak dan ada pula yang lebih bongok daripada yang lain-lain. 'Bongak' bererti sombong, angkuh dan pongak. 'Bongok' bererti bodoh ataupun dongok. Malahan di beberapa daerah di kepulaun Melayu 'bongak' boleh juga bererti 'bongok'.

Soalan di atas ini tentu perlu kita tanya dulu kepada orang Melaka kerana mereka kini dihantui satu dilemma yang belum pernah mereka alami sejak negara ini mencapai kemerdekaannya. Nampaknya masalah orang Melayu Melaka di zaman bersultan dulu sudah kembali semula. Mereka terpaksa banyak 'bersabau' memikirkan apa sudah jadi kepada negeri yang mula beraja dan kini sudah pun lama tiada itu. Apakah ketua menteri yang baru ini seorang yang bongak ataupun seorang yang bongok ? Bagimana tidaknya ? Inilah ketua menteri yang tidak tahu membezakan apakah sebenarnya fungsi seorang ketua kerajaan negeri dengan fungsi seorang pemimpin parti politik.

"Kalaulah dia tahu dua perbezaan yang amat ketara itu, tidaklah orang Melaka meracau untuk bersabau. Hinggakan ramai orang kampung keluau ke bandau untuk menjenguk muka si lahabau." Demikian marahnya seorang veteran UMNO daripada Melaka yang saya hubungi untuk mendapatkan reaksinya. Memang banyak lagi yang dicakapkannya tetapi hampir semua perkataannya itu tidak boleh diturunkan di dalam penulisan ini. Maklumlah orang Melaka. Kalau sudah marah, tidak ada perkataan baik yang digunakannya. Sedangkan dalam keadan baik-baik pun ada orang Melaka yang suka menggunakan perkataan yang mungkin dianggap kesat dan kasar di tempat lain, apatah lagi ketika beliau geram amat sangat dengan Ketua Menteri mereka.

Penderaan Secara Proksi

Sebagaimana yang kita tulis di bab yang baru berlalu, tindak-tanduk para pemimpin UMNO yang baru dinaikkan pangkatnya amat memeranjatkan kita orang Melayu. Malahan rintihan serupa telah juga diperkatakan oleh segelintir orang bukan Melayu di negara ini. Mereka semakin celupar sehinggakan kata-kata dan tindakan yang mereka syorkan atau laksanakan menunjukkan satu penderaan terhadap rakyat yang mengundi mereka ke mercu kejayaan yang ada. Mereka bertindak ganas dalam penuh kelembutan dan bergaya lembut dalam tindakan keganasan terhadap bangsa sendiri. Seolah-olah rakyat marhain adalah satu golongan masyarakat hamba abdi yang tidak pernah bersekolah; kalau bersekolah pun masyarakat marhain itu adalah satu golongan yang tidak tahu berfikir. Kalau tahu berfikir pun masyarakat marhain itu mereka anggap sebagai golongan yang tidak berfikiran waras.

Apabila penderaan sedemikian datangnya dariapda Ali Rastam, seorang yang baru sahaja dilantik menjadi Ketua Menteri, kita sudah dapat mengagak apakah jenis manusia yang dilantik ke jawatan itu. Perwatakan yang serupa, cuma kurang menggilanya lagi, dipertontonkan juga oleh Adnan Yaakob sehinggakan orang Pahang lebih gemar menyebutnya dengan nama Taiko Adnan.

Kedua-dua nama di atas menonjol secara bersilih ganti sekarang ini di media massa kerana fikiran dan tindakan mereka yang bukan sahaja melucukan tetapi menjijikkan sekali. Mereka berdua ini sudah semacam berpakat untuk menandingi satu sama lain dalam membuat kenyataan di media massa. Kalau kita lihat perangai mereka berdua ini tentu kita masih teringat akan perangai tiga orang menteri besar di Kedah, Perlis dan Perak. Ketiga-tiga menteri besar ini pun pernah berperangai sumbang dalam tindakan berpolitik dan celupar dalam pertuturan politik mereka. Jadinya, sudah ada empat menteri besar dan seorang ketua menteri yang seolah-olah bersekongkol mendera rakyat. Kenapkah perkara ini terjadi dan bagaimanakah impaknya nanti ?

- Strategi Baru Diktator Tua

Cuba kita telitikan betul-betul, bukankah tindak-tanduk para menteri besar dan juga ketua menteri Barisan Nasional sudah berubah sejak Mahathir pulang daripada bercuti ? Tindakan mereka dan perkataan yang mereka hamburkan seolah-olah menunjukkan ada di kalangan mereka ini yang sedang membuang tabiat. Mengikut budaya Melayu dan juga fahaman kehidupan orang Asia, manusia yang berbuang tebiat ataupun tabiat adalah mereka yang sudah merasakan semakin hampir ke gerbang kenyanyokan. Tetapi, hampir semua menteri besar dan ketua menteri itu masih muda lagi. Hanya seorang dua sahaja yang mungkin melepasi umur pencen wajib kerajaan. Kalau Mahathir boleh berkuasa ketika beliau sudah pun melewati 75 tahun, takkan pula menteri besar tidak mampu berkuasa sehingga ke tahap usia begitu? Jadi, di manakah terletaknya misteri perubahan kelakuan mereka itu?

Jawapannya terletak kepada cara kerajaan Israel di tadbir. Cuba kita perhatikan bagaimana setiap presiden Israel memerintah. Tidak ada satu pun tindakan daripada kerajaan yang dimulakan oleh presiden yang memerintah. Semuanya timbul dan dilaksanakan apabila sesuatu isu itu menjadi hangat setelah dicetuskan oleh menteri dan juga ketua agama di negara itu. Inilah taktik pemerintahan kerajaan Israel sejak Golda Meyer lagi. Cuba baca buku autobiography Golda Meyer dan buku-buku lain tentang pentadbiran kerajaan Israel sebelumnya. Taktik mendera rakyat dilakukan serupa sahaja. Inilah taktik yang digunakan oleh Mahathir sekarang ini.

Taktik ini diperhaluskan lagi oleh Benjamin Netanyahu apabila dia mendapat sokongan daripada beberapa pemimpin agama di Israel. Pemimpin agama yang dari beberapa mazhab mempunyai pengikut yang sudah lama taksub kepada pengaruh mereka; telah digalakkkan mengemukakan beberapa ide yang tidak dapat diterima oleh puak Palestin, secara berganti-ganti. Semua itu dijadikan bahan mengatur strategi politik pemerintah yang kerap diawasi dan diteliti oleh negara barat, terutama sekali Amerika. Oleh kerana Amerika Syarikat bebelanja besar untuk membiayai kerajaan Israel, Amerika mahukan mereka tidak berapa berlebihan secara 'overacting' kerana takutkan pemimpin negara minyak Arab berkecil hati. Oleh itu, pemerintah kerajaan Israel menggunakan taktik mendera itu secara proksi melalui pemimpin muda dan juga pemimpin agama mereka.

- - Strategi Yahudi Yang Diperhaluskan

Berdasarkan kejayaan pemimpin Yahudi, UMNO dan Mahathir telah memperhaluskan lagi strategi ini untuk menyesuaikannya di Malaysia. Kali ini, menteri besar dan juga ketua menteri diarah bergilir-gilir mengemukakan sesuatu isu yang baru untuk menarik minat rakyat. Tidak kiralah isu itu akan mendera rakyat ataupun tidak. Yang penting sekali, isu yang ditonjolkan itu akan memudahkan Mahathir lmelaksanakan peranannya sebagai algojo terulung negara. Cuba lihat kepada beberapa program yang telah dilaksanakan:

i) Mencalonkan Tengku Razaleigh untuk jawatan Naib Presiden UMNO. Cadangan in telah dibuat ketika tiga orang menteri besar berada di Thailand. Mereka mengeluarkan kenyataan akhbar agar Tengku Razaleigh dicalonkan bagi jawatan Naib Presiden. Mereka membuat pengumuman tentang poltik negara di negara orang. Mereka mengungkitkan cerita konsensus Majlis Tertinggi UMNO di negara orang. Kenapakah tidak dilakukan di tanah air sendiri? Apakah dengan membuat kenyataan akhbar secara bertiga itu membawa 'oomph' kepada isu itu ? Ketika kenyataan itu dibuat Paklah berada bersama mereka. Bukankah itu satu konspirasi?

Sebenarnya konsensus Majlis Tertinggi adalah satu mainan politik yang didalangi oleh Mahathir yang mahu terus berkuasa sehingga dia mati (maaf kalau saya berkata kesat sedikit, mungkin kerana terikut perasaan orang Melaka sekarang ini). Tetapi, Mahathir mahu berdolak dalik seolah-olah dia bersedia menerima tandingan bagi jawatan itu. Kerana itu ditekankan perkataan "KONSENSUS". Kenapakah tidak digunakan perkataan "KATA SEPAKAT"? Bukankah itu perkataan Melayu yang tepat dengan perkataan 'consensus' ? Lihat, betapa liciknya mainan politik orang UMNO. Mereka gunakan perkataan Inggeris untuk menggantikan perkataan Melayu yang sedia ada. Kalau digunakan perkataan Melayu untuk membayangkan perakara yang sebenar, mereka tahu mereka berdosa kepada bangsa mereka, kerana tidak ada persafahaman untuk melantik Mahathir berkuasa sampai dia tidak bernyawa. Tidak juga ada persemuafakatan untuk melantik Paklah ke jawatan yang dipegangnya secara 'default' itu. Kerana itu bila Mahathir berdepan dengan orang Melayu di London, apakah yang dikatakannya dengan isu 'konsensus' itu ? Jawapannya, ialah:

"......terpulanglah kepada ahli UMNO menerima pandangan Majlis Tertinggi. Keputusan konsensus itu adalah satu panduan sahaja."

Bukankah ini jawapannya di London dulu ? Kenapakah lain pula caranya sekarang, sehinggakan menteri besar dan ketua menteri sanggup bertegang urat dengan ahli-ahli UMNO mengatakan bahawa konsensus itu bererti keputusan muktamad ? Kenapakah sekarang ini pencalonan di persidangan bahagian dilakukan secara berkumpulan dan tidak secara individu dan mengikut jawatan? Sekali lagi orang Melayu dibongokkan oleh Mahathir dan para juaknya. Sekali lagi orang Melayu bersorak dalam hati "Biarkan, biarkan....!"

ii) Menteri Besar Perak yang baru Tajol Rosli telah merancang agar Tengku Razaleigh dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden parti. Beginilah liciknya permainan politik anak bekas menteri besar Perak ini. Kini dia menjadi menteri besar dan memegang satu jawatan yang pernah dipegang oleh ayahnya satu ketika dulu. Ayahnya yang pernah menjadi "overseer" DID akhirnya telah menjadi Menteri Pertanian melalui perjuangan beliau dalam UMNO. Tidak lama selepas itu Tengku Razaleigh pun memasukki politik dan menjadi menteri muda kabinet dan tentunya pernah menepuk dan memegang bahu Tajol yang masih mentah ketika itu. Bukankah Tajol pernah memanggil Tengku Razaleigh 'uncle' satu ketika dulu? Di manakah Mahathir ketika Tajol mula-mula mengenal Tengku Razaleigh? Inikah yang dikatakan budaya Melayu menghormati yang tua dan yang pernah berjasa ?

Tajol bersama dua menteri besar negeri-negeri di utara itu telah melaksanakan satu missi yang dilakar oleh seorang diktator tua untuk memberi nafas baru kepada satu muslihat politik yang telah ditolak oleh rakyat. Konsensus MT telah ditolak oleh rakyat. Tetapi dengn menggunakan muslihat politik dan kuasa politik, Mahathir berjaya menggondol banyak lagi pencalonan untuk mengenepikan Tengku Razaleigh Hamzah. Taktik peras ugut ini tidak dapt berjalan licin kalau Ali Rastam tidak turut sama.

iii) Ali Rastam telah dikudakan oleh seorang diktator tua untuk melaksanakan rencana peras ugut secara melambak dan terbuka. Dia mengugut dua bank yang condong kepada amalan perbankan Islam agar mendisiplin pegawainya atas dasar tohmahan pembocoran rahsia perbankan. Apakah itu benar seratus peratus? Apakah tidak ada rahsia perbankan yang dicocorkan oleh pegawai bank lain yang sampai ke tangan kerajaan Singapura dan media massa luar sebelum ini? Siapa yang membocorkan rahsia urusniaga bank rakyat yang menjatuhkan Harun Idris satu ketika dulu? Bukankah kebocoran rahsia bank itu diketahui oleh orang luar sebelum akhbar tempatan mengetahuinya ? Adakah apa-apa tindakan diambil terhadap bank-bank asing yang membocorkan rahsia itu dulu?

- Agenda Sebenar Mendera Pegawai Bank Bumi-Commerce dan B.Islam

Kita nampak betapa jahatnya Ali Rastam dan Mahathir dalam perkara ini. Cuba kita bayangkan apakah dosa sebenar pegawai bank Bumiputra yang sekian lama menanggung aib dan malu serta kerugian kerana bank itu telah diselamatkan daripada kemuflisan sebanyak tiga kali. Tidak ada sebuah bank pun di dunia ini yang muflis tiga kali dan diselamatkan oleh kerajaannya. Kenapa? Kerana sebahagian besar pinjaman telah dibalun oleh orang politik. Kerana sebahagian projek yang dibiayai oleh bank itu adalah projek orang politik. Kerana bank itu dianggap sebagai almari wang di rumah sendiri oleh segelintir pemimpin terkanan UMNO. Itulah jawapannya yang sebenar.

Di sini kita perlu menyorot sejarah sedikit. Sekitar 80-an, Bank Bumiputra di Jalan Melaka berpindah ke seberang jalan ke pejabatnya yang baru. Dengan izin Allah dan juga kehendak sesiapa yang masih lagi samar ketika ini, bank yang lama terbakar daripada bahagian tengah. Siapa membakarnya tidak diketahui. Tetapi, apakah kemungkinannya ada beberapa dokumen penting yang masih belum dipindahkan terbakar sama ketika itu ? Tidak ada sesiapa yang mahu memberitahu.

Sehubungan dengan itu mungkin kita elok catitkan berita kebakaran JPJ di Ipoh yang membakarkan juga mesin komputer mengeluarkan lesen. Siapa yang membakarnya pun tidak diketahui. Tetapi, orang veteran JPJ tentu berani beritahu bahawa kebakaran itu dirancang untuk membolehkan pengeluaran lesen palsu bagi sesiapa yang tidak mahu menjalani pemerikasaan memandu kereta. Lesen pendua dikeluarkan berdasarkan rekod memandu yagn terbakar dalam komputer yang 'dibakar' di Ipoh dulu.

Kalau konspirasi pembakaran mesin komputer di Ipoh dilakukan untuk membolehkan sindiket lesen palsu berurusan terus dengan perniagaannya, apakah serba mungkin pembakaran Bank Bumiputra di Jalan Melaka dulu dirancang untuk membakar hangus hutang bertapuk para pemimpin politik dalam UMNO dan BN?

Sebenarnya, banyak lagi cerita lama yang disimpan dalam fail persendirian beberapa ratus pegawai bank Bumiputra yang merasakan diri mereka dianiayai oleh pemimpin UMNO. Mereka yang sungguh setia dengan bank itu satu ketika dulu sanggup terus menyambung khidmat sehingga tahap persaraan sambil mengharapkan keadaan beransur pulih dan dapatlah mereka menerima bonus dan tunggakan kenaikan gaji yang tersekat begitu lama. Apakah yang terjadi akhirnya ? Mereka merasa hampa apabila mendapat tahu Bank of Commerce yang banyak berhutang kepada Bank of Commerce akhirnya mengambil alih teraju pentadbiran penggabungan bank. Inilah orang Melayu yang lama berkhidmat kepada Bank Bumiputra yang dianggap tidak tahu bersyukur kepada kerajaan yang memerintah.

Di sinilah silapnya Ali Rastam. Ini juga menggambarkan betapa ceteknya pegangan agama beliau kerana mudah dikotak-katikkan oleh seorang diktator tua. Di manakah Ali Rastam, ketika sebilangan besar pegawai Melayu Bank Bumiputra kepedihan kerana malu bekerja dengan sebuah bank yang tidak mampu membayar bonus mereka sedangkan pegawai bank lain menerimanya? Di manakah Ali Rastam yang satu ketika dulu menjadi pemimpin belia antarabangsa ketika pegawai bank tidak menerima kenaikan gaji tahunan mereka?

Kita tahu, Mahathir dan Ali Rastam mahu memperbodohkan orang Melayu akhirnya dengan mendera pegawai bank Bumiputra-Comerce dan Bank Islam. Ali Rastam sebenarnya mahu menekan bank Bumiputra Commerce kerana banyak membocorkan rahsia untuk melunturkan kewibawaan Daim. Tetapi untuk tidak menampakkan sangat strategi busuk itu dibabitkan sama Bank Islam. Ali Rastam ingat orang Melayu sekarang mudah sangat percaya dengan perancangan kotor yang dilakar oleh Daim dan Mahathir itu. Dia ingat orang Melaka bongok macam dia !!!!

-Bila Pemimpin Bermusuh Dengan Rakyatnya.

Kegilaan Ali Rastam berterusan. Dia sudah memusuhi orang Melayu yang bekerja di bank. Kemudian dia memusuhi pula orang Melayu professional di bahagian perubatan dan juga perundangan. Kemudian dimusuhinya pula para kontraktor Melayu. Kenapa ?

Kita boleh nampak sebarang tindak-tanduk Ali Rastam sebagai sebahagian daripada satu "Grand Design" yang dilakar di Putrajaya. Apakah rakyat bodoh; boleh mudah sangat mempercayai bahawa Ali Rastam tidak berotak lasung untuk memerangi rakyat Melaka? Berapa lama sangat Ali Rastam memerintah negerinya itu?

Mengikut hukum pengurusan seseorang ketua ekskutif memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk menyesuaikan dirinya kepada suasana kerja yang baru. Bagi seorang Ketua Menteri seperti Ali Rastam atupun menteri besar seperti Taiko Adnan, Tajol Rosli dan Sheikh Razak, enam bulan itu pun belum cukup untuk menyesuaikan diri kerana keadaan politik tanah air yang bergelora. Sekejap timbul La Nina sekejap muncul La Nino. Inilah pergolakan politik yang disulam pula oleh majlis UMNO pada Mei ini. Tentu sekali seseorang pemimpin seperti Ali Rastam perlu melawat setiap jajahan di Melaka dan bertemu dengan pemimpin rakyat tempatan dan mencari maklumat yang boleh meneguhkan kerajaannya. Kepimpinan satu pemerintahan yang dilantik oleh rakyat boleh jatuh tersungkur disebabkan sentimen marah rakyat. Inilah hakikat pemerintahan politik di mana juga. Baik kerajaan itu bersikap demokrasi, sosialisme ataupun komunisme.

Pepatah Melayu berkata: 'Raja yang Baik Raja disembah, Raja yang salah, raja disanggah.' Melaka tidak pun mempunayi raja. Gaboner yang ada pun bukannya anak Melaka. Ia didatangkan daripada negeri atas angin oleh seorang diktator tua yang memerintah negara secara atas angin juga. Jadinya, pada orang Melaka, Ali Rastam adalah pemimpin rakyat yang paling terdekat bertaraf raja, kalau mengikut tatasusila melayu lama. Dengan hal yang demikian Ali Rastam harus menentukan beliau menjadi seorang pemimpin yang disayangi rakyatnya dan bukan dibenci oleh rakyatnya. Tidak ada sesuatu yang tidak dapat diselesaikan dengan rakyat secara berunding dan bermuzakarah. Kenapa perlunya Ali Rastam bermusuh dengan insititusi Melayu sedangkan permusuhan itu akhirnya berpanjangan dan disasarkan kepada orang Melayu juga ?

- Bila Masyarakat Melayu Melaka Membungkam

Orang Melaka terkejut denan tindakan Ali Rastam mendera bangsanya sendiri secara bersiri. "Kami menjadi membungkam" kata mereka. Mereka menjadi membisu buat seketika kerana tidak percaya seorang pemimpin yang dijangkakan mempunyai masadepan yang cerah dalam arena politik Melayu sanggup celupar dan bertindak ganas terhadap bangsanya. Majoriti ahli veteran UMNO percaya bahawa tindakan Ali Rastam itu adalah satu taktik menunjukkan siapa yang berkuasa sebenarnya di Melaka. Siapa yang berkuasa dan berpengaruh ketika inilah, maksudnya. Mereka percaya, Ali Rastam tidak berani mengangkat ekornya yang masih pendek itu kalau tidak disebabkan ada satu kuasa besar di belakang yang mengarahkan beliau bertindak demikian. Kuasa besar ini tentunya seorang yang lebih berkuasa daripada Tun Ghafar Baba yang dianggap oleh orang Melaka paling layak menjadi gaboner negeri itu. Siapakah orang yang mendalangi kelakuan bongok dan bongak Ali Rastam itu kalau bukan sorang diktataor tua. Bukankah beliau orangnya yang mendalangi setiap tindakan rakus pemimpin UMNO selama ini secara proksi?

Bila Orang Sanggang Berdendam

Keceluparan Ali Rastam adalah amat mirip dengan kelakuan Adnan Yaakob. Beliau kini digelar Taiko Adnan kerana keberanaiannya menyanggah rakyat biasa di depan khalayak ramai. Walaupun Adnan cuba membuat 'damage control' dengan penjelasan berbelit di media massa, alasan yang diberikannya itu tidak diterima oleh orang Pahang.

Esok, nama wakil Barisan Alternatif akan diumumkan. Esok jua orang ramai akan berpusu-pusu ke Sanggang. Saya ingin mencadangkan agar orang luar masuk ke simpang Kampung Tan Sri Yahaya di Songsang dan terus pergi ke Sanggang hingga ke tambatan lama yang menampakkan Sungai Pahang. Cuba perhatikan Balai Polis di situ, sebuah rumah Melayu dua tingkat yang digunakan juga sebagai pondok polis. Di sebelah jalan yang kecil itu terdapat pejabat Kadi Sanggang Tuan Kadi Abu Bakar bin Dato Shabuddin. Di sebelahnya terletak pejabat penghulu lama. Pejabat barunya sudah pun berpindah berdekatan dengan sekolah di mana Paklah membuat pembukaan pelancaran K3P Sanggang. Perhatikan juga padang sekolah itu di mana tercacak beberapa tiang lampu letrik yang digunakan untuk keramaian majlis itu. Cuba perhatikan jalan masuk ke Sanggang itu di mana di kedua belah jalan terletaknya projek FELCRA Kampung Loyang dan Sanggang. Cuba bayangkan kelebaran jalanraya itu yang tidak lebih daripada 10 kaki. Inilah tahap kemajuan Sanggang sejak diperintah oleh UMNO. Inilah keadaan orang Melayu sejak kemerdekaan dicapai. Saya tidak mahu menulis banyak tentang hal ini kerana tidak mahu mengabui mata rakyat yang akan mengundi pada satu April ini. Memadailah kalau saya ajak para pembaca yang akan ke Sanggang kelak pergi melihat keadaan perkampungan orang China di Mentakab dan di kawasan masuk ke perkampungan orang Melayu. Cuba lihat keadaan infrastruktur yang diberikan kepada penduduk asing.

Ternyata sangat orang Melayu Pahang jauh ke belakang dalam penerimaan kemudahan kerajaan yang memerintah. Apakah kerana itu Taiko Adnan mengisytiharkan penubuhan satu tabung khas berjumlah dua juta ringgit untuk membantu orang kampung yang daif? Cuba baca Berita Minggu Mukasurat 9 di bawah tajuk: Pahang Tubuh Dana Khas Bantu Warga Tua. Yang peliknya kenapakah dana itu akan mula mengeluarkan bantuan itu pada bulan hadapan, selepas pengundian di Sanggang ? Mengikut orang Sanggang yang saya temui semalam, apalah sangat boleh diharapkan daripada Taiko Adnan. Lihat dulu apa sudah jadi kepada projek Hospital Temerluh yang terbengkalai sejak 10 tahun yang lalu. Saya telah pergi melihat tapak projek itu berpandukan pendedahan Harakah dan mampu ketawa dengan janji itu. Saya tanya beberapa orang Pahang akan perkara itu. Jawapan mereka amat mudah sekali. "Apa yang diharapkan sangat dengan janji orang UMNO. Tanggunglah sendiri buat seketika. Nak mengadu kepada Sultan pun bukannya dia ada waktu ini. Kalau ada pun bukannya dia mudah ke tempat kami ini !!!"

Sepatutnya kalau pemimpin UMNO pandai dan bijak, Sanggang boleh menjadi perkampungan contoh di negara ini. Projek peliharaan ikan dalam sangkar sahaja mampu memajukan Sanggang. Cuba pasarkan Ikan Patin secara meluas di Kuala Lumpur. Jangan biarkan pasaran ikan itu cuma di tepi-tepi jalan dan di kedai makan sahaja. Cuba buat secara lebih serius, ikan itu boleh diekspot dengan secara lebih berkesan. Tetapi, tidak.

Temerluh dan Mentakab terkenal dengan kem tenteranya. Kenapakah dibiarkan tenaga tentera ini hanya di kem mereka di waktu aman ini ?. Kenapakah tidak digembeling tenaga itu menjadi satu dengan memajukan seluruh kawasan Pahang, dengan membuat bebrapa 'pilot project' di Sanggang? Kita tahu projek semacam itu tidak akan ditaja oleh kerajaan kerana ia tidak mendatangkan keuntungan pada para kroni. Tidak ada jutawan segera dalam projek semacam itu. Tetapi, kalau ada pemimpin Pahang yang mementingkan kesenagan rakyat, gunakanlah tenaaga askar yang ada dan majukanlah Pahang sebagai contoh kepada pemimpin negara yang lain. Sanggang mempunyai tanah yang luas sebagai tapak projek cubaan itu. Kenapakah projek semacam ini tidak mahu dimulakan. Apakah pentingnya perojek K3P yang dirasmikan pembukaanya oleh Paklah sedangkan bangunan 'Ummah Maskamu Sanggang' berada dalam keadaan terbiar di Sangang itu? Mungkin tidak ada sesiapa yang mahu menunjukkan bangunan itu kepada Paklah. Malahan, mungkin tidak sesiapa dapat menjangkakan bilakah Mahathir akan muncul dengan temberang baru untuk rakyat Sanggang.

Kesimpulan

Kelakuan para menteri besar, ketua menteri dan juga beberapa pemimpin UMNO sejak kebelakangan ini memang dibenci oleh rakyat. Tetapi mereka tidak peduli dan terus mendera rakyat dengan beberapa tindakan yang bukan sahaja menjujikkan tetapi juga memalukan bangsa Melayu. Mereka tentunya tidak mampu berbuat demikian melainkan ada arahan daripada 'atas'. Siapakah yang mengarahkan ini semua kalau bukan pemimpin unggul parti yang memerintah? Kalau dibandingkan cara pemerintahan kini amat mirip dengan taktik pemerintahan kerajaan Israel, kita dapat jangkakan rakyat akan terus didera agar mematuhi dan mempercayai arahan dari 'atas' itu.

Di Israel, penderaan terhadap rakyat ditentang oleh rakyat mengikut dua cara. Orang Yahudi menentangnya dengan mendapatkan sokongan Amerika dan juga secara menggunakan media massa dan alat elektronik yang lain. Tetapi, orang Islam dan kaum Palestin menentang penderaan kerajaan itu dengan menggunakan batu, lastik dan semangat 'intifada' Apakah itu yang dinantikan oleh Mahathir dan juga para pemimpin UMNO yang lain?

Tidak cukupkah bukti yang dikeluarkan oleh ajaran Islam dan dicatatkan dalam Al Quran betapa penderaan terhadap rakyat itu amat bertentangan dengan amalan agama? Apakah sebenarnya yang disasarkan oleh Mahathir dan juga para juak terbarunya seperti Ali Rastam, Adnan Yaakob. Tajol Rosli, Shahidan Kassim dan juga Sheikh Razak? Apakah pula matlamat mereka memusuhi rakyat yang mengundi mereka ke mercu kejayaan karier politik itu ?

Siapkah yang bongak dan siapa pula yang bongok dalam hal ini. Apakah tindakan rakus pemimpin kerajaan negeri itu melambangkan kepincangan Mahahtir kerana melantik mereka ke jawatan itu? Apakah Mahathir sudah nyanyuk sehingga dia sendiri pun sudah bongak dan bongok ? Ataupun apakah orang Melayu dalam UMNO itu yang pada keseluruhannya telah disihir agar terus bongak dan bongok juga? Dapatkah para pengundi di Sanggang memberikan jawapannya???

Marhaintua@Hotmail.com
..bersambung....
21.3.2000.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com