Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

BAB 9 - YANG LUCAH, LUCU DAN LECEH

Gelagat aksi lucah yang dipertontonkan dengan jelas dan angkuhnya oleh Adnan-UMNO mengingatkan kita lagak seorang samseng yang cuba menunjuk-nunjuk. Apakah Adnan-UMNO sudah terpalit badi Bentong Kali yang terkenal kesamsengannya satu ketika dulu? Apakah gelagat ini satu petanda betapa orang pilihan Mamak Mahathir sudah semakin rakus untuk menonjolkan diri mereka bersaing di antara satu dengan yang lain untuk menarik perhatian ? Di Pahang, aksi lucah seorang pemimpin ulung negeri menarik perhatian rakyatnya dan bukannya agenda politik untuk memajukan negeri mengikut sumpah setianya. Di Melaka pula, rakan sejawatnya asyik dengan proses menunjuk kuasa mengganyang beberapa institusi yang dikendalikan oleh anak bangsanya.

Nampak sangat manusia politik seperti Adnan-UMNO dan juga Ali-Rectum (begitulah nama barunya yang diberikan oleh rakyat Melaka) sudah ketandusan ide untuk memerintah negeri yang telah meletakkanya secara undi rahsia. Ini membuatkan rakyat semakin tertanya-tanya apakah benar undi yang mereka raih itu undi yang halal belaka. Apakah salah sangkaan rakyat jelata bahawa undi yang meemenangkan mereka itu sebenarnya dibawa oleh hantu ?

Apa pun yang akan berlaku, Adnan-UMNO bolehlah berbangga dengan rekod yang mungkin diambil kira oleh Guiness Book of Word Records, sebagai seorang pemimpin politik pertama yang tergamak menunjukkan aksi lucah di hadapan khalayak ramai. Sementara itu, Ali-Rectum pun boleh berbangga dengan tindakannya yang boleh diambil kira oleh insitutusi yang sama kerana kebongokan memahami perbezaan peranan seorang ketua sebuah kerajaan berbanding peranan seorang ketua pertubuhan politik.

Apakah semua ini satu petanda betapa Mahathir dan kekuasaanya itu akan runtuh disebabkan orang-orang kepercayaannya ? Inikah yang diramalkan oleh beberapa perawi yang mengatakan UMNO akan pecah berderai sebelum Mahathir menghembuskan nafas terakhirnya? Apakah ini yang dikatakan azab yang perlu ditangani Mahathir di penghujung kekuasaannya?

Kita pernah menulis dan mengatakan, sikap kelentongan dan kerakusan untuk membalun harta negara bagi dirinya dan juga para kroni telah melahirkan satu sistem kerajaan yang membesar laksana satu raksasa yang menakutkan Mamak Mahathir sendiri. Disebabkan besarnya raksasa yang tercipta itu makanya gelagat Adnan-UMNO tidak dapat dikekang dengan mudah. Apatah lagi reaksi orang Pahang, terutama sekali orang Sanggang terhadap gelagat itu. Disebabkan masalah ini makanya Timbalan Perdana Menteri selaku peneraju unggul pilihanraya kecil di Sanggang itu terpaksa mengambil jalan mudah dan menyokong perbuatan Adnan-UMNO dengan alasan beliau telah diprovok oleh penyokong Barisan Alternatif. Provokasi jenis apakah yang dimaksudkan, tidak pula diterangkan. Yang nyata, mengikut video yang merakamkan segala peristiwa, ketika itu para penyokong Barisan Alternatif sedang bertakbir secara berpasukan. Adnan-UMNO nampak jelas terjerit-jerit dan terlolong-long ke arah kumpulan itu dan menunjukkan gelagat lucahnya.

Apakah bentuk provokasinya kalau para menteri dan pemimpin UMNO yang berada di persekitaran Adnan-UMNO berdiri itu, semuanya ketawa berdekah-dekah seolah-olah memberikan galakan kepadanya untuk terus melakukan gelagat sumbang itu? Memang lucu sekali reaksi Paklah dan tentu sekali Mamak Mahathir akan bertempik sakan kalau ditunjukkan video sebenar akan apa yang telah berlaku.

Yang lecehnya, sehingga kini belum ada lapuran jelas akan reaksi Mamak Mahathir terhadap gelagat Adnan-UMNO itu. Mungkin beliau belum lagi melihat videonya. Ataupun video yang dimekap dan 'baik-pulih' oleh pihak yang mengampu Adnan-UMNO masih belum siap lagi?

Yang pasti, gelagat Adnan-UMNO di Pahang dan juga tindakan Ali-Rectum di Melaka telah melegakan Mamak Mahathir. Dia tentunya lega kerana pablisiti berterusan terhadap dua ketua kerajaan negeri pilihannya itu telah memesongkan pandangan rakyat terhadap dilemma beliau yang enggan menghadirkan dirinya ke mahkamah. Di sini timbul pula satu soalan: Apakah Adnan-UMNO dan juga Ali-Rectum sengaja melakukan perbuatan yang menjijikkan itu dengan tujuan untuk mengalihkan pandangan rakyat?

Bila Pemimpin Berlagak Samseng

Di dalam sejarah politik moden, memang terdapat pemimpin politik yang kerap berlagak samseng. Gelagat mereka itu mencerminkan peribadi mereka sebenar. Kalau manusia seperti Adnan-UMNO mudah celupar dan berlagak samseng di hadapan begitu ramai manusia yang membeliakkan mata terhadapnya, apakah lagi yang positif yang boleh diharapkan daripadanya ? Kini, Adnan-UMNO sudah semestinya dirundung malang, kerana tersilap perbuatan. Tetapi, apakah yang boleh dilakukannya setelah menyedari impak negatif yang dicetuskannya itu?

Kita tidak hairan kalau Adnan-UMNO tidur malam dengan menggunakan ubat tidur (sedative) kerana memikirkan bahana perbuatannya itu. Kalau Barisan Nasional kalah di Sanggang adalah tidak menghairankan kalau beliau dimasukkan ke hospital pula kerana keadaan tekanan yang memuncak sebagai impak terbesar di atas perbuatan terkutuknya itu. Akan terlepaslah nanti beban Khalil Yaakob dan juga Paklah seandainya BN kalah kerana mereka mudah menuding jari terhadap Adnan-UMNO. Menyedari hakikat ini apakah pula proses 'damage control' yang dilakukan oleh Adnan-UMNO?

Sebagai satu tindakan 'image recovery' Adnan-UMNO mungkin dengan ihsan pihak tertinggi UMNO, mula mengedarkan segala bentuk penyedap kepada para pengundi. Lihat, betapa beliau bersedia melembutkan hati para pengundi sekelian. Sesiapa yang telah menceroboh tanah kerajaan akan diberikan kemudahan membayar penalti. "Sesiapa yang layak menerima geran tanah yang sudah lama tertangguh akan menerimanya nanti". Semua penyedap ini akan menguntungkan pelbagai jenis manusia di Sanggang. Sudah tentu ramai yang tidak pernah duduk di mukim Sanggang pun akan mengaku menjadi orang Sanggang untuk mendapatkan segala bentuk penyedap itu. Taktik yang digunakan oleh MCA di Lukut ketika membuat penyata bantuan dan pampasan kepada penternak babi akan digunakan sekali lagi. Orang Cina Mentakab dan Temerluh akan menerima habuan besar mereka secara tidak disangka. Adnan sanggup berkorban apa sahaja kali ini asalkan Sanggang tetap dimenangi oleh Barisan Nasional. Apa peduli dengan prinsip politik dan juga maruah Melayu ? Sanggang mesti dimenangi oleh UMNO tidak kiralah kalau maruah diri dan bangsa akan tergadai.

Bila Pemimpin Berlagak Biadap

Dilemma Adnan-UMNO sedang dirasakan juga oleh Ali-Rectum. Cuma, tekanan tindakannya itu belum kelihatan berkesan sangat. Ini adalah disebabkan penderaan yang dilakukannya itu tertumpu kepada orang Melayu yang beragama Islam. Dia telah mendera pegawai Bank Bumiputra Commerce dan para professional yang mempunyai klinik dan syarikat guaman. Dia telah melakukan apa yang belum pernah dilakukan secara terbuka oleh para pemimpin politik Melayu sebelumnya. Dia telah bersikap biadap kepada bangsanya. Samada Ali-Rectum sedar akan implikasi tindakannya itu terpulanglah kepada beliau sendiri dan juga para penasihatnya untuk menyedarinya sebelum terlambat. Implikasinya adalah hebat dan amat besar dengungnya satu hari nanti. Tunggu sahajalah !

Seorang pemikir pernah berkata: Seseorang yang menunjukkan sikap yang biadap mungkin didorong oleh keangkohan. Tetapi, keangkohan adalah ibu segala kebodohan. Sikap keangkohan bukannya lahir secara spontan dalam sanubari seseorang. Ia menjadi satu perangai semulajadi yang dibiarkan berpanjangan. Soalnya sekarang bagaimanakah Ali-Rectum dapat menutup perangai keangkohannya begitu lama sekali sehingga tidak dapat dikesan oleh Mamak Mahathir? Bukankah perangai seperti ini akan merudumkan pengaruh seorang Ketua Menteri, akhirnya?

Orang yang pernah megenal Ali-Rectum memberitahu bahawa dia terperanjat juga dengan tindakan Ali yang terbaru. "Ini merupakan satu tingkah laku yang ganjil darinya. Sebelum itu Ali mudah diajak berunding dan sanggup mendengar cakap kawan-kawan sekelilingnya." Kalau begitu, kenapakah Ali sanggup bertukar perangai? Kenapakah beliau sanggup memulakan tugas terbarunya itu dengan satu imej kepimpinan begitu negatif sekali ? Pelbagai soalan boleh dikemukan dalam hal ini. Akhirnya kita akan membuat keputusan bahawa Ali-Rectum berperangai demikian semata-mata mahu memuaskan kehendak seorang mamak tua yang amat rakuskan kuasa. Atau, apakah ada orang lain yang mahukan dia berlagak demikian? Apakah mungkin dengan berlagak garang dan menarik simpanan daripada Bank Bumiputra-Commerce dia fikir memadai sebagai alasan satu jalan yang memudahkannya mengalihkan wang itu ke bank lain yang ditunjukkan oleh orang atasan? Di bank manakah simpanan itu dialihkan? Mungkinakh wang itu dimasukkan dalam Bank kepunyaan Daim Zainuddin?

Bila Pemimpin Takutkan Masa Depannya

Gelagat yang ditunjukkan oleh Adnan-UMNO dan juga Ali-Rectum telah disusuli oleh gelagat ketua agong mereka yang semakin terkenal dengan panggilan Mamak Mahathir. Kali ini Mamak Mahathir mahukan semua raja-raja turun ke padang dan bertemu rakyat kerana beliau curiga dengan keadaan perpaduan orang Melayu yang dikatakannya sudah berpecah belah. Soalnya sekarang, apakah betul orang Melayu sudah berpecah belah? Apa yang sudah pecah dan apa yang sudah kena belah?

Inilah yang sungguh melucukan kita kerana asas yang menghendakki raja-raja turun padang itu adalah satu asas yang sengaja diada-adakan. Kini, sudah tersebar berita bagaiman Sultan Pahang akan merupakan sultan yang pertama sekali turun padang untuk bermuzakarah dengan rakyatnya. Baginda mengambil keputusan itu kerana percaya ia adalah cara yang paling berkesan untuk mengatasi masalah perpaduan di kalangan umat Islam. Kalau itulah alasan baginda, kita boleh bersimpati dengan baginda Sultan dan juga dengan semua raja-raja Melayu.

Akhbar perdana telah membuat lapuran muka depan akan tindakan Sultan Pahang itu. Menurut baginda, muzakarah akan diadakan semasa baginda mengadakan lawatan ke setiap daerah di Pahang tidak lama lagi. Saya ingin memetik laporan Mingguan Meloya yang berbunyi begini:

...Sambil mengakui tidak rela melihat bangsa Melayu yang beragama Islam mencemuh kaum lain akibat berpecah belah kerana politik, baginda sempat mengajak seluruh rakyat menghayati pantun yang berbunyi:

'Anak raja memikul kayu,
mari dibuat batang titian,
sudah malang nasib Melayu,
mudah suka dengki-dengkian. '
"..Sultan Ahmad Shah menegaskan usaha mengatasi masalah perpecahan di kalangan orang Melayu bukan sahaja dipikul oleh raja-raja Melayu dan kerajaan tetapi juga rakyat serta alim ulama. Baginda dalam pertemuan itu bertitah, raja-raja sendiri akan menghadapi kesukaran untuk menyatukan semula rakyat jika mereka yang terbabit tidak mahu berganding bahu ke arah memupuk semula perpaduan di kalangan mereka. Persetujuan Sultan Pahang untuk bermuzakarah itu bermakna baginda akan menjadi raja Melayu pertama menyahut seruan yang mahu golongan Istana membantu kerajaan menyelesaikan perpecahan orang Melayu akibat perbezaan fahaman politik. Baginda memberitahu semua pihak yang terlibat termasuk ahli jawatankuasa (AJK) masjid akan ditemuinya sendiri.

'Dalam tempoh sebulan ini, saya akan memaklumkan kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sulatn Ahmad Shah (tentang muzakarah itu) terlebih dulu sebab beliau merupakan Yang Dipertua majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.'

"Menurutnya, baginda lebih rela menemui rakyat di setiap daerah untuk bermuzakarah kerana berpendapat cara ini akan memudahkan rakyat, khasnya dari segi kewangan, berbanding jika mereka diminta ke Istana bagi tujuan yang sama.

"Menurut baginda, muzakarah tersebut tidak akan melibatkan pihak ulama tertentu sahaja tetapi turut membabitkan seluruh rakyat Pahang. Sultan Pahang turut melahirkan kebimbangan tentang kewujudan ceramah di masjid yang diadakan tanpa izin Majlis Agama Islam Negeri dan khutbah Jumaat pula dibaca tanpa mengikut teks yang telah disediakan.

........'Saya tidak faham mengapa khutbah ini tidak dibaca untuk faedah umat Islam sedangkan ia disediakan oleh AJK yang tahu selok-belok agama' katanya."

Kita boleh buat beberapa andain daripada kenyataan Sultan Pahang ini:

a) Baginda termakan penyedap yang dihulur oleh Mamak Mahathir tanpa menyedari betapa kebanyakan masjid sudah pun mempunyai AJK Masjid pilihan UMNO dan bukan pilihan kariah masjid itu. Sejak AJK masjid ditabalkan oleh UMNO kebanyakan aktibiti agama telah dibekukan.

b) Baginda mungkin termakan pujukan Khalil Yaakob yang memainkan peranan besar untuk mempengaruhi baginda pergi ke merata negeri. Apakah baginda sedar satu ketika sebelum pilihanraya dulu berpuluh bas telah digunakan untuk mengangkut para imam dan AJK masjid ke Putrajaya untuk mendengar penerangan khas perdana menteri ? Kalau seorang perdana menteri boleh berbelanja besar untuk memanggil para ulama ke Putrajaya dan menunjukkan video lucah yang dikatakan lakonan Anwar Ibrahim, apakah sebagai ketua agama negara para sultan dan raja-raja tidak sedar akan perbuatan terkutuk itu? Kenapakah majlis raja-raja tidak mengadakan persidangan tergempar membincangkan perbuatan terkutuk Mamak Mahathir itu?

Kalau pun perpecahan di kalangan orang Melayu itu dikatakan serius kenapakah tidak dibincangakan dengan mendalam sebab-mesabab perpecahan itu. Kenapakah persidangan raja-raja yang baru selesai tidak membicangkan impak kes Anwar di mahkamah? Oleh kerana tuduhan liwat terhadap Anwar itu menyangkuti perilaku seorang penganut Islam, kenapakah persidangan penjaga martabat Islam tertinggi di negara ini memperlekehkan sahaja isu itu? Kalau tuduhan terhadap Anwar itu dimulakan oleh Mamak Mahathir kenapakah tidak ada seorang pun raja ataupun wakilnya yang sanggup memerintahkan Mamak Mahathir menerima arahan dan sapina mahkamah untuk menghadirkan dirinya?

Bukankah, persidangan yang baru berlalu itu itu tempat dan majlis yang paling baik untuk merakamkan rintihan rakyat yang disalurkan kepada Yang Dipertuan Agong dulu tentang penindasan terhadap Anwar? Kenapakah tidak ada seorang pun raja yang sanggup menyoal Mamak Mahathir soalan kenapa beliau enggan pergi ke mahkamah? Bukankah soalan seperti itu boleh dijadikan satu bukti untuk menyanggah Mamak tongkang ini? Sepatutnya soalan demikian boleh dikemukakan secara bertulis oleh para sultan yang telah menghantarkan wakilnya ke majlis itu.

Saya ingin mengsyorkan kepada semua raja dan sultan di negara ini (tanpa perlunya berkata 'Ampun tuanku beribu ampun, sembah patik harap diampun dan .....') agar semua sultan dan raja-raja bersidang secara tergempar tanpa membabitkan Mamak Mahathir. Kali ini buatlah satu keputusan yang lebih bijak daripada apa yang telah dicapai itu. Rakyat hari ini bukanlah seperti rakyat tahun yang lalu. Rakyat marhain hari ini sudah sedar bahawa golongan istana merupakan satu golongan yang mementingkan diri dan tembolok jua. Jika tidak, masakan surat yang dipersembahkan oleh Ezam kepada Agong diperlekehkan sahaja?

- Perlunya Persidangan Majlis Tergempar Raja-raja

Saya mengsyorkan agar raja-raja mengadakan majlis tergempar ini seberapa segera sebaik sahaja Yang Dipertuan Agong pulang daripada lawatan ke Thailand. Agendanya ialah untuk menghentikan ura-ura raja-raja melawat kampung dan desa untuk membincangkan masalah perpecahan orang Melayu dan masalah AJK Masjid yang tidak dihormati oleh kariah masjid seperti dulu.

Kalau raja-raja teruskan juga rencana turun padang bertemu rakyat, raja-raja dan sultan akan menjadi bahan tertawa orang Melayu dan akan dirakamkan dalam sejarah Melayu sebagai sultan dan raja Melayu yang mudah dipermainkan oleh seorang mamak tongkang. Ini bererti sejarah kesultanan Melayu diaibkan oleh mamak tongkang akan berulang kembali. Alangkah anihnya dan lucunya perkara ini kalau terjadi?

Bukan satu perkara pelik kalau di hari baginda membuat pengumuman itu sudah terbit satu cerita palsu di Berita Harian pada 23.3.2000 yang berbunyi; "Khutbah Jumaat Batal..Jemaah Solat Zuhur." Cerita ini berlaku di Masjid Kusza kononya. Kini, ternyata berita itu palsu semata-mata. Soalanya sekarang, apakah majlis raja-raja tidak mempunyai satu pasukan risikannya tersendiri yang mampu menyaring nasihat dan berita songsang yang diberikan oleh Mamak Mahathir. Kalau jawapannya tiada, sahlah bahawa Mamak Mahathir sebenarnya yang menjadi raja mutlak di negara ini.

Menyedari hakikat ini eloklah kita cadangkan agar majlis raja-raja bermuafakat untuk merenung masa silam dan juga masa depan baginda sekelian. Kalau masa silam nampak sudah kelam dan masa depan nampak samar, kepada siapakah nanti raja-raja akan mengadu selain daripada "Allah swt. ? Bukankah kepada rakyat yang golongan raja-raja ini akan mempertaruhkan nasibnya?

Semua raja-raja harus faham sefaham-fahamnya bahawa taktik yang dipergunakan oleh Mamak Mahathir ini adalah satu taktik untuk mengabui mata rakyat. Dia mahukan raja-raja turun padang untuk menyelamatkan nasibnya yang sudah terumbang-ambing tidak keruan. Dia tahu apakah laporan pasukan risik yang mengumpulkan maklumat tentang sentimen rakyat terhadapnya. Semuanya negatif belaka.

Memahami Sinario Perpecahan Orang Melayu

Sejarah perpecahan orang Melayu menonjol ketika Britih menjajah orang Melayu. Para sultan dan raja menjadi ahli satu insitusi kerdil di tengah-tengah ketaksuban rakyat yang memuliakan mereka. Sebelum itu, budaya sopan santun Melayu dan fahaman totok untuk sanggup berkorban kerana raja telah membuat orang Melayu menjadi satu bangsa yang sanggup berpecah belah, berkorban jiwa dan raga mempertahankan kedaulatan raja-rajanya. Ketika British lari dan negara ini dijajah oleh Jepun, kedaulatan raja-raja tidak diganggu-gugat. Tidak ada seorang pun sultan dan raja Melayu yang digantikan oleh pihak Jepun dengan pilihan mereka. Golongan istana dibiarkan secara berkecuali oleh pihak Jepun.

Apakah yang dilakukan oleh British setelah Jepun tewas? Mereka cuba melaksanakan 'Malayan Union'. Inilah yang membuatkan orang Melayu bersatu dan mula menanamkan semangat kemerdekaan di sanubari mereka. Siapakah talibarut British ketika itu? Bagimanakah kedai-kedai mamak boleh terbina di setiap perkampungan dan bandar di zaman British dulu dan tapak tanah itu mempunyai geran pula? Sedangkan masih ramai orang Melayu yang lahir di perkampungan yang sama belum lagi diberikan geran tanah kelahirannya sehingga kini?

Kini, perpecahan Melayu menonjol lagi. Perpecahan ini bukan disebabkan perselisihan politik ataupun kesongsangan pegangan agama. Ia lebih disebabkan kecenderongan berpolitik untuk cari makan. Itu perkara yang sebenarnya yang harus difahami oleh setiap sultan dan raja-raja. Inilah perkara yang sebenarnya apabila seorang mamak tongkang yang licik berpolitik telah memutarbalikkan minda orang Melayu untuk terus menyokongnya dengan alasan memperteguhkan ketuanan Melayu.

- Di manakah Ketuanan Melayu Itu Sekarang?

Saya telah berkali-kali menulis betapa ketuanan Melayu yang selama lebih 500 tahun berada di istana sudah diambil-alih oleh UMNO sejak 20 tahun yang lalu. Kini dan sejak lima tahun yang lalu, ketuanan itu sudah pun dialihkan oleh UMNO kepada seorang mamak tongkang bernama Mahathir. Apakah raja-raja tidak faham akan perkara ini? Sanggupkah semua raja-raja berdusta kepada rakyatnya akan fenomena ini sehinggakan Sultan Pahang sanggup menjatuhkan maruahnya berkempen bagi pihak Barisan Nasional pimpinan Mahathir satu ketika yang baru berlalu?

Di dalam penulisan saya berjodol: Apa Ada Pada Raja-raja (bertarikh 1 Januari 2000, saya ada merakamkan:

...``Sebagai rumusannya kita boleh katakan sistem feudal menjadi tonggak institusi raja-raja dibiarkan terus tegak oleh kerajaan MAHAFIRAUN dengan tujuan untuk memperlekehkan institusi raja itu. Dengan cara ini ia memungkinkan UMNO pada satu hari nanti menggantikan institusi itu sebagai tonggak ketuanan Melayu.

"Adalah amat malang sekali seandainya perkara ini berlaku. Kalau kita lihat situasi politik di Indonesia, kita sedar betapa pentingnya institusi raja itu untuk menentukan kejituan martabat Bangsa Melayu di hari muka. Berdasarkan jurang pemisah yang semakin melebar di antara UMNO dan parti Melayu yang lainnya kita boleh menjangkakan betapa institusi raja Melayu akan memainkan peranan yang besar di satu hari kelak. Cuma para pendukung institusi itu harus sedar dari khayalan mereka bahawa merekalah yang sepatutnya berdiri tegak mempertahankan apa yang dikatakan kedaulatan raja-raja Melayu itu sendiri. Keadaan ini semakin genting kalau raja-raja tidak insaf betapa sebilangan besar rakyat hanya sanggup berdiri senyap sebagai saksi-saksi yang tidak diundang ketika institusi raja itu jatuh berkecai disebabkan keangkuhan dan perbuatan mereka yang sumbang."

Sepatutnya baginda Sultan Pahang sudah memahami tipu muslihat Mahathir selama ini. Bukankah perlantikan adinda baginda Tengku Azlan bin Sultan Abu Bakar satu tipu muslihat yang direncana dengan bijak sekali oleh Mamak Mahathir ? Kenapakah tiba-tiba sahaja Tengku Azlan dilantik menjadi Timbalan Menteri sedangkan beliau tidak pernah menjawat jawatan Setiausaha Politik sebelum itu? Kalau jawatan dalam parti adalah berdasarkan sama rata dan sama rasa berpaksikan slogan 'Individu Tidak Penting Tetapi Parti Itu Penting', kenapakah Tengku Azlan diangkat terus ke jawatan timbalan menteri? Di sinilah contoh bagaimana liciknya seorang mamak bendahara selama ini. Dia merancang sesuatu tindakan itu secara penggunaan satu 'master plan' yang cukup jitu sekali. Kalau majoriti ahli UMNO boleh terpukau oleh permainan silap mata politiknya, apatah lagi seorang sultan yang kerap berulang-alik ke luar negara? Adalah lebih baik kalau baginda Sultan Pahang menunda sahaja ura-ura untuk melawat negerinya. Biarlah rakyat memperaikki keadaan mereka secara tersendiri.

- Kalau Raja Tersilap Langkah

Pertalian raja-raja Melayu dengan rakyatnya sekarang ini hanya digariskan oleh satu garis pemisah yang amat nipis - kedaulatan raja-raja. Apakah kedaulatan itu sebenarnya kalau bukan hak raja-raja yang termaktub dalam perlembagaan? Apa lagi yang ada pada raja-raja sekarang ini sejak terhakisnya immuniti raja yang dikendalikan oleh Mamak Mahathir? Di satu ketika dulu di zaman orang Melayu terlalu daif untuk hidup sendirian, kedaulatan raja-raja adalah sesuatu yang bersifat keramat mengikut kepercayaan orang Melayu. Apa tidaknya, kalau di istana raja itu terdapat satu golongan manusia yang bergelar pawang dalam dan pawang luar. Apa yang 'dalam' dan apa yang 'luar' masih menjadi pertikaian sehingga kini. Yang pasti, raja dulu-dulu terlalu taksub dengan benda yang ghaib sehinggakan gendang dan rebana pun dikatakan menggunakan kulit orang bunting sulung. Alangkah aibnya cerita ini kalau raja-raja sekarang dikatakan pemimpin agama Islam? Yang lebih melucukan, kalau raja-raja itu seorang ketua agama Islam, berapa kerapkah golongan ini yang berkhutbah jumaat pada rakyatnya? Bukankah peranan sebegini lebih baik daripada seorang raja turun ke padang berjumpa rakyatnya dan bercakap hal ehwal perpecahan?

Apabila raja turun ke padang dan bertelagah dengan rakyatnya tentu sekali impak yang negatif akan muncul juga. Apakata kalau ada seorang rakyat yang naik angin dan bertanya baginda Sultan Pahang, apa jadi dengan kawasan balak yang lebih luas dari jajahan negeri Melaka yang baginda balun daripada rakyat selama ini? Apa baginda boleh jawab? Kalau ada seorang pesara askar yang pernah berjasa kepada Almarhum Sultan Abu Bakar dan bertemu baginda Sultan sekarang, apakah agaknya yang akan dia tanyakan baginda yang pernah didukungnya satu ketika dulu? Tentu sekali beliau akan menyuruh baginda melihat kedaifannya dan apakah pula yang baginda boleh jawab?

Apakah pula yang boleh terjadi kalau ada rakyat Pahang yang masih terkena badi Bentong Kali yang bertanya baginda kenapa memilih orang luar menjadi permaisuri. Apakah Pahang ketandusan dara sunti? Apa baginda mahu jawab?

Perkara yang sama boleh berlaku kepada pemangku Sultan Selangor sekarang. Apa kata kalau ada rakyat yang bertanyakan apa sudah jadi dengan janda baginda dulu? Apa pula menfaatnya baginda mengelilingi dunia dengan pasukan khas baginda yang diambil daripada rakyat asing? Apakah usaha mengelilingi dunia itu bertujuan memajukan ekonomi rakyat Melayu di Selangor? Soalan seperti ini sudah cukup untuk memberi pukulan TKO kepada baginda, bukan?

Kesimpulan

Politik orang Melayu sekarang ini bolehlah dikatakan berada dalam keadaan mencelaru. Orang Melayu seakan-akan baru sahaja belajar berpolitik. Nampak sangat hilangnya kematangan kita orang Melayu berpolitik. Semua ini adalah gara-gara gelagat yang ditunjukkan oleh Adnan-UMNO yang seolah-olah terkena badi Bentong Kali. Begitu juga dengan Ali-Rectum di Melaka yang seolah-olah mahu tunjuk pandai cara berpolitik di sebuah negeri yang tidak pun bersultan.

Gelagat samseng yang ditujukkan oleh para 'pemimpin' UMNO sebenarnya mendera rakyat juga akhirnya. Tetapi, siapakah yang dipanggil pemimpin ini dan kepada siapakah kepimpinan itu diacukan? Bukankah kepada rakyat jelata ? Dengan hal demikian, bukankah rakyat jelata itu bersifat 'tuan' kepada para insan yang bergelar pemimpin itu?

Kalau dengan gologan yang menjadi tuan sebenarnya itu dimusuhi oleh para pemimpin UMNO ini, apakah yang akan jadi akhirnya? Apakah akan kekal 'kepimpinan' mereka itu? Inilah fenomena yang disedari oleh Mamak Mahathir dan cuba mengubah persepsi rakyat yang sebenarnya menjadi TUAN kepada beliau dan juga konco-konconya. Untuk memperbaikki keadaan Mamak Mahathir cuba menarik pengaruh raja-raja untuk mendekati rakyat dengan harapan raja-raja dapat meraih sokongan rakyat kepada Mamak tongkang itu kembali.

Kalau raja-raja turun ke padang dan cuba mempraktikkan apa yang disarankan oleh Mamak Mahathir seluruh raja-raja akan berada dalam satu situasi laksana tikus memperbaikki labu. Semua raja-raja harus sedar sebelum terlambat bahawa apa yang dikatakan ketuanan Melayu itu sebenarnya berpaksikan rakyat semata-mata. Raja-raja hanya lambang ketuanan itu. Itu pun pada satu ketika dulu. Rakyat bukan bodoh sekarang ini. Rakyat sudah tahu cerita sebenar Mamak Mahathir membalun harta bangsa Melayu dan memperlekehkan raja-raja Melayu. Orang Melayu menunggu masa yang sesuai untuk mengenepikan Mamak Mahathir dan konco-konconya. Hanya ketaqwaan rakyat yang melecehkan proses 'Evil Leadership Cleansing' ini. Hanya manunggu masa yang sesuai sahaja, bila Mamak Mahathir dan ahli setongkang dengannya akan dinyahkan daripada muka bumi Melayu yang bertuah ini. Apakah raja-raja Melayu sanggup menjadi penumpang diraja dalam tongkang yang sama? Dipersilakan Tuanku !!!

Marhaintua@Hotmail.com
....bersambung
26.3.2000....


Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com